Pages

Tuesday, 17 April 2012

Konsep Negara Islam Dan Perbezaannya Dengan Negara Sekular


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين




Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan dan limpahan rahmat serta hidayah dariNya jua dapat saya menulis dan menyiapkan tulisan mengenai topik Konsep Negara Islam Dan Perbezaannya Dengan Negara Sekular sebagai memenuhi syarat untuk subjek Institusi Pemerintahan Dalam Islam.

Penulisan tentang kertas kerja ini akan memfokuskan kepada Konsep-konsep sebuah negara Islam dan perbezaannya dengan konsep negara sekular. Walaupun skop penulisan ini adalah berkisar tentang perbezaan konsep di antara negara Islam dan negara sekular, penulis juga ada menghuraikan serba sedikit tentang sejarah wujudnya negara sekular iaitu bagaimana wujudnya pemisahan akidah dan pemikiran bertuhan daripada pentadbiran negara dan operasi seharian (ekonomi, pendidikan, perniagaan, institusi kekeluargaan dan sebagainya) dengan tujuan supaya pemahaman yang lebih mendalam ke atas topik ini dapat dilakukan.

Penulis menggunakan data sekunder untuk melengkapkan penulisan ini yang terdapat dengan membuat beberapa penyelidikan tentang topik ini di Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kebanyakkan buku-buku yang digunakan adalah tentang kenegaraan dan politik Islam serta pembahasan yang telah dibukukan oleh penulis-penulis seperti yang tersenarai di bahagian rujukan diakhir bab didalam kertas kerja ini. Disamping itu, penulis juga ada menggunakan keratan-keratan akbar yang penulis fikirkan ianya adalah relevan dengan topik perbincangan.

Semoga usaha ini akan mendapat membuka minda penulis dan para pembaca tentang konsep Negara Islam dan perbezaannya dengan negara sekular. Suka penulis nyatakan disini bahawa isikandungan didalam kertas kerja ini adalah daripada pandangan penulis sendiri yang mungkin ianya tidak sama dengan pandangan pembaca. Sebarang cadangan yang membina terhadap kertas kerja ini amatlah dialu-alukan.


1.1       Definisi Negara Islam

Kata as-siyasah (politik) dalam bahasa Arab berasal daripada kata asa yasuus siyayah (mengatur dan memimpin). Namun begitu pelbagai takrifan telah dibuat oleh ilmuan Islam dalam mendefiniskan negara Islam antaranya ialah:
Al-Sarkasi mentakrifkan Dar Al-Islam dengan menegaskan ianya tempat berada di bawah pemerintahan orang-orang Islam, tandanya ialah apabila orang Islam aman di dalamnya[1].
Pengertian ‘dar’ Hadis Sulaiman Ibnu Buraidah: Serulah mereka kepada Islam, maka apabila mereka menyambutnya, terimalah mereka dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka berpindah dari negerinya (yang merupakan darul kufur) ke Darul muhaajirin (darul Islam yang berpusat) Di Madinah, dan beritahukanlah kepada mereka Apabila mereka telah melakukan semua itu, maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana yang memiliki kaum Muhajirin dan juga kewajipan yang sama, seperti halnya kewajipan kaum Muhajirin.
Manakala Al-Maudidi mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah SWT. Allah yang menentukan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Menurut beliau lagi negara Islam adalah bercorak theo-democracy yang tergabung di dalamnya autoriti mutlak pada Allah dan penyerahan autoriti yang terbatas kepada manusia dalam perlaksanaan urusan negara yang diakui oleh syarak.[2]
Namun begitu terdapat golongan orientalis yang telah memberi komentar tentang sistem politik Islam iaitu Professor Dr. Patzujuald yang memetik sebagai berkata bahawa “Islam bukanlah semata-mata agama tetapi ia juga ialah sistem politik. Sekalipun ia lahir pada akhir zaman, namun terdapat individu-individu Islam yang menggambarkan diri mereka sebagai golongan moden yang telah cuba untuk memisahkan antara kedua-dua perkara ini. Sesungguhnya binaan pemikiran Islam semuanya berasaskan kepada hakikat bahawa kedua-dua perkara ini bertaut rapat yang tidak mungkin dipisahkan antara sama lain.[3]

Dr. Yusuf Al-Qardawy pula menerangkan pengertian kata as-siyasah secara etimologi yakni pendapat beliau bahawa kata as-siyasah dapat diertikan kiasan seperti dalam contoh berikut: sastu ar-ra’yah siyasah (saya mengatur rakyat menggunakan politik) ketika saya memerintah dan melarang rakyat. Menurut beliau lagi, wasas al-amru siyasah (menyelesaikan persoalan menggunakan politik dan as-siyasah di sini bererti melakukan sesuatu yang akan mendatangkan kebaikan.[4]

Penulis berpendapat bahawa Istilah Negara Islam (Darul Islam) adalah istilah syara’. Negara Islam menurut syara’ adalah suatu wilayah yang melaksanakan hukum–hakam Islam dan keamanan wilayah tersebut berada di tangan Islam, iaitu di bawah kekuasaan dan kekuatan kaum Muslimin, walaupun terdapat penduduk yang mendiami negara Islam tersebut, mereka tidak diancam dan tidak ditindas hak-hak mereka sebagai makhluk Allah.

1.2       Bentuk Negara Islam

Di dalam bab ini, penulis cuba menghuraikan sedikit maklumat tentang bentuk-bentuk sesebuah negara Islam. 

Rasulullah saw bersabda: "Dahulu bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada para Khulafaa dan jumlahnya akan banyak sekali". (HR Bukhari dan Muslim)[5]
 
Menurut pengertian bahasa Arab, khulafaa bermaksud pengganti. Berdasarkan penegasan Rasulullah bahawa tidak ada nabi lagi sesudah beliau, maka pengganti di sini berfungsi menggantikan kedudukan beliau sebagai Ketua Negara. Hal ini diperkuat oleh keputusan Abu Bakar yang menyandang gelaran Khalifatur-Rasulillah (pengganti Rasulullah sebagai Ketua Negara).

Mahmud Abdul Majid al-Khalidi menjelaskan pengertian Khalifah sebagai berikut: "Khalifah adalah kepemimpinan umum bagi kaum muslimin secara keseluruhan di dunia untuk mendirikan/melaksanakan undang-undang Islam dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia".[6]
 
Imam Mawardi mengatakan: "Imamah (atau Khilafah) adalah suatu kedudukan yang diadakan untuk mengganti peranan kenabian dalam urusan memelihara agama (Islam) dan mengendalikan dunia".[7]
 
Dalam masalah yang sama, Ibnu Khaldun menyatakan bahawa "Hakikat Khalifah adalah Shahibus-Syari’ (iaitu seseorang yang bertugas memelihara dan melaksanakan syariat) dalam memelihara urusan agama dan mengelola dunia".[8]
 
Tentang bentuk negara Khilafah ini, Rasulullah saw telah menegaskannya dalam Hadis riwayat al-Bazzar: 

"...kemudian akan muncul (kembali) Khilafah yang mengikuti jejak kenabian..." [9]
Berdasarkan penjelasan di atas, Islam mengenal bentuk negara Khilafah Islamiyyah, baik secara normatif mahupun praktikal sebagaimana yang tercatat dalam lembaran sejarah sejak masa Nabi sampai runtuhnya Khilafah Islamiyyah yang berpusat di Turki pada tahun 1924.



1.3       Negara Islam Pertama

Menurut ramai pendapat ulama Islam, negara Madinah ialah merupakan negara Islam yang pertama dibentuk oleh Rasullulah saw. Kerajaan Islam Madinah menjadi bertambah keluasaan jajahan takluk dan pemerintahannya berterusan melalui pemerintahan Khalifah Al-Rashidin, Kerajaan Bani Umaiyyah, Kerajaan Bani Abassiyah sehingga Kerajaan Uthmaniyah.
Ada beberapa definisi tentang negara. Menurut Roger Soltau, negara adalah alat (agency) atau kekuasaan (authority) yang mengatur atau mengendalikan persolan-persoalan bersama atas nama masyarakat. Menurut Harold J. Laski, negara adalah suatu masyarakat yang diintegrasikan kerana mempunyai kekuasaan yang bersifat memaksa dan yang secara sah lebih agung daripada individu atau kelompok yang merupakan bahagian dari masyarakat itu. Definisi menurut Max Weber dan Robert MacIver hampir senada dengan Harold Laski. Negara jauh lebih kompleks dibandingkan dengan masyarakat. Harold J. Laski mendefinisikan masyarakat sebagai "sekelompok manusia yang hidup bersama dan bekerjasama untuk mencapai tercapainya keinginan-keinginan bersama". Berdasarkan definisi tersebut, negara adalah metamorfosis lanjutan dari suatu bentuk masyarakat yang memerlukan instrumen undang-undang yang bersifat memaksa sehingga keinginan-keinginan tersebut tidak saling memukul antara satu sama lain. Dalam konsep Kontrak Sosial (Contract du Social), penguasa "dikontrak" oleh rakyat untuk menjaga dan mengatur kepentingan-kepentingan mereka.
Dalam kitab al-Fikr al-Islami, Dr. Muhammad Ismail mengajukan 3 (tiga) kriteria yang harus dipenuhi agar suatu masyarakat dapat disebut sebagai masyarakat yang utuh, iaitu adanya pemikiran yang sama (afkar), perasaan yang sama (masya’ir), dan undang-undang yang diterapkan di tengah masyarakat tersebut (nizham). Jika salah satu kriteria tersebut tidak terpenuhi, maka masyarakat tersebut tidak layak disebut sebagai masyarakat walaupun jumlahnya ratusan ribu; seperti penonton bolasepak di stadium yang memiliki keinginan yang sama (ingin menonton bola) tetapi tidak diikat oleh peraturan yang sama sehingga masing-masing dapat berbuat sekehendak hatinya.
Namun begitu dalam konteks kotemporari, sesebuah negara Islam adalah diukur dengan pemimpin negara itu adalah terdiri daripada orang yang beragama Islam, bilangan penduduk Islam adalah penduduk majoriti negara tersebut dan polisi ataupun amalan pemerintahannya adalah menjalankan proses pentadbiran yang berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah. 

1.4       Definisi Negara Sekular

Sekularisme dalam bahasa diterjemahkan dengan secularism. Terjemahan secularism daripada aspek pengertian Islam ialah al-ladiniyah aw dunyawiyah (tidak memiliki agama atau dunia. Ia merupakan dakwah kepada kehidupan yang tidak beragama, atau istilah yang tidak mempunyai hubungkait dengan ilmu (science) dan mazhab ilu (scientism)[10].
Sebuah negara sekular adalah suatu konsep secularisme, di mana sebuah negara bertujuan menjadi secara rasmi neutral dengan hal agama, tidak menyokong sama ada agama atau menentang agama.[11]
Menurut Professor Dr Yusuf Al-Qardawy di dalam bukunya Agama dan Politik Islam, berpendapat bahawa sekularisme adalah suatu pemikiran baru atau pemikiran yang menyusup ke dalam tubuh umat Islam dari luar. Kaum muslimin sepanjang sejarahnya yang panjang tidak pernah mengenal idea sekularisme tersebut. Sedangkan inti atau substansi sekularisme adalah pemisahan agama daripada masyarakat dan negara. .Dengan demikian sekularisme merupakan suatu pemikiran yang asing, sama ada kulit dan apalagi isinya.[12]
Dalam istilah politik, sekularisme adalah suatu gerakan terhadap pengasingan agama dan kerajaan yang juga sering diistilahkan pemisahan gereja dan negara. Ini adalah dirujukkan pada mengurangkan ikatan di antara kerajaan dan sebuah agama negara, menggantikan undang-undang berasaskan kitab suci (seperti Taurat dan hukum Syariat) dengan undang-unudang sivil, dan menghapuskan perselisihan pada asas agama. Ini telah dikatakan untuk menambahkan demokrasi dengan melindungi hak asasi agama minoriti.[13]

Hampir semua buku-buku yang ditulis oleh Professor Dr Yusuf Al-Qardawy antara yang terkenal seperti Al-Islam wa Al-almaniyah wajhan li wajhin dan at-thatharuf al-amani wa muwajahah al-Islam menyebut bahawa pertumbuhan dan perkembangan sekularisme adalah sebuah fahaman di Eropah. Penulis juga menitik-beratkan kepada suatu fakta bagaimana sekularisme menjadi satu “condition sine qua non” untuk membebaskan masyarakat Eropah ketika itu untuk menuju jalan progresif. [14]

Bagaimanapun penulis berpendapat bahawa negara sekular boleh di definisikan dengan melihat bahawa ianya seolah-olah membawa maksud melindungi kebebasan beragama seseorang individu tetapi ianya juga boleh dideskripsikan sebagai negara yang mencegah campur aduk agama dalam aspek  pemerintahan, dan mencegah agama menguasai pemerintahan atau kekuatan politik.



2.0       Sejarah Sekularisme

Sejarah telah menunjukkan bahawa sekularisme adalah berkembang dari Barat. Negara barat adalah penganut dan pengembang Ideologi Kapitalis yang menjadikan sekularisme sebagai akidah mereka. Kelahiran pemikiran sekulisme  bermula apabila  kaisar (caesars) dan raja-raja di Eropah menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah rakyat. Para pemuka agama (gereja) waktu itu, dijadikan perisai untuk mencapai keinginan mereka. Maka timbullah pergolakan sengit, yang kemudian membawa kepada kebangkitan ahli falsafah dan cendekiawan. Kegagalan pihak gereja menjadi pengantara dan pemudahcara diantara pihak pemerintah dan rakyat menjadikan sebahagian besar daripada rakyat mereka mengingkari adanya agama secara mutlak, sementara sebahagian besar lagi yang masih mempunyai kepercayaan bertuhan mendesak agar agama dipisahkan dari kehidupan dunia.[15]

Sampai akhirnya, pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan itu lebih cenderung memilih idea untuk memisahkan agama dari kehidupan yang kemudiannya menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan negara. Jika dahulu agamalah yang menjadi panduan di dalam aspek kehidupan, namun dewasa ini telah disepakati agar agama perlu dipisahkan dalam kehidupan. Maksudnya, seseorang boleh menerima mahupun menolak agama (atau Tuhan) selama mana ia (agama) tidak campurtangan dalam kehidupan. Pada asasnya, agama itu harus dipisahkan dari kehidupan dan kehidupan mesti ditentukan sendiri oleh manusia.[16]

2.1       Memisahkan Agama Dari Kehidupan

Ada tiga komponen penting (kerangka asas) yang menjadi faktor berkembangnya sekularisme dalam pembentukkan sekularisasi kehidupan manusia, iaitu:

                                      i.        Disenchantment of nature (pengosongan nilai-nilai agama dari alam);
                                     ii.        Desacralization of politics (desakralisasi politik);
                                    iii.        Deconsecration of values (dekonsekrasi nilai-nilai).

Menurut Harvey Cox, disenchantment of nature (pengosongan nilai-nilai agama dari alam) ialah upaya untuk menyingkirkan tradisi atau agama yang menyatakan adanya kekuasaan supernatural yang menjaga dunia. Hal ini tidak lain untuk menghilangkan anggapan bahawa dunia tidak boleh diperlakukan sewenang-wenang. Menurut Cox, pembebasan dunia dari nilai-nilai ghaib menjadi syarat penting bagi usaha-usaha urbanisasi dan modernisasi.[17]

Beliau menambah desacralization of politics bermakna bahawa unsur-unsur agama harus disingkirkan dari politik. Arahan dari desacralization of politics ialah untuk membuat paradigma bahawa tidak boleh ada satupun negara yang bersendikan agama sebagai landasan dalam sistem pemerintahan, ekonomi, sosial-budaya, pendidikan dan sebagainya yang berhubungan dengan aktiviti politik (aktiviti pengurusan urusan rakyat, baik dalam negeri mahupun luar negeri). [18]

Sedangkan yang dimaksud dengan deconsecration of values (dekonsekrasi nilai-nilai) adalah penyingkiran nilai-nilai agama dari kehidupan. Arahan dari salah satu bahagian dalam konsep sekularisme ini ialah untuk membuat paradigma bahawa kebenaran itu bersifat relatif, tidak ada nilai yang mutlak. Konsep ini lahir dengan anggapan bahawa perspektif seseorang dipengaruhi oleh sosial-budaya, maka tidak ada seorangpun yang berhak memaksakan sistem nilainya kepada orang lain. Yang terkait dengan adanya “wahyu langit” konsep ini menjelaskan bahwa hal itu dapat terjadi dalam sejarah yang dibentuk oleh kondisi sosial dan politik tertentu. Jadi, intinya menurut salah satu bahagian konsep sekularisme ini ialah semua sistem nilai terbentuk oleh sejarah yang mengikuti ruang dan waktu tertentu.[19]

Ketiga konsep yang menjadi bahagian integral Sekularisme ini menegaskan bahawa agama harus dipisahkan dari kehidupan. Hal inilah yang menjadi landasan berfikir golongan Liberal dan Feminis. Meskipun, mereka adalah orang yang katanya percaya kepada adanya Pencipta alam semesta tapi “worldview” mereka adalah sekularisme. Golongan Liberal dan Feminis menjadikan sekularisme sebagai landasan berfikir (qa’idah fikriyah), mereka menilai segala sesuatu berdasarkan landasan tersebut.[20]


2.2       Negara Kapitalisme-Demokrasi & Kaum Liberal-Feminis

 

Dua istilah yang tidak boleh dipisahkan tentang sekularisme ialah Negara Kapitalisme-Demokrasi (yang ketika ini diterajui oleh Amerika Syarikat) dan golongan Liberal-Feminis. Amerika Syarikat mengkaji dan menganalisa bahawa Islam yang pernah tegak dan wujud negara Khilafah Islamiyah selama lebih kurang 1300 tahun mulai kembali menunjukkan kebangkitannya, setelah diruntuhkan oleh golongan Sekularisme (Mustaffa Kamal Artartuk dsb).
Adanya para pendakwah Islam yang konsisten dalam memperjuangkan Islam kembali tegak dalam kehidupan, dimana mereka berusaha membentuk kesedaran di tengah-tengah masyarakat agar kembali ke landasan Al-Quran dan Sunnah. Inilah yang dilihat oleh Amerika Syariakat (negara Kapitalisme-Demokrasi) sebagai sebuah ancaman, untuk itu mereka juga membentuk agen-agennya agar membentuk kecelaruan di tengah-tengah masyarakat Islam bahawa sistem Kapitalisme-Demokrasi dengan aqidah Sekularisme merupakan sistem terbaik.[21]
Majalah US News, dalam salah satu edisinya melaporkan tentang perang saraf yang sedang dilancarkan AS. Dalam artikel yang ditulis oleh David E. Kaplan, diungkapkan bahawa di muka hadapannya dengan agenda tersembunyi menentang terorisme, Amerika membelanjakan jutaan dolar untuk mengubah wajah Islam (In an Unseen front in the war on terrorism, America is Spending Millions…to Change the Very Face of Islam ). Artikel ini diberi judul “Hearts, Minds, and Dollars” [usnews.com, 25/4/05]. Tulisan ini didapat dengan hasil wawancara lebih dari 100 orang sumber dan puluhan laporan serta memorandum.[22]


3.0       Peta Mununjukkan Negara Beragama dan Negara Sekular[23]

Peta dibawah menunjukkan negara-negara yang mengamalkan sistem politik yang mengisytihar agama rasmi negara dan negara yang mengamalkan sistem politik sekular. Malaysia dan kebanyakkan negara-negara Arab mengisytiharkan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara.  
 


  Negara Sekular



  Negara Beragama Dengan Agama Rasmi

  Tidak Diketahui/Tidak Mempunyai Data

 

 

4.0       Perbezaan Politik Islam Dengan Politik Sekular

Berdasarkan ciri-ciri di atas jelaslah wujud perbezaan yang jelas antara politik Islam dan politik Sekular. Berikut diperturunkan beberapa perbezaan di antara kedua-dua konsep tersebut:

4.1       Perbezaan Sumber

Politik Islam adalah bersumber kepada Ilahiyyah iaitu ALLAH SWT yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Allah telah memberi Al-Quran sebabagai kitab panduan kepada hambaNya. Al-Quran yang bersifat multi disiplin meliputi semua aspek kehidupan yang merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak.
Sebagaimana Firman Allah SWT:
سورة النور
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
وَلَقَدْ أَنزَلْنَا إِلَيْكُمْ آيَاتٍ مُّبَيِّنَاتٍ وَمَثَلًا مِّنَ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُمْ وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٣٤﴾

Maksudnya: Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.[24]
Demikianlah Firman Allah SWT tentang rahman dan limpah kurniaNya menurunkan Al-Quran sebagai panduan di dalam kehidupan manusia dan orang-raong mukmin khasnya.

Sumber yang kedua untuk konsep politik Islam ialah Al-Sunnah. Pada dasarnya pengutusan para rasul bertujuan untuk mengesakan Allah dalam Tauhid al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah. Dialah Tuhan Rabb al-’Alamin dan Tuhan para Rasul. Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah. Tauhid al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah menjelaskan kekuasaan Allah yang Maha Suci dalam pentadbiran urusan makhluk-Nya. 

Allah Pengurnia kemaslahatan dan kebaikan. Allah Penentu al-amr (perintah). Allah-lah Pengutus ar-Rasul untuk makhluk-Nya. Manusia memerlukan rasul, ini kerana para rasul berperanan sebagai perantara di antara Allah dan manusia yang mana tugas para rasul adalah sebagai pendidik, pebimbing, menyampaikan suruhan dan larangan Allah, menyampaikan berita-berita yang mengembirakan seperti adanya syurga sebagai balasan beriman dan taqwa kepada Allah. Dan juga menyampaikan berita kebenaran akan hari pembalasan iaitu neraka kerana kufur kepada Allah.

Tidak syak lagi untuk mencapai kesempurnaan hidup, manusia bukan sahaja memerlukan makanan, pakaian, tempat berlindung dan keperluan-keperluan jasmani yang lain, bahkan manusia juga berkehendakkan sesuatu untuk memenuhi tuntutan roh. Dengan memenuhi tuntutan roh, manusia akan dapat mencapai taraf kesempurnaan sebagai manusia yang mulia dan berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain. Tugas para rasul adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Allah adalah penciptanya yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia di atas jalan lurus (sirat al-mustaqim). Dengan keyakinan ini barulah manusia dapat sampai ke jalan kebahagiaan dan kesempurnaan sebenar.

Manusia sendiri tidak dapat mengetahui perkara-perkara ghaib mengenai Pencipta dan sirat al-mustaqim dengan menggunakan kudrat dan akalnya yang lemah. Kerana kejadian manusia yang kudrat dan pemikirannya yang terbatas, manusia kerap melakukan kesilapan. Untuk memikirkan mengenai Pencipta, alam akhirat dan sirat al-mustaqim adalah di luar kemampuan akal manusia. Oleh itu pengutusan para rasul Allah menunjukkan kebijaksanaan-Nya dan merupakan rahmat yang paling besar untuk umat manusia. Para rasul Allah dilantik daripada golongan manusia sendiri supaya mereka dapat menggunakan kebiasaan dan bahasa yang dapat difahami oleh manusia. Seterusnya menyampaikan ajaran Allah, menjelaskan cara-cara untuk sampai kepada risalah-Nya dan menghuraikan cara mana untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Penerangan diatas dapat dikemaskan dengan hujah sebagaimana Firman Allah SWT:
سُوۡرَةُ الاٴنبیَاء
وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ (
١٠٧)

                     Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi)
                     rahmat bagi seluruh alam," [25]

Sementara politik sekular berlandaskan fikiran manusia yang mengikut ilmu logik akal. Sistem politik sekular bersumber dari sejarah traumatis masyarakat Barat. Setiap kerangka polisi yang dibangunkan adalah berasaskan kepada ujian makmal yang mengikut kajian sains melalui proses penyelidikan manusia. Setiap penemuan baru hanya akan dapat menyelesaikan isu dan permasalahan masyarakat hanya dalam tempoh sementara sahaja. Oleh sebab itu para penyelidik terpaksa membuat penyelidikan baru untuk mengatasi masalah yang lebih mencabar dan lebik kompleks yang mana ianya tidak dapat diselesaikan dengan akal fikiran. Ini kerana sebijakmanapun akal fikiran manusia, tidak akan dapat melangkau ilmu Allah SWT. Sementara itu dalam aspek kejayaan sesebuah negara pula ianya diukur dengan hasil pendapatan negara melalui Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK).


4.2       Perbezaan Dari Aspek Keadilan

Politik Islam menjamin keadilan kepada semua makhluk sementara politik sekular menindas sebahagaian yang lain. Contoh jelas yang boleh diutarakan di sini ialah perbezaan di zaman Khalifah Tukri Uthmaniyyah dan di zaman pemerintahan diktaktor Mustafa Kamal al-Tartuk di Tukri.

Di zaman Khalifah Tukri Uthmaniyah, kebebasan berugama telah diberikan kepada semua. Sementara di zaman Mustafa Kamal, Islam disekat dengan cara yang zalim hasil didikan sekular yang ingin memadamkan peranan Islam dalam kehidupan seharian.


4.3       Perbezaan Konsep Amanah & Kuasa

Merujuk kepada definisi politik sekular, jelas kuasa merupakan matlamat yang utama. Matlamat ini membolehkan golongan sekular untuk menggunakan apa sahaja cara memperolehi kuasa. Menurut Stoner & Wanker (1989), kuasa adalah kebolehan untuk mengenakan pengaruh ke atas individu lain. [26]

Berbeza dengan Islam. Politik merupakan amanah. Politik merupakan wasilah untuk melaksanakan segala tuntutan Allah SWT. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Ini menuntut pemimpin-pemimpin Islam berhati-hati dalam mentadbir Negara. Mereka tidak boleh menyembunyikan diri daripada tanggungjawab menjadi penyebab kepada gejala politik zalim dan menipu, menindas antara satu sama lain dan penyebab kepada gejala sosial yang merosakkan akhlak sehingga jiwa menjadi berkecamuk dan akhirnya membuahkan jenayah. Itulah natijah sekularisma yangmelahirkan berbagai ideologi dan teori yang memisahkan cara hidup daripada agama. Maka jangan sekali-kali mengajak kita atau memaksa kita supaya meninggalkan Islam yang sempurna ini agar tenggelam bersama mereka. [27]

Allah mengingatkan kita dengan firman Nya :

سُوۡرَةُ البَقَرَة

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ
لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬ (٢٠٨)

Maksudnya:”Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”[28]



4.4       Perbezaan Dari Aspek Matlamat

Matlamat terakhir politik Islam ialah Keredhaan Allah SWT. Ini jelas daripada apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Pembinaan Negara Islam Madinah ialah demi menjamin keredhaan Allah SWT. Setelah selesai tugas Baginda SAW, maka Baginda pun wafat. Dalam mencapai matlamat mencapai keredhaan Allah SWT, ialah adil di dalam menjalankan prinsip-prinsip Islam sebagaimana firman Allah SWT:

                                           سُوۡرَةُ النّحل

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِيتَآىِٕ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنڪَرِ
 وَٱلۡبَغۡىِ‌ۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّڪُمۡ تَذَكَّرُونَ (٩٠)
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.[29]

Sementara matlamat politik sekular ialah hanya untuk mencapai kejayaan dari segi materialisma semata-mata. Mereka secara jelas membuat pemisahan antara agama dan pemerintahan,pentadbiran, sistem ekonomi dan memperjuangkan nasib golongan gay dan lesbian atas alasan kemanusiaan. Sedangkan hubungan sejensi adalah dilarang di dalam Islam.


4.5       Perbezaan Dari Aspek Memisahkan Agama Dan Politik

Politik Islam merupakan fitrah bagi manusia yang berakal. Garis panduan yang telah lengkap berdasarkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW adalah yang terbaik. Islam mengiktiraf manusia sebagai Khalifah. Sebagaimana tugas khalifah ialah mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan agama. Di dalam konsep politik Islam, setiap rang undang-undang yang dirangka dan digubal hendaklah bersendikan Al-Quran dan Sunnah. Islam tidak memisahkan agama dan politik kerana Islam itu adalah sebuah agama yang syumul hingga ke akhir zaman.

Politik Sekular menaggap orang yang terlibat dengan politik merupakan politikus sahaja. Tiada kaitan dengan Tuhan Rabbul Alamin. Mereka bebas mengatur dan mentadbir dunia mengikut selera meraka. Mereka menolak campurtangan agama dalam pentadbiran. Sebagaimana kata-kata mahsyur ““Berikan Kaisar hak Kaisar dan berikan Tuhan hak tuhan!”. Jelas mereka telah memisahkan agama dan pemerintahan.


4.6       Perbezaan Dari Aspek Method Untuk Mencapai Matlamat

Islam telah meletakkan batu asas yang jelas kaedah untuk mencapai kepada matlamat politik. Untuk mencapai tujuan penubuhan sebuah Daulah Islamiyyah mestilah berpandukan kepada Allah dan RasulNya.

Politik sekular merujuk kepada morak Machiavellisme, iaitu tujuan menghalalkan cara.[30] Cara ataupun method ini mungkin jalan yang baik ataupun menurut jalan yang salah asalkan mereka memperolehi kuasa.


5.0       Kesimpulan

Dalam melihat perkaitan antara konsep negara Islam dan politik barat ini, demokrasi merupakan satu sistem yang boleh dikaji secara lebih lanjut. Dalam membicarakan soal ini, ada dua pendapat dan pandangan yang berbeza mengenai demokrasi. Ada yang menerima demokrasi dengan alasan Islam turut menyediakan landasan demokratik seperti yang dinyatakan oleh Haddad dan golongan kedua menurut Ahmad Bashir ialah golongan yang menolak demokrasi dengan alasan sistem politik barat itu bercanggah dengan kedudukan Allah Taala sebagai pembuat hukum atau musyarri. Menurut Adnan ‘Ali Ridha, 1990, perkara ini disebabkan oleh demokrasi dikatakan memberi kuasa sewenang – wenangnya kepada manusia untuk menentukan hukum atau undang – undang. Lebih daripada itu, demokrasi dianggap ‘agama baru’ yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah Taala

Walau bagaimanapun, hasil perbincangan antara Islam dan demokrasi secara ilmiah yang dipelopori oleh sebilangan pemikir Islam, telah memunculkan beberapa konsep yang secara dasarnya melihat hubungan antara kedua – duanya secara lebih positif dan tidak kurang mengambil sikap yang cukup tegas. Konsep-konsep tersebut ialah theo-democracy dan popular vicegerency yang dibawa oleh Maulana Al-Maududi, faraghat oleh Rashid Ghannounchi dan ‘Islam sebagai agama semi-demokrasi’ oleh Niaz Faizi Kabuli. Konsep-konsep tersebut dikatakan telah menyumbang kepada kelahiran tesis bahawa Islam telah menggariskan beberapa aturan (setting) dalam hubungannya dengan demokrasi. (Mohd Izani, 2007)

Sementara itu dalam aspek politik sekular, pertentangan antara akal dan Bible semakin mengkristal di zaman modern. Orang Barat menyebut zaman pertengahan di Eropah sebagai zaman kegelapan (dark ages), saat itu akal disubordinasikan di bawah Bible. Masa perkembangan selanjutnya (abad XVII-XIX) ditandai dengan lahirnya tokoh-tokoh rasionalisasi di Eropah. Filosofi, teologi, sosiologi, psikologi, sejarawan dan politikus dan lain-lainnya menulis berbagai karya yang memfokuskan pada aspek kemanusiaan, kebebasan, dan keadilan.

 


6.0       Rujukan


Al-Quran

Bharuddin Che Pa, 2005. Badan Perundangan Kerajaan Islam di Malaysia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Dato’ Sei Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 2011. Konsep Asas Negara Berkebajikan, Dewan Ulama PAS Pusat, Kuala Lumpur

Dr. Azhar Bin Yaakub Al-Ariri, 2006. Analisis Strategi Rasulullah Dalam Pembentukan Negara Madinah, Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur

Dr. Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy, 2008. Sistem Politik Islam Menurut Al-Quran, Sunnah & Pendapat Ulama Salaf, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Dr. Yusuf Al Qaradhawy, 2009. Agama dan Politik Islam, Wawasan ideal dan menyanggah kekeliruan pemikiran Sekular – Liberal, Alam Raya Enterprise, Kuala Lumpur

Dr. Haron Din (2000), Manusia dan Islam :Dewan Bahasa dan Pustaka

Harvey Cox, 1965. The Sekular City, Secularization and urbanization in theological perspective, New York, Macmillan

Madeley, John T. S. and Zsolt Enyedi, 2003. Church and state in contemporary Europe: the chimera of neutrality, Routledge, Frank Cass Publishers, USA 

Mokhtar  Senik, 2007. Ulama’, Dakwah & Jamaah, Percetakan Tujuh Lapan Enam, Kuala Lumpur

Yahya Nuryadi, 2008. Ensikplopedia Agama dan Mazhab-mazhab Moden, Seminar Pemuda Islam Antarabangsa, Riyadh, Pustaka Al-Shafa, Kuala Lumpur

Nota Kuliah IUD 403


[1] Nota Kuliah, halaman 2
[2] Ibid, nota kuliah halaman 3
[3] Dr. Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy, 2008. Sistem Politik Islam Menurut Al-Quran, Sunnah & Pendapat Ulama Salaf, halaman 18
[4] Dr. Yusuf Al Qaradhawy, 2009. Agama dan Politik Islam, Wawasan ideal dan menyanggah kekeliruan pemikiran Sekular – Liberal, halaman 13
[5] Shahih Bukhari, Hadis no. 3455; Shahih Muslim, Hadis no. 1844
[6] Mahmud Abdul Majid al-Khalidi, Qawa’id Nidhamul Hukm fil Islam, hal. 229-230
[7] Imam Mawardi, al-Ahkaamush Shulthaniyah, hal. 5
[8] Ibnu Khaldun, Muqaddimah, hal. 159 pasal 25
[9] Yusuf an-Nabhani, al-Fath al-Kabir III; Musnad Imam Ahmad IV/273; Musnad Abu Daud ath-Thayalisi, Hadis no. 438;Majma’uz Zawaid V/189
[10] Yahya Nuryadi, 2008. Ensikplopedia Agama dan Mazhab-mazhab Moden, Seminar Pemuda Islam Antarabangsa, Riyadh, halaman 339
[11] Madeley, John T. S. and Zsolt Enyedi, 2003. Church and state in contemporary Europe: the chimera of neutrality, halaman 19
[12] Dr. Yusuf Al Qaradhawy, 2009. Agama dan Politik Islam, Wawasan ideal dan menyanggah kekeliruan pemikiran Sekular – Liberal, halaman 205
[13] Ibid, halaman 23
[14] Dr. Yusuf Al Qaradhawy, 2009. Agama dan Politik Islam, Wawasan ideal dan menyanggah kekeliruan pemikiran Sekular – Liberal, halaman 206
[15] Yahya Nuryadi, 2008. Ensikplopedia Agama dan Mazhab-mazhab Moden, Seminar Pemuda Islam Antarabangsa, Riyadh, halaman 341
[16] Yahya Nuryadi, 2008. Ensikplopedia Agama dan Mazhab-mazhab Moden, Seminar Pemuda Islam Antarabangsa, halaman 343
[17] Harvey Cox, 1965. The Sekular City, Secularization and urbanization in theological perspective, New York, Macmillan, halaman 21
[18] Ibid
[19] Ibid
[20] Ibid
[21] Dr. Yusuf Al Qaradhawy, 2009. Agama dan Politik Islam, Wawasan ideal dan menyanggah kekeliruan pemikiran Sekular – Liberal, halaman 231
[22] Ibid
[23] Sumber: Wikipedia
[24] Surah Al-Nur 34
[25] Surah Al-Anbiya: 107.
[26] Dipetik dari kertas pembentangan “Politik Dalam Organisasi dan Interaksi Terhadap Pemikiran Global” oleh Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Alor Setar
[27] Ucapan dasar Presiden PAS dalam muktamar kali ke -54
[28] Surah Al-Baqarah ayat 208
[29] Surah Al-Nahl, ayat 90
[30] Dr. Haron Din (2000), Manusia dan Islam :Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments:

Post a Comment