Pages

Saturday 4 November 2017

Kerajaan Zanki Dan Peranannya Dalam Perang Salib


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

 

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين



 

1.1       Pengenalan


Perang Badar ialah peperangan yang pertama dalam dunia Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat. Matlamat peperangan dalam Islam bukan untuk membunuh tanpa ada belas kasihan. Menurut Haron Din (2007) peperangan dalam Islam adalah satu jalan yang terpaksa dihadapi demi mempertahankan diri dan maruah daripada pencerobohan mana-mana pihak, mempertahankan akidah dan agama, mempertahankan kemanusiaan dan kedamaian, mempertahankan kesejahteraan umat manusia serta tamadunnya. Peperangan yang diistilahkan dengan perang jihad ialah peperangan di jalan Allah atau fi sabillah iaitu sebagai tanda pengabdian muslim hanya kepada Allah s.w.t yang Esa (Haron Din 2007).

 

Perang Salib merupakan perang suci yang diseru oleh pihak Gereja daripada mazhab Katolik ke atas Daulah Islamiyyah dan umat Islam untuk membebaskan Jerusalem dan tanah suci di sekitarnya ataupun untuk memerangi musuh-musuh gereja, seperti kaum bid’ah (heretic) dan lain-lain. Biasanya ia bermula dengan pidato dan seruan Paus Katolik. Perang Salib biasanya mengangkat sumpah, mengambil simbol salib dan meletakkannya pada baju mereka. Kepada mereka yang menyertai Perang Salib, pihak gereja menjanjikan pengampunan dosa (Alwi Alatas 2012).

 

Perang Salib I diserukan oleh Paus Urbanus II (w. 1099) dalam sidang gereja di Clermont, Perancis, pada November 1095. Hal itu dilakukan setelah adanya permintaan bantuan dari Kaisar Byzantium untuk menghadapi orang-orang Turki di Asia Minor dan Syria. Pidato Paus mendapat sambutan yang luar biasa dan mendorong ribuan orang untuk menyertai Perang Salib. Angkatan pertama Perang Salib I bergerak dari Perancis dan Jerman pada awal tahun 1096. Mereka terdiri dari masyarakat rakyat jelata dan dipimpin oleh seorang pendeta bernama Peter si Pertapa (Peter the Hermit). Setelah beberapa kali konflik dengan penduduk Bulgaria dan Byzantium serta melakukan penjarahan selama di perjalanan, pasukan yang tidak berpengalaman ini akhirnya dihancurkan oleh pasukan Kilij Arslan (w. 1107) di Asia Minor. Angkatan pertama ini dikenali sebagai People’s Crusade atau Popular Crusade (Alwi Alatas 2012).

 

Rombongan berikutnya yang berangkat pada pertengahan tahun 1096 terdiri dari pasukan yang lebih terlatih dan dipimpin oleh golongan bangsawan Perancis dan Norman, seperti Raymond of Saint-Gilles (w. 1105), Godfrey de Bouillon (d. 1100), Baldwin (w. 1118), Bohemond of Taranto (d. 1111), dan Tranced (w. 1112). Pasukan ini berhasil mengambil alih Nicaea (Iznik) dari tangan Kilij Arslan pada bulan Jun 1097, Antioch pada Jun 1098, Jerusalem pada Julai 1099 serta beberapa kota umat Islam yang lain di Syiria dan Palestin. Kejayaan pasukan tentera Salib dalam Perang Salib I ini kemudian telah mewujudkan Kerajaan Latin (Latin Kingdom) yang berpusat di Jerusalem. Kerajaan ini memiliki empat wilayah utama, iaitu Jerusalem, Tripoli, Antioch, dan Edessa. Wilayah kekuasaan orang-orang Frank (Perancis) di Syria dan Palestin dikenali oleh orang-orang di Eropah Barat (Romawi Barat) sebagai Outremer (tanah) di seberang lautan.(Alwi Alatas 2012).

 

Menurut catatan sejarah, Edessa kembali ditawan semula oleh umat Islam semasa Perang Salib II yang dipimpin oleh Imaduddin Zanki (w. 1146) pada tahun 1144. Perang ini diserukan oleh Paus Eugenius III (w. 1153) sejak Desember 1145. Paus kemudian memujuk Bernard of Clairvaux (1090-1153) untuk melancarkan kempen Perang Salib. Kempen beliau ini membuahkan hasil sehingga ribuan orang bersumpah untuk menyertai Perang Salib II. Bahkan Raja Perancis, Louis VII (1120-1180), dan Raja Jerman, Cornad III (1093-1152), memimpin Perang Salib II.

 

Bermula daripada Perang Salib II, telah lahir tokoh-tokoh dikalangan umat Islam untuk bangkit mempertahankan daulah Islamiyyah daripada kekejaman tentera Perang Salib sehingga dapat menawan semula wilayah yang ditawan oleh tentera Perang Salib seperti Jerusalem, Tripoli, Antioch, dan Edessa serta memperluaskan wilayah Islam di Barat (Rahman Abdullah 2016). Maka, artikel ini akan membicangkan tentang kerajaan Zanki dan peranannya dalam Perang Salib. Kajian ini juga memperihalkan tentang latarbelakang keluaga Zanki, sorotan kehidupan mereka dan peranan serta perjuangan keluarga Zanki ini dalam Perang Salib.

 

 

1.2       Objektif Kajian


Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mencapai tiga (3) objektif seperti berikut:

      i.               Menjelaskan peranan dan sumbangan Kerajaan Zanki dalam Perang Salib

      ii.            Mengenalpasti sumbangan dan peranan setiap tokoh-tokoh pemimpin Islam yang lahir daripada Kerajaan Zanki

    iii.            Mengambil pengajaran yang boleh dipelajari daripada sumbangan dan peranan Kerajaan Zanki dalam Peperangan Salib

1.3       Metodologi Kajian


Dalam penyusunan kajian ini, penyelidik mengambil data, dari pendapat para ahli sejarah yang telah menghasilkan buku-buku atau jurnal tentang peranan dan sumbangan Kerajaan Zanki dalam Perang Salib. Kajian ini menggunakan kaedah kajian perpustakaan dengan mengambil dan menganalisis maklumat dari jurnal dan buku-buku ilmiah. Sumber di dalam penulisan kajian ini ialah melalui penyelidikan di Perpustakaan Tun Sri Lanang Universiti Kebangsaan Malaysia (PTSL, UKM) dan Perpustakaan Negara. Istilah ini lazim disebut library research iaitu pengambilan data yang berasal dari buku-buku atau karya ilmiah yang terdiri dari sumber primer dan sekunder. Kajian literatur juga turut menggunakan sumber-sumber rujukan seperti kertas kerja penyelidikan, tesis, buku, jurnal dan prosiding sebagai panduan.

2.1       Keluarga Zanki


Latarbelakang sejarah tentang keluarga Zanki ialah bermula dengan Aaq Sunqur bin Abdullah Aalu Targhan termasuk dalam kabilah As-Sabayu At-Turkmani. Ayahnya Abu Said yang bergelar Qasim Ad-Daulah dan dikenali sebagai nama al-Hajib mendapat perhatian besar daripada para sejarawan kerana peranan beliau di pentas politik dan ketenteraan Kerajaan Saljuk. Sementara itu, Aaq Sunqur adalah seorang individu yang dekat dengan Sultan Malik Syah I. Bahkan Aaq Sunqur adalah tokoh yang menjadi teman istimewa kepada Malik Syah I. Ini kerana, mereka berdua berkawan sejak muda sehingga dewasa. Ketika Malik Syah menaiki tahkta beliau terus melantik Aaq Sunqur sebagai orang kanannya. Bahkan dekatnya hubungan kedua-dua sahabat itu sehingga Malik Syah bersedia memberitahu semua rahsia dirinya kepada Aaq Sunqur serta sering melibatkan Aaq Sunqur dalam segala hal yang penting. Apatah lagi Aaq Sunqur adalah seorang panglima yang paling kanan kedudukannya. Bukti paling penting tentang kedudukan Aaq Sunqur di hadapan Sultan Malik Syah I adalah apabila Sultan itu memberi gelaran Qasim Ad-Daulah kepada Aaq Sunqur yang bermaksud sekutu. Sedangkan pada ketika itu, sesuatu gelaran tidak diberikan kecuali hanya kepada orang-orang yang benar-benar layak. Jelas sekali Aaq Sunqur menjadi sekutu Malik Syah dalam kekuasaan dan pemerintahan. Selain itu, Aaq Sunqur juga memiliki kedudukan sebagai orang kanan sultan (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

            Rajah 1 di bawah menerangkan salasilah Keluarga Zanki yang juga sebagai pendiri Dinasti Zanki.














Rajah 1 : Salasilah Keluaga Zanki

Sumber: Biografi Agung Salahuddin Al-Ayyubi : Penakluk Tentera Salib  (Syed Alwi Alatas 1974)

Keluarga Zanki adalah suatu keturunan juga turut dikenali asal usulnya pertama pada zaman Sultan Bani Saljuk iaitu Malik Syah. Keluarga Zanki juga adalah berketurunan Turki (Waskito AM 2013). Asal usul yang dimaksudkan adalah Qasim al-Daulah Aqansaqar, di mana beliau termasuk di antara salah seorang hamba Malik Syah dan termasuk sahabatnya juga, Sejak kecil beliau dididik bersama Malik Syah. Sewaktu Malik Syah menjadi Sultan, beliau telah memilih Qasim sebagai salah seorang panglima perang dan sebagai salah seorang gabenornya, kerana Qasim memang memiliki ciri-ciri kebolehan kepimpinan dan istiqomah. Dengan adanya usulan daripada Nizham al-Malik yang menjawat sebagai menteri, Qasim ditugaskan menjadi gabenor di Halab oleh Sultan Malik Syah. Qasim terus bertugas sebagai Gabenor di Halab sehingga terjadi pertempuran di antaranya dengan Taj al-Daulah Tatasy bin Alip Arslan di mana di dalam pertempuran inilah mangkatnya Qasim. Beliau meninggalkan seorang anak yang berumur 10 tahun iaitu Imaduddin (Muhammad al-’Arusiy al-Matwiy 1998).

 


Rajah 2 : Kerajaan Kesultanan Saljuk

Sumber: (Sami Abdullah al-Maghluts 2015)

 

 

 

 

2.1.1    Imaduddin Zanki al-Atabik


Kemunculan Imanuddin Zanki dan anak-anaknya pada 521 H meninggalkan catatan-catatan penting dalam lembaran sejarah Islam khususnya Perang Salib. Menurut Qasim Ibrahim di dalam bukunya Sejarah Islam memetik kata-kata Ibnu al-Atsir mengenai Imaduddin Zanki, “seandainya saja Allah tidak memberi umat Islam seorang tokoh seperti Imaduddin Zanki, bangsa Perancis pasti sudah menguasai seluruh dataran Syam” (Qasim A Ibrahim & Muhammad A Saleh 2014).  Berikut diperturunkan serba sedikit latarbelakang Imaduddin Zanki.

 

            Imaduddin Zanki telah menghabiskan masa kanak-kanaknya bersama para pengasuh dan penjaganya serta bersama sahabat-sahabat ayahnya sendiri, di antaranya yang paling menonjol ialah Karbugha salah seorang penguasa Mausil. Semasa beliau masih remaja, beliau pernah mengikuti sebahagian pertempuran dan peperangan yang dilancarkan ke atas kerajaan-kerajaan Salib. Pemuda ini telah membuktikan kecekapan dan keberaniannya di mana hal ini telah mendapat perhatian Bani Saljuk dan Khalifah Abbasiah pada masa itu. Akhirnya pada tahun 516 H, Imaduddin ditugaskan untuk memerintah bandar Wasit dan untuk menjadi petugas keamanan di Basrah. Pada tahun 521 H beliau dilantik sebagai Gabenor di Mausul, Iraq. Dengan demikian, pemimpin dan pejuang ini mendapat peluang yang baik untuk membuktikan kreativiti dan kecemerlangannya. Dengan kekuasaan yang beliau ada, beliau telah mempelopori usaha-usaha kebangkitan dan pembaharuan (Muhammad al-’Arusiy al-Matwiy 1998).  

 

            Imaduddin hidup di zaman pencerobohan pasukan tentera Salib ke atas Wilayah Syam, lalu tentera Salib berjaya mendirikan beberapa Kerajaan Kristian. Kaum Salib berasal daripada Eropah (Perancis) dan bukan dari Konstantinopel (Rome Timur). Tentera Salib berkuasa di Syam dan mengawal Baitul Maqdis. Tujuan utama Imaduddin ialah untuk membebaskan negeri Syam dan Baitul Maqdis dari cengkaman kaum Salibis. Strategi Imaduddin sangat sederhana, tetapi realisasi benar-benar memerlukan perjuangan dan pengorbanan besar.  (Waskito AM 2013). Untuk mengusir tentera Salib dari bumi Islam, Imaduddin memerlukan satu pasukan tentera yang kuat dan kukuh benteng pertahanan.

            Imaduddin mempunyai wawasan dan semangat perjuangan yang tinggi. Matlamat beliau hanya satu sahaja iaitu menciptakan satu Kerajaan Islam yang bersatu dan mampu untuk menciptakan satu kerajaan untuk menentang tentera Salib serta menghindarkan bahaya ke atas umat Islam termasuklah menghapuskan pengaruh tentera Salib ke atas wilayah Islam. Menurut Waskito AM, misi beliau yang pertama ialah dengan menyatukan semua wilayah-wilayah di negeri Syam dibawah kepimpinannya. Langkah pertama ialah dengan mendapatkan semula Alleppo daripada tentera Salib dan menggabungkannya ke Mosul. Kemudian Imaduddin menguasai Hammah, Sarja, Dara dan Benteng Atsarib. Seterusnya beliau merebut semula Benteng Shur, Diyar Bakir dan Jabal (Waskito AM 2013) (Qasim A Ibrahim & Muhammad A Saleh 2014).

 

            Sebagaimana yang tercatat di dalam lipatan sejarah sama ada daripada perspektif Islam dan Barat, Imaduddin adalah di antara salah seorang nama tokoh besar yang telah menggemparkan dunia Barat terutama peranan beliau yang telah berjaya menawan Edessa pada tahun 539 H/1144 M daripada penguasa bandar itu iaitu Jesselin II (Corliss K. Slack 2013) (Muhammad al-’Arusiy al-Matwiy 1998). Imaduddin ketika itu merupakan pemerintah di Mosul dan Aleppo telah mencetuskan bibit-bibit Perang Salib II kerana Edessa  merupakan bandar penting bagi penganut Kristian kerana di dalam bandar tersebut terdapat banyak tempat-tempat para rahib dan gereja. Terdapat juga kepercayaan bahawa di dalam salah satu gereja di Edessa ini terdapat sapu tangan Nabi Isa a.s.  Daripada perpektif Islam pula, Edessa juga merupakan salah satu tempat yang dihormati oleh umat Islam kerana adanya sebuah masjid yang di dalamnya terdapat makam Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ayub a,s. Di samping itu, terdapat juga makam-makam para sahabat antaranya ialah Jabir al-Anshari, Abi Ubaidah bin Jarrah dan Badi’u al-Zaman al Hamazani (Muhammad al-’Arusiy al-Matwiy 1998).   

 

Kemenangan Imaduddin Zanki sangat mengagumkan ketika dia berhasil merebut wilayah Edessa (Ruha) dengan strategi perang yang sangat bijak terhadap pemimpin Edessa iaitu yang bernama Jocelyn. Peperangan untuk mendapatkan Edessa berlaku pada Jamadil Akhir 114 M. Kemenangan ke atas Edessa telah meningkatkan motivasi dan moral kaum Muslimin yang mana sebelum ini telah hampir berputus asa untuk mengusir tentera Salib. Dengan itu, mitos bahawa pasukan tentera Salib tidak dapat dikalahkan sudah berakhir dikalangan umat Islam. Barat merujuk peristiwa Edessa jatuh ke tangan keluarga Zanki ialah satu kegagalan dan memetik sebagai berkata, “the crusade’s failure made its mark on both the Latin Kingdom and European enthusiasm for future expenditions. The challenges facing Baldwin III extended well beyond those of the regency(Corliss K. Slack 2013).

 

Oleh kerana kegagahan dan kekuatan Imaduddin Zanki, kaum Salib telah merancang untuk menjatuhkannya. Kaum Salibis telah menggunakan orang-orang dari penganut Bathiniyah ke perkhemahan Imaduddin dan membunuhnya ketika sedang tidur. Tentera Salib dan kaum Kristian tidak mampu untuk berdepan dengan Imaduddin secara terang-terangan, lalu menggunakan jalan ini untuk membunuhnya. Imaduddin meninggal dunia pada usia 64 tahun dan kemudiannya dimakamkan di Shiffin. Salah seorang anak Imaduddin ialah Nuruddin Mahmud. Seperti bapanya, beliau seorang yang gagah berani, ahli politik, panglima perang dan juga mempunyai keperibadian yang soleh (Waskito AM 2013) (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

2.1.2    Nuruddin Mahmud Zanki


Nuruddin Mahmud bin Imanuddin Zanki dilahirkan pada 17 Syawal 511H. Beliau adalah anak kedua kepada Imanuddin Zanki selepas Saifuddin Ghazi. Pada anak-anak Imaduddin, semua sifat dan keutamaan ayah mereka membekas dalam diri mereka. Anak-anak itu kemudian membesar menjadi mujahid-mujahid hebat walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam diri masing-masing. Selepas Imaduddin Zanki meninggal dunia, kedua-dua anaknya saling bekerjasama dalam hal-ehwal pentadbiran dan pemerintahan. Saifuddin memerintah Mosul manakala Nuruddin memerintah Aleppo. Sempadan pemerintahan mereka dipisahkan oleh sungai Khabur yang terletak di dalam semenanjung Eurat.

 

Uniknya kedua-dua tokoh ini memliki kemahiran yang berbeza. Saifuddin Ghazi adalah seorang ahli strategi manakala adiknya Nuruddin seorang mujahid yang tulus hati serta memiliki azam untuk mengusir musuh dari wilayah Islam. Nuruddin juga berasa memiliki tanggungjawab bagi meneruskan perjuangan bapanya iaitu jihad memerangi tentera Salib. Keazaman itu disemai ketika beliau masih kecil lagi kerana gemar mendampingi bapanya dalam berjihad. Tambahan pula Aleppo adalah sangat berdekatan dengan wilayah pemerintahan Salib. Oleh itu, Nurudddin amat arif tentang selok belok dalam menghadapi bahaya pasukan tentera Salib (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

Nuruddin Zanki  selaku pemerintah Aleppo yang dilantik menggantikan bapanya untuk meneruskan misi bapanya terdahulu iaitu memerangi kaum Salib (Burhan Che Daud 2006). Justeru sesuai dengan tugasnya, beliau telah menyerang Antakya yang masih berada di bawah kekuasaan pasukan Salib. Tindak balasnya itu adalah untuk menggagalkan usaha Juslin II yang cuba menduduki al-Ruha kembali, lantaran kekalahan yang dideritai pasukan Salib di al-Ruha lebih hebat daripada kekalahan yang mereka terima sewaktu cuba menakluki al-Ruha buat pertama kalinya dahulu. Kematian Imaduddin disangkakan dapat meringankan beban pasukan Salib, malangnya sangkaan mereka meleset sama sekali. Ternyata, semangat dan keberanian Nuruddin menyamai bapanya, sekalipun baru mencecah usia 29 tahun (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

Di dalam konteks di atas, sejarawan kontemporari iaitu Prof Dr Ali Muhammad As-Shalabi memandang tinggi Nuruddin Mahmud Zanki lebih utama berbanding Salahuddin al-Ayyubi. Untuk itu, beliau mungkin mempunyai alasan yang tersediri. Nuruddin Mahmud Zanki meninggal dunia akibat serangan sesak nafas pada hari Rabu 11 Syawal 569 H. Jenazahnya telah dimakamkan di dalam Kubu Damsyik, namun kemudiannya dipindahkan ke Turubah bersebelahan dengan madrasah yang pernah beliau dirikan untuk para sahabat Imam Abu Hanifah sebelah barat Kota Damsyik.

 

 


3.1       Perang Salib Dan Perjuangan Umat Islam


Pada dasarnya perang Salib tidak seperti dipersepsikan sebagai konflik teologi di antara Islam dan Kristian. Akan tetapi, persitiwa tersebut merupakan tragedi konflik politik yang disandarkan di atas nama agama (Moh. Salman Hamdani 2013). Sebagaimana catatan sejarah, peperangan Salib itu dimulai dengan tanggapan Paus Urban II terhadap permohonan Raja Alexius. Pada tahun 1095, Urban II menyeru pembebasan tanah suci dari orang kafir, dan mengadakan perang suci yang sudah menjadi tradisi. Seruan tersebut, bagi Paus Urban selain menjadi sebuah panggilan jihad dari perspektif Barat demi membela Agama Kristian dan Jerussalem, disamping demi memperoleh pengakuan atas autoriti beliau sebagai Paus dan peranannya untuk mengabsahkan pemerintah. Di samping itu, seruanya juga adalah demi untuk mempersatukan kembali Gereja-Gereja Timur (Yunani) dan Barat (Latin) (Karen Amstrong 2003).

 

Catatan sejarah juga turut memaparkan bahawa perang Salib ini telah berlangsung selama hampir dua abad iaitu di antara tahun 1096 hingga 1270 M. Selain daripada itu, peperangan kecil turut sering terjadi menyelangi jeda enam peperangan besar yang terjadi secara bergelombang itu. Pada era pertama Perang Salib ini terjadi antara tahun 1096-1099 dengan kekalahan di pihak tentara Muslim, yang terutama diwakili oleh pasukan Bani Saljuk, dinasti Turk yang baru saja menguasai Persia dan Asia Barat. Kekalahan tersebut menyebabkan tentera Salib dapat menduduki Jerusalem. Orang-orang Islam dan Yahudi yang menjadi penduduk Palestin ketika itu dibawa ke tempat penyembelihan dan yang selamat berjaya melarikan diri serta bertempiaran ke banyak negeri di sekitarnya. Pasukan tentera Salib pada masa ini didukung oleh 300.000 tentara yang terdiri daripada rakyat biasa yang direkrut dari seluruh Eropah (Karen Amstrong 2003).

 

Pada Perang Salib pertama ini, tentera Salib yang di pimpin oleh Godfrey, Bohemod dan Raymond ini memperoleh kemenangan besar pada 18 Jun 1097, mereka berhasil menakluki Nicea pada tahun 1098 M dan menguasai Raha (Edessa). Setelah menguasai Raha (Edessa), pasukan tentera Salib mendirikan kerajaan Latin I dengan Baldawin sebagai Raja. Selanjutnya, pada tahun yang sama, pasukan Perang Salib dapat menguasai Antiochea dan mendirikan kerajaan Latin II di Timur. Bohemond kemudian di lantik menjadi Rajanya. Setelah menguasai Antiochea, pasukan tentera Salib juga berjaya menduduki Bait Al-Maqdis Pada 15 Julai 1099 M kemudian mendirikan kerajaan Latin III dengan mengangkat Godfrey sebagai Rajanya. Setelah penaklukan Bait Al-Maqdis itu tentera Salib meluaskan jajahannya, lalu berjaya menguasai kota Akka (1104M). Tripoli (1109 M) dan kota Tyere (1124 M), di Tripoli ini para pasukan tentera Salib mendirikan kerajaan Latin IV, dengan mengangkat Raymond sebagai rajanya (Carole Hillenbrand 2005).

 

Kemudian meletuslah Perang Salib II. Perang Salib ini terjadi di antara tahun 1147-1149 M, di pihak Muslimin dipimpin oleh Imaduddin Zanki iaitu Gabenor Mosul di Iraq. Imanuddin Zanki berhasil menaklukan kembali Aleppo, Hamimah, dan Edessa pada tahun 114 M. Namun beliau wafat tahun 1146 M. Tugasnya di lanjutkan oleh anakknya iaitu Nuruddin Zanki. Beliau berjaya merebut kembali Antiochea pada tahun 1149 M dan pada tahun 1151 seluruh Edessa dapat ditawan semula. Penaklukkan semula ke atas Edessa telah membuat orang-orang Kristian melancarkan Perang Salib II. Paus Eugeneus III menyerukan perang suci yang disambut positif oleh Raja Perancis Louis VII dan raja Jerman Condrad II (Ahmad Shalaby 1975).

 

Kedua-dua raja Eropah dari pasukan tentera Salib tersebut berusaha untuk merebut wilayah Kristian di Syiria, akan tetapi gerak maju mereka dihalang oleh Nuruddin Zanki. Gerakan tentera Salib tidak berhasil memasuki Damsyik. Perang Salib kedua ini menemui kegagalan, Louis VII dan Condrad II sendiri melarikan diri pulang ke negeri masing-masing. Nuruddin menakluki Damsyik pada tahun 1154 dan mengangkat dirinya sebagai pemerintah kaum Muslim tertinggi di Syria. Tidak lama kemudian itu, Nuruddin dan tentera Perang Salib kemudian mengalihkan perhatian mereka ke Mesir dan Dinasti Fathimiyah yang menderita dan lemah akibat perpecahan dalaman. Ascalon ditakluki orang-orang Perancis pada tahun 1153 M dan beberapa puak Fathimiyah telah memberikan bantuan tempat tinggal untuk mereka. Sementara puak Fatimiyyah yang lain meminta bantuan Nuruddin. Pasukan kaum Muslim telah dihantar di bawah pimpinan komando Kurdi Syirkuh pada 1168-1169 M untuk menghalang kemaraan para tentera Salib untuk menakluki Mesir (Carole Hillenbrand 2005).

Setelah Nuruddin Zanki wafat pada tahun 1174 M,  tampok kepimpinan perang kemudian dipegang oleh anak saudara kepada salah seorang menteri kanannya iaitu Salah Al-Din Al-Ayyubi yang kemudian berjaya mendirikan dinasti Ayyubiyah di Mesir tahun 1175 M. Hasil peperangan Salah Al-Din yang terbesar adalah merebut kembali Jerussalem pada tahun 1187 M. Dengan demikian, kerajaan Latin Jerussalem yang berlangsung selama 88 tahun berakhir. Salah Al-Din Al-Ayyubi selanjutnya menjadi pemimpin kaum Muslim dalam Perang Salib. Beliau juga menjadi pemimpin paling terkenal sekaligus membuktikan bahwa dirinya layak untuk meneruskan perjuangan Nuruddin Zanki. Sepanjang tahun 1174 hingga 1178 M, Salah Al-Din Al-Ayyubi berupaya untuk menundukkan lawan-lawannya dari kaum Muslim sendiri dan menubuhkan barisan hadapan di Mesir dan Syia untuk berdepan dengan tentera Salib (Carole Hillenbrand 2005).

 

Pada Era kepemimpinan Salah Al-Din Al-Ayyubi ini, pada tahun 1189, beliau berjaya memerangi Pasukan tentera Salib yang dipimpin oleh Raja Guy dari Lusignan dalam pertempuran besar Hattin pada 4 Julai dan meraih kemenangan besar ke atas mereka. Namun, Penaklukan kembali wilayah-wilayah tentera Salib yang penting seperti Acre terus berlanjutan. Kemenangan Salah al-Din al-Ayyubi berada pada kemuncaknya ketika berjaya merebut kembali Jerussalem pada 2 Oktober 1187. Pada akhir 1187, hanya beberapa bahagian kecil kerajaan Latin Jerussalem yang masih dikuasai tentera Salib, terutama Tirus. Kekalahan pada pertempuran Hattin dan jatuhnya Jerussalem ke kekuasaan kaum Muslimin telah menjadi faktor penyebab Perang Salib berikutnya (Mohd Roslan Mohd Nor 2012)

 

Uskup Agung William di Tyre, Paus Clement III (1187-1191 M) telah menyerukan raja-raja Eropah dan orang-orang Kristian untuk merebut kembali Jerusalem sebagai matlamat untuk mengangkat senjata menentang umat Islam. Para tentera Salib kali ini di pimpin oleh Frederick Barbarossa, Raja Jerman, Richard The Lion Heart, raja Inggeris dan Philip Augustus, raja Prancis melancarkan perang Salib Ketiga antara tahun 1189-1192.

 

Menurut Carole di dalam bukunya yang bertajuk “Perang Salib dari sudut pandang Islam” menulis bahawa pasukan Tentera Salib ini bergerak pada tahun 1189 M dan mendapat tentangan kuat daripada Salah al-Din, namun mereka berjaya menawan Akka yang kemudian dijadikan ibu Kota Kerajaan Latin. Akan tetapi, mereka tidak berjaya memasuki Palestin. Dalam perang kali ini tentera Salib tidak berjaya merekrut tentera dalam jumlah yang besar dan mengalami kekalahan besar. Genjatan senjata pun diumumkan pada tahun 1192 dan raja Richard I yang memimpin pasukan Inggeris mencadangkan agar al-Malik al-Adil, saudara Salahuddin al-Ayubi, menikahi saudaranya iaitu Putri Joanna. Keduanya patut menerima Jerussalem sebagi hadiah pernikahan. Peristiwa ini mengakhiri perselisihan antara Kristian dan Muslim (Carole Hillenbrand 2005).

 

Pada 2 November 1192 M, temeterai perjanjian di antara tentera Salib dengan Salah al-Din yang disebut dengan Shulh al-Ramlah. Dalam perjanjian ini disebutkan bahawa kawasan persisiran pantai menjadi milik bangsa Latin, manakala daerah pedalaman menjadi milik umat Islam, dan para penziarah yang menziarahi ke Bait al-Maqdis tidak akan diganggu. Adalah penting untuk dicatatkan bahawa Salah Al-Din dikenali bukan hanya sebagai pejuang dan pahlawan yang bermazhab Sunni, beliau juga dikenali sebagai pelindung masyarakat awam dan pelindung kepada golongan ulama serta sarjana. Beliau juga yang menyokong pengembangan kajian teologi, membangun saluran perairan untuk pertanian serta juga membangun sekolah dan masjid. Nama besar Salah al-Din di Eropah adalah Raja yang dihormati bangsa Inggeris (Moh. Salman Hamdani 2013).

 

Wafatnya Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1193 ketia berusia 80 tahun, hanya sebulan perjanjian damai disepakati, meletuslah kembali Perang Salib IV pada tahun 1195-1198. Perang Salib ke IV ini terjadi setelah pemimpin pemerintahan di Syria, Palestin dan Mesir telah meniupkan semula harapan Paus Calestine II untuk merebut kembali Jerusalem. Dia memerintahkan Ordo St John menyusun angkatan Perang Salib IV. Dalam perang ini kekalahan telah kembali menimpa pasukan Salib. Perang Salib IV ini dalam rangka merebut kembali Konstantinopel yang di duduki oleh penguasa Turki Saljuk. Peperangan yang di akhiri dengan penguasaan para pasukan Salib ke atas Konstantinopel tahun 1204 M. Walaupun begitu sebenarnya segala upaya untuk mengambil alih Jerusalem tetap dilaksanakan ketika hayat Sultan Saladin masih ada, pasukan Salib pernah menduduki Jerusalem namun sangat singkat dan pada akhirnya Jerusalem kembali jatuh di tangan penguasa Islam. Pada tahun selanjutnya, meletuslah kembali Perang Salib ke V pada tahun 1201-1204. Perang Salib V ini timbul atas rancangan Paus Innocent III (1198-1216) untuk menyatukan Gereja Yunani Ortodoks ke dalam Gereja Romawi. Oleh kerana dana kewangan untuk menampung kos perang tidak cukup, Paus tidak dapat menyediakan tentera Salib dalam jumlah yang besar. Bahkan sebelum bertempur melawan pasukan Islam, pasukan tentera Salib yang dipimpin oleh raja Venezia terpaksa berperang melawan pasukan Hungary dan juga dengan pasukan Kristian Byzantium di Konstantinopel. Perang Salib V memang tidak dimaksudkan untuk merebut Jerusalem, tetapi membasmi raja-raja Kristian yang dianggap menyebarkan bid‘ah di kalangan penganut Nasrani.

 

Perang Salib VI terjadi di antara tahun 1217 dan 1221 M pada era Kerajaan Abbasyiah. Sasaran utamanya ialah untuk menakluki Mesir. Namun sekali lagi tentera Salib gagal menghancurkan pasukan Islam. Pada tahun 1211 M kedua-dua pihak yang berperang menandatangani perjanjian damai yang dikenal dengan nama Treaty of 1221 AD. Tetapi, perjanjian ini dilanggar tidak lama kemudian, sehingga beberapa peperangan berskala kecil meletus secara berkala sampai akhirnya tamat pada tahun 1270 M. Ketika itu seluruh wilayah kekhalifatan Abbasiyah, yang meliputi Iran, Iraq, Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan, dan sekitarnya telah dikuasai oleh penguasa Mongol keturunan Jengis Khan dan Hulagu Khan. Terhentinya Perang Salib itu dimanfaatkan oleh penguasa Kristian untuk merancang konspirasi dengan penguasa Mongol dalam rangka menghancurkan dunia Islam. Mereka menginginkan penguasa Mongol memeluk agama Kristian. Usaha ini pada peringkat awalnya berjaya, tetapi menjelang akhir abad ke-13 M penguasa dan bangsa Mongol memeluk agama Islam dan menjadi pelindung kepada kebudayaan dan tamadun Islam (Carole Hillenbrand 2005). Walaupun terdapat beberapa lagi siri peperangan Salib selepas perang Sablib VI, namun skop kajian ini hanya memfokuskan perang Salib I hingga VI sahaja kerana penglibatan dan peranan yang besar yang telah dimainkan oleh keluarga Zanki

4.1       Perjuangan Dan Peranan Keluarga Zanki


Perjuagan dan peranan keluarga Zanki amat tinggi nilainya kepada sejarah dan tamadun Islam. Pada bab ini, penulis menyenaraikan beberapa sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh keluarga Zanki dan penglibatan mereka di dalam peperangan Salib terutamanya ketika era Imanuddin Zanki dan Nuruddin Mahmud Zanki.

 

4.1.1    Imaduddin Zanki


Imanuddin Zanki seorang yang bijak menentukan masa yang sesuai untuk melancarkan serangan ketenteraan secara besar-besaran ke atas tentera Salib. Selain daripada menggemparkan Barat, kejayaan Imaduddin mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia Islam dan Kristian. Antaranya ialah:

 

a)      Membangkitkan kekuatan umat Islam bahawa gerakan jihad telah mencapai kematangan dalam aspek politik dan ketenteraan. Kejayaan menawan kembali Edessa menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk bersatu dan bangkit menawan kota-kota yang lain seperti Tripoli, Antioch dan Jerusalem (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

b)      Kejayaan kepemimpinan Imaduddin Zanki telah menjadi satu aras tanda bahawa pencerobohan tentera Salib ke atas wilayah-wilayah Islam tidak akan berkekalan lama kerana umat Islam mempunyai identiti keagamaan dan maruah diri. Pencerobohan tentera Salib ke atas wilayah Islam telah menyebabkan wujudnya sempadan pemisahan di antara kawasan pemerintahan Bani Saljuk di Asia Kecil dengan pemerintahan Bani Saljuk di Parsi dan Rom (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

c)      Peranan Imaduddin juga sangat penting di dalam menyatukan semula semua wilayah-wilayah Islam yang pada ketika itu saling bergolak kerana konflik dalaman dikalangan para pemerintah. Keazaman Imaduddin ini jelas nampak apabila beliau telah menyatukan semua wilayah di Syam dan langkah pertama selepas beliau menjadi pemerintah di Mosul ialah dengan membebaskan Aleppo pada 522 H, kota Harrah pada 523 H, Dara dan kubu al-Atharib ditangan tentera Salib (Ahmad Shalaby 1975).

d)     Imaduddin juga menjadi orang tengah semasa konflik di antara Khalifah Abbasiyyah al-Mustarsyid Billah dan Sultan Mas’ud yang ingin merampas kuasa Khalifah di Baghdad. Imanuddin Zanki menangguhkan usaha beliau untuk membebaskan wilayah Islam yang lain sehingga konflik di antara Khalifah al-Mustarsyid Billah dan Sultan Mas’ud reda. Kemudian Imaduddin dapat membebaskan al-Hamidyah, al-Hakariyah dan kubu Tyre. Pada tahun 528 H, Imaduddin berjaya membebaskan Diyarbakir dan daerah al-Jibal. Pada tahun 529 H, Imaduddin cuba untuk menawan Damsyik, tetapi dapat dicapai kerana kedudukan Damsyik adalah terletak jauh daripada kawasan pemerintahannya iaitu Mosul (Ahmad Shalaby 1975).

 

 

4.1.2    Nuruddin Mahmud Zanki


Sbagaimana bapanya iaitu Imanuddin Zanki, Nuruddin Mahmud Zanki juga seorang yang bijak dalam aspek pengetahuan agama, ketenteraan, politik, ekonomi dan sosial. Kebijaksanaan beliau telah dapat meneruskan perjuagan bapanya dalam merancang dan melancarkan serangan ketenteraan secara besar-besaran ke atas tentera Salib. Selain daripada turut menggemparkan Barat, kejayaan Nuruddin Zanki juga turut mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia Islam dan Kristian. Antaranya ialah:

 

a)      Nuruddin Zanki semasa tempoh pemerintahannya telah berjaya membuat serangan ke atas Antioch yang ketika itu berada di bawah kekuasaan tentera Salib. Beliau juga berjaya menawan beberapa buah kubu di sebelah utara Syam dan seterusnya berjaya menghapuskan usaha Justin II yang ingin menakluki kembali Edessa. Kejayaan Nuruddin ini telah membuat pasukan tentera Salib lebih menderita teruk akibay kekalahan berbanding dengan semasa era bapanya Imaduddin Zanki (Sami Abdullah al-Maghluts 2015)

 

b)      Dalam aspek diplomasi dan politik, ketokohan Nuruddin sangat menyerlah apabila beliau menjalinkan hubungan erat dengan wilayah-wilayah di kawasan Syam dan utara Iraq. Dengan gabungan kekuatan anggota tenteranya dan jalinan diplomatik yang wujud di Syamd dan utara Iraq, tentera Islam telah dapat menghadapi musuh.

 Pada tahun 541  H/1147 M, Nurudddin telah memeterai perjanjian dengan pemerintah Damsyik iaitu Mu’inuddin. Hasil hubungan yang terjalin, kedua-dua tokoh ini telah berjaya mengarahkan pasukan tentera Islam untuk membebaskan Bushra dan Sarkhad di sebelah selatan Syam sebelum meninggalkan Damsyik. Kesan daripada itu, pemerintah Damsyik merasakan selamat daripada serangan tentera Salib (Didik Sapto Anggoro 2014). Walaupun ketika peperangan Salib II di bawah pimpinan Louis IV dan Conrad III, pasukan tentera Salib tetap gagal untuk menawan Damsyik. Di samping itu, campur tangan Nuruddin di Mesir juga amat bermakna kepada dunia Islam dalam menyekat kemaraan pasukan tentera Salib (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

c)      Selepas Antioch, Nuruddin berjaya membebaskan Artah, Kafir Latsa, Basharfut dan beberapa daerah lain. Tindakan Nuruddin ini telah membimbangkan tentera Salib. Tentera Salib menyangka dengan kematian Imadduddin Zanki telah melenyapkan semangat umat Islam. Namun sangkaan itu meleset oleh kerana keberanian dan kebijaksanaan serta semangat jihad Nuruddin Mahmud Zanki (Didik Sapto Anggoro 2014) .  

 

d)     Nuruddin terus mengungguli kehebatannya dalam memimpin pasukan tentera Islam dengan menyerang kawasan di sekitar kubu Harim yang terletak di tepian sebelah timur sungai Orontes. Nuruddin mengepung kubu ini sehingga memaksa Raymond de Poitiers mengerahkan pasukannya untuk menyelamatkan kubu tersebut. Akhirnya tentera Islam berjaya menawan kunu Harim pada 544H/1149 M. Antara tentera Salib yang terkorban ialah termasuklah Raymond de Poitiers sendiri (Sami Abdullah al-Maghluts 2015).

 

e)      Sumbangan Nuruddin yang lain ialah peranannya yang dapat menumbangkan kerajaan Fatimiyyah Ubadiyyah yang telah menimbulkan kekacauan politik di kawasan umat Islam yang memakan masa lebih daripada 2 abad. Ini kerana kerajaan Ubaidiyyah yang pernah berpakat dan membantu dengan pasukan tentera Salib untuk merampask Syam. Selain daripada itu, Mesir juga mengalami konflik politik dalaman yang sangat teruk umpamanya konflik di antara menteri dan khalifah yang saling berbunuhan kerana inginkan kuasa (Sami Abdullah al-Maghluts 2015). 

 

f)       Disamping kejayaan Nuruddin menjatuhkan kerajaan Fatimiyyah Ubaidiyyah, Nuruddin juga berjaya mengekang penyebaran mazhab Hasyasyiyun (syiah) yang mengikut mazhab Ismailiyyah. Mazhab yang berbeza ini telah memecahkan kesatuan umat Islam. Dengan itu, dunia Islam dapat di satukan dengan akidah yang tunggal (sunni) dan sesuai dengan syariat (Rahman Abdullah 2016).

 

g)      Sumbangan Nuruddin yang tidak boleh dinafikan ialah berkenaan dengan perebutan Mesir di antara Nuruddin dan pasukan tentera Salib. Ketika ini, Nuruddin telah melantik orang kanannya iaitu Asaduddin Syirkuh dan anak saudara Asaduddin iaitu Yusuf Salahuddin al-Ayubbi untuk menerapkan sistem politik yang berada pada landasan yang betul. Implikasi daripada itu, kerajaan Batiniyyah lenyap daripada bumi Mesir. Kejayaan Nuruddin ini telah menjadi titik tolak untuk pasukan Islam mendapatkan kembali Jerusalem di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayubbi (Didik Sapto Anggoro 2014)

 

4.1.3    Saifuddin Ghazi


Peranan Saifuddin Ghazi iaitu anak yang Imaduddin yang paling tua juga banyak membantu saudaranya Nuruddin Zanki dalam menyekatan kemaraan pasukan tentera Salib ke atas wilayah Islam dan juga menawan semula wilayah-wilayah Islam terutama sumbangan Saifuddin ke atas negeri Syam yang sama-sama turut membantu Nuruddin adiknya di dalam peperangan memerangi tentera Salib (Muhammad al-’Arusiy al-Matwiy 1998).  

 

Kejayaan-kejayaan keluarga Zanki dan semangat jihad yang tinggi telah memberikan sumbangan yang besar kepada dunia Islam. Wilayah Islam semakin luas di bawah kekuasaan keluarga Zanki yang juga daripada keturunan kesultanan Saljuk Turki. Rajah 3 di bawah menerangkan keluasan kekuasaan kerajaan keluarga Zanki di dalam menawan semula wilayah-wilayah Islam yang telah ditawan oleh pasukan tentera Salib.

 


Rajah 3 : Peta Kekuasaan Keluarga Zanki

Sumber: (Sami Abdullah al-Maghluts 2015)

 


5.1       Kesimpulan


Imaduddin, Nuruddin Mahmud dan Saifuddin Ghazi merupakan nama besar dalam perjuangan Islam untuk menyatukan negeri Syam dan Mesir dengan matlamat untuk membebaskan Daulah Islamiyyah dari tangan tentera Salib dan kaum Kristian. Ketiga-tiga tokoh ini merupakan pahlawan Islam yang gagah perkasa, tidak gentar menghadapi musuh-musuh Islam dari kalangan tentera Salib dan puak Syiah Rafidhah di Mesir. Mereka menghabiskan usia mereka untuk berjihad ke jalan Allah dan meninggikan Kalimah Allah. Kejayaan demi kejayaan yang telah cipta oleh keluarga ini telah membuka jalan kepada pahlawan Islam yang seterusnya iaitu Salahuddin al-Ayubbi untuk menawan semula Jerusalem ketika pemerintahan beliau di Mesir. Peranan dan sumbangan mereka ketika peperangan menawan Edessa dan wilayah-wilayah lain telah memberi kesan ke atas dunia Islam, malah ke atas dunia Kristian juga.

 

            Semoga sumbangan dan jihad di atas jalan Allah oleh mereka dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah s.w.t. Di kala ini, umat Islam di wilayah-wilayah yang sama iaitu Iraq, Damsyik, Aleppo, Tripoli, Mesir dan Jerusalem terus bergolak. Sejarah kembali berulang dengan umat Islam kembali ditindas. Menjadi harapan kepada seluruh umat Islam agar ada pemimpin yang berjiwa besar dan ikhlas seperti Imaduddin Zanki, Nuruddin Mahmud, Saifuddin Ghazi dan Salahuddin al-Ayubbi dapat mengembalikan semula kegemilangan Islam dan tamadun Islam. 

 

 



Rujukan


Ahmad Shalaby. 1975. Perang Salib. Singapura: Pustaka Nasional Singapura.

 

Alwi Alatas. 2012. Nuruddin Zanki dan Perang Salib. Jakarta: Zikrul Hakim.

 

Burhan Che Daud. 2006. Nur al-Din Zanki and the Emergence of Jihad in 6th Century AH/ 12th Century AD. Jurnal Yadim, 8.

 

Carole Hillenbrand. 2005. Perang Salib sudut pandang Islam. (Hariadi, Ed.). Jakarta: Serambi.

 

Corliss K. Slack. 2013. Historical Dictionary of the Crusades hlm.2nd Edisi . Plymouth: The Scarecrow Press Inc. Retrieved from https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=uX8e2zU_TG0C&oi=fnd&pg=PR9&ots=0uQ0TLoTn4&sig=k8XxNpZrMNi2j29gCllvc1AEb5M&redir_esc=y#v=onepage&q&f=false

 

Didik Sapto Anggoro. 2014. Kebijakan Politik Nuruddin Zanki Di Syria Pada Masa Perang Salib Ii (1146-1174 M). Retrieved from http://eprints.uns.ac.id/20764/

 

Haron Din. 2007. Islam: Jihad sebagai Survival Insan. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn Bhd.

 

Karen Amstrong. 2003. Perang suci dari Perang Salib hingga Perang Teluk. (Hikayat Darmawan, Ed.). Jakarta: Serambi.

 

Moh. Salman Hamdani. 2013. John Louis Esposito Tentang Dialog Peradaban Islam-Barat. Jurnal Dakwah Dakwah & Komunikasi, 7(1).

 

Mohd Roslan Mohd Nor, N. S. M. N. 2012. Perang Salib dan Kejayaan Salahuddin al-Ayyubi Mengembalikan Islamic Jurusalem Kepada Umat Islam. Jurnal Al-Tamaddun, 7(1), 61–74.

 

Muhammad al-’Arusiy al-Matwiy. 1998. Muslihat Bangsa Eropah Untuk Menghancurkan Islam Dalam Perang Salib Di Alam Islami. Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada.

 

Qasim A Ibrahim & Muhammad A Saleh. 2014. Sejarah Islam. Jakarta: Zaman.

 

Rahman Abdullah. 2016. Peranan Nuruddin Zanki sebagai Amir Dinasti Abbasiyah dan perjuangannya dalam melawan tentera Salib (1148-1174 M). Institut Agama Islam Negeri Syekh Nurjati Cirebon.

 

Sami Abdullah al-Maghluts. 2015. Atlas Perang Salib - Sejarah Berdarah Menyayat Hati. Kuala Lumpur: PTS Publishing House Sdn Bhd.

 

Syed Alwi Alatas. 1974. Biografi Agung Salahuddin Al-Ayyubi : Penakluk Tentera Salib. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.

 

Waskito AM. 2013. The Power of Optimism. Jakarta: Pustaka al-Kautsar.