Pages

Monday 12 February 2018

Bincangkan kaitan proses perkembangan tamadun Islam dengan perkembangan pemikiran Islam sejak awal pertumbuhannya hingga ke hari ini. Pada pandangan anda, mengapakah disiplin pemikiran Islam semasa penting pada masa kini

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


Kehendak soalan di atas menuntut penulis untuk menjawab tentang kaitan proses perkembangan tamadun Islam dengan perkembangan Islam sejak awal kedatangannya hingga ke hari ini. Pada bahagian akhir artikel ini, penulis akan memberi sedikit pandangan mengapa pemikiran Islam merupakan satu disiplin ilmu yang penting pada masa kini. Berikut adalah pandangan penulis tentang persoalan di atas.

            Sebelum kita menghuraikan kaitan proses perkembangan tamadun Islam dengan pemkiran Islam, mari kita telusuri istilah tamadun itu sendiri. Menurut Muhammad Abdul Jabbar Beg (1978) bahawa penulis-penulis Arab menggunakan berbagai-bagai nama untuk tamadun. Sejarawan Muslim pertama yang menulis tentang tamadun ialah Ibnu Khaldun yang telah menggunakan perkataan ‘umran’ bagi menyatakan konsep tamadun. Professor Franz Rosenthal menterjemahkan istilah ‘umran’ itu sebagai perbandaran (urbanization) dan tamadun (civilization). Apa yang diperkatakan ‘umran’ dalam kurun ke-14 ialah merupakan tamadun dalam kurun ke-20. Ibnu Khaldun sebenarnya pengasas Pengajian Tamadun di dunia. Penulisannya adalah didorong oleh suatu pencerapan sejarah yang teristemewa. Apabila Ibnu Khaldun memperkatakan tentang ‘umran’, perkataan civilization belum wujud dalam bahasa Inggeris. Hingga akhir tahun 1772 Masehi, seorang pakar ilmu bahasa Inggeris Dr. Samuel Johnson (1709 – 1748M) enggan memasukkan kalimat “Civilization” dalam kamusnya Dictionary of the English Languange.Beliau menggunakan perkataan ‘civility’ dalam pengertian yang sama. Sejak itu perkataan itu menjadi lumrah dalam semua bahasa moden dalam pengertiannya suatu bentuk khusus atau tahap kebudayaan yang telah wujud dalam suatu zaman tertentu. Penggunaan perkataan ‘civilization’ yang terkenal untuk pertama kalinya terjelma dalam buku-buku bahasa Inggeris dalam kurun ke-19 Masehi.   

Tamadun adalah suatu perkara yang bersifat abstrak dan digunakan untuk menggambarkan kemajuan sesuatu masyarakat. Dalam bahasa Arab, istilah seperti ‘umran, hadharah, bunyan, thaqafah, madaniyyah dan tamadun adalah digunakan dalam pengertian tamadun.  Istilah terawal yang digunakan merujuk kepada tamadun ialah ‘umran yang diperkenalkan oleh Ibn Khaldun ketika membincangkan tentang sifat masyarakat dalam kalangan manusia. Perkataan umran ini adalah terbitan dari perkataan ‘amara yang bererti kawasan tanah atau rumah yang didiami orang, tinggal menetap, segolongan penduduk yang menetap dan seumpamanya dalam keadaan yang berkembang subur lagi makmur daripada keadaan yang kering tandus atau terbiar dan binasa, kawasan tanah yang ditanami dengan baik, sebuah rumah yang terpelihara. Ringkasnya ‘umran’ membayangkan pengertian kemakmuran (Nasruddin Yunos, 2014).

Kemudiannya, terdapat dikalangan sarjana yang membezakan istilah tamadun dan peradaban.  Maksud peradaban dari sudut bahasa menurut Ibn Manzur ialah daripada akar kata ‘hadara’ yang bermakna sesuatu yang nampak. Arnold Toynbee di dalam Muhammad Abdul  Jabbar  Beg (1983) menjelaskan bahawa kekuatan spiritual (batiniah) memungkinkan seseorang untuk memanifestasikannya dalam bentuk lahiriah (outward manifestation) yang kemudian disebut sebagai peradaban . Dalam konteks Islam, Sayyid Qutb menyatakan bahawa keimanan adalah sumber kepada peradaban. Keimanan yang dimaksud bukan sekadar kepercayaan kepada Tuhan, akan tetapi telah menjadi kombinasi antara prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kemanusiaan. Oleh itu prinsip-prinsip peradaban Islam menurutnya adalah ketakwaan kepada Tuhan, keyakinan kepada keEsaan Tuhan (tauhid), dan ketuanan (supremacy) kemanusiaan di atas segala sesuatu yang bersifat material, pengembangan nilai-nilai kemanusiaan, penjagaan dari keinginan bersifat haiwani, penghormatan terhadap keluarga, dan sedar akan fungsinya sebagai khalifah Allah di bumi berdasarkan petunjuk dan perintah-Nya . Pada pendapat penulis, teori ini lebih sesuai untuk menggambarkan peradaban yang bermula dari kekuatan spiritual atau agama dan terpamer kepada akhlak, peribadi, tingkah laku dan cara hidup manusia bersosial dan berinteraksi di antasa satu sama lain termasuklah dalam semua aspek antaranya ekonomi, politik, pentadbiran, keselamatan dan sebagainya.
            Di segi sejarah, usia pembinaan tamadun Islam adalah sama dengan kelahiran agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan risalah tauhid dan syariat Islam bermula ditengah-tengah masyarakat jahiliyyah agar mereka dapat mengenali diri mereka, memperhambakan diri kepada Pencipta dan seterusnya mempersiapkan diri untuk menjadi khalifah di muka bumi. Usaha ini diteruskan selepas Hijrah ke Madinah pada tahun 622 Masehi dengan tertubuhnya kerajaan Islam yang pertama di situ yang akhirnya menjadi tunjang kepada perkembangan tamadun Islam pada tahap awal. Beribu tahun sebelum itu, Allah s.w.t menciptakan Adam a.s, kemudiannya Hawa dan seterusnya lahirlah zuriat yang tersebar di seluruh dunia. Manusia memiliki rupa bentuk fizikal yang lengkap, sempurna, indah dan seimbang, lelaki dan perempuan dengan perbezaan biologi dan psikologi (Abdullah Yusuf, 2015).

            Abdullah Yusuf (2015) juga turut menjelaskan bahawa manusia juga dilengkapkan dengan fikiran, rasa kasih sayang, hormat menghormati dan lain-lain. Mereka juga mampu membiak dan melahirkan bentuk dan rupa bangsa, umat, suku kaum, etnik dengan menggunakan pelbagai bahasa dan dialek pertuturan, bentuk pakaian, cara hidup, warna kulit, bentuk rupa, saiz badan cara berfikir dan bertindak serta lain-lain. Kesemua ini merupakan elemen-elemen yang mempengaruhi proses kelahiran dan perkembangan tamadun manusia.

Perkembangan tamadun Islam adalah berkait rapat dengan ilmu. Peribadi dan bangsa berilmu akan membina kekuatan bangsa, ekonomi dan negara yang berdaya cipta dan mengatasi segala macam cabaran yang dihadapinya. Ilmu adalah teras sistem nilai agama Islam dan menduduki tempat yang amat tinggi. Penekanan terhadap ilmu dalam ajaran Islam jelas ternyata dalam sumber-sumber asas agama iaitu al-Qur’an dan ajaran Nabi Muhamamad s.a.w (sunnah) dan semua tokoh-tokoh Islam dari dulu hingga sekarang. Penekanan pada pembacaan sebagai alat penting dalam usaha keilmuan dan merupakan perkara awal yang diwahyukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang ummi. Surah al-‘Alaq (96), ayat 1-5 yang diakui oleh semua cendekiawan Islam sebagai wahyu yang pertama:

 اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾

Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

Wan Mohd Nor (1990) menjelaskan bahawa kedudukan istimewa manusia dibumi seperti yang dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam ayat 31 surah al-Baqarah terletak kepada kelebihannya dalam ilmu pengetahuan. Budaya ilmu Islam bermula di alam roh lagi. Di alam roh, di mana roh Nabi Adam diajarkan oleh Allah s.w.t nama-nama bagi segala sesuatu yang tidak diberikan kepada para malaikat dan syaitan.

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَـٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٣١
Maksudnya: Dan Dia Telah Mengajarkan Nabi Adam, Akan Segala Nama Benda-Benda Dan Gunanya, Kemudian Ditunjukkannya Kepada Malaikat Lalu Dia Berfirman: ``Terangkanlah Kepada-Ku Nama Benda-Benda Ini Semuanya Jika Kamu golongan Yang Benar.'' 

Ayat di atas menerangkan bahawa Allah s.w.t menunjukkan kehebatan Nabi Adam  a.s yang berguru secara terus daripada Allah s.w.t. Inilah hikmah penciptaan Adam a.s. sebagai khalifah merupakan rahmat kepada sekalian hamba. Ini kerana sebagai hamba kita tidak mampu atau tidak mungkin menerima arahan-arahan atau larangan-larangan Allah tanpa perantaraan malaikat. Justeru, terserlahlah rahmat dan kasih sayang-Nya dengan menghantar sekalian rasul dari kalangan manusia (Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2005).

Di dalam artikel tulisan Zulkifli Mohamad al-Bakri (2005) memetik penjelasan Syeikh Muhammad Rasyid Ridha menyebut di dalam tafsirnya, Al-Manar: ``Telah berlaku sunatullah pada makhluk-Nya bahawa diajar segala hukum-hukum untuk dilaksanakan ke atas mereka melalui lidah-lidah rasul-rasul yang dipilih di kalangan mereka sebagai khalifah. Yang demikian itu kerana manusia yang menzahirkan segala hukum Allah, sunah-sunah-Nya, iaitu syarak. Begitu juga menzahirkan hikmah-Nya dan sunah ciptaan tabiat yang melayakkannya menjadi khalifah. Allah memberi keistimewaan kepada manusia, lain daripada makhluk-Nya berasaskan kepada kenyataan wahyu, penglihatan zahir dan ujian bahawa Allah menciptakan alam dengan berbagai-bagai jenis tetapi dikhususkan setiap jenis selain manusia, dengan sesuatu yang terhad dan terbatas yang tidak mampu melampauinya. Adapun yang tidak kita ketahui seperti malaikat kecuali dengan wahyu.

Jelas, bahawa sumber ilmu kepada manusia ialah wahyu daripada Allah s.w.t diturunkan kepada manusia melalui para rasul-Nya yang dipilih sebagai pembawa risalah kepada umat manusia. Proses perkembangan tamadun Islam ialah bersumberkan al-Qur’an dan as-Sunnah yang telah menjadi tonggak kepada kehidupan umat manusia khusunya umat Islam.

Berbeza dengan tamadun-tamadun lain seperti tamadun Yunani, India, China dan Rom, Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu kerana ilmu pengetahuan adalah asas kepada pemikiran. Tanggungjawab keilmuan terletak kepada semua lelaki dan wanita yang waras akalnya. Ini jelas di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang terkenal iaitu:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."

Di dalam menghuraikan hadis di atas, Burhanuddidn a-Zarnuji (awal abad ke 13M) di dalam Wan Mohd Nor (1990), menulis bahawa tidaklah menjadi kewajiban ke atas setiap orang Islam, lelaki atau perempuan untuk mempelajari semua perkara. Janji ganjaran di sisi Allah s.w.t di akhirat merupakan insentif terpenting bagi manusia Islam untuk mencari dan menyebar ilmu telah mewujudkan satu budaya ilmu yang universal. Umumnya, mereka bersikap terbuka walaupun kritis dengan khazanah keilmuan dari tamadun-tamadun lain dan cuba mensebatikan dengan nilai-nilai dan tuntutan Islam. Insentif sedemikian jugalah membuat pemimpin dan pentadbir Islam mejadi pelopor ilmu pengetahuan dan semua lapisan rakyat jelata meletakkan idealisme yang tinggi kepada ilmu pengetahuan walaupun tidak semua yang melibatkan diri secara aktif.

Di dalam konteks di atas, boleh penulis rumuskan bahawa ilmu telah menjadi agenda utama dalam sejarah manusia sejak pemilihan Nabi Adam a.s lagi. Peristiwa pengiktirafan Nabi Adam a.s sebagai khalifah di muka bumi adalah bersandarkan ilmu pengetahuan yang ada padanya. Ini jelas Allah s.w.t meletakkan kekuatan akal fikiran dan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan yang mampu mengatasi kekuatan-kekuatan lain yang ada pada manusia. Kesinambungan budaya ilmu berterusan sampai kepada rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.  Al-Qu’ran merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w yang kemukjizatannya berkekalan sepanjang zaman. Ia merupakan daya penggerak kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu urusan dan menjadi sumber dan pencetus kebanyakan bidang ilmu yang lain. Penulis bersetuju dengan Baharuddin Yatim dan Sulaiman Nordin (1990) yang mewajarkan pendapat bahawa al-Qu’ran sebagai sumber inspirasi dalam membina tamadun Islam kerana pendorong dan penggerak utama umat Islam ialah al-Qu’ran. Pelopor-pelopor Ilmu Ulum al-Qu’ran ialah:

        i.                i.            Khalifah Al-Rasyidin yang empat, Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud, Zaid bin Tabit,Udai bin Kaab, Abu Musa al-Asy’ari dan Abdullah bin Zubir
      ii.         ii) Di kalangan tabiin ialah Mujahid, Ata’ bin Yasar, Ikrimah, Qatadah, Hassan Basri, Said bin Jubir, Zaid bin Aslam dan Malik bin Anasii
    iii.            iii) Kemudian muncul Ibnu Jarir al-Tabari, dengan Tafsir al-Tabari yang merupakan suatu tafsir yang lengkap.


Manakala, al-Sunnah dan al-Hadis merupakan sumber ilmu yang ke-dua selepas al-Qu’ran dalam tamadun Islam. Dari segi bahasa al-Sunnah ialah jalan. Manakala dari segi istilah ialah jalan atau cara hidup Nabi Muhammad s.a.w yang berkaitan dengan perbuatan (Fi’il), pengakuan (Taqrir), perkataan (Qaul) serta sirah hidupnya samada sebelum atau selepas menjadi rasul.

            Sekarang, kita bincangkan pula fasa kedua di dalam persoalan di atas iaitu perkembangan pemikiran Islam. Di dalam penulisan fasa ini, menulis cuba mengaitkan proses ketamadunan dengan perkembangan pemikiran Islam sehingga ke hari ini. Menurut Jaffary Awang dan Kamaruddin Salleh (2007), perkembangan pemikiran Islam dibahagikan kepada tiga zaman iaitu:

          i.            Zaman klasik (650-1250M),
Zaman ini merupakan era pembangunan dan kemajuan yang termasuk di dalamnya peringkat penyebaran Islam dan pengintegrasian hingga membawa kepada kegemilangan. Pada zaman inilah berlakunya pembukaan wilayah-wilayah Islamiyyah ke Afrika Utara, Andalus, Iran dan India. Dari aspek pemerintahan pula, pusat pentadbiran bermula di Madinah, ke Damsyik dan Baghdad. Pada zaman ini, perkembangan ilmu pengetahuan berkembang sama ilmu-ilmu agama dan bukan agama. Lahirlah para ilmuan Islam yang tersohor seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafei dan Ibn Hanbal dalam bidang fiqh. Imam Ash’ari, Maturudi, al-Bazdawi, al-Nazzam, al-Jubaai dalam bidang ilmu Kalam-teologi. Manakala di dalam bidang tasawuf, ianya dipelopori oleh Dhu nun al-Misri, al-Bistami, al-Hallaj, al-Makki dan Ibrahim Adham. Di zaman ini juga telah melahirkan tokoh pemikir Islam dalam bidang sains dan teknologi iaitu terdiri daripada Abn Haytham, Ibn Sina, Ibn Hayyan, al-Khawarizmi, al-Mas’udi dan al-Razi.

Secara keseluruhannya, tokoh-tokoh pemikir Islam pada era ini banyak memberi sumbangan bukan sahaja terhadap ilmu pengetahuan dengan penemuan-penemuan baru, menyelesaikan masalah ummah dan malah juga telah memberi impak yang sangat tinggi terhadap kemajuan dan tamadun Islam.

        ii.            Zaman pertengahan (1250-1800M)
Zaman pertengahan sekitar tahun 1250-1800 merujuk kepada zaman perpecahan dan perbalahan. Tahun 1250 juga menyaksikan bahawa kota Baghdad jatuh ke tangan Hulagu Khan. Kerajaan Bani Abassiyah telah jatuh dan kekuasan politik negara Islam juga turut hancur. Pada era ini juga menurut, wujudnya perpecahan kerana faktor politik di antara puak Sunni dan Syiah. Sifat kebangsaan di antara Arab dan Parsi pada zaman ini sangat ketara.

Jaffary Awang dan Kamaruddin Salleh (2007) menjelaskan lagi bahawa wilayah Islam terbahagi kepada dua kelompok yang besar iaitu Arab meliputi Semenanjung Tanah Arab, Iraq, Syiria, Palestin, Mesir dan Afrika Utara. Manakala Parsi merangkumi Balkan, Asia Kecil, Iran dan Asia Tengah. Pada era ini, kebudayaan Parsi lebih menonjol berbanding kebudayaan Arab. Sikap jumud dan taklid dalam masyarakat dan membawa suburnya pendirian bahawa ijtihad sudah tertutup. Pada era ini juga muncul pemikiran tarekat tasawuf yang kian berkembang subur sehingga membawa unsure-unsur negatif kepada umat Islam. Ilmu pengetahuan dan kajian terhadap alam fizikal kurang diberi perhatian. Kedudukan umat Islam di Sepanyol menjadi terlalu daif, munculnya kerajaan Uthmaniyyah di Turki serta kerajaan-kerajaan Islam yang kecil seperti Safavid di Parsi, dan kerajaan Islam Monghul di India. Kerajaan ini saling berperang dan setiap satu kerajaan Islam ini mengalami proses kejatuhan.  Sementara itu di dunia Barat, berlakunya proses pencerahan dan semakin kuat selepas dapat melepaskan diri daripada cengkaman gereja dan penindasan golongan feudal.
            
      iii.            Zaman moden (1800 hingga sekarang).
Sejarah mencatatkan bahawa sejak tahun 1800 hingga sekarang menunjukkan adanya semangat dan aspirasi kebangkitan semula Islam. Kejatuhan kerajaan dan negara-negara Islam menyedarkan umat Islam dan dunia Islam akan kelemahan dan kekurangan diri mereka. Pada era ini lahirlah tokoh-tokoh seperti Muhamamad Iqbal, Jamal al-Din al-Afghani, Ahmad Khan dan sebagainya untuk memperbaharui Islam dan umatnya berdasarkan kepada sebab-sebab dan isu pada zaman tersebut.

Pada pandangan penulis proses perkembangan tamadun Islam adalah hasil daripada pemikiran umat Islam yang berpandukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak boleh lagi kita sangkal bahawasanya al-Qur’an, al-Hadith, merupakan sumber-sumber hukum utama yang terus hidup subur dan menjadi perbendaharaan yang besar yang membuka luas pintu-pintu bidang ilmu fiqh Islam, ia menambah keimanan, perbendaharaan, kekuatan dalam hukum-hukum Islam. Pengajian Pemikiran Semasa dan Pengajian Tamadun adalah dua bidang ilmu yang saling berkait. Pada pendapat penulis, pengajian ilmu tamadun ada kaitannya dengan sejarah tamadun. Tamadun lebih memfokuskan kepada teori, konsep asas dalam tamadun, sifat-sifat dan ciri-ciri secara abstrak dan fizikal sesuatu tamadun. Sejarah tamadun pula lebih menumpukan kepada pengalaman yang dilalui oleh sesuatu tamadun sama ada dari segi pencapaian, kemajuan, sumbangannya dan faktor-faktor kemerosotan yang menjadi punca kejatuhan kepada sesuatu tamadun tersebut. Oleh itu, penulis merumuskan bahawa bahawa peradaban dan ketamadunan yang mulia dengan keimanan yang mantap bersumberkan kepada al-Qur’an dan as-Sunnah akan melahirkan insan yang bertamadun dan ketamadunan yang tinggi.


Oleh sebab itu, Pengajian Pemikiran Semasa adalah penting kepada umat Islam antaranya ialah:

a)      Agar kita sedar dan memahami isu-isu yang menjadi perdebatan di antara pemikiran-pemikiran yang berbeza dikalangan umat Islam. Dengan kemunculan zaman moden dengan cabaran-cabaran kolonial dan pemikiran Barat dengan segala unsur dan kesan-kesan yang dibawanya, maka Pengajian Pemikiran Islam ini dilihat dapat menjadi wadah kepada umat Islam dalam mempertingkat daya fikir umat Islam khususnya dari Jabatan Usuluddin & Falsafah UKM.

b)      Membolehkan umat Islam mempertahankan akidah-akidah yang tidak benar dan menyeleweng serta menjadi alat untuk mempertahankan agama Islam yang murni

c)       Membina satu tahap pemikiran yang memantapkan ilmu dan pemikiran umat Islam

d)     Dapat memahami budaya dan tamadun asing. Umpamanya tamadun Yunani tidak sama dengan tamadun Cina, India dan Islam serta mengenali persamaan dan perbezaan tamadun yang merangsang pemikiran bangsa-bangsa lain.


Rujukan:


Al-Qur’an dan Terjemahan

Abdul Rahman Haji Abudllah. 1991. Pemikiran Islam di Malaysia (1900-1980-an): Aliran dan Perkembangannya. Tesis Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia

Abdullah Yusuf. 2015. Cabaran Tamadun Islan Dalam Era Pembaratan : Satu Sorotan. Jurnal Usuluddin.

Baharuddin Yatim & Sulaiman Nordin. (1990). Islam, al-Qu’ran dan Idelogi Masa Kini, Bangi: Universti Kebangsaan Malaysia

Fazlur Rahman. 1979. Islam.  USA: University of Chicago Press

Ibnu Manzur, Lisan al-‘Arab, Jilid 13, Beirut: Dar Sadir, T.Th, hlm 170-171

Ibrahim Abu Bakar. 2016. Tradisionalisme & Rasionalisme Dalam Ilmu Kalam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Jaffary Awang & Kamaruddin Salleh. 2007. Pemikiran Islam dan Isu-isu semasa. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Kamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka

Kamarudin Salleh. 2012. Transformasi Pemikiran Pembaharuan dan Modenisme di Malaysia: Satu Penelitian Awal/Transformation of Renewal Thought and Modernism in Malaysia: a Preliminary Study. International Journal of Islamic Thought, 2, 23.

Majalah Tamadun. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka (Ogos 1997)

Muhammad Abdul Jabbar Beg. 1978. Konsep Tamadun Islam Mengikut Ulama Islam dan Barat. Jurnal Islamiyyat Vol 2, (1978: 37-61).

Muhammad Abdul  Jabbar  Beg. (1983), The Muslim World League Journal, edisi November-Desember, 1983,  hlm 38-42.

Nasruddin Yunos, Aminudin Basir, Jamsari Alias & Wan Zulkifli Wan Hasan. 2014. Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia


Osman Bakar. 2008. Tawhid and Science. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn Bhd

Wan Mohd. Nor Wan Daud. 1990. Budaya Ilmu Sebagai Asas Pembangunan Tamadun. Jurnal Pendidikan Islam 3, (1990, 51-67)

Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 2005. Kelebihan Adam - Berguru langsung kepada Allah. Utusan Malaysia, 27 April 2005


Thursday 1 February 2018

التعبير القرآني

لاخلاف بين أهل العلم أن التعبير القرآني تعبير فريد في علوه وسموه وأنه أعلى كلام وأرفعه. وأنه بهر العرب فلم يستطيعوا امداناته والإتيان بمثله مع أنه تحدَّاهم أكثر من مرة.

لقد تحدى القرآنُ العرب ثم جميع الخلق بأتوا بمثله ثم أخبر أنهم لن يأتوا بمثله ولو كان بعضهم لبعض ظهيراً. فقد تحداهم أولاً بأن يأتوا بعشر سور مثله إن كانوا يرون أنه مفترى فَقال: أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿١٣﴾ فَإِلَّمْ يَسْتَجِيبُوا لَكُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا أُنزِلَ بِعِلْمِ اللَّـهِ وَأَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٤﴾    [هود] 

فلما انقطعوا وقامت الحجة عليهم تحداهم بأن يأتوا بسورةٍ من مثله وأخبر أنهم لن يفعلوا فانقطعوا أيضاً وقامت الحجة عليهم، قال تعالى: وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٣ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ ﴿٢٤﴾    [البقرة]  
 
وأكد التحدي بقوله : قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا ﴿٨٨﴾   [الإسراء]  

دعا القرآن العرب إلى أن يأتوا بسورة من مثله ويشمل هذا التحدي قصار السور كما يشمل طوالها فهو تحدَّاهم بسورة الكوثر والإخلاص والمعوذتين والنصر ولإيلاف قريش أو أية سورة يختارونها، ومن المعلم أن العرب لم يحاولوا أن يفعلوا ذاك فقد كانوا يعلمون عجزهم عنه، ورأوا أن سبيل الحرب والدماء وتجميع الأحزاب أيسر عليهم من مقابلة تحدي القرآن.  

ومن الثابت أن القرآن الكريم كان يأخذهم بروعة بيانه وأنهم لا يملكون أنفسهم عن سماعه ولذلك سعوا إلى أن يحولوا بين القرآن وأسماع الناس. سعوا إلى لا يصل الى الأذن لأنهم يعلمون أن مجرد وصوله إلى السمع يُحْدِثُ في النفس دَويّا هائلاَ وهزَّه عنيفة وقد حكى الله.



Ungkapan al-Qur’an
Tidak terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama bahawa ungkapan al-Qur’an adalah ungkapan yang sangat unik pada ketinggian, nama, kata-kata tertinggi dan mulia.  Dan orang-orang Arab tidak boleh menandingi dan membawa contoh seumpamanya, walaupun dicabar  lebih daripada sekali.

Al-Qur’an mencabar orang-orang Arab dan semua makhluk untuk mendatangkan seumpamanya, namun kemudian al-Qur’an menjelaskan kepada semua mereka, bahawa mereka tidak akan mampu mendatangkan  dengan seumpamanya, walaupun mereka saling bantu membantu di antara satu sama lain dengan mencabar  mereka untuk mendatangkan  sepuluh surah  seumpamanya  jika mereka melihat bahawa dia memperolok-olokkan dan berkata: Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang mereka-reka al-Qur’an itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah ciptaan yang sebanding dengan al-Qur’an itu, dan panggilah sesiapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya (menyahut cabaran), yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar" (Hud 11:13). Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan al-Qur’an), maka ketahuilah bahawa al-Qur’an itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya? (Hud 11:14).

Apabila hujah mereka tertumpas dan tertegakklah hujah ke atas mereka yang mencabar kemukjiizatan al-Qur’an. Al–Qur’an mencabar mereka untuk mendatangkan  satu surah  seumpamanya  dan memberitahu mereka bahawa mereka tidak akan mampu melakukan selamanya., Allah berfirman : Dan jika  kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Qur’an) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar (al-Baqarah 2:23). Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir (al-Baqarah 2:24).

Dia (Allah SWT) menegaskan  cabaran itu dengan berkata: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka saling bantu-membantu sesama sendiri". (al-Israa' 17:88).

Al-Qur’an, mencabar  orang-orang Arab untuk membuat surah surah seperti itu, cabaran ini termasuk mendatang seumpama surah-surah yang pendek seperti  al-Kawthar, al Ikhlas, al-Mauzataian, al-Nasr, Liila Fi Quraisy, atau apa apa surah   yang mereka pilih. Mereka melihat peperangan dan pertumpahan darah dan perhimpunan pelbagai golongan adalah  lebih mudah bagi mereka berbanding  menghadapi cabaran al-Qur’an.


Sudah jelas bahawa al-Qur’an membawa mereka dengan kemegahan pernyataannya dan bahawa mereka tidak mampu  mendengar kehebatan al-Qur’an, oleh itu mereka berusaha untuk menukar antara al-Qur’an dan pendengaran orang ramai. Mereka cuba untuk menghalang agar al-Qur’an  tidak sampai ke telinga mereka, kerana mereka tahu bahawa pendengaran yang berlaku hasil daripada al-Qur’an mampu menerobos meresap ke dalam jiwa secara kuat dan berkesan sebagaimana diberitahu oleh Allah SWT.