Pages

Wednesday 12 September 2012

A tribute to Norli Azila Fatahul Ariffin



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




I would like to say a few words about my friend Norli. She and I have been friends since university, which was over twenty years ago.  We met during our first year, when we registered ourselves at Block F of UUM Telekom Residential College.  Norli was elected as the Head of the block. As this was the first time we both lived away from home, Norli and I bonded instantly.

Norli was from Kajang, Selangor.  She was a cheerful person by nature, approachable, hard-working, intelligent, caring and very thoughtful person. She was very close to her friends and had a lot of people who cared about her.

After university Norli and I remained good friends.  So happens we ended up working for the same organizations.  She was placed at the Marketing Division, whilst I at the International Division (now Grp Regulatory Div).  One of Norli’s best traits was that she always lived her life to the fullest and loved to laugh and smile. When I was experiencing a crisis in my career a few years back, she was there for me.  Only Allah can repay your good deeds, dear friend.

Norli married an old university mate.  They were blessed with 4 children.

The last time I met Norli was in December 2011 at An-Nur Specialist Hospital in Bandar Baru Bangi.  And only a few months later I found out that she was diagnosed with nasal cancer.  She was admitted to Pantai Specialist Hospital on 03.09.2012 for lung infection that damaged her heart valve.

On 04.09.2012, Arifin, Kak Zaimah, Saniah and I went to visit Norli at the ICU of Pantai Specialist Hospital.  We could only watch her from outside the glass room.  There the sister informed us that she was initially admitted to the Beacon Hospital for fever due to the infection to her chemo port.

At Pantai Specialist Hospital, Norli was scheduled for an operation to remove her chemo port on 05.09.2012 and heart valve operation on 08.09.2012.  Both operations were later aborted because of her instability.  The reciting of Yassin and “Hajat” prayers were arranged.  Get well soon Norli…

However on 07.09.2012 at 09:41pm, I received a called from Kak Sokdah informing of her passing.

Rest In Peace Norli Azila Fatahul Ariffin…الفَاتِحَة

Monday 10 September 2012

Hak Kanak-Kanak Di Dalam Saf Solat Jemaah: Satu Sorotan Ke Arah Penyelesaian



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
[Kajian ini dibuat untuk memenuhi kehendak tugasan subjek IUD 402, APIUM]
[Nama Pengerusi Masjid & tempat Kajian telah disunting sebagai menghormati pihak yang berkenaan]
 

Abstrak

Kajian ini dijalankan untuk memperolehi maklumat tentang hak kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah di masjid. Kajian ini juga cuba mengenal pasti persepsi dan penerimaan pihak pengurusan jemaah masjid terhadap kehadiran kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah secara toleran, bagaimana pihak pengurusan masjid menanggani isu-isu “gangguan” yang sering kali dialami oleh mereka serta cuba mengenalpasti apakah aktiviti-akviti masjid yang dirangka oleh pihak pengurusan masjid untuk kanak-kanak agar dapat menglibatkan diri secara positif dalam program mengimarahkan masjid. Penumpuan utama kajian ini adalah untuk melihat peranan masjid sebagai pusat dakwah dalam mendepani masalah terhadap penafian hak kanak-kanak ketika bersolat secara berjemaah. Kajian ini juga mencadangkan agar pihak pengurusan masjid sentiasa menyampaikan taklimat kesedaran kepada para jemaah dewasa supaya dapat menerima golongan kanak-kanak agar turut sama dapat melibatkan diri bersolat secara berjemaah di masjid. Kesan jangka pendek daripada penafian hak kanak-kanak akan memberi kesan ke atas emosi kanak-kanak terbabit. Manakala kesan jangkamasa panjangnya pula ialah kebarangkalian kanak-kanak terbabit tidak gemar ke masjid.     

Kata kunci: hak kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah, emosi kanak-kanak, peranan masjid, persepsi pihak pengurusan masjid tentang isu hak kanak-kanak



1.0       Pendahuluan

Masjid dalam Islam memainkan peranan yang penting untuk pembentukkan diri seseorang muslim. Mendekatkan anak-anak dengan masjid dengan pendedahan di zaman kanak-kanak adalah amat digalakkan oleh agama Islam. Masjid bukan sahaja sebagai simbol kepada agama Islam malahan sebagai pusat untuk memupuk peribadi-peribadi mulia sebagaimana yang dilakukan oleh Rasullah s.a.w. Kepimpinan Rasulullah s.a.w di Madinah menjadikan masjid sebagai tempat mendidik, membentuk teras-teras dan asas-asas keperibadian muslim. Antara graduan yang telah dididik oleh Rasullah s.a.w adalah terdiri dari para sahabat seperti Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar al-Khatab r.a, Saidina Uthman r.a, Saidina Ali r.a dan ramai lagi para sahabat yang hidup sezaman dengannya adalah muslim yang beriman dan teguh akhlaknya.

Anak-anak memang wajar dibiasakan untuk ke masjid. Tanggapan bahawa bahawa masjid adalah untuk golongan dewasa yang sudah bersara perlu diperbetulkan. Membawa anak-anak ke masjid menyamai ajaran Nabi s.aw. Baginda s.a.w selalu membawa dua cucunda baginda, Hasan dan Husain ke masjid. Kadang-kadang baginda memanjangkan solat kerana Hassan dan Husain berada di atas belakangnya yang mulia itu.

Memang ada sumber sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang menyebutkan bahawa di masjid Nabi s.a.w, saf kanak-kanak lelaki di belakang saf lelaki dewasa dan saf wanita di belakang saf kanak-kanak lelaki. Nabi Muhammad s.a.w juga mengajar kepada para sahabat yang hidup sezaman dengannya supaya orang yang di belakang baginda s.a.w didalam solat ialah lelaki yang baligh dan cerdik supaya baginda dapat diingatkan sekiranya terlupa atau digantikan sekiranya perlu. Namun itu tidak bermakna kanak-kanak boleh dinafikan daripada berada di celah-celah orang dewasa di saf yang hadapan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka datang lebih awal ke masjid.

Namun begitu, persoalannya rata-rata masjid tidak mesra kanak-kanak. Terdapat pelbagai notis peringatan terhadap kanak-kanak di masjid. Peraturan, polisi dan etika ketika mereka berada di dalam masjid untuk bersama-sama menunaikan solat berjemaah dilihat terlalu mengikat dengan alasan jika kanak-kanak berada bersama jemaah dewasa didalam satu saf, ianya boleh menyebabkan “putus saf”.

Bagaimanapun penulis melihat jikalau fenomena ini berterusan dalam konteks pihak pengurusan masjid yang kurang sensitif dengan hak kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah, ianya akan memberi impak kepada kanak-kanak terbabit. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa kanak-kanak akan membesar menjadi remaja dan seterusnya menjadi dewasa, mereka adalah golongan generasi pelapis untuk mengimarahkan masjid. Antara kesannya ialah:

                                i.            Tanggapan masjid tidak mesra kanak-kanak akan berterusan;

                              ii.            Penafian hak kanak-kanak di dalam saf solat jemaah oleh kalangan orang dewasa;  

                            iii.            Tanggapan yang berterusan bahawa masjid adalah untuk golongan orang yang sudah bersara; dan

                            iv.            Ianya boleh merendahkan motivasi kanak-kanak untuk datang ke masjid;


1.1       Pernyataan Masalah Kajian

Sukacita penulis merujuk kepada keluhan Encik Zulqarnain Mohamad di akhbar Berita Harian bertarikh 9 hb Julai 2011, yang mana beliau telah berkongsi pengalaman beliau yang telah menyaksikan sekumpulan kanak-kanak dalam lingkungan 11 – 12 tahun yang berada di dalam saf ketiga ketika bersolat secara berjemaah di salah sebuah masjid di Singapura. Beliau menulis dengan rasa penuh terkilan bahawa kanak-kanak tersebut disuruh oleh imam yang bertugas agar berundur ke belakang untuk memberi ruang itu kepada orang dewasa. Perbuatan imam tersebut seolah-olah telah menafikan hak kanak-kanak yang telah datang ke masjid lebih awal tetapi terpaksa memberikan ruang saf di hadapan kepada jemaah dewasa yang datang lewat berbanding kanak-kanak tersebut.[1]   

Keluhan Encik Zulqarnain seperti yang disebut di atas adalah tidak asing bagi penulis yang juga mempunyai pengalaman yang sama dengan beliau. Untuk pengetahuan pembaca, penulis merupakan salah seorang ahli kariah di Masjid tempat penulis tinggal. Setiap kali penulis menunaikan solat fardu di masjid berkenaan, akan kedengaran suara teguran jemaah dewasa kepada kanak-kanak agar duduk di saf belakang kerana ingin memberi ruang kepada orang dewasa lain dengan alasan akan terputus ‘saf”. Malahan notis peringatan berkenaan meminta kanak-kanak supaya berada di saf belakang juga ditampal di papan kenyataan masjid. 

Sikap imam dan pengurusan masjid yang kurang peka serta tidak bersikap toleran menjadi hak mereka seolah-olah dinafikan untuk bersama-sama sebagai sebahagian daripada komuniti di dalam masyarakat untuk mengimarahkan masjid. Sikap pengurusan masjid dan keterbukaan para jemaah dewasa menjadi persoalan sehinggakan ianya dilihat seolah-olah berlawanan dengan nilai-nilai dan hikmah ajaran Islam tentang fungsi dan peranan masjid di dalam pendidikan anak-anak.


1.2       Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti keprihatinan pihak masjid terhadap hak kanak-kanak didalam saf solat berjemaah. Oleh itu, matlamat utama kajian ini adalah seperti berikut:

                                                 i.            mengenalpasti penerimaan pengurusan jemaah masjid terhadap kehadiran kanak-kanak di dalam saf solat jemaah;

                           ii.            mengenalpasti persepsi pengurusan jemaah masjid dalam menanggani isu-isu hak kanak-kanak di dalam saf solat jemaah secara toleran;

                                         iii.            mengenalpasti persediaan pengurusan jemaah masjid terhadap aktiviti-aktiviti masjid yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk turut serta mengimarahkan masjid; dan

                                                iv.            mengenalpasti “gangguan” yang sering kali dilalui oleh jemaah masjid dikalangan orang dewasa terhadap kehadiran kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah.   



1.3       Persoalan Kajian

Pada umumnya persoalan kajian didalam perbahasan ini adalah seperti berikut:

                                               i.            adakah pihak pengurusan masjid telah memberi taklimat kesedaran kepada para jemaah dewasa tentang hak kanak-kanak di dalam saf solat secara berjemaah;

                                             ii.            adakah pihak pengurusan masjid telah membuat persediaan untuk menanggani isu-isu berkenaan dengan hak kanak-kanak terutamanya ketika solat secara berjemaah;

                                                    iii.            adakah pihak pengurusan masjid telah menyediakan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk menarik minat kanak-kanak untuk datang solat berjemaah di masjid;


1.4       Metodologi Kajian

Dalam penyusunan kertas kerja ini penulis mengambil data dari pendapat para ahli akademik yang telah menghasilkan buku-buku atau jurnal tentang peranan dan sumbangan masjid kepada masyarakat termasuk golongan kanak-kanak yang menjadi topik perbincangan di dalam kertas kerja ini. Temubual dengan pegawai-pegawai yang berkaitan dengan permasalahan kajian yang terdiri daripada, Pengerusi Masjid,  para pensyarah daripada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (API, UM) iaitu Ustaz Dr. Sa’adan bin Man dan Ustazah Sharifah Zaharah Syed Mohamad dari Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam (CITU, UITM) juga akan di atur untuk mendapatkan data-data yang relevan dengan kajian ini.

Sumber primer di dalam kajian ini ialah melalui penyelidikan Perpustakaan Negara dan Perpustakaan Tun Sri Lanang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Istilah ini lazim disebut “library research” iaitu pengambilan data yang berasal dari buku-buku atau karya ilmiah yang terdiri dari sumber primer dan sekunder. Disamping itu data sekundernya adalah buku-buku yang berkaitan dengan peranan dan sumbangan masjid, Akta Kanak-Kanak 2001 (yang mengandungi pindaan sehingga tahun 2006), yang relevan dengan pembahasan di dalam skop kajian ini juga diguna pakai. Penulis juga turut menggunakan sumber seperti keratan-keratan akhbar dan capaian internet didalam mendapatkan maklumat.



2.0       Perbincangan Kajian

Golongan kanak-kanak dilahirkan bersama dengan hak-hak mereka. Dalam erti kata lain mereka mempunyai hak secara semulajadi tanpa perlu diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang bertulis kerana hak tersebut telah ditentukan oleh Allah s.w.t sebagai amanah yang diletak ke atas bahu ibubapa, penjaga dan juga masyarakat dewasa umumnya.[2]  Di dalam bab ini, penulis akan membahaskan definisi kanak-kanak, apakah hak-hak mereka dan bagaimana hak-hak mereka boleh dipinggirkan oleh kalangan orang dewasa tanpa kita sedari bahawa kita telah menafikan hak kanak-kanak tersebut dan juga fungsi dan peranan masjid.


2.1       Definisi Kanak-Kanak

Kamus Dewan telah mendefinisikan kanak-kanak sebagai “budak lelaki atau perempuan yang masih kecil biasanya yang belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun ~ yang masih belum mempunyai dosa”.[3]

Takrifan kanak-kanak seperti yang termaktub di dalam Akta Kanak-Kanak tahun 2001 yang juga dikenali dengan Akta 611 iaitu suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya telah mendefinisikan kanak-kanak sebagaimana yang ternukil di bawah seksyen 2(1)(a) bahawa kanak-kanak ialah[4]: 

a)      ertinya seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun;

b)      berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan [Akta 574];

Definisi kanak-kanak seperti mana yang digariskan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat pula bermaksud kanak-kanak adalah mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun, melainkan jika undang-undang menyatakan usia dewasa kurang daripada 18 tahun.[5]

Dalam Al-Quran, terdapat banyak istilah kanak-kanak yang digunakan (contoh-contoh istilah Arab yng terkandung dalam Al-Quran ialah "dhurriyya; ghulām; ibn; walad; walīd; mawlūd; abī; tifl; saghir). [6]

Tetapi menurut Avner Giladi, istilah ini tidak jelas bagi menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dimaksudkan adalah golongan yang tidak matang.[7]

Daripada takrifan-takrifan yang tersenarai di atas, terdapat perbezaan yang ketara yang perlu kita diharmonikan. Penulis berpendapat bahawa sebagai anggota masyarakat kita harus melihat takrifan tentang kanak-kanak daripada 2 perspektif. Pertama, kita perlu melihat daripada aspek undang-undang dan keduanya ialah kita melihat daripada had umur kanak-kanak menurut perspektif agama Islam.

Jikalau menurut undang-undang Malaysia, umur kanak-kanak ialah di dalam lingkungan daripada bayi sehinggalah 18 tahun. Manakala daripada sudut agama Islam, kanak-kanak itu terdiri dari kategori yang masih belum baligh iaitu kira-kira 15 tahun bagi kanak-kanak lelaki dan 9 hingga 12 tahun bagi kanak-kanak perempuan bergantung kepada tahap tumbesaran kanak-kanak terbabit.  

Menurut ahli Psikologi, kehidupan manusia ini terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat pertama iaitu sejak ia lahir hingga berusia 18 tahun atau 20 tahun. Peringkat kedua iaitu berusia 20 tahun sehingga meninggal dunia. Pada peringkat pertama tadi, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sejak lahir sehingga mengjangkau umur enam tahun, ketika berusia 7 tahun sehingga berusia tiga belas tahun manakala bahagian ketiga ketika berusia 13 tahun sehingga berusia 18 atau 20 tahun.[8]

Di dalam usaha untuk mengharmonikan dua takrifan yang berbeza ini, penulis mencadangkan takrifan kanak-kanak adalah konsisten dengan Akta Kanak-Kanak tahun 2001 supaya ianya selari dengan konteks perundangan di negara kita.  Antara kelebihan lain yang kita boleh manafaatkan daripada konteks pemahaman yang sama ini ialah ianya akan mudah diterima pakai oleh masyarakat diperingkat nasional dan juga peringkat antarabangsa.


2.2       Apakah Hak Kanak-Kanak

Di Malaysia, kita sering mendengar orang memperjuangkan hak asasi manusia sama ada dalam aspek kemiskinan tegar, kebuluran, buta huruf, ibu tunggal, tiada tempat tinggal yang mana perbincangan tentang isu-isu tersebut mendominasi perdebatan baik diperingkat nasional mahupun antarabangsa. Namun sangat sedikit kita membincangkan tentang hak kanak-kanak. Menurut Che Norlia Mustafa,   masyarakat Barat lebih memberi keperihatinan terhadap hak asasi golongan kanak-kanak yang boleh kita anggap sebagai “the subaltern section of the community”. Menurut beliau lagi, masyarakat Barat agak ketara lebih tinggi dalam pemikiran-pemikiran yang diketengahkan berkaitan dengan hak kanak-kanak berbanding di Malaysia. [9]

Menurut Freeman, misalnya hak kanak-kanak telah mula diperdebatkan sejak lebih seabad lalu, pun begitu ia tetap mengakui bahawa meskipun demikian, satu abad itu adalah satu jangka masa yang amat singkat jika dihitung dari perspektif alam kanak-kanak. Itu pun, usaha mempertahankan serta melindungi hak kanak-kanak bukanlah datang daripada pihak berkuasa tetapi daripada ahli masyarakat atau orang kebanyakan sahaja (iaitu bukan usaha yang bersifat “top down” tetapi “bottom-up”.) [10]

Teori hak kanak-kanak ini dikembangkan dan akhirnya diraikan dengan rasmi melalui konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) pada 1989. UNCHR 1989 membincangkan apakah hak kanak-kanak yang perlu dipertahankan. Negara kita Malaysia menandatangani konvensyen ini pada 28 Disember 1994 dan mengguna pakai pada 7 Februari 1995.[11]

Prinsip-prinsip hak kanak-kanak seperti yang digariskan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat seperti mana yang dipetik daripada Akta Kanak-Kanak ialah seperti berikut: [12]

a)      Tidak ada diskriminasi - Semua hak dikenakan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, pendapat politik, asal negara, etnik atau masyarakat, harta, ketidakupayaan, kelahiran atau tarafnya atau ibu bapa/penjaganya.

b)      Kepentingan terbaik kanak-kanak - Pertimbangan utama dalam segala hal ialah kepentingan yang terbaik bagi kanak-kanak.

c)      Hak untuk hidup dan berkembang - Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dan berkembang dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuk aspek jasmani, emosi, psiko-sosial, kognitif, sosial dan kebudayaan.

d)     Ikut serta - Kanak-kanak hendaklah dibolehkan ikut serta secara aktif dalam segala hal yang melibatkan kehidupan mereka dan bebas untuk memberi pendapat. Mereka mempunyai hak untuk didengar dan diambil peduli secara serius.

Islam menyuruh ibubapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak, menyediakan makanan yang sesuai, memberi nama yang baik, mendidik mereka dengan adab yang baik, mengajar ilmu agama adalah gambaran kepada pengiktirafan Islam terhadap hak kanak-kanak. Bahkan, seorang Profesor dari Yaman, Dr Saleh al-Dhubyani, menyebut bahawa apabila ibu mengandung diberi keringanan untuk berbuka puasa, dilarang daripada mengambil ubat-ubatan yang membahayakan kandungan atau menggugurkan kandungan tanpa alasan dibenarkan syarak, adalah bukti walaupun kanak-kanak belum lahir, Islam sudah meraikan hak mereka.[13]

Manakala menurut Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali, pensyarah dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) yang juga Timbalan Pengerusi ABIM berpendapat bahawa Islam sangat memandang berat soal pendidikan kanak-kanak dan memberi hak-hak yang sepatutnya kepada mereka. Islam telah menggariskan panduan yang tertentu serta cara dalam mendidik anak-anak sejak ia di dalam kandungan ibunya lagi malahan lebih awal daripada itu. Islam menggalakkan umatnya apabila memilih suami atau isteri hendaklah seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia. Anak merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah dan merupakan perhiasan dalam kehidupan manusia. Orang yang telah diberi nikmat ini sudah tentu memelihara dan mendidik dengan pendidikan Islam sebagai mensyukuri nikmat tersebut.[14]

Di dalam kita membahaskan hak kanak-kanak di dalam solat ini, sukacita penulis mengutarakan bahawa semua semua penganut agama Islam mempunyai hak untuk bersama-sama turut serta untuk menunaikan solat secara berjemaah termasuklah golongan kanak-kanak. Bersesuaian dengan Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡہَا‌ۖ لَا نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقً۬ا‌ۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَ‌ۗ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. [15]

Antara pengajaran ayat diatas ialah menunjukkan penegasan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w dan kita sebagai hambaNya untuk menitik beratkan ibadah solat kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Pendedahan tentang solat secara berjemaah di rumah ataupun di masjid perlu dibuat kepada kanak-kanak sejak mereka kecil lagi supaya ianya menjadi satu amalan kebiasaan oleh mereka. Penafian untuk mereka berada bersama di dalam saf solat bersama orang dewasa perlu ditanggani dengan penuh bijaksana agar mereka dapat berlajar bersolat dengan betul daripada orang dewasa disamping mengelakkan mereka daripada bergurau dan bermain ketika solat.

2.3       Fungsi Masjid

Masjid Quba adalah institusi yang pertama dibina oleh Rasullah s.a.w apabila baginda sampai ke Madinah semasa peristiwa hijrah.[16]  Fungsi masjid di zaman Rasulullah s.a.w tidak hanya terbatas untuk melakukan ritual ibadah semata-mata tetapi juga ianya bersifat “multipurpose” dalam pelbagai aspek. Penanan masjid ketika itu ialah menjadi pusat masyarakat bagi menjalankan hampir kesemua aspek kehidupan. Umpamanya masjid berfungsi sebagai tempat menjelaskan wahyu, mengeratkan hubungan sesama masyarakat, menyelesaikan masalah, memberikan fatwa, pusat pengajaran agama, tempat musyawarah, tempat menyelesaikan perselishan, mengatur strategi ketenteraan, dan juga menerima perutusan dari luar.

Iktibar daripada peristiwa diatas menggambarkan bahawa fungsi masjid adalah nadi kepada semua aktiviti kaum muslimin sebagaimana Firman Allah s.w.t:

لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ‌ۚ فِيهِ رِجَالٌ۬ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ‌ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya masjid (Quba` yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).[17]

Malahan Allah s.w.t juga turut merakamkan bahawa sesungguhnya seseorang muslim yang baik adalah mempunyai ciri-ciri yang sentiasa memperbaiki ibadahnya. Antara yang disebut di dalam Al-Quran adalah kaum muslimin yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sepertimana yang Allah s.w.t gambarkan:

إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَ‌ۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.[18]

Daripada kedua-dua ayat diatas, matlamat utama fungsi masjid adalah untuk menjana dan mewujudkan masyarakat yang bertakwa. Sehubungan dengan itu Islam menolak pembinaan dan perlaksanaan fungsi masjid yang menyimpang daripada asas ketakwaan dan ibadah terhadap Allah s.w.t.[19]

Pada pendapat penulis, matlamat dan fungsi masjid akan menjadi lebih bermakna jikalau adanya pengisian seperti aktiviti-aktiviti masjid. Ianya akan menjadi satu platform untuk semua lapisan masyarakat mengambil bahagian secara positif dan mengambil manafaat daripada program pengisian tersebut khasnya golongan kanak-kanak. Disamping menjadi pusat pengukuhan akidah kepada semua orang-orang Islam, masjid juga dapat meneruskan tradisi fungsi-fungsinya, sebagaimana yang disebut diatas.



3.0       Hasil Kajian

Dibab ini penulis akan mengulas tentang hasil kajian pengenai isu yang dibahaskan melalui temubual yang telah dibuat diantara penulis dengan individu-individu seperti yang disebut dibab 1.4 diatas.

Menurut Ustaz Dr Sa’adan bin Man, tidak ada hadith soheh yang boleh dibuat hujah berkenaan dengan kehadiran hak kanak-kanak didalam saf solat jemaah akan menyebabkan terputus saf. Istilah saf solat itu dianggap terputus hanyalah diguna pakai kerana bertujuan untuk menjaga “roh” solat secara berjemaah semata-mata.

Pendapat Ustaz Dr Sa’adan ini disokong oleh Ustazah Sharifah Zaharah binti Syed Mohamad. Ustazah Sharifah turut menjelaskan bahawa walaupun terdapat hadith yang mengatakan bahawa saf kanak-kanak lelaki adalah dibelakang lelaki dewasa, saf perempuan dewasa adalah dibelakang saf kanak-kanak lelaki dan saf kanak-kanak perempuan adalah di belakang saf perempuan dewasa, ianya tidak menghalang kanak-kanak yang sudah berkhatan, remaja, ataupun yang sudah baligh untuk turut bersama menunaikan solat secara berjemaah bersama orang dewasa. Beliau menambah keterbukaan para jemaah adalah penting untuk memahami dan menerima kanak-kanak terutama sekali yang sudah berusia remaja untuk bersolat secara berjemaah dimasjid.

Menjawab soalan penulis berkenaan dengan soalan mengapa remaja tidak gemar ke masjid tetapi lebih gemar “melepak” di pusat membeli belah, Ustaz Dr Sa’adan berkata, terdapat banyak kertas kerja dan cadangan-cadangan yang telah dibuat oleh pihak Akademik di dalam seminar-seminar untuk para ahli pengurusan masjid umpamanya menjadikan masjid sebagai pusat sehenti (one stop centre) dengan mewujudkan pelbagai kemudahan dibina berhampiran dengan masjid. Contohnya bengkel kereta, mewujudkan klinik didalam masjid, padang futsal misalnya. Namun cadangan-cadangan ini mendapat tentangan daripada masyarakat. Tambah Dr Sa’adan lagi masyarakat mahu fungsi masjid kekal sebagai pusat ibadah dan bukan berfungsi pusat “multi-function” sebagai dicadang.

Ditanya soalan yang sama, Ustazah Sharifah berpendapat bahawa paradigma masyarakat memang sukar diubah. Pihak pengurusan masjid hendaklah sentiasa konsisten memberi taklimat kepada para jemaah. Dengan taklimat kesedaran ini sekurang-kurangnya pihak pengurusan masjid dapat memberi maklumat dengan harapan para jemaah akan mendapat pemahaman yang sama (common understanding) tentang hak kanak-kanak didalam saf solat secara berjemaah. Ini adalah disebabkan ilmu di kalangan para jemaah adalah tidak sama.

Bagaimanapun menurut salah seorang Pengerusi Masjid yang ditemu bual berkata, tujuan sebenar mengapa kanak-kanak diminta duduk disaf belakang adalah kerana najis yang terdapat pada kanak-kanak terbabit.  Ini kerana kanak-kanak yang memakai lampin pakai buang mungkin mengandungi najis yang mungkin terkena kepada jemaah dewasa. Namun, apabila diajukan soalan berkenaan dengan implikasi polisi pihak masjid ini kepada kanak-kanak yang berumur 7 – 12 juga turut diarahkan ke belakang saf ketika bersolat secara berjemaah dengan tidak dibenarkan bersama sebaris dengan orang dewasa, beliau menambah bahawa terdapatnya tekanan daripada ahli kariah masjid yang merasakan “terganggu” dengan kehadiran kanak-kanak terbabit. Antara “gangguan” tersebut ialah kanak-kanak terbabit sama ada melakukan pergerakan didalam solat yang tidak selari dengan pergerakan imam, bermain, ketawa, menangis, berbual-bual sesama mereka, menoleh ke kiri atau ke kanan semasa di dalam solat. Dengan permintaan daripada ahli kariah inilah yang menyebabkan pengurusan masjid meminta agar kanak-kanak yang masih bersekolah rendah untuk berada di saf belakang.

Beliau juga turut mengulas bahawa sistem saf di masjid adalah konsisten dengan standard piawaian yang ditetapkan oleh ijmak ulama bahawa saf solat berjemaah di seluruh Malaysia ialah kanak-kanak lelaki adalah di saf belakang lelaki dewasa, saf perempuan dewasa adalah dibelakang saf kanak-kanak lelaki dan saf kanak-kanak perempuan adalah di belakang saf perempuan dewasa, ianya tidak menghalang kanak-kanak yang sudah berkhatan, remaja, ataupun yang sudah baligh untuk turut bersama menunaikan solat secara berjemaah bersama orang dewasa. Jikalau pihak pengurusan masjid ingin membuat perubahan, cabaran yang terpaksa dilalui ialah rungutan daripada ahli kariah dan masyarakat setempat.

Beliau turut mengakui jika masalah hak kanak-kanak ini tidak ditanggani secara matang dan penuh sedar ianya akan memberi kesan yang lebih buruk lagi iaitu golongan sasar di dalam topik yang dibahaskan ini tidak akan gemar untuk ke masjid. Mengulas lanjut tentang tanggapan masyarakat bahawa masjid adalah untuk golongan tua dan pesara, beliau menjawab bahawa tanggapan itu telah diwarisi sejak sekian lama. Mengubahnya adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya tertanggung kepada pihak pengurusan masjid semata-mata. Beliau turut menyetujui bahawa masalah kanak-kanak dan remaja adalah berpunca daripada orang dewasa. Sikap ibubapa dan penjaga juga menjadi salah faktor penyumbang mengenai tanggapan bahawa masjid hanyalah untuk golongan tua dan pesara sahaja. Yakni ibubapa dan penjaga juga perlu memainkan peranan untuk membawa anak-anak mereka ke masjid. Tanggapan itu akan beransur-ansur akan hilang jika semua pihak tahu akan banyaknya fadilat mendirikan solat berjemaah di masjid.  

Menyentuh tentang program-program kuliah magrib dan subuh yang dikelolakan oleh pihak masjid, Pengerusi masjid tersebut berkata ianya dibangunkan untuk semua lapisan masyarakat termasuklah golongan sasar. Terpulanglah kepada ibubapa golongan sasar terbabit untuk membawa anak-anak ke masjid dalam mendalami ilmu agama. Pihak pengurusan masjid juga sedia menimbangkan sebarang cadangan-cadangan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kepada masyarakat dan ahli kariah khususnya.






4.0       Cadangan

Setiap invidu yang beragama Islam di Malaysia mempunyai peluang sama rata untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid tidak mengira jantina, umur atau bangsanya termasuklah golongan kanak-kanak. Berkaitan dengan isu didalam perbahasan ini, penulis ingin mencadangkan beberapa langkah kepada pihak pengurusan masjid untuk dipertimbangkan. Antara langkah-langkah tersebut ialah:

                                i.            Pengiktirafan Terhadap Hak Kanak-Kanak
Memberi pengiktifaran kepada kanak-kanak akan dapat menjadi pemangkin kepada kanak-kanak supaya menjadi generasi yang mencintai masjid sejak dari mereka kecil. Manafaat daripada pengiktifaran ini, kanak-kanak akan merasakan bahawa hak mereka diraikan oleh golongan orang dewasa untuk turut serta di dalam solat secara berjemaah.  


                              ii.            Taklimat Kesedaran
Pihak pengurusan masjid hendaklah sentiasa memberi taklimat kesedaran kepada para jemaah dewasa tentang pentingnya mereka bersikap toleran kepada kanak-kanak. Bersikap toleran ini akan dapat dicapai sekiranya pihak pengurusan masjid dalam menerangkan kepada para jemaah dewasa tentang hadith-hadith soheh yang berautoriti tentang bagaimana Nabi Muhammad s.a.w meraikan kanak-kanak semasa mendirikan solat secara berjemaah. Antara kanak-kanak yang mendirikan solat secara berjemaah dengan Rasulullah s.a.w ialah Anas bin Malik r.a, Abu Hurairah r.a, kedua-dua cucunda baginda Hassan dan Hussain. Manafaat daripada taklimat kesedaran ini akan dapat merapatkan jurang ilmu terhadap hak kanak-kanak dalam saf solat dikalangan orang dewasa. Dicadangkan pihak pengurusan masjid mengambil kesempatan dalam seminit dua memberi taklimat tersebut ketika para jemaah sedang menunggu waktu solat.


                            iii.            Risalah/Buletin masjid
Risalah masjid juga amat berguna sebagai “instrument” penyampai maklumat kepada masyarakat. Selain daripada memberi maklumat tentang aktiviti pengisian rohani, permasalahan fiqh harian, fatwa-fatwa baru yang diwartakan untuk dibaca oleh ahli kariah. Adalah dicadangkan juga pihak pengurusan masjid turut menyelitkan artikel-artikel berkenaan dengan hak kanak-kanak di dalam saf solat secara berjemaah dan paparkan juga kesan-kesannya kepada kanak-kanak jika kita menafikan hak mereka untuk turut serta bersolat bersama orang dewasa.


                            iv.            Khutbah Jumaat
Khutbah Jumaat merupakan aktiviti mingguan yang diwajibkan agar masyarakat setempat mendengarnya sebagai syarat sah solat Jumaat. Khutbah Jumaat menjadi platform kepada ahli jemaah agar sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dalam aktiviti harian. Dicadangkan pihak masjid mengangkat hak kanak-kanak di dalam saf solat sebagai topik kupasan isu semasa dan nasihat kepada ahli jemaah agar dapat memberi kefahaman dan bersikap lebih toleran terhadap mereka. Antara kandungan khutbah Jumaat tentang hak kanak-kanak yang pihak pengurusan masjid boleh aplikasikan ialah seruan amalan maaruf ke arah kebaikan, memberi peringatan agar para jemaah menunaikan amanah dan menerangkan tentang hak kanak-kanak.  Ini kerana penulis berpendapat bahawa komunikasi melalui khutbah Jumaat dalam konteks penyebaran ilmu dalam bentuk nasihat antara yang paling berkesan kepada para jemaah dewasa.  


                              v.            Masjid Sebagai Aktiviti Pusat Pendidikan Dan Pembelajaran
Penulis berpendapat bahawa rata-rata aktiviti di masjid 80% kerangka kelasnya adalah direka untuk golongan orang dewasa yang sudah bersara[20]. Penulis juga mencadangkan agar masjid membuka ruang kepada kanak-kanak untuk bergiat cergas dengan menawarkan penggunaan ruang masjid untuk aktiviti-aktiviti pengisian masjid. Ini kerana selain daripada waktu solat, masjid mempunyai ruang masa yang banyak untuk dimanafaatkan untuk kanak-kanak. Umpamanya ruang waktu selepas solat subuh hingga solat zohor adalah panjang. Pihak pengurusan masjid boleh menawarkan kepada pengelola kelas tae-kwan-do untuk mengadakan sesi pembelajaran kelas tae-kwan-do di dalam masjid[21] pada setiap hari Sabtu misalnya. Ataupun diadakan “summer camp” untuk kanak-kanak berkampung di masjid sepanjang program “summer camp” tersebut dijalankan agar dapat mewujudkan pembiasaan kepada mereka sebagai salah satu proses pendidikan untuk mendekatkan diri dengan masjid.  Pihak masjid juga boleh menawarkan ruang masjid untuk kelas-kelas tuisyen atau lain-lain kelas bimbingan sebagai program aktiviti mengimarahkan masjid khas untuk golongan kanak-kanak. Manafaatnya ialah apabila tiba waktu azan, kanak-kanak boleh diajak untuk bersolat berjemaah bersama-sama dan belajar bagaimana mendirikan solat secara berjemaah dengan betul menurut cara solat Rasullullah s.a.w. 


                            vi.            Etika Pegawai Masjid
Pegawai masjid terdiri daripada imam, bilal dan siak yang dilantik atau dipilih adalah merupa individu yang berkhidmat untuk ketinggaian syiar Islam dan menjaga nama baik Islam bersama simbol masjid yang dinaunginya. Mendepani masyarakat ahli kariah, adalah dicadangkan agar para pegawai masjid menghadiri latihan tentang tata cara berkomunikasi yang effektif dalam bentuk latihan “thinking strategically and communicating clearly” agar apa sahaja maklumat yang disampaikan tidak menafikan hak golongan minoriti khasnya kanak-kanak didalam membendung wujudnya jemaah kelas kedua di dalam saf solat secara berjemaah.   Kemampuan pegawai masjid menanggani isu-isu tentang hak kanak-kanak secara bijaksana dan beretika adalah amat dialu-alukan bagi menjadikan diri mereka sebagai “role model” oleh kanak-kanak sebagai pendidik di masjid, manakala ibubapa adalah pendidik di rumah dan guru-guru pendidik di sekolah.



5.0       Kesimpulan

Daripada cadangan-cadangan yang disebutkan diatas, penulis berpendapat bahawa masjid boleh berperanan untuk melahirkan kanak-kanak yang baik akhlaknya. Sentiasa memberi taklimat kesedaran kepada para jemaah bahawa kanak-kanak juga mempunyai hak untuk turut serta di dalam saf solat secara berjemaah akan meningkatkan “self esteem” kanak-kanak terbabit. Apabila mereka merasakan diri mereka diraikan oleh golongan dewasa, secara tidak langsung ianya akan dapat menjinakkan diri mereka dekat dengan masjid. Dengan mengakui bahawa seseorang kanak-kanak dengan memberi pengiktirafan kepada mereka, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya, memerlukan bantuan daripada kariah masjid yang lebih dewasa untuk membolehkan mereka turut serta dalam dan menyumbangkan penglibatan secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul.




 

Rujukan


Buku-buku

Al-Quran & Terjemahan

Abd Muein Abd Rahman & Muhammad Faiz Abd Karim, Hak Kanak-Kanak Di Dalam Salat, Kuala Lumpur, 2008

Akta Kanak-Kanak 2011(Akta 611)

Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Yusoff, Kamus Al-Quran Rujukan Lengkap Kosa Kata Dalam Al-Quran, PTS Islamika Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2010

Encyclopedia of the Qur'an, Children

Freeman, Michael D.A, The ideologies of children’s rights,  Maritinus Nijhoff Publishers, The Netherlands,1992

Kamus Dewan, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Edisi Baru, Kuala Lumpur

Nor Raudah Hj. Siren & Mohamad Zaidi Abdul Rahman, Strategi Mengurus Masjid, Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan dan Azha Hamzah Trading (M) Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2006

Richard Templar, The Rules of Parenting, Pearson Education Limited, United Kingdom, 2008

Sahih Muslim

Sahih al-Bukhairy




Jurnal

Ab. Halim bin Tamuri & Khadijah Abdul Razak, Dakwah Dalam Mengani Isu-Isu Sosial di Kalangan Remaja

Ahmad Nawawi Yaakob, Sidek Abdullah & Zaluddin Sulaiman, Institusi Masjid Dan Peranannya Ke Arah Membina Toleransi Beragama Dalam Masyarakat Majmuk

Che Norlia Mustafa, Hak Kanak-Kanak Di Malaysia di sisi Perlembagaan Persekutuan: Satu Penilaian Ke Atas Pengiktirafan Kehakiman Terhadap Hak Kanak-Kanak Di Perkara-Perkara 5(1) & 11(1)

Fariza Md. Sham, “Memahami Emosi Remaja: Satu Keperluan Dakwah”


Kertas Kerja

Y.B.S.S Dato’ Hj Mohd Murtadza bin Hj Ahmad, (Mufti Kerajaan Negeri Sembilan), Pendidikan Anak Dengan Solat – Kertas kerja ini telah dibentangkan di dalam seminar Kebangsaan Menghayati Ajaran Islam: Sembahyang Kewajipan Asasi, Tahun 1427H/2006, di Sutera Hall Center Point, Bandar Seri Bengawan, Brunei, anjuran Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.


Akhbar

Mohamed Roslan Bari, “Galak anak solat berjemaah di masjid”, Berita Harian, 29hb Jun 2011

Nurhidayah Muhd Hashim, “Hak kanak-kanak amanah orang dewasa” Berita Harian 3hb Apr 2010,

Zulqarnain Mohamad, “Apabila kanak-kanak dilayan seperti ‘jemaah kelas kedua’”, Berita Harian,  9hb Julai 2011


[1] Berita Harian bertarikh 9 Julai 2011
[2] Che Norlia Mustafa, Hak Kanak-Kanak Di Malaysia di sisi Perlembagaan Persekutuan: Satu Penilaian Ke Atas Pengiktirafan Kehakiman Terhadap Hak Kanak-Kanak Di Perkara-Perkara 5(1) & 11(1)
[3] Kamus Dewan, DBP, 2002
[4] Akta Kanak-Kanak 2011(Akta 611) , halaman 16
[5] Jabatan Pembangunan Masyarakat di http://www.japem.gov.bn/KHKK/KHKK.htm
[6] Kamus Al-Quran Rujukan Lengkap Kosa Kata Dalam Al-Quran, Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Yusoff
[7] Encyclopedia of the Qur'an, Children
[8] Dr Mohd Rumazuddin Ghazali di http://www.mindamadani.my/content/view/176/2/
[9] Che Norlia Mustafa, Hak Kanak-Kanak Di Malaysia di sisi Perlembagaan Persekutuan: Satu Penilaian Ke Atas Pengiktirafan Kehakiman Terhadap Hak Kanak-Kanak Di Perkara-Perkara 5(1) & 11(1)
[10] Freeman, Michael D.A, The ideologies of children’s rights, 1992, Maritinus Nijhoff Publishers, The Netherlands, halaman 3
[11] Nurhidayah Muhd Hashim, “Hak kanak-kanak amanah orang dewasa” Berita Harian 3hb Apr 2010,
[12] Akta Kanak-Kanak 2001, halaman 13
[13] Nurhidayah Muhd Hashim, “Hak kanak-kanak amanah orang dewasa” Berita Harian 3hb Apr 2010,
[15] Surah Taha, ayat 132
[16] Ahmad Nawawi Yaakob, Sidek Abdullah & Zaluddin Sulaiman, Institusi Masjid Dan Peranannya Ke Arah Membina Toleransi Beragama Dalam Masyarakat Majmuk  (dipetik daripada Ibn Khaldun, halaman 404)
[17] Surah At-Taubah, ayat 108
[18] Ibid, ayat 18
[19] Nor Raudah Hj. Siren & Mohamad Zaidi Abdul Rahman, Strategi Mengurus Masjid, halaman 3
[20] Sila rujuk Lampiran 2
[21] Tertakluk kepada ruang masjid. Jika tidak sesuai, dicadangkan kawasan lapang di perkarangan letak kereta masjid