السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه
وسلم:
(( كُلُّ سُلاَمَى
مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ :تَعْدِلُ بَيْنَ الاِثْنَيْنِ
صَدَقَةٌ وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِى دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ
تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ
وَكُلُّ خَطْوَةٍ تَمْشِيهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ وَتُمِيطُ الأَذَى عَنِ
الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ )). ]متفق عليه[
Daripada
Abu Hurayrah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sendi anggota badan manusia (boleh) bersedekah setiap hari mula
dari terbit matahari : Engkau
mendamaikan antara 2 orang (yang sedang
bertelagah) adalah suatu sedekah, engkau menolong seseorang pada binatangnya
dengan mengangkatnya ke atas binatang tersebut atau menolong mengangkat
barangnya adalah sedekah, bercakap perkataan yang baik juga adalah sedekah,
setiap langkah yang engkau berjalan ke masjid untuk solat (berjemaah) adalah
sedekah, dan engkau membuang sebarang benda yang menyakitkan di jalan juga
adalah sedekah.”
[Muttafaqun ‘alayh, Lafaz daripada Muslim (2382)]
Di dalam
riwayat lain daripada Abu Zar RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
((
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ
وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ
صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ
وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى )). ]رواه مسلم[
“Pada setiap pagi, setiap sendi anggota badan seseorang kamu
adalah sedekah. Maka setiap ucapan tasbih adalah sedekah, setiap ucapan tahmid
adalah sedekah, setiap ucapan tahlil adalah sedekah, dan setiap ucapan takbir
adalah sedekah. Menyeru kepada perkara yang ma’ruf adalah sedekah dan mencegah
kemungkaran juga adalah sedekah. Dan akan memadai nilai sedekah semua amalan
itu dengan menunaikan 2 rakaat solat
Dhuha.” [HR Muslim (1704)]
Pengajaran
Hadith:
1. Rasulullah
SAW menggalakkan umat Islam untuk bersedekah setiap hari dan bermula daripada
anggota badannya sendiri. Tiada suatu tulang atau sendi pun melainkan adanya
kesan ciptaan Allah. Maka wajiblah ke atas setiap hamba bersyukur atas nikmat
Allah ini dan memuji-Nya dalam setiap keadaan. Itulah yang dimaksudkan dengan
sabda baginda s.a.w.:
“Ke atas setiap muslim
hendaklah bersedekah. Para sahabat bertanya: Sekiranya ia tidak memiliki
apa-apa? Jawab baginda: Hendaklah ia bekerja dengan tangannya dan memberi
manfaat kepada dirinya dan dia bersedekah. Sahabat bertanya lagi: Sekiranya ia
tidak mampu melakukannya? Nabi bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang
sangat berhajat. Sahabat bertanya lagi: Sekiranya dia tidak dapat lakukan? Nabi
bersabda: Hendaklah dia menyuruh perkara yang makruf. Sahabat bertanya lagi:
Sekiranya dia tidak boleh melakukannya? Nabi SAW bersabda: Hendaklah dia tahan
dirinya daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya itu juga adalah
sedekah.”
[Muttafaqun
‘alayh]
2. Sabda Rasulullah SAW : “Dicipta anak Adam atas 360
sendi. Maka barangsiapa yang berzikir kepada Allah, bertahmid ,
bertahlil, bertasbih, membuang batu, duri atau tulang
daripada jalan orang-orang Islam , atau menyuruh kepada yang makruf, mencegah
daripada yang mungkar sebanyak bilangan 360 sendi, maka ia telah berada pada
hari itu dalam keadaan di jauhkan
dirinya daripada neraka.” [HR Muslim]
3. Hadith ini juga menunjukkan bahawa
tulang dan sendi merupakan antara nikmat Allah yang terbesar pada hamba-Nya.
Maka perlulah setiap tulang dan sendi tersebut disedekahkan oleh setiap anak
Adam, sebagai tanda bersyukur pada nikmat Allah yang sangat banyak. Firman
Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا
الْإِنسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ ﴿٦﴾ الَّذِي
خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ ﴿٧﴾ فِي أَيِّ صُورَةٍ مَّا شَاءَ رَكَّبَكَ ﴿٨﴾
Maksudnya:
(6) Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu
Yang Maha Pemurah? (7) Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu
menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu
diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan
kekuatannya; (8) Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia
menyusun kejadianmu. [Al-Infithar, ayat
6-8]
4. Mujahid
berkata: Ini adalah nikmat Allah yang jelas dilihat dan dapat mendidik engkau
bagaimana untuk bersyukur kepada Allah. Syeikh al-Fudhail menangis pada waktu
malam ketika membaca ayat :
أَلَمْ نَجْعَل
لَّهُ عَيْنَيْنِ ﴿٨﴾ وَلِسَانًا وَشَفَتَيْنِ ﴿٩﴾
Maksudnya:
8. (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) tidakkah Kami telah
menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan
Kami?) 9. dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar
dari hajat-hajatnya)? [Al-Balad, ayat 8-9]
Lalu dia
ditanya tentang apakah yang membuatkan dia menangis, dia menjawab: “Adakah
engkau bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan mata untuk engkau melihat
dengannya sebelum engkau tidur pada waktu malam? Adakah engkau bersyukur kepada
Allah yang telah menjadikan lidah untuk engkau berbicara dengannya sebelum
engkau tidur pada waktu malam?”
5. Diriwayatkan
daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Dua nikmat yang
kebanyakan manusia lalai daripadanya: Kesihatan dan masa lapang.” [HR
al-Bukhariy]
6. Sabda Nabi
SAW: “Tidak ada daripada nafas anak Adam melainkan ke atasnya sedekah setiap
hari bermula terbitnya matahari. Lalu ditanya: Wahai Rasulullah, dari mana kami
dapat bersedekah? Jawab baginda: Sesungguhnya pintu-pintu kebaikan terlalu
banyak: Tasbih, tahmid, takbir, tahlil, menyuruh yang makruf, mencegah
kemungkaran, membuang gangguan di jalan, memberi tunjuk ajar kepada orang yang
pekak dan buta, memandu orang yang minta panduan untuk menyelesaikan hajatnya,
dan engkau berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu orang yang sangat
berhajat, engkau memimpin dengan kedua tangan engkau orang yang lemah, semua
ini adalah sedekah dari engkau dan untuk diri engkau.” [HR Ibnu Hibban]
7. Firman
Allah Ta’ala:
إِنْ أَحْسَنتُمْ
أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ
الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ
أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا ﴿٧﴾
Maksudnya:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah
untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk)
berbalik kepada diri kamu juga. [Al-Isra’,
ayat 7]
8. Inilah
nikmat yang akan ditanya kepada manusia tentang bagaimana mereka bersyukur di
dunia dahulu pada hari kiamat kelak, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah
Ta’ala:
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ ﴿٨﴾
Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan
ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! [Al-Takatsur, ayat 8]
9. ‘Aliy
bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas tentang firman Allah Ta’ala
sebagaimana di atas, dia berkata: Nikmat itu ialah kesihatan tubuh badan,
pendengaran dan penglihatan. Allah akan bertanya pada hari kiamat kelak:
Bagaimana kamu menggunakan (memanfaatkan) nikmat tersebut? Sedangkan dia lebih
mengetahui tentang perkara itu daripada mereka, kerana Allah telah berfirman:
وَلَا تَقْفُ مَا
لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ
وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا ﴿٣٦﴾
Maksudnya:
36. dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua
anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [Al-Isra’, ayat 36]
No comments:
Post a Comment