السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم:
(( لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا
تُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا )).
]رواه
أحمد والترمذي والنسائي وابن ماجه وابن حبان والحاكم, قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا
حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ [
Daripada
‘Umar bin Al-Khattab RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Jikalau
sesungguhnya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal,
nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana seekor burung diberi rezeki. Ia
pergi pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam
keadaan kenyang.” [Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa’ie, Ibnu Majah, Ibnu
Hibban dan al-Hakim, Kata Abu ‘Isa: Hadith Hasan Sahih]
Pengajaran
hadith:
1.
Hadith
ini adalah asas kepada sifat tawakkal, dan sesungguhnya ia merupakan sebab yang paling utama untuk
dikurniakan rezeki pada seseorang hamba. Firman Allah Ta’ala: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah
(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah
akan memberikan padanya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberi rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah),
barangsiapa yang berserah diri bulat-bulat (bertawakkal) kepada Allah, maka
cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” [Al-Talak,
ayat 2-3]
Dari Jabir bin
Abdullah Ayat ini (di atas) turun ke
atas A’uf bin Malik Al-Asyja’i. Beliau
telah mengadu kepada Rasulullah bahawa anak lelakinya telah di tawan oleh orang
musyrikin dan isterinya bersedih, lalu ia bertanya: Apakah yang patut dia
lakukan? Jawab baginda: Bertaqwa dan bersabarlah dan aku perintahkan engkau
dan isteri engkau agar selalu membaca : لا حول ولا قوة إلا بالله. Lalu ia pulang kerumahnya dan berkata kepada isterinya:
Rasulullah SAW telah menyuruh aku dan engkau memperbanyakkan ucapan لا حول ولا قوة إلا بالله . Isterinya
berkata: Itulah sebaik-baik apa yang diperintahkan kepada kita. Lalu kedua-duanya
selalu mengucapkan zikir tersebut sehinggalah musuh melupai anaknya. Akhirnya
anaknya pulang ke pangkuan ibubapanya. Maka setelah itu turunlah ayat ini (di
atas).
2.
Kata
Al-Qurtubiy: Nabi SAW telah membacakan ayat al-Qur’an di atas kepada Abu Zar,
dan baginda bersabda: “Jikalau semua
manusia berpegang dengan ayat ini, nescaya akan cukuplah bagi mereka.” Iaitu
jikalau mereka bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya,
nescaya akan cukuplah bagi mereka dalam segala keperluan agama dan dunia
mereka.
3.
Tawakkal bermaksud: Membenarkan dan
membulatkan hati bahawa Allah ‘Azza wa Jalla sahajalah yang berkuasa dalam
menyempurnakan keperluannya, dan menolak semua kemudharatan dalam urusan dunia
dan akhiratnya.
4.
Kata
Sahl bin Abdullah al-Tusturiy: Tawakkal adalah menyerahkan bulat-bulat segala
urusan kepada Allah mengikut apa yang Dia sukai. Dikatakan juga tawakkal ialah
sama ada sikit atau banyak, ia adalah sama sahaja bagi orang yang bertawakkal.
5.
Dalam
hadith Ibnu ‘Abbas, daripada Nabi SAW: “Barangsiapa
yang suka untuk menjadi lelaki yang paling kuat (di sisi Allah), maka hendaklah
dia bertawakkal kepada Allah.” [Riwayat Ibnu Abi Dunia]
6.
Ketahuilah
bahawa hakikat tawakkal tidak menafikan faktor usaha dalam mencari kurniaan dan
rezeki yang Allah telah tetapkan kepada kita, kerana Allah Ta’ala memerintahkan
kita untuk berusaha dan mencari kurniaan-Nya di samping bertawakkal kepada-Nya. Firman Allah ta’ala
yang maksudnya:
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka
bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati
dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala
keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). [Al-Jumuat
:10]
7.
Amalan
yang dilakukan oleh seseorang hamba terbahagi kepada tiga:
a.
Ketaatan
yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya, dan ianya merupakan sebab kepada
selamatnya manusia daripada api neraka dan dapat masuk ke syurga. Amalan ini
mesti di lakukan oleh setiap orang berserta tawakkal kepada Allah dan sentiasa
memohon pertolongan daripada-Nya. Sesungguhnya tidak ada daya dan kekuatan
melainkan daya dan kekuatan-Nya.
b.
Perkara
yang menjadi adat dalam kehidupan dunia, dan Allah memerintahkan hamba-hambanya
berusaha dan melakukannya seperti makan ketika lapar, minum ketika dahaga dan
berteduh daripada panas. Barangsiapa yang cuai atau tidak melaksanakannya walaupun
ia mampu sehingga memudharatkannya, maka
ia telah melakukan kesalahan dan berhak mendapat balasan yang setimpal. Tetapi
sekiranya dengan meninggalkan amalan ini atau usaha, ia tidak memudharatkan,
maka ia boleh ditinggalkan. Oleh itu sebahagian para salaf ada yang
meninggalkan makan dan minum selama beberapa dan ia tidak memudharatkan
mereka. Abdullah bin Al-Zubair pernah
berpuasa selama lapan hari. Abu Al-Jauza’ menyambung puasanya selama tujuh
hari, kemudian ia memegang lengan seorang pemuda dan hampir-hampir
mematahkannya. Ibrahim Al-Taymiy tinggal selama dua bulan tanpa ia memakan
sesuatu pun kecuali meminum manisan. Hajjaj bin Al-Farafisah tinggal lebih
sepuluh hari tanpa makanan dan minuman dan tidak tidur. Sayyidina Ali bin Abi
Tolib –radiyallahu anhu- biasa
memakai pakaian sejuk di musim panas dan pakaian panas di musim sejuk dan Nabi
SAW pernah berdoa untuknya agar Allah hilangkan daripadanya rasa sejuk dan rasa
panas.
c.
Amalan
adat secara kebiasaan dalam urusan
kehidupan dunia seperti berubat apabila sakit. Kadang-kadang manusia boleh
melalui adat kebiasaan ini tanpa berusaha. Ulama juga berbeza pendapat tentang
hukum orang yang ditimpa sakit, adakah ia wajib berusaha untuk berubat atau
memadai dengan hanya bertawakkal sahaja kepada Allah? Pendapat Ahmad ialah
sekiranya ia kuat maka afdal baginya bertawakkal sahaja. Ini berdasarkah satu
hadith Rasulullah SAW: “Akan masuk syurga segolongan daripada umatku seramai
70,000 orang tanpa hisab.” Kemudian baginda bersabda: “Mereka itulah orang yang tidak meramal
perkara yang buruk, tidak berubat (dengan cara yang dilarang oleh agama) dan
kepada Tuhan mereka bertawakkal.” [HR Muslim] Dalam riwayat Muslim, dalam
bilangan 70,000 tersebut, setiap seorang daripada mereka akan membawa 70,000
orang lagi.
Pendapat kedua
mesti berusaha untuk berubat kerana Nabi SAW sendiri berubat apabila sakit dan
baginda tidak melakukan sesuatu melainkan yang terbaik.
8.
Kadang-kadang manusia diharamkan rezekinya atau
sebahagian rezekinya kerana dosa yang dilakukannya, sebagaimana dalam hadith
daripada Thauban, sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya seseorang hamba itu akan diharamkan
rezeki disebabkan dosa yang dia lakukan.” [Hadith Hasan – Riwayat Ahmad]
9.
Dalam hadith Jabir, sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya
setiap jiwa tidak akan mati sehinggalah disempurnakan rezekinya. Maka
bertaqwalah kepada Allah dan perelokkanlah dalam mencari (rezeki). Ambillah apa
yang halal, dan tinggalkanlah apa yang haram.” [Riwayat Ibnu Majah,
al-Hakim dan al-Baihaqi]
10.
‘Umar berkata: Antara seorang hamba dengan
rezekinya ada hijab (dinding). Maka sekiranya dia ada sifat qanaah (mencukupi)
dan dirinya redha, maka rezeki itu akan datang kepadanya. Tetapi sekiranya dia
tamak dan dia membuang hijab tersebut, maka rezekinya tidak akan bertambah.
11.
Kata sebahagian salaf: Tawakkal ialah rezeki-rezeki
didatangkan kepada kamu tanpa penat dan tanpa susah.
12.
Kata Salim bin Abil Ja’d: Diceritakan bahawa ‘Isa –
alayhissalam – berkata: Bekerjalah kerana Allah dan
janganlah kamu bekerja kerana perut-perut kamu (merasa kenyang). Dan jaga-jagalah
kamu daripada segala lebihan dunia, kerana lebihan dunia di sisi Allah adalah najis
(dosa). Ini burung di langit yang
terbang pada waktu pagi dan petang tanpa rezeki bersamanya, ia tidak menanam
dan tidak menuai, tetapi Allahlah yang memberi rezeki kepadanya. Sekiranya kamu
berkata: Perut kami lebih besar daripada perut burung, maka lihatlah kepada
binatang besar seperti lembu dan keldai. Ia mencari rezeki pada waktu pagi dan
petang, ia juga tidak menanam dan tidak menuai, tetapi Allahlah yang memberi
rezeki kepadanya. [Riwayat Ibnu Abi Dunia]
13.
Menurut riwayat daripada Ibnu Abbas, dia berkata:
Pada zaman dahulu ada seorang ahli ibadat yang beribadat di dalam gua, dan ada
seekor burung gagak yang datang kepadanya setiap hari dengan membawa roti. Dia
makan makanan tersebut hinggalah dia wafat.
14.
Barangsiapa yang kuat tawakkalnya kepada Allah
serta keyakinan yang mantap terhadap Allah, maka ia akan masuk dalam
kehidupannya tanpa bekalan. Ianya harus bagi sesiapa yang bersifat seperti ini.
Contoh yang paling jelas dan tepat ialah Nabi Ibrahim – alayhissalam – ketika
beliau meninggalkan Hajar dan anaknya Ismail di kawasan padang pasir yang tidak
ada sebarang tanam-tanaman, hanya berbekalkan sebuah bekas daripada kulit yang
diisi dengan kurma dan sebuah bekas air. Ketika Hajar mengikutinya, dia
berkata: Kepada siapa engkau akan tinggalkan kami? Ibrahim berkata kepadanya: Kepada
Allah. Hajar berkata: Aku redha terhadap Allah. Ibrahim melakukan seperti ini
berdasarkan perintah Allah dan wahyunya.
15.
Kata Al-Mawarzi: Telah dikatakan kepada Abu
Abdullah: Apakah yang dikatakan kebenaran tawakkal kepada Allah? Jawabnya:
Iaitu seseorang bertawakkal kepada Allah dan tidak ada dalam hatinya
kebergantungan dan harapan kepada seorangpun dari manusia untuk memberi sesuatu
kepadanya. Jika itu berlaku maka Allah akan memberi rezeki kepadanya dan dia
adalah orang yang benar-benar bertawakkal.
16.
Ahmad bin Al-Husain meriwayatkan daripada Ahmad
bahawa ia ditanya tentang seorang lelaki yang keluar ke Makkah tanpa sebarang
bekalan. Lalu jawab beliau: Sekiranya engkau mampu maka tidak mengapa tapi
sekiranya engkau tidak mampu maka hendaklah dengan bekalan dan kenderaan. Abu
Abdullah telah melakukan haji dengan hanya berbekal 14 dirham sahaja.
17.
Nabi Ibrahim –alayhissalam- ketika akan di campak ke dalam api ia di tawarkan oleh
Jibril: Adakah kamu mempunyai apa-apa hajat? Maka jawab Ibrahim: Adapun kepada
engkau, aku tiada hajat.
18.
Daripada Ibnu ‘Abbas, katanya: Perkataan terakhir
yang diucapkan oleh Ibrahim – alayhissalam – ketika beliau akan
dicampakkan ke dalam api ialah:
حَسْبِيَ
اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
“Cukuplah bagiku
Allah, dan Dia-lah sebaik-baik pelindung.”
19.
Sabda Nabi SAW: “Seorang Mu’min yang kuat adalah
lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mu’min yang lemah. Dan dalam
setiap sesuatu ada kebaikannya. Oleh itu berusahalah kepada apa yang memberi
manfaat kepada engkau, mintalah bantuan kepada Allah dan janganlah kamu menjadi
lemah. Maka sekiranya ada sesuatu menimpa engkau, maka jangan sekali-kali
engkau berkata: Jikalau aku lakukan begini begini… Tetapi katalah: Allah telah
mentakdirkan dan apa yang Dia kehendaki pasti akan berlaku. Kerana sesungguhnya
perkataan ‘jikalau’ itu membuka ruang kepada syaitan.” [HR Muslim]
20.
Sesungguhnya orang yang sebenar-benar tawakkal
ialah orang yang mengetahui dan yakin bahawa Allah telah menjamin kepada setiap
hamba-Nya rezeki yang mencukupi. Rezeki telah dibahagikan kepada setiap orang
sama ada baik atau jahat, Mu’min atau kafir. Firman Allah Ta’ala:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا
عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ
“Dan tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang
bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang
menanggung rezekinya …” [Surah Hud: 6]
وَكَأَيِّن مِّن دَابَّةٍ لَّا تَحْمِلُ رِزْقَهَا
اللَّـهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ
“Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang
tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan
kepada kamu…” [Surah
al-‘Ankabuut: 60]
21.
Selama mana seorang hamba itu hidup, rezekinya akan
dijamin oleh Allah dan Allah akan mempermudahkannya sama ada dia berusaha atau
tanpa usaha. Kata Muthanna al-Anbariy: Janganlah kamu memberi tumpuan kepada
apa yang dijamin, tetapi berilah tumpuan kepada Penjamin itu sendiri.
22.
Ketahuilah sesungguhnya hasil daripada tawakkal
ialah redha dengan takdir Allah. Barangsiapa yang menyerahkan urusannya kepada
Allah dan redha kepada apa yang ditakdirkan ke atasnya, maka dia telah
benar-benar bertawakkal. Oleh itu al-Hasan, al-Fudhayl dan selain mereka
menghuraikan makna tawakkal kepada Allah ialah: Redha.
23.
Kata Ibnu Abi Dunia: Kata sebahagian para
cendekiawan: Tawakkal ada tiga peringkat:
a.
Tidak mengadu atau mengeluh.
b.
Redha.
c.
Cinta/sayang.
Tidak mengadu adalah kesabaran. Redha
ialah hati tenang dengan apa yang diberikan oleh Allah ke atasnya, dan ini
adalah lebih tinggi daripada sabar. Cinta pula ialah seronok dan gembira dengan
apa yang ditakdirkan Allah ke atasnya.
Darjat yang pertama adalah untuk
orang-orang yang zuhud. Yang kedua adalah untuk golongan al-Sadiqin. Dan yang
ketiga adalah untuk para Rasul.
24.
Kata ‘Umar bin ‘Abdul Aziz: Aku telah berada di
pagi hari dan aku tidak gembira melainkan di tempat qada’ dan qadar.
No comments:
Post a Comment