Pages

Friday 24 August 2018

Benarkah Kemunculah Hadis Palsu Bermula Sejak Zaman Nabi Muhammad s.aw?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين

Soalan:

Ada pandangan yang mengatakan bahawa kemunculan hadis palsu telah bermula sejak zaman Nabi s.a.w berdasarkan hadith : "sesiapa yang berdusta ke atas diriku maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka..." adakah pandangan ini benar?





Pengenalan
Kata-kata yang direka oleh seseorang yang disandarkan kepada kepada junjungan mulia Rasulullah s.a.w merupakan hadis palsu ataupun maudhu. Ianya palsu kerana, kata-kata tersebut bukannya datangnya daripada Nabi Muhammad s.a.w, tetapi disandarkan kepada Nabi s.a.w untuk mencapai sesuatu hasrat dan cita-cita tertentu.  Terdapat juga dikalangan masyarakat yang salah faham terhadap makna (Faizal bin Ahmad Shah 2017) dan kata para sahabat, tabi’in atau ulama juga boleh menjadi hadis palsu yang bukan datangnya daripada Nabi Muhammad s.a.w. Namun, Persoalan tersebarnya hadis-hadis palsu adalah satu perkara yang menjadi cabaran kepada umat Islam masa kini mendepaninya dengan ilmu pengetahuan yang mantap. Isu utama mengapa hadis palsu ini muncul telah dibahaskan dan diperincikan oleh para ulama. Antara faktor utamanya ialah (Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah 2003):

a)  Kemuculan musuh-musuh Islam yang berdendam dan perasaan dengki yang tumbuh di hati pemimpin-pemimpin seperti kerajaan Qaisar dan Kisra ke atas pemerintah Islam dan umat Islam yang inginkan daulah Islamiyyah berpecah-belah. Taktik mencipta hadis palsu adalah bertujuan untuk melemahkan pemikiran dan merosakkan akidah umat Islam.

b)  Perpecahan dan perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam sendiri. Implikasi daripada peristiwa Majlis Tahkim di antara Saidida Ali r.a dengan Muawiyyah telah menyebabkan munculnya golongan Syiah dan Khawarij. Di mana, golongan Syiah yang terdiri daripada al-Rafidah telah mencipta hadis mengenai kelebihan ahl al-bayt dan merendahkan pada sahabat.

c) Fahaman Asabiyyah dan ketaksuban kepada kenegerian, keturunan dan suku puak juga mempengaruhi faktor kemunculan hadis palsu. Di mana lahirnya golongan Mawali satu kelompok golongan yang mempunyai rasa dengki ke atas golongan Arab kerana golongan Arab ini terlalu taksub dengan kelebihan bangsa mereka. Tambahan pula ramai dikalangan pegawai-pegawai yang dilantik menjadi adalah daripada golongan Arab oleh pemerintah Bani Umaiyyah menyebabkan golongan Mawali ini mencipta hadis-hadis palsu mengenai ketinggian taraf, puak dan bahasa mereka.

d)    Munculnya tukang-tukang cerita (al-Qasas) yang menokok tambah serta mereka-reka hadis palsu supaya dapat menarik minat orang ramai di dalam majlis-majlis dan halaqah yang diadakan oleh tukang-tukang cerita ini.

e)  Sifat kecenderungan untuk menggalakkan orang ramai untuk membuat kebaikan yang tercetus terutamanya dikalangan para ahli zuhud juga telah menyebabkan munculnya hadis palsu. Golongan ini telah mencipta hadis berkaitan dengan tarhib dan targhib. Hadis-hadis palsu ini dicipta dengan tanggapan supaya dapat menghampiri Allah s.w.t, berbakti kepada Islam untuk beribadat.

f)    Perselisihan dalam mazhab fiqh dan ilmu Kalam juga menjadi faktor mengapa hadis palsu muncul. Hadis-hadis palsu dibuat supaya boleh menguatkan hujah pandangan mazhab masing-masing. Ia banyak berlaku pada pemerintahan khalifah Abassiyyah

g)  Terdapat juga hadis-hadis palsu yang dicipta kerana hasrat ingin berdampingan dengan pemerintah. Umpamanya di dalam kisah Ghiyath bin Ibrahim dengan khalifah al-Mahdi. Disebabkan khalifah amat gemarkan burung merpati, Ghiyath telah menambah hadis asal “….. tiada perlumbaan kecuali pada memanah dan menunggang kuda”.. ditambah “dan burung yang bersayap”.

Kesemua faktor-faktor kemunculan hadis palsu yang diutarakan oleh para ulama tersebut di atas, adalah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Naumn, terdapat juga dikalangan sarjana Islam yang berpendapat bahawa hadis-hadis palsu telahpun muncul bermula sejak zaman Nabi s.a.w berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w dari Al Mughirah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.”

[HR. Bukhari no. 1291 dan Muslim no. 4]

Keterangan hadis di atas ialah menjelaskan bahawa pendustaan ialah memberitahu sesuatu yang bercanggah dengan hakikatnya yang sebenar. Walaupun orang yang tidak sengaja membuat pendustaan tidak berdosa, tetapi berkemungkinan ia berdosa dengan memperbanyakkan kesilapan. Ini kerana, memperbanyakkan kesilapan adalah suatu kesalahan (Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam 2007).

Menjawab soalan kuiz ini, pendapat yang mengatakan bahawa hadis-hadis palsu telahpun muncul bermula sejak zaman Nabi s.a.w berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w di atas adalah pendapat yang datangnya daripada Ahmad Amin (Ahmad Amin 1968). Di dalam buku yang ditulis olehnya yang bertajuk Fadjar Islam iaitu sebuah buku yang mengupas perkembangan fikiran dikalangan umat Islam sejak zaman permulaan dakwah Nabi Muhamamd s.a.w. hingga ke-era permerintahan kerajaan Umawy. Buku Fadjar Islam ini mempunyai 392 halaman di mana kandungannya mengandungi 6 bab iaitu bab 1: Bangsa Arab di masa Jahiliyyah, bab 2 : Agama Islam, bab 3 : Bangsa Parsi dan pengaruhnya, bab 4: Pengaruh Yunani Romawi, bab 5: Pemerintahan Kebangkitan Ilmu Keagamaan dan bab 6: Golongan-golongan Keagamaan. 

Berkenaan dengan pandangan beliau tentang kemunculan hadis palsu telah muncul sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi bersandarkan kepada hadis Rasullullah s.a.w "sesiapa yang berdusta ke atas diriku maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka..." boleh dirujuk dihalaman 102 di mana beliau telah menulis:

“Nabi Muhammad melihat manusia sudah berjungkil balik kehilangan akal fikirannya sehingga tidak dapat menampung apa yang perlu difikirkan, dan tidak dapat memahami soal-soal yang sebenarnya sangat jelas dan terang. Cara berfikir manusia sudah terlampau rosak. Soal-soal teori dipandang oleh manusia sebagai hal yang penting dan mendesak sedangkan soal yang sebenarnya penting dan esensial dianggap sebagai soal yang diragukan sedangkan soal-soal yang jelas dan pasti malah dianggap sebagai soal yang pasti dan diyakini kebenarannya” (Ahmad Amin 1968).

Daripada perenggan di atas, penulis berpendapat bahawa beliau sebenarnya menggambarkan bahawa hancurnya seluruh aspek kehidupan masyarakat yang disebabkan kerana kekeliruan dalam bidang akidah dan pola pemikiran yang berpunca runtuhnya akhlak manusia. Oleh sebab itu, beliau mengemukakan pemalsuan hadis adalah bermula pada masa Rasulullah s.a.w lagi dengan membawa bukti hadis "sesiapa yang berdusta ke atas diriku maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka..." sebagai bukti hujah beliau.

Namun begitu, hujah beliau tidak dapat adalah lemah bahawa berlakunya pendustaan ke atas hadis-hadis Nabi s.a.w semasa hajat baginda s.a.w. Ini kerana dari aspek sejarah di mana berdasarkan maklumat sejarah, tiada seorang sahabatpun yang memalsukan satu kalimat baginda s.a.w. Sekiranya hal tersebut berlaku, sudah tentu para sahabat menerangkannya (Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah 2003).

Untuk menangkis pandangan dan hujah Ahmad Amin, para sarjana berusaha mengumpulkan dan mengkaji hadis-hadis yang berkaitan supaya masyarakat tidak terpesong dengan pandangan yang telah diberi oleh Ahmad Amin. Para sarjana telah memberi hujah antara lain berdasarkan kepada hadis sahih

عَنْ عبدالله بن عمر وضيالله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: بلغوا عني ولو آية وحدثوا عن بني إسر ائيل ولاحرج


            Maksudnya: Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a, sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat, dan ceritakanlah mengenai Bani Israil. Tiada sebarang kesempitan dosa”.
[Riwayat al-Bukhari]

Keterangan hadis di atas ialah menjelaskan tentang kewajipan menyampaikan ilmu. Ayat bermaksud nasihat atau pedoman yang membezakan perkara yang baik dan buruk. Nabi s.a.w telah menegah daripada menceritakan tentang Bani Israil ketika hukum hakam dan tapak agama belum belum kukuh, kerana dikhuatiri fitnah. Apabila tiada lagi perkara yang perlu dikhuatiri maka diizinkan agar boleh diambil iktibar (Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam 2007).

Ibn Hajar di dalam Jawiah Dakir dan Mohd Napiah Abdullah (Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah 2003) menjelaskab bahawa apa yang hendak disampaikan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis ini ialah:

i       Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat dan orangIslam supaya meriwayatkan hadisnya walaupun satu ayat

ii   Para sahabat dan orang Islam diberi keharusan menceritakan berkenaan dengan bani Israil yang diketahui benar

iii    Rasulullah s.a.w memberi amaran supaya para sahabat dan umat Islam tidak membuat pendustaan ke atas baginda kerana azab siksa kepada mereka yang mendustakan Nabi s.a.w ialah siksa api neraka

Rumusan daripada perbincangan di atas, baginda s.a.w bersabda sedemikian bukanlah menunjukkan bahawa pemalsuan hadis berlaku di zaman hayat baginda s.a.w masih ada. Ahli-ahli hadis dan sarjana Islam berpendapat bahawa pemalsuan hadis berlaku selepas wujudnya fitnah semasa kerajaan Islam di zaman khalifah Uthman bin Affan. Semenjak daripada itu, maka bermulalah perkembangan pemalsuan hadis pada abad ke-2 dan ke-3 hijrah hingga sekarang. Kesimpulan penulis ini disokong oleh hujah Dr Muhammad Arif pensyarah bagi subjek Kajian Hadis Masa Kini bahawa generasi awal sahabat telah meletakkan asas dalam berinteraksi dengan hadith setelah sumber syariat ini diancam dengan kemunculan hadith-hadith palsu. Sebelum itu, generasi sahabat tidak pernah melakukan pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w dan saling menyampaikan kandungan hadith dikalangan sahabat dengan penuh amanah (Muhammad Arif Yahya 2016).



Rujukan
Ahmad Amin.  1968. Fadjar Islam. Jakarta: PT. Bulan Bintang.

Faizal bin Ahmad Shah.  2017. Penyelewengan Terhadap Makna Hadith Dan Kesannya Kepada Umat Islam. Penyelewengan Terhadap Makna Hadith Dan Kesannya Kepada Umat Islam, Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah.  2003. Kajian Hadis Masa Kini. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhammad Arif Yahya.  2016. Manhaj Ahl al-Hadith : Peranan dan Sumbangannya dalam Ketamadunan Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 283–290.

Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam.  2007. 300 Hadis Bimbingan : Ke arah mencari reda Allah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.

 Zulkifli Mohd Yusoff, Ishak Hj Suliaman, Monika @ Monirah Abd Razak & Anwar Ridwan Zakaria. 2009. Khazanah al-Qur’an & al-Hadith Nusantara. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).