Pages

Wednesday 17 October 2012

Fitnah Itu Lebih Kejam Dari Membunuh!!



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




1.0         Pengenalan
Perkataan “fitnah” berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud bencana, cubaan dan penyesatan. Manakala kamus Dewan menterjemahkan fitnah sebagai tuduhan, kabar atau kisah yang diadakan atau dibuat untuk memburukkan seseorang. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa kerana ia membabitkan tuduhan tanpa bukti, prasangka tanpa asas dan persepsi yang salah. Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain.

Kata ‘fitnah’ di dalam Al Qur’an membawa makna yang beragam sesuai dengan konteks kalimatnya. Ada yang bermakna bala bencana, ujian, cobaan, musibah, kemusyrikan, kekafiran, dan sebagainya. Maka kata ‘fitnah’ haruslah dipahami secara keseluruhan dari latar belakang turunnya ayat dan konteks kalimat, dengan memperhatikan pemahaman ulama tafsir terhadap kata tersebut.


1.1       Asbab Nuzul

Firman Allah:
ۚ وَٱلۡفِتۡنَةُ أَڪۡبَرُ مِنَ ٱلۡقَتۡلِ‌ۗ
           Ertinya:
“… fitnah itu besar (dasyat) dari melakukan pembunuhan……” (al-Baqarah:217)

Asbab turunnya ayat tersebut adalah dimana seorang musyrik yang dibunuh pada bulan Rejab atau pun bulan haram. Orang muslimin menyangka bulan itu masih bulan Jumadil Akhir. Melihat kawannya dibunuh, kaum musyrikin memprotes dan mendakwa bahawa Nabi Muhammad saw. telah menodai bulan haram.  Maka turunlah ayat yang menjelaskan bahawa kemusyrikan dan menghalangi muslimin untuk beribadah di Baitullah itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan yang dilakukan oleh orang-orang beriman.



1.2       Fitnah Di Zaman Rasullulah
Fitnah bukanlah ancaman baru, malah Nabi s.a.w, sahabat baginda dan pejuang Islam tidak terlepas daripada ancaman ini.

Baginda Rasullulah saw   dilanda fitnah yang sengaja dicetuskan musuh Islam. dimana isteri baginda, Saidatina Aishah r.a dituduh melakukan perbuatan keji dengan Safwan bin al-Maa’thal selepas perang umat Islam dengan Bani Mush Thalaq pada tahun kelima hijrah. Cerita yang mengemparkan seluruh Kota Madinah ini tersebar luas dan di dalangi oleh Abdullah b Ubai yang bergelar ‘King of Munafiq’. Akibat kejadian itu, lebih sebulan Aishah sakit dan diasingkan Rasullulah sehingga turun ayat 11-20  Surah An-Nur dimana Allah telah menegaskan  kesucian Saidatina Aishah. 

سُوۡرَةُ النُّور

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلۡإِفۡكِ عُصۡبَةٌ۬ مِّنكُمۡ‌ۚ لَا تَحۡسَبُوهُ شَرًّ۬ا لَّكُم‌ۖ بَلۡ هُوَ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ‌ۚ لِكُلِّ ٱمۡرِىٍٕ۬ مِّنۡہُم مَّا ٱكۡتَسَبَ مِنَ ٱلۡإِثۡمِ‌ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبۡرَهُ ۥ مِنۡہُمۡ لَهُ ۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ۬ (١١) لَّوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ ظَنَّ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بِأَنفُسِہِمۡ خَيۡرً۬ا وَقَالُواْ هَـٰذَآ إِفۡكٌ۬ مُّبِينٌ۬ (١٢) لَّوۡلَا جَآءُو عَلَيۡهِ بِأَرۡبَعَةِ شُہَدَآءَ‌ۚ فَإِذۡ لَمۡ يَأۡتُواْ بِٱلشُّہَدَآءِ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡكَـٰذِبُونَ (١٣) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُ ۥ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ لَمَسَّكُمۡ فِى مَآ أَفَضۡتُمۡ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (١٤) إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُ ۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ (١٥) وَلَوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ قُلۡتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَڪَلَّمَ بِہَـٰذَا سُبۡحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُہۡتَـٰنٌ عَظِيمٌ۬ (١٦) يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُواْ لِمِثۡلِهِۦۤ أَبَدًا إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ (١٧) وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡأَيَـٰتِ‌ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (١٨) إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ۬ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (١٩) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ


Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (11) Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata. (12) Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. (13) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. (14) Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (15) Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan. (16) Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (17) Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (18) Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (19) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta). (20) (An-Nur: 11 - 20)


Bilal bin Rabah mengalami fitnah berupa siksaan dimana beliau telah diseret di atas padang pasir yang panas, dijemur dan ditindihkan batu besar. Begitu juga dengan Yasir dan Sumayyah yang akhirnya mati kerana mengalami siksaan yang amat berat.  

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Perbuatan memfitnah juga turut meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah dan  menyebabkan kematian khalifah ketiga Islam diMadinah iaitu Uthman Affan, yang disebarkan olih golongan ekstremis agama. 


1.3       Fitnah Di Zaman Sekarang
Negeri Iraq hancur lebur karena fitnah yang disebarkan oleh George W Bush yang menuduh Almarhum Saddam Hussein mengeluarkan dan menyimpan senjata pemusnah. Dunia yang termakan oleh fitnah yang dilemparkan menyokong tindakan yang dilakukan oleh Amerika dan Britain, maka tercetuslah  penyerbuan dan peperangan terhadap rakyat Irak sehingga menyebabkan negeri itu porak poranda dan terbunuhnya ribuan nyawa manusia.
Begitu juga fitnah yang dilemparkan oleh Geert Wilders dalam filem ‘Fitna’ dimana dia telah memperlecehkan Islam dan AlQuran , fitnah tentang Al-Quran dan Rasullulah yang dilemparkan oleh Salman Rushdee dalam bukunya ‘Satanic Verse’, Propaganda Barat bahawa Islam dikaitkan dengan terrorist pada tragedi 11 September dan perbuatan kartun Nabi Muhammad s.a.w oleh Lars Vilks. Kesemuanya menyamai propaganda negatif tentang Islam itu sudah ada sejak zaman Abu Lahab. 
Maka tepatlah ayat Allah yang memperingatkan kita bahawa fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan (QS 2: 191).


2.0            Bentuk-Bentuk Fitnah
Dalam hadith Rasulullah SAW daripada Abi Hurairah menerangkan secara jelas pengertian fitnah: “Tahukah kamu apakah memfitnah?” Sahabat berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”

Baginda bersabda: “Memfitnah adalah mengatakan sesuatu mengenai saudara (Muslim) ketika tiada yang dia tidak suka.” Ditanya: “Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus kami katakan?” Baginda menjawab: “Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat.” (Riwayat Muslim).

Ada ulama menafsirkan penabur fitnah sebagai memakan daging orang mati.
Suatu keitka Rasullulah s.a.w melalui dua kubur lalu baginda bersabda, maksudnya “Sesungguhnya penghuni dua kubur ini diseksa. Seorang daripadanya tidak bersuci daripada kencingnya dan yang satu lagi suka memfitnah” lalu Rasullulah s.a.w. mengambil pelepah kurma yang basah dan memotong dua, lalu dipacakkan pada kedua dua nya daun tersebut sambil berkata “semoga Allah meringankan seksaan atas keduanya.

Masyarakat Islam dizaman Rasullulah beramal dengan ajaran Islam dengan sebenarnya menyebabkan mereka berhati hati dalam percakapan dan membawa berita bimbang jika walaupun berita itu benar walaupun khabar berita itu benar apa lagi sekiranya berita berita itu memang salah dan bohong semata mata.
Terdapat beberapa bentuk fitnah dan saya hanya mampu membincang tiga bentuk fitnah seperti  tertera dibawah.


3.0             Fitnah Harta Dan Anak
Terdapat dua ayat di dalam Al-Qur’an yang menyebut harta dan anak sebagai fitnah. Allah SWT banyak menerangkan keadaan apabila banyaknya harta seseorang dan anak boleh menimbulkan fitnah.  Seperti Firman-Nya dalam  surah Al-Anfal ayat 28: 

سُوۡرَةُ الاٴنفَال
وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَآ أَمۡوَٲلُڪُمۡ وَأَوۡلَـٰدُكُمۡ فِتۡنَةٌ۬ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُ ۥۤ أَجۡرٌ عَظِيمٌ۬ (٢٨)

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (28)
Allah SWT juga ada menyebut dalam Firman-Nya yang lain iaitu dalam Surah Al-Taghabun ayat 15, 

سُوۡرَةُ التّغَابُن

إِنَّمَآ أَمۡوَٲلُكُمۡ وَأَوۡلَـٰدُكُمۡ فِتۡنَةٌ۬‌ۚ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥۤ أَجۡرٌ عَظِيمٌ۬ (١٥)
Maksudnya:  “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu adalah fitnah (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar”  bahawa fitnah harta dan anak akan menjebakkan diri  ke dalam kemaksiatan. Fitnah di sini juga membawa erti menyibukkan atau memalingkan seseorang dari mengingat dan mengerjakan amal taat kepada Allah.

Firman Allah dalam dua surah Al-Munafiqun: 9 

سُوۡرَةُ المنَافِقون

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَٲلُكُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُڪُمۡ عَن ذِڪۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ (٩)
Maksudnya: “Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi”. (menjadi pengingat jika kemudian terjadi harta dan anak justru menjauhkan pemiliknya dari Allah SWT.

Al-Kahfi: 46
سُوۡرَةُ الکهف

ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِينَةُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱلۡبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَيۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابً۬ا وَخَيۡرٌ أَمَلاً۬ (٤٦)

Maksudnya:  “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”

Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa harta kekayaan dan anak adalah menjadi perhiasan dunia yang mententeramkan pemiliknya kerana pada harta ada keindahan dan manfaat, sedangkan pada anak ada kekuatan dan sokongan. Walaubagaimanapun kedudukan keduanya sebagai perhiasan dunia hanyalah bersifat sementara  serta boleh menjerumuskan pemiliknya ke neraka.

Rasulullah SAW juga menyebut kedua kemungkinan ini dalam hadits Aisyah ra ketika beliau memeluk seorang bayi, ”Sungguh mereka (anak-anak) dapat menjadikan seseorang kedekut dan pengecut, dan mereka juga adalah termasuk dari haruman Allah SWT”.

Dalam konteks ini, Nabi Muhammad sendiri pernah mendoakan harta dan anak yang banyak kepada sahabat Anas bin Malik ra, “Ya Allah perbanyaklah untuknya harta dan anak, dan berkahilah setiap apa yang Engkau anugerahkan kepadanya”
 
Demikian keseimbangan yang diajarkan oleh Allah SWT demi untuk mengingkap fitnah harta dan anak. Harta dan anak memiliki pkedudukan yang sama dalam kepada kebaikan atau menjerumuskan seseorang kepada dosa dan kemaksiatan. Sudah jelas peringatan Allah dalam konteks fitnah harta dan anak agar kita umat manusia sentiasa mengimbanginya dan mensyukuri nikmat harta dan anak agar lebih mengingati Allah. Inilah kuasa-Nya yang mencerminkan kasih sayang-Nya yang layak untuk diingat dan disembah.

            Firman Allah dalam Surah At-Tahrim:

سُوۡرَةُ التّحْریم

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (At-Tahrim:6).


4.0            Fitnah Kaum Wanita
Fitnah wanita adalah fitnah yang sangat dahsyat yang menimpa banyak umat Islam. Ia menimpa siapa saja dari seluruh  tingkatan manusia baik dari kalangan pemimpin mahupun rakyat biasa. Sejarah telah membuktikan kenyataan tersebut. Ramai para pemimpin dunia yang jatuh kerana faktor fitnah wanita.

Fitnah wanita terjadi jika wanita itu isteri maka ramai para isteri dapat memalingkan suaminya dari ibadah, dakwah dan amal soleh yang dilakukannya. Jika wanita itu wanita selain isterinya, maka fitnah dapat terjadinya maksiat, zina dan pembuangan bayi. Malah syarikat mempromosikan  produk dengan menggunakan khidmat model, yang mendedahkan aurat bagi tujuan mempromosikan produk mereka masing masing.

Dahsyatnya fitnah wanita telah disebutkan dalam Al-Qur’an dan Hadits. Bahkan surat ‘Ali Imran 14:
سُوۡرَةُ آل عِمرَان

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ
وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ (١٤)

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) dimana ayat ini menempatkan wanita sebagai urutan pertama yang banyak dicintai oleh manusia dan pada saat yang sama menjadi fitnah yang paling berbahaya untuk manusia.

Rasulullah saw. bersabda, ” Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar bagi kaum lelaki melebihi fitnah wanita” (HR Bukhari dan Muslim).


5.0         Fitnah Di Zaman Sekarang
Gosip istilah terbaru mengantikan fitnah  pada zaman sekarang seakan-akan sudah jadi barah dalam masyarakat. Semua orang tidak mengira tua atau muda semuanya bergosip dan menfitnah. Fitnah bukan saja tersebar melalui lisan, bahkan keadaannya lebih meluas iaitu melalui media massa dan internet dan dipermudahkan lagi dalam era teknologi komunikasi. Dalam sekelip mata, fitnah boleh tersebar keseluruh dunia. Teknologi yang sepatutnya dimanfaatkan disalah gunakan untuk menyebar fitnah. SMS, facebook, friendster, twitter, blog dan email membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Begitu juga kita disogokkan dengan bermacam rancangan hiburan berbentuk gosip di kaca TV termasuk  Melodi, Fuhh, Galaksi, Diva, dan macam-macam lagi. Ramai anak-anak muda yang terpengaruh dengan rancangan hiburan yang disajikan dikaca-kaca TV. Anak-anak lebih berminat untuk menonton TV berbanding dengan menziarahi sanak saudara ketika perayaan Aidil Fitri. Inikah generasi pelapis yang kita tinggalkan untuk meneruskan perjuangan Rasullullah SAW? Peranan kita sebagai ibubapa bukan sahaja mendidik, memberikan tempat tinggal, makan, pakai malahan tugas yang lebih berat ialah membina “faundation” iman di jiwa anak-anak.

Seperti yang kita ketahui melalui laporan akhbar, kita dapat melihat seorang pemimpin yang handal boleh jatuh, rumah tangga bahagia bergoncang dan berkecai atau orang berwatak baik boleh tercemar maruahnya angkara fitnah. Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa.

Sebenarnya pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitanya, tetapi disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut serta menyertainya dan sepeti mendapat kepuasaan daripada melakukannya.


Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya

سُوۡرَةُ الحُجرَات

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٢)

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain” (Surah al-Hujurat, ayat 12)


6.0            Kesimpulan
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan diri seseorang itu sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah hanyalah satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti sewenangnya. Hakikatnya dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa besar dan dosa  sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

Dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Setiap Muslim perlu menjauhi diri daripada perbuatan terkutuk itu. Untuk menjauhkan diri daripada  semua bentuk fitnah dunia ini, maka kita harus senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dan memohon perlindungan berlindung dari keburukan fitnah dunia. Disamping itu kita harus mengukuhkan pemahaman kita tentang hakekat dunia, risalah manusia dan keyakinan tentang hisab dan hari akhirat.
Fenomena Fitnah akan sentiasa berlegar dalam masyarakat kita. Mintalah petunjuk dari Allah agar kita dijauhkan dari tipu daya syaitan dan manusia dan agar kita tidak termasuk dalam golongan-golongan manusia yang suka menabur fitnah.  Marilah kita segera bertaubat dan kembali kepada hukum Allah sementara nyawa masih ada di badan dan memperbanyakkan berdoa. Salah satu doa yang boleh diamalkan ialah:

سُوۡرَةُ یُونس

فَقَالُواْ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلۡنَا رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةً۬ لِّلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٨٥) وَنَجِّنَا بِرَحۡمَتِكَ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِينَ (٨٦)

Maksudnya: Lalu mereka berkata: Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. (85) Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir. (86) (Yunus: 85 – 86)




 




7.0  Rujukan

1.    Al-Quran Dan Terjemahan

2.    Keajaiban Hati dan Keunikannya, Iman Al Ghazali, Amelia Surabaya, 2007

3.    Jangan Bersedih, Dr ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, Berlian Publications, 2009

4.    Penenang Jiwa – Pengubatan & Rawatan,  Imam Al-Ghazali, WM, 2008

5.    Menjadi Kekasih Allah, Syaikh Abdul Qadir al-Jailani, Citra Media, Yogyakarta, 2008






No comments:

Post a Comment