Pages

Monday 3 June 2013

Mukmin Berjaya




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
 

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun: 1-2]

عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ:
 (( إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلاَّ عُشْرُ صَلاَتِهِ تُسْعُهَا ثُمُنُهَا سُبُعُهَا سُدُسُهَا خُمُسُهَا رُبُعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا)). ]رواه أبو داود أحمد وابن حبان[

Daripada ‘Ammar bin Yasir, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya pasti akan ada seseorang yang beredar (dari solatnya), dan tidaklah ditulis untuknya (ganjaran pahala) melainkan satu persepuluh dari solatnya, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga dan atau separuh dari solatnya.” 
    [HR Abu Dawud, Ahmad dan Ibnu Hibban]


Pengajaran ayat dan hadith:
1.  Nilai kejayaan yang sebenar bagi setiap manusia adalah mengikut ukuran Allah bukan ukuran manusia. Dan ukuran kejayaan manusia ialah terletak pada solatnya, samada  betul, sempurna dan khusyu’ atau sebaliknya.

2.   Kejayaan yang di maksudkan dalam al-Quran ialah berjaya mendapat syurga dan selamat dari api neraka Allah, dan mereka yang betul-betul berjaya hanyalah orang yang khusyu’ di dalam solat mereka.

3.  Ini menunjukkan pentingnya solat yang betul dan khusyu’ kerana khusyu’ adalah  ruh kepada solat, cahayanya dan penyelamat kepada orang yang solat.


4.  Khusyu’ ialah:  Sifat  hina diri, tawaddu’ dan tunduk kepada Allah Azza wa Jalla, serta dapat melahirkan ketenangan pada anggota badan. Tanpa semua sifat ini tidak mungkin seseorang itu khusyu’ di dalam solatnya.

5.   Ketahuilah bahawa khusyuk itu bukan khusus ketika solat sahaja, sebaliknya ia juga di luar solat dan di semua keadaan. Tetapi ia di dalam solat lebih hampir (kepada Allah), ini kerana khusyuk lahir daripada perasaan membesarkan Allah Azza wajalla, rasa gerun kepada kehebatan-Nya dan mengagungkan kekuasaan-Nya. Manakala solat adalah tempat membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya.

6.  Nabi SAW juga pernah bersabda dan menyebutkan tentang solat lima waktu: “(Iaitu) orang yang menyempurnakan ruku’ dan khusyu’ mereka.” Baginda SAW menjadikan khusyu’ sebagai salah satu syarat solat, yang solat tersebut tidak akan sempurna melainkan dengannya.

7.    Barangsiapa yang solat tanpa adanya rasa khusyu’ dalam dirinya, dia adalah seperti orang yang memberi hadiah seorang hamba perempuan yang tidak bernyawa kepada raja. Benarlah kerana khusyu’ merupakan ruh solat.

8.  Apakah faedah yang anda akan dapat sekiranya anda menghadirkan jasad untuk solat, bangun dan rendahkan badan ketika solat, tetapi hati anda  tidak hadir bersama. Sesungguhnya engkau diperintahkan untuk menghadirkan semua sekali sehingga tidak ada sesuatu pun yang ghaib dari engkau. Kadang-kadang engkau menghadirkan hati ketika solat lebih penting daripada jasad engkau. Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad (fizikal) kamu, tidak juga kepada gambaran luar kamu dan harta benda kamu, akan tetapi Dia kepada hati-hati kamu, (dan baginda menunjukkan jari-jarinya ke arah dada baginda) dan amalan-amalan kamu. [Hadith soheh]

9.   Oleh kerana pentingnya khusyu’ maka diwajibkan tama’ninah ketika di dalam solat, ketika sujud di atas anggota sujud, ketika rukuk dan lain-lain. Sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi SAW. Daripada Jabir bin Samurah, Nabi SAW bersabda: “Tenanglah kamu semua di dalam solat.” [HR Muslim] .

10. Diriwayatkan bahawa Allah Ta’ala telah mewahyukan kepada seorang Nabi daripada golongan Bani Isra’il supaya dia berkata kepada kaumnya: Kamu semua datang kepadaku dengan badan-badan kamu, dan kamu memberi kepadaku lidah-lidah kamu (bercakap), sedangkan hati-hati kamu hilang daripadaku? Sungguh batilnya apa yang kamu lakukan kepadaku.

11. Sesungguhnya yang akan ditulis ke atas setiap solat ialah mengikut setakat mana hadirnya hati seseorang ketika solat, dan setakat mana akalnya berakalnya (memahami) apa yang di baca. Daripada Abul Yusri sahabat Rasulullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Antara kamu mungkin ada yang solat dengan sempurna, dan mungkin ada di antara kamu yang (ganjaran) solatnya hanyalah separuh, satu pertiga, satu perempat, satu perlima sehinggalah satu persepuluh.” [HR Al-Nasa’ie]

12. Ketahuilah bahawa orang yang bermunajat tidak akan bermunajat dengan sebenar-benarnya sehinggalah dia mengenal dengan siapa yang dia sedang bermunajat, dan mengapa ia bermunajat serta menghadirkan hatinya ketika bermunajat. Kita sedia maklum bagaimana perasaan dan keadaan seorang hamba ketika dia sedang berdepan dengan seorang pemimpin daripada ahli dunia, bagaimana bergolaknya perasaan dia ketika itu. Sudah tentu dia merasa hinanya diri di depan pembesar tersebut, badannya tunduk kepadanya, anggota badannya berasa tenang, dan hatinya akan hadir untuk mendengar ucapan pembesar tersebut dan menjawab balik apa yang diucap oleh pembesar itu.

13. Maka begitu jugalah dengan seorang hamba ketika dia hendak solat. Hendaklah dia merendahkan darjat dan martabatnya ketika berhadapan dengan Allah SWT, sebagaimana wajibnya ke atas kita untuk menghadapkan wajah ke arah qiblat.

14. ‘Umar al-Khattab RA berkata: Sesungguhnya ada seorang lelaki yang telah berkedut mukanya dalam Islam (tua di dalam Islam), tetapi Allah tidak menyempurnakan (menerima) solatnya. Beliau ditanya: Bagaimana perkara itu boleh terjadi? Beliau menjawab: Dia tidak menyempurnakan khusyu’, tawaddu’ dan menghadap kepada Allah ‘Azza wa Jalla di dalam solatnya.

 15. ‘Ubadah bin al-Samit berkata: Perkara pertama yang akan diangkat daripada manusia adalah khusyu’. Hampir-hampir engkau memasuki masjid untuk solat berjemaah tetapi engkau tidak mendapati seorang pun yang solat dengan khusyu’.

16. Was-was di dalam solat merupakan suatu perkara yang biasa. Ia pasti akan datang kepada sesiapa sahaja. Dan untuk menolaknya secara keseluruhan adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi, melainkan kepada mereka yang diberi kekuatan oleh Allah dengan kekuatan keimanan dan keyakinan. Oleh itu setiap orang hendaklah berusaha bersungguh-sungguh (mujahadah) untuk menolak setiap bisikan dan waswas syaitan ketika solat. Setelah ia berusaha bersungguh-sungguh untuk menolak bisikan dan was-was itu, maka insya Allah ia tidak akan dicela.


Cara-cara mendapat khusyu’ dalam solat dan tanda-tandanya:
1.  Kata Yusof bin Habib: Kami berkata kepada Jundub bin Abdullah: Wasiatkanlah kepada kami. Lalu ia berkata:  Aku wasiatkan kamu dengan  (selalu membaca) al-Quran, kerana sesungguhnya ia adalah nur (cahaya) di malam yang gelap dan petunjuk di siang hari yang bersinar, aku mewasiatkan kamu supaya sentiasa bermujahadah dan mengejar apa yang tertinggal serta bersedia untuk yang akan datang. Dan apabila kamu berdiri di hadapan Tuhan kamu untuk solat, maka jadikanlah syurga dan neraka di hadapan kamu, Mizan dan Titian Sirat di sekitar kamu seolah-olah engkau membaca ayat Allah yang maksudnya:

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal yang baik; Sesungguhnya kami sekarang telah yakin".                                                                                 [Al-Sajadah:12]

2.     Kata Uwais Al-Qarni : Apabila engkau mendirikan solat, maka jadilah seolah-olah engkau telah membunuh seluruh penduduk bumi dan langit. (Iaitu di sebabkan ketakutan engkau dan kegerunan engkau terhadap Yang engkau sembah).

3.   Kata Marwan bin Muhammad : Tidak pernah aku melihat Sai’d bin Abdul A’ziz sekali-kali dalam solatnya melainkan aku melihat air matanya bercucuran di atas tikar, dan berkata Abu Abdul Rahman Al-Asadiy kepadanya: Apa tangisan ini yang engkau tangisinya di dalam solat? Lalu ia menjawab: Apa soalan kamu ni? Jawabnya: Wahai pakcikku! Semuga yang demikian itu akan memberi manfaat kepadaku. Lalu Uwais menjawab: Wahai anak buahku! Aku tidak pernah mendirikan solat melainkan dibayangkan di hadapanku neraka Jahannam.

4.      Seorang lelaki daripada orang Ansar telah berwasiat kepada anaknya:  Dan solatlah kamu seolah-olah engkau akan meninggalkan dunia ini dan engkau tidak akan solat lagi selepas ini untuk selama-lamanya.

5.  Diriwayatkan oleh ‘A’ishah –radiyallahuanha, adalah Rasulullah S.A.W apabila datangnya solat, seolah-olah ia tidak pernah kenal kami dan kami pun tidak pernah kenal dia (Iaitu disebabkan sibuk dengan urusan solat  serta khusyuk).

6.    Sabda Rasulullah SAW :  Telah dijadikan solatku itu sebagai penyejuk kepada hatiku.” [HR AL-Nasa’ei]

7.   Sabda baginda s.a.w.  kepada Bilal: “Wahai Bilal! Rehatkanlah kami dengan solat”. (Ini kerana solat yang betul dan khusyuk akan memberi kerehatan dan ketanangan yang hakiki).

8.   Kata Syeikul Islam Ibn taymiyyah: Di dunia ada syurga yang sesiapa yang tidak dapat memasukinya, maka dia tidak akan dapat masuk ke syurga akhirat.

9.  Diriwayatkan daripada ‘Atta’ bin Abi Rabah, katanya: Aku mendengar Abu Hurayrah berkata: Sesungguhnya seseorang hamba itu berdiri untuk solat, dia sebenarnya sedang berhadapan dengan al-Rahman Subahanahu wa Ta’ala. Lalu apabila dia berpaling dalam solatnya, Tuhan ‘Azza wa Jalla akan berfirman kepadanya: “Wahai anak Adam, Kepada siapa engkau berpaling? Adakah engkau berpaling kepada Tuhan yang lebih baik  daripada Aku? Berpaling dan mengadaplah kepada-Ku kerana Aku pasti lebih baik  daripada orang yang engkau berpaling kepadanya.” [HR AL-Bazzar]

10. Kata Malik dalam kitab Muwatta’ : Daripada A’isyah RA telah berkata: Abu Jahm bin Huzaifah telah menghadiahkan kepada Rasulullah SAW sejenis kain syamiyah (dari negeri syam) yang memupunyai corak seperti bendera, lalu baginda terpandang ketika dalam solatnya. Manakala selesai solat baginda bersabda: Pulangkan kembali kain ini kepada Abu Jahm, kerana sesungguhnya aku melihat coraknya ketika di dalam solat, maka hampir-hampir ia melalaikan aku. [HR Malik dan Ahmad]

11. Dari Abdullah bin Abi Bakr: Sesungguhnya seorang lelaki Ansar sedang solat di sebuah kebun kurma dan buahannya yang sedang masak dan ranum di salah sebuah lembah di Madinah. Lalu ia memandang kepada buah-buahan itu sehingga ia mengkagumkannya. Kemudian ia kembali semula dalam solatnya, tiba-tiba ia terlupa berapa rakaat yang ia telah solat. Maka ia berkata: Sesungguhnya hartaku (kebun) telah menimbulkan fitnah kepadaku, lalu ia datang kepada Uthman bin Affan (ketika itu beliau adalah khalifah) dan berkata kepadanya: Kebunku ini aku sedekahkan dan jadikanlah ia sebagai amal kebaikan. Maka Utman menjualnya dengan harga 50,000. Akhirnya kebun itu terkenal dengan nama kebun 50,000.[HR Malik dan Ibn Al-Mubarak]

12. Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang mensia-siakan solatnya, dia sebenarnya adalah orang yang paling hina di sisi Allah.”

13. Ketahuilah bahawasanya firman Allah Ta’ala: “Dan orang-orang yang memelihara solat-solat mereka.” [Surah al-Ma’arij, ayat 34] membawa maksud “ Engkau memelihara waktu solat dan memelihara segala amalan solat daripada bacaan, qiyam, ruku’ dan sujudnya, serta perkara-perkara lain seperti tama’ninah, tenang di dalam solat, hadirkan hati ketika solat dan kesemua amalan-amalan yang berkaitan dengan solat.

14. ‘Umar al-Khattab juga pernah berkata: Sesungguhnya perkara yang paling penting di sisiku adalah solat. Barangsiapa yang memeliharanya dan berusaha untuk memeliharanya, maka dia sebenarnya telah menjaga agamanya. Dan barangsiapa yang mensia-siakannya, dia sebenarnya telah mensia-siakan agamanya.
 
15. Hasan al-Basri – radiyallahu anhu – berkata: Wahai anak Adam, apalagi yang dapat menghinakan kamu daripada agama kamu apabila solat kamu dilakukan dengan sambil lewa.

16. Diriwayatkan bahawa Hasan – rahimahullah – pernah melihat seorang lelaki yang bermain-main dengan janggutnya ketika solat, lalu dia berkata: Jikalau hati ini khusyu’, nescaya tangannya juga akan khusyu’.

17. Hasan juga pernah melihat seorang lelaki yang bermain-main dengan batu ketika solat sambil berdoa: Ya Allah, kahwinkanlah aku dengan gadis hurul ain. Lalu Hasan berkata kepadanya: Alangkah buruknya cara engkau bercakap dengan Tuhan. Adakah patut engkau meminta supaya dikurniakan hurul ain sedangkan engkau sedang bermain-main dengan batu?

18. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh pada perintah Allah.” [Surah al-Hajj, ayat 34] Al-Mukhbitin bermaksud: Orang-orang yang tawaddu’ (merendah diri kepada Allah). Iaitu seseorang itu hanya akan tunduk patuh kepada Allah apabila dia ada sifat tawaddu’ dan merendah diri.

19. Diriwayatkan daripada Muslim bin Yasar – rahimahullah – bahawa apabila dia ingin mendirikan solat, dia berkata kepada ahli keluarganya: Cakaplah apa sahaja yang kamu sukai, kerana sesungguhnya aku tidak akan mendengar apa yang kamu bualkan.

20. Diriwayatkan juga bahawa Muslim bin Yasar pernah bersolat di sebuah masjid di Bushrah, lalu satu bahagian masjid tersebut telah runtuh, tetapi beliau tidak sedar perkara itu terjadi. Diriwayatkan juga bahawa rumahnya pernah terbakar sedangkan dia sedang solat pada ketika itu. Maka orang ramai menjerit meminta tolong sehinggalah api tersebut berjaya dipadam. Setelah beliau selesai daripada solatnya, isterinya memberitahu tentang perkara yang berlaku, lalu dia berkata: Aku tidak sedar perkara itu terjadi.


21. Abu Bakr bin ‘Iyash berkata: Aku melihat Habib bin Abi Thabit ketika solat, seolah-olah dia seperti mayat (yakni daripada khusyu’nya dan sifat takutnya ketika berhadapan dengan Allah Ta’ala).

22. Said bin Jubayr berkata: Aku tidak kenal siapa yang solat di sebelah kananku atau kiriku selama 40 tahun sejak aku mendengar Ibnu ‘Abbas berkata: Khusyu’ di dalam solat ialah seorang yang solat itu tidak mengenal siapa yang solat di sebelah kanannya atau kirinya.

23. Diriwayatkan bahawa ‘Aliy bin Abi Talib RA berubah wajahnya ketika masuknya waktu solat, dan dia berkata: Telah datang waktu untuk menunaikan amanah yang telah dikemukakan tanggungjawab amanah tersebut kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), lalu mereka enggan untuk memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya). [Rujuk surah al-Ahzab, ayat 72]

24. Sufyan al-Thauri berkata: Barangsiapa yang tidak khusyu’ di dalam solat, maka rosaklah solatnya.

25. Rasulullah SAW sering kali menangis di dalam solat, sebagaimana di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Syakhir: Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika baginda sedang solat, dan baginda menangis teresak-esak seperti bunyi air yang sedang mendidih di dalam periuk. [HR Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’ie]

26. Nabi SAW pernah bersabda kepada ‘A’ishah: “Suruhlah Abu Bakar mengimamkan orang ramai.” Maka ‘A’ishah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Bakar adalah seorang yang sangat lembut hatinya. Apabila beliau membaca al-Qur’an, beliau pasti tidak dapat mengawal air matanya. [Muttafaqun ‘alayh]

27. Kata Abdullah bin Syaddad: Aku mendengar ‘Umar menangis teresak-esak seperti tangisan seorang anak kecil ketika beliau sedang mengimamkan solat, sedangkan aku berada di saf yang paling akhir. Waktu itu ‘Umar membaca ayat: “(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya Aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah…” [Yusuf, ayat 86] Para sahabat yang lain juga menangis, begitu juga seluruh kaum Muslimin.


Antara cara mendapat khusyuk dalam solat.
1. Kata Abu Sulaiman Al-Daraani: Apabila kamu hendak mendirikan solat, Ingat dan yakinlah kepada siapa kamu mengadap? Di hadapan siapa kamu berdiri?  Apabila telah yakin dengan sungguh-sungguh bahawa kita sedang menghadap Allah, berdiri di hadapan Allah dan bersungguh-sungguh melawan bisikan syaitan, maka setelah selesai solat hendaklah beristighfar kepada Allah, semoga Allah akan menerima bahagian awal dan akhir solat dan mengampunkan dengan rahmat-Nya bahagian pertengahan solat kita.

2.  Memohon bantuan dan pertolongan Allah untuk melawan bisikan-bisikan syaitan ketika solat dengan penuh yakin kepada kekuatan Allah ke atas setiap musuh-Nya.

3.  Meringankan solat sekiranya solat yang panjang boleh menjadikan was-was atau terganggu dengan bisikan syaitan.

4.      Setiap kali sebelum solat hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghilangkan semua sebab yang boleh menyebabkan solat tidak khusyuk. Antaranya melewatkan solat tanpa uzur syar’ie, solat dalam keadaan lapar, menahan kentut atau sakit perut, solat di tempat yang bising.

5.      Mendahulukan solat-solat sunat sebelum memulakan solat fardu.

6.  Memahami setiap apa yang dibaca di dalam solat samada ayat-ayat al-Quran, zikir ataupun wirid.


Faedah:
1.      Daripada Abu Hurayrah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang sempat ruku’ bersama imam ketika solat, maka dia telah mendapat rakaat tersebut di dalam solat.” [HR Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’ie]

2.     Daripada Abu Hurayrah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang sempat ruku’ ketika waktu Subuh sebelum terbitnya matahari, maka dia telah sempat menunaikan solat Subuh. Dan barangsiapa yang sempat ruku’ ketika waktu Asar sebelum terbenamnya matahari, maka dia telah sempat menunaikan solat Asar.” [HR al-Bukhariy]