السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
[Tulisan ini dipetik daripada Artikel Majalah Al-Islam, Keluaran April 2012]
Oleh Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Pensyarah Fiqh Makanan & Kepenggunaan Semasa
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM
Agak terperanjat apabila email dan facebook saya dihujani dengan persoalan onani yang datangnya daripada pelbagai lapisan umur dan pendidikan gara-gara persekitaran yang tidak berpaksikan syariat Islam serta kegagalan mengawal hawa nafsu yang membuak-buak, beronani sering dijadikan alasan untuk mengawal nafsu tersebut.
Sekaligus mereka lupa firman Allah dalam Surah An-Nuur, ayat 30:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman
supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram),
dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi
mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang
mereka kerjakan.
Ternyata setiap peringatan Allah itu ada manafaatnya. Nafsu syahwat selalunya akan bergelora apabila mata melihat perkara yang haram. Sekiranya nafsu tersebut tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, ia akan menyebabkan maksiat bertakhta dihati. Lantas berlakulah perkara-perkara yang melanggar syariat Allah. Bagi wanita, peringatan ini tidak terkecuali. Firman Allah s.w.t didalam Surah An-Nuur, ayat 31:
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka,
atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba
mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak
berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti
lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki
untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka;
dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang
beriman, supaya kamu berjaya.
Sangat indah sekiranya kedua-dua golongan ini dapat memelihara pandangan dan kehormatan. Lebih menarik lagi apabila Allah s.w.t menyifatkan golongan yang memelihara kehormatan sebagai golongan yang berjaya. Firman Allah didalam Surah Al-Mu'minun, ayat 1-6:
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ (٤) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦)
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (1). Iaitu orang yang khusyuk dalam sembahyangnya (2). Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia (3). Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) (4). Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5). Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6).
Apa itu Onani?
Prof. Dr. Abd Karim Zaidan dalam bukunya yang berjudul al-Mufashal mentakrifkan onani sebagai perbuatan yang menggunakan tangan atau alat-alat lain bertujuan memuaskan nafsu sama ada dikalangan lelaki dan wanita. Dalam bahasa Arab ia dinamakan sebagai istimna' bi al-yad atau al-adat al-siriyyah.
Hukum Onani
Para ulama mempunyai tiga pendapat. Setiap daripada mereka mempunyai hujah tersendiri dalam menentukan hukkumnya. Justeru, sangat penting bagi pembaca semua memahami hukum onani ini secara mendalam. Ini bertujuan memastikan tidak berlakunya kesilapan dalam pentafsiran hukum ini.
Mazhab Hanafi melihat perbuatan onani berdasarkan niat si pelaku. Sekiranya seseorang melakukan dengan niat bersuka ria, hukumnya haram. Tetapi, jika niatnya untuk menenangkan syahwat yang menyelubungi akal fikirannya sehingga hampir terjerumus ke kancah maksiat, hukumnya harus dan dibolehkan. Bagaimanapun perlu diingatkan perbuatan ini hanya dibenarkan bagi golongan lelaki dan wanita yang belum berkahwin bagi memelihara mereka dari perbuatan zina ketika syahwat berada di tahap kemuncak. [Rad al-Muktar ala al-Dur al-Muktar, Imam Ibn Abidin, Jld 4, hlm 27]
Pandangan tersebut hampir sama dengan pandangan mazhab Hanbali. Mereka menegaskan, pada asalnya hukum beronani adalah haram. Namun sekiranya seseorang itu hampir berzina dengan perempuan yang bukan isterinya, maka ketika itu perbuatan onani sangat dibolehkan sebagai langkah menghalang dirinya dari melakukan perbuatan zina yang terkutuk. Zina bukan sahaja memberi kesan kepada wanita tetapi memberi impak negatif yang cukup tinggi kepada anak yang dikandungnya dan juga negara. Oleh sebab itu, kaedah fikah menjelaskan, "Keadaan-keadaan darurat akan menyebabkan perkara yang haram menjadi harus". Walaupun perbuatan mereka itu dibolehkan atas alasan darurat dan terpaksa, namun individu yang melakukan perbuatan tersebut juga tidak terlepas daripada dosa. Apa tidaknya? Secara logik, syahwat seseorang tidak akan bermaharajalela selagi mana dia tidak melihat dan mendengar perkara-perkara yang haram. Justeru, memelihara anggota tubuh dari mendekati zina sangat penting.
Lain pula pandangan yang dipegang oleh mazhab Syafie. Mereka sangat tegas sehingga mengharamkan onani dalam semua keadaan sama ada untuk lelaki ataupun wanita. Mereka juga menyifatkan pengharaman tersebut tiada bezanya dengan pengharaman liwat dan zina. Namun begitu individu yang melakukan onani tidak dikenakan hukuman had seperti mana yang dikenakan ke atas penzina. Sebaliknya dikenakan takzir. [al-Majmuk, syarah kepada kitab al-Muhazzab, karangan Imam Syirazi, Jld 18, hlm 267]
Daripada pandangan ketiga-tiga mazhab berkenaan, dapat disimpulkan bahawa onani secara dasarnya HARAM. Cuma terdapat kelonggaran yang diberikan Islam kepada golongan-golongan yang berada dalam keadaan darurat seperti takut terjerumus dalam perbuatan zina, rogol dan liwat.
Namun, perlaksaan hukum yang terhasil dari darurat itu haruslah dihadkan kadarnya mengikut keperluan dan keadaan. Umat Islam tidak boleh sama sekali menjadikan darurat sebagai langkah mudah untuk menghalalkan perkara yang haram. Kaedah fikah juga menyebut: "Setiap darurat itu haruslah diukur mengikut kadarnya." (tidak boleh berlebih-lebihan dari yang sepatutnya). Kaedah ini jelas sekali menunjukkan perbuatan onani hanya boleh dilakukan semasa keadaan syahwat kemuncak yang boleh membawa berlakunya zina. Seperti yang diketahui umum, perbuatan zina lebih besar kesannya terhadap jiwa, maruah dan agama. Maka dengan itu, marilah kita sama-sama mencuba sedaya upaya untuk menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan kita terjerumus dalam kancah maksiat.
Kesan Negatif Onani
Selain hukumnya haram, onani turut mempunyai kesan yang sangat buruk jika tidak dikawal dan diubati. Pakar sakit tuan, Prof. Dr. Ismail Tamby menjelaskan, antara kesan yang akan diterima:
- Kesan ketika bersama dengan isteri - iaitu mempunyai potensi untuk mati pucuk
- berkemungkinan besar untuk mandul
Apapun setelah diketahui status hukum dan kesan buruk dari tabiat onani, tidak dapat tidak semua pihak perlu mengambil tanggungjawab yang serius untuk memperbaiki cara dan gaya hidup umat Islam yang semakin jauh tersasar daripada syariat Islam. Prof. Dr Wahbah al-Zuhayli menjelaskan, antara faktor yang memungkinkan maksiat makkin berleluasa ialah hiburan yang melampau.
Oleh demikian, bagi menyambut kenyataan al-Zuhayli tersebut, semua pihak berwajib berusaha untuk mengubah konsep hiburan yang sedia ada agar menepati kehendak syariat. Walaupun diketahui hiburan tidak salah dalam Islam, tetapi mestilah berpaksikan syariat Islam yang sebenar. Pandangan dan fatwa ulama mestilah dijadikan panduan dalam segala urusan dan program yang ingin dilakukan. Sekiranya perkara asas ini dapat dilakukan dengan baik dan terancang, saya pasti sedikit demi sedikit golongan muda dapat memelihara diri mereka dari segala perbuatan yang boleh mendorong ke arah kemungkaran. Inilah yang dikatakan generasi al-Quran yang mendambakan cinta Nabi Muhammad s.a.w.
Ulasan penulis bagi artikel ini:
- Untuk membendung masalah nafsu yang tidak terkawal, digalakkan berpuasa. Kerana puasa boleh menundukkan syahwat.
- Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat bagi individu yang sering beronani ialah berkahwin
- Takutlah kepada Allah. Allah tidak akan rugi walau sebesar zarahpun jika kita membuat maksiat. tetapi jika kita membendung diri daripada melakukan maksiat dengan sentiasa berfikiran positif, insyaallah manafaatnya akan diterima oleh diri kita sendiri
- Bersabar dengan menahan diri daripada melakukan maksiat. Insyaallah kita akan mendapat ganjaran pahala pada detik pertama kita diuji untuk melakukan maksiat
- Sentiasa mengisi masa lapang dengan menghadiri kelas-kelas ilmu, membaca Al-Quran dan aktiviti riadah yang sihat. Fikiran yang sering berkhayal akan memacu kita untuk berbuat maksiat.
No comments:
Post a Comment