Pages

Tuesday 26 June 2012

Impak Ibadah Solat Dalam Pembangunan Insan



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji-pujian dirafa’kan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta sekalian alam, Tuhan yang mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita hambaNya supaya dapat kita pergunakan masa untuk beribadah dan mengabdikan diri kepadaNya. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Rasul pilihan yang menunjukkan teladan akhlak mulia supaya menjadi contoh dan ikutan umatnya.

Dalam esei yang bertajuk Impak Ibadah Solat Dan Peranannya Dalam Pembangunan Insan, mengandungi kupasan dan keterangan akan pentingnya ibadah solat dalam aspek pembangunan insan. Penulis cuba merungkaikan rahsia dan hikmah ibadah solat dari perspektif manifestasi kehambaan manusia kepada Allah SWT. Solat merupakan suatu ibadah khusus yang tidak boleh ditokok tambah sesuka hati oleh umat Islam agar ianya benar-benar menepati kehendak Allah SWT sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad  dalam sabda baginda:

صَلُّوْ كَمَا رَأيْتُمُوْ نِي أُصَلِّيْ
Maksudnya: Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”[1]

Semoga usaha kecil penulis dalam menyusun esei ini akan dapat memberi manafaat kepada masyarakat. Penulis mengalu-alukan pandangan dan cadangan yang membina untuk tujuan penambahbaikan terhadap kandungan esei ini demi kebaikan bersama.

1.0          Pendahuluan


Islam adalah agama yang dibawa oleh seorang Nabi Muhammad SAW yang mulia serta mempunyai akhlak terpuji, iaitu Nabi kita Muhammad bin Abdullah sebagai penutup para nabi dan rasul. Baginda mendapat wahyu dari Allah SWT yang merupakan mukjizat yang paling besar iaitu Al-Quran.

Al-Quran adalah sebuah kitab yang tiada keraguan padanya dan menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Kitab al-Quran merupakan panduan dan petunjuk yang lengkap bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Kelengkapan al-Quran adalah mengandungi petunjuk umum iaitu berupa prinsip-prinsip yang sesuai bagi segala tempat dan zaman. [2]

Bagi setiap orang yang mengaku dirinya sebagai muslim mestilah mengakui bahawa dirinya benar-benar muslim dari segi aqidah, syariah dan akhlak. Demikianlah juga ibadah dalam Islam merupakan kemuncak dari perasaan tunduk dan patuh kepada Allah SWT dan klimaks dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah SWT sebagai tempat pengabdian diri. Ibadah dalam Islam adalah penyambung antara makhluk dan Penciptanya. Selain dari itu ibadah dalam Islam juga mempunyai impak-impak atau kesan-kesan yang mendalam dalam kehidupam muslim terutama dalam konteks hubungan makhluk dan Penciptanya. Tidak ada perbezaan antara rukun-rukun Islam dalam bidang ini. Dalam ertikata solat, puasa, zakat, haji dan semuanya amal-amal yang dilakukan manusia adalah untuk mendapat keredaan Allah SWT dan memelihara syariatnya adalah sama.

 

Secara fitrahnya agama Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini adalah ibadat dan taat kepada Allah. Hal inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.[3]


1.1       Kedudukan Solat Dalam Islam

Setiap umat Islam meyakini bahawa solat adalah ibadat paling utama mengatasi semua ibadat setelah mengucap dua kalimah syahadah. Bukti kelebihan solat sangat banyak. Malah ibadah solat adalah satu-satunya ritual ibadah yang Allah SWT menjemput junjungan besar Nabi Muhammad  melalui peristiwa israk dan mikraj. Sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [4]

Kedudukan ibadah solat dalah sangat tinggi dan agung dalam Islam. Di antara dalil-dalil yang membuktikan bahawa solat adalah ibadah yang paling utama dalam kehidupan insan ialah:
عَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ الّلهُ عَنْهُ أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللّهُ عَليْهِ  وَسَلَّمَ قَالَ  
رَأسُ الأمْر اْلأِسْلآمُ , وَعمرده الصَّلآة , وذروة  سَنَامِهِ اَلْجِهَادُ :  


Maksudnya: Daripada Muaz r.a. bahawa sesungguhnya Nabi SAW  bersabda: Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad. [5]

Oleh kedudukan solat sangat tinggi “rankingnya” dalam kehidupan umat Islam, maka diwajibkan kepada semua umat Islam agar mendirikan solat lima kali sehari sebagai ibadah harian dan ianya dilakukan secara berulang-ulang kali. 



1.2          Definisi Solat


Sebelum kita menghubungkaitkan diantara ibadah solat dengan pembangunan insan, mari kita lihat terlebih dahulu definisi solat itu sendiri.

Menurut pendapat Ustaz Ishak, Prof. Dato’ Dr Haron dan Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, solat menurut bahasa ertinya doa, manakala disegi istilah ialah beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.[6]

Manakala pendapat Hasnan Kasan di dalam bukunya “Mari memahami dan menghayati bacaan solat” menyatakan bahawa definisi solat menurut ahli bahasa Arab, solat bermakna doa atau permintaan daripada manusia kepada Allah. Manakala solat menurut istilah feqah pula ialah beberapa perbuatan dan perkataan yang dimulakan dengan takbiratulihram dan disudahi dengan salam, ditunaikan dalam waktu yang ditetapkan dan menurut cara yang telah ditetapkan oleh syarak.[7]

Asal bahasa perkataan solat dalam bahasa Arab bermaksud doa atau mengemukakan permohonan[8]. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡ‌ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ۬ لَّهُمۡ‌ۗ ٌ

Maksudnya: Dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. [9]

Demikanlah beberapa petikan daripada beberapa sumber untuk menerangkan maksud solat. Pada bab yang seterusnya kita akan membincangkan bagaimana solat boleh mempengaruhi kehidupan manusia.  Solat yang sempurna sudah pasti akan memberi impak kepada manusia sama ada dari sudut hati, lidah dan seluruh anggota serta segala amal perbuatannya seharian adalah mengikut ketetapan syariat Islam dengan berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.


1.3       Pendidikan Rohani Melalui Solat


Solat adalah hubungan diantara hamba dan PenciptaNya. Ianya berlaku secara langsung sebanyak lima kali sehari semalam. Solat juga diperintahkan kepada ibubapa di dalam proses pendidikan awal anak-anak seawal umur tujuh tahun. Sabda Rasulullah SAW menerapkan pendidikan rohani kepada anak-anak dengan ibadah solat:        

عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ

Maksudnya: Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda  Rasulullah SAW : “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.

Dikiaskan juga solat dalam hadith ini ialah ibadah-ibadah lain seperti puasa, haji dan zakat bahkan hendaklah kita memberi kefahaman kepada anak-anak bahawa ibadat menurut Islam tidak terbatas kepada empat perkara ini sahaja tetapi merangkumi segala amal soleh seperti perkara halal haram sejak mereka kecil lagi sebagai didikan dan membentuk jiwa yang beragama yang dapat mengawal dirinya daripada kesesatan. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menunjuk ajar anak-anak kita perbezaan baik dan buruk, masalah halal dan haram, antara hak dan batil. Di samping itu, ibu bapa hendaklah menjadi tauladan seperti melakukan apa yang dihalalkan dan meninggalkan apa yang dilarang. [10]

Islam menekankan pendidikan rohani iaitu ibadah solat semenjak kita kecil iaitu semasa berusia tujuh tahun agar makluk insan sentiasa takut kepada Allah SWT, meninggalkan apa yang dilarang dan menjadi benteng kepada manusia.
Hal ini ditegas oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya,
 اعْمَلُوا بِطَاعَةِ الله، وَاتَّقُوا مَعَاصِى الله، وَمُرُوا أَوْلاَدَكُم بِامتِـثَالِ الأَوَامِر، وَاجْـتِنَابِ النَوَاهِى، فَذلِكَ وِقَايَة لَهُمْ وَلَكُمْ مِنَ النَّارِ.

Maksudnya: Kerjakanlah olehmu amalan ketaatan kepada Allah,  takutlah kamu daripada melakukan maksiat, suruhlah anak-anak kamu melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Sesungguhnya itu adalah pendinding bagi mereka (anak-anak kamu) dari dirimu daripada api neraka. [11]

Allah juga memerintahkan kepada hambaNya melalui Nabi Muhammad SAW dalam firmanNya: 

۞ مُنِيبِينَ إِلَيۡهِ وَٱتَّقُوهُ وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ (٣١)

Maksudnya: Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik.[12]

Daripada keterangan diatas, dapatlah dirumuskan bahawa asas tuntutan Islam yang penting bagi membolehkan umat manusia berpegang kepadanya dalam urusan duniawi  mereka ialah perhubungan antara diri mereka sendiri kepada Allah SWT iaitu selaku seorang makhluk kepada PenciptaNya dan selaku seorang hamba kepada Tuannya iaitu Allah SWT. Perhubungan inilah yang dinamakan ibadah solat, iaitu tunduknya seorang manusia kepada Tuhan yang telah menciptanya, yang telah memberikan tubuh badan dan akalnya, yang telah menjadikan bumi yang indah sebagai tempat hidupnya. Hidup didunia adalah merupakan jambatan ke akhirat.


2.0       Konsep Penyerahan Kepada Allah SWT

Sebagaimana yang disebutkan diatas, secara umumnya, Islam bermaksud patuh, ikut tunduk dan menyerah diri tanpa bantahan, bangkangan dan syarat terhadap semua perintah Allah SWT. Al-Quran telah merakamkan sebahagian ucapan para rasul dan nabi yang menyatakan bahawa mereka menyeru umat mereka kepada agama Islam dan mereka sendiri mengakui bahawa mereka berserah diri kepada Allah SWT[13]. Antaranya ialah:

Nabi Nuh a.s. berkata kepada kaumnya: 
 
فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَمَا سَأَلۡتُكُم مِّنۡ أَجۡرٍ‌ۖ إِنۡ أَجۡرِىَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ‌ۖ وَأُمِرۡتُ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (٧٢)


Maksudnya: "Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".[14]

 Nabi Ibrahim a.s berkata:


رَبَّنَا وَٱجۡعَلۡنَا مُسۡلِمَيۡنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً۬ مُّسۡلِمَةً۬ لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبۡ عَلَيۡنَآ‌ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ (١٢٨)

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;[15]
Nabi Musa a.s. berkata kepada kaumnya: 
 
وَقَالَ مُوسَىٰ يَـٰقَوۡمِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ فَعَلَيۡهِ تَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّسۡلِمِينَ (٨٤)

Maksudnya: Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".[16]

Pengikut Nabi Isa a.s. dan pembantunya berkata:

 ۞ فَلَمَّآ أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنۡہُمُ ٱلۡكُفۡرَ قَالَ مَنۡ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ‌ۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِيُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشۡهَدۡ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ (٥٢)

Maksudnya: Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).[17]


Nabi Muhammad SAW pula berkata: 

 لَا شَرِيكَ لَهُ ۥ‌ۖ وَبِذَٲلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (١٦٣)


Maksudnya: Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)"[18]



3.0       Sifat Semulajadi Manusia

Allah SWT mencipta manusia sangat istimewa berbanding dengan makluk-makluk lain kerana adanya akal dan roh insani. [19] Kerana itulah manusia itu adalah khalifah di muka bumi sebagaimana firman Allah SWT:


وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬‌ۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيہَا مَن يُفۡسِدُ فِيہَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ‌ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ (٣٠) وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَہُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (٣١)

 

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". [20]

Walaupun demikian, manusia dibekalkan oleh Allah SWT dengan tabiat semulajadi. Begitu Allah SWT dengan sifat belas kasihNya kepada makhluk ciptaanNya, telah memberi panduan iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah supaya manusia itu dipandu dan tidak terpesong daripada menderhaka kepada Allah SWT.

Analisis penulis terhadap tulisan Dr Amran di dalam bukunya yang bertajuk “Memperkasakan Diri” dimana beliau telah membahagikan sifat semulajadi manusia ini kepada beberapa bentuk. Bentuk-bentuk sifat semulajadi manusia itu pula adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor dalaman dan luaran. Di halaman berikutnya penulis akan diperturunkan pendapat beliau berkenaan dengan sifat-sifat semulajadi manusia untuk dikongsikan bersama.


3.1       Ciri-Ciri Sifat Semulajadi Manusia

 Dr Amran berpendapat bahawa faktor dalaman kepada sifat semulajadi manusia itu adalah terdiri daripada dua bentuk. Iaitu:

                                      i.        Rasa resah gelisah
Dr Amran turut menyatakan bahawa manusia itu dibekalkan dengan perasaan yang sentiasa resah gelisah. Pendapat beliau adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT:
 
۞ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩)

Maksudnya: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut);[21]

Tidak kira sama ada di dalam situasi senang, sihat, kaya atau miskin itulh antara sifat dan tabiat manusia yang menyebabkan kebanyakan mereka tidak bersyukur di atas nikmat Allah SWT. Manusia mudah terpesona dengan keindahan lahiriah menyebabkan mereka lupa kepada Allah SWT termasuk lupa akan adanya kehidupan yang kekal di alam akhirat. [22]

Bagi insan yang kaya raya tetapi tidak memahami hakikat alam akhirat menganggap bahawa kematian bererti kemusnahan segala-galanya. Peredaran siang dan malam yang berlaku sebenarnya tidak ubah merupakan langkah-langkah yang menghampirkan diri kepada maut. Semua yang wujud di dunia akan luluh dimakan zaman. Hanya kemahuan yang kuat iiatu nafsu dan angan-angan manusia sahaja yang tidak tua diragut oleh peredaran siang dan malam. [23]

Bagi sesetengah golongan yang miskin pula, kemiskinan tidak pula menjadi faktor total yang boleh menyedarkan manusia dan insaf daripada memperbaiki diri untuk berdampingan dengan Allah SWT. [24]


                                    ii.        Nafsu Cenderung Melakukan Kejahatan
Dr Amran juga menyatakan bahawa manusia adalah terdorong untuk melakukan kejahatan berbanding kebaikan. Pendapat berliau adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT: 

۞ وَمَآ أُبَرِّئُ نَفۡسِىٓ‌ۚ إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ‌ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٥٣)

Maksudnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [25]

Terlalu banyak contoh yang membuktikan bahawa tingkahlaku manusia yang melibatkan kerosakan pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Ianya berlaku tanpa sebab dan dorongan yang jelas. Hal-hal ini juga boleh dikaitkan dengan kes-kes penagihan dadah, perzinaan, pembuangan bayi, pemusnahan harta benda awam dan sebagainya. [26]


                                   iii.        Sumpahan Iblis Terhadap Manusia

Iblis pernah bersumpah di hadapan Allah SWT yang ia akan menyesatkan manusia sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah roh keluar daripada jasad. Terbukti bahawa ancaman itu benar-benar dilakukan. Dijelaskan di dalam Al-Quran betapa iblis berjaya memperdaya Adam dan Hawa yang menyebabkan mereka melanggar larangan Allah SWT. Banyak contoh-contoh lain yang dimuatkan di dalam Al-Quran yang mana iblis dan kaum kerabatnya berjaya menyesatkan manusia. [27]



4.0       Impak Ibadah Khusus Dalam Kehidupan Muslim

Manusia dicipta tiada lain adalah untuk menyembah atau beribadah kepada Allah SWT. Oleh kerana tugas manusia itu adalah berat, maka Allah SWT memberi ganjaran kepada yang berbuat baik dan memberi hukuman kepada yang berbuat jahat. Dalam kehidupan di dunia ini, manusia dibekalkan dengan nafsu disamping godaan syaitan yang Allah hadirkan dengan bertujuan untuk menguji manusia sama ada manusia itu berjaya di dalam ujian atau sebaliknya.

Namun Allah SWT dengan sifat kasih sayangNya telah memberikan umat manusia  yang benar-benar mahu memperhambakan diri kepadaNya akan kesan daripada amal soleh daripada ibadah solat yang mereka kerjakan. Antara impak ibadah solat itu ialah:


a)    Solat Adalah Penolong Kepada Umat Islam

Selain daripada solat adalah merupakan tiang agama, solat juga merupaka amalan pertama yang dihisap ketika dibangkitkan semula pada hari kiamat. Ini bertepatan dengan hadith Nabi Muhammad  :

 

مَا أوِّلُ:قَالَ وَسَلَّم عَلَيهِ اللّهُ صلَّى النَّبِيِّ عَن عَنْهُ اللّهُ رَضِيََ مَالِكٍ بْن أنَسَ عَنْ
,فٍانَ صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرُ عَمَلِهِ, الصّلاَة:العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ بِهِ يُحَاسَبُ
 وَإنْ فَسَدَتْ فسَدَ سَائَرُعَمَلِهِ

 

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a daripada Nabi SAW sabdanya: Pertama-tama akan ditanya kepada hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka akan baik pula segala amalannya, dan sekiranya rosak solatnya maka akan rosak pula segala amalannya.[28]

Maka kepada umat Islam yang benar-benar yakin kepada hari pembalasan, hendaklah bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah solat supaya dapat menjadi penolong kepada diri mereka tatkala hari kebangkitan semula. Malahan Allah SWT juga telah menerangkan bahawa ibadah solat adalah salah satu daripada penolong umat manusia ketika hari kiamat sebagaimana firman Allah SWT:

 إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٲكِعُونَ (٥٥)

 Maksudnya: Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).[29]



b)    Solat Menghalang Perbuatan Keji dan Munkar.

Seterusnya, ibadah solat yang sempurna pula akan dapat menghalang umat Islam daripada berbuat dosa. Solat itu sendiri telah menjadi benteng pertahanan kepada kita daripada nafsu yang mendorong untuk berbuat maksiat. Ini adalah berdasarkan kepada dalil Al-Quran firman Allah SWT:


ٱتۡلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ (٤٥)

Maksudnya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.[30]

Allah SWT telah memerintah supaya mendirikan solat dan juga telah menerangkan kesan solat kepada mereka yang mendirikannya. Solat itu mencegah perbuatan keji iaitu perbuatan yang haram dan kata-kata mungkar. Perbuatan yang keji dan perkataan yang mungkar, kedua-duanya menghasilkan dosa.


c)    Solat Menjadikan Seseorang Stabil Fikiran dan Emosi

Solat yang sempurna sifatnya juga boleh menyembuhkan penyakit hati dan rasa resah gelisah yang dialami oleh manusia. Allah SWT memaklumkan kepada kita supaya mendirikan solat ketika kita stress ataupun ketika mengalami gangguan emosi. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu di tiga ayat terakhir surah Al-Hijr:

 وَلَقَدۡ نَعۡلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدۡرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (٩٧)

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. [31]


فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ (٩٨)

Maksudnya: Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.[32]
 
وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأۡتِيَكَ ٱلۡيَقِينُ (٩٩)

Maksudnya: Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.[33]


Dengan mendirikan solat juga dapat mengubati penyakit hati seperti kedekut dan rasa resah gelisah, gundah gulana dan ketika ditimpa kesusaha sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩) إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعً۬ا (٢٠) وَإِذَا مَسَّهُ ٱلۡخَيۡرُ مَنُوعًا (٢١) إِلَّا ٱلۡمُصَلِّينَ (٢٢) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَاتِہِمۡ دَآٮِٕمُونَ (٢٣)

Maksudnya: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). (19) Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. (20) Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. (21) Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (22) Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (23) [34]
Hadith riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّ فِي الصَّلاَةِ شِفَاءً
Maksudnya: Sesungguhnya di dalam solat itu ubat (penyembuhan)[35]



d)    Solat Menjadikan Ingatan Selalu Kepada Allah SWT

Ibadah solat juga merupakan talian perhubungan diantara makhluk dengan sang PenciptaNya. Solat juga sebagai tanpa patuh tanpa syarat seseorang muslim kepada Allah SWT. Solat yang sempurna akan mewujudkan perasaan kemanisan iman seseorang manusia itu terhadap Tuhan yang Maha Penyayang. 

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran tentang perihal tersebut ialah:


فَإِذَا قَضَيۡتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذۡڪُرُواْ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِڪُمۡ‌ۚ فَإِذَا ٱطۡمَأۡنَنتُمۡ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا مَّوۡقُوتً۬ا (١٠٣)


Maksudnya: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.[36]

Di dalam ayat diatas, jelas Allah SWT menyuruh kita agar sentiasa mengingatiNya walau dalam apa keadaan sekalipun sama ada sihat, sakit, senang atau susah. Sesungguhnya dengan mengingati Allah SWT, hati kita akan menjadi tenang dan tenteram.

Ibadah solat juga dapat melahirkan perasaan bebas dari sebarang perhambaan kepada yang lain daripada Allah SWT. Seorang abid tidak mudah tunduk kepada segala perintah yang bercanggah dengan perintah Allah SWT kerana diri danjiwanya telah diserahkan kepada mentaati Allah SWT semata-mata. Iman dan keyakinannya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Tindakan dan perlakuannya bukan kerana takut kepada makhluk tetapi sistem hidupnya adalah pengabdian diri kepada Tuhan Maha Berkuasa.


e)    Solat Mendatangkan Kejayaan dan rezeki.

Allah SWT juga telah memerintahkan hambaNya supaya mendirikan solat dengan tekun dan sabar sebagaiman firmanNya: 

وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡہَا‌ۖ لَا نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقً۬ا‌ۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَ‌ۗ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ (١٣٢)

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.[37]

Orang yang beribadah dengan ikhlas pastinya akan mendapat pertolongan Allah SWT di atas perbuatannya. Maka Allah akan mencintainya dan juga menolongnya. Hadis yang bermaksud:

"Sesiapa yang meninggalkan dunia dengan ikhlas kerana Allah tanpa mempersekutukannya, mendidirkan solat dan membayar zakat, nescaya dia akan pergi dari dunia, di mana Allah sangat senang kepadanya. "

Itulah janji Allah SWT kepada orang-orang yang mendirikan solat dengan ikhlas akan menjamin keselamatannya di dunia dan akan mencapai kejayaan di akhirat.


f)     Solat Menumbuhkan Perpaduan dan Persaudaraan

Peranan dan impak solat juga tidak terhad kepada individu muslim. Malahan fungsi solat juga dapat dimanafaatkan oleh sesebuah masyarakat. Solat adalah asas akhlak yang baik. Manakala solat berjemaah pula merupakan satu cara dan disiplin yang efektif untuk ikatan kemasyarakatan, berkasih sayang sesama manusia dan bersatu tenaga untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Selain daripada itu terdapat beberapa manafaat hasil daripada mendirikan solat secara berjemaah antaranya ialah:

Pahala solat berjemaah dinyatakan oleh hadith daripada Ibnu ‘Umar r.a:  
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: صَلاَةُ الجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرْجَةً وَفِي رِوَايَةٍ بِخَمْسٍ وَعِشْرِينَ دَرْجَةً.

Maksudnya: Pahala solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat-dalam riwayat yang lain disebut-dengan 25 darjat.[38]

Ganjaran besar yang dikurniakan oleh Allah terhadap pelaksanaan solat berjemaah adalah petanda yang nyata bahawa umat Muhammad  ialah umat yang istimewa. Di sini disebutkan antara kelebihan solat berjemaah.

Di dalam hadith yang lain Rasullullah  bersabda, orang yang memelihara solat berjemaah akan mendapat dua ganjaran. Pertama: Bebas dan selamat daripada siksa api neraka. Kedua: Terhindar daripada sifat munafiq, ragu terhadap adab-adab Islam, hati yang keji dan tidak ikhlas terhadap Allah SWT serta lemah pancaran cahaya iman daripada menerangi kehidupan. Oleh itu, akan lahirlah segala bentuk kekejian, menganggap ringan dosa besar apatah lagi dosa kecil.

Daripada Anas r.a berkata: 
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ صَلَّى لِلّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ، يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُوْلَى كَتَبَ لَهُ بَرَاءَتَانِ: بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ.

Maksud: Rasulullah  bersabda: Sesiapa yang bersolat secara berjemaah serta sempat bersama imam pada takbir yang pertama selama 40 hari, maka Allah akan menetapkan untuknya dua keselamatan, pertama, selamat daripada api neraka, kedua, selamat daripada menjadi seorang munafiq

Pada pendapat penulis, jika seseorang insan itu amat mengambil berat tentang keperluan dan kepentingan solat secara berjemaah, perasaan perpaduan akan tumbuh dikalangan umat Islam. Seperti mana yang kita lihat terpampang di dada-dada akhbar, ramai dikalangan umat Islam dewasa ini yang berpecah-belah akibat daripada perbezaan ideologi politik. Umpamanya rusuhan umat Islam di Mesir sehingga runtuhnya pemerintahan bekas Presiden Mesir iaitu Husni Mubaraq. Begitu juga apa yang berlaku di Syiria sekarang ini.


g)    Solat Penghapus Dosa

Solat juga boleh berfungsi sebagai penghapus dosa. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a katanya:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ، هَلْ يَـبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَيْءٌ؟ قَالُوا: لاَ يَـبْقَى دَرَنِهِ-أَيْ وَسَخِهِ- شَيْءٌ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَكَذَلِكَ الصَّلَوَاتُ الخَمْسُ يَمْحُو اللهُ بِهِنَّ الخَطَايَا-الصَّغَائِرَ.
Maksudnya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang daripada kamu, lalu kamu mandi di sungai itu 5 kali setiap hari, adakah masih kekal kekotoran di badan kamu? Mereka (para sahabat) menjawab: Tidak ada kekotoran yang kekal. Sabda Rasulullah  lagi: Begitulah juga solat lima waktu, Allah SWT menghapuskan dengannya dosa-dosa iaitu dosa-dosa kecil. [39]


h)    Solat Itu Meningkatkan Darjat/Kedudukan

Hadith riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang sahih, daripada ‘Ubadah bin Somit r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda,

 مَا مِنْ عَبْد يَسْجُدُ لِلّهِ سَجْدَةً إِلاَّ كَتَبَ اللهُ بِهَا حَسَنَةً وَمَحَا عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ.
Maksudnya: Setiap sujud seseorang hamba itu akan dikurniakan oleh Allah satu kebaikan dan dihapuskan satu kesalahan serta diangkat untuknya satu darjat. Oleh itu, perbanyakkanlah sujud.[40]

Begitulah impak solat didalam kehidupan seseorang muslim. Dengan memperbanyakkan solat dan bermunajat kepadaNya, Allah SWT akan mengangkat darjat kedudukan seseorang itu mulia disisiNya.




i)     Solat Menjadikan Seseorang Dekat Kepada Allah SWT

Hadith Nabi , yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abu Hurairah,
 قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَقْرَبُ مَا يَكُونُ العَبْدُ مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَاكْثِرُوا الدُّعَاءَ.
Maksud: Rasulullah SAW  bersabda: Detik yang paling hampir seseorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu. [41]

 


5.0       Kesimpulan

Solat hendaklah dibuat dengan tekun, sabar dan bersungguh-sungguh iaitu di dalam keadaan kita menghadirkan hati dengan khusyuk dan pusat pemikiran tertumpu kepada semata-mata kepada Allah SWT sahaja. Perintah solat oleh Allah SWT kepada umat manusia, sama ada individu atau masyarakat (solat jemaah) semuanya mengandungi hikmah. Semua perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT jika dikerjakan pasti mempunyai kebaikan kepada yang melakukan. Sebaliknya segala larangan Allah SWT adalah perkara-perkara yang boleh mendatangkan kerosakan atau keburukan kepada manusia. Segala perlakuan yang baik mempunyai nilai yang diberi ganjaran pahala yang sangat bergunan terutama untuk kehidupan di akhirat kelak

Sesungguh Islam adalah agama yang sempuma kerana ia mencakupi segenap aspek kehidupan. Dalam Islam seluruh pekerjaan itu adalah dikira ibadah sekiranya memenuhi segala peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Tidak seperti dalam kebanyakkan agama di dunia yang menganggap hanya penyembahan dalam bentuk ritual sahaja dikira ibadah, sedangkan pekerjaan-pekerjaan yang lain tidaklah dikira sebagai ibadah. Bagi ajaran Islam ibadah-ibadah yang dilakukan terutama ibadah khusus sebenarnya tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia kerana impak atau kesan ibadah solat itu sangat besar kepada kehidupan seseorang muslim, sama ada di dunia mahu pun akhirat. Sebenamya tidak timbul konsep 50% untuk dunia dan 50% untuk akhirat, kerana seluruh kehidupan ini bagi seorang muslim adalah untuk dunia dan akhirat kerana dunia ini adalah ibarat ladang tempat kita menanam atau bercucuk tanam dan akhiratlah tempat kita menuai dan mengutip hasil. Segala yang diperintahkan oleh Allah SWT pastinya manfaatnya kepada manusia, bukan untuk Allah. Allah SWT tidak akan rugi atau berkurang sedikitpun jika manusia memboikot Allah, sebaliknya yang akan rugi manusia sendiri. Oleh itu baik sekali sekiranya kita mengkaji dengan teliti dan mendapatkan hikmah dari ibadah yang diperihtahkan kepada kita untuk melakukannnya.









Rujukan:

Buku Rujukan:


Al-Quran dan Terjemahan

Abdullah Al-Qari b Hj. Salleh, Rahsia Khusyuk Sembahyang, Dinie Publishers, Kuala Lumpur, 1994

Abd Muien Abdul Rahman, Sifat Solat Nabi SAW, Al-Hikmah Sdn Bhd, Selangor, 2009

Dr Muhammad Salim, Mengungkap Rahasia Shalat Rasulullah, Darul Fikir, Kuala Lumpur, 1988

Hasnan Kasan, Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat, Sinar Tenggara Sdn Bhd, Selangor, 2011

Imam Habib Abdullah Haddad, Nasihat Agama dan Wasiat Iman, Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 2005

Ustaz Ishak Din, Prof. Dato’ Dr Haron Din & Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Soal Jawab Fiqh Harian, Hizbi, Shah Alam, 1992

Syeikh Ali Ahmad Al-Jarjawi, Hikmah Di Sebalik Ibadah, (Terjemahan), Darul Nukman, Kuala Lumpur, 2005

Kertas Kerja

Y.B.S.S Dato’ Hj Mohd Murtadza bin Hj Ahmad, (Mufti Kerajaan Negeri Sembilan), “Pendidikan Anak Dengan Solat” – Kertas kerja ini telah dibentangkan di dalam seminar Kebangsaan Menghayati Ajaran Islam: Sembahyang Kewajipan Asasi, Tahun 1427H/2006, di Sutera Hall Center Point, Bandar Seri Bengawan, Brunei, anjuran Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Keratan Akhbar

Abu Numair Nawawi Subandi, Kita Solat Ikut Siapa, Sinar Harian, 10 Disember 2011, http://www.sinarharian.com.my/rencana/kita-solat-ikut-siapa-1.11578


[1] Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595
[2] Syeik Ali Ahmad:2005, hlm 25
[4] Surah Al-Isra’, 17:1
[5] Hadith Riwayat Tirmizi No. 2616 : hasan sahih
[6] Ustaz Ishak Din, Prof. Dato’ Dr Haron Din & Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Soal Jawab Fiqh Harian, hlm 59
[7] Hasnan Kasan, Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat, hlm 2
[8] Datuk Hj. Md Hashim Yahaya, Ensiklopedia Solat, hlm 23
[9] Surah At-Taubah, 9:103
[10] Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Sidqi Muhammad Jamil al-‘Attar, Darul Fikr, Bab Mata Yukmaru al-Ghulam bi al-Salah, Jld. 2 hlmn 123.
[11] Hadith riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir
[12] Surah Ar-Rum, 31: 30
[13] Memahami Islam sebagai Dinullah, Majalah Dian, Januari 2102, hlm 15
[14] Surah Yunus, 10: 72
[15] Surah Al-Baqarah, 2: 128
[17] Surah Ali-Imran, 3:52
[18] Surah Al-An’am 6:163
[19] Dr Amran Kasimin, Memperkasa Diri, hlm, 7
[20] Surah Al-Baqarah, 1: 30
[21] Surah Al-Ma’rij, 70: 19
[22] Dr Amran Kasimin, bab 2 hlm 7
[23] Ibid, hlm 9
[24] Ibid
[25] Surah Yusuf, 12: 53
[26] Ibid, hlm 11
[27] Ibid, hlm 12
[28] Hadith Sahih Riwayat At-Tabarani No.532
[29] Surah Al-Maidah, 5:55
[30] Surah Al-Ankabut, 29:45
[31] Surah Al-Hijr, 15:97
[32] Ibid, 98
[33] Ibid, 99
[34] Surah Al-Marij, 70:19-23
[35] Hadith Riwayat Ahmad
[36] Surah An-Nisa’, 4:103
[37] Surah Taha, 20:132
[39] Hadith Riwayat Muttafaq ‘alaih
[40] Hadith Riwata Ibnu Majah
[41] Hadith Riwayat Muslim