Pages

Wednesday 8 January 2014

Adab Jiran Tetangga Menurut Islam

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


1.0              Pendahuluan

Islam menggariskan dengan jelas mengenai tatacara hidup dengan meletakkan akhlak dan adab sebagai panduan. Tanpa akhlak yang baik, kehidupan manusia menjadi kucar-kacir. Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai model terbaik dan contoh akhlak yang terpuji kepada seluruh umat Islam. Dalam Islam akhlak adalah bersumber dari dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sepotong hadith yang bermaksud :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّ: أَكْمَلُ
... اَلْمُؤْمِنِيْنَ اِيْمَانًا أحْسَنُهُمْ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Sabda Rasulullah SAW “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak yang terbaik….[1]

Allah SWT telah memuji Rasulullah SAW kerana akhlaknya yang baik seperti yang terdapat dalam al-Quran, firman Allah SWT di dalam Al-Quran:  

A004

Maksudnya: "Sesungguhnya engkau seorang memiliki peribadi yang agung (mulia)." [2]

Rasulullah SAW adalah insan yang mempunyai akhlak yang terbaik dikalangan kaumnya dan paling menjauhi kejahatan dan akhlak yang rendah. Baginda SAW adalah orang yang paling menjaga maruah, paling baik pergaulan, sebaik-baik jiran, paling lemah lembut, paling bercakap benar dan paling amanah. Oleh itu, Baginda SAW digelar oleh kaumnya dengan gelaran Al-Amin. Gelaran tersebut diberikan kerana Baginda SAW memiliki sifat lemah lembut, sabar, bersyukur, adil tawadhu’, menjaga kesucian diri, permurah, berani dan pemalu. [3]

Akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian. Imam Ghazali r.a mengatakan [4]:

“Akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara’ dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk”.

Maka dengan itu, pendekatan yang diguna pakai di dalam esei ini ialah pendekatan yang telah digariskan oleh Islam dengan menggunakan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Al-Sunnah supaya kita sama-sama dapat menghayati tuntutan akhlak supaya kita berbuat baik terhadap jiran tetangga sebagaimana yang dituntut oleh agama.


1.1       Definisi Jiran

Berdasarkan kamus dewan, jiran ialah orang yang berada dekat dengan rumah kita manakala mengikut tesarus bahasa dewan jiran ialah jiran: tetangga, orang sebelah, orang sekampung, teman; berjiran: bertetangga, berhampiran, sebelah-menyebelah, berdekatan, sekampung, sedesa, setempat; kejiranan: kemuafakatan, kerjasama, kesepakatan. [5]


1.2       Jiran Menurut Syarak

Berdasarkan syarak, jiran ialah orang yang berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, di depan atau belakang mahupun di tingkat atas ataupun bawah hingga 40 rumah dari setiap sudut.[6]

Dalam perkataan Arab, jiran membawa maksud orang yang tinggal sebelah menyebelah atau tetangga. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa semangat kejiranan membawa erti satu suasana dan perhubungan yang positif dalam satu-satu kawasan kejiranan. Ini menunjukkan bahawa Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.

Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya secara zahir kembali kepada uruf (adat setempat). Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.[7]




2.0              Konsep Jiran Di Dalam Islam
Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat. Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa. [8]

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya. [9]

Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda Rasulullah SAW:

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء

Maksudnya: “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .[10]

Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan aspek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.

Untuk mengupas esei ini dengan lebih lanjut, selain merujuk kepada beberapa buku yang berkaitan dengan tema perbincangan di dalam kertas kerja ini, penulis akan menghuraikan adab-adab dan hak jiran dari perspektif Islam sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Ihya ‘Ulumuddin.



3.0       Jiran Tetangga Di Dalam Islam

Muslim yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa menghormati dan menimbulkan perasan ihsan apabila berinterasi sesama jiran. Islam banyak menggariskan agar umatnya sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran.


3.1       Kategori Jiran

Jiran mendapat tempat yang tinggi di dalam strata kedudukan bermasyarakat di dalam ajaran Islam. Islam mengangkat peranan jiran dan sumbangan bakti mereka adalah sangat penting dalam kehidupan kemanusiaan sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran;

A036

Maksudnya; “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin yang terdekat dan tatangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat dan ibnu as-sabil.”[11]

Allah menghimpunkan sekali dalam ayat di atas perintah untuk beribadah kepada Allah dengan perintah untuk berlaku baik kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda Islam ini bukan sahaja menjalin hubungan dengan pencipta sebaliknya juga menyatukan manusia di dalam satu kewajipan untuk berlaku baik sesama manusia sebagai termasuk menunaikan ketaatan kepada Allah SWT.

Allah menyebut (( وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى)) : iaitu yang bermaksud jiran yang padanya terdapat hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Ini merupakan pendapat yang disebut oleh Ali Ibn Talhah daripada Ibn Abbas ra manakala yang disebut dari riwayat Ikrimah dan Mujahid dan selain mereka yang mengatakan ianya ialah jiran muslim yang satu agama. Juga ada yang mengatakan dimaksudkan dengan ayat ini ialah jiran yang rumahnya berdekatan. [12]


Allah menyebut juga ((وَالْجَارِ الْجُنُبِ )) : iaitu yang bermaksud lawan kepada ayat sebelumnya yang sebahagian ulama tafsir menyebut ianya ialah jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan seperti pendapat Ali ibn Talhah dari Ibn Abbas ra, juga yang mengatakan ianya bukan muslim seperti jiran yahudi dan nasrani seperti yang disebut dalam riwayat dari Ikrimah dan Mujahid dan yang lain mengatakan yang dimaksudkan ialah jiran yang berjauhan rumahnya. [13]


Hadith Rasulullah SAW juga ada menyebut bahawa terdapat beberapa kategori jiran di dalam hadith Baginda SAW iaitu:

اَلْجِيْرَانُ ثَلاَثَةٌ جَارٌلَهُ حَقٌ وَاحِدٌ وَجَارٌلَهُ حَقًانِ وَجَارٌلَهُ ثَلَاثَةٌ حُقُوْقِ فَااَلْجَارُلَهُ ثَلَاثَةُ حُقُوقٍ اَلْجَارُ اَلْمُسْلِمُ ذُو اَلْرَّحِمِ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقَّ اَلاءِسْلَامِ وَحَقُّ اَلْرَّحِمِ وَأَمَّا اَلّذِى لَهُ حَقَّانِ فَالْجَارُ اَلْمُسْلِمُ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقُّ اَلاءِسْلَامِ وَأَمَّا الَّذِى لهُ حَقٌ وَاحَدٌ فَالْجَارُ اَلْمُشْرِكُ


Maksudnya: “Jiran itu ada tiga golongan, ada jiran yang hanya mempunyai satu hak dan ada jiran yang mempunyai dua hak dan ada jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak itu ialah jiran yang Muslim dan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka ia mempunyai hak sebagai jiran, hak sebagai Muslim dan hak sebagai keluarga. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran yang Muslim. Ia mempunyai hak sebagai seorang Muslim. Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik”[14]

Merujuk kepada hadith yang sama, berkata Syeikh Dr Abd Aziz Ibn Fauzan ibn Soleh Al-Fauzan dalam kitabnya “Fiqh Ta’amul Ma’an Nas” bahawa kedudukan jiran itu terbahagi 3 jenis iaitu[15]:

a.       jiran yang muslim dan memiliki hubungan darah,
b.      jiran yang muslim yang tidak ada hubungan darah; dan
c.       jiran yang kafir.

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa kewajiban kita sebagai anggota masyarakat untuk memberi hak-hak yang sewajarnya terhadap jiran. Malahan jika jiran kita seorang yang bukan Islam sekalipun, kita wajib menghormati dan menjaga hak-hak tersebut.


3.2       Hak-Hak Jiran Di Dalam Islam

Sebagai jiran kita, masing-masing ada kewajipan dan ada hak. Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, ada memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami, malah mengamalkannya:

a.      Jangan menyakiti jiran
Dasar ini memberi erti tidak boleh sama sekali melakukan zina, mencuri, mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran atau membuang perut ikan di dalam longkang ketika proses memasak sehingga bau busuk melepasi hingga ke rumah jiran, lalat dan langau yang datang menghurung sampah sarap dan perut ikan juga boleh menggangu ketenteraman jiran . Jadi perbuatan buruk terhadap jiran anda itu amatlah salah. Leih dasyat lagi apabilan terdapat jiran yang sanggup melakukan zina atau melakukan pencurian terhadap jiran adalah sepuluh kali ganda lebih buruk daripada melakukannya kepada pihak lain. Hingga terdapat sebuah hadith  Rasulullah SAW  dalam riwayat Muslim r.a. mengatakan bahawa:

وَفِي رِوَايَتٍ لِمُسْلِمِ : لَا يَدْ خُلُ اَلْجَنَّةَ مَنْ لَا يأمَنُ جَارُهُ ئِقَهُ

Maksudnya: Di dalam riwayat Muslim dikatakan : Tidaklah masuk syurga orang yang tetangganya tidak aman kerana gangguannya”.[16]

Betapa rugilah kita menjadi mukmin yang beriman dan taat kepada Allah SWT dan RasulNya untuk memasuki syurga ganjaran yang paling hebat yang tidak tergambar oleh fikiran kita, tetapi kita gagal menjalankan KPI (Key Performance Indicator) kerana hanya semata-mata menyakiti hati jiran. 


b.      Memelihara jiran
Setiap daripada kita wajib memelihara kepentingan jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa

مَنْ اَقرَّ عَيْنَ مُؤْمِنِ اَقَرَّ اللهُ عَيْنَهُ يَوْمَ اَلْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Barang siapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat”.[17]

Jika kita menjaga kepentingan mereka umpamanya memantau rumahnya ketika jiran tetangga pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan atau cuti panjang daripada diceroboh oleh pencuri dengan memaklumkan jiran tersebut lalu terus melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis, kita sebenarnya telah berbuat baik kepada jiran dengan menjaga kepentingan mereka. Bayangkan situasi ketika hari kiamat, tiada siapa yang boleh membantu kita kecuali Allah SWT. Dunia menjadi kelam kabut, manusia dan alam seluruhnya menjadi seperti debu-debu yang berterbangan. Pada saat itulah kita mengharapkan pertolongan Allah. Penulis sangat yakin dan percaya bahawa Allah SWT tidak pernah memungkiri janjiNya


c.       Berbuat baik kepada jiran
Dengan maksud jika jiran bergembira seperti dapat menantu, anak-anak lulus dengan baik dalam peperiksaan atau pelajaran, maka ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka kerana kematian keluarganya, berilah takziah, walaupun bukan seagama. Malah jika mereka ditimpai sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapalah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi Muhammad s.a.w. meletakkan mereka yang menghormati jiran itu sebagai tanda orang yang beriman.


Maksudnya: “Barang siapa yang melapangkan seorang Mukmin yang dalam kesusahan atau menolong orang yang dianiaya, maka dosanya akan diampunkan Allah”.[18]

 

Mengulas perkara yang sama Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam supaya memulia dan menghormati jiran termasuk memualiakan mereka sebagaimana layanan kita terhadap kaum kerabat kita sendiri. Ini selaras dengan sabda Baginda SAW:

مَا زَالَ جِبْرِيْلُ يُوْصِيْنِى بِالجَار حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرّثَهُ

Maksudnya: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.”[19]

Oleh itu, adalah satu kerugian besar kepada umat Islam dan masyarakat jika kita mengabaikan dan tidak mempedulikan jiran yang di anggap sebagai harta yang bernilai tinggi itu.

Berbuat baik kepada jiran tidak terhad dengan hanya perkara-perkara yang disebutkan di atas. Malahan hak jiran ke atas kita juga ialah mengurus dan mengiringi jiran kita yang meninggal dunia hingga ke tanah perkuburan. Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW:

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّيَ فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَ حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ قَالَ مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْن

Maksudnya: sesungguhnya Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: sesiapa yang menyaksikan jenazah sehinggalah jenazah disembahyangkan maka baginya qirat dan sesiapa yang menyaksikan sehingga dikebumikan maka baginya 2 qirat. Dikatakan apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat. Rasulullah menjawab seumpama dua buah bukit yang besar.[20]



4.0       Adab Jiran Tetangga Menurut Imam Al-Ghazali

Dewasa ini, kesuntukkan waktu demi mengisi keperluan hidup membuatkan antara kita tidak mengamalkan semangat kejiranan kerana tidak sempat untuk bertegur sapa sesama jiran. Hal ini akan membuatkan perhubungan sesama ahli masyarakat menjadi kurang mesra. Selain itu, kegagalan sesetengah individu memahami konsep kejiranan dengan baik juga akan membuatkan berlakunya perselisihan faham dan akan mewujudkan aura perhubungan yang negatif. Keadaan ini pasti akan memperlahankan proses perpaduan dan boleh menimbulkan perasaan kekok apabila sesakali bersua muka ditempat awam sama ada di pasar malam, surau atau masjid bahkan ketika di kenduri perkahwinan dikawasan kejiranan.

Kepentingan adab berjiran amat penting dan dititik beratkan di dalam agama Islam. Adab semasa pergaulan sesama jiran bermaksud segala sikap, percakapan di dalam perbualan, senyuman, budi, pekerti, perangai, tingkahlaku dan tabiat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan ianya mestilah bersendikan Al-Quran dan Al-Sunnah. Islam telah menggariskan beberapa adab yang perlu dipatuhi di dalam kehidupan berjiran. Antara yang paling ditekankan ialah ketika berbicara sesama jiran. Hal ini kerana, setiap apa yang dibicarakan oleh seseorang, ia menggambarkan apa yang ada didalam kotak fikirannya serta perangainya. Bagi setiap muslim, semasa bersosial perlu mengelak membicarakan sesuatu yang tidak berfaedah.

 

Imam Al-Ghazali menukilkan kisah di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin’ bahawa hak jiran bukanlah sekadar mencegah diri kita daripada menyakiti atau perbuatan yang tidak menyenangkan hati jiran sahaja, tetapi hendaklah bersabar menahan perasaan jika disakiti bahkan lebih daripada itu. Hendaklah kita memberi pertolongan kepada jiran dan menunjukkan rasa kasih sayang. [21]

Diceritakan bahawa Ibnu Muqaffa’ pada suatu hari mendengar bahawa jirannya akan menjual rumah yang didiaminya kerana hendak membayar hutang yang sudah banyak ditanggungnya. Pada waktu itu, Ibnu Muqaffa’ berkata “Sekiranya dijual, tentu saya tidak memperolehi kerhormatan bernaung di bawah rumahnya”. Tidak lama kemudian, dia menemui jirannya itu dan memberikan wang mengikut kadar rumah itu sebagai sedekah dan berkata, “Janganlah saudara menjual rumah saudara ini”. [22]

Imam Al-Ghazali juha telah turut menyenaraikan hak-hak seseorang muslim terhadap jirannya[23] untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran yang berguna sebagai panduan bersama ketika berinteraksi dengan jiran tetangga iaitu:

§  Hendaklah mendahulukan ucapan salam kepadanya setiap kali bertemu
§  Jangan terlalu banyak bertanya kepadanya tentang keadaannya sehari-hari
§  Menziarahi dirinya atau kaum keluarganya apabila sakit ataupun ditimpa musibah
§  Tunjukkan bahawa kita turut berdukacita dan bersimpati jika mereka ditimpa musibah dan bersegera memberikan pertolongan jika perlu sekalipun tanpa diminta
§  Menyatakan perasaan gembira apabila mereka memperoleh kesenangan atau kurniaan Allah SWT
§  Ampunilah segala kesalahan-kesalahan atau keburukkannya, baik dengan apa-apa cara sekalipun
§  Jangan membuat sesuatu yang tidak menyenangkan jiran kita umpamanya meletakkan batang kayu di dinding rumahnya
§  Jangan menyempitkan jalan menuju ke rumahnya
§  Jangan mengintai-ngintai apa yang dibawa olehnya ke dalam rumahnya
§  Tutuplah kecacatan atau kekurangan yang nampak di matamu dan jangan hebohkan kepada sesiapapun
§  Berikanlah dia semangat untuk terus berusaha menghadapi kesukaran apabila kesukaran menimpanya
§  Jangan lalai menjaga rumahnya pada waktu dia tiada atau sedang bermusafir
§  Jangan mendengar kata-kata orang lain yang mengeji dirinya, yang berupa umpatan atau berita-berita yang tidak menyenangkan
§  Tundukkan matamu sewaktu melihat isteri/suaminya
§  Jangan selalu memandang hamba/pembantu rumahnya
§  Bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya baik dalam percakapan atau lain-lain
§  Tunjukkan sesuatu yang tidak diketahui oleh saudaranya, baik yang dalam urusan keduniaan atau keakhiratan.

Rumusan bagi bab ini ialah hendaklah kita sedar bahawa jiran tetangga itu mempunyai hak-hak yang tertentu sesuai dengan status mereka di dalam strata masyarakat seperti yang telah kita bincangkan di halaman 10 di atas. Ini termasuklah dengan berlemah-lembut dengan mereka iaitu menegur sapa dengan ucapan salam, senyum, tidak berlebih-lebihan ketika bertanya khabar mereka sehingga boleh menimbulkan rasa tidak senang jiran terhadap soalan yang kita ajukan, tidak meninggikan suara sehingga menyakiti hati jiran, menerima teguran jiran terhadap kesilapan kita dengan bersikap berlapang dada, sentiasa berfikiran positif dengan sentiasa bersangka baik terhadap jiran, memberi buah tangan atau hadiah dengan tujuan untuk mengeratkan perhubungan sesama jiran tetangga.

  


5.0       Kesimpulan

Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.

Kesimpulannya ialah, ajaran Islam menuntut kita bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memainkan peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran. Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan yang paling layak untuk memberi bantuan dan pertolongan. Berdasarkan besar peranan jiran ini, maka suka penulis cadangkan agar kita kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menjaga silaturarahim dan adab-adab terhadap jiran tetangga. Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.




Rujukan


Buku-Buku Ilmiah:
Al-Quran & Terjemahan

Kamus Dewan. 1994. Edisi Ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka

Ibnu Hajar al-‘Asqalani (Penterjermah: Abu Ihsan al-Atsari). 2010. Fathul Bahri – Syarah Shahih al-Bukhari. Yogyakarta, Indonesia. Penerbit: Pustaka Imam Asy-Syafti.

Imam Al-Ghazali. 2009. Ihya Ulumuddin. Shah Alam, Selangor. Penerbit: Illuison Network Sdn Bhd

Imam Al-Nawawi. 1981. Riyadhus Salihin. Kuala Lumpur. Penerbit: Hizi Print Sdn Bhd

Imam Asy-Syaukani (Tahqiq & Tkahrij: Sayyid Ibrahim). Tafsir Fathul Qadir. Penerbit: Pustaka Azzam

Syeikh Muhammad al-Khudari Bik Tahkik & Komentar: Samir Ahmad al-‘Athor – Terjemahan Ustaz Hj Mohd Asri Hj. Hashim). “Kitab Sirah Rasulullah SAW”. 2009. Kuala Lumpur : Prospecta Printer Sdn Bhd

Ustaz Ishak Din, Prof. Dato’ Dr Haron Din & Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz. 1992. Soal Jawab Fiqh Harian. Shah Alam. Penerbit : Hizbi Sdn Bhd


Pautan Luar:
“Jiran sebagai harta yang bernilai tinggi”, Khutbah Jummat di Masjid Negara. 17 Julai 2009/24 Rejab 1430, Masjid Negara, Kuala Lumpur di capaian http://www.islam.gov.my/khutbah-online

“Konsep akhlak”, dipetik dari artikel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dicapaian http://www.islamgrid.gov.my/articles/akhlak/akhlak.php

“Hukum kejiranan”, E-Buletin Persatuan Penduduk Jentayu, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dicapaian http://enstekjentayu.webs.com/documents/firdausiV1.pdf






[1] Hadith Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban
[2] Surah Al-Qalam 68:4
[3] Syeikh Muhammad al-Khudari Bik Tahkik & Komentar: Samir Ahmad al-‘Athor, Kitab Sirah Rasulullah SAW, hlm 41
[4]Konsep Akhlak, dipetik dari artikel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dicapaian http://www.islamgrid.gov.my/articles/akhlak/akhlak.php
[5] Kamus Dewan. 1994. Edisi ke-3.
[6] Lihat Imam Al-Ghazali, ‘Ihya ‘Ulumuddin, Adab-adab bergaul dalam masyarakat, Bab 15, hlm 496
[7] Lihat Imam Syaukani, Fathul Qadir, Jlid 1, hlm 743
[8] Dipetik dari E-Buletin Persatuan Penduduk Jentayu, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan di  capaian http://enstekjentayu.webs.com/documents/firdausiV1.pdf
[9] Ibid
[10] Hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).
[11] Surah An-Nisaa' 4:36
[12] Lihat Tafsir Tabari, Jilid 5, hlm 175-180, lihat juga Tafsir Qurtubi, Jilid 5, hlm 183, lihat juga Tafsir Ibn Kathir, Jilid 1, hlm 495 dan Tafsir Syaukarni, Jilid 1, hlm 743
[13] Ibid
[14] Hadith Riwayat : Abu Na’im dan Ibnu ‘Adiy
[15] Lihat juga Tanbihul Ghafilin, Jilid 1, hlm 153,  Tafsir Al-Qurtubi, Jlid 5, hlm 183 serta Fathul Bari, Jilid 10, hlm 441
[16] Imam Nawawi, Riyadhus Shalihin, Jilid 1, hlm 176
[17] Hadith Riwayat Ibnu Mubarak
[18] Hadith riwayat Al-Thabrani
[19] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim
[20] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim
[21] Ibid, hlm 497
[22] Ibid
[23] Ibid