السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
Abstrak
Kertas
kerja ini dibuat adalah bertujuan untuk mengulas kes-kes murtad yang berlaku
dewasa ini daripada perspektif semasa. Kertas kerja ini juga cuba mengenalpasti
apakah terdapat perbezaan kesalahan murtad dan kesalahan keluar agama dalam
konteks perundangan di Malaysia. Tumpuan kajian ini ialah mengulas
laporan-laporan akhbar, ahli akademik, para ulama dan juga pihak yang mempunyai
autoriti untuk membuat kenyataan berikutan kes-kes murtad dikalangan
orang-orang Melayu. Ulasan di dalam kajian ini dibuat dari sudut kotemporari punca-punca
berlakunya murtad, siapakah kelompok golongan yang mudah terpengaruh dengan
penyebaran agama lain. Kertas kerja ini juga mengenengahkan cadangan-cadangan
bagaimana cara untuk membendungnya dikalangan masyarakat Melayu Islam di
Malaysia.
1.0 Pengenalan
Menyorot kembali
tarikh 29hb September 2001 yang penuh bersejarah yang mana Dato’ Seri Dr.
Mahathir Mohamad (kini Tun Dr. Mahathir) bertempat di Menara PGRM, Kuala Lumpur
bersempena dengan Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan
Rakyat Malaysia (Gerakan) telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah
negara Islam.
Pengisytiharan
itu dibuat adalah sebagai menyambut cabaran pihak parti pembangkang agar parti
kerajaan yang memerintah berani secara terang-terangan untuk mengisytiharkan
bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam di hadapan parti komponen yang
ahlinya terdiri daripada bukan beragama Islam. Didalam ucaptama bekas Perdana
Menteri Malaysia yang ke-4 itu juga turut menzahirkan bahawa walaupun terdapat
pelbagai kaum yang mendiami Malaysia, namun parti komponen Barisan Nasional
pimpinan beliau berjaya mewujudkan keharmonian rakyat selama 44 tahun
kemerdekaan dengan memberikan hak-hak tertentu kepada semua kaum yang mendiami
negara ini. Beliau juga turut menambah walaupun Malaysia merupakan sebuah
negara Islam namun penganut agama lain adalah bebas untuk menganut agama mereka.[1]
Antara ucaptama
beliau dalam persidangan itu ialah:
“Walaupun kita isytihar Islam sebagai agama rasmi,
penganut agama lain bebas menganuti agama mereka. Ini adalah sejajar dengan
ajaran Islam. Tidak ada paksaan dalam Islam. Dan Islam tidak suka kepada
huru-hara yang mungkin berlaku jika undang-undang Islam cuba dikuatkuasakan ke
atas orang bukan Islam. Jika kerana ini orang bukan Islam menganggap Malaysia
sebagai negara sekular, ini adalah tafsiran mereka dan mereka bebas membuat
tafsiran mereka.”[2]
Rentetan
daripada pengisytiharan itu oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad secara jelasnya
menobatkan kepada dunia bahawa Malaysia merupakan negara Islam sejajar dengan Perlembagaan
iaitu Islam sebagai agama rasmi negara. Betapa penulis tidak dapat menafikan besarnya
sumbangan Tun Dr. Mahathir Mohamad didalam mengagendakan Islam sebagai agama
rasmi negara sehingga negara kita sentiasa menjadi penanda aras bagi negara Islam
lain untuk belajar selok belok pengurusan contohnya bagaimana Malaysia
mengamalkan sistem perbankkan Islam yang pertama di dunia, sistem kecekapan
mengurus oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) ketika penguruskan jemaah haji untuk
menunaikan ibadah haji di Makkah, pembangunan ekonomi Islam sehinggalah
penglibatan Malaysia dalam perhubungan politik antarabangsa. Namun dewasa ini
kita berdepan dengan cabaran orang-orang Islam yang murtad iaitu keluar
daripada Islam.
1.1 Pernyataan
Masalah
Pada 13hb Ogos
2011, masyarakat Islam di Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita serbuan
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja Methodist di
Damansara Utama, Seksyen 13, Petaling Jaya. Di dalam serbuan itu, JAIS berjaya menghalang
penyertaan 12 orang Melayu Islam daripada menyertai upacara Thanks Giving di
gereja tersebut. Penulis tertarik untuk mengulas tentang insinden tersebut
kerana salah satu faktornya ialah ianya berlaku ketika semua umat Islam sedang
menyambut bulan Ramadhan yang penuh berakah. Ketika kejadian
percubaan untuk memurtadkan 12 orang Islam yang terjadi pada majlis “Thanks
Giving Dinner” yang diadakan di gereja Methodist Centre yang terletak Damansara
Utama Methodist Centre (DUMC), Dewan 3, Kompleks Dream Centre, di mana pasukan
penguat kuasa JAIS menyerbu premis gereja tersebut pada pukul 10 malam ekoran
daripada laporan kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa anjuran gereja
tersebut. Dengan serbuan itu, seramai 12 orang umat Islam yang terdiri dari 3
lelaki dan sembilan wanita berusia 20-an dan 40-an telah dicuba untuk
dimurtadkan oleh gereja tersebut dengan alasan bahawa kehadiran mereka hanyalah
untuk sama-sama merayakan sahabat yang menyambut hari yang dianggap suci oleh
orang orang yang beragama Kristian itu.[3]
Kes untuk mermutadkan orang-orang Islam bukanlah isu baru di Malaysia.
Tetapi jikalau gejala ini tidak dibendung ianya dikhuatiri semakin berleluasa
tatkala pada saat ini Malaysia sedang melalui proses transformasi untuk menjadi
negara maju, penulis bimbang masyarakat tidak dapat seimbangkan diantara
kemajuan dengan mempertahankan agama Islam daripada serangan-serangan dakwah
agama lain yang menyebabkan penganut agama Islam bertukar akidahnya.
1.2 Objektif
Kajian
Objektif kajian
yang ingin dicapai ialah:
i.
Mengenalpasti
punca berlakunya gejala murtad di kalangan orang Melayu yang beragama Islam di
Malaysia;
ii.
Mengenalpasti
adakah individu yang keluar daripada agama Islam itu boleh di kategorikan
sebagai kesalahan keluar agama ataupun kelasahan murtad, dan
iii.
Mencadangkan
beberapa kaedah bagi membendung gejala murtad oleh orang-orang Melayu yang
beragama Islam di Malaysia
1.3 SkopKajian
Kajian ini
adalah tertumpu kepada insiden serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di
sebuah gereja di Damansara Utama pada 3hb Ogos 2011. Walau bagaimana pun untuk
pemahaman yang mendalam di dalam kajian ini, penulis juga ada merujuk kepada
kes-kes murtad yang telah lepas untuk mengkaji faktor-faktor yang menyumbang
kepada berlakunya gejala murtad walaupun telah termaktub di dalam Perlembagaan
Agama Islam bahawa sesiapa yang murtad akan dihukum bunuh.
1.3 Metodologi
Kajian
Secara
khususnya, kajian ini adalah berbentuk kajian perpustakaan. Di dalam kajian
ini, penulis cuba menghuraikan apakah maksud murtad, punca-puncanya dan
cadangan-cadangan yang difikirkan sesuai untuk membendung gejala murtad.
Pemerhatian dan penelitian dibuat ke atas laporan-laporan akhbar, buku-buku
rujukan dan juga kajian-kajian yang telah lepas dengan menggunakan teknik
dokumentasi iaitu menggunakan cara pengumpulan data dengan melakukan susunan
(sorting) dengan mengkategorikan isu yang dibincangkan untuk diteliti dan
diulas. Sebagaimana yang disebut di atas, data-data yang telah disusun, penulis
akan membuat penelitian dan pengolahan serta analisis perbandingan terlebih
dahulu sebelum penulis membuat cadangan dan kesimpulan
2.0 Pengertian Murtad Dalam Undang-Undang Islam
Murtad berasal
dari perkataan ‘riddah’ yang bermaksud kembali.[4]
Menurut istilah bahasa, ’murtad’ bermaksud kembali dari sesuatu kepada sesuatu.
Manakala dari segi istilahnya ia merujuk kepada kembali dari agama Islam kepada
agama lain sama ada dengan niat, perbuatan atau perkataan. Oleh itu murtad
ialah orang yang kembali kepada kekufuran setelah menerima Islam.[5]
Menurut Haji
Sa’id Haji Ibrahim, bekas Mufti Negeri Sabah telah mendifinasikan murtad ialah
sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebut oleh seseorang
Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang
itu tadi keluar dari agama Islam. [6]
Pada pendapat
penulis daripada beberapa takrifan diatas, murtad menurut syarak adalah berpaling
dari Islam kepada kekufuran atau keluar daripada cahaya dan kebenaran Islam
kepada kegelapan dan kekufuran. Murtad adalah perbuatan yang dimurkai Allah
S.W.T dan ianya merupakan perbuatan jenayah terhadap agama Islam.
Di Malaysia, isu
murtad mula menggemparkan negara apabila Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato’
Seri Haji Dr. Harussani Haji Zakaria memberitahu kini terdapat hampir 250,000
umat Islam yang murtad di negara ini. Bilangan tersebut termasuklah kira-kira
100,000 orang Islam Melayu yang telah mengisytiharkan diri mereka memeluk agama
Kristian. Katanya lagi, 100,000 orang lagi sedang membuat permohonan menunggu untuk
murtad. Selebihnya tegas beliau, termasuk mereka yang memohon untuk menukar
nama agama Islam di dalam kad pengenalan kepada nama fahaman lain. “Ini tidak
termasuk lagi individu-individu yang langsung tidak bersolat, tidak berpuasa
dan menentang semua hukum Islam.” [7]
Di Malaysia,
pada asasnya perlembagaan membenarkan setiap orang untuk menganut dan mengamalkan
agama masing-masing dan memperuntukkan larangan penyebaran agama selain Islam
kepada orang bukan Islam. Perlembagaan juga menjamin sesiapa untuk menguruskan hal
ehwal agama mereka termasuk menubuhkan institusi untuk tujuan-tujuan keagamaan ataupun
pemilikian harta. Ini menunjukkan secara umumnya perlembagaan Malaysia meletakkan
hak kebebasan beragama. Namun demikian, hak ini ditafsirkan sesetengah pihak sebagai
mutlak dan sesiapa sahaja berhak menukar agamanya pada bila-bila masa.
Pentafsiran ini adalah tidak tepat kerana setiap individu yang telah menganut
sebarang agama adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya. Hak
beragama ini bukanlah bersifat mutlak bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip
agama masing-masing. [8]
Seseorang atau
sesuatu kumpulan boleh menjadi murtad dengan mempersekutukan Allah sama ada melalui
iktikad, ucapan ataupun perbuatan, mengingkari agama Islam atau satu rukun padanya
atau mengingkari satu hukum Islam yang dapat diketahui secara jelas dan sahih dan orang
yang mengiktikadkan bahawa tidak wajib berhukum dengan hukum yang diturunkan
Allah. Dalam jenayah murtad, terdapat dua unsur penting iaitu tindakan keluar daripada
agama Islam7 seperti perbuatan yang boleh membawa syirik ialah sujud kepada selain
dari Allah dan mempunyai niat melakukannya dengan sengaja. [9]
Masalah
murtad sentiasa berlaku sepanjang sejarah beragama. Murtad pernah terjadi di
zaman Rasulullah s.a.w., dan juga di zaman-zaman yang lain. Bahkan Abu Bakar
r.a juga masyhur dengan kesungguhannya memerangi kaum yang riddah dengan
usahanya membentuk 11 pasukan untuk memerangi nabi-nabi palsu dan orang-orang
murtad yang semakin berleluasa sejak kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Cuma murtad
yang ada di sepanjang zaman hanyalah masalah yang terpencil. Namun kebelakangan
ini, ia sudah menjadi satu gejala, di mana ramai di kalangan umat Islam yang
murtad. Gejala ini berlaku disebabkan kejahilan mereka tentang hakikat Islam
yang sebenar. Mereka kurang mengenali Islam, bahkan ada yang langsung tidak
memahami Islam. Orang yang betul-betul mengenali dan memahami Islam pasti tidak
akan meninggalkan Islam, bahkan akan berjuang mempertahankannya. Namun
kejahilan telah menimpa umat ini. Dan peluang inilah yang digunakan oleh orang
bukan Islam untuk memurtadkan sebahagian umat Islam. [10]
2.1 Undang-Undang
Berkaitan Murtad
Pada
dasarnya, terdapat beberapa pandangan mengenai hukuman murtad dalam Islam dan
ianya boleh dirumuskan kepada dua golongan iaitu:
i.
Hukuman Murtad adalah Hudud.
Golongan ini dipelopori oleh ulama
tradisional seperti Mazhab Shafii, Maliki dan Hanbali di mana mereka
berpendapat bahawa murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan
oleh Allah melainkan bertaubat.
Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran:
وَمَن
يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ ڪَافِرٌ۬ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ
حَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ
أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Maksdunya: ".....Dan sesiapa di
antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati
sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya
(yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal
di dalamnya (selama-lamanya)”[11].
Ini ditambah lagi dengan hadis
Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Barangsiapa yang menukar agamanya,
bunuhlah dia." [12]
Di dalam hadis yang lain baginda bersabda
yang bermaksud:
"Tidak halal darah seseorang muslim
itu kecuali dengan salah satu dari tiga perkara: Orang yang telah berkahwin
melakukan zina, nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dengan sengaja) dan
meninggalkan agama yang berpisah dengan jamaah muslimin.” [13]
Namun demikian, hukuman murtad hanya
akan dilaksanakan sekiranya telah tamat tempoh untuk bertaubat yang diberikan
seperti memberikan tempoh selama 3 hari untuk bertaubat. Namun demikian,
terdapat beberapa pandangan mengenai tempoh masa untuk bertaubat yang diberikan.
ii.
Tiada Ketetapan
Bentuk Hukuman Murtad.
Pendapat ini dipelopori oleh ulama
kontemporari seperti Abd al-Mutaali al-Saidi, Ibrahim al-Nakhai, Muhammad
Abduh, Mohamad Hashim Kamali dan lain-lain lagi. [14]
Pada dasarnya hukuman murtad bukanlah
hudud tetapi hanya takzir. Golongan ini berpendapat umpamanya pandangan Abd
al-Mutaali al-Saidi iaitu manusia diberikan kebebasan beragama mengikut pilihannya.
Faktor yang menyebabkan Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan
hukuman bunuh pada kesalahan murtad bukanlah kerana kemurtadan mereka tetapi berfaktorkan
pemberontakan menentang Islam. Terdapat juga kritikan ulama terhadap kesahihan
dan darjat hadis ”sesiapa yang menukar agamanya hendaklah dibunuh” Hadis ini adalah
hadis ahad dan tidak kuat untuk dijadikan hujah kepada sesuatu hukum
menurut ilmu usul fiqh.[15]
Secara ringkasnya, kebanyakan ulama
terdahulu berpegang teguh bahawa murtad dikenakan hukuman hudud manakala ada
ulama kontemporari mengatakan tiada ketetapan mengenai hukuman murtad atau
dalam erti kata lain ianya adalah takzir. Namun begitu, isu penentuan hukuman
murtad bukanlah menjadi perkara utama yang hendak dibincangkan di dalam artikel
ini. Perbincangan akan lebih menekankan tentang perpekstif undang-undang yang digunapakai
di Malaysia.
2.2 Hak
Kebebasan Beragama
Sebagai sebuah agama yang
syumul dan suci Islam menjamin hak kebebasan beragama. Islam memberi hak kepada
setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan
malahan Islam menyuruh untuk menghormati amalan agama lain. Perkara ini telah
dirakamkan oleh Allah s.w.t.di dalam Al-Quran:-
لَآ
إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَىِّۚ فَمَن
يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ
ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya:
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata
kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak
percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah
berpegang kepada simpulan (tali agama)yang teguh yang tidak akan putus. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.[16]
Para fuqaha telah lama
membincangkan hak kebebasan agama ini dan jika diteliti terdapat pelbagai
pendapat dan pandangan yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Ada fuqaha berpandangan
bahawa hak kebebasan beragama yang dimaksudkan adalah hak untuk menganuti
sebarang agama iaitu seseorang itu bebas untuk memilih agama dan jika beliau memilih
Islam agamanya maka adalah dilarang keras untuk keluar dari agama Islam.
Terdapat juga pandangan yang lain beranggapan bahawa hak kebebasan beragama ini
adalah mutlak dan setiap individu diberi kebebasan untuk memilih agamanya.
Di Malaysia, pada asasnya Perlembagaan membenarkan setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agama
masing-masing dan memperuntukkan larangan penyebaran agama selain Islam kepada
orang bukan Islam. Perlembagaan juga menjamin sesiapa untuk menguruskan hal
ehwal agama mereka termasuk menubuhkan institusi untuk tujuan-tujuan keagamaan ataupun
pemilikian harta. [17]
Ini menunjukkan secara
umumnya Perlembagaan Malaysia meletakkan hak kebebasan beragama. Pada pendapat
penulis, hak ini telah salah tafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai mutlak dan
sesiapa sahaja boleh menukar agamanya pada bila-bila masa. Pentafsiran ini
adalah tidak tepat kerana setiap individu yang telah menganut sebarang agama
adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya. Hak beragama ini
bukanlah bersifat mutlak bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip agama
masing-masing.
3.0 Kesalahan Murtad Atau Kesalahan Keluar
Agama?
Di dalam
perbahasan bagi tajuk kajian ini, penulis akan cuba menelusuri apakah terdapat
perbezaan di antara kesalahan murtad dan kesalahan keluar agama. Ianya
dihuraikan sebagaimana dibawah:
Di Malaysia, majoriti penduduknya berbangsa Melayu adalah menganut
agama Islam. Ini bertepatan dengan istilah Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal 160 yang menyebut:
“Melayu ertinya seseorang
yang menganuti agama Islam, Lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat
Melayu dan (a) lahir, sebelum hari merdeka, di persekutuan atau di Singapura,
atau ibubapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di
Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ia adalah keturunan seseorang yang
tersebut”. [18]
Bagi penulis, daripada Perlembagaan
Persekutuan jelas menerangkan kedudukan orang Melayu sebagai Islam. Yakni
bahawa seseorang yang dilahirkan sebagai bangsa Melayu sama ada di Malaysia
atau pun di Singapura sebelum dan selepas merdeka, meraka ialah beragama Islam.
Dalam membincangkan undang-undang
berkaitan murtad, terdapat persoalan besar yang perlu diselesaikan iaitu adakah
terdapat peruntukan kesalahan murtad di bawah mana-mana enakmen atau akta di
Malaysia. Jika diteliti, sememangnya tidak terdapat undang-undang yang jelas
mengenai murtad termasuk hukumannnya. Ini berikutan undang-undang jenayah Islam
yang boleh dikuatkuasakan oleh Mahkamah-mahkamah Syariah di negeri-negeri di Malaysia
hanyalah merangkumi hukuman maksima 3 tahun penjara atau 6 sebatan atau RM5,000
denda atau kombinasi mana-mana hukuman.[19]
Jelasnya, bidang kuasa jenayahnya adalah terhad dan hanya boleh dikuatkuasakan
kepada orang Islam sahaja.
Jenayah murtad tidak di sebut di dalam
enakmen kesalahan jenayah Syariah di kebanyakan negeri di Malaysia. Namun
demikian, terdapat peruntukan kesalahan keluar agama Islam diguna pakai di
beberapa buah negeri. Tidak terdapat penggunaan istilah kesalahan murtad yang
diperuntukkan oleh mana-mana enakmen jenayah syariah negeri-negeri melainkan undang-undang
hudud, qisas dan takzir yang cuba dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu satu
ketika dulu.
Pada pandangan penulis, di antara
beberapa faktor yang menyebabkan penggunaan istilah keluar agama Islam dan
bukan murtad adalah kerana hukuman murtad yang merupakan hukuman mati sekiranya
disabitkan adalah melampaui bidangkuasa mahkamah syariah. Sebagai contoh,
Melaka telah memperuntukkan kesalahan keluar dari agama Islam sebagai satu
kesalahan dan bukan murtad. [20] Seksyen
66(1) Enakmen Kesalahan (Syariah) (Negeri Melaka) 1991 menyatakan bahawa
apabila seseorang Islam dengan sengaja mengaku hendak keluar dari Agama Islam
atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, Mahkamah boleh
memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh
tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta
bertaubat mengikut hukum syarak. Jika seseorang telah bertaubat, maka taubatnya
itu mestilah disahkan di Mahkamah dan kemudian barulah dia boleh dibebaskan.
Jika pula seseorang itu bertaubat semasa dalam tahanan, Pegawai Penjaga
hendaklah melaporkan perkara itu kepada mahkamah dan taubatnya juga perlu
disahkan oleh Mahkamah. Seksyen 6 (1) pula memperuntukkan seseorang yang
bersyubahat dibawah seksyen 66 adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila
disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih
daripada RM 5,000 (lima ribu ringgit) atau dipenjara selama tempoh tidak
melebihi tiga puluh enam bulan atau kedua-dua nya sekali.
Rumusan bagi bab
ini, penulis berpendapat bahawa di Malaysia, pihak yang berwajib telah dengan
kuasa yang ada padanya bertujuan untuk menangguhkan hukuman bunuh ke atas
sesiapa yang beragama Islam yang memilih untuk menganut agama lain dengan
mewujudkan enakmen-enakmen tertentu iaitu dengan memberi mereka peluang kembali
kepada agama Islam dengan memberi bimbingan dalam nasihat dan bentuk
kaunseling. Jelas sekali kerajaan bersikap toleran kepada mereka yang sememang
wajar dihukum bunuh kerana murtad.
4.0 Ulasan Kajian
Daripada
laporan-laporan akhbar berkenaan dengan kes murtad, disini diperturunkan
analisis penulis faktor-faktor yang menjadi penyumbang kepada 12 orang yang
berjaya ditangkap dalam serbuan oleh JAIS di gereja Damanasara Utama, pada 13hb
Ogos 2011 yang lalu. Ianya boleh dibahagikan kepada 2 sebab iaitu faktor
dalaman dan faktor luaran.
i.
Faktor-faktor Dalaman
a. Kurang didikan agama/jahil
Umat
Islam di Malaysia mempunyai ruang yang cukup banyak untuk menimba ilmu agama.
Walau bagaimanapun, peluang ini tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh
golongan muda dan cerdik pandai. Penekanan sistem pendidikan hari ini lebih
menjurus kepada kesepaduan ilmu Sains dan Teknologi dengan meletakkan ilmu
agama dalam kelas kedua. Dilihat sebagai kelemahan umat Islam kerana kegagalan
memelihara keislaman dan mengerjakan segala perintah Allah SWT. Contohnya ramai
kalangan remaja memandang mudah ibadah solat malah ada yang langsung tidak tahu
mengerjakannya. Hal ini menyebabkan diri mereka terdedah melakukan lebih banyak
dosa, melemahkan keislamannya dan meletakkan agamanya di tempat yang rendah.
Keadaan inilah menyebabkan golongan remaja kita mudah terpesong akidahnya dan
ada yang menjadi murtad. Akibat kejahilan dan juga tidak faham tentang hakikat
ajaran Islam serta syariatnya menyebabkan nilai kehidupan manusia mundur ke
belakang, lalu manusia mencari alternatif lain untuk memenuhi ruang lingkup
kehidupan. Manusia tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka telah terjebak di
dalam perangkap kehidupandan tidak tahu memilih yang mana satukah jalan yang
sepatutnya mereka harungi. Akibat dari kejahilan juga menyebabkan mereka lebih
cenderung memilih kekufuran daripada memilih keimanan dalam kehidupan. Selain
itu juga, disebabkan oleh kecetekan ilmu dan iman, maka seseorang itu digolongkan
dalam kategori jahil dari segi akidah. Ini akan menyebabkan umat Islam meragui
dan tidak menyakini akan kekuasaan Allah SWT Ia juga akan mendorong seseorang
itu taksub dan sukar menerima pandangan serta teguran daripada orang lain. Di
samping menyebabkan umat Islam mundur dalam semua aspek kehidupan. Keadaan ini
sukar diubah dalam masa yang singkat sebaliknya ia memerlukan proses pemulihan
dan pemantauan yang berterusan.[21]
b.
Percintaan
/ Perkahwinan / Perceraian
Antara
faktor lain yang menyebabkan murtad di kalangan umat Islam ialah percintaan.
Terdapat remaja yang terjebak dalam amalan percintaan antara nonmuslim. Walaupun terdapat pendidikan agama yang secukupnya, akibat
daripada masalah percintaan mereka terjebak dalam gejala murtad Adalah malang
apabila mendapati remaja yang terlibat merupakan remaja yang cukup kasih
sayang, terpelajar dan menutup aurat, bukannya remaja liar yang tiada arah dan
tujuan. Sebagai contohnya kisah Aishah Bokhari yang kini sudah sepi dan semakin
dilupakan. Keengganan teman lelakinya untuk memeluk agama Islam telah membawa
kepada kemelut ini. Seterusnya gejala murtad juga berlaku disebabkan faktor
perkahwinan, sama ada lelaki bukan Islam atau wanita bukan Islam ingin
berkahwin dengan pasangan hidup mereka yang beragama islam Akibat perasaan
cinta yang membara di dalam hati sanubari, seseorang itu sanggup menggadaikan
maruah agama demi cinta sebegini. Misalnya kisah Lina Joy atau nama sebenarnya
Azlina Jelani yang menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seorang pemuda India
beragama Kristian, dan meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut untuk
mengesahkan perkahwinan beliau. Selepas berkahwin dengan seorang Kristian,
beliau memohon untuk mendaftarkan perkahwinannya, tetapi tidak dibenarkan
kerana di dalam Kad Pengenalan masih tertulis beliau seorang yang beragama
Islam. Beliau berusaha untuk menghilangkan perkataan agama Islam tersebut
dengn permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.[22]
Sesetengah kes murtad yang melibatkan
saudara baru pula berpunca dari perkahwinan. Antaranya mahu berkahwin dengan
gadis atau lelaki Islam. Sekiranya pasangan yang dipilihnya mempunyai latar
belakang agama yang baik maka ia mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah
kerana suami atau isterinya boleh membimbing pasangannya.[23]
Tetapi masalah mungkin timbul apabila
pasangan baru itu gagal melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya. Kekecewaan
dan masalah yang dihadapinya akan menyebabkan seseorang itu mudah hilang
pertimbangan tidak terkecuali para saudara baru yang masih lagi terkapai-kapai
mencari arah hidup sebagai seorang Islam. Walaupun dari segi niatnya tidak
begitu sempurna tetapi pengislaman kerana faktor perkahwinan perlu diterima
dengan hati terbuka dan disusuli dengan usaha-usaha pemantapan akidah. Selain
itu, Zulkifli Nordin, seorang peguam bela, peguam cara dan peguam syarie, di
pejabatnya di Kuala Lumpur turut menyeru Jabatan Agama Islam agar lebih bijak
menangani kes-kes rumah tangga yang semakin serius. Banyak kes yang diajukankepada
Zulkifli berkaitan dengan kes isteri memilih murtad sebagai jalan penyelesaian
perceraian. Misalnya, apabila seseorang wanita melaporkan penderaan yang
dilakukan oleh suaminya kepada Jabatan Agama Islam, seharusnya pagawai Jabatan
Agama bertindak segera sebelum wanita sebegini mengambil tindakandrastik yang
lain, antaranya ialah mereka memilih jalan untuk murtad agar ikatan perkahwinan
ini terbubar.[24]
c.
Ibubapa
Gejala
murtad juga berpunca daripada rumah di mana para ibu bapa tidak mendidik
anak-anak mereka dengan didikan yang sempurna kerana zaman yang begitu menuntut
ibu bapa bekerja menyebabkan pendidikan anak-anak tidak dapat dipenuhi
sepenuhnya dan diserahkan kepadanya. Malahan mereka sebahagiannya menyerahkan
tanggungjawab mendidik anak mereka kepada orang gaji atau pembantu rumah.
Sebahagiannya pula tidak mempunyai kemahiran dan mengasuh anak terutamanya
mengenai jiwa remaja, mental dan perkembangan fizikal anakanak mereka. Ibu bapa
tidak memahami cara didikan masa kini di mana remaja kini lebih cepat berubah
disebabkan era kegemilangan teknologi maklumat yang serba canggih. Ini
menyebabkan kurangnya kasih sayang menyebabkan hubungan kekeluargaan tidak intim
dan menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang dan perhatian dari luar. Ibu
bapa tidak memberi perhatian yang cukup kepada anak-anak mereka. Oleh yang
demikian, para ibu bapa perlulah memainkan peranan yang amat penting dalam
mendidik anak-anak mereka ketika masih kecil lagi dengan kehidupan yang
berlandaskan syariat Islam agar pengetahuan mereka mengenai agama kukuh
bersemadi di hati mereka.
d.
Ekonomi Keluarga
Dan Kemiskinan
Manusia yang dihimpit kesempitan hidup
juga boleh mengakibatkannya menggadaikan agama demi meneruskan kehidupan. Malah
tuntutan hidup di zaman materialistik seperti hari ini mendorong ramai orang
Islam menjadi murtad. Antaranya kisah seorang gadis bernama Lisa (bukan nama
sebenar) di Pulau Pinang yang memerlukan pekerjaan. Setelah puas mencari,
akhirnya dia ditawarkan bekerja di kelab malam dan turut disediakan tempat
tinggal. Kesan dari pergaulan bebas dan desakan hidup menyebabkan ramai di
antara teman-temannya memilih murtad agar mereka memperolehi kemewahan hidup
dalam tempoh yang cepat.[25]
Selain itu, kisah golongan ibu tunggal
yang terjebak dengan gejala murtad di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu. Ada
di antara mereka yang sudah memeluk agama lain tetapi masih kekal bertudung dan
pergi ke masjid untuk mengabui mata masyarakat. Agak sukar untuk mengecam
kelompok ini kerana mereka masih mengekalkan pemakaian tudung dan menjalankan
aktiviti ibadah seperti orang Islam yang lain seperti pergi ke masjid dan
sebagainya, sedangkan dalam masa yang sama, mereka memakai lambang salib pada leher
mereka. Golongan ini dibantu oleh pihak agama lain dari segi perniagaan dan
diberikan segala macam kemewahan. Selain itu, sekiranya mereka sudah membuat
upacara menyerahkan diri kepada 'Tuhan', semakin banyak kemewahan yang akan
mereka perolehi. [26]
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan
tentang hakikat hidup yang dibelenggu kemiskinan atau kefakiran merupakan suatu
wabak yang boleh menyebabkan seseorang itu boleh menjadi kafir.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang
bermaksud:
“Hampir-hampir kefakiran itu boleh
menyebabkan kekufuran.”[27]
ii.
Faktor-faktor Luaran
a.
Persekitaran
Taktik menyelewengkan akidah umat Islam
kini kebanyakannya menggunakan kaedah yang licik serta sukar dikesan jika tidak
diperhalusi dengan lebih mendalam. Golongan kufar ini menjadikan golongan
miskin serta remaja sebagai sasaran, dengan golongan yang terdesak untuk menggunakan
wang sebagai sasaran mereka. Misalnya, kisah Pn Asmah seorang ibu tunggal telah
menerima bantuan bulanan kira RM 1,500 sebulan dengan dibayarkan sewa rumah
sejumlah RM 500 sebulan oleh sebuah gereja di Kuala Lumpur. Pengakuan Pn Asmah
ini membongkar wujudnya terpengaruh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
menyebarkan dakwah sesat mereka dengan tawaran wang ringgit bertujuan untuk
memesongkan akidah mereka. [28]
b.
Rakan Sebaya
Bagi
golongan remaja, keterlibatan mereka dalam social persekitaran menyebabkan
mereka gemar dan terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Keadaan ini mungkin
disebabkann kurangnya perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa
di rumah. Akibatnya mereka mencari sesuatu yang boleh mengisi kekosongan hidup
dan bersesuaian dengan minat mereka. Justeru unsur-unsur murtad berjaya
mempengaruhi mereka melalui pemikiran, perbuatan dan sebagainya. Bahkan
keretakan rumahtangga serta perceraian yang berlaku di kalangan ibu bapa
menyebabkan anak-anak semakin liar seterusnya mencari ketenangan dan hiburan di
luar rumah tanpa pemantauan.97 Dengan kata lain ibu bapa tidak mampu menjadi
suri teladan yang baik kepada anak-anak.
c.
Gerakan
Kristianisasi
Bagi
Dr. Chandra Muzaffar pluralsime bermaksud kepelbagaian dan ini tidak menimbulkan
masalah dalam Islam. Namun hal ini menjadi bahaya sekiranya menyamakan semua
agama sebagai sama. Kini terdapat fahaman yang berkembang iaitu menganggap
Islam sama seperti agama lain sedangkan kita wajib beriktiqad bahawa agama yang
diterima Allah ialah Islam.
Selain itu Harakahdaily mendedahkan,
terdapat gerakan memurtadkan remaja Islam sedang giat di Seremban 2 dengan
usaha lebih agresif dan berani mendekati golongan sasar terutamanya relaja
lingkungan usia 17 hingga 25 tahun. Pengerusi Jawatankuasa Surau Garden
Homes, Azman Basra, mendakwa kewujudan kumpulan memurtadkan ini dikesan
beroperasi di sebuah premis kedai dua tingkat berhampiran sebuah tokong Buddha
di Bandar Seremban 2. Kumpulan ini menjadikan golongan remaja sebagai sasaran
kerana bagi mereka kelompok remaja lebih mudah didekati berbanding golongan
remaja yang lebih kuat pegangan akidahnya, kata Azman dalam satu pengumumannya
di surau tersebut baru-baru ini.[29]
5.0 Cadangan
Hasil
perbincangan diatas, penulis ingin mencadangkan beberapa langkah sebagai
membendung gejala murtad:
Dicadangkan penambahan pusat pemulihan
akidah di setiap negeri dan modul perlaksanaan pemulihan digubal oleh wakil
dari semua pusat pemulihan akidah ini. Selain itu ianya perlu diperbaiki dari
masa ke semasa. Lebih utama lagi adalah ianya akan menjadi amat baik jika terdapat
strategi pencegahan pencemaran akidah seperti penubuhan jabatan atau unit untuk
maksud sedemikian. Misalnya, Selangor dan Negeri Sembilan telah membuka langkah
proaktif dengan menubuhkan satu Unit Pencegahan Penyelewengan Akidah dengan bermatlamatkan
untuk memelihara dan mempertahankan akidah umat Islam. Penulis juga melihat
kepada keperluan pentafsiran atau pentakrifan keluar agama Islam berdasarkan keadaan
semasa dan masyarakat Malaysia dibuat oleh pihak berotoriti seperti Mufti, Jawatankuasa
Fatwa Negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini akan membantu pihak mahkamah
untuk memutuskan sesuatu perkara berkaitan dengan kesalahan keluar agama Islam
ini.
6.0 Kesimpulan
Berdasarkan berbincangan di atas ianya
menunjukkan terdapat beberapa kelemahan peruntukan undang-undang dan
ketidakseragaman prosedur. Ini dapat dirumuskan seperti
berikut:-
Bagi Kesalahan Keluar Agama Islam dan
hukuman, sememangnya hukuman murtad berdasarkan hudud tidak dilaksanakan di
Malaysia. Oleh itu penggunaan kesalahan keluar agama Islam digunakan kepada
sesiapa yang menukar agamanya. Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan keluar
agama Islam adalah dalam bentuk perintah untuk menjalani pemulihan akidah dan
kaunseling. Namun begitu, didapati dari aspek penguatkuasaan seperti menghantar
ke pusat pemulihan akidah masih terdapatnya masalah. Setakat ini hanya ada satu
pusat pemulihan akidah yang beroperasi sepenuhnya iaitu di Ulu Yam, Selangor
manakala terdapat satu pusat yang sepatutnya beroperasi tetapi belum diwartakan
iaitu di Jelebu Negeri Sembilan
Rujukan:
Buku:
Al-Quran
& Terjemahan
Akta
Bidang Kuasa Mahkamah Syariah (Jenayah) Pindaan 1984.
Bustani,
Muhit al-Muhit. Maktabat Lubnan, Beirut, 1987
Haji
Sa’id Haji Ibrahim, Qanun Jinayah Syar’iyah dan Sistem Kehakiman Dalam
Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadith, Darul Ma’rifah, Kuala Lumpur,
1996
Muhammad
Isa Selamat (1998). Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala Lumpur: terbitan
Darul Nu’man.
Perlembagaan
Persekutuan (hingga 5hb Mac 2008). Kuala Lumpur : Terbitan International Law
Book Services, 2008
Sayid
Sabiq, Fiqh Sunnah, Dar al-Fikr, Beirut, 1995
Sahih
Bukhari
Jurnal/Kertas Ilmiah
Andra Amalia Sari Fakultas Hukumuniversitas
Muhammadiyah Surakarta, “Putusan Fasakh Atas Cerai Gugat Kerana Suami Murtad”,
2009
Dr. Farahwahida bt. Mohd Yusof , P.M Aminuddin b. Ruskam, Tuan Hj. Azmi Shah
b. Suratman, En. Mohd Nasir b. Ripin, Cik Nur Raihan binti Nordin, Cik Sharifah
Munirah bt. Timmiati, Universiti Teknologi Malaysia, “Kaedah
Penyelesaian Dalam Menangani Pertukaran Agama Dalam Kalangan Masyarakat
Melayu-Islam Di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur”
Haji Abdullah bin Besida, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, “ Jenayah Dalam Islam Satu Kajian
Perlaksanaan Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor”,
1995
Haji Awang Shahrin Alimin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, “Murtad dan Cara Mengatasinya Di Sabah”,
1993
Musa bin Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, “Murtad dalam Islam” 1990
Zulkifli Hasan dan Norfadhilah Mohd Ali, Fakulti Syariah dan
Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, “Kedudukan Murtad Menurut Perspektif Undang-Undang Di Malaysia”
Kertas Kerja:
Abdul Ghani Shamsuddin, “Gejala Murtad: Pengertian, Implikasi dan Langkah Pencegahan” – Kertas Kerja ini
telah dibentangkan di dalam Seminar Pembinaan Ummah dan Membasmi Murtad pada 7hb
Feb 2009 dengan kerjasama JAKIM, JAWI dan Yayasan Sofa Negeri Sembilan
bertempat di Masjid Wilayah Kuala Lumpur
Akhbar &
Majalah
Full text of Sultan of Selangor’s statement on church operation
controversy, The Star, 11th October 2011
Harakahdaily. Julai 17, 2006
Sinar Harian, 23 Ogos 2011
Aninah Janang, Mastika (Disember 2006), Tolong Selamatkan Gadis-Gadis
Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd.
Sahidan Jaafar, Mastika (November 2006), Kami Perjudikan Akidah Untuk
beri Makan Anak-Anak!, Kuala Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd.
[2] Ibid
[3] Sinar Harian, 23hb Ogos 2011
[4] Bustani, Muhit al-Muhit.
Maktabat Lubnan, Beirut, ms 330
[5] Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Dar
al-Fikr, Beirut, ms 300
[6] Haji Sa’id Haji Ibrahim, Qanun
Jinayah Syar’iyah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran
dan Hadith, ms 117
[7] www.harakahdaily.net. 14 Februari
2006. “Mufti Perak Dakwa 250,000 murtad di negara ini?
[8] Zulkifli Hasan dan Norfadhilah
Mohd Ali, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia,
“Kedudukan Murtad Menurut Perspektif Undang-Undang Di Malaysia”, ms 2
[9] Ibid
[10] Dr. Farahwahida bt. Mohd Yusof ,
P.M Aminuddin b. Ruskam, Tuan Hj. Azmi Shah b. Suratman, En. Mohd Nasir b.
Ripin, Cik Nur Raihan binti Nordin, Cik Sharifah Munirah bt. Timmiati,
Universiti Teknologi Malaysia, “Kaedah Penyelesaian Dalam Menangani Pertukaran
Agama Dalam Kalangan Masyarakat Melayu-Islam Di Johor, Selangor dan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur”, ms 25
[11] Surah al-Baqarah : 217
[12] Riwayat Jamaah kecuali Muslim
[13] Riwayat Bukhari dan Muslim
[14] Mohamed Azam Mohamed Adil. (2005).
Kebebasan Beragama dan Hukuman ke atas orang Murtad di Malaysia. Kuala
Lumpur. Universiti Malaya. ms 172-173.
[15] Mohamad Hashim Kamali. (1997). Freedom
of Expression in Islam. Cambridge: Islamic Text Society, ms 93.
[16] Al-Baqarah, ayat 256
[17] Rujuk Artikel 2, Perlembagaan
Perseketuan
[18] Perlembagaan Persekutuan, ms 238
[19] Akta Bidang Kuasa Mahkamah
Syariah (Jenayah) Pindaan 1984
[20]
Di Perlis,
satu Rang Undang-undang Perlindungan Aqidah Islam (Perlis) 2000 mengenakan
hukuman rehabilitasi selama tidak lebih satu tahun sekiranya didapati cuba
menukar agama Islam.
[21] Muhammad Isa Selamat (1998).
Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala Lumpur: terbitan Darul Nu’man. ms.
59
[22] Harakahdaily. Julai 17, 2006
[23] Muhammad Isa Selamat. (1998). Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala
Lumpur: terbitan Darul Nu’man. ms 57
[24] Aninah Janang. November 2006.
Mastika: Ramalan Zulkifli Nordin Ternyata Benar. ms 52
[25] Aninah Janang,
Mastika (Disember 2006), Tolong Selamatkan Gadis-Gadis Pulau Pinang, Kuala
Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd. ms 93.
[26] Sahidan Jaafar,
Mastika (November 2006), Kami Perjudikan Akidah Untuk beri Makan Anak-Anak!,
Kuala Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd. ms 40
[27] Riwayat
al-Baihaqi
[28] Sinar Harian, 23 Ogos 2011
[29] Harakahdaily. Julai 17, 2006
No comments:
Post a Comment