Pages

Friday 19 October 2012

Tadabbur Hadith : Qada’ Dan Qadar



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم





عَنْ عبدِ اللهِ بنِ مَسعودٍ - رضي الله عنه - قالَ : حَدَّثنا رسولُ الله - صلى الله عليه وسلم - وهُوَ الصَّادِقُ المَصْدُوقُ:

(( إنَّ أَحَدَكُم يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطنِ أُمِّهِ أَربَعِينَ يَوماً نُطْفَةً ، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ، ثُمَّ يُرْسِلُ الله إِلَيْهِ المَلَكَ ، فيَنْفُخُ فيه الرُّوحَ ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ : بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَعَمَلِهِ وَأَجَلِهِ ، وَشَقِيٌّ أو سَعِيدٌ ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا ، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا )). ]متفق عليه[




Maksudnya: Daripada Ibnu Mas’ud RA katanya: Rasulullah SAW telah memberitahu kami dan dialah orang yang berkata benar: “Sesungguhnya seseorang kamu akan dikumpulkan ciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk air mani. Kemudian ia akan menjadi segumpal darah seperti itu (40 hari), kemudiannya menjadi segumpal daging seperti itu (40 hari). Kemudian Allah akan mengutuskan kepadanya malaikat, lalu dia akan meniupkan roh kepadanya dan malaikat itu diperintahkan untuk menulis empat perkara: Tentang rezekinya, amalannya,  ajalnya dan samada celaka atau bahagia. Demi Yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya pasti  ada seseorang kamu yang (pada awal kehidupannya ia) beramal dengan amalan ahli syurga sehingga ia telah dekat untuk memasuki syurga sekadar satu hasta, tetapi takdir telah mendahului ia ( yang pada akhir kehidupannya) lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu ia memasukinya. Dan sesungguhnya pasti  ada seseorang kamu yang (pada awal kehidupannya) ia beramal dengan amalan ahli neraka sehingga ia telah dekat untuk memasuki neraka sekadar satu hasta, tetapi takdir telah mendahuluinya (pada akhir kehidupannya) lalu ia beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia memasukinya.” [Muttafaqun ‘alayh]


Pengajaran hadith:

  • Hadith menunjukkan kejadian manusia pada peringkat awal bertukar bentuk dalam masa 120 hari dalam tiga peringkat. Peringkat pertama 40 hari dalam bentuk air mani, 40 hari dalam bentuk seketul darah dan 40 hari dalam bentuk seketul daging.
  •  Dalam al-Quran Allah menyebut perkembangan ciptaan manusia kepada tujuh peringkat : Tanah, nutfah (air mani), ‘alaqah (darah), mudghah (daging), tulang, tulang di balut daging dan ciptaan yang baru (lengkap). [rujuk Al-Mukminun: 12-14]
  •  Setelah cukup 120 hari malaikat akan meniup ruh ke dalam daging tersebut, kemudian di tulis untuknya empat perkara : Rezeki, amalnya, ajalnya dan bahagia atau celaka.
  •  Dari sini ulama berpendapat bahawa bayi akan di tiup ruh ke dalamnya setelah empat bulan iaitu 120 hari dan apabila ia gugur setelah empat bulan hendaklah di solatkan ke atasnya kerana ia telah sempurna sebagai manusia. Ini salah satu pendapat mazhab Al-Syafe’i dan Hanbali.
  •  Tulisan atau takdir yang di tulis  untuk setiap janin ketika di dalam perut ibunya adalah lain dari ketentuan takdir  yang di tulis sebelum kejadian makhluk di atas muka bumi. Sebagaimana di sebut dalam firman Allah Ta’ala yang maksudnya:
 “ tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. [Al-Hadid:22]
  •  Sabda Rasulullah s.a.w. : Sesungguhnya Allah telah mentakdirkan segala perkara sebelum Dia menciptakan langit dan bumi 50,000 tahun. [HR Muslim, Ahmad dan Al-Tirmiziy]
  •  Dari Ali bin Abi Tolib –radiyallahu anhu- Sabda Nabi s.a.w. :Tidak ada satu jiwa pun melainkan sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatnya samada ahli di syurga atau di neraka, dan melainkan telah di tulis samada dia celaka atau bahagia. Lalu berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah! Bukankah lebih baik kita ikut sahaja apa yang telah di tentukan ke atas kita dan kita tinggalkan amal? Maka jawab baginda: Beramallah kamu, maka semua akan di permudahkan mengikut apa yang telah di takdirkan untuknya, samada ahli yang bahagia, maka mereka  akan di permudahkan untuk beramal dengan amalan ahli bahagia, atau pun sebagai ahli yang celaka, maka mereka akan di permudahkan untuk amalan ahli celaka, kemudian Nabi s.a.w. membaca ayat:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَاتَّقَىٰ ﴿٥﴾ وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَىٰ ﴿٦﴾ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَىٰ ﴿٧﴾
وَأَمَّا مَن بَخِلَ وَاسْتَغْنَىٰ ﴿٨﴾ وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَىٰ ﴿٩﴾ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَىٰ ﴿١٠﴾

5. Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya)   6. serta ia mengakui dengan yakin akan perkara Yang baik,  7. maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). 8. sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, 9. serta ia mendustakan perkara yang baik, 10. maka Sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan  untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan
 [Al-Lail:5-10]                      

  • Dari Imran bin Husain telah berkata: Telah berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah! Adakah sudah di ketahui ahli syurga dan ahli neraka? Jawab baginda: Ya. Lalu berkata lelaki tersebut: Maka kenapa perlu orang yang beramal melakukan amalan? Jawab baginda: Semua akan beramal berdasarkan apa yang telah di tetapkan keatasnya atau berdasarkan apa yang di permudahkannya untuknya.  [HR Al-Bukhary, Muslim dan Ibn Hibban]
  •  Sabda Nabi s.a.w. : Sesungguhnya amalan seseorang itu (yang di kira) adalah yang di akhirnya. [HR Al-Bukhari]
  •  Sabda Rasulullah s.a.w. : Tidak (berdosa) ke atas kamu sekiranya kamu tidak merasa hairan dengan seseorang sehinggalah kamu melihat penghujung amalannya. Maka sesungguhnya  seseorang yang beramal itu melakukan amalan soleh  dalam masa yang lama daripada umurnya yang jikalau ia mati pasti ia akan memasuki syurga, (tetapi) ia berubah lalu ia melakukan amalan jahat. Dan sesungguhnya seseorang hamba itu telah melakukan amalan jahat dalam masa yang lama yang jikalau ia mati pasti ia akan memasuki neraka, (tetapi) ia berubah lalu  ia melakukan amalan soleh. [HR Ahmad]
  • Malik bin Dinar bangun sepanjang malam sambil memegang janggutnya seraya berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui siapakah ahli syurga dan siapa ahli neraka, maka dalam kumpulan manakah tempat Malik?. [Riwayat Abu Nu’aim]

  • Adalah Rasulullah s.a.w selalu membaca doa agar ditetapkan pendirian dan iman:
يَا مُقَلِّب الْقُلُوب ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينك  , kerana hati-hati manusia sentiasa berada di dua jari dari jari-jari  Allah Ta’ala, sekiranya Dia mahu, Dia akan luruskan dan jika Dia mahu juga Dia akan pesongkan. [HR Ahmad]



No comments:

Post a Comment