Pages

Friday 19 April 2013

Berhijrah meninggalkan larangan Allah SWT



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم







قال الله تعالى :
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٍۢ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِىَ ٱلْعُلْيَا ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٤٠﴾







Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.   [Al-Taubah: 40]

Pengajaran ayat:
1. Hijrah Nabi s.a.w. dari Makkah ke Madinah al-Munawwarah adalah merupakan kemenangan besar bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat serta Islam . Ini jelas di sebut dalam ayat di atas  (فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ) , iaitu " Maka sesungguhnya Allah telah memenangkan Nabi Muhammad s.a.w." .

2.  Walaupun Nabi s.a.w. dan para sahabat pada zahirnya di halau keluar dari tanah air mereka, terpaksa meninggalkan sanak saudara, harta benda dan Baitullah, tetapi sebenarnya mereka akan pergi ke suatu tempat yang lebih selamat dan aman. Di Madinah mereka akan dapat beribadat kepada Allah dengan lebih baik dan sempurna tanpa di halang atau di ganggu oleh musyrikin Makkah dan musuh-musuh Allah.

3.    Semasa tempoh berdakwah di Makkah Nabi s.a.w. dan para sahabat sentiasa di tekan, di hina, di seksa dan sebahagian sahabat di bunuh seperti Sumayyah, Yaasir dan lain-lain. Nabi dan para sahabat juga di boikot dari segi sosial dan ekonominya yang mana mereka (Bani Hasyim dan Bani Al-Muttalib)  di halang dari bernikah kahwin, berjual beli, bercampur-gaul, bercakap dan masuk ke rumah puak musyrikin Makkah selama tiga tahun bermula awal Muharram tahun ke tujuh selepas perlantikan Nabi sebagai Rasul. 

4.   Tempoh boikot ini adalah antara kemuncak kepada keperitan dan penderitaan yang di hadapi oleh Rasululah s.a.w. dan para sahabat. Suara tangisan anak-anak kecil dan wanita-wanita  kedengaran dari penempatan Bani Hasyim dan Al-Muttalib di sebabkan kelaparan  sehinggakan ada di kalangan mereka yang terpaksa makan daun-daun kayu dan kulit-kulit binatang.

5.    Inilah harga bayaran yang telah di bayar oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat untuk mendapat kemenangan dengan berhijrah ke Madinah. Ini juga merupakan pra syarat bagi setiap kemenangan, tanpa kesusahan dan penderitaan seperti ini tidak mungkin kemenangan akan datang dengan mudah. 

6.   Hijrah ini juga sebagai petanda bahawa Islam akan tertegak dengan sepenuhnya dengan tertegaknya Negara Islam di Madinah.

7.   Untuk melaksanakan apa-apa perancangan mestilah di dahului oleh perancangan yang teliti dan betul. Rasulullah s.a.w. sebelum berhijrah telah merancang dengan penuh teliti dan berhati-hati agar perancangan berjalan dengan sempurna dan jaya. Baginda telah melantik:

i.           Abdullah bin Abu Bakar sebagai perisik yang akan membawa berita-berita dari musyrikin Makkah kepada baginda selama berada di Gua Thur. 

ii.           Asma' binti Abu Bakar sebagai pembawa makanan ke Gua Thur. Wanita di pilih supaya tidak dapat di kesan atau di syaki membawa sesuatu.

iii.   Aamir bin Fuhairah yang merupakan pengembala kambing, tugasnya memadamkan kesan tapak kaki Abdulllah yang berulang alik dari Makkah ke Gua Thur. Beliau juga membekal susu dari kambingnya untuk di minum oleh Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar.

iv.             Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik (kafir) tetapi boleh di percayai. Beliau pakar dalam selok belok jalan-jalan alternative ke Madinah. Tugasnya memandu perjalanan Rasullullah s.a.w. dan Abu Bakar  ke Madinah setelah keluar dari Gua Thur.

8.   Rasulullah berhijrah dengan perintah Allah untuk mendirikan sebuah masyarakat Islam yang harmoni dan sejahtera dan kesejahteraan dan keamanan tidak mungkin tertegak tanpa keredhaan Allah. Oleh itu sebaik sampai di Madinah,  projek pertama yang di laksanakan oleh baginda ialah membina masjid. Walaupun berhijrah dalam keadaan sehelai sepinggang dan tanpa rumah untuk di diami atau berehat tetapi yang lebih penting dari itu ialah hubungan manusia sebagai hamba dengan penciptanya sebagai Tuhan.

9.  Kemudian baginda membina hubungan ukhuwwah iaitu mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin sehingga terbina satu ikatan ukhuwwah yang kuat bahkan lebih kuat dari ikatan pertalian darah.

10. Unsur  ketiga terpenting yang di bina oleh Rasulullah dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera ialah ekonomi. Baginda membina pasar-pasar dan mendorong para sahabat agar berniaga sehingga lahirlah peniaga-peniga yang kaya raya di kalangan sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan.