Pages

Thursday, 29 March 2012

Kenapakah pentingnya Negara mengadakan hubungan diplomatik dengan Negara yang lain. Bolehkah ia memakmurkan dan memberi kesejahteraan terdahap sistem antarabangsa? Bagaimana?


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

1.0       Pengenalan

Di dalam esei yang ringkas ini, penulis membincangkan aspek-aspek utama dalam hubungan diplomatik yang dijalinkan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Aspek-aspek tersebut ialah:

a.   Membincangkan kenapa perlu dan pentingnya sesebuah negara untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara lain dalam pentas antarabangsa; dan 

b.    Membincangkan bagaimana hubungan diplomatik tersebut dapat memberi manafaat dalam bentuk kemakmuran dan kesejahteraan terhadap sistem antarabangsa dan globalisasi


Menggarap penulisan yang ditulis oleh Robert Jackson dan Georg Sorensen di dalam buku mereka “Introduction to International Relations” menyatakankan bahawa tujuan utama subjek Hubungan Antarabangsa (HA) diadakan adalah untuk mendedahkan orang-ramai dan juga para pelajar agar dapat memahami struktur populasi dunia yang terdapat pelbagai bangsa yang berbeza agama, ideologi politik, bahasa, budaya, warna kulit, kedudukan ekonomi, kestabilan dan kekuatan pertahanan negara tersebut yang telah mempengaruhi cara penduduk sesuatu negara itu berfikir dan berinterasi dengan dunia luar. [1]  


Menurut Karen Mingst di dalam bukunya “Approaches to the study of international relation”, beliau berpendapat bahawa terdapat tiga pendekatan di dalam membentuk hubungan antarabangsa, iaitu hubungan tradisional, perlakuan (behavioral) dan alternatif[2]. Karen menerangkan hubungan tradisional adalah satu bentuk hubungan tradisi merentasi masa iaitu satu bentuk hubungan diplomasi yang telah sedia ada terjalin. Manakala hubungan antarabangsa atas sebab perlakuan (behavioral) pula adalah satu bentuk hubungan yang dijalin atas sebab-sebab ekonomi, sosiologi, sains politik dan phychology.  Sementara itu menurutnya lagi hubungan antarabangsa juga boleh terbentuk atas sebab alternatif yang terdapat beberapa faktor yang mendorong sesuatu negara mengadakan hubungan diplomatik antaranya ialah menunjukkan kerjasama dan usahasama dalam sesuatu dasar, konsep atau objektif yang ingin dicapai secara bersama[3].

Di alam nusantara pula, hubungan antarabangsa dalam bentuk hubungan antrabangsa tradisional ialah apabila urusan perdagangan dan politik yang telah dijalin oleh Sultan Melaka, Parameswara dengan Maharaja Cina, Yung Lo pada 28 Oktober 1403 merupakan perhubungan dengan negara luar pertama pernah dibuat oleh seorang sultan di Tanah Melayu.   Laksamana Yin Ching yang diutuskan oleh Maharaja Yung Lo dari Dinasti Ming menjadi pengutus yang bertanggungjawab memeteraikan persetujuan dagangan dua hala itu. Catatan sejarah menyebut, Parameswara (Sultan Iskandar Shah) merasa perlu menjalinkan persahabatan dengan negeri China yang terkenal dengan kuasa besarnya bagi mengelakkan negeri Melaka dari serangan neger-negeri yang berhampiran. Sultan Melaka sendiri telah meminta Negeri China menjadi penaungnya. Oleh itu, Melaka aman dari sebarang ancaman, terutama Siam. Perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po merupakan titik mula perkahwinan campur di negeri Melaka. Ia telah melahirkan suku kaum yang ada pada hari ini dikenali sebagai Baba Melaka yang kebanyakannya beragama Islam. [4]



2.0       Faktor-faktor Yang Membawa Jalinan Hubungan Diplomatik

Di dalam konteks moden, hubungan antarabangsa alaf ini adalah sangat kompleks. Berdepan dengan cabaran polemik pertembungan tamadun di antara barat dan dunia Islam, masalah perkaumanan, budaya, bahasa, kepentingan pertahanan serta ekonomi telah mendorong kebanyakkan negara-negara di dunia untuk mewujudkan jalinan persahabatan dalam bentuk hubungan diplomatik yang boleh membawa manafaat kepada kedua-dua negara. Antaranya faktor-faktornya ialah:


2.1       Kepentingan Keselamatan

Kebanyakkan negara-negara menjalin hubungan diplomatik dengan negara lain adalah atas kepentingan menjaga keselamatan negara. Sebagai contoh menyingkap tirai sejarah Jerman pada tahun 1870 – 1890, iaitu selepas penyatuan negara Jerman, Bismarck iaitu pemimpin negara Jerman ketika itu telah mengambil langkah strategik dengan mengadakan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa iaitu di antara Jerman-Austria-Hungary dan juga negara Russia. Ini kerana Bismarck beranggapan bahawa selepas Perancis tewas di tangan Prusia pada 1870-1871, (sebuah wilayah sebelum penyatuan negara Jerman dibentuk), Perancis ingin menyerang balas terhadap Jerman. Dengan membentuk satu pakatan di antara Jerman-Austria-Hungaray dan Russia, Bismarck berjaya menjaga kepentingan negara Jerman daripada aspek keselamatan supaya tidak diserang balas oleh Perancis. [5]


2.2       Kepentingan Pertahanan

Terdapat juga negara-negara yang menjalin persahabatan dengan negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan supaya negaranya mendapat perlindungan daripada diserang oleh negara yang lebih kuat pengaruhnya. Contoh yang jelas ialah apabila negara Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain dilihat menjadi rakan baik kepada Amerika Syarikat dikala terdapat negara-negara Arab yang lain seperti Iraq dan Afghanistan yang telah diserang oleh Amerika Syarikat. Amerika   


2.3       Kepentingan Dan Kebergantungan Sumber Semulajadi

Terdapat juga sesebuah negara yang menjalinkan hubungan dengan negara luar atas dasar menjaga kepentingan kebergantungan sumber semulajadi seperti air dan minyak. Sebagai contoh yang paling klasik ialah tentang Perjanjian Bekalan Air Johor-Singapura. Kedudukan Singapura dianggap sebagai “water-stressed country” kerana mengalami kekurangan sumber bekalan air yang mana Singapura amat bergantung kepada Johor bagi mendapatkan bekalan air tambahan untuk menampung keperluan negara tersebut dari segi kepesatan ekonomi dan bagi menampung peningkatan populasi. Justeru itu pihak Jabatan Air, Public Utilities Board, Singapore (PUB) telah merangka strategi untuk memastikan bekalan air Singapura mencukupi untuk menampung keperluan masa depan dan mengurangkan pergantungan kepada bekalan air Johor. [6] PUB merupakan agensi yang terlibat sepenuhnya dalam menguruskan perbekalan dan sumber air di Singapura seperti mengintergrasikan sumber air termasuk penyediaan kolam air, sistem pengaliran, kerja-kerja pengairan, sungai dan penambakan.


Pergantungan ini dilihat sebagai liabiliti kepada kedua-dua negara Singapura dan juga Malaysia. Ini kerana ia melibatkan beberapa isu politik yang menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura pernah tegang pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamed. Namun begitu, kedua-dua negara terus menjalinkan hubungan diplomatik yang baik bagi menjamin kepentingan ini tercapai serta keharmonian semangat kejiranan diantara dua negara dapat dijayakan. Malaysia kini pada era pemerintahan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sedang dalam usaha membuat kajian semula dalam perjanjian air Johor-Singapura. Malaysia berkepentingan menarik pelabur Singapura untuk melabur di Malaysia dan sebaliknya Singapura masih bergantung kepada Johor untuk membekalkan air kepada republik itu. 



2.4       Kepentingan Untuk Mendapat Pengiktirafan Diperingkat Antarabangsa

Menurut Juegen Kleiner di dalam bukunya”Diplomatic practice between tradition and innovation” kedaulatan dan pengiktifaran sesebuah negara itu dapat dicapai apabila negara tersebut mendapat pengiktirafan hasil daripada mengadakan  hubungan diplomatik dengan negara lain. Menurutnya lagi sebagaimana yang terkandung di dalam “Article 14 of the Charter of the Organisation of American States” yang telah dipinda pada tahun 1997, pengiktirafan adalah apabila sesebuah negara yang menjalin hubungan diplomatik itu diterima oleh masyarakat antarabangsa dengan mematuhi undang-undang antarabangsa sebagaimana seperti yang ternukil didalam perjanjian bilateral kedua-dua negara[7].


Dengan ini jelas bahawa antara faktor yang membawa kepada hubungan diplomasi adalah apabila sesebuah negara itu menginginkan negaranya mendapat pengiktirafan daripada masyakat antabangsa yang mungkin atas sebab-sebab politik mahunun ekonomi.  Contohnya kewujudan negara Israel yang mana pemimpin Israel yang meraih simpati masyarakat antarabangsa khususnya Britain dan Amerika Syarikat bagi menyokong penempatan kaum Yahudi di Palestin agar dapat ditubuhkan satu negara yang berdaulat. [8]

2.5       Kepentingan Mewujudkan Aspek Keseimbangan Kuasa

Terdapat juga hubungan diplomatik yang dijalinkan atas dasar mewujudkan kesimbangan kuasa. Memetik sejarah berkenaan dengan sumbangan Bismarck dalam menjamin keselamatan Jerman selepas penyatuan negara tersebut antaranya ialah Bismarck tindakannya bagi memastikan bahawa Perancis tidak mempunyai rakan sekutu di kalangan negara-negara Eropah. Stategi Bismack dengan memencilkan Perancis ini adalah bagi memastikan Perancis tidak membalas dendam selepas kalah dalam peperangan terhadap Jerman. Pada masa yang sama Bismack telah mengadakan hubungan yang baik dengan negara-negara Eropah yang lain seperti Rusia, Austria-Hungary. Pihak British ketika itu iaitu pada tahun 1872, melihat terdapat peralihan dalam aspek keseimbangan kuasa di Benua Eropah. Ini kerana Kerajaan British berpendapat bahawa Bismarck adalah seorang yang lebih berpengaruh berbanding Napoleon III dan Odo Russell. [9]



3.0       Manafaat Yang Boleh Dicapai Melalui Hubungan Diplomatik

Seterusnya penulis akan membincangkan manafaat yang boleh diperolehi dari aspek kemakmuran dan kesejahteraan hasil daripada hubungan diplomatik yang dijalin oleh sesebuah negara dengan negara yang lain. Antaranya ialah:


3.1       Aspek Keselamatan dan Keamanan

Hasil daripada jalinan diplomatik yang telah diwujudkan diantara dua negara, aspek keselamatan dapat dicapai dengan strategi mengadakan hubungan berbaik-baik diantara dua negara tersebut. Contohnya dalam kejayaan dan peranan Bismarck mengekalkan keselamatan Jerman dengan mengadakan polisi luar negara dengan mengadakan hubungan diplomasi dengan Rusia, Austria-Hungary. Bismarck juga mempromosikan bahawa Jerman adalah sebuah negara yang sukakan keamanan dengan menawarkan Berlin sebagai “hub” rundingan damai kepada konflik negara-negara Balkan dengan Kerajaan Uthaminyah di Turki.  Hasilnya Bismarck mendapat manafaat hasil daripada usahanya dan strategi beliau dengan dalam menjamin keselamatan Jerman sebagai sebuah negara yang baru diwujudkan selepas penyatuannya pada tahun 1890 an. 

  

3.2       Aspek Ekonomi

Selepas Peperangan Dunia ke-2, terdapat pertumbuhan ekonomi yang pesat terutama sekali selepas tahun 1973. Pada ketika itu dunia menghadapi krisis minyak yang teruk kesan daripada perang teluk. [10] Oleh sebab permintaan minyak yang menjana kepentingan dan keperluan ekonomi sesebuah negara, maka kerjasama ekonomi dibentuk dengan tujuan untuk mengawal selia kestabilan harga minyak dunia. 


Kerjasama ekonomi juga dapat dilihat dengan mengadakan perjanjian “Free Trade Agreement” (Perjanjian Perdagangan Bebas) diantara negara-negara terbabit. Contohnya Malaysia telah mengecapi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan  dengan mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan negara-negara maju seperti Jepun. Jepun menjadi rakan pelabur yang utama di era Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri Malaysia. Berikut adalah senarai-senarai perjanjian yang telah dicapai oleh Malaysia melalui hubungan diplomatik:

 
 Sumber: Kementerian Perdagangan Antarabangsa


 

3.3       Aspek Pendidikan dan Pemindahan Teknologi

Ukuran kesejahteraan dan kemakmuran hasil hubungan diplomatik yang baik juga dapat dilihat dengan terdapatnya peluang-peluang melanjutkan pelajaran oleh rakyat daripada negara-negara membangun ke negara-negara maju seperti UK, Australia, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Umpamanya Malaysia telah mengorakkan langkah dengan mengadakan “Dasar Pandang Ke-Timur” oleh Tun Dr Mahathir Mohamed. Idea Dasar Pandang Ke Timur adalah bertujuan menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model kejayaan Malaysia. Apatah lagi kedua buah negara tersebut mempunyai ciri-ciri yang seakan sama dengan Malaysia iaitu lokasinya yang terletak di Asia.  Negara-negara tersebut juga adalah merupakan negara pertanian pada peringkat awalnya. Melalui evolusi pendidikan, kedua-dua buah negara tersebut telah mampu menyediakan rakyatnya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan di samping mengubah mereka menjadi lebih progresif. Apa yang menarik ialah sikap taat setia kepada negara yang menjadi sasar pembangunan di samping penghargaan kepada nilai budaya tradisional yang menjadi jati diri kepada kedua-dua bangsa di Timur Jauh itu. [11]


Melalui hubungan baik ini, Jepun dan Malaysia mendapat manafaat bersama dalam bentuk:

a)      Jepun mendapat bekalan sumber bahan mentah untuk sektor pembuatannya seperti getah, bijih timah dan petroleum;

b)   Malaysia dapat menarik minat pelabur-pelabur Jepun untuk melabur di Malaysia. Manafaatnya, Malaysia dapat meningkatkan pertumbuhnan ekonomi melalui peningkatan KDNK negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia 


Hubungan bilateral ini secara tidak langsung melatih rakyat Malaysia untuk mempelajari teknologi Jepun dan Korea Selatan untuk mencapai impian Malaysia menjadi negara maju menerusi wawasan 2020.

3.4       Aspek Membenteras Isu Keganasan

Dengan adanya hubungan diplomatik yang terjalin erat antara negara-negara di peringkat global, ianya dapat membenteras isu kegananasan. Aspek membenteras kegananasan ini telah dipromosikan oleh Amerika Syarikat bahawa keganasanan perlu dihapuskan. Dengan adanya kerjasama daripada negara-negara yang menyokong idea Amerika Syarikat tersebut ianya dapat dijayakan demi kesemalatan negara tersebut. Idea untuk menyekat kegiatan keganasan ini adalah rentetan daripada peristiwa 11 September iaitu selepas dua bangunan World Trade Center dibom oleh pengganas. Baru-baru ini adalah dilaporkan bahawa agen perisikan Amerika Syarikat telah berjaya membunuh Osama bin Laden yang dikatakan dalang disebalik peristiwa 11 September itu. Osama dikaitkan dengan keganasan sejak pemerintahan Geoge Bush Sr dan dikatakan dibunuh ketika Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat. [12] Malahan banyak negara didunia juga menikmati kesejahteraan yang sama. Negara-negara ASEAN contohnya menikmati keamanan daripada lanun ialah dengan adanya perjanjian dengan semua negara ASEAN untuk secara bersama menjaga perairan negara masing-masing daripada masalah lanun dan penceberohan oleh puak pengganas.


3.5       Aspek Menanggani Isu Imigrasi dan Aliran Tenaga Buruh Asing

Mendepani isu imigrasi diperingkat antarabangsa adalah amat rumit. Antara faktor yang menyebabkan aliran imigrasi adalah kerana tarikan peluang pekerjaan oleh negara-negara maju. Malaysia umpamanya mengalami masalah kedatangan golongan imigran yang tidak mendapat passport perjalanan yang sah ataupun imigran yang tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan. Ini termasuklah kepada warga asing terutamanya dari Indonesia dan Bangladesh yang menyalahgunakan pas perjalanan sebagai pelancong untuk bekerja di Malaysia. Masalah kedatangan warga asing tanpa permit yang sah ini dapat diselesaikan dengan wujudnya hubungan dua hala yang baik diantara kedua-dua pihak. Demi menjaga keamaanan negara, Malaysia telah mengambil pendekatan dengan berunding dengan kerajaan Indonesia bagi menanggani isu ini. [13]


4.0       Pelan Tindakan Kearah Mencapai Kemakmuran Dan Kesejahteraan Melalui Hubungan Diplomatik

Menjawab soalan bagaimanakah hubungan diplomatik dapat memakmurkan dan memberi kesejateraan kepada sistem hubungan antarabangsa, berikut ditelesuri beberapa langkah ataupun pelan tindakan yang digunapakai oleh kebanyakkan negara dapat mencapainya iaitu:


4.1       Kerjasama (Cooperation)

Pada kebiasaannya setiap negara yang ingin menjaga kepentingan nasional (national interest) umpamanya aspek keselamatan ataupun pertahanan, sesebuah negara akan berusaha untuk mempertahankan kedaulatan negaranya dengan menjaga kepentingan-kepentingan sistem pemerintahan dan rakyatnya dari digangu gugat oleh anasir luar seperti ideologi komunisme, pencerobohan ataupun dari serangan ketenteraan negara yang lebih kuat darinya[14].

Maka, bagi memastikan keselamatan negara tidak tergugat, kebanyakkan negara termasuklah Malaysia mengambil langkah dengan mewujudkan kerjasama erat dengan negara-negara jiran bagi membentuk rangka kerja dan pelan tindakan bagi semua kelompok negara ASEAN bersama-sama berganding bahu dalam menjaga keselamatan perairan, perkapalan dan pencerobohan secara bersama. [15]


4.2       Usahasama (Partnership)

Bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran dari segi ekonomi pula, terdapat banyak galakkan dan insentif-insentif yang ditawarkan oleh negara  yang ingin menrik pelaburan asing untuk melabur dinegaranya. Ruang untuk usahasama diantara syarikat-syarikat luar dan syarikat tempatan terbuka luas dengan adanya “G to G talk” (government to government talk) bagi membincangkan flexibiliti untuk perniagaan luar memasuki pasaran tempatan dengan membuka  gerbang globalisasi termasuklah isu persaingan secara terbuka daripada syarikat-syarikat bertaraf Multinational Corporation (MNCs). [16]


Bagi negara sedang membangun contohnya, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) adalah diwujudkan atas dasar semangat kerjasama diantara dua negara bagi memastikan kepentingan negara (national interest) tidak terjejas dan pada masa yang sama dapat menikmati pertumbuhan ekonomi dengan kemasukkan syarikat asing atau barangan import dipasaran tempatan supaya ianya tidak bersifat “cannibalization” iaitu apabila barangan atau syarikat asing memasuki pasaran tempatan, produk tempatan akan hilang permintaan serta syarikat tempatan tidak mampu bersaing dengan syarikat asing sehingga perniagaan tersebut terpaksa dibubarkan.   Manakala bagi negara-negara maju, usahama adalah dilihaat daripada perspektif yang berbeza. Organisasi dari negara maju sentiansa mencari alternatif untuk mencari pasaran yang lebih besar, kos buruh yang lebih murah, dan mencari negara yang mempunyai kurang sekatan pelaburan dan tarif.[17]
 

Di Malaysia banyak perniagaan berbentuk usahama dijalin seperti DRB-Hicom dan dua buah syarikat dari Jepun iaitu Kawasaki Heavy Industri Ltd dan Nissho Iwai Corporation bagi menghasilkan motosikal Modenas. 


4.3       Pakatan (Alliance)

Sejarah telah membuktikan bahawa pakatan antara negara dapat menjamin keselamatan dan kemakmuran dalam sistem hubungan antarabangsa. Menyingkap kejayaan dan peranan Bismarck dalam menjamin keselamatan Jerman iaitu selama 3 tahun berturut-turut iaitu dari tahun 1870 – 1872, Bismarck dilihat sentiasa konsisten untuk menjalin hubungan diplomasi yang baik di kalangan negara-negara Eropah terutama sekali dengan rakan sejawatnya. Beliau telah berjaya menjalin ikatan dengan William I iaitu Emperor Francis Joseph of Austria dan Czar Alexander II dari Russia. Ikatan perjanjian ini dikenali sebagai “The League of The Three Emperor”.[18]  Antara isi kandungan utama perjanjian tersebut adalah pernyataan kerjasama ketiga-tiga maharaja tersebut yang mewakili negara masing-masing untuk secara bersama bagi:

                                                        i.            mempertahankan institusi sistem pemerintahan beraja daripada ancaman revolusi sosialis dari Perancis;
                                                      ii.            untuk saling berhubung di antara satu sama lain bagi mengelakkan perbalahan di antara Russia dan Austria-Hungary berhubung dengan isu krisis di Balkan ataupun mana-mana wilayah dibawah naugan Kerajaan Uthmaniyah; dan
                                                    iii.            Ketiga-tiga maharaja tersebut bersetuju untuk mengadakan rundingan damai bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Eropah


5.0       Kesimpulan  

Kesimpulannya ialah hubungan antarabangsa adalah penting bagi sesebuah negara sama ada dari segi keselamatan, pertahanan, sosial politik, dan ekonomi. Oleh itu, sesebuah negara perlulah menjaga kepentingannya. Kita semua ingin menjalankan tugas rutin harian tanpa diganggu atau diancam oleh pihak-pihak tertentu. Begitu juga sesebuah negara perlu mengekalkan kedaulatannya serta menjamin keselamatannya daripada serangan musuh. Hal ini lebih diutamakan bagi sesebuah negara yang kecil seperti Malaysia. Kadangkala negara-negara kecil ini terpaksa mencari perlindungan daripada kuasa-kuasa besar, atau bekerjasama dengan negara lain untuk mempertahankan kepentingan bersama. Antara keperluan asas negara yang berikutnya ialah mencari sumber pendapatan. Berdasarkan hal ini, sesebuah negara perlulah menjamin kepentingan ekonomi perdagangan yang menjadi punca pendapatannya. Negara-negara yang bergantung kepada perdagangan tentu akan memelihara hubungan yang baik dengan negara-negara lain bagi memasarkan barangannya atau bagi mendapatkan bahan mentah yang diperlukannya. Oleh itu, sekiranya sesebuah negara ingin memahami dasar luar sesebuah negara, kita mesti mengetahui keperluan asas negara itu dari segi keselamatan ekonomi dan politik. Di samping itu pula, latar belakang sejarah dan kebudayaan masyarakat juga akan mempengaruhi negara terbabit menjalin hubungan antarabangsa dengan negara lain.



Bibliografi

1.      Antony Wood, Europe 1815-1960, Second Edition. 1984. Longman Group UK Limited,

2.      Chandar Muzaffar . 2007. “Politik Penguasaan Dunia & Isu Selainnya”, Selangor, Arah Publications Sdn Bhd.

3.      Diane Siegal. 2002. “Singapore’s Water Trade with Malaysia and Alternatives, (Harvard University: John F. Kennedy School of Government).

4.      H.L Peacock M.A. 1980. A History of Modern Europe 1789-1978, Six Edition, New York

5.      Juergen Kleiner. 2010. Diplomatic Practice between Tradition and Innovation. World Publishing Co. Pte. Ltd, USA

6.      Joseph S. Nye Jr. Understanding International Conflicts – An introduction to theory and history. 2007. Pearson Longman, New York

7.      Karen Mingst. 1998. Essenstials of International Relations. Norton & Company Inc, New York

8.      Keith L. Shimko. 2005. “International Relations, Perspective and Controversies”.  New York. Houghton Mifflin Company, USA

9.      Robert Jackson, George Sorensen. 2007. “Introduction to International Relations, Theories and approaches. Third Edition. Bath, United Kingdom, Oxford University Press

10.  Scott M. Cutlip, Allen H. Center, Glen M. Broom. 1999. “Effective Public Relations”. Prentice Hall International Inc.

11.  Zulkifli Mohamad Al-Bakri & Fatimah Syarna Mohd. Noordin 2008. “Palestin tak pernah gentar, fatwa kotemporari dan penyelesainya”– Sejarah Yahudi. DBP, KL


[1] Robert Jackson & Georg Sorensen. 2007. Introduction to International Relations, Theories and approaches, Third Edition. Bath, United Kingdom, Oxford University Press, hlm 2 -26
[2] Karen Mingst. 1998. Essenstials of International Relations. Norton & Company Inc, New York, hlm 14
[3] Ibid, hlm 15
[4] Buku Rekod Malaysia, Edisi Khas 1/Ghulam Jie M Khan,1977
[5] Antony Wood, Europe 1815-1960, Second Edition, Longman Group UK Limited, 1984, hlm 271

[6] Diane Siegal, Singapore’s Water Trade with Malaysia and Alternatives, (Harvard University: John F. Kennedy School of Government), hlm 7.
[7] Juergen Kleiner. 2010. Diplomatic Practice Between Tradition and Innovation. World Publishing Co. Pte. Ltd, USA, hlm 100
[8] Zulkifli Mohamad Al-Bakri & Fatimah Syarna Mohd. Noordin 2008. “Palestin tak pernah gentar, fatwa kotemporari dan penyelesainya”– Sejarah Yahudi, hlm 27
[9]Joseph S. Nye Jr. Understanding International Conflicts – An introduction to theory and history. 2007. Pearson Longman, New York, hlm 59
[10] Ibid, hlm 195
[11] Ahmad Sohaim Lazim, Pengaruh Jepun Terhadap Bidang Pendidikan di Tanah Melayu (Malaysia) 1941-1990-an, hlm 1 - 24
[12] Utusan Malaysia 5hb May 2011
[13] Dasar Luar Negara  – Kementerian Luar Malaysia
[14] Alan C. Lamborn. Joseph Lepgold. 2003. World Politics Into Twenty First Century. Pearson Education Inc. New Jersey, hlm 93
[15] ASEAN website
[16] Karen Mingst. 1998. Essenstials of International Relations. Norton & Company Inc, New York, hlm 213
[17] Ibid, 213
[18] H.L Peacock. 1980. A History of Modern Europe 1789-1978,  Six Edition, New York, hlm 193-194


No comments:

Post a Comment