Pages

Saturday, 24 December 2016

PERBEZAAN DI ANTARA TAMADUN DAN PERADABAN

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين



Pendahuluan
Artikel ringkas ini adalah untuk menerangkan perbezaan di antara peradaban dan tamadun bagi memenuhi keperluan subjek Peradaban Islam Dalam al-Qur’an dan as-Sunnah.

Tamadun
Tamadun adalah suatu perkara yang bersifat abstrak dan digunakan untuk menggambarkan kemajuan sesuatu masyarakat. Dalam bahasa Arab, istilah seperti ‘umran, hadharah, bunyan, thaqafah, madaniyyah dan tamadun adalah digunakan dalam pengertian tamadun.  Istilah terawal yang digunakan merujuk kepada tamadun ialah ‘umran yang diperkenalkan oleh Ibn Khaldun ketika membincangkan tentang sifat masyarakat dalam kalangan manusia. Perkataan umran ini adalah terbitan dari perkataan ‘amara yang bererti kawasan tanah atau rumah yang didiami orang, tinggal menetap, segolongan penduduk yang menetap dan seumpamanya      dalam keadaan yang berkembang subur lagi makmur daripada keadaan yang kering tandus atau terbiar dan binasa, kawasan tanah yang ditanami dengan baik, sebuah rumah yang terpelihara. Ringkasnya ‘umran’ membayangkan pengertian kemakmuran[1].

Peradaban
Maksud peradaban dari sudut bahasa menurut Ibn Manzur ialah daripada akar kata ‘hadara’ yang bermakna sesuatu yang nampak[2]. Arnold Toynbee menjelaskan bahawa kekuatan spiritual (batiniah) memungkinkan seseorang untuk memanifestasikannya dalam bentuk lahiriah (outward manifestation) yang kemudian disebut sebagai peradaban[3]. Dalam konteks Islam, Sayyid Qutb menyatakan bahawa keimanan adalah sumber kepada peradaban. Keimanan yang dimaksud bukan sekadar kepercayaan kepada Tuhan, akan tetapi telah menjadi kombinasi antara prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kemanusiaan. Oleh itu prinsip-prinsip peradaban Islam menurutnya adalah ketakwaan kepada Tuhan, keyakinan kepada keEsaan Tuhan (tauhid), dan ketuanan (supremacy) kemanusiaan di atas segala sesuatu yang bersifat material, pengembangan nilai-nilai kemanusiaan, penjagaan dari keinginan bersifat haiwani, penghormatan terhadap keluarga, dan sedar akan fungsinya sebagai khalifah Allah di bumi berdasarkan petunjuk dan perintah-Nya[4]. Pada pendapat penulis, teori ini lebih sesuai untuk menggambarkan peradaban yang bermula dari kekuatan spiritual atau agama dan terpamer kepada akhlak, peribadi, tingkah laku dan cara hidup manusia bersosial dan berinteraksi di antrasa satu sama lain termasuklah dalam semua aspek antaranya ekonomi, politik, pentadbiran, keselamatan dan sebagainya.

Kesimpulan
Pengajian peradaban dan tamadun adalah dua bidang ilmu yang saling berkait dan agak sukar dibezakan. Pada pendapat penulis, pengajian ilmu tamadun dan ada kaitannya dengan sejarah tamadun. Tamadun lebih memfokuskan kepada teori, konsep asas dalam tamadun, sifat-sifat dan ciri-ciri secara abstrak dan fizikal sesuatu tamadun. Manakala sejarah tamadun pula lebih menumpukan kepada pengalaman yang dilalui oleh sesuatu tamadun sama ada dari segi pencapaian, kemajuan, sumbangannya dan faktor-faktor kemerosotan yang menjadi punca kejatuhan kepada sesuatu tamadun tersebut. Oleh itu, penulis merumuskan bahawa bahawa peradaban yang mulia dengan keimanan yang mantap bersumberkan kepada al-Qur’an dan as-Sunnah akan melahirkan insan yang bertamadun dan ketamadunan yang tinggi.



[1] Nasruddin Yunos et all, Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Pusat Citra Universiti, UKM, hlm 2
[2] Ibnu Manzur, Lisan al-‘Arab, Jilid 13, Beirut: Dar Sadir, T.Th, hlm 170-171.
[3] Dipetik daripada Muhammad Abdul  Jabbar  Beg, dalam The Muslim World League Journal, edisi November-Desember, 1983,  hlm 38-42.
[4] Ibid


1 comment:

  1. bagaimana pula dengan persamaan antara tamadun dan peradaban

    ReplyDelete