Pages

Thursday 17 May 2012

Kesan Perang Dunia Kedua terhadap kebangkitan semangat kebangsaan dikalangan negara-negara Asia Tenggara


1.0       Pengenalan

 Perang Dunia Kedua telah memakan masa hampir selama enam tahun dan dianggarkan mengorbankan nyawa sejumlah 61 juta orang termasuklah tentera dan orang awam. Rusia mengalami jumlah kehilangan jiwa yang terbesar berbanding negara-negara lain dengan anggaran hampir 25 juta kematian, diikuti oleh China dengan 11 juta, dan Jerman seramai 7 juta.

Perang Dunia Kedua adalah peperangan yang paling meluas dan mengakibatkan paling banyak kerosakan dalam sejarah dunia moden. Perang Dunia Kedua membabitkan kebanyakan negara dunia, dengan pertempuran di beberapa medan utama berlaku secara serentak, dan mengorbankan sekitar 50 juta nyawa. Peperangan Dunia II ini kebanyakan membabitkan Kuasa Bersekutu (perikatan negara-negara Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, dan China) serta Kuasa Paksi (perikatan negara-negara Jerman, Itali, dan Jepun). Kebanyakan pertempuran berlaku di Medan Eropah Perang Dunia Kedua medan Atlantik dan di sekitar Eropah, dan dalam Peperangan Pasifik di Pasifik dan Asia Timur.

Perang Dunia Kedua mencatatkan sejarah penting apabila serangan dari udara memainkan peranan utama buat pertama kalinya. Malah, operasi pertempuran pertama dalam Perang Dunia Kedua merupakan serangan bom Jerman terhadap Poland, sementara operasi pertempuran terakhir adalah serangan bom atom Amerika terhadap Nagasaki. Peperangan ini juga melihat Amerika Syarikat keluar daripada dasar mengasingkan diri, kemusnahan dan kebangkitan semula Jerman dan Jepun sebagai kuasa industri utama, dan kemunculan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet sebagai kuasa besar dunia. Peperangan ini juga secara langsung membawa kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang ditubuhkan oleh Kuasa Bersekutu yang menang agarpertelingkahan yang sebegitu besar dan menjahanamkan tidak akan berlaku lagi buat selama-lamanya.


1.1       Kependudukan Jepun di Asia Tenggara

Dalam esei ini, kita akan membincangkan kesan semangat nasionalisme dikalangan masyarakat di beberapa negara Asia Tenggara sahaja iaitu Tanah Melayu dan Indonesia. 

Jepun mengembangkan sayap kependudukannya di Asia Tenggara kerana beberapa faktor iaitu seperti kronologi dibawah:

a).  Kebangkitan Meiji  (1868) telah membawa pemodenan negara Jepun terutama dan segi  ekonomi.

b).  Tujuan Jepun menawan Asia Tenggara ialah:

(i)   Mengatasi masalah kekurangan kawasan pertanian untuk menampung keperluan  penduduk yang semakin bertambah.

(ii)  Mendapatkan bekalan bahan mentah untuk perkembangan perusahaan.

(iii) Amerika Syarikat telah melancarkan sekatan ekonomi ke atas Jepun.

c).  Jepun menggunakan slogan “Asia untuk Asia” dan “Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya”.

d).  Antara tindakan agresif yang dilancarkan Jepun ialah:
(i) 1931 — Jepun menawan Manchuria.
(ii) 1937 — Jepun menyerang China.
(iii) 1940 — Jepun menyerang Indochina.

e).  Pada 7 Disember 1941, tentera Jepun telah mengebom Pearl Harbour.

 

 

2.0       Dasar pemerintahan Jepun di Asia Tenggara

 Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu dan Indonesia adalah bercorak ketenteraan.  Kuasa tertinggi bagi Tanah Melayu ialah Jeneral yang berpusat di Singapura. Manakala kuasa tertinggi di Indonesia berpusat di Jawa. Jepun telah menyatukan Sabah, Sarawak, dan Brunei di bawah satu unit pentadbiran  yang dikenali sebagai Borneo Utara. Manakala Jepun mentadbir Indonesia dengan membahagikan pentadbiran kepada 3 unit iaitu Sumatera, Jawa dan Madura, Kalimantan dan Indonesia Timur.

Dasar penjepunan dilaksanakan untuk menghapuskan pengaruh Barat di Asia Tenggara seperti penggunaan bahasa Jepun di sekolah-sekolah dan menaikkan bendera Jepun. Dari aspek ekonomi pula Jepun turut memperkenalkan sistem ekonomi kawalan untuk menggantikan sistem ekonomi usahaniaga bebas[1].



3.0       Reaksi masyarakat Asia Tenggara terhadap pemerintahan Jepun


a)   Rakyat di Tanah Melayu dan Indonesia mengalami penderitaan kerana dasar penjajahan British, Belanda dan Jepun yang menindas rakyat tempatan.

b)   Zaman pendudukan Jepun menyebabkan imej kuasa Barat mula merosot.

c)   Jepun telah mengawal pergerakan rakyat dengan mengadakan kawalan terhadap media  massa.

d)   Jepun turut membubarkan Kesatuan Melayu Muda (KMM).  Pemimpinnya iaitu Ibrahim Haji Yaacob hanya dibenarkan bergerak di dalam Pertubuhan Giyu Gan atau Pembela  Tanah Air (PETA).

e)   Ibrahim Haji Yaacob telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) untuk membina perpaduan dan menunjukkan rasa kecewa terhadap pemerintahan Jepun.



4.0       Kesan pemerintahan Jepun di Asia Tenggara

Kependudukan Jepun di Asia Tenggara amat dirasai oleh rakyat Tanah Melayu dan Indonesia berbanding Filipina, Brunei dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Impak kependudukan Jepun walaupun dalam masa 3 tahun 8 bulan telah memberi kesan kepada kebangkitan semangat kebangsaan dikalangan penduduk Tanah Melayu dan Indonesia khasnya. 


4.1       Ciri-ciri semangat kebangsaan (nasionalisme) di Asia Tenggara

 Terdapat beberapa sifat nasionalisme yang berlaku di Asia Tenggara. Pada peringkat awal nasionalisme adalah bersifat penentangan terhadap penjajah yang datang sama ada oleh sami Buddha di Burma, Pembesar di Tanah Melayu, vietnam, Jawa dan sumatera dan ketua Daerah di Filipina[2]. penjajahan ini adalah kesan daripada keadaan politik yang kurang stabil di Asia Tenggara .

Kemudian gerakan nasionalisme di  Asia Tenggara adalah lebih teratur disebabkan dengan lahirnya golongan yang berpendidikan yang menggunakan saluran yang lebih baik dengan menyebarkan pemikiran mereka dengan menggunakan akhbar ataupun dengan menggunakan majalah-majalah seperti Majalah al-Imam, Utusan Melayu, La Solidaridad dan sebagainya. Golongan ini adalah mereka yang mendapat pendidikan Barat ataupun memiliki pendidikan Arab. Mereka telah memahami budaya, ilmu pengetahuan dan nilai hidup Barat  dan telah melihat perkembangan dunia luar. Mereka telah menghayati idea baru seperti Liberalisme, Sosialisme, komunisme dan Demokrasi.

Semangat peningkatan kehidupan sama ada sosial mahupun ekonomi menjadi agenda utama pada dua dekad abad ke 20. Politik juga diberi perhatian yang lebih selain telah mula membuat tuntutan politik dengan menerangkan persamaan hak untuk mendapatkan pendidikan[3]. Ia bukan saja melibatkan kaum lelaki tetapi jua kaum wanita sepertiman halnya di Indonesia yang diperjuangkan oleh Raden Adjeng kartini .

Penentangan adalah dinamik, keras dan berani menentang penjajah. kebanyakan golongan ini lebih ramai daripada golongan guru, wartawan, penulis[4] atau pegawai kerajaan yang kurang mendapat perhatian kerajaan tetapi telah mendapat pendedahan daripada Jepun yang pernah menakluki  Asia Tenggara.

Juga terdapat kegiatan nasionalisme daripada golongan pendatang seperti Cina dan India yang memperjuangkan mayarakat mereka. Kegiatan mereka adalah amat berbeza daripada kegiatan nasionalisme tempatan. Kedatangan mereka  adalah untuk mencari pendapatan dan bukanlah untuk terus menetap di  Asia Tenggara. Kelahiran warga tempatan daripada masyarakat China ini mengubah pendirian ini menjadikan kegiatan mereka tertumpu pada kemahuan mendapatkan kewarganegaraan di  negara-negara  Asia Tenggara[5].

Ada juga nasionalisme yang bersifat mementingkan agama seperti di Burma oleh golongan Sami Buddha[6].


4.2       Kesan pemerintahan Jepun di Tanah Melayu

 Jepun mula menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 dan dalam tempoh kira-kira 70 hari Jepun berjaya menguasai seluruh Tanah Melayu apabila Ketua Turus Tentera Berikat iaitu Leftenan Jeneral Percival menyerah kalah kepada Panglima Tentera Jepun iaitu Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki di Singapura pada 15 Februari 1942. Sejak itu, Tanah Melayu ditadbir oleh pihak tentera Jepun sehingga 15 Ogos 1945. Walaupun pendudukan Jepun hanya selama 3 tahun 8 bulan tetapi ia telah meninggalkan beberapa kesan sama ada politik, ekonomi mahupun sosial terutama sekali ke atas semangat kebangsaan ke atas masyarakat di Asia Tenggara khasnya di Tanah Melayu dan Indonesia.



Kesan-kesan

a)    Politik

Selepas menguasai Tanah Melayu, Jepun menyusun semula pentadbiran dengan meletakkan Tanah Melayu di bawah pentadbiran tentera yang dikenali sebagai Malaya Military Administration (MMA) sesuai dengan keadaan peperangan ketika itu. Matlamat utama MMA ialah untuk memulihkan ketertiban awam, mengeksploitasikan sumber-sumber penting untuk menampung ekonomi perang dan menjamin bekalan yang cukup bagi keperluan tenteranya di Tanah Melayu. Dalam menjalankan pentadbiran, MMA dibantu oleh Polis Rahsia Jepun dan Badan Perisikan Jepun yang dikenali sebagai Kempeitai Tekkikan dan Toko. Negeri-negeri Selat (NNS) ditadbir secara langsung oleh Jepun manakala sistem kerajaan di negeri-negeri lain diteruskan dan diletakkan di bawah kawalan langsung seorang Gabenor Jepun. Majlis Mesyuarat Negeri ditukarkan menjadi Majlis Penasihat. Majoriti ahlinya adalah orang Jepun dan orang Melayu. Walau bagaimanapun, kuasa sebenar berada di tangan Jepun. Untuk mendapat sokongan orang Melayu, Jepun mengekalkan institusi Sultan sebagai pentadbir bersama-sama dengan pihak Jepun.

Pada peringkat awal pendudukan Jepun, Sumatera digabungkan dengan Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran yang berpusat di Singapura yang dikenali sebagai Shonan. Walau bagaimanapun, penyatuan ini gagal dan Sumatera dipisahkan dari NNM daripada segi pentadbiran pada tahun 1944.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan kesedaran politik yang mendalam di kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya orang Melayu. Hal ini dijelaskan oleh Yoji Akashi dalam bukunya “The Japanese Military Administration in Malaya”. Anthony Hill dalam bukunya “Division in Malaya” menegaskan “The Japanese regime and its aftermath awakened for the first time the political consciousness among the Malay People. They certainly developed it, leading its solidarity and direction”. Manakala John Fustons dalam bukunya “Malay Politic in Malaysia” menegaskan yang pendudukan Jepun telah “politicize the Malay Peasantry to the extent that they were available for mass mobilization immediately after the war”.

Penderitaan yang dialami dan propaganda Jepun “Asia untuk Asia” telah membangkitkan kesedaran penduduk tempatan untuk berjuang menuntut kebebasan politik dan kemerdekaan. Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun lebih mengutamakan orang Melayu kerana ia menganggap Tanah Melayu sebagai hak orang Melayu. Dalam buku yang sama Yoji Akashi menjelaskan “In the early stage of accupation, the MMA was obliged to regard the Malays as the rightful owner of Malaya while the Chinese and Indian as subordinate races”. Orang Melayu diberi peluang memegang jawatan-jawatan pentadbiran seperti Pegawai Daerah dan sebagainya. Dalam Majlis Penasihat bilangan ahli Melayu melebihi bilangan bangsa-bangsa lain. Sebagai contoh, di Perak 14/20, di Negeri Sembilan 7/12 dan di Pahang 5/9. Pengalaman dalam pentadbiran yang diterima oleh orang Melayu telah memberi keyakinan diri dan menyedarkan mereka bahawa orang Melayu mampu mentadbir negeri mereka sendiri.

Dasar Jepun terhadap orang India agak memuaskan kerana ia mengharapkan sokongan mereka dalam usaha untuk menjayakan rancangan Jepun untuk menguasai India. Orang India digalakkan bekerjasama dengan Jepun bagi membebaskan India daripada British. Mereka diminta menganggotai Tentera Kebangsaan India (MIA) yang ditubuhkan oleh Jepun di Tanah Melayu. Dengan tujuan mendapatkan sokongan orang India juga, Jepun menubuhkan Kerajaan India Buangan yang dikenali sebagai Azad Hind di Singapura di bawah pimpinan Subhas Chandra Bose. Dasar Jepun terhadap orang India telah menimbulkan masalah dalam usaha untuk mewujudkan semangat kenegaraan di kalangan orang India di Tanah Melayu.

Dasar orang Jepun terhadap orang Cina amat berbeza daripada dasar mereka terhadap orang Melayu dan India. Selepas menguasai Tanah Melayu mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai dan lain-lain kezaliman ke atas orang Cina. Keadaan ini berlaku kerana permusuhan di antara Negeri Jepun dan Negeri China. Selain itu, Jepun marah kepada orang Cina di Tanah Melayu yang telah membantu Negeri China semasa Jepun menyerang China 1937. Akibat daripada tindakan Jepun, ramai orang Cina melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelakkan penindasan Jepun dan seterusnya menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM). Dasar Jepun terhadap orang Cina dan India telah menebalkan lagi semangat kecinaan dan keindiaan di kalangan orang Cina dan India di Tanah Melayu.


Kekalahan British dengan begitu mudah telah menjatuhkan maruah British dan telah melenyapkan “mitos superioriti” yang menganggap kuasa Barat tidak boleh dikalahkan oleh kuasa Timur. Cara mereka diusir oleh Jepun serta cara tawanan dilayan telah menjatuhkan lagi maruah British. Kekalahan British menyedarkan penduduk tempatan bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada British untuk mempertahankan Tanah Melayu. Keadaan ini menyedarkan penduduk tempatan supaya berusaha sendiri bagi mempertahankan hak-hak dan kepentingan serta tanah air mereka.


Tindakan Jepun menyerahkan Negeri-negeri Melayu Utara kepada Siam pada Ogos 1943 menyedarkan penduduk tempatan bahawa Jepun tidak berminat untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Jepun yang dianggap sebagai pembebas yang akan membebaskan Tanah Melayu juga merupakan kuasa penjajah. Apa yang berlaku sebenarnya ialah penjajahan British digantikan dengan penjajahan Jepun malah penjajahan Jepun lebih kejam daripada penjajahan British.


Permusuhan yang timbul dengan orang Cina akibat pendudukan Jepun telah menyedarkan orang Melayu untuk bangun memperjuangkan hak-hak kepentingan mereka sebagai bumiputera Tanah Melayu. Jepun dengan nasionalis-nasionalis Melayu telah menimbulkan lagi semangat nasionalisme. Jepun memberi sokongan kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaacob. Ia juga telah menubuhkan Pasukan Tentera Sukarela (PETA) atau Pembela Tanah Air yang lebih dikenali sebagai Giyu Gun di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob. Selepas menduduki Tanah Melayu, Jepun membebaskan nasionalis-nasionalis yang dipenjarakan oleh British seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam. Pembebasan telah membolehkan perjuangan nasionalisme diteruskan.


Pendudukan Jepun telah memberi peluang kepada PKM untuk berkembang. Ia mula mendapat sokongan ramai terutamanya daripada orang Cina dan dianggap sebagai pelindung mereka daripada penindasan Jepun. Apabila Tanah Melayu dikuasai Jepun, anggota-anggota PKM lari ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka telah menyertai Malayan Anti-Japanese Union (MAJU) yang ditubuhkan oleh British. PKM seterusnya menubuhkan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya atau Malayan People anti-Japanese Army (MPAJA). MPAJA mendapat bantuan seperti senjata, makanan, ubat-ubatan dan latihan daripada pihak Berikat terutamanya Pasukan 136. Pengalaman dalam peperangan di hutan dan senjata yang diperolehi semasa pendudukan Jepun amat menguntungkan PKM terutamanya dalam usaha untuk menjayakan matlamat mereka. Semasa pendudukan Jepun, mereka menyerang hendap tentera Jepun dan menjalankan pengintipan bagi pihak British. Selepas pendudukan Jepun, PKM muncul sebagai parti yang kuat dan teratur. Mengenangkan jasa PKM membantu British menentang Jepun, ia diterima sebagai parti yang sah sejak tahun 1945. Kegagalan untuk mencapai matlamat melalui perlembagaan telah mendorong PKM melakukan pemberontakan bersenjata sejak 16 Jun 1948 bagi menjayakan matlamat mereka menguasai Tanah Melayu dan seterusnya menubuhkan Republik Komunis Malaya.


Pendudukan Jepun telah mengakibatkan munculnya kesedaran politik secara berparti dan berpersatuan di kalangan penduduk Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun. Di antara parti-parti yang wujud ialah UMNO, MCA, MIC, API, AWAS, PKMM, Hizbul Muslimin dan sebagainya[7].


Idea kemerdekaan juga didapati akibat daripada pendudukan Jepun. Kerana Jepun telah berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu di bawah lingkungan “Indonesia Raya”. Untuk tujuan tersebut, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) telah ditubuhkan pada Julai 1945. Rundingan telah diadakan di antara pemimpin Tanah Melayu iaitu Ibrahim Yaacob dan Dr. Burhanuddin dengan pemimpin Indonesia iaitu Sukarno dan Hatta untuk menjayakan matlamat kemerdekaan bersama. Rundingan diadakan di Singapura pada 8 Ogos 1945 dan Taiping pada 12 Ogos 1945. Walau bagaimanapun, KRIS gagal memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu akibat daripada kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945.



b)         Ekonomi
Ekonomi dan taraf hidup rakyat Tanah Melayu mengalami kemerosotan semasa pendudukan Jepun. Ekonomi Tanah Melayu yang bergantung kepada eksport bijih timah dan getah mengalami kemerosotan kerana pengeluaran berkurangan akibat peperangan dan juga kerana dasar “Bumi Hangus” yang diamalkan oleh British dimana mereka telah merosakkan pokok-pokok getah, kilang-kilang, lombong-lombong dan jentera perlombongan sebelum beundur dari Tanah Melayu bagi mengekalkannya daripada jatuh ke tangan Jepun. Tanah Melayu juga telah putus daripada pasaran antarabangsa bijih timah dan getah kerana Jepun mengharamkan eksport keduanya kecuali Jepun.


Selain itu, Jepun juga mengeksploitasikan sumber-sumber yang diperlukan di negeri Jepun terutamanya besi dan bauksit. Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu mengalami kekurangan barang pengguna khususnya tekstil dan makanan. Pada tahun 1943, Tanah Melayu hanya menghasilkan 37.5% daripada beras penduduknya. Walaupun Burma yang banyak menghasilkan beras juga dikuasai oleh Jepun tetapi import beras dari Burma tergendala kerana masalah peperangan. Beberapa langkah telah dijalankan atas arahan Jepun bagi menambahkan pengeluaran beras Tanah Melayu.


Di antara langkah-langkah tersebut ialah menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun, memperkenalkan benih padi daripada Taiwan, membuka tanah pertanian baru dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pengeluaran beras Tanah Melayu tetap tidak mencukupi untuk keperluan penduduknya. Akibatnya penduduk Tanah Melayu terpaksa bergantung kepada tanaman lain seperti jagung, pisang, ubi kayu dan sebagainya. Semasa Jepun, Tanah Melayu mengalami inflasi kerana pengedaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan barang pengguna terutamanya makanan.


Pada tahun 1945, pengedaran wang kertas di Tanah Melayu berjumlah $4000 juta sedangkan sebelum pendudukan Jepun pengedaran wang kertas hanya $200 juta. Kemusnahan sistem perhubungan dan lain-lain infrastruktur yang tidak dibaiki oleh Jepun telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi Tanah Melayu. Walapun Jepun melaksanakan beberapa industri seperti kilang kasut, tayar dan sebagainya, tetapi ia tidak mencapai kejayaan.



c)           Sosial
Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai penderitaan pada rakyat Tanah Melayu. Kekejaman polis rahsia Jepun khususnya Kempeitai[8] telah menambahkan lagi penderitaan rakyat Tanah Melayu terutamanya mereka yang anti-Jepun seperti orang Cina. Ramai orang Cina telah dibunuh dan dizalimi oleh Jepun menyebabkan mereka lari ke dalam hutan. Mereka tinggal di dalam hutan dan menanam tanaman makanan untuk keperluan sendiri. Tidakan orang Cina telah membawa kepada permulaan wujudnya masalah setinggan selepas Perang Dunia Kedua. Semasa Jepun, terutamanya orang India telah dijadikan buruh paksa dan dihantar ke sempadan Thai-Burma untuk membina jalan keretapi. Kekurangan makanan dan penyakit menyebabkan ramai meninggal dunia sehingga jalan keretapi itu dikenali sebagai “Jalan Keretapi Maut”. Kekurangan makanan terutamanya beras telah menimbulkan pelbagai penyakit. Di antara penyakit yang banyak membawa maut ialah malaria dan beri-beri. Masalah penyakit semakin serius kerana kekurangan ubat lebih-lebih lagi bila ubat-ubat telah dirampas oleh tentera Jepun bagi keperluan mereka di Tanah Melayu.


Pendudukan Jepun telah mengakibatkan wujudnya permusuhan kaum di antara orang Melayu dengan orang Cina akibat daripada dasar Jepun yang berbeza kepada kaum-kaum tersebut. Layanan baik Jepun kepada orang Melayu telah menimbulkan kemarahan orang Cina. Malah Jepun telah mengambil orang Melayu untuk dijadikan polis dan tentera dimana mereka digunakan oleh Jepun untuk menentang MPAJA yang terdiri daripada orang Cina. Tindakan orang Melayu menjadi pengintip Jepun telah menambah lagi kemarahan orang Cina. Akibatnya selepas pendudukan Jepun, berlaku pergaduhan kaum di antara orang Melayu dengan orang Cina terutamanya di Perak dan Johor. Pendudukan Jepun telah menimbulkan semangat rajin dan berdikari di kalangan orang Melayu seperti menghasilkan barang daripada daun nanas dan gula dari nira kelapa. Pendudukan Jepun turut menimbulkan kesedaran orang Melayu terhadap pentingnya pengajaran, dimana selepas perang sekolah-sekolah Melayu tumbuh dengan pesatnya di seluruh negara.



4.3       Kesan pemerintahan Jepun di Indonesia

Jepun mula menyerang Indonesia pada 14 Februari 1942 dan berjaya menguasainya pada 9 Mac 1942 apabila ketua turus tentera Berikat Leftenan Jeneral Ter Poorten menyerah kalah kepada panglima tentera Jepun, Immamura Hitoshi. Selepas menguasai Indonesia, Jepun membahagikan pentadbiran kepada 3 unit iaitu Sumatera, Jawa dan Madura, Kalimantan dan Indonesia Timur. Jepun mengekalkan pentadbiran asas Belanda dan memerintah melalui elit-elit yang berpengaruh seperti golongan priyayi di Jawa. Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun mempunyai matlamatnya iaitu menghapuskan pengaruh Barat di kalangan rakyat Indonesia dan mengeksploitasikan penduduk dan sumber Indonesia untuk kepentingan negera Jepun. Jepun memerintah Indonesia sehingga 15 Ogos 1945. Walaupun pendudukan Jepun berlangsung hanya 3 ½ tahun, tetapi ianya telah meninggalkan pelbagai kesan terutamanya terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia. J.M. Kahin dalam bukunya “Nationalism dan Revolution In Indonesia” mendakwa pendudukan Jepun telah mengukuhkan semangat nasionalisme dan mempercepatkan proses pencapaian kemerdekaan.



Kesan-kesan

a.      Kekalahan Belanda

Kekalahan Beland begitu mudah telah menjatuhkan maruah Belanda, lebih-lebih lagi Belanda tidak memperlihatkan semangat untuk menentang Jepun. Cara mereka diusir oleh Jepun dan cara orang tawanan dilayan oleh Jepun telah menjatuhkan lagi maruah Belanda. Dalam tempoh 6 bulan selepas menduduki Indonesia, semua orang Belanda yang masih berada di Indonesia telah dipenjarakan. Kekalahan ini telah melenyapkan “mitos superioriti” yang dianggap kuasa Barat sukar dikalahkan. Kekalahan Belanda juga menghilangkan keyakinan rakyat tempatan terhadap kebolehan Belanda kerana Belanda gagal melindungi Indonesia. Perkembangan ini menyedarkan rakyat Indonesia bahawa mereka juga mampu mengalahkan Belanda. Akibatnya, perasaan anti penjajah khususnya anti-Belanda bertambah di kalangan rakyat Indonesia.



b.   Pembebasan nasionalis
Selepas menguasai Indonesia, Jepun telah membebaskan nasionalis-nasionalis yang telah dipenjarakan oleh Belanda. Antara mereka ialah Sukarno, Hatta, Shahrir, Amir Syarifuddin, Sartono dan lain-lain lagi. Pembebasan nasionalis membolehkan perjuangan ke arah kemerdekaan diteruskan sama ada melalui kerjasama dengan Jepun seperti Sukarno atau Hatta atau melalui gerakan bawah tanah seperti Shahrir dan Amir Syarifuddin. Walaupun tindakan Jepun membebaskan nasionalis bertujuan mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengekal dan mengukuhkan kedudukan Jepun tetapi langkah tersebut telah menguntungkan perjuangan nasionalisme Indonesia.


c.   Kerjasama Jepun dengan nasionalis

Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun bekerjasama dengan nasionalis dengan tujuan untuk mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengeksploitasikan penduduk serta sumber Indonesia bagi kepentingan negera Jepun. Nasionalis seperti Sukarno dan Hatta telah diberi kebebasan bergerak dan berpidato ke seluruh Indonesia. Kesempatan ini digunakan oleh nasionalis untuk menanamkan semangat kebangsaan di kalangan rakyat Indonesia, khususnya perasaan anti penjajah iaitu anti-Jepun dan anti-Belanda.


d.   Peluang pentadbiran

Kekalahan Belanda telah meninggalkan kekosongan jawatan dalam pentadbiran. Oleh sebab Jepun kekurangan pegawai pentadbir, maka rakyat Indonesia yang  terpelajar telah dilantik memegang jawatan-jawatan dalam pentadbiran. Pengalaman dalam pentadbiran telah memberi keyakinan diri serta kesedaran terhadap kemampuan mereka untuk mentadbir negeri sendiri. Selain itu, terdapat pegawai-pegawai Indonesia yang berselindung di sebalik jawatan mereka dalam memperjuangkan nasionalisme Indonesia.



e.   Bahasa, bendera dan lagu

Dalam usaha untuk menghapuskan pengaruh Barat, Jepun telah mengharamkan penggunaan bahasa Barat khususnya Bahasa Inggeris dan Bahasa Belanda. Penggunaan Bahasa Jepun digalakkan. Oleh sebab Bahasa Jepun tidak difahami oleh kebanyakan rakyat Indonesia, maka penggunaan Bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan dipertingkatkan. Langkah tersebut telah mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat seluruh Indonesia. Tindakan Jepun membenarkan kibaran bendera merah-putih sebagai bendera kebangsaan dan nyanyian lagu “Indonesia Raya” sebagai lagu kebangsaan telah mengukuhkan lagu semangat nasionalisme rakyat Indoensia.



f.    Penderitaan

Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai penderitaan kepada rakyat Indonesia terutamanya golongan petani[9]. Semasa pendudukan Jepun, rakyat Indonesia menghadapi kebuluran barangan pengguna, penyakit, inflasi, kerana kezaliman pemerintahan ala tentera semasa kependudukan Jepun. Petani Indonesia telah dipaksa menjual padi mereka kepada pihak Jepun dengan harga yang terlalu rendah dari harga pasaran. Semasa pendudukan Jepun, ramai rakyat Indonesia dijadikan buruh paksa. Sekurang-kurangnya 200 ribu orang buruh paksa dihantar ke sempadan Siam-Myanmar dan New Guinea. Kekurangan makanan dan penyakit telah menyebabkan ramai buruh paksa meninggal dunia. Ekonomi Indonesia mengalami kemelesetan. Peredaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan barangan pengguna telah mengakibatkan berlakunya inflasi. Pada tahun 1945, nilai mata wang Jepun hanya 2.5% nilai mukanya. Eksport Indonesia mengalami kemerosotan kerana terputus dengan pasaran antarabangsa. Jepun mengharamkan eksport kecuali ke negeri Jepun. Pengeluaran hasil juga semakin merosot semasa pendudukan Jepun. Sebagai contoh, pengeluaran getah tahun 1943 hanya 1/3 pengeluaran tahun 1941. Pengeluaran teh pada tahun 1943 hanya 1/3 pengeluaran tahun 1941. Pada mulanya kedatangan Jepun dianggap sebagai kedatangan pembebas yang akan membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Apa yang berlaku sebenarnya ialah penjajahan Belanda di gantikan dengan penjajahan Jepun. Malah penjajahan Jepun lebih kejam daripada penjajahan Belanda terutamanya kezaliman polis rahsia Jepun Kempetai, Tekkikan dan Toko. Perkembangan ini menjejaskan rakyat Indonesia untuk bangun menghapuskan semula bentuk penjajahan mereka sama ada penjajahan Barat ataupu Timur. Kezaliman Jepun dan kemerosotan taraf hidup telah menguatkan keazaman rakyat Indonesia untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan.



g.   Semangat Anti-Belanda

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan bertambahnya perasaan anti-Belanda di kalangan rakyat Indonesia. Buktinya rakyat Indonesia telah menentang pemerintahan semula Belanda selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945. Selama 5 tahun berlaku revolusi iaitu kebangkitan Indonesia menentang Belanda.



h.   Janji Jepun

Pada 7 September 1944, Perdana Menteri Jepun Koiso telah berjanji akan memberi kemerdekaan kepada Indonesia pada tempoh yang singkat. Janji Jepun telah menambahkan lagi semangat nasionalisme kerana sebelumnya Belanda tidak pernah berjanji akan memberi kemerdekaan kepada rakyat Indonesia[10]. Pada 1 Mac 1945, Badan Penyelidikan Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) ditubuhkan untuk merancang kemerdekaan Indonesia. Pada 1 Jun 1945, Sukarno telah menyampaikan pidatonya kepada badan-badan ini dan pidato tersebut mengandungi 5 pancasila iaitu nasionalisme, internasionalisme, demokrasi, keadilan sosial dan ketuhanan. Pada 7 Ogos 1945, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan Indonesia ditubuhkan bagi menggantikan BPUPKI. Pada 8 Ogos 1945, Sukarno dan Hatta telah berangkat ke Saigon untuk merundingkan kemerdekaan Indonesia dengan panglima tentera Jepun bagi Asia Tenggara – Marshall Terauchi. Pada 11 Ogos 1945, Jepun bersetuju memberi kemerdekaan kepada Indonesia pada 24 Ogos 1945. Perkembangan ini sudah tenti memberi sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia.



i.    Pertubuhan

Pertubuhan-pertubuhan yang wujud semasa pendudukan Jepun telah beri sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia.

i)    Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)

PUTERA ditubuhkan pada 9 Mac 1943. PUTERA dipimpin oleh Sukarno sebagai Presiden dan Hatta sebagai Timbalan Presiden. PUTERA merupakan gabungan nasionalis Indonesia. Jepun menubuhkan PUTERA dengan tujuan untuk mengawal nasionalis supaya tidak menjalankan kegiatan anti-Jepun. Walau bagaiamanapun, penubuhannya telah mewujudkan perpaduan di kalangan nasionalis dalam memperjuangkan kemerdekaan Indonesia. G.M. Kakin dalam bukunya “Nationalism and Revolution In Indonesia” mendakwa penubuhan PUTERA telah menambahkan kesedaran politik dan mengukuhkan keazaman rakyat Indonesia untuk capai kemerdekaan.



ii)   PETA

Tentera Sukarela Pembela Tanahair (PETA) ditubuhkan pada September 1943. PETA dipimpin oleh pegawai-pegawai Indonesia tetapi menerima latihan tentera daripada pihak Jepun. Jepun menubuhkan PETA dengan tujuan menggunakan anggota PETA bagi menentang kemaraan tentera Berikat kerana Jepun menyedari kekuatan tenteranya tidak mencukupi untuk mempertahankan Indonesua. Menjelang Jun 1945, terdapat 120 ribu anggota PETA. Mereka telah menjadi tulang belakang Tentera Revolusi Indonesia yang menentang pemerintahan semula selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945. Anggota-anggota PETA telah ditanam semangat anti penjajahan khususnya anti-Belanda dan Jepun akibat propaganda nasionalis-nasionalis.



iii)  Pertubuhan Belia dan Pelajar

Dalam usaha untuk mengawal belia-belia serta pelajar-pelajar daripada menjalankan kegiatan anti-Jepun, beberapa pertubuhan belia dan pelajar telah ditubuhkan oleh pihak Jepun. Antaranya ialah Seinendan, Gakutotai, Barisan Pelopor dan Angkatan Muda. Belia-belia dan pelajar-pelajar dalam pertubuhan-pertubuhan telah diberi Indoktrinasi politik dan latihan tentera. Pada September 1944, Jepun menubuhkan Asrama Indonesia mereka di Jakarta dan Surabayau. Nasionalis-nasionalis seperti Sukarno dan Hatta telah dijemput untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar Asrama Indonesia merdeka serta ahli-ahli Pertubuhan Belia dan Pelajar. Kesempatan ini digunakan oleh nasionalis-nasionalis untuk menanamkan semangat nasionalisme di kalangan belia dan pelajar.



iv)  Masjumi

Majlis Seluruh Muslimin Indonesia (Masjumi) telah ditubuhkan pada Oktober 1943. Masjumi merupakan gabungan badan-badan Islam seperti Muhammadiah, Nahdatul Ulama dan Parti Sarekat Islam. Jepun menubuhkan Masjumi dengan tujuan untuk dapat sokongan orang-orang Islam serta menyebarkan semangat anti-Belanda di kalangan rakyat Indonesia melalui agama. Di bawah Masjumi, Jepun berjanji akan membantu orang-orang Islam menunaikan fardu Haji, mencetak al-Quran, mendirikan universiti Islam dan sebagainya. Penubuhan Masjumi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Indonesia lebih-lebih lagi majoriti rakyat Indonesia terdiri daripada penganut agama Islam.



5.0       Kesimpulan


Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 berikutan dengan peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Nasionalis-nasionalis muda seperti Adam Malik, Pandu Wiguine dan Chairil Salleh bimbang Belanda yang akan kembali memerintah Indonesia tidak akan mengiktiraf kemerdekaan yang telah dipersetujui oleh Jepun. Akibatnya, mereka telah “menculik” Sukarno dan mendakwa beliau mengisytiharkan kemerdekaan di Rengas Dengkelok pada 17 Ogos 1945. Belanda yang kembali memerintah Indonesia tidak mengiktiraf kemerdekaan tersebut. Akibatnya berlaku zaman revolusi iaitu kebangkitan rakyat Indonesia menentang Belanda hampir 5 tahun. Campur tangan PBB telah memaksa Belanda mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada 27 Disember 1949.


Pendudukan Jepun telah menyedarkan penduduk tempatan bahawa kuasa penjajah tidak akan memajukan Tanah Melayu. Keadaan ini telah menyemarak kan lagi semangat kebangsaan dan keyakinan diri untuk mentadbir negara. Pada masa yang sama Ahli KMM di Tanah Melayu telah berpura-pura baik dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun di sebaliknya KMM mengadakan hubungan dengan gerakan anti-Jepun dan menubuhkan gerakan bawah tanah. Pendudukan Jepun di negara kita dan negara jiran telah menyemarakkan lagi semangat kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan.











Rujukan

1.   Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.
2.   Amat Johari Moain, 1969, Sejarah Nasionalisme Maphilindo, Utusan Melayu Sdn Bhd
2.   Cik Zaharah Binti Ahmad, En Abd Majid bin Abd Halim, 1972, Sejarah Asia Tenggara Moden, DBDP
3.   Gerhard L. Weinberg , A World at Arms: A Global History of World War II ( 1994 ) ISBN 0521443172
4.   James P. Ongkili, Nation-Building In Malaysia 1946-1974, Oxford University Press, New York, 1985.
5.   John Bastin dan Harry J. Benda, Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1972,
6.   John Keegan , The Second World War ( 1989 )
7.   K. Ratnam, 2006, Sejarah Kertas 940/2 Malaysia, Asia Tenggara, Asia dan Selatan Asia Timur, Pustaka Sarjana Sdn Bhd
8.   Lea E. Williams, Southeast Asia:A History, Oxford University Press, New York, 1976.
9.   Wan Abdul Rahman Latif  et. al, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Dewan Bahasa dan Putaka, Kuala Lumpur, 1996.
10. Winston Churchill , The Second World War, 6 vols. ( 1948 - 1953 )
11.       Williamson Murray and Allan R. Millett , A War to Be Won: Fighting the Second World War ( 2000 ) ISBN 06740


[1] Abd. Zakaria, Azharudin Mohamed Dali dan Suffian Mansur, 2000, Sejarah Asia Tenggara dan Timur, 1800 – 1962, Fajar Bakti, hlmn 100
[2] Amat Johari Moain, 1969, Sejarah Nasionalisme Maphilindo, Utusan Melayu Sdn Bhd, hlm 26
[3] Sejarah Asia Tenggara Moden, DBDP, hlmn 195

[4] K. Ratnam, 2006, Sejarah Kertas 940/2 Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, Pustaka Sarjana Sdn Bhd, hlmn 434

[5] Ibid hlmn 432

[6] Sejarah Asia Tenggara dan Timur, 1800 – 1962, hlmn 228
[7] K. Ratnam, 2006, Sejarah Kertas 940/2 Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, Pustaka Sarjana Sdn Bhd, hlmn 228
[8] Abd. Zakaria, Azharudin Mohamed Dali dan Suffian Mansur, 2000, Sejarah Asia Tenggara dan Timur, 1800 – 1962, Fajar Bakti, hlmn 100
[9] Abd. Zakaria, Azharudin Mohamed Dali dan Suffian Mansur, 2000, Sejarah Asia Tenggara dan Timur, 1800 – 1962, Fajar Bakti, hlmn 100
[10] Cik Zaharah Binti Ahmad, En Abd Majid bin Abd Halim, 1972, Sejarah Asia Tenggara Moden, DBDP hlmn 21

No comments:

Post a Comment