Pages

Wednesday 2 January 2013

Kaedah Bermain Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran Kanak-Kanak Pra-Sekolah - Satu Tinjauan Di Taska “TM Dynamic Kids”, Menara TM, Kuala lumpur


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم




Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti penerapan konsep pembelajaran melalui kaedah bermain dan melihat implikasinya terhadap motivasi pembelajaran ke atas kanak-kanak pra- sekolah. Kaedah bermain yang betul dan berkesan mampu melahirkan generasi yang kreatif untuk negara dan bangsa. Banyak negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Sweeden, Jepun, United Kingdom, Singapura, Australia dan Korea Selatan memberi penekanan dalam sistem pendidikan pra-sekolah untuk menyemai kreativiti kanak-kanak sebagai persediaan untuk mereka sebelum memasuki alam persekolahan secara formal. Negara-negara maju yang disebut di atas terutamanya Amerika Syarikat berusaha melahirkan sumber manusia kreatif yang mampu mengangkat martabat dan “dignity” bangsa itu sendiri. Ramai dikalangan pakar-pakar sains pemikiran kreatif seperti Amabile (1992), Swartz (1989), Buzan (2002), de Bono (1971), Leong (1978) dan ramai lagi menyifatkan bahawa institusi pendidikan pra-sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk memupuk kreativiti melalui proses bermain secara berkesan di kalangan kanak-kanak. Selanjutnya, kajian ini mencadangkan bahawa pendidikan awal kanak-kanak pra-sekolah sangat memerlukan perkitaran dan motivasi yang amat signifikan bagi merealisasikan bakat, kemahiran dan kreativiti kanak-kanak.  Oleh yang demikian, kajian yang bersifat konseptual ini mengupas kaedah dan teknik-teknik bermain yang spesifik dan berkesan ke atas kanak-kanak pra-sekolah serta melihat implikasinya ke atas perkembangan potensi kanak-kanak semasa proses pembelajaran yang boleh mewujudkan komponen-komponen kreativiti, kemahiran berfikir, kemahiran berkomunikasi, kemahiran bersosial, memupuk sikap positif sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah.

Kata kunci: aktiviti bermain, pendidikan pra-sekolah, motivasi pembelajaran


1.0       Pengenalan
Menurut Nurul Huda Yusuf, beliau berpendapat bahawa pendidikan merupakan suatu perkara penting yang menjadi asas kepada penentuan jalan hidup seseorang. Cara didikan yang diterima oleh seseorang itu pastinya akan mencorakkan cara berfikir dan tingkah lakunya. Oleh itu pendidikan merupakan suatu aspek yang amat penting dan perlu diberikan perhatian khusus agar seseorang itu dapat dibentuk menjadi insan yang sebaik-baiknya. Pendidikan atau disebut tarbiyyah di dalam bahasa Arab merupakan satu elemen yang bukan sahaja melibatkan fizikal bahkan turut menekankan aspek-aspek lain seperti rohani dan akal. Ia merupakan gabung jalin setiap unsur yang terdapat pada diri manusia yang seterusnya akan memberikan kesan pada tingkah dan perlakuan seseorang. [1]

Menurut Caplan dan Caplan, bermain sebagai penentu penting bagi perkembangan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, perkembangan sosial dan intelek di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal, koordinasi dan ketangkasan seseorang murid. Permainan juga dapat memberi pengalaman tentang keadilan, peraturan-peraturan dan kesamaan serta memperkuatkan kebolehan berfikir dalam pelbagai cara. Sebagai contoh, aktiviti fizikal yng dilakukan di dalam kelas. Melalui permaian yang melibatkan perlumbaan misalnya. [2]

Pendapat di atas turut disokong oleh Sharifah Nor Puteh dan Aliza Ali. Menurut mereka, aktiviti bermain adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak dan kanak-kanak bermain dengan pelbagai cara. Kanak-kanak belajar kemahiran tentang dunia disekeliling mereka dengan efektif melalui bermain. Keupayaan kanak-kanak memahami dunia sekelilingnya semakin meningkat melalui bermain. Sebaik sahaja kanak-kanak memahami konsep baharu dan melakukannya secara berulang-ulang semasa bermain, mereka kemudiannya menguasai konsep pada peringkat seterusnya. [3]

Daripada semua pendapat yang telah dibahaskan di atas oleh tokoh-tokoh yang relevan dengan pendidikan awal kanak-kanak, penulis berpendapat bahawa belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa. 


1.1       Pernyataan Masalah Kajian
Ramai ibubapa sering mengajukan soalan, "Mengapa anak-anak di peringkat awal asyik bermain sahaja dan apabila diminta membaca buku mereka cuba menolak?" Di kalangan ibu bapa yang kurang memahami perkembangan dan sifat semulajadi kanak-kanak menganggap bermain hanya sia-sia dan membuang masa sahaja. Sebenarnya sifat naluri semula jadi kanak-kanak suka bermain. Pada peringkat ini mereka suka meneroka, ingin tahu dan masih di alam fantasi. Dengan bermain pelbagai persoalan di dalam kepala mereka akan terjawab. Sebagai guru, ibu bapa ataupun siapa sahaja perlu tahu sifat kanak-kanak peringkat prasekolah. Antaranya adalah:

a.       Suka bertanya
b.      Suka meniru
c.       Suka mencuba
d.      Suka bermain
e.       Suka pada ulangan
f.       Suka memerhati
g.      Suka berimaginasi
h.      Suka menunjuk-nunjuk
i.        Suka meneroka


1.2       Objektif Kajian
Antara objektif kajian ini ialah:

1.2.1    Mengenal pasti kaedah atau metodologi pendidikan anak dalam Islam berdasarkan kaedah bermain sambil belajar;

1.2.2    Menjelaskan aspek-aspek penting yang perlu diterapkan di dalam proses pendidikan anak-anak prasekolah

1.2.3   Mengenalpasti kecenderungan dan kemahiran guru-guru taska dalam mengaplikaskan kaedah bermain berkesan semasa proses pendidikan terhadap kanak-kanak prasekolah


1.3       Persoalan Kajian
Persoalan kajian yang ditimbulkan adalah:

1.3.1    Apakan metodologi pendidikan yang diajarkan di taska TM Dynamic Kids?

1.3.2  Apakah aspek-aspek penting yang perlu diberikan penekanan dalam proses pendidikan bermain secara berkesan terhadap kanak-kanak prasekolah?

1.3.3   Sejauh manakah kakitangan dan guru-guru TM Dynamic Kids mengetahui metodologi pendidikan secara bermain secara berkesan terhadap kanak-kanak dan adakah mereka mengaplikasikannya?


1.4       Metodologi Kajian
1.4.1    Data
Data yang digunakan dalam penelitian kajian ini meliputi data primer dan data sekunder.

a.       Data primer diperolehi dengan menggunakan cara mengadakan wawancara dengan individu yang relevan bagi kajian ini iaitu Pn Basiroh Zainol selaku Pengetua Taska TM Dynamic Kids, Menara TM, Kuala Lumpur.  

b.      Data sekunder diperolehi dari penyelidikan perpustakaan. Pemerhatian dan penelitian dibuat ke atas laporan-laporan akhbar, buku-buku rujukan dan juga kajian-kajian yang telah lepas dengan menggunakan teknik dokumentasi iaitu menggunakan cara pengumpulan data dengan melakukan susunan (sorting) dengan mengkategorikan isu yang dibincangkan untuk diteliti dan diulas. Sebagaimana yang disebut di atas, data-data yang telah disusun, penulis akan membuat penelitian dan pengolahan serta analisis perbandingan terlebih dahulu sebelum penulis membuat cadangan dan kesimpulan 


1.4.2    Sampling
Dalam menentukan halatuju sesebuah kajian ini, penulis menggunakan metode sampling dalam penentuan subjek penelitian yang telah dikenal pasti ialah Taska TM Dynamic Kids, di lokasi Menara TM, Kuala Lumpur. Penelitian dibuat dalam masa 5 hari yang berlasung dari 26hb November – 30hb November 2012.



2.0       Perbincangan Kajian
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Pendidikan awal kanak-kanak merupakan perkara penting untuk membentuk corak pembelajaran masa hadapan yang lebih baik dan seimbang. Justeru itu, pendidikan awal kanak-kanak mempunyai sejarah yang panjang dan perkembangannya berterusan sehingga ke hari ini. Pengetahuan berkaitan sejarah pendidikan awal kanak-kanak dapat membantu pendidikan dalam melaksanakan amalan-amalan baik dari sejarah lampau dan mengambil kira pandangan dari tokoh-tokoh kurikulum lampau untuk menghasilkan pembelajaran bermakna. Maka perubahan dalam pendidikan awal kanak-kanak adalah dipengaruhi oleh perubahan dalam kurikulumnya.[4]

Pendidikan awal kanak-kanak dan juga Pra-sekolah merupakan peringkat formatif dalam perkembangan kanak-kanak. Atas dasar tersebut, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh banyak pihak dengan melaksanakan pelbagai agenda dan program yang sesuai untuk kanak-kanak dari peringkat usia 0 hingga 6 tahun. Hal ini bertujuan menggerakkan pemikiran dan juga minda serta meningkatkan kreativiti berbentuk kemahiran di samping membina akhlak yang baik bagi golongan kanak-kanak. Melalui kewujudan pelbagai program khusus untuk kanak-kanak, pembangunan minda, penyuburan fizikal, pengukuhan kestabilan emosi dan persediaan untuk hidup bermasyarakat di kalangan kanak-kanak dapat diterapkan. Berikutan itu, muncul satu fenomena iaitu kehadiran berbagai pihak dan agensi sama ada kerajaan, swasta mahupun persendirian untuk mengendalikan pusat pendidikan awal kanak-kanak dan juga Pra-sekolah. Dengan kewujudan pelbagai model Prasekolah, tidak mustahil jika dikatakan akan wujud pula paradigma 'rumah satu, tiang seribu atau infiniti' disebabkan kepelbagaian ragam pendekatan dan kurikulum yang digunakan di institusi yang terlibat. Antara program asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang paling sinonim adalah Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), Taman Bimbingan/Didikan Kanak-kanak (TABIKA/TADIKA) atau prasekolah dan juga Kumpulan Kanak-kanak Kurang Bernasib-baik diwujudkan oleh pelbagai agensi yang terlibat.[5]


2.1       Apa Definisi Bermain?
Menurut George S. Morrison, bermain adalah satu aktiviti semulajadi dan keperluan bagi setiap kanak-kanak. Mereka belajar dan meneroka melalui bermain kerana imaginasi mereka yang tinggi dan sejak mereka bayi lagi mereka sudah cenderung untuk memanipulasikan anggota badan mereka sendiri. [6]

Menurut Joan Packer Isenberg dan Mary Renck R. Jalongo, bermain adalah satu aktiviti yang simbolik dan memberi makna kepada kanak-kanak, aktif serta bebas untuk meneroka dan menjelajah persekitarannya, mendapat keseronokan dan segala undang-undang permainan kanak-kanak yang tentukan sendiri dengan aktiviti mereka main.[7]

Manakala Rubin, Fein dan Vendenberg mendefinisikan takrifan bermain ialah permainan mempunyai beberapa faktor disposisi yang boleh membezakan main dengan tingkah laku atau aktiviti yang lain. Iaitu main merupakan suatu yang dimotivasikan secara mendalam, fokus aktiviti main adalah proses aktiviti itu sendiri dan bukan hasil atau aktiviti tersebut. Permainan adalah satu aktiviti bebas dari peraturan luaran bukanlah satu tugas yang dipaksa, permainan menentukan penglibatan diri individu secara aktif, permainan selalu melibatkan kesan perasaan positif seperti gembira dan seronok yang selalu disertai dengan gelak ketawa dan main juga mempunyai ciri-ciri imaginasi, simulatif, pura-pura dan olok-olok. [8]

Rubin, Fein dan Vendenberg juga turut menerangkan bahawa bermain adalah satu bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk melahirkan perasaan dan punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan. Mereka menyatakan kanak-kanak bermain dengan di arah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambilkira tujuan bermain. Semasa bermain, mereka, bebas dari segala peraturan. Melalui permainan, kanak-kanak mendapat tingkah laku yang baru. Kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan secara aktif. [9]

Daripada semua definisi yang telah dihuraikan di atas, penulis berpendapat bahawa bermain adalah satu proses semula jadi dan spontan. la adalah aktiviti kanak-kanak yang dapat menghasilkan pengalaman, pembelajaran dan kemahiran. Bermain membolehkan kanak-kanak melakukan aktiviti yang kreatif. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, bermain adalah suatu keperluan. Melalui bermain kanak-kanak dapat belajar pelbagai perkara dan isi dikenali sebagai pembelajaran tidak formal. Melalui bermain juga akan boleh memupuk rasa kegembiraan di kalangan kanak-kanak yang juga boleh mempengaruhi kanak-kanak terbabit untuk berfikir, berkomunikasi, bergaul, bersosial, berkongsi, berfantasi dan berimaginasi di dalam pembelajaran.


2.2       Bermain Di Dalam Islam
Dahulu Nabi SAW sering bermain dan bergurau senda dengan Zainab anak Ummu Salamah. Baginda memanggilnya dengan panggilan “Wahai Zuainab” yang bermaksud “Zainab kecil” berulang-ulang. [10]

Ibnu Abbas melaporkan, Abbas mengangkat puteranya yang bernama Qutsam lalu meletakkannya di atas dadanya sambil berkata, “Qutsam menyerupai sang pemilik hidung mancung”. “Nabi adalah sang pemilik nikmat yang banyak, tanpa mengira apa kata orang”.[11]

 Abu Bakar mengajak Hasan bermain dan bergurau mengikut apa yang dilakukan Nabi. Fatimah turut melakukan hal yang sama dengan mengajak Hasan bermain. Bapa saudara Nabi, Abbas turut tidak mahu ketinggalan. Dia mengajak Qutsam bermain dan mendendangkan lagu untuknya dengan tujuan mendapat kebaikan dan keberkatan mengikut contoh Nabi. [12]

Imam Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan sebuah hadith, pada suatu hari Rasulullah SAW telah terpandang beberapa orang wanita dan kanak-kanak  sedang menyambut dan meraikan majlis perkahwinan. Baginda berkata kepada mereka: “Demi Tuhan, kamu adalah orang yang paling aku kasihi”. Baginda ulangi kata-kata ini sebanyak tiga kali. [13]

Hadith Nabi SAW tadi sebenarnya berkisar tentang kaum wanita dan kanak-kanak yang sedang bergembira dengan sebuah majlis perkahwinan. Mereka bergurau dan bersuka ria bersama keluarga kedua belah pengantin. Perbuatan mereka ini disenangi oleh Rasulullah SAW.[14]

Berdasarkan hadith-hadith di atas, penulis melihat bahawa Nabi SAW menegaskan kepada ibubapa dan pendidik akan kepetingan bermain dan bergurau dalam proses pendidikan. Para ibubapa dan pendidik tidak boleh memarahi kanak-kanak kecil yang dalam memang secara fitrahnya suka bermain, ceria, suka bertanya, suka meneroka dan berimaginasi serta berfantasi ketika mereka masih kecil. 


2.3       Istilah Pendidikan Pra-Sekolah
Istilah prasekolah atau tadika (terdapat nama-nama popular lain seperti taska, taski, pasti dan sebagainya) digunakan dengan meluas di Malaysia bagi merujuk pendidikan awal kanak-kanak.[15]

Pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif  sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.[16]

Pendidikan awal kanak-kanak yang berkesan memerlukan kurikulum yang universal, terancang dan dapat memenuhi keperluan murid semasa. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan merangkumi aspek-aspek yang diperlukan dalam perkembangan kanak-kanak yang universal iaitu perkembangan bahasa dan komunikasi, perkembangan kognitif, kerohanian dan moral, sosioemosi, fizikal dan kreativiti dan estetika. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan memberi penekanan kepada komponen Bahasa dan Komunikasi sebagai usaha untuk meningkatkan literasi murid dalam bahasa, kemahiran berinteraksi dan komunikasi serta membina keyakinan murid menghadapi pelbagai cabaran dalam
era globalisasi dunia. [17]


2.3       Fungsi Bermain Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Muhamad Husain menerangkan di dalam bukunya “Teknik Terbaik Mendidik Anak” bahawa cara bermain kanak-kanak ada bermacam aspek. Ada kanak-kanak yang suka bermain permainan yang memerlukan kepintaran dan ini menunjukkan tahap kecerdasan mereka. Ada juga kanak-kanak yang suka bermain atau berkawan mengikut kesesuaian jantina mereka, iaitu lelaki lebih gemar bermain dengan rakan lelakinya dan jenis permainan mereka lebih menghala kepada sifat kelelakian itu sendiri iaitu kasar dan keras. Dan kanak-kanak perempuan lebih gemar bermain bersama-sama rakan-rakan mereka yang perempuan dan jenis permainan mereka pula sudah tentu lebih mencerminkan sifat keperempuanan mereka yang lemah lembut. [18]

Sharifah Nor Puteh dan Aliza Ali di dalam kajian mereka mendapati bahawa melalui bermain, kanak-kanak berpeluang melakukan aktiviti yang bermakna yang dapat memupuk perkembangan bahasa, kognitif, sosial, dan fizikal. Kanak-kanak juga boleh mempelajari tentang diri mereka sendiri dan individu lain. Menurut mereka lagi, pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak percaya bahawa bermain adalah cara terbaik bagi kanak-kanak mempelajari konsep kemahiran yang kemudiannya akan digunakan untuk mempelajari perkara-perkara yang baru pada masa akan datang. [19]

Menurut Surayah Zaidon, tahap perkembangan kanak-kanak berlaku dengan pesat pada lingkungan umur empat hingga 6 tahun. Beliau menyebut kajian Bloom membuktikan 80% kecerdasan seseorang individu pada usia 18 tahun terbina pada peringkat umur prasekolah. Pada usia ini kanak-kanak bertindak aktif kepada rangsangan, berinteraksi bebas dengan orang sekeliling dan peka kepada keadaan sekeliling. Sehubungan dengan itu, adalah sangat penting kanak-kanak mengalami pengalaman pembelajaran prasekolah yang berkesan, bermakna dan menggembirakan supaya kanak-kanak dibekalkan dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap positif sebelum memasuki alam persekolahan formal. [20]

Pendapat Surayah ini penulis harmonikan dengan hasil kajian Mohd Azhar dan Othman A. Kassim. Iaitu aktiviti bermain bukan sahaja dapat mewujudkan komponen perkembangan fizikal kanak-kanak malah ianya membolehkan kanak-kanak berfikir secara kreatif. Penulis bersetuju dan menyokong hasil kajian Mohd Azhar dan Othman A. Kassim di dalam kertas kerja mereka yang mendapati bahawa sifat-sifat kreatif memang telah wujud secara semulajadi pada zaman kanak-kanak prasekolah yang mana ianya membantu membentuk pola mereka berfikir secara inovatif dan kreatif ketika dewasa.

Mereka telah meringkaskan istilah kreatif dan kreativiti digunakan untuk menggambarkan produk sosial yang dihasilkan. Umumnya antara kreativiti yang boleh difahami dengan pengertian di bawah[21]:

§  Melakukan sesuatu dengan cara yang unik
§  Seseorang itu akan keluar daripada pola yang sama
§  Berfikir di luar kotak
§  Melihat sesuatu daripada perspektif yang baru
§  Mengabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukan idea baru
§  Membuka minda dengan idea-idea yang baru
§  Berfikir secara fleksibel
§  Mencabar andaian
§  Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi

Mohd Azhar dan Othman A. Kassim juga turut mencadangkan agar para pendidik pada peringkat prasekolah menekankan pengetahuan dan aplikasi kreativiti dalam pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran. Ini akan dapat menyuburkan budaya kreativiti di dalam membina sesebuah masyarakat yang kreatif dan berinovasi.

Pada pendapat penulis, kreativiti dikalangan kanak-kanak prasekolah dapat dirangsang melalui aktiviti bermain. Oleh kerana bermain merupakan fitrah kanak-kanak, maka peranan guru sebagai fasilitator di taska amat penting untuk mendidik, memandu dan memantau aktiviti bermain kanak-kanak agar ianya boleh membentuk kemahiran bersosial dan kemahiran berinovasi.



3.0       Hasil Kajian
Di dalam bab ini, penulis akan membentangkan dapatan kajian hasil daripada temubual dengan Puan Basiroh Zainol iaiti Pengetua TM Dynamic Kids, Menara TM. Hasil temubual dengan beliau adalah seperti berikut:

Di taska TM Dynamic Kids ini terdapat 120 orang kanak-kanak yang terdiri daripada peringkat umur daripada 1 tahun (bayi) hingga 6 tahun dengan seramai 16 orang tenaga pengajar terlatih.  Pihak pengurusan TM Dynamic Kids menyediakan modul pendidikan bermula seawal umur 2 tahun lagi sebagai asas kepada kanak-kanak mengenal bunyi, warna, bentuk dan huruf. Kanak-kanak yang berumur 2 tahun akan di dedahkan untuk menggunakan pensil warna dan kertas sebagai asas untuk menguatkan motor kecil kanak-kanak disamping untuk membiasakan kanak-kanak tersebut untuk menggunakan pensil, pensil warna kertas dan pemadam. Teknik pembelajaran yang digunakan adalah belajar sambil bermain. Namun begitu, bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun, kaedah membaca untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Qira’ati adalah ditekankan supaya kanak-kanak yang berumur dilingkungan umur tersebut boleh membaca sebagai persediaan sebelum mereka memasuki alam persekolahan formal.

Menurut Puan Basiroh menjelaskan bahawa teknik pembelajaran melalui bermain adalah sangat penting bagi peringkat kanak-kanak prasekolah kerana bermain adalah sesuai dengan fitrah kanak-kanak terbabit. Kanak-kanak tidak boleh dimarahi jika mereka bermain kerana ianya akan merencatkan emosi kanak-kanak terbabit. Sebaliknya, jika kanak-kanak membuat kesalahan, pada peringkat umur ini, mereka perlu ditegur dengan memberi hujahan (reasoning) mengapa sesuatu larangan itu dibuat. Contohnya apabila kanak-kanak mengoyakkan kertas, pihak guru akan hanya memantaunya sahaja kerana aktiviti tersebut akan dapat membantu kanak-kanak memperkuatkan motor halusnya. Namun jika kanak-kanak terbabit mengoyakkan kertas guru, sebaik-baiknya kita katakan kepada murid terbabit bahawa kertas ini tidak boleh dikoyakkan kerana ianya kepunyaan guru. Ujarnya lagi, terdapat 4 faedah daripada teknik permainan di dalam kaedah pembelajaran iaitu:

a)      Kognitif 
Kaedah ini dapat membina daya pemikiran dan kepintaran kanak-kanak

b)     Motor
Dapat memperkuatkan motor halus dan motor kasar kanak-kanak terbabit

c)      Sosio-emosi
Dapat membentuk dan membina keyakinan kanak-kanak dalam aspek bercerita, menyanyi, menari dan penglibatan mereka untuk bersosial dengan rakan sebaya

d)     Seni dan grafik
Kanak-kanak dapat menterjemahkan perasaan dan pengalaman mereka melalui corak dan warna ketika melukis  


Di TM Dynamic Kids, pihak guru menggunakan modul pengajaran yang berkonsepkan cara pendidikan Rasulullah SAW. Di tanya apakan konsep tersebut, Puan Basiroh menjelaskan bahawa baginda Nabi SAW tidak pernah memarahi kanak-kanak dan sentiasa bersifat lemah lembut semasa proses pentarbiahan kanak-kanak terutama terhadap cucuanda baginda SAW. Tambah beliau lagi, pada setiap hari iaitu ketika perhimpunan pelajar, kanak-kanak akan di dedahkan dengan bacaan surah Yassin. Apabila kanak-kanak terbabit mencecah umur 6 tahun, mereka sudah boleh membaca surah Yassin malah ada dikalangan mereka yang sudah boleh menghafaz ayat 1 – 15 surah tersebut.

Setiap kanak-kanak perlu diberi penghargaan. Penghargaan adalah penting dalam membentuk sosio-emosi kanak-kanak. Menurut beliau lagi di TM Dynamic Kids terdapat 3 jenis penghargaan yang diberi sebagai ganjaran kepada kanak-kanak prasekolah iaitu:

a)      Penghargaan berbentuk pujian (seperti: awak bagus, awak cemerlang, lihat seperti Ali, dll)
b)      Penghargaan berbentuk penganugerahan bintang (jika murid dapat menjawab soalan dengan baik, maka murid tersebut akan diberi 1 bintang dsb)
c)      Penghargaan berbentuk hadiah (seperti pensil, pemadam dll)

Penghargaan akan dapat meningkatkan “self-esteem” kanak-kanak di dalam kelompok sosialnya. Namun, bagi kanak-kanak yang kurang cergas, ujar beliau lagi, pihak guru juga akan turut memberi penghargaan tetapi ianya akan dilakukan diluar aktiviti. Ini adalah untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak rendah moral mereka untuk turut serta aktiv di dalam aktiviti pembelajaran.

Aktiviti-aktiviti luar (outdoor) juga telah dirancang umpamanya setiap hari Rabu, kanak-kanak yang berumur 5 – 6 tahun akan dilatih untuk mengikuti kelas renang di Bangsar. Aktiviti berenang akan mengembirakan kanak-kanak kerana kanak-kanak suka permainan yang berkaitan dengan air. Selain daripada itu, ianya adalah satu-satunya sukan yang boleh menggerakkan seluruh tubuh badan manusia.

Selain daripada itu, lawatan sambil belajar ke perpustakaan juga telah diatur bagi mendedahkan kanak-kanak prasekolah dengan buku-buku, memupuk perasaan suka membaca dan cintakan buku.   Ini kerana ujar beliau lagi, apabila kanak-kanak menjejakkan kaki ke bangku sekolah, mereka sudah terbiasa dengan perpustakaan yang mana perpustakaan adalah pusat sumber untuk murid-murid membaca buku dan meminjam buku.



4.0       Cadangan
Daripada hasil kajian di bab 3.0 di atas, penulis ingin mencadangkan beberapa idea bagi membantu perkembangan pembelajaran kanak-kanak prasekolah untuk pihak TM Dynamic Kids pertimbangkan. Antaranya ialah:

a)      Mengadakan Portfolio Bagi Setiap Kanak-Kanak
Guru adalah dicadangkan untuk mengadakan portfolio bagi setiap kanak-kanak yang belajar di taska. Setiap hasil kerja kanak-kanak seperti melukis, mewarna perlu dikumpulkan secara kronologi di mana setiap semakan yang dilakukan oleh guru perlu mempunyai tarikh. Ini akan membolehkan setiap pencapaian kanak-kanak dinilai dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Guru juga boleh membuat perbandingan seseorang kanak-kanak dengan kanak-kanak rakan sebaya yang lain berasaskan portfolio. Kanak-kanak tidak boleh dinilai dengan membandingkan pencapaian mereka dengan kanak-kanak yang lain.

b)     Mengajar Peralatan Teknologi ICT Pada Peringkat Kanak-Kanak
Kanak-kanak perlu didedahkan dengan penggunaan teknologi ICT seperti komputer atau iPad pada peringkat prasekolah. Pendedahan awal kepada kanak-kanak pada peringkat awal pendidikan akan membantu mereka menggunakan aplikasi komputer sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan. Contohnya, guru boleh menjadi fasilitator kepada kanak-kanak prasekolah tentang bagaimana untuk membuat kad ucapan sempena hari raya, hari ibu, hari bapa atau hari guru. Kanak-kanak boleh didedahkan menggunakan kreativiti mereka dengan menggunakan perisian komputer untuk mencipta kad-kad ucapan yang cantik dan kreatif.

c)      Menggalakkan Permainan Fantasi
Salah satu cara paling berkesan untuk kanak-kanak belajar dan mempraktikkan kemahiran imaginasi mereka adalah melalui permainan fantasi. Guru hendaklah merancang dan memantau permainan ini agar kanak-kanak prasekolah melakukankan secara spontan. Permainan cara fantasi ini boleh menggunakan peralatan ataupun tanpa peralatan dan ianya mesti dilakukan dengan menggunakan imaginasi kanak-kanak. Semasa permainan secara fantasi ini berlangsung, kanak-kanak sebenarnya akan berupaya menggambarkan sesuatu karakter dalam sesuatu situasi. Mereka akan menggunakan memek muka, gaya, lontaran suara untuk mengambarkan imaginasi mereka. Dengan cara ini, kanak-kanak juga berupaya mentransformasikan idea imaginasi mereka menjadi kreatif.

d)     Menggalakkan Permainan Mengikut Peraturan
Guru-guru digalakkan memperkenalkan permainan yang mempunyai peraturan. Melalui permainan begini, kanak-kanak akan dapat didik untuk mematuhi peraturan, menyesuaikan diri, dan membolehkan mereka menyelesaikan masalah. Permainan seperti dam, catur, kad dan monopoli mengajar kanak-kanak bahawa setiap individu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. Permainan sebegini dapat membantu kanak-kanak memahami konsep-konsep peraturan dan perlunya mematuhi undang-undang.




5.0       Kesimpulan
Bermain bagi kanak-kanak adalah merupakan satu fitrah yang tidak boleh dihalang. Dengan bermain, seseorang kanak-kanak itu boleh menggerakkan seluruh anggota tubuh badannya. Pergerakkan tubuh badan ini amat baik sekali semasa proses tumbesaran kanak-kanak kerana ianya merangsang pergerakan psiko-motor dan kognitif kanak-kanak terbabit. Apabila berlakunya pergerakan psiko-motor, peredaran darah menjadi lancar, menguatkan kekuatan kardivaskular dan menguatkan otot-otot. Dengan aktiviti bermain juga dapat melahirkan kanak-kanak yang ceria, gembira, mendapat kepuasan hasil daripada aktiviti bermain. Oleh kerana bermain merupakan fitrah kanak-kanak, maka para pendidik dan ibu bapa perlu meraikan fitrah mereka ini sebagai satu proses pembelajaran dalam aspek fizikal, mental, sahsiah dan akhlak kanak-kanak terbabit.  






[1]Nurul Huda Wan Jusuh,  Metodologi Pendidikan Anak Menurut Surah Luqman, UTM, 2011, hlm 1
[2] Caplan and Caplan, Children's Hero Play Of The 20th Century: Changes Resulting From Television's Influence, Child Study Journal; Jun 1991, Vol. 21 Issue 2, hlm 79
[3] Sharifah Nor Puteh dan Aliza Ali, Pendekatan Bermain Dalam Pengajaran Bahasa Dan Literasi Bagi Pendidikan Prasekolah, hlm 3
[4] Nur Syairah Ayob, Transformasi Kurikulum Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris, hlm 8
[5] Mohd Faiz B. Mohd Rais, Nik Mahadi B. Nik Mat, Noralina Bt Samsudin, Nor Arini Bt. Rodzi, Wong Chit Trai, Sejarah Perkembangan Asuhan Dan Pendidikan Awal Kanak – Kanak Di Malaysia, Idris,
[6] George S. Morrison , Early Childhood Education Today (12th Edition), hlm 86
[7] Joan Packer Isenberg dan Mary Renck R. Jalongo, Creative Expression and Play in Early Childhood,
[8] Rubin, K.H & Watson, K.S, Free Play Behaviors In Preschool and Kindergarten Children, Society for Research in Child Development, hlm 49
[9] Ibid, hlm 534 - 536 
[10] Lihat Hadith Riwayat Imam Ahmad,  No. 6/9,391,392)
[11] Lihat Hadith Riwayat Abu Dawud , No. 5105)
[12] Ibid
[13] Muhamad Husain, Teknik Terbaik Mendidik Anak, hlm 192
[14] Ibid
[15] Mohd Azhar b Abd Hamid & Othman b. Kassim, Pemurniaan Kreativiti Dalam Pendidikan Prasekolah Sebagai Asas Pembinaan Bangsa Malasyai Kreatif: satu Kupasan Awal, Jurnal Kemanusiaan, hlm 35
[16] Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, hlm 3
[17] Ibid
[18] Muhamad Husain, Teknik Terbaik Mendidik Anak, hlm 89
[19] Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali, Pendekatan Bermain Dalam Pengajaran Bahasa Dan Literasi Bagi Pendidikan Prasekolah, hlm 3
[20] Surayah Zaidon, Satu Tinjauan Literatur Penggunaan Portfolio Kanak-Kanak Prasekolah, hlm 163
[21] Mohd Azhar b. Abd Hamid & Othman A. Kassim, Pemurnian Kreativiti Dalam Pendidikan Prasekolah Sebagai Asas Pembinaan Bangsa Malaysia Yang Kreatif: Satu Kupasan Awal, hlm 31 - 31






Rujukan

Buku

1.      Al-Quran dan terjemahan

2.      Abdul Mun’im Ibrahim, Mendidik Anak Perempuan, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2012

3.      Muhamad Husain, Teknik Terbaik Mendidik Anak, Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur, 2004

4.      George S. Morrison , Early Childhood Education Today (12th Edition), Pearson, New Jersey, 2011

5.      Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001

6.      Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid, Didik Anak Cara Rasulullah SAW, Klang Book Centre, Kuala Lumpur, 2006

7.      Rubin, K.H & Watson, K.S, Free Play Behaviors In Preschool and Kindergarten Children, Society for Research in Child Development, 1978


Jurnal/Laporan

1.      Abdul Ghani Abdullah & Tang Keow Ngang, Motivasi Guru dan Pengurusan Budaya Kolaboratif Pengurus Pendidik Wanita, Jurnak Pendidikan, 31 (2006) 97-105

2.      Ahmad Zabidi Abdul Razak, Ciri Iklim Sekolah Berkesan : Impilikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran, Jurnal Pendidikan, 31 (2006) 3-19

3.      Mohd Azahar b. Abd Hamid & Othman b. A. Kassim, Pemurnian Kreativiti Dalam Pendidikan Pra-Sekolah Sebagai Asas Pembinaan Bangsa Malaysia Yang Kreatif: Satu Kupasan Awal, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Jurnal Kemanusian

4.      Mohd Faiz B. Mohd Rais, Nik Mahadi B. Nik Mat, Noralina Bt Samsudin, Nor Arini Bt. Rodzi, Wong Chit Trai, Sejarah Perkembangan Asuhan Dan Pendidikan Awal Kanak – Kanak Di Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2009

5.      Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali, Pendekatan Bermain Dalam Pengajaran Bahasa Dan Literasi Bagi Pendidikan Prasekolah, Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, Vol 2, Bil 2, Universiti Kebangsaan Malaysia, November 2011

6.      Nur Syairah Ayob, Transformasi Kurikulum Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2010

7.      Nurul Huda Wan Jusuh,  Metodologi Pendidikan Anak Menurut Surah Luqman, Fakulti Pendidikan (Pengajian Islam) Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, 2011

8.      Surayah Zaidon, Satu Tinjauan Literatur Penggunaan Portfolio Kanak-Kanak Pra-sekolah, Jabatan Bahasa, Maktab Perguruan Islam, Bangi, Selangor



No comments:

Post a Comment