السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
1.1 Pengenalan
Penulisan ini
cuba menghuraikan maksud golongan Ahli Sunnah Wa-Jamaah menurut Al-Baghdadi
yang ditulis oleh beliau di dalam Kitab Al-Farq Bayn Al-Firaq (Perpecahan
Muslim dan Mazhab). Untuk menulis artikel ini, penulis tidak merujuk terus
kepada Kitab Al-Farq Bayn Al-Firaq yang ditulis oleh beliau, tetapi merujuk
kepada terjemahan yang telah dibuat oleh Kate Chambers Seelye yang telah
menterjemahkan Kitab Al-Farq Bayn Al-Firaq ke dalam Bahasa Inggeris (Kate Chambers Seelye 1920). Kate telah membahagikan
Kitab ini kepada 3 Bahagian dan setiap bahagian tersebut mempunyai beberapa sub-topik
dan ia boleh diringkaskan seperti berikut:
Bahagian
|
Sub
Topik
|
Tajuk
|
Halaman
|
Pengenalan
|
1-
20
|
||
I
|
Bab
1
|
Kelompok-kelompok
Di Dalam Masyarakat Muslim
|
21
|
II
|
Bab
1
|
Pendahuluan
|
25
|
Bab
2
|
Penjelasan Idea
|
27
|
|
Bab
3
|
Pembahagian
Kelompok Mengikut Mazhab
|
31
|
|
III
|
Bab
1
|
Kelompok
Rawafid
|
43
|
Bab 2
|
Kelompok
Kharijlyah
|
74
|
|
Bab 3
|
Doktrin
Kelompok Mu’tazilah & Qadariyah
|
116
|
|
Bibliografi
|
211
|
||
Index
|
215
|
1.2 Biodata Al-Baghdadi
Berdasarkan
maklumat yang diterjemahkan oleh Kate Chambers, berikut diperturunkan serba
sedikit latarbelakang Al-Baghdadi. Nama sebenarnya beliau ialah Abu Mansur 'Abd
al-Kahir ibn-Tahir ibn-Muhammad Al-Baghdadi (w. 429 H/1037 M), menurut
ibn-al-Salah iaitu anak lelaki Tahir ibn-Muhammad al-Baghdadi (283). Abd al-Kahir berasal dari Baghdad. Ketika
usia mudanya, beliau mengikut ayahnya ke Nisapur di mana dia belajar pelbagai ilmu
sehingga beliau menjadi mahir dan sangat terkenal dengan sangat pakar ilmu aritmetik.
Walaupun begitu, Usuluddin (teologi) yang paling diminatinya. Dia adalah murid kepada
Abu-Ishak al-Isfara'ini, yang dia berjaya dan menggantikan tempat gurunya selepas
gurunya itu meninggal dunia pada 418 H (1027 M) sebagai guru dan pemimpin. Semasa
konflik pemberontakan orang-orang Turki, telah memaksa Al-Baghdadi untuk
berlindung di Isfarain pada 429H (1037M) sehingga beliau meninggal dunia dan
dikebumikan bersebelahan gurunya Abu-Ishak (Kate
Chambers Seelye 1920).
2.1 Golongan Ahlus- Sunnah Menurut Imam Al-Baghdadi
Bahagian ini hanya menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ. Beliau membahagikan golongan ASWJ kepada 8 kelompok
(Muhammad
Uthman el-Muhammady 2011) (Asmadi
Mohamed Naim 2009) iaitu:
Beliau menyatakan (hal.19): "Maka
golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y
(Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang
mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka,
perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya
sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya,
hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud
dan pada perkara Usuluddin."
Seterusnya,
Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam
Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):
Golongan
pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan
Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman
seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan.
Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari
fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada
fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan
bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh
pengikut bidaah dan hawa nafsu.
Golongan
kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil
aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara
usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang
azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka
bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah
Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan
Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk
dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i,
al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur
(wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir,
keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan
prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka
tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.
Golongan
ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan
hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan
antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil
(kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan
apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.
Golongan
keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan
saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu
'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H),
al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H)
dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana
mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah
al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung
ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah
walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.
Golongan
kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan
jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran,
penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan
takwilan ahli nafsu yang sesat.
Golongan
keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka
jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan
hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati
dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca
zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk
hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan
isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang
mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula
meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu
dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka
ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya,
penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.
Golongan
ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan
dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi
benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara
mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.
Golongan
kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya
terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu
yang sesat.
3.1 Kesimpulan
Daripada
8 kelompok di atas, itulah huraian dan penjelasan al-Imam Abdul Qahir bin Tohir
bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai
Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan
mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah
pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa
beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang
perkara-perkara cabang (hal. 19): "Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai
halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada
sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada
keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus
melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi
kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan
menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang
diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman
pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur,
beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan (Asmadi Mohamed Naim 2009).
Semoga penulisan
ini membuka ruang minda masyarakat Islam di Malaysia khususnya agar tidak
terbelenggu dengan isu-isu perdebatan yang boleh membawa kepada perpecahan hingga
memperlekehkan sesuatu kelompok dengan kelompok yang lain hanya kerana perkara
yang remeh temeh. Fokus umat Islam masa kini ialah masa yang perlu digunakan
untuk memperbetulkan akidah dan fahaman Islam liberal seperti yang berlaku
baru-baru ini seorang wanita warganegara Malaysia telah menyatakan bahawa
larangan ke atas wanita untuk menjadi imam solat ialah satu bentuk penindasan
ke atas wanita (Sahlizah Mohamed 2017). Peranan utama ASWJ ialah
mendidik dan membendung generasi muda agar tidak terpedaya dengan akidah dan
aliran pemikiran yang menyeleweng.
Rujukan
Asmadi Mohamed Naim. 2009, December 23. Golongan
Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi. Utusan Malaysia,. Kuala Lumpur.
Kate Chambers Seelye. 1920. Moslem Schisms And Sects. (Richard Gottheil, Ed.). New York: Colombia University Press.
Muhammad Uthman el-Muhammady. 2011. Ahli Sunnah Wal Jamaah Penyerapan Unsur - Unsur Akidah yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam di Malaysia. Johor Bahru: Majlis Agama Islam Johor.
Sahlizah Mohamed. 2017, June 22. Zuraini jadi imam masjid liberal. Kosmo,. Kuala Lumpur.
Kate Chambers Seelye. 1920. Moslem Schisms And Sects. (Richard Gottheil, Ed.). New York: Colombia University Press.
Muhammad Uthman el-Muhammady. 2011. Ahli Sunnah Wal Jamaah Penyerapan Unsur - Unsur Akidah yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam di Malaysia. Johor Bahru: Majlis Agama Islam Johor.
Sahlizah Mohamed. 2017, June 22. Zuraini jadi imam masjid liberal. Kosmo,. Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment