Pages

Monday, 5 March 2012

Pengutusan Para Rasul Itu Rahmat.


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم



Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah SAW serta keluarga dan para sahabat baginda sekalian

Tujuan rencana ini ditulis adalah untuk mengupas dan menganalisa mengapa para rasul itu diutus dan dilantik oleh Allah yang juga daripada terdiri daripada kalangan manusia ciptaan Allah di muka bumi ini. Mengapa Allah tidak melantik para malaikat sebagai rasul sedangkan kita juga wajib beriman kepada malaikat? Apakah keistimewaan dan kelebihan yang dimiliki oleh para rasul ini sehingga Allah melantik insan-insan terpilih ini sebagai utusan dan pesuruh bagi menyampaikan perintah-perintah Allah. Benarkah pengutusan para rasul itu rahmat? Marilah sama-sama kita perhatikan akan friman Allah SWT yang telah menggariskan bentuk panduan kepada para Rasul didalam dakwah mereka.

Keseluruhan ajaran Islam berasaskan tauhid. Kesemua isi kandungan Al-Quran berlegar di atas tauhid. Kandungan ayat-ayat Al-Quran meliputi pengkhabaran tentang Allah, sifat Allah, kejadian Allah, perbuatan Allah dan pentadbiran Allah. Al-Qur’an membincangkan tentang al-amr (perintah) dan anbiya’ Allah (nabi-nabi Allah) kerana kedua-duanya ada kaitan dengan penciptaan dan kekuasaan Allah terhadap makhluk-Nya. Al-Qur’an menerangkan segala bentuk balasan baik (pahala) untuk mereka yang mentaati Allah, Rasul dan syariat-Nya.

Ketika Rasulullah SAW ditanya Abu Dzar RA tentang jumlah para nabi, dan para rasul, beliau bersabda, “Jumlah nabi ialah seratus dua puluh ribu, dan jumlah rasul ialah tiga ratus tiga belas.”

Pertanyaan berkenaan dengan rukun Iman yang berkaitan dengan tauhid semasa zaman Rasullullah SAW yang juga berkaitan dengan pengutusan Banginda sebagai Nabi dan Rasul, yang pernah diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Kami dilarang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang sesuatu. Yang menghairankan kami bahwa seorang Badwi yang beradab mengajukan pertanyaan kepada beliau dan kami mendengarkan. Suatu hari datang seorang Badawi, lalu berkata: Wahai Muhammad, utusanmu telah datang kepada kami, ia mengatakan bahwa engkau menyatakan bahawa Allah telah mengutusmu. Rasulullah SAW menjawab: Benar. Orang itu bertanya: Kalau begitu, siapakah yang menciptakan langit? Rasulullah SAW menjawab: Allah. Orang itu bertanya: Siapakah yang menciptakan bumi? Rasulullah SAW menjawab: Allah. Orang itu bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-gunung ini dan menjadikan sebagaimana adanya? Rasulullah SAW menjawab: Allah. Orang itu berkata: Demi Zat yang telah menciptakan langit, menciptakan bumi dan menegakkan gunung bahawa Allah-lah yang mengutusmu? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Orang itu berkata: Utusanmu mengatakan bahawa kami wajib mengerjakan solat lima waktu dalam sehari semalam. Rasulullah SAW menjawab: Benar. Orang itu berkata: Demi Zat yang mengutusmu, apakah Allah yang memerintahkanmu? Rasulullah SAW menjawab: Benar. Orang itu berkata: Utusanmu mengatakan, bahawa kami wajib mengeluarkan zakat harta kami. Rasulullah SAW menjawab: Benar. Orang itu bertanya: Demi Zat yang mengutusmu, apakah Allah yang memerintahkanmu? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Orang itu berkata: Utusanmu juga mengatakan bahawa kami diwajibkan puasa pada bulan Ramadan. Rasulullah SAW menjawab: Benar. Orang itu bertanya: Demi Zat yang mengutusmu, apakah Allah yang memerintahkanmu? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Orang itu berkata: Utusanmu mengatakan pula bahawa kami wajib menunaikan ibadah haji ke Baitullah, jika mampu. Rasulullah SAW menjawab: Benar. Kemudian orang itu pergi, seraya berkata: Demi Zat yang mengutusmu dengan membawa kebenaran, aku tidak akan menambahkan atau mengurangi semua apa yang telah engkau terangkan. Mendengar itu, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya jika benar apa yang diucapkan, dia akan masuk syurga.

Daripada Hadis diatas, benarlah bahawa pengutusan Rasullah SAW dan juga rasul-rasul sebelumnya merupakan perintah dan kehendak Allah. Kita wajib beriman kepadaNya, MalaikatNya, Rasulnya, KitabNya dan juga hari akhirat.




Firman Allah SWT:
سُوۡرَةُ البَقَرَة

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ
بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ‌ۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ
مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَـٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡ‌ۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ
 بِإِذۡنِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ (٢١٣)

Maksudnya: Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan diantara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus. [Al-Baqarah : 213].

Al-Hafiz Ibnu Kathir RH telah mengambil riwayat Ibnu Abbas R.A ketika menafsirkan ayat ini. Kata Abdullah Ibnu Abbas: ”Jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh A.S ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas nabi Adam ialah nabi Nuh A.S”.[1]

 Pada dasarnya pengutusan para rasul bertujuan untuk mengesakan Allah dalam Tauhid al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah. Dialah Tuhan Rabb al-’Alamin dan Tuhan para Rasul. Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah. Tauhid al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah menjelaskan kekuasaan Allah yang Maha Suci dalam pentadbiran urusan makhluk-Nya. Allah Pengurnia kemaslahatan dan kebaikan. Allah Penentu al-amr (perintah). Allah-lah Pengutus ar-Rasul untuk makhluk-Nya.

Manusia memerlukan rasul. Ini kerana para rasul berperanan sebagai perantara di antara Allah dan manusia yang mana tugas para rasul adalah sebagai pendidik, pebimbing, menyampaikan suruhan dan larangan Allah, menyampaikan berita-berita yang mengembirakan seperti adanya syurga sebagai balasan beriman dan taqwa kepada Allah. Dan juga menyampaikan berita kebenaran akan hari pembalasan iaitu neraka kerana kufur kepada Allah.

Tidak syak lagi untuk mencapai kesempurnaan hidup, manusia bukan sahaja memerlukan makanan, pakaian, tempat berlindung dan keperluan-keperluan jasmani yang lain, bahkan manusia juga berkehendakkan sesuatu untuk memenuhi tuntutan roh. Dengan memenuhi tuntutan roh, manusia akan dapat mencapai taraf kesempurnaan sebagai manusia yang mulia dan berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain. Tugas para rasul adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Allah adalah penciptanya yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia di atas jalan lurus (sirat al-mustaqim). Dengan keyakinan ini barulah manusia dapat sampai ke jalan kebahagiaan dan kesempurnaan sebenar.

Manusia sendiri tidak dapat mengetahui perkara-perkara ghaib mengenai Pencipta dan sirat al-mustaqim dengan menggunakan kudrat dan akalnya yang lemah. Kerana kejadian manusia yang kudrat dan pemikirannya yang terbatas, manusia kerap melakukan kesilapan. Untuk memikirkan mengenai Pencipta, alam akhirat dan sirat al-mustaqim adalah di luar kemampuan akal manusia. Oleh itu pengutusan para rasul Allah menunjukkan kebijaksanaan-Nya dan merupakan rahmat yang paling besar untuk umat manusia. Para rasul Allah dilantik daripada golongan manusia sendiri supaya mereka dapat menggunakan kebiasaan dan bahasa yang dapat difahami oleh manusia. Seterusnya menyampaikan ajaran Allah, menjelaskan cara-cara untuk sampai kepada risalah-Nya dan menghuraikan cara mana untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sungguh tidak patut sikap manusia sekiranya dia mengingkari Rasul Allah SWT. Firman Allah SWT:
سُوۡرَةُ الحَدید

لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا رُسُلَنَا بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَأَنزَلۡنَا مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ
وَأَنزَلۡنَا ٱلۡحَدِيدَ فِيهِ بَأۡسٌ۬ شَدِيدٌ۬ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۥ وَرُسُلَهُ
ۥ بِٱلۡغَيۡبِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ۬ (٢٥)

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al-Hadid: 25) 


Demikianlah betapa pentingnya peranan rasul-rasul  Allah untuk mengembalikan manusia supaya taat dan tunduk kepada Allah sahaja. MeKita juga mestilah menolak semua jenis taghut kerana inilah syarat untuk menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul serta berada di atas landasan agama Islam yang diredhai Allah SWT.Firman Allah SWT yang bermaksud: sesiapa yang mengkufurkan (menentang dan menghancurkan) Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang dengan tali Allah yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [Al-Baqarah: 256].


Para rasul juga diutuskan untuk membentuk dan mendidik manusia. Daripada berakhlak binatang kepada akhlak manusia. Daripada akhlak Jahiliah kepada akhlak Islam. Para rasul juga diutus dengan sebaik-baik sifat terpuji dan mulia seperti sabar, berkata benar, ikhlas, amanah, tidak mempunyai sifat putus asa dalam menyampaikan dakwah kepada umat manusia. 


Memang benarlah kesemua firman Allah SWT bahawa pengutusan para rasul termasuk nabi Muhammad SAW adalah merupakan satu rahmat dan nikmat kepada seluruh umat manusia. Ini selari dengan firman Allah:

سُوۡرَةُ الاٴنبیَاء

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ (١٠٧)

Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam," ( Al-Anbiya: 107).

Rahmat yang dibawa Rasulullah SAW dan para rasul sebelum baginda mencakupi segala sesuatu di alam ini termasuklah manusia, jin, malaikat, haiwan, tumbu-tumbuhan, bahkan benda mati. Ini bukan hal yang aneh, karena Allah SWT maha berkuasa memberikan rahmat-Nya kepada siapa pun yang dikehendaki-Nya dan Dialah Pemilik yang agung.


Akhlak yang mulia seperti sabar, bijak, baik budi perkerti, berkata benar, amanah yang dipamerkan oleh para rasul seperti Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW memberi manafaat dan faedah kepada umat manusia khasnya umat Islam. Ini kerana melalui sunnah Rasulullah SAW umat Islam dapat mencontohi baginda dan menjalani kehidupan umat Islam yang berkesan. 


Peribadi Nabi Muhammad SAW sungguh menarik hati seluruh manusia yang mengakui kebenaran, keperibadian Rasulullah jelas diterangkan dalam Al-Quran antaranya Allah berfirman yang bermaksud:
سُوۡرَةُ آل عِمرَان

فَبِمَا رَحۡمَةٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡ‌ۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَ‌ۖ فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ
وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡرِ‌ۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ (١٥٩)

“Maka disebabkan rahmat dari Allah (kepadamu Muhammad SAW) , engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari kamu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap engkau, dan mohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan (permasaalahan keduniaan) itu. Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (Ali Imran: 159)


Ini salah satu sifat terpuji dari peribadi Nabi Muhammad SAW di antara banyak lagi sifat terpuji yang dimiliki oleh Rasullullah SAW, sehingga menyebabkan baginda Nabi SAW. telah dapat membawa suatu perubahan yang luar biasa terhadap masyarakat umat manusia, khasnya masyarakat Arab di zaman jahiliah ketika itu. 


Sebelum Islam, dunia berada dalam kegelapan, terutama sekali   dunia Arab. Penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa, telah bertukar kepada penyembahan kepada berhala yang mereka ciptakan sendiri. Perikemanusiaan telah bertukar  kepada sifat-sifat kebinatangan; yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, wanita dijadikan sebagai alat pemuas nafsu ataupun sebagai iklan untuk melariskan perniagaan, jika lahir anak lelaki mereka sungguh gembira, akan tetapi jika lahir perempuan mereka sampai hati membunuhnya. Ramai pula mereka yang mengamalkan cinta sesama sejenis, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, kalau ini terus dibenarkan apa akan jadi terhadap ummat manusia didunia ini, sudah tentu mereka akan pupus, keturunan mereka  akan terputus, inilah yang telah diamalkan oleh kaum Luth.


Sebelum Islam dunia Arab berpecah belah, Yaman dikuasai oleh Kerajaan Persia, dan Habsyah, disamping dikuasai oleh ketua-ketua kabilah. Iraq dikuasai oleh Manazirah yang tunduk kepada kerajaan Romawi. Najd dan Hijaz dikuasai oleh kabilah Arab yang masing-masing berdiri sendiri. Perpecahan dan permusuhan diantara mereka berlarutan beratus tahun, sehingga bangsa Arab mundur dalam banyak hal.


Setelah Islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. bangsa  Arab telah disatukan, dibawah satu pimpinan. Mereka menjadi umat yang maju dalam berbagai bidang, malah dapat mengalahkan dua kerajaan besar Rome dan Parsi. Selanjutnya para sahabat telah mengembangkan Islam ke merata tempat di dunia ini.

Umat Islam telah membawa  perubahan  besar di Timur ataupun di Barat. Amat menyedihkan setelah Ummat Islam meninggalkan ajaran Islam yang menyeru kepada kebenaran dan keadilan, dan mereka terikut-ikut hanyut dalam kancah  bertuhankan hawa nafsu, maka semenjak itu umat Islam menjadi lemah, mereka dapat dikalahkan oleh musuh-musuh Islam, sehingga meskipun jumlah umat Islam melebihi seperlima  penduduk dunia, dan memiliki jumlah sumber kekayaan yang melimpah ruah, tetapi semua itu tidak  membawa manfaat apa-apa. 


Malah umat Islam dipermainkan,  dihina, ditindas. Semua ini terjadi  kerana kesalahan umat Islam  sendiri,  oleh itu telah tiba masanya seluruh Ummat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Insya Allah Ummat Islam akan memperoleh kemuliaan dan kesejahteraan yang telah pernah mereka miliki di zaman Rasullah SAW. dan para sahabatnya yang terpilih, Insya Allah.


Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang sebaik-baiknya bagi kita, dalam  semua hal, sebab Nabi SAW telah berjaya membawa perubahan yang luar biasa dalam semua bidang dalam masa yang begitu singkat (hanya 23 tahun). Baginda telah berjaya merubah  masyarakat musyrikin, yang menyembah berhala, berpecah belah, bersuku puak, zalim, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, yang pandai menipu yang bodoh bahkan bertebaran kejahatan di daratan dan di lautan disebabkan amal perbuatan mereka.  


Semuanya itu telah dirobah, menjadi masyarakat yang hanya menyembah Allah SWT. Masyarakat yang berpecah belah, bersuku puak, telah dipersaudarakan menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. 


Masyarakat yang zalim, menjadi masyarakat yang harmonis dimana si lemah dilindungi, si miskin dibela nasib mereka, wanita mendapat hak-hak mereka yang sebelumnya mereka tidak mempunya nilai, hanya sebagai alat untuk pemuas nafsu lelaki sahaja, malah mereka  dibunuh hidup-hidup. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.dari sehari ke sehari terus mendapat sambutan dari orang ramai. Pimpinan Quraisy semakin khuatir, kepimpinan mereka akan beralih kepada kepimpinan Nabi SAW. Oleh itu mereka bekerja keras untuk menghalang perkembangan Islam dengan berbagai cara. 

Tetapi semua usaha mereka yang jahat itu tak dapat menyekat usaha gigih Nabi s.a.w. dan pengikutnya yang setia. Melihat kegagalan demi kegagalan yang mereka alami, maka pihak penguasa Quraisy, mulai berlembut dan mengajak bekerjasama untuk menghilangkan segala perbedaan yang ada.

Sebagai permulaan mereka sanggup menyembah Allah SWT di satu masa dan di lain masa pula Nabi SAW dan umat Islam diminta menyembah berhala yang mereka ciptakan. Semua ajakan tolak ansur yang menyesatkan ini, juga ditegah untuk diamalkan.  Kita dilarang keras menyembah makhluk, sama ada (apakah) dia berhala,  manusia, ataupun haiwan dan sebagainya.

Allah SWT berfirman:
سُوۡرَةُ الکافِرون
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥) لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)

Maksudnya: "Katakanlah (wahai  Muhammad): "Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Aku tak pernah menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula tidak pernah menyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Al-Kaafirun:1-6) 


Inilah suara Iman dan Tauhid yang sebenarnya. Kita dilarang keras  menyekutukan Allah dengan apapun juga. Semua dosa Allah akan ampunkan kecuali  dosa syirik (menyenkutukan)  Allah, tidak akan diampunkan oleh Allah SWT.


Oleh itu, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana memberikan Rahmat-Nya. Iaitu rahmat kemanisan Islam dan kemanisan beriman kepada Allah dan para rasul-Nya. Pengutusan para rasul dan terutamannya Nabi Muhammad SAW membuktikan kepada kita bahawa Allah SWT dengan sifat pengasih dan penyayangNya memberi pedoman dan taufik hidayah agar kita tidak sesat dan menjadi orang-orang yang musyik. Apakah yang lebih bererti bagi seorang manusia daripada menjadi seorang manusia itu sendiri? Dengan hujah-hujah yang telah dibentangkan seperti diatas, saya sangat bersetuju bahawa pengutusan para rasul  merupakan rahmat yang menaikkan taraf manusia menjadi manusia yang sempurna yang berakhlak dengan akhlak-akhlak Islam.



RUJUKAN

1.    Al-Quran

2.    Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah, Haji Said Haji Ibrahim, Darul Ma’rifah, Kuala Lumpur, 1996

3.    Aqidah Kaum Terselamat Dari Sesat & Bid’ah, Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani, Pustaka Nasional Singapura, 2003

4.    Hidup Sesudah Mati, Bey Arifin, Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura, 1991



[1] Lihat Tafsir Ibnu Kathir: 1/237

No comments:

Post a Comment