Pages

Monday, 30 April 2012

Arkeologi sebagai ilmu bersifat rentas disiplin, bincangkan.


1.0       PENGENALAN


1.1       Arkeologi

 Arkeologi berasal daripada perkataan Greek iaitu Arkhailogia yang bermaksud barang- barang purba. Arkeologi telah bermula lebih dari 100 tahun tetapi hanya terdapat sebilangan kecil sahaja yang meminati dan mengamalkan bidang ini sehingga akhir abad ke-14. Lebih 500 tahun dahulu telah wujud apa yang dikatakan “kabinet- kabinet diraja” yang mengandungi barang- barang purba dan barang- barang inilah yang menjadi sumber utama bagi kebanyakan muzium yang ditubuhkan selepas tahun 1800.[1]  

 Selain itu, arkeologi juga dikatakan bermula setelah penemuan  artifak yang wujud di Afrika Timur dan penemuan penting seperti makam Tutankhamun di Mesir. Tambahan lagi, konsep mencintai arkeologi juga semakin mendapat tempat setelah kisah pengembaraan dan penjelajahan lahir daripada penemuan dan pengumpulan dalam bidang arkeologi.[2] Walaupun kegiatan gali cari barang- barang purba atau eskavasi yang dilakukan adalah penting namun para arkeologis mempunyai tanggungjawab yang lebih besar iaitu mereka perlu menerangkan, mengelaskan, merekodkan dan menterjemahkan apa- apa sahaja maklumat yang wujud sama ada  dari kepingan pepaku, patung- patung mahupun serpihan tembikar.[3] Namun bagi orang kebanyakan istilah arkeologi menggambarkan pengembaraan, harta karun dan kisah- kisah yang pernah berlaku dalam tamadun purba seperti Mesir dan Mesopotamia.[4] 

Berdasarkan kepada Kamus Dewan Edisi ke-4, arkeologi merupakan kajian saintifik mengenai sesuatu kebudayaan terutama kebudayaan prasejarah dengan cara penggalian dan penghuraian kesan- kesan tinggalannya.[5] Amalan cara hidup masyarakat seperti kegiatan pemburuan, petempatan, teknologi, sistem kepercayaan, dan hubungan luar sesama manusia adalah termasuk dalam pengkajian para arkeologis. Menurut pendapat sejarawan barat iaitu Frank Hole dan Robert F. Heizer, arkeologi merupakan satu arahan atau kaedah penyelidikan masa lalu yang menggambarkan data-data yang diperolehi dan latihan akademik serta kegiatan peninjauan untuk menjadikan seseorang itu faham tentang teori ahli arkeologi.

[6]Menurut pandangan ikatan ahli- ahli arkeologi Malaysia pula, arkeologi merupakan satu disiplin yang menekankan pendekatan antara disiplin.[7] Pandangan ini bertepatan dengan sifat arkeologi itu sendiri yang multi- disiplin dan memerlukan disiplin ilmu lain dalam melengkapkan bidang pengkajiannya. Oleh itu, arkeologi dapat memberi sumbangan melalui pelbagai kaedah dan pendekatan dalam masalah sejarah kebudayaan zaman prasejarah, protosejarah dan sejarah serta dalam bidang antropologi budaya.

Arkeologi merupakan salah satu daripada bidang sains dalam mendapatkan bukti- bukti fizikal masyarakat silam yang telah pupus dan untuk mengetahui sejarah dan tamadun masyarakat terbabit. Tujuan utama mempelajari arkeologi hanyalah semata- mata untuk memahami kemajuan kebudayaan dan sosial masyarakat, membina semula sejarah dan kebudayaan manusia, mengkaji dan menganalisis proses perkembangan sesuatu budaya.

Bidang arkeologi juga boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu arkeologi klasik yang merujuk kepada pengkajian sejarah yang berlaku di Greece dan Rome iaitu bermula pada 4000 hingga 1500 B.P. Arkeologis awal yang kagum dengan tamadun Greek dan Rom hanya menumpukan perhatian mereka terhadap pencarian mata wang lama dan bentuk- bentuk ukiran sahaja. Namun begitu, penekanan juga hanya diberikan terhadap pengumpulan dan penyusunan dan biasanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja daripada untuk pengetahuan umum.[8]  Arkeologi klasik ini mencirikan kepada proses mencari perkaitan antara peristiwa sejarah pada zaman klasik.

[9] Jenis arkeologi yang seterusnya ialah arkeologi awam yang memerlukan tugas para arkeologis untuk memulihara dan melindungi tinggalan purba malah turut bertanggungjawab memberi pendedahan kepada masyarakat umum tentang kepentingan tinggalan arkeologi. Selain itu, arkeologi sejarah pula merupakan pengkajian terhadap tinggalan tapak- tapak peninggalan  purba yang didasarkan kepada sesuatu tempoh dalam lingkungan peristiwa sejarah.[10] Arkeologi maritim dan underwater pula merujuk kepada kaedah penerokaan bahan-bahan purba yang dijalankan di bawah dasar laut serta pelabuhan seperti kajian terhadap kapal-kapal karam dan sebagainya.  Underwater arkeologi adalah berkenaan dengan kapal-kapal karam di Mediterranean iaitu di sekitar Florida dan kawasan-kawasan lain.[11] Namun, sikap manusia kini yang menggangap bahawa underwater arkeologi lebih dikaitkan dengan peninggalan harta karun dan muncullah satu golongan yang dikenali sebagai antikuarian yang bertindak menghapuskan data sebelum para arkeologis sampai di tempat tersebut. Teknik- teknik merekod khas perlu diaplikasi bagi mendapatkan bukti- bukti kapal karam di kawasan tersebut.

2.0       ARKEOLOGI BERSIFAT RENTAS DISIPLIN


Sejarah adalah pengetahuan bagi masa yang lalu dan mempunyai nilai-nilai berguna dalam kehidupan manusia . Arkeologi adalah salah satu cabang sejarah tersebut. Arkeologi adalah satu disiplin membina semula masyarakat silam terutama yang tidak mempunyai rekod-rekod bertulis melalui kajian-kajian rekod arkeologi seperti artifak, ekofak, ciri-ciri (feature) dan data-data konteks yang ditemui di tapak-tapak tertentu. Melalui penemuan-penemuan tersebut , ahli-ahli arkeologi boleh menghuraikan keadaan sesuatu kelompok masyarakat silam dari pelbagai aspek umpamanya aspek pola ekonomi, petempatan, kebudayaan,kronologi menurut ruang masa tertentu iaitu zaman Paleolitik, Neolitik ,gangsa, zaman Besi dan lain-lain. Menurut Gordon Childe iaitu seorang ahli sejarah arkeologi ada menyatakan bahawa ,"Arkeologi sebenarnya mengkaji semua perubahan dalam dunia material yang diakibatkan oleh kegiatan manusia serta rekod arkeologi yang terdiri daripada tinggalan hasil tingkah laku manusia silam dan apa sahaja yang mereka lakukuan ." Bukti-bukti arkeologi adalah testimoni sejarah yang lebih dipercayai (reliable) daripada bukti-bukti lisan dan tulisan yang tertakluk kepada ruang dan wakti tertentu. Namun begitu timbul masalah sehingga kini berikutan semua jenis tinggalan artifak, sisa makanan, tempat kediaman, perkuburan dan segala tinggalan fizikal yang dapat dikesan di sesuatu tapak sebahagian besarnya telah musnah atau mengalami pereputan.

Oleh itu, kajian arkeologi merupakan kombinasi ilmuan sains tulen dan sains sosial. Kombinasi disiplin sains tulen dan sains sosial ini telah menjadikan arkeologi bersifat rentas disiplin untuk mengukuhkan penemuan artifak dan fakta sejarah. Arkeologi adalah satu disiplin yang tidak boleh berdiri sendiri tanpa bantuan kepelbagaian ilmu- ilmu lain. Hal ini dibuktikan oleh pandangan para tokoh arkeologi iaitu J.de.Leaf yang menyatakan bahawa arkeologi sebagai disiplin sains dan cabang kepada sejarah. Ini membawa maksud bahawa terdapat disiplin ilmu lain dalam arkeologi atau lebih dikenali sebagai sifat arkeologi itu sendiri yang multi- disiplin. Multi-disiplin dalam arkeologi meliputi disiplin prasejarah, sejarah, antropologi, sains, arkeologi maritim, biologi, geografi dan botani. Kepakaran dalam kepelbagaian disiplin ini amat diperlukan bagi mendapatkan hasil yang memuaskan dalam setiap eskavasi yang dilakukan oleh para arkeologis.

2.1       Disiplin Prasejarah

Prasejarah merupakan zaman sebelum wujudnya rekod- rekod bertulis. Para arkeologis mengkaji tinggalan-tinggalan purba kawasan yang dikenal pasti sebagai penempatan awal zaman prasejarah dengan tujuan untuk membina semula sejarah manusia yang lampau. Arkeologi prasejarah berhadapan dengan skala evolusi manusia yang sangat luas iaitu dalam lingkungan 5.6 juta tahun yang lampau. Perkembangan manusia awal dikatakan bermula dengan manusia Homo Erectus kepada Homo Sapiens seterusnya kepada Homo Sapiens Sapiens.[12] Evolusi perkembangan manusia ini juga menjadi antara aspek yang dikaji dalam arkeologi.  Peninggalan data-data oleh manusia prasejarah  membolehkan para arkeologis melakukan kerja-kerja penyelidikan dengan melakukan kaedah eskavasi bagi merekonstruksi semula sejarah.

 Data- data dapat dibahagikan kepada empat iaitu artifak, ekofak, features dan data alam sekeliling. Artifak  merupakan hasil kerja tangan manusia seperti alatan batu manakala ekofak pula merupakan sesuatu yang bukan merupakan hasil kerja tangan manusia seperti sisa-sisa makanan yang ditinggalkan oleh manusia. Features pula merupakan hasil kerja tangan manusia yang tidak boleh dibawa ke makmal seperti peninggalan tapak-tapak prasejarah. Data alam sekeliling  pula lebih tertumpu kepada persekitaran yang ada di sekitar manusia yang boleh menyumbang kepada kewujudan sesuatu tapak sejarah seperti tasik dan pantai.[13] Jelaslah bahawa para arkeologis melakukan sesuatu eskavasi adalah berdasarkan kepada peninggalan data-data oleh manusia bukannya mengikut kehendak sendiri.

2.2       Disiplin Sejarah

 Sejarah bermula sejak adanya rekod-rekod bertulis seperti dokumen dan rekod. Tulisan awal manusia yang dijumpai adalah dalam bentuk rekod- rekod ringkas. Walau bagaimanapun, arkeologi sejarah juga adalah penting walaupun telah wujud rekod-rekod bertulis kerana terdapat sebilangan rekod sejarah yang tidak sempurna dan tidak semua aktiviti dicatatkan.[14] Sejarah juga adalah hasil penulisan manusia dan selalunya mengandungi unsur bias. Kekurangan data yang terdapat dalam bidang sejarah ditambah oleh eskavasi dalam bidang  arkeologi yang pada asasnya didasarkan kepada rekod- rekod sejarah itu sendiri. Sebagai contoh, tamadun sejarah yang telah hilang boleh ditulis semula melalui eskavasi yang dijalankan oleh arkeologis seperti yang dilakukan terhadap tamadun Harappa di Lembah Indus.[15] Jelaslah bahawa sifat arkeologi yang multi- disiplin dapat menyesaikan masalah sejarah dengan mengesahkan, memperbetulkan rekod-rekod sejarah serta menambah kekurangan dalam bahagian sejarah.

2.3       Disiplin Antropologi

Antropologi ialah ilmu yang mengkaji semua aspek kehidupan manusia termasuklah dari segi budaya, linguistik dan biologi.[16] Antropologi juga merupakan satu disiplin ilmu yang amat berkait rapat dengan arkeologi. Ilmu ini berkait dengan kesucian dan perbandingan mengenai manusia yang merentasi masa dan ruang. Jumpaan arkeologi yang dikaji melalui disiplin antropologi ini menginterpritasikan jumpaan seperti bekas tembikar yang bercorak dan gelang-gelang manik kepada keadaan masyarakat pada waktu itu. Antropologi dibahagikan kepada tiga jenis iaitu biologikal antropologi, antropologi budaya dan antropologi bahasa. Biologikal antropologi atau dikenali juga sebagai fizikal antropologi adalah pengkajian yang melihat manusia sebagai organisma biologi. Contohnya yang berkenaan dengan evolusi manusia iaitu perkembangan manusia Homo Sapiens.[17] Bagi merungkaikan persoalan ini mereka perlu menyusun rajah pokok keluarga manusia yang telah lepas, bekerja dengan bukti fosil secara meluas dan pemerhatian terhadap kehidupan mamalia yang paling tinggi termasuk manusia, kera dan monyet.

 Antropologi budaya pula ialah sub bidang dalam antropologi yang menekankan aspek-aspek teknologi, sosial dan agama. Bidang ini menghuraikan dan menganalisis budaya kumpulan masyarakat hari ini dan kaitannya dengan manusia lepas.[18] Pengkajian kumpulan khas pada masa tertentu di kenali sebagai ethnography dan maklumatnya di kenali sebagai data ethnographic. Perbandingan dalam pengkajian budaya pula adalah untuk melihat sama ada budaya tersebut  mempunyai persamaan atau tidak dikenali sebagai ethnology.

Para ethnography perlu melakukan ethnology untuk membolehkan kita mempelajari budaya secara umum[19]. Antropologi bahasa pula bertindak untuk mentafsir penggunaan bahasa dengan lebih mendalam dari segi bunyi, hubungan antara bahasa dan sistem bahasa yangc mengalami perubahan mengikut peredaran masa.[20] Selain itu, bidang ini turut digunakan untuk menghubungkan carta sejarah dan kesan migrasi kuno.
 

2.4       Disiplin Sains

 Sains ialah satu sistem formal untuk mempelajari benda- benda baru dan mempunyai pendekatan yang spesifik untuk mentafsir idea-idea baru. Sains adalah berdasarkan eksperimen dan objektif yang membawa maksud hanya objek yang wujud, boleh diperhati dan dirasa. Sains tulen hari ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu sains fizikal yang meliputi fizik, kimia dan geologi manakala sains natural iaitu biologi yang meliputi disiplin botani dan zoologi.

Ahli- ahli sains fizikal perlu mengaplikasikan pendekatan sains dalam mengkaji masyarakat prasejarah melalui beberapa kaedah seperti kaedah radiokarbon untuk mengukur jumlah radio aktiviti karbon yang berparas rendah yang masih ada dalam bahan mati dan purba yang berasal daripada bahan organan bagi mengetahui usia sebenar bahan organik purba.[21] Selain itu, kaedah asid amino yang dilakukan dalam bidang kimia pula adalah bertujuan untuk menentukan rasimisasi iaitu tindakan kimia yang selalu dipengaruhi oleh suhu dan air yang telah mendedahkan tulang dalam tanah. Kaedah ini boleh menentukan usia kulit hidupan laut, tulang dan gigi.[22] Peninggalan tulang dan bukti penempatan merupakan tanda bahawa manusia telah menetap di muka bumi sejak dahulu lagi. Walau bagaimanapun, keadaan bumi yang sentiasa terdedah kepada perubahan sejak zaman Pleistosen kepada zaman Holosen menyebabkan berlaku peralihan dan penimbunan bukti- bukti awal kewujudan manusia. Namun begitu, sesetengah kaedah ini didasarkan kepada prinsip-prinsip stratigrafi untuk mengenal pasti ‘umur’ artifak berdasarkan kedudukannya ketika dijumpai sama ada di dalam lapisan atas atau bawah tanah.[23]

2.5       Disiplin Maritim


Bidang ini adalah berkaitan dengan persekitaran laut atau lebih dikenali sebagai underwater arkeologi. Kajian arkeologi ini kebiasaannya tertumpu di kawasan kapal karam yang didasarkan kepada rekod- rekod pelayaran sesuatu kapal. Selain itu, bidang ini juga menumpukan kepada kota yang telah tenggelam di dasar laut seperti sebahagian daripada kota Alexandria di Mesir.[24] Bidang  ini tidak berbeza dengan bidang arkeologi yang lain cuma teknik dan pendekatannya agak sukar sedikit seperti kesukaran untuk mencari tapak dan proses kajiannya yang lebih susah kerana masalah logistik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kebaikan bekerja di bawah permukaan air seperti eskavasinya adalah lebih mudah, tidak menggunakan banyak peralatan tetapi hanya perlu  mengipaskan tangan secara perlahan-lahan sahaja.[25]

2.6       Disiplin Geologi

Dalam kajian arkeologi moden, peranan disiplin geologi sangat penting. Ilmu geologi digunakan secara saintifik  untuk menganalis tentang asal usul struktur, komposisi bumi, jenis tanah-tanih, kesan luluhawa, hakisan tanah, gerakan gempa bumi, kandungan garam, mineral, jenis batuan, kesan ombak, gerakan air bawah tanah, gerakan kerak bumi di dasar laut, letusan gunung berapi dan sebagainya.

Bahan-bahan bukan organik seperti batu, logam (emas, perak, gangsa dan lain-lain), kaca dan tembikar ditemui dalam keadaan yang tidak sempurna seperti dalam bentuk serpihan dan jumpaanya adalah terhad. Manakala bahan organik seperti tulang, rambut, kulit lebih mudah mereput berbanding bahan organik. Keadaan ini menimbulkan masalah mentafsirkan dan memperoleh ketepatan sejarahnya dan memerlukan masa dan pengkajian dalam tempoh yang lama dan panjang. Masalah pereputan dan kemusnahan rekod-rekod arkeologi ini berkait rapat dengan keadaan iklim, luluhawa, hakisan, kegiatan manusia seperti pembinaan dan perlombongan, serangga dan lain-lain lagi.

Dilihat faktor luluhawa menyebabkan kebanyakan batu atau tembikar ditemui dalam keadaan tidak sempurna seperti dalam bentuk serpihan sahaja umpamanya batuan mempunyai daya tahan yang kuat tetapi tindakan iklim dan cuaca yang berterusan keatasnya membawa kesan samada pecah, rosak atau sebagainya. Fenomena ini sering berlaku di kawasan Tropika yang mengalami iklim hujan dan panas, lembap dan sejuk secara berselang seli menyebabkan batuan atau tembikar tidak dapat bertahan lama. Manakala logam pula akan berubah warna samada berkarat atau sebaliknya diselaputi debu melalui tindak balas oksigen di udara. Selain itu pergerakan pergerakan tanah,tindakan glasier menyebabkan batuan akan terhakis secara perlahan, dalam tempoh masa yang lama ia musnah dengan sendirinya. Air sungai dan laut yang membawa bersama pasir dan batu semasa proses pasang surut antara penyebab batuan terhakis atau berubah bentuk. Secara tidak langsung akan mengelirukan ahli arkeologi membuat penyelidikan sehingga kini.

Ilmu geologi digunakan dengan meluas  sebagai salah satu mekanisme penting yang mana ianya digunakan untuk mencari dan membuat tinjauan dalam usaha mencari tapak-tapak yang berpontensi untuk dikaji oleh ahli arkeologi. Teknik tinjauan magnetik, radar dan sonar banyak membantuk usaha-usaha tinjauan sekunder arkeologi. Kepelbagaian teknik ini membantu penemuan pelbagai jenis artifak meskipun persekitaran fizikal bumi sukar untuk dihadapi kajian yang dilakukan didasar lautan[26].

2.6       Disiplin Georgafi

 Pengetahuan ilmu geografi juga digunakan sebagai satu mekanisme untuk membantu dalam mencari tapak kajian yang hendak dikaji atau dicarigali. Ilmu geografi digunakan dengan luas contohnya dalam aspek pemetaan seperti peta topo dan ciri-ciri fizikal semulajadi bentuk muka bumi. Disiplin geografi juga digunakan secara kuantitatif untuk mengenal pasti pola penempatan sesuatu masyarakat hasil daripada penemuan kajian arkeologi sesuatu tapak.

Kebanyakan daripada ketamadunan masa lampau banyak bergantung kepada alam sekitarnya. Kemajuan pertanian pada zaman tersebut menyebabkan manusia ketika itu berjaya memanafaatkan sumber alam. Ini menyebabkan kehidupan mereka lebih stabil dan terjamin baik sebagai individu mahupun sebagai satu komuniti. Peningkatan taraf hidup bukan sahaja berlaku dari aspek kuantiti malahan kualiti kehidupan. Ini menyebabkan sesuatu pola penempatan masa lampau itu semakin berkeupayaan menampung jumlah penduduk yang ramai. Kualiti pemakanan manusia bertambah dan bekalannya juga boleh diperolehi secara berterusan. Contohnya penempatan manusia Mesir kuno banyak dipengaruhi oleh kesuburan tanahnya hasil daripada banjir lumpur yang dihasilkan oleh Sungai Nil.

Hasil daripada kemajuan kehidupan akibat daripada penempatan yang subur dan sesuai oleh masyarakat zaman lampau, telah berlaku revolusi pertanian. Manusia tidak lagi berpindah randah bagi mencari lokasi baru. Hasil daripada bekalan makanan yang berterusan, penggunaan alat-alat pertanian yang khusus telah wujudnya penternakan binatang. Kesan daripada revolusi pertanian ini telah memberi kesan yang besar kepada manusia kerana ianya menjadi peyambung kepada permulaan ketamadunan.  Manusia mula berhenti dengan cara hidup nomad dan mula hidup bermasyarakat. Ini mendorong kepada pertambahan penduduk yang pesat kepada sesuatu masyarakat.

Jelaslah faktor geografi dan pengaruh alam sekitar telah mengubah corak corak kehidupan dan ketamadunan sesuatu masyarakat. Situasi ini telah melahirkan tamadun-tamadun awal seperti Tamadun Mesoptamia dan Tamadun Mesir yang lebih kompleks sesuai dengan zamannya. Dalam masyarakat silam munculnya institusi-institusi pemerintahan, keagaaman, pembangunan ekonomi. Pengetahuan dan banyak lagi ilmu-ilmu yag lahir selari dengan pembangunan tamadun masyarakat tersebut. Lama-kelamaan sesuatu di penempatan itu telah terbahagi kepada dua kelas strata sosial masyarakat iaitu kelas pemerintah dan rakyat. Oleh itu pemahaman dalam disiplin geografi amatlah penting dalam sesuatu kajian ke atas tapak arkeologi.


2.7       Disiplin Kimia

 Sains kimia merupakan salah satu ilmu sokongan dalam penyelidikan arkeologi khususnya dalam membuat analisa artifak dan non-artifak seerti mendapan. Analisis kimia tidak hanya tertumpu kepada pentarikhan malah juga boleh diguna pakai dalam menganalisa tulang dan bahan organik lain. Antara kaedah kimia yang digunakan dalam membuat pentarikhan ialah seperti kalium argon, termolumunesen (TL), fassion track, asid amino dan paleomagnetik. Bagi menganalisa tulang, antara teknik kimia yang digunakan ialah penentuan kandungan florin dan nitrogen dalam tulang. Kaedah panitasi pula digunakan untuk mengkaji batu-batan. Dalam mengkaji teknik penghasilan komposisi artifak logam dan batu, analisis kuantitatif digunakan bagi mengetahui tempat asal artifak, jenis logam dan batu. Penggunaan kaedah kimia juga tidak terbatas dalam analisis data tetapi juga pemuliharaan artifak. Artifak-artifak yang mengalami perubahan kimia seperti logam besi dan seramik dari tapak dasar laut dirawati dengan menggunakan bahan kimia. Ringkasnya ilmu kimia telah memudahkan dan mempercepatkan proses interpretasi data dan maklumat penyelidikan arkeologi[27].

Prigogine menyarankan agar projek millenium ini hendaklah yang mengarah kepada penolakan fragmentasi. Jawapan kepada masalah-masalah besar dalam dunia sekarang hendaklah dalam bentuk antara disiplin (interdisciplinary) kerana pada hakikatnya hampir semua keputusan yang dibuat oleh seseorang itu, khususnya pemimpin, akan mempunyai kesan ke atas ekonomi, politik dan alam sekitar sekaligus. Dengan itu pendekatan fragmentasi seperti yang dilakukan terhadap ilmu pengetahuan yang melahirkan disiplin-disiplin ilmu seperti biologi, kimia, fizik, psikologi, sosiologi dll. perlu ditolak.


 2.8      Disiplin Biologi

Biologi (biologycal science) adalah ilmu alam yang mempelajari organisme-organisme hidup. Biologi merupakan salah satu cabang ilmu alam. Salah satu adalah ilmu sains fizik (physical science). Pada awalnya, permasalahan biologi hanya salah satu fokus kajain para doktor di abad pertengahan seperti AlRazi, Ibn Sina dan Ibn Rushd. Ketika itu, organisme hidup dianalisis secara kimiawi. Penemuan peralatan mikroskop, teori evolusi, dan penemuan struktur molekul kromoson (DNA) menandai puncak pencapaian ilmu biologi terhadap organisme hidup. Namun kini peranan disiplin sains biologi di dalam kajian arkeologi moden adalah penting untuk mengenalpasti bahawa penemuan jantina tengorak itu sama ada lelaki atau perempuan, kanak-kanak ataupun orang dewasa. Sampel gigi juga di analisa untuk memastikan usia tengorak tersebut. Dengan adanya ilmu sains biologi juga dapat membantu ahli arkeologi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan organisme hidup seperti penemuan manusia dan binatang zaman purba.  

Luas lingkup disiplin biologi antaranya ialah termasuklah:

·         Bio-fizik
·         Bio-kimia
·         Mikrobiologi
·         Viriolgi
·         Bakteriologi
·         Mycrology
·         Protozoologi
 
Andaian-andaian (assumption) disiplin biologi dan kajian arkeologi ialah:

·         Organisme hidup adalah sebuah sistem mekanik.
·         Sel merupakan balok-balok bangunan dasar dari organisme hidup (Abad ke19)
·   Semua fungsi biologi dapat dijelaskan dalam pengertian struktur dan mekanisme molekul dengan DNA (dasar molekul kromoson) sebagai titik kulminasi pencapaian biologi mutakhir.
·         Binatang (kemudian jadi manusia) berubah di bawah tekanan udara lingkungan, dan bahwa binatang dapat menurunkan perubahan-perubahan ini hingga ke janin mereka. Penurunan ciri-ciri itu merupakan mekanisme utama dalam evolusi.
·    Pernafasan merupakan suatu bentuk oksidasi khusus yang menetapkan relevansi proses kimiawi pada fungsi-fungsi organisme hidup.
·         Transmisi impuls saraf berkaitan dengan arus electromagnetik. Kajiannya adalah ilmu tentang neurofisiologi dan elektrodinamik.
 

2.9       Disiplin Matematik

Sebenarnya, menurut Jujun (1984: 97), matematik bukan merupakan ilmu, melainkan saranan berfikir secara deduktif. Matematik mempunyai peranan yang sangat penting bagi berbagai disiplin keilmuan termasuklah arkeologi. Walau bagaimanapun menurut Jujun, matematik adalah bahasa yang melambangkan serangkaian makna dari pernyataan yang ingin kita sampaikan. Lambang-lambang matematik bersifat artifisial yang baru mempunyai erti setelah sebuah makna diberikan padanya. Tanpa makna, matematik hanya merupakan kumpulan rumus-rumus yang mati.

Tetapi Immanuel Kant (1724-1804) berpendapat bahawa matematik merupakan pengetahuan yang bersifat sitetik apriori di mana eksistensi matematik bergantung dari pancaindera serta pendapat dari aliran yang disebut logistik yang berpendapat bahawa matematik merupakan cara berfikir secara logik yang salah atau kebenarannya dapat ditentukan tanpa mempelajari dunia empirir. Pendapat Kant ini kemudian diperkuat oleh ahli matematik berbangsa Belanda, Jan Brouwer (1881-1966).

Disiplin ilmu matematik dewasa ini mencakup antara lain:

·         Aritmatik
·         Geometri
·         Pembilangan
·         Algebra
·         Trigonometri
·         Geometri Analitik
·         Persamaan dan pembezaan
·         Kalkulus
·         Topologi
·         Geometri Non-Euclid
·         Teori Fungsi
·         Kebarankalian dan statistik
·         Logik; dan
·         Logik matematik


Andaian-andaian (assumption) penggunaan matematik dalam kajian ilmiahnya seperti kajian arkeologi ialah seperti berikut:

·      Pengunaan ilmu matematik dalam sesuatu kajian arkeologi adalah untuk membataskan kajian tersebut hanya berdasarkan sebagai sebuah bahasa. Usaha-usaha penggunaan matematik telah melenyapkan sifat kabur, majmuk, dan emosional dari bahasa verbal.

·   Matematik itu adalah cara berfikir secara logik. Bertrand Russell mengatakan, “matematik adalah masa pembangunan logik dan logik adalah masa kecil matematik.”

·      Kebenaran yang dihasilkan matematik tidak perlu dibuktikan oleh aliran/ilmu logik lain.

 2.10    Disiplin Botani

Manusia merupakan sebahagian daripada persekitaran semulajadi dan alam flora adalah sebahagian daripada ekologi dan dietri kehidupan seharian. Sisa-sisa buangan manusia merupakan maklumat masa silam manusia. Sebahagian daripada sisa-sisa buangan tersebut adalah dalam sisa tumbuh-tumbuhan. Pengkajian mengenainya menghasilkan bukti-bukti flora yang memberi maklumat tentang pentarikhan tapak, jenis tapak dan bentuk kebudayaan si sesebuah tapak.

Kajian ke atas bahan-bahan botani purba dikenali sebagai paleobotani dan ianya merupakan sub disiplin arkeologi. Maklumat dari ilmu geografi dan geologi akan dapat membentuk kembali persekitaran masa lalu dan kronologinya membantu kepada pemahaman evolusi manusia dari aspek fizikal dan kebudayaan[28].  Pada perkembangan awal arkeologi, kajian terhadap alam flora tidak dapat dilakukan kerana kadar kemusnahannya lebih tinggi berbanding dengan tulang dan bahan organik lain. Kemunculan kajian palinogi pada tahun 1916 telah membantu ahli arkeologi untuk mengkaji tinggalan flora dalam bentuk tinggalan debunga. Analsis debunga amat penting bagi pentarikhan relatif dan mutlak. Ini kerana debunga dapat dikenalpasti kewujudannya meskipun ianya berusia ribuan tahun. Maklumat tentang penyesuaian ekologi di zaman purba dapat diketahui berdasarkan kajian terhadap debunga dan sopra tumbuhan[29].


3.0       KESIMPULAN

Sebagai rumusannya perkataan arkeologi (dari Greek: αρχαιολογία - archaiologia, dari αρχαίος - archaios, "asal, purba, tua" dan λόγος - logos, "kajian") atau juga dikenali sebagai kaji purba merupakan kombinasi kajian pelbagai bidang sains yang melakukan kajian mengenai kebudayaan pra-sejarah dengan cara penggalian dan penghuraian kesan-kesan tinggalan.

Arkeologi pada masa sekarang merangkumi pelbagai bidang yang berkait dan pelbagai. Sebagai contoh, penemuan mayat yang ditanam akan menarik minat pakar dari pelbagai bidang untuk mengkaji tentang pakaian dan jenis bahan digunakan, bentuk seramik dan cara penyebaran, kepercayaan melalui apa yang dikebumikan bersama mayat tersebut, pakar kimia yang mampu menentukan usia tapak galian melalui pereputan unsur seperti karbon 14, pakar genetik yang ingin mengetahui pergerakan manusia purba, dan pelbagai bidang lainnya.  Ianya bersifat rentas disiplin bagi mencapai matlamat kajian untuk mengkaji peristiwa-peristiwa lalu berdasarkan apa yang telah tercatat khususnya melalui manuskrip, dokumen dan penemuan yang dibuktikan dengan ilmu matematik, geologi, geografi, biologi, botani, kimia dan fizik.

Jelaslah bahawa sifat arkeologi yang multi- disiplin telah membantu bidang ini dalam melengkapkan pengkajiannya. Hal ini terbukti dengan kebergantungan bidang arkeologi terhadap pakar- pakar dalam bidang lain untuk menganalisis setiap penemuan penting. Eskavasi yang dilakukan adalah bertujuan untuk merungkai kisah-kisah silam yang selama ini menjadi misteri. Tidak dapat dinafikan bahawa arkeologi adalah penting untuk memberi penjelasan tentang kehidupan masyarakat prasejarah di Asia Tenggara.



BIBLIOGRAFI


Fagan, M. B., (1997). Archeology Sixth Edition. New York: Longman Higham, C. (2000). Early Cultures of Mainland Southest Asia. Thailand: River Books  Ltd

Hole, F. Heizer, F.R. (1990). Arkeologi prasejarah: Satu Pengenalan Ringkas ( Shahila          Yaacob, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia. (Karya asli diterbitkan pada 1997).

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

McIntosh, L. (1999). The Practical Acheologist: How we know and what we know about           the past. London: Thames and Hudson.

Rozeman Abu Hassan. 2004. Mengenali dan mentafsir sumber- sumber sejarah. Shah Alam: Karisma Publication Sdn Bhd.

Sutton, Q. M. & Yohe II, M. R. (2003). Archeology: The science of the human past. Boston: Allyn and Bacon.

Thomas H. D. &  Kelly R. L. (2006). Archeology 4Th Edition. Thomson & Wadsworth

Bahan bacaan, Pengantar Arkeologi SKSE 2033, Baszley Bee B. Basrah Bee dan Mohd Kamaruzaman Abd. Rahman, UKM, 2001

Bahn, Paul. 1996, Archeology: A Very Short Introduction. Oxford: Oxford University Press

Hole, Frank & Heizer, Robert  (terjemahan), 1990. Arkeologi Prasejarah: Satu Pengenalan Ringkas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sejarah penulisan: Dari Jieroglif Ke Multimedia, disunting oleh Anne-Marie Christin, Flammarion (dalam bahasa Perancis, kulit keras: 2002, ISBN 2080108875)

Taylor, W.W, 1973, A Study of Archaeology, Southern Illinois: Chiw Press.



[1] Frank Hole dan Robert F. Heizer. 1990.  Arkeologi Prasejarah: Satu pengenalan ringkas (Shahila Yaacob, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia, hlm. 32
[2] Ibid.
[3]  Ibid.
[4] Mark Q. Sutton dan Robert M. Yohe II. 2003. Archeology: The Science of The Human Past. Boston: Allyn and Bacon, hlm.  3.
[5] Hajah Noresah Binti Baharom (Ketua Editor). 2005. Kamus Dewan Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 78.
[6] Frank Hole dan Robert F. Heizer, op. cit. hlm. 5.
[7] Rozeman Abu Hassan. 2004. Mengenali dan mentafsir sumber-sumber sejarah. Shah Alam: Karisma Publication Sdn Bhd., hlm. 60.
[8] Frank Hole dan Robert F. Heizer, op, cit., hlm 32.
[9] Charles Higham. 2000. Early Cultures of Mainland Southest Asia. Thailand: River Books Ltd, hlm. 12.
[10] Brian M. Fagan. 1997. Archeology: A Brief Introduction,  sixth edition. New York: Longman, hlm. 25. 
[11] Ibid. hlm, 26.
[12] Ibid. hlm, 29.
[13] David Hurst Thomas & Robert L. Kelly. 2006. Archeology 4TH Edition. Thomson Wadsworth, hlm, 52-53.
[14] Mark Q. Sutton & Robert M. Yohe II. 2003. Archeology: The Science of The Human Past. Boston: Allyn and Bacon, hlm 10.
[15] Frank Hole & Robert F. Heizer, op.cit., hlm. 51.
[16] David Hurst Thomas & Robert L. Kelly. 2006. Acheology 4Th Edition. Thomsom Wadsworth, hlm ,26.
[17] Ibid.
[18] Ibid, hlm, 27.
[19] Marx Q. Sutton & Robert m. Yohe II. 2003. Archaelogy: The Science of The Human Past. Boston: Allyn and Bacon, hlm 6.
[20] David Hurst Thomas & Robert L. Kelly. 2006. Archeology 4Th Edition. Thomson Wadsworth,hlm, 27.
[21] Frank Hole & Robert F. Heizer. Op cit,. hlm 219.
[22] Ibid. hlm, 230.
[23] Ibid, hlm, 251- 259.
[24] Mark Q. Sutton & Robert M. Yohe II. 2003. Archeology: The Science of The Human Past. Boston: Allyn  & Bacon, hlm 13.
[25] Jane McIntosh. 1999. The Practical Archeologist: How we Know and what we know about the Past. London: Thames and Hudson, hlm. 94.
[26] Bahan bacaan Pengantar Arkeologi, SKSE 2033, hlmn 42, UKM 2001
[27] Ibid, hlmn 42 - 43
[28] Ibid, hlmn 42
[29] Ibid, hlmn 42

No comments:

Post a Comment