Pages

Friday 27 October 2017

Ulasan Bahagian Falsafah : Kitab al-Munqidh Min al-Dhalal : Karya Imam al-Ghazali

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين



Pengenalan
Al-Munqidh min Al-Ḍalal (Pembendung Kesesatan) adalah salah satu karya Imam al-Ghazali dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Prof Dr AbdulFatah Haron bin Ibrahim terbitan Dewan Bahasa & Pustaka. Buku al-Munqidh min al-Dalal ini mempunyai keunikkannya tersendiri kerana mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam dalam kehidupan Imam al-Ghazali. Penulis menganggap bahawa buku ini berbentuk “travel log” ataupun autobiografi yang menggarap pengamalan dan perjalanan kehidupan Imam al-Ghazali. Penulisannya membentangkan krisis jiwa ataupun spiritual yang beliau alami pada 488H/1095M. Pergolakan rohani ini menyebabkan beliau sakit sehinggakan beliau tidak boleh mengajar walau jasmaninya kelihatan sihat. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjayanya di Baghdad dan berkelana sebagai pengembara sufi. Setelah beberapa lama berkelana ke Damsyik, Jerusalem, mengerjakan haji di Mekah dan Madinah, beliau kembali ke Ṭus dan menghabiskan beberapa tahun lagi beruzlah dan mengamalkan tarekat taṣawuf bersama murid-muridnya. Beliau juga menceritakan di dalam autobiografi ini mengapa beliau meletakkan jawatannya di Baghdad walaupun ketika itu beliau mempunyai pelajar yang ramai dan setelah beberapa lama kemudian menyandang kembali jawatan yang seumpama itu di Neysyabur. Tujuan beliau kembali semula ke dunia akademik di Neysyabur adalah untuk mendedahkan beberapa penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat selain daripada atas permintaan sultan . Oleh itu, pengalaman yang telah direkodkan oleh Imam al-Ghazali di dalam al-Munqidh ini dianggap penting oleh tokoh falsafah dan ahli psikologi Barat iaitu William James (2012: 307) dimana beliau menyatakan di dalam bukunya Variety of Religious Experience bahawa teks autobiografi ini penting bagi memahami tentang kekuatan pengalaman spiritual dalam agama. Selain itu, seperti yang dinyatakan oleh Majid Fakhry (1970: 245), al-Munqidh juga dibandingkan dengan Confession tulisan St. Agustine (354M-430M) yang menceritakan tentang kegelisahan intelektual dan spritual.

            Berdasarkan autobiografi Imam al-Ghazali ini, penulis cuba menjawab persoalan-persoalan yang diajukan untuk subjek PPPH1123 Falsafah Islam. Jawapan penulis adalah seperti berikut:

1.         Apakah sikap umum Al-Ghazali terhadap falsafah
Autobiografi al-Munqidh min al-Dalal menceritakan tentang kembara ilmu Imam al-Ghazali yang telah menemukan beliau kepada empat aliran pemikiran utama iaitu ʿilm al-kalam (teologi), falsafah, baṭiniyyah5 dan taṣawuf. Imam al-Ghazali telah mengkaji ʿilm al-kalam, mempelajari ilmu falsafah dengan sendiri tanpa guru[1] ketika beliau masih menjawat jawatan mahaguru di Baghdad, mengkaji tentang penyelewengan baṭiniyyah dan menghayati amalan kesufian. Usaha yang dijalankan oleh Imam al-Ghazali ini tidak didorong oleh faktor lain kecuali ingin mendapatkan kepastian dan jawapan yang memuaskan tentang kebenaran. Oleh itu, ketajaman minda yang dimiliki oleh seorang pendidik perlu diselangi dengan jiwa yang kental dalam usaha mencari ilmu.

Sebagaimana yang disebut di atas, Imam al-Ghazali telah mengklasifikasikan ilmu yang berdasarkan kepada 4 kategori iaitu:

        i.            ilmu kalam
      ii.            al-batiniah
    iii.            falsafah
    iv.            tasawuf.

Menurut Imam al-Ghazali, setiap kategori ilmu tersebut mempunyai status yang berbeza bagi hierarki ilmu yang terkemudian ini. Sementara ilmu kalam tidak mempunyai kedudukan yang kukuh dalam klasifikasi ini, namun penting untuk membela keyakinan dan keimanan. Imam al-Ghazali menempatkan ilmu falsafah di tempat yang terpisah dari hierarki utama kategori ini. Sebahagian disiplin ilmu ini diterima dan sebahagian yang lain ditolak kerana bertentangan dengan ajaran Islam terutama berkaitan dengan metafizik. Ajaran batiniah tidak disebut dalam kategori ini kerana semuanya bercanggah dengan ajaran Islam dan di luar keperluan umat Islam. Ilmu tasawuf mendapat kedudukan yang khusus dan ditempatkan sebagai salah satu daripada dua cabang utama ilmu.

            Penulis dapati bahawa di dalam Al-Munqidh min Al-Ḍalal yang berbentuk autobiografi coretan Imam al-Ghazali, beliau membuat beberapa rujukan silang (cross reference) dengan kitab-kitab yang dikarang oleh oleh beliau antaranya ialah al-Tahafut al-Falasifah dan kitab Faisal al-Tafriqah baina al-Islam[2].

            Sikap Imam al-Ghazali terhadap ilmu falsafah pada pandangan penulis secara umumnya, adalah beliau menentangnya. Penentangan Imam al-Ghazali terhadap ilmu falsafah ini adalah kerana bagi beliau terdapatnya kebatilan atau penyelewengan di dalam ilmu falsafah. Imam al-Ghazali berpendirian sesuatu kebatilan dan penyelewengan  mestilah dengan tegas berasaskan ilmu. Semasa hayatnya, Imam al-Ghazali telah berusaha memerangi bukan sahaja ilmu falsafah, tetapi juga ilmu kalam, ajaran baṭiniyyah, pemikiran falsafah dan ajaran taṣawuf yang menyeleweng. Beliau menentang pemikiran dan ajaran tersebut dengan ilmu serta hikmah dan bukan dengan pendekatan tanpa mempelajari dan mengkaji terlebih dahalu ilmu-ilmu tersebut. Bagi Imam al-Ghazali[3], seseorang itu tidak dapat mendedahkan kecacatan sesuatu pemikiran kecuali dia sendiri lebih dahulu memahami ilmu itu dengan sedalam-dalamnya.

            Imam al-Ghazali mendapati bahawa ilmu falsafah itu bersifat rencam dan banyak ragam. Ajaran-ajaran falsafah menurut Imam al-Ghazali adalah tidak dapat dielakkan daripada tanda kafir dan ilhad (atheist/tidak bertuhan) kerana ilmu ini mempunyai perbezaan yang sangat besar serta jurang yang jauh dari al-haq (kebenaran). Imam al-Ghazali mengkategorikan golongan dan aliran-aliran falsafah seperti berikut[4]:

a.      al-Dahriyun
Golongan al-Dahriyun menurut Imam al-Ghazali ialah golongan ahli falsafah Greek/Yunani. Bagi Imam al-Ghazali terdapat beberapa aspek mengapa menurutnya golongan al-Dahriyun ini menyimpang, menyeleweng, sesat dan zindiq. Antaranya ialah:
                                  i.            golongan al-Dahriyun ini menyangkal adanya Pencipta yang mengatur alam ini yang Maha Mengetahui dan Maha Kuasa. Golongan al-Dahriyun mengatakan bahawa alam ini wujud dengan sendirinya sejak azali tanpa ada penciptanya
                                ii.            lahirnya binatang dari nutfah[5] dan nutfah dari binatang

Jelaslah bahawa (i) dan (ii) adalah tidak konsisten dengan ajaran Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Hadith. Alam ini wujud kerana ada Penciptanya dan ia diatur oleh Allah s.w.t. Manakala, manusia yang pertama dicipta oleh Allah s.w.t daripada tanah dan manakala generasi kemudiannya barulah daripada nutfah. 

b.      al-Tabi’iyun (sains tabi’i atau alam semulajadi)
Golongan al-Tabi’iyun ialah golongan yang mengkaji tentang alam dan sains fizik. Pemerhatian kajian golongan ini termasuklah tentang tumbuh-tumbuhan (fitotomi), sains biologi yang turut mengkaji tentang organisma hidup termasuklah anatomi binatang dan manusia. Menurut Imam al-Ghazali, menerusi proses kajian ini, walaupun golongan al-Tabi’iyun ini secara akal menerima bahawa wujudnya Pencipta yang mencipta semua organisma hidup. Kebimbangan Imam al-Ghazali terhadap ilmu sains ini amat jelas kerana golongan ini bergantung sepenuhnya kepada akal dengan teori bahawa manusia yang mati tidak akan hidup semula[6]. Tiada konsep kehidupan sesudah mati seperti syurga, neraka, hisab dan sebagainya.  Pemikiran golongan al-Tabi’iyun inilah yang menyebabkan Imam al-Ghazali mengatakan bahawa golongan ini zindiq.

c.       al-Ilahiyun (theist atau ketuhanan)
Imam al-Ghazali menulis bahawa pada keseluruhannya golongan al-Ilahiyun yang terdiri daripada ahli falsafah Yunani[7] seperti Socrates, Plato dan Aristotle yang mana anak murid mengkritik pendapat gurunya tentang konsep ketuhanan. Walaupun pendapat Aristotle adalah terpisah daripada pendapat gurunya, namu Imam al-Ghazali masih berpendapat bahawa pendapat Aristotle merupakan bid’ah.

Kesimpulan bagi soalan 1 di atas, bolehlah penulis merumuskan bahawa penentangan Imam al-Ghazali terhadap ilmu falsafah kerana beberapa faktor. Faktor pertama, kerana mungkin ilmu falsafah pada ketika itu adalah asing daripada tradisi ilmu Islam sejak zaman Rasululullah s.a.w dan para sahabat. Ini kerana ilmu falsafah adalah berasal daripada Yunani. Faktor yang kedua, ilmu-ilmu sains tabi’i yang berkaitan dengan kajian fizik, astronomi, anatomi dan lain-lain ilmu sains yang lainnya pada ketika itu tidak menghubungkan antara sains dan Pencipta. Dan faktor yang ketiga, pada pendapat penulis tentang pemikiran ahli-ahli falsafah Greek, sungguhpun mereka mempunyai falsafah tentang konsep ketuhanan, seperti Tuhan berperang, Tuhan bercinta, Tuhan ada anak dan sebagainya, tetapi mereka masih lagi tidak mempunyai konsep kenabian. Demikianlah pada pendapat penulis penentangan Imam al-Ghazali terhadap ilmu falsafah kerana ketika itu berlakunya fahaman ahli falsafah yang meresap ke dalam ilmu Kalam.
 




2.         Bagaimanakah Al-Ghazali menilai falsafah dari segi hukum
Imam al-Ghazali mendapati setelah mengkaji secara mendalam, apa yang ditekuninya tentang ilmu falsafah adalah lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat. Ini kerana bagi beliau, penemuan kekeliruan dan kesesatan lebih banyak daripada penemuan pengetahuan. Matlamat ilmu falsafah untuk mencari kebenaran tetapi tidak berjaya mencapai makrifat yang hakiki. Sebaliknya ia menjadi penghalang kepada jalan tersebut. Walaupun Imam al-Ghazali mengakui kepentingan ilmu logik, tetapi beliau mempertikaikan ilmu ketuhanan ahli falsafah kerana ianya berdasarkan kepada suatu kesimpulan, keputusan dan rumusan mengikut sangkaan dan andaian sahaja. Beliau menolak ajaran falsafah yang merosakkan akidah lebih-lebih lagi yang menyangkut tentang ilmu metafizik. Imam al-Ghazali membahagikan tentang hukum ilmu falsafah dan mempelajari ilmu falsafah berdasarkan kepada penilaiannya yang terdiri daripada  3 kategori iaitu:

        i.            Bahagian yang wajib dikafirkan;
      ii.            Bahagian yang wajid dibid’ahkan
    iii.            Bahagian yang wajid ditolak terus

Penulis turunkan penilaian Imam al-Ghazali tentang ilmu falsafah yang terdiri daripada 6 elemen utama iaitu:

        i.            Ilmu matematik
Imam al-Ghazali menzahirkan kebimbangannya kepada masyarakat yang mempelajari ilmu matematik walaupun bidang ilmu ini tiada sangkutan dengan agama, tetapi dengan mempelajari ilmu matematik adalah dibimbangi akan bergoncang iman seseorang itu hingga terlepas dari ikatan takwa[8]. Imam al-Ghazali mengatakan demikian kerana dua faktor. Faktor pertama kerana bimbang dengan ilmu pemikiran ahli falsafah ini menyebabkan seseorang itu dekat dengan kekafiran dan ta’til iaitu melucutkan segala sifat yang ada kepada sesuatu. Ini kerana mazhab ta’til mengatakan Tuhan tidak mempunyai sifat. Semua sifat-Nya hanya tidak lain daripada zatnya yang satu jua. Faktor kedua pula ialah kerana jika seseorang Muslim yang jahil tentang agama, mempelajari pula ilmu matematik seperti ilmu astronomi adalah dibimbangi golongan jahil Muslim ini akan menolak terus agama Islam kerana tertarik kepada ilmu falsafah. Oleh itu, ilmu matematik bagi Imam al-Ghazali adalah ancaman besar dan status ilmu ini wajib diawasi.

      ii.            Ilmu logik
Walaupun ilmu logik juga tiada sangkutan dengan agama, namun Imam al-Ghazali mempunyai penilaian yang berbeza. Beliau tidak menentang dan tidak juga menyokongnya. Penggunaan ilmu logik oleh ulama Kalam yang meluas ketika itu terutama sekali di dalam ilmu Kalam dengan memikirkan tentang pendalilan berdasarkan logik akal. Menurut Imam al-Ghazali, mungkin orang ramai tertarik dengan ilmu logik kerana kaedahnya yang jelas. 

    iii.            Ilmu fizik
Daripada analisa penulis tentang pendapat Imam al-Ghazali berkenaan dengan ilmu fizik ataupun ilmu taibi’iyat ini, iaitu ilmu yang mengkaji tentang astronomi, binatang-binatang, tumbuh-tumbuhan, anatomi, ilmu perubatan dan lain-lain bahawa agama Islam tidak menolak sains. Tetapi ada beberapa persoalan seperti yang Imam al-Ghazali nyatakan di dalam kitabnya Tahafut al-Falasifah yang wajib disalahi iaitu menyentuh kepada proses kejadian manusia yang berasal daripada nutfah.
 
    iv.            Ilmu metafizik
Imam al-Ghazali menolak ilmu metafizik yang dipelopori oleh ahli falsafah walaupun pendekatan metafizik Aristotle menghampiri dengan ajaran Islam sebagaimana yang difahami oleh Ibn Sina dan al-Farabi. Imam al-Ghazali menyatakan 3 kesalahan ilmu metafizik dan wajib dikafiri kerana bertentangan dengan akidah dan syariat Islam iaitu:

a.       Tiada kebangkitan semula jasad manusia setelah mati
b.      Bagi golongan ahli falsafah, mereka hanya mengatakan bahawa Allah s.w.t hanya tahi perkara umum yang bersifat universal dan tidak mengetahui benda-benda khusus. Ini adalah bersalahan dengan sifat Allah s.w.t yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana
c.       Golongan ahli falsafah mengatakan bahawa alam ini bersifat kadim (kekal) azali (wujud sejak dari mula lagi). Fahaman pemikiran ini adalah bercanggah dengan akidah Islam iaitu semua makhluk adalah diciptakan oleh Allah s.w.t dan hanya Allah sahaja yang Kadim dan Azali.

      v.            Politik
Imam al-Ghazali tidak pula menyatakan pendiriannya dengan jelas di dalam autobiografinya ini tentang ilmu sains politik. Namun beliau hanya menyatakan bahawa ilmu sains politik ialah berkisar tentang perbincangan yang menyentuh kebijaksaan, muslihat (strategy) yang berkait dengan pekara-pekara keduniaa, dan pemerintahan.

    vi.            Etika
Imam al-Ghazali membahaskan persoalan etika dengan panjang lebar. Imam al-Ghazali mengatakan bahawa semua perbincangan tentang etika tertumpu kepada sifat-sifat yang patut menghiasi jiwa dan perilaku seseorang sebagai ubat kepada jiwa dan melawan nafsu. Di sini Imam al-Ghazali menjelaskan jika masyarakat mencampur adukkan sabda Rasululluah s.a.w dengan pengalaman rohani yang dilalui oleh ahli sufi, maka terdapat 2 impak kepada masyarakat iaitu yang pertama bahaya menolak dan keduanya bahaya menerima.

Namun bagi pendapat penulis, di antara moral, etika, dan akhlak adalah daripada berbeza sama sekali. Moral menyentuh tentang “good and bad”. Etika ialah merujuk kepada tatacara atau manual kerja misalnya “Etika bertemu pelanggan”. Apabila kita bertemu pelanggan, kita mesti senyum. Jika kita tidak senyum, kita melanggar etika kerja. Senyumlah bertemu pelanggan walaupun tidak ikhlas. Namun akhlak, terdapat unsure-unsur agama di dalamnya. Selain senyum merupakan satu sedekah, kita mesti ikhlas untuk senyum. Jika tidak ikhlas, kita sebenarnya berpura-pura. Kepura-puraaan adalah antara ciri-ciri sifat munafik. Golongan munafik kedudukannya berada di dalam neraka yang paling bawah sekali. 






3.         Sebagai satu disiplin ilmu, adakah falsafah  sesuai dibincang atau dikaji oleh orang awam ataupun tidak? Berikan pandangan anda

Falsafah adalah satu kaedah berfikir untuk mencari kebenaran atau hikmah. Dengan menggunakan kaedah berfikir dengan berasaskan ilmu yang benar dan bersumberkan al-Qur’an dan al-Hadith, manusia boleh menyelesaikan banyak masalah duniawi dan rohani. Pada pendapat saya, ilmu falsafah wajar dibincangkan dan juga dikaji oleh orang awam kerana ia mendatangkan kebaikan antara lain:

a.       Ilmu falsafah membantu masyarakat menyelesaikan masalah dan membantu mencapai kebahagian. Umpamanya dengan proses berfikir, kita boleh mencetuskan idea-idea baru yang lebih berinovasi untuk kebaikan ummah. Dengan menggunakan kaedah matematik yang betul dan sesuai, kita boleh mengukur berapa meter padu (m³) air yang diperlukan secara tepat untuk mencuci loji penapis minyak. Dengan kaedah ini, kebaikannya ialah kita dapat menjimatkan penggunaan air daripada pembaziran. Kita juga boleh berfikir apakah kaedah yang lebih sesuai untuk mengatasi masalah sumber-sumber alam yang kian berkurangan. Sebagai contoh sumber minyak selain daripada jatuh turunnya harga dunia terhadap sumber ini, kita juga boleh memikirkan idea lain untuk mencari alternatif kepada sumber ini seperti sumber tenaga suria dan lain-lain lagi.

b.      Ilmu falsafah juga sama ada kita sedar atau tidak, ia telah mempengaruhi kehidupan manusia termasuklah masyarakat awam. Aktiviti masyarakat awam juga amat terdedah dengan falsafah dan sebenarnya falsafah bukanlah asing kepada orang awam. Umpamanya kita pernah mendengar ungkapan falsafah pendidikan negara yang merupakan satu usaha berterusan untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh, bersepadu untuk menjadi insan yang harmoni dari segi intelek, emosi dan rohani dan jasmani. Untuk menggagaskan falsafah pendidikan negara ini, ahli-ahli akademik terpaksa duduk berbincang di dalam mengemukakan kerangka pendidikan negara yang terbaik.

c.       Ilmu falsafah juga membantu masyarakat dan orang awam memantapkan pemikiran. Ini kerana fungsi akal ialah sebagai alat untuk mencari kebenaran melalui proses berfikir yang berbentuk kritis dan inovatif. Manusia menggunakan akal dan wajib mempelajari tentang kebaikan dan keburukan. Dalam konteks ini, mempelajari kebaikan supaya masyarakat dan orang awam mengamalkannya untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Manakala mempelajari benda-benda yang mendatangkan kemudaratan atau keburukan bukanlah untuk mengamalkannya tetapi untuk menjauhinya.

d.      Ilmu falsafah juga dapat membantu orang awam memahami konsep metafizik (beyond physics). Sebagai contoh ilmu sains moden yang dipelopori oleh Barat gagal membuktikan bahawa manusia mempunyai roh. Melalui  proses kajian, akal mereka mengakui bahawa wujudnya Tuhan yang mencipta, tetapi kajian di makmal gagal membuktikan sesuatu yang bersifat metafizik. Al-Qur’an menjelaskan bahawa manusia terdiri daripada 2 unsur iaitu jasad dan roh. Jika ada jasad tetapi tiada roh, itu adalah mayat. Jika ada roh tetapi tiada jasad, mungkin kita boleh katakan ianya sebagai hantu.

e.       Ilmu falsafah juga boleh membantu orang awam untuk memahami berbagai kebudayaan bangsa dan corak pemikiran sama ada budaya masyarakat yang didiami ataupun kebudayaan asing. Dengan proses berfikir masyarakat boleh membuat analisis dan perbandingan akan sebab atau punca mengapa budaya asing adalah berbeza di antara satu sama lain. Dengan memahami apakah faktor-faktor yang melatari dokongan sesuatu budaya asing, membolehkan masyarakat awam terutama umat Islam mengenali budaya dan agamanya dengan lebih mendalam. Umpamanya di dalam kita memahami tradisi kebudayaan Jepun, kita boleh meniru budaya dan etika kerja orang-orang Jepun yang rajin, menepati waktu, menjaga kebersihan, menghormati orang lebih tua dan sebagainya. Budaya Jepun ini telah menarik minat bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed untuk menjadikan falsafah budaya kerja Jepun sebagai amalan masyarakat Malaysia melalui Dasar Pandang Ke Timur. Namun ada juga budaya masyarakat Jepun yang tidak harus kita contohi dan ikuti kerana ianya bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam. Umpamanya amalan Harakiri masyarakat Jepun.  Harakiri adalah amalan membunuh diri masyarakat Jepun yang menjadi satu aspek penting dalam masyarakat feudal Jepun terutamanya dikalangan samurai. Ia dianggap sebagai cara kematian yang mulia. Harakiri secara literal bermaksud "memotong perut". Tujuan bagi seseorang melakukan Harakiri kerana untuk mengelakkan malu demi menjaga maruahnya. Dari aspek budaya dan undang-undang Jepun, Harakiri bukanlah satu jenayah. Hanya jika membunuh orang lain adalah dianggap sebagai satu jenayah di Jepun. Namun, budaya ini tidak sesuai kepada kita. Islam menegah umatnya daripada membunuh orang tanpa sebab yang munasabah. Islam juga melarang umatnya dari membunuh diri. 

Kesimpulan yang penulis boleh rumuskan sebagai menjawab soalan 3 di atas, iaitu ilmu falsafah memang wajar diketengahkan untuk dipelajari oleh masyarakat awam. Tanggapan bahawa ilmu falsafah itu sesat dan bid’ah adalah satu tanggapan yang  perlu diperhalusi dengan berasaskan ilmu. Menolak falsafah sebenarnya kita menolak ilmu, sedangkan Islam meletakkan ilmu ditempat yang mulia dan ia sangat dituntut oleh agama Islam ke atas umatnya.









-          Tamat -



[1] Lihat halaman 22
[2] Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk “On the Boundaries of Theological Tolerance in Islam” adalah antara karya Imam al-Ghazali
[3] Lihat hlm 21                     
[4] Hlm 23
[5] Air mani
[6] Hlm 25
[7] Aristotle berguru dengan Plato; dan Plato berguru dengan Socrates
[8] Lihat hlm 28