Pages

Monday, 9 January 2012

Budaya Ilmu Asas Kecemerlangan Generasi


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Pada tahun 2012 ini, penulis mempunyai 2 orang anak saudara yang melangkah masuk ke alam persekolahan iaitu Abang Mirul dan Abang Am. Dikesempatan menemankan Abang Mirul menduduki peperiksaan diagnosis literasi dan numerasi untuk darjah satu pada 2hb Jan 2012 di sekolahnya di Sepang menggamit kenangan penulis ketika diusia yang sama dengan Abang Mirul. Abang Am juga telah melalui proses yang sama pada 29hb Dis di Sekolah Rendah Percint 16, Putrajaya..  Terdapat banyak evolusi pendidikan yang telah direntas oleh masyarakat Malaysia. Di zaman penulis dahulu, kami tidak menduduki peperiksaan penempatan kelas seperti sekarang. Sistem pendidikan semakin matang di dalam mendepani cabaran di dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang. Tidak juga dapat merasa bantuan kerajaan wang RM 100...

Minggu ini adalah minggu kedua anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah berbulan mereka menikmati cuti persekolahan. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi selama 11 tahun (iaitu 6 tahun di peringkat rendah & 5 tahun di peringkat menengah) dan membudayakannya demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang. 

Dalam usaha membina insan yang cemerlang, suka penulis mencadangkan wajar kita menghubungkaitkannya dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak sekolah dan ibubapa mestilah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Tahrim ayat 6:
 
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman!. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Betapa beratnya tanggungjawab yang perlu digalas oleh ibubapa untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Penulis sangat pasti ganjaran pahalanya pula bukanlah sedikit, pasti besar kerana amanah yang dipikul adalah besar juga. 

Ibubapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak dan kecemerlangan anak-anak. Bila tumpuan ibubapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibubapa sebagai orang yang terawal menunjukkan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam rahim ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai usia baligh. 


Rasulullah s.a.w telah menggariskan empat tahap di dalam pendidikan kepada anak-anak iaitu:
  1. Tahap Pertama - anak yang baru lahir sehingga mencapai tahap mumayyiz (6 tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan kasih sayang. 
  2. Tahap Kedua - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh iaitu 14 tahun hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplim dan memberi tanggungjawab kepada mereka. Umpamanya pada usia 7 tahun kita perlu mendidik mereka mendirikan solat dan memantau solat mereka.
  3. Tahap Ketiga - Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
  4. Tahap Keempat - Anak berumur lebih 21 tahun hendaklah para ibubapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibubapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar tindakan mereka adalah terkawal
Kepada anak-anak yang baru melangkah ke alam persekolahan, mak andak ucapkan selamat maju jaya. Semoga proses pembelajaran ini yang hanya memakan masa 11 tahun, anak-anak akan beroleh kejayaan dan boleh membina keyakinan diri. Kerana perjalanan menuju kejayaan yang kemungkinan berjuta-juta batu jauhnya adalah bermula dengan langkah pertama. Selamat Maju Jaya.


  Abang Mirul ketika usia 7 tahun (18 Jan 2005)


Abang Am ketika usia 7 tahun (23 Nov 2005)



No comments:

Post a Comment