Pages

Wednesday 16 November 2011

مَنْ خَدَّ وَ خَدَ


Keputusan peperiksan akhir bagi semester 3 telahpun keluar. Agak kecewa kerana pencapaian kertas Bahasa Arab hanya A-. Memang ada beberapa ruang jawapan yang penulis tinggalkan ketika menjawab soalan tersebut. Kata pepatah Arab  مَنْ خَدَّ وَ خَدَ [for those who are struggle, he will succeed]. Penulis akui penulis kurang memberi tumpuan kepada subjek Bahasa Arab. Antara faktornya mungkin kerana ianya tidak diambil kira didalam pengiraan CGPA. Begitu juga untuk kertas Teks Pengajian Al-Quran, penulis hanya skor B. Alhamdulillah Teks Pengajian Al-Hadith dan Hadith Mawdu’I, penulis berjaya skor A.
Berkaitan dengan pepatah Arab   مَنْ خَدَّ وَ خَدَ  ini, bagi pendapat penulis setiap kejayaan bukanlah hanya terletak kepada kesungguhan. Kesungguhan mungkin salah satu faktor untuk mencapai kejayaan. Pencapaian sesuatu kejayaan adalah sangat subjektif. Yakni kejayaan diukur dengan pelbagai standard piawaian tertentu. Apabila kita melepasi standard tersebut, maka kita boleh dikatakan berjaya.
Dalam kaedah matematik sesuatu element penentu itu adalah bergantung kepada beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan sesuatu perkara itu boleh terjadi. Ianya diukur dengan formula:
ƒ(χ) = χ1 + χ2 + χ3 + χ4 + χ n
Contohnya apabila kita mengkaji gelagat pengguna didalam aspek pembelian telefon mudahalih. Antara faktor mengapa pengguna membeli telefon mudahalih tersebut, mungkin disebabkan jenamanya, mungkin juga disebabkan harganya dan mungkin juga disebabkan ciri-ciri telefon mudahalih itu sendiri.
Di dalam kehidupan kita, akan ada ramai orang yang akan sentiasa bersedia untuk menjadi kayu pengukur untuk kita dari perspektif mereka. Adakala ianya boleh berfungsi sebagai cermin kepada kita, adakala ianya akan bersifat tidak seimbang. Ini kerana ukuran tersebut dibuat berdasarkan standard piawai orang tersebut sendiri. Berbalik kepada topik kita. kejayaan adalah satu bahasan yang sangat subjektif, penulis suka memetik hadith Rasulullah s.a.w :
 اَذَ أَمَرْتُكُمْ بِأمْرِ فَأتُو مِنْهْ مَا اْستطَعْتُمْ [HR Muaz r.a]
yang bermaksud “Apabila aku memerintahkan kamu mengerjakan sesuatu, maka lakukanlah mengikut kemampuan kamu.
Antara pengajaran daripada hadith diatas, tidak dinafikan bahawa kesungguhan merupa faktor kejayaan, dengan melakukan itu dan ini. Tetapi Islam tidak menyusahkan umatnya dengan menyuruh melakukan itu dan ini didalam sesuatu masa sehingga usaha itu tidak disertakan dengan kualiti. Paling parah jikalau banyaknya usaha yang kita lakukan tidak hadir keikhlasan dihati. Pada pendapat penulis, kita boleh mengikut standard sama ada formula matematik, tindakbalas kimia, nasihat orang ramai atau apa jua bentuk kayu ukuran yang lain. Namun garis sempadan yang paling sempurna yang harus kita letakkan sebagai standard piawaian di dalam kehidupan kita ialah sunnah Rasulullah s.a.w. Bagindalah pemimpin yang membimbing kita untuk mendapat redha Allah.

Monday 14 November 2011

Perginya abah Musa


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Pada Jumaat 11 Nov 2011, jam 9.30 am, ketika dipejabat, penulis menerima panggilan telefon daripada Kak Inor memaklumkan bahawa abah Musa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 7.30 am. Penulis terus menghubungi abah dan adik beradik yang terdekat tentang berita kematian ini. Penulis tidak dapat menghubungi adik yang bongsu kerana tiada nombor beliau didalam simpanan. 

Setelah mendapat pelepasan keluar daripada pejabat, penulis dan adik beradik bertolak ke Segamat. Kami sampai di sana tepat jam 12.30 tengahari. Walau bagaimanapun  kami tidak sempat menatap wajah abah Musa kali terakhir kerana jenazahnya telah disempurnakan dan dikebumikan pada jam 11 am hari yang sama. Memang rezeki abah Musa meninggal dan dikebumikan dengan tidak melangkau waktu solat.  الحمد لله

Untuk rekod arwah abah Musa "pergi" selepas hampir 4 tahun arwah ibu pergi. Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga kami dan sukar untuk dicari ganti. Dengan ini marilah sama-sama kita hadiahkan pahala bacaan الفَاتِحَة dan mendoakan agar roh mereka berdua sentiasa dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.  ١ن شاء الله

Friday 11 November 2011

Keutamaan membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat

Assalamualaikum,

Malam tadi ialah malam Jumaat. Seperti malam-malam sebelumnya kelas mengaji Al-Quran yang penulis hadiri akan bermula selepas solat Isya'. Selepas solat Isya' berjemaah di Masjid Al-Azhar, penulis seperti biasa turun ke BS 10 untuk mengaji Al-Quran. Seperti lazimnya Ustaz Abdus Salam telah sedia menunggu didalam kelas. Tidak seperti malam sebelumnya Ustaz Abdus Salam meminta penulis untuk bersama beliau bertalaqi membaca Surah Al-Kahfi.

Ustaz Abdus Salam menyebut Hadith Rasulullah s.a.w:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ

"Sesungguhnya di antara hari kalian yang paling afdhal adalah hari Jum'at. Pada hari itu Adam diciptakan dan diwafatkan, dan pada hari itu juga ditiup sangkakala dan akan terjadi kematian seluruh makhluk. . . . " (HR. Abu Dawud, an Nasai, Ibnu Majah, Ahmad, dan al Hakim dari hadits Aus bin Aus).

Semoga amalan penulis diterima Allah s.w.t dan ganjaran pahalanya dihadiahkan untuk almarhum ibu.



Wednesday 9 November 2011

Tadabbur Ayat 55 - Surah Al-Maidah

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
بسم الله الرحمن الرحيم

Selamat bertemu kembali. Pagi tadi ketika mengemas "car boot", penulis terjumpa Risalah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq keluaran Mac/Apr 2011. Ketika penulis membelek-belek risalah tersebut, mata penulis terpaku pada halaman 29, iaitu satu nota bertajuk Siapakah Penolong Kamu?
Ringkas sahaja notanya. Ia hanya membutirkan 5 perkara iaitu:
  1. Allah dan RasulNya
  2. Orang-orang beriman
  3. Yang mendirikan Solat
  4. Yang menunaikan zakat
  5. Yang ruku' - tunduk menjunjung perintah Allah
 [Al-Maidah 55]

Mengambil kesempatan waktu rehat hari ini, penulis membuka Tanzil Al-Quran Surah Al-Maidah:55. 

Allah s.w.t telah memaklumkan akan siapakah penolong kita sebagaimana yang telah ternukil di dalam Al-Quran:

سُوۡرَةُ المَائدة
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٲكِعُونَ (٥٥)


Maksudnya: Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). [Al-Maidah: ayat 55]

Izinkan penulis berkongsi asbabunuzul ayat diatas. Ayat 55 daripada surah Al-Maidah ini  merupakan satu ayat yang diturunkan oleh Allah s.w.t ketika peperangan diantara tentera muslimin menentang bani Qainuqa 
Ayat diatas dinyatakan dengan jelas bahawa: 
1. Allah s.w.t dengan keEsaaNya sentiasa akan membantu hambaNya dalam bentuk hidayah, kebahagian rumahtangga, keharmonian dengan jiran tetanga, rahmatNya, perasaan tenteram di jiwa dsb
2. KekasihNya Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu perbanyakkanlah selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
2. Solat fardu & solat sunat (solat sunat untuk menampung solat fardu).
3. Zakat & sedekah
4. Al-Quran (menjadi sahabat kepada kita untuk 3 alam yakni alam dunia, alam kubur dan alam akhirat)

Siapa penolong kita ketika didunia, dialam kubur dan dialam akhirat? Allah dengan sifat RahmanNya telah memberi kita jawaban sebagaimana didalam Al-Quran. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan yang mendapat pertolongan Allah. Semoga amalan kita pada hari ini diterima Allah s.w.t. InsyaAllah.

Tuesday 8 November 2011

Iktibar Daripada Perjanjian Hudaibiyyah Pada Peringkat Awal Dakwah Rasulullah s.a.w

1.0       Pendahuluan


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah S.A.W serta keluarga dan para sahabat baginda sekalian

Tujuan kertas kerja di buat adalah untuk memenuhi kehendak kerja kursus bagi subjek Iktibar Sejarah Rasul. Sirah hidup Baginda Rasullullah S.A.W merupakan teladan yang paling baik.  Dalam sepanjang hayat Baginda S.A.W banyak kisah-kisah yang boleh diangkat untuk dijadikan iktibar dan panduan hidup kita. Namun dalam banyak  kisah-kisah tersebut, saya memilih untuk mengupas tentang Peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah sebagai topik perbincangan. Semoga tulisan ini akan menambah kecintaan kita terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. InsyaAllah.

2.0       Latar belakang Perjanjian Hudaibiyyah


Perjanjian Hudaibiyah telah berlaku pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 hijrah dan dimeterai di antara pihak Musyrikin Makkah dengan Rasulullah S.A.W. Perjanjian ini dinamakan sebagai Perjanjian Hudaibiyyah sempena nama tempat perjanjian tersebut ditandatangani.

Perjanjian Hudaibiyyah ini telah termeterai berikutan daripada Rasulullah S.A.W bermimpi bahawa Baginda bersama para sahabat memasuki Masjidil-Haram, mengambil kunci Ka’bah, melaksanakan tawaf dan umrah, sebahagian sahabat ada yang bercukur dan sebahagian yang lain ada yang memendekkan rambutnya Rasullullah telah menyampaikan mimpi Baginda kepada para sahabat dan para sahabat sangat gembira mendengarnya.

Baginda Nabi Muhammad S.A.W juga telah turut menyatakan hasrat Baginda untuk menunaikan Umrah di Baitul Haram pada tahun tersebut. Berita ini disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan perasaan gembira oleh para sabahat. Ini kerana para sahabat berpendapat bahawa pada tahun tersebut mereka boleh memasuki kota Makkah untuk menunaikan ibadah umrah dan haji. Selain daripada itu, perasaan rindu kepada kampung halaman setelah sekian lama meninggalkan kota Makkah kerana berhijrah ke Madinah mengikut Rasullullah S.A.W juga akan terubat. Baginda S.A.W juga turut mengkhabarkan kepada seluruh semenanjung Tanah  Arab bahawa umat Islam akan bertolak ke Makkah pada bulan Zulkaedah untuk menunaikan haji pada bulan Zulhijjah. Pada bulan Mac tahun 628 M, Baginda Rasullullah S.A.W bersama kira-kira 1,400 kaum Muslimin Madinah berangkat ke Makkah untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah


2.1       Persiapan Rasulullah S.A.W Mengerjakan Haji & Umrah


Informasi tentang hasrat Rasullullah S.A.W dan kaum Muslimin untuk menunaikan haji dan umrah di Baitul Haram begitu cepat tersebar kepada kaum kafir Quraisy Makkah. Mereka telah menghantar pasukan di bawah di bawah pimpinan Khalid Bin Al-Walid untuk melakukan berbagai usaha untuk menghalang kaum Muslimin memasuki Masjidil-Haram.

Justeru itu, Rasullullah S.A.W telah menyusun strategi untuk menggunakan jalan alternatif iaitu melalui celah-celah gunung di antara Al-Hamsy menuju Tsaniyyatul-Murar sebelum menuju ke Hudaibiyyah yang mana laluan tersebut adalah lebih sukar bagi menghindari daripada bertembung dengan pasukan Khalid Al-Walid.

Apabila rombongan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasullullah S.A.W tiba di Hudaibiyyah, kaum Musyrikin mendapat tahu hal ini, wakil mereka datang menemui Rasulullah S.A.W untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Makkah. Maka, Rasulullah menghantar Uthman bin Affan RA ke Makkah untuk menjelaskan tujuan tersebut kepada wakil pihak Musyrikin itu.

Uthman bin Affan ditahan dan tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Orang Islam pun berikrar untuk menuntut atas kematian itu. Ikrar ini dikenali sebagai Baiah Ridhwan. Apabila mendengar berita ini, pihak Musyrikin pun membebaskan Uthman bin Affan dan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan orang Islam. Perundingan ini membawa kepada berlakunya "Perjanjian Hudaibiyah".

Seruan Nabi S.A.W itu, sedikit sebanyak memberi satu gambaran kepada dunia Arab bahawa sangkaan mereka yang menyangka, ajaran Nabi S.A.W telah menafikan upacara turun-temurun dan agama yang diamalkan oleh nenek moyang mereka, iaitu menunaikan haji dan Umrah di Makkah adalah sangat meleset.


2.2       Bibit-Bibit Tercetusnya Perjanjian Hudaibiyyah


Dalam memulakan perjalanan, Baginda S.A.W telah berpesan kepada seluruh sahabat yang hendak menunaikan haji agar tidak membawa senjata perang, tetapi cukup sekadar membawa senjata kebiasaan sahaja. Begitujuga, apabila sampai di Zu Al-Hulaifah, baginda S.A.W bersama 1800 orang sahabat telah memakai Ihram yang menandakan perjalanan ke Makkah itu bukanlah bertujuan untuk berperang sepertimana yang disangka kebanyakkan orang Arab ketika itu. Dalam perjalanan ke Makkah, iaitu apabila sampai di satu tempat yang bernama Asfan, Baginda S.A.W diberitahu oleh seorang perisik dari bangsa Khuzaah bahawa orang-orang Kafir Quraish telah mengadakan sekatan jalan raya di kawasan yang berhampiran dengan Makkah, iaitu satu tempat yang bernama Zu Al-Tuwa.

Sekatan jalanraya itu pula, diketuai oleh seorang yang sangat dikenali keperkasaannya dalam menghadapi peperangan, iaitu Khalid bin Al-Walid bersama 200 tentera berkuda. Mendengar berita tersebut, Baginda S.A.W meminta pandangan dari sahabat-sahabat berkenaan pengetahuan mereka tentang laluan alternatif untuk ke Makkah agar tidak bertembung dengan tentera Khalid yang sedang melakukan sekatan jalan Raya. Seorang pemuda dari suku Aslam telah menawarkan diri untuk memandu para jemaah haji dari Madinah agar melalui laluan Al-Hudaibiyyah (sekarang disebut sebagai As-Sumaisi) untuk menuju ke Makkah. Sampai di Al-Hudaibiyyah, unta yang dinaiki oleh Nabi telah berlutut disitu, menyebabkan Baginda S.A.W pun mengarahkan kepada para sahabat agar membina khemah disitu.

Tentera pimpinan Khalid Al-Walid mengetahui pergerakan umat Islam, menyebabkan mereka bertindak menuju ke arah yang sama dengan harapan dapat menyekat kemaraan para rombongan haji umat Islam untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Disebabkan Al-Hudaibiyyah bukan kawasan kekuasaan Makkah lagi ketika itu, menyebabkan pihak tentera pimpinan Khalid Al-Walid tidak boleh bertindak, menyebabkan beliau telah mengarahkan agar pihak kerajaan Makkah dapat menghantar wakil untuk berbincang dengan Baginda S.A.W.

Dengan itu, datanglah tiga orang wakil dari Kerajaan Makkah untuk berbincang dengan Nabi S.A.W, tetapi segala perbincangan itu, Baginda S.A.W tetap dengan pendirian untuk masuk ke Makkah juga pada tahun tersebut. Masa berlalu begitu pantas, pihak tentera Khalid masih tetap mempertahankan sempadan agar umat Islam tidak dapat masuk ke Makkah pada tahun tersebut, menyebabkan Baginda S.A.W telah mengarahkan Saidina Uthman Al- Affan RA pergi ke Makkah sebagai wakil baginda dalam melakukan rundingan tentang kehadiran kaum Muslimin untuk melakukan haji pada tahun tersebut.

Melihatkan Saidina Uthman merupakan seorang yang dihormati dikala sebelum kemasukannya kedalam Islam lagi, maka kehadiran Saidina Uthman itu disambut dengan baik. Dalam perbicangan antara Saidina Uthman dan wakil-wakil kerajaan Makkah ketika itu, pihak Makkah tetap berkeras tidak mengizinkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun tersebut. Kepulangan Uthman ke Al-Hudaibiyyah mengambil masa yang lama, sehinggakan dikhabarkan bahawa Saidina Uthman telah dibunuh. Berita itu menyebabkan ramai dari kalangan sahabat mula marah dan mendesak agar berlaku peperangan dengan kerajaan Makkah.
Keadaan itu menyebabkan Baginda S.A.W menyeru para sahabat agar melakukan Baiaah Ridhwan, iaitu janji setia mempertahankan Islam sehingga titisan darah yang terakhir. Perjanjian telah disaksikan oleh Allah menerusi firman-Nya, iaitu;

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya; ” Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)” (Surah Al-Fath : 18)

Semasa Baiah sedang dilakukan, Saidina Uthman muncul, yang menyebabkan di situlah bermulanya titik permulaan dalam perdamaian yang sangat diidam-idamkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Pemergian Uthman berjumpa dengan wakil-wakil kerajaan Makkah, mengambil satu keputusan bahawa pada tahun tersebut, umat Islam tidak dibenarkan melakukan haji di Kaabah. Pun begitu, bagi menyelesaikan masalah ini, Saidina Uthman mencadangkan kepada kerajaan Makkah (kafir Quraisy) agar menghantar wakil untuk berbincang dengan Nabi Muhammad S.A.W dalam menyesaikan masalah ini. Dengan itu, menyebabkan orang Quraish Makkah telah menghantar Suhail bin Amr untuk melakukan rundingan dan perjanjian dengan Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam perjanjian tersebut, banyak perkara yang dipersetujui oleh Nabi S.A.W, tetapi tidak disetujui oleh kebanyakan para sahabat. Pun begitu, memperlihatkan kepada maslahat, perjanjian tersebut terpaksa dilaksanakan oleh Nabi S.A.W. Kalimah ”Bismillah Ar-rahman ar-rahim” diminta untuk ditukarkan kepada ”Bismikallah” menjadi isu penting yang dipolitikkan oleh Suhail, tetapi sikap Nabi S.A.W yang mahu melihat kesan keuntungan dalam menguasai Makkah menyebabkan Nabi S.A.W akur dengan desakkan tersebut. Apa yang pasti, disebalik toleransi dalam beberapa isu dalam perjanjian tersebut, menyebabkan terhasillah satu perjanjian, yang antara kandungan perjanjian tersebut adalah, dilarang berperang antara Muslim dan Kuffar Quraish selama sepuluh tahun. Penerimaan Nabi S.A.W dengan perjanjian tersebut menyebabkan peluang bagi Nabi dan para sahabat menyampaikan dakwah, yang menyebabkan dikala itu, ramai ”orang-orang besar” dari kalangan Quraish yang memeluk Islam, seperti Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-AS dan sebagainya. Dengan kejayaan itu, berlakulah pembukaan kota Makkah yang menyebabkan Islam berjaya memerintah di Makkah dan berjaya juga mengeluarkan segala patung-patung berhala yang berada di keliling Kaabah ketika itu.

3.0       Isi Kandungan Perjanjian Hudaibiyyah


            Hasil rundingan di antara Nabi Muhammad S.A.W dan Suhail bin Amr, termerailah Perjanjian Hudaibiyyah. Isi kandungan Perjanjian Hudaibiyyah adalah seperti berikut:
                      i.        Orang Islam tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun tersebut (6 H) dan boleh mengerjakan pada tahun berikutnya. Mereka boleh membawa pedang yang tersarung & berada di Makkah tidak melebihi 3 hari
                    ii.        Gencatan senjata selama 10 tahun. Dalam tempoh itu kedua-dua belah pihak tidak boleh mencuri,  mengkhianati dan memungkir janji
                   iii.        Orang kafir Quraisy yang masuk ke Madinah, (walaupun telah memeluk agama Islam), hendaklah dipulang semula ke Makkah
                   iv.        Orang Islam Madinah yang masuk ke Makkah, tidak perlu di hantar pulang ke Madinah
                    v.        Pihak Musyrikin Makkah & Islam Madinah boleh serta bebas  membuat perjanjian dengan mana-mana pihak atau mana-mana kabilah Arab yang mereka suka
                   vi.        Kedua-dua pihak tidak boleh membantu mana-mana kaum yang  bersengketa atau  berperang
                  vii.        Kedua-dua pihak bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.

4.0       Hikmah Perjanjian Hudaibiyyah

            Antara hikmah Perjanjian Hudaibiyyah ialah:

·         Berkembangnya syiar Islam.
·         Kehidupan masyarakat aman dan damai.
·         Pengiktirafan Rasulullah S.A.W dan negara Islam di Madinah.
·         Mempamerkan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W sebagai seorang pemimpin Islam yang berfikiran jauh kehadapan (forward looking)
·         Rasulullah S.A.W telah memperlihatkan sifat-sifat kesabaran Baginda semasa proses rundingan dijalankan.
·         Membuka jalan kepada pembebasan Makkah daripada Musyrikin Quraisy.
·         Orang Islam bebas dalam menjalin perhubungan dengan kabilah Arab yang lain.
·         Rasulullah telah memanafaatkanPerjanjian Hudaibiyyah ini dengan memperkukuhkan dakwah Islamiyyah
·         Orang Islam & orang Kafir dapat berinteraksi antara satu sama lain
·         Membuka peluang kepada umat Islam Madinah untuk menyusun strategi untuk membebaskan Makkah dari cengkaman jahiliyah
·         Dapat menghindar dan mengelakkan pertumpahan darah antara kedua pihak
·         Dakwah Islam dapat disebarkan  dengan bebas di Makkah & luar Makkah
·         Ramai orang kafir memeluk agama Islam secara terang

5.0       Implikasi Selepas Perjanjian Hudaibiyyah

Perjanjian Hudaibiyyah telah memberi kesan yang sangat bermakna dan positif pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W. Antara kesan positif dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah ini adalah:
·         Kaum Musyrikin Quraisy Makkah semakin lemah.
·         Islam berkembang dengan meluas di semenanjung Tanah Arab dan di luar Semenanjung Tanah Arab
·         Madinah semakin maju sebagai pusat pemerintahan kerajaan Islam
·         Orang Yahudi yang khianat diusir dari Madinah.
·         Rasullah mengajar ummatnya bagaimana untuk membuat perjanjian dengan kaum kafir.
·         Corak politik Rasulullah yang lebih menjurus kepada pemerhatian dan pemikiran yang strategik



6.0       Tindakkan Susulan Selepas Perjanjian Hudaibiyyah


Tempoh perdamaian membolehkan Nabi S.A.W merangka program dakwah ke seluruh Tanah Arab. Strategi penyebaran agama Islam adalah:

1.    Menghantar utusan ke Rom, Parsi, Mesir, Habsyah dan wilayah di sekitar semenanjung Arab.

2.    Tidak dengan paksaan tetapi dengan diplomasi dan menunjukkan nilai-nilai yang baik.

3.    Menerusi warkah atau surat untuk menjalin persefahaman

4.    Selepas Perjanjian Hudaibiyyah berlakunya Perang Tabuk (630M/8H). Ianya berlaku dengan izin Allah SWT melalui junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W bertujuan mempertahankan diri, agama dan negara.

5.    Perang dalam Islam mesti ikut prinsip yang telah ditentukan, iaitu
a.    Dengan izin Allah SWT setelah turunnya wahyu. Berperang apabila diserang oleh musuh.
b.    Berperang untuk mencari keamanan supaya tempat ibadat terjaga.
c.    Menentang kezaliman dan mempertahankan diri.
d.    Islam menganjurkan perdamaian jika musuhnya inginkan perdamaian.
e.    Dakwah mesti dilaksanakan dengan baik dan dengan cara paling berhemah
f.     Perang berpandukan aspek berikut:
     
a.    Tidak boleh membunuh orang yang lemah seperti orang tua, kanak-kanak, wanita, orang sakit, dan orang yang menyerah diri.
b.    Tidak dibenarkan membunuh  binatang ternakan, dan tanaman.
c.    Dilarang meroboh rumah ibadat.

                                                                    .

7.0       Pembukaan Kota Makkah

Mengikut catatan sejarah, setelah Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani pada tahun keenam hijrah (628 M), Islam berkembang dengan meluas. Hal ini telah menyebabkan masyarakat Quraisy berasa iri hati. Mereka juga telah membantu Bani Bakar (penyokong kaum Quraisy) untuk menyerang Bani Khuzaáh (penyokong Muslimin) yang memberikan kesetiaan kepada Rasulullah s.a.w.

Apabila Rasulullah mendapat tahu hal ini, lalu baginda bersama-sama 10,000 orang tentera Islam terus menuju ke Makkah. Dalam perjalanan, tentera Islam telah bermalam di 'Marun zahrán', Rasulullah mengarahkan tentera Islam supaya mendirikan khemah dan menyalakan api (obor) yang banyak untuk menggerunkan masyarakat Quraisy. Rasulullah juga telah mengutus Abbas bin Abdul Mutalib untuk berunding dengan Abu Sufyan.

Untuk memasuki kota Makkah Rasulullah S.A.W memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Makkah melalui empat penjuru. Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Makkah dan telah mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salahmu yang lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehebat pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1-3)
Empat pasukan tentera Islam tersebut ialah:
a.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W
b.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid
c.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Zubair b Awwam
d.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Qais bin Saad bin Ubadah

Gambaran tentang pergerakan pasukan tentera Islam ketika memasuki Kota Makkah adalah seperti dibawah.

Peta: Pembukaan Kota Makkah

 Ketika bala tenteta Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad S.A.W memasuki kota Makkah, ramai dikalangan kaum Kafir Quraisy merasa cemas dan takut termasuklah Abu Sufyan. Dengan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W, Baginda telah menjamin keselamatan penduduk Kota Makkah pada masa itu dengan 3 syarat iaitu sesiapa yang memasuki 3 tempat, maka mereka akan selamat iaitu:
1.    Memasuki rumah Abu Sufyan;
2.    Memasuki Masjidil Haram; dan
3.    Mengunci dan duduk diam dirumah masing-masing

Setelah memasuki Kota Makkah dengan aman, Rasulullah S.A.W melakukan tawaf, mencium Hajar Aswad dan memusnahkan berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Baginda juga memasuki Kaabah dan mencuci dinding Kaabah dengan air zam-zam. Selain itu, baginda memaafkan dan membebaskan penduduk Makkah yang pernah menentang Islam.

8.0       Kesan dan Iktibar Pembukaan Kota Makkah

1.    Menunjukkan semangat persaudaraan Islam dengan memberi jaminan keselamatan
2.  Menunjukkan semangat perpaduan dalam negara yang pelbagai agama dan keturunan
3.    Sifat pemaaf Nabi s.a.w terserlah – tidak membalas dendam terhadap orang Quraish.
4.   Kaabah terpelihara daripada kemungkaran. Agama menyembah berhala dihapuskan.
5.    Kota iaitu Kota Makkah suci umat Islam dalam melakukan ibadah.
6.    Membuktikan kukuhnya negara Islam di Madinah.
7.    Bermulanya penyebaran Islam secara menyeluruh ke Tanah Arab tanpa paksaan.
8.    Wujud sebuah pusat pemerintahan Islam yang kuat – Madinah masih kekal pusat pemerintahan.
9.    Titik akhir perjuangan Nabi S.A.W dan pada 632M/11H Nabi Muhamad wafat. Khutbah akhir Nabi menyatakan
a.    Setiap orang Islam bersaudara
b.    Meninggalkan pusaka iaitu Al-Quran dan sunnah.

9.0       Kesimpulan


                      i.        Kesan perjanjian Hudaibiyah ini ternyata lebih menguntungkan Islam dan merugikan pihak Musyrikin Makkah. Selepas dua tahun perjanjian damai Hudaibiyah ini dimeterai, penganut agama Islam bertambah ramai.
                    ii.        Kepesatan kemajuan perkembangan Islam dan bertambahnya pengikut agama Islam ini ,menimbulkan perasaan dengki dan geram kaum Musyrikin Makkah   dan mereka semakin  memusuhi umat Islam. Akhirnya mereka bertindak melangar Perjanjian Damai Hudaibiyah
                   iii.        Perjanjian Hudaibiyyah merupakan titik tolak kepada perkembangan dakwah Islam keseluruh semenanjung Tanah Arab dan negara-negara yang masih dikuasai oleh pemerintah kafir seperti Rom, Parsi, Damsyik dan lain-lain.
                   iv.        Pendekatan yang diguna pakai oleh Rasulullah S.A.W didalam rundingan adalah pendekatan secara diplomasi dan mengamalkan konsep toleransi dengan pihak musuh.
                    v.        Rasulullah S.A.W menitik beratkan perdamaian dan tidak suka kepada pertumpahan darah. Ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang membawa perdamaian dan mengelak permusuhan.
                   vi.        Dengan Pembukaan Kota Makkah (فتح مكة, Fathu Makkah), ianya telah membawa pembebasan Kota Makkah daripada pengaruh, amalan & cengkaman jahliyah. Sebelum Makkah dikuasai oleh Islam, ia berfungsi sebagai pusat penyembahan berhala dan lain-lain amalan tradisi masyarakat Arab jahiliyah.
                  vii.        Rasullullah mempamerkan sikap yang terpuji iaitu pemaaf atas segala perbuatan kaum kafir Quraisy terhadap Baginda.




10.0    Rujukan


1.    Al-Quran

2.    Biografi Muhammad bin Abdullah, Perjalanan Hidup Seorang Nabi, Zulkifli Mohd Yussof & Noor Naemah Abd. Rahman, PTS Islamika Sdn Bhd, Edisi 2010

3.    Lembaran kisah Nabi Ulul Azmi dan 25 para Rasul, Muhammad Ali Ashabuuni, Pustaka Ilmuan, 2010

4.    Kisah-kisah Para Nabi & Rasul. Menjejaki Kehidupan Perjuangan & Pengorbanan 25 Nabi & Rasul Membangunkan Hukum Allah Disepanjang Sejarah Hidup Manusia, Abdullah bin Ahmad Mubarak, Al-Hidayah Publisher, 2008

5.    Pembukaan Kota Makkah Tanda Kejayaan Perkembangan Syiar Islam, Berita Harian,30/8/2010.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembukaankotaMakkahtandakejayaanperkembangansyiarIslam/Article

6.    Perjanjian Hudaibiah Perintis Pembukaan Kota Makkah, Artikel Dari: Portal Komuniti Ukhwah.com.  www.ukhwah.com

7.    Untaian Kisah Nabi dan Para Sahabat. Olahan & Tulisan Semula oleh Syed Ahmad Semait, Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 1997.
              
8.    Sirah Nabawiyah Al-Maktum, Terjemahan Oleh Ustaz Nik Ramli Omar, Yayasan Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur, 2010