Pages

Thursday 22 June 2017

Golongan Ahlus- Sunnah Menurut Imam Al-Baghdadi Di Dalam Kitab Al-Farq Bayn Al-Firaq



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين





1.1       Pengenalan

Penulisan ini cuba menghuraikan maksud golongan Ahli Sunnah Wa-Jamaah menurut Al-Baghdadi yang ditulis oleh beliau di dalam Kitab Al-Farq Bayn Al-Firaq (Perpecahan Muslim dan Mazhab). Untuk menulis artikel ini, penulis tidak merujuk terus kepada Kitab Al-Farq Bayn Al-Firaq yang ditulis oleh beliau, tetapi merujuk kepada terjemahan yang telah dibuat oleh Kate Chambers Seelye yang telah menterjemahkan Kitab Al-Farq Bayn Al-Firaq ke dalam Bahasa Inggeris (Kate Chambers Seelye 1920). Kate telah membahagikan Kitab ini kepada 3 Bahagian dan setiap bahagian tersebut mempunyai beberapa sub-topik dan ia boleh diringkaskan seperti berikut:

Bahagian
Sub Topik
Tajuk
Halaman
Pengenalan
1- 20
I
Bab 1
Kelompok-kelompok Di Dalam Masyarakat Muslim
21
II
Bab 1
Pendahuluan
25
Bab 2
Penjelasan Idea
27
Bab 3
Pembahagian Kelompok Mengikut Mazhab
31
III
Bab 1
Kelompok Rawafid
43
Bab 2
Kelompok Kharijlyah
74
Bab 3
Doktrin Kelompok Mu’tazilah & Qadariyah
116
Bibliografi
211
Index
215


1.2       Biodata Al-Baghdadi

Berdasarkan maklumat yang diterjemahkan oleh Kate Chambers, berikut diperturunkan serba sedikit latarbelakang Al-Baghdadi. Nama sebenarnya beliau ialah Abu Mansur 'Abd al-Kahir ibn-Tahir ibn-Muhammad Al-Baghdadi (w. 429 H/1037 M), menurut ibn-al-Salah iaitu anak lelaki Tahir ibn-Muhammad al-Baghdadi (283). Abd al-Kahir berasal dari Baghdad. Ketika usia mudanya, beliau mengikut ayahnya ke Nisapur di mana dia belajar pelbagai ilmu sehingga beliau menjadi mahir dan sangat terkenal dengan sangat pakar ilmu aritmetik. Walaupun begitu, Usuluddin (teologi) yang paling diminatinya. Dia adalah murid kepada Abu-Ishak al-Isfara'ini, yang dia berjaya dan menggantikan tempat gurunya selepas gurunya itu meninggal dunia pada 418 H (1027 M) sebagai guru dan pemimpin. Semasa konflik pemberontakan orang-orang Turki, telah memaksa Al-Baghdadi untuk berlindung di Isfarain pada 429H (1037M) sehingga beliau meninggal dunia dan dikebumikan bersebelahan gurunya Abu-Ishak (Kate Chambers Seelye 1920).

2.1       Golongan Ahlus- Sunnah Menurut Imam Al-Baghdadi


Bahagian ini hanya menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ. Beliau membahagikan golongan ASWJ kepada 8 kelompok
(Muhammad Uthman el-Muhammady 2011) (Asmadi Mohamed Naim 2009) iaitu:
 
Beliau menyatakan (hal.19): "Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara Usuluddin." 

Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

            Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu. 

            Golongan kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.

            Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan. 

Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu. 

Golongan kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat. 

            Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya. 

Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

            Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.


3.1       Kesimpulan
Daripada 8 kelompok di atas, itulah huraian dan penjelasan al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19): "Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan (Asmadi Mohamed Naim 2009).

Semoga penulisan ini membuka ruang minda masyarakat Islam di Malaysia khususnya agar tidak terbelenggu dengan isu-isu perdebatan yang boleh membawa kepada perpecahan hingga memperlekehkan sesuatu kelompok dengan kelompok yang lain hanya kerana perkara yang remeh temeh. Fokus umat Islam masa kini ialah masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan akidah dan fahaman Islam liberal seperti yang berlaku baru-baru ini seorang wanita warganegara Malaysia telah menyatakan bahawa larangan ke atas wanita untuk menjadi imam solat ialah satu bentuk penindasan ke atas wanita  (Sahlizah Mohamed 2017). Peranan utama ASWJ ialah mendidik dan membendung generasi muda agar tidak terpedaya dengan akidah dan aliran pemikiran yang menyeleweng.


Rujukan

 

 Asmadi Mohamed Naim. 2009, December 23. Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi. Utusan Malaysia,. Kuala Lumpur.

Kate Chambers Seelye. 1920. Moslem Schisms And Sects. (Richard Gottheil, Ed.). New York: Colombia University Press.

Muhammad Uthman el-Muhammady. 2011. Ahli Sunnah Wal Jamaah Penyerapan Unsur - Unsur Akidah yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam di Malaysia. Johor Bahru: Majlis Agama Islam Johor.

Sahlizah Mohamed. 2017, June 22. Zuraini jadi imam masjid liberal. Kosmo,. Kuala Lumpur.