السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
1.0
Pendahuluan
Pada
umumnya, tamadun manusia telah wujud semenjak Nabi Adam a.s dicipta oleh Allah
SWT. Dialog tentang peradaban manusia
telah dirakamkan oleh Allah SWT sebagaimana yang telah ternukil di dalam
Al-Quran. Firman Allah SWT:
Maksudnya:
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya,
kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah
kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".[1]
Maksudnya:
Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya
Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".[2]
Perkara
utama yang diberikan kepada Nabi Adam adalah ilmu pengetahuan yang tidak dapat
ditandingi oleh ilmu para malaikat (al-Baqarah 2: 31-32). Ilmu inilah asas
kecemerlangan ummah dan paksi kepada kekuatan Islam. Pada zaman Nabi Muhammad
s.a.w, satu ciri terpenting pembinaan tamadun manusia yang dicapai ketika itu
ialah pembentukan Madinah sebagai pusat ilmu (Sabri Mohamad Sharif 2008) dan
elemen perpaduan antara kaum yang wujud secara praktikal. Sejarah Islam
memperlihatkan Madinah telah menjadi satu pusat yang penting dalam penyebaran
ilmu ke segenap pelusuk yang boleh dicapai ketika itu. Ini termasuklah ke
segenap daerah al-Jazirah, al-Sham, Iraq, Euthopia dan Mesir.[3]
Pencapaian
masa lampau oleh umat Islam membanggakan dunia sehingga ke hari ini. Hampir 14
abad Islam menguasai pentas dunia. Pembangunan yang dicapai dalam aspek
keilmuan, senibina, sains, teknologi dan sebagainya tidak dapat ditandingi pada
waktu tersebut oleh sebarang kuasa luar. Ini menunjukkan bahawa pemerintah
Islam tidak pernah melupakan aspek pembangunan, malah ia adalah salah satu dari
aspek penting dalam pembinaan tamadun. [4]
1.1 Definisi
Tamadun Dan Peradaban
Bagi memahami kejayaan dan pengertian kegemilangan sejarah Islam di
Andalusi, ada baiknya bertolak dengan melihat pengertian tamadun itu sendiri.
Antaranya ialah:
Dalam bahasa Arab, tamadun ialah “umran”, hadharah dan madunah. Dalam
bahasa Inggeris ianya disebut “civilization” dan di dalam bahasa Melayu disebut
kebudayaan, peradaban dan kemajuan. [5]
Arnold Toynbee dalam bukunya A Study of History mendefinisikan tamadun
sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di dalam kota. Beliau menambah,
tamadun juga ialah satu kumpulan pemikiran dari pelbagai manifestasi, orientasi
yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi
politik, kesusasteraan, agama dan moral.[6]
Manakala Syed Naquib al-Attas dalam bukunya Islam Fahaman Agama Dan Asas
Akhlak mendefinisikan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan yang
bermasyarakat yang telah mencapai taraf tatasusila dan kebudayaan yang luhur
bagi seluruh masyarakat. [7]
Pendapat yang diberikan oleh beberapa orang tokoh di atas dalam tulisan
mereka lebih menjurus kepada pembangunan yang seimbang antara tuntutan di dunia
dan juga tuntutan di akhirat. Maka agama memainkan peranan yang utama dalam
membentuk sesuatu tamadun yang kuat dari sudut dalaman dan luarannya. Manakala
perspektif tamadun dari kaca mata sarjana barat lebih terarah kepada
pembangunan berbentuk material tanpa campur tangan agama. Hal ini disebabkan
fahaman sekular yang telah merebak dan meresapi pemikiran kebanyakan sarjana
barat yang mengetepikan urusan agama dalam soal-soal pembangunan dan agama
sekadar amalan di gereja dan rumah ibadat sahaja.[8]
1.2 Sumber Tamadun
Dan Peradaban Islam
Sumber utama didalam pembinaan tamadun dan peradaban Islam ialah al-Quran
dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber inilah tamadun dan peradaban Islam terbina samaada
berbentuk material dan rohani. Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT ke atas umat manusia
untuk mengurus muka bumi. Al-Quran telah menggariskan batas-batas tamadun Islam
secara menyeluruh.[9]
2.0 Andalusia Sebelum Kedatangan Islam
Wilayah
al-Andalus merupakan antara wilayah yang pernah dikuasai oleh kerajaan-kerajaan
Islam dahulu dalam tempoh lebih 700 tahun. Ekspedisi ketenteraan yang diketuai
oleh Musa b. Nusayr dan Tariq b. Ziyad telah menjadi titik permulaan kepada penyebaran
agama Islam di kawasan Semenanjung Iberia. Penyebaran agama suci ini turut diperkukuhkan
lagi dengan kewujudan pelbagai pemerintahan Islam di wilayah tersebut, bermula dari
zaman Kerajaan Umawi dan diakhiri oleh Kerajaan Nasriyyah di Granada.
Bagaimanapun, kedudukan kerajaan-kerajaan Islam di al-Andalus semakin merosot
dan berakhir setelah tentera Kristian di bawah pimpinan Ferdinand dan Isabella berjaya
menguasai seluruh al-Andalus pada tahun 1492M. [10]
Nama Andalusia diambil sempena istilah
bahasa Arab, Al Andalus, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya
berada di bawah pemerintahan Muslim. [11].
Manakala menurut Mohd Nor Jusoh, Andalus
atau disebut juga sebagai al-Andalus ialah istilah yang digunakan oleh ahli
geografi Islam pada Abad Pertengahan. Yakni ia merujuk kepada wilayah
pemerintahan Islam di Semenanjung Iberia yang meliputi negara Portugal dan Sepanyol
pada hari ini.[12]
Kedudukan
geografi Andalusia yang terletak dipersimpangan antara Barat dan Timur, dan
merangkumi kawasan utara dan selatan Eropah. Perkataan asal Andalusia ini
dikatakan berasal daripada perkataan “Vandalusia” yang bererti “Tanah Vandal”,
iaitu satu suku bangsa Eropah yang mendiami rantau tersebut sekitar abad kelima
Masihi. [13]Apabila
penguasaan Vandal berakhir dan digantikan dengan suku kaum Visigoth, wilayah
ini sentiasa berada dalam keadaan huru-hara tanpa undang-undang yang mampu
menjamin keselamatan penduduknya. Seluruh Eropah pada waktu itu berhadapan
dengan ‘zaman kegelapan’ (Dark Ages) dimana budaya intelektual yang diwarisi
daripada Peradaban Greek dan Romawi semakin lenyap. [14]
2.1 Kedatangan
Islam Di Andalusia
Suasana kehidupan penduduk Vandal menjadi kelam kabut dan keadaan
masyarakat menjadi tidak terurus. Golongan petani dilayan seperti hamba.
Kemiskinan, rasuah, kejahilan dan ketidakstabilan merupakan sebahagian daripada
kehidupan harian.
Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 Hijrah (911 Masihi) di bawah
kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa.
Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu,
Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri paling makmur. Pasukan Islam tidak
hanya berhenti di Sepanyol, malah terus memperbesarkan empayar ke negara
sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan
Tours. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas,
tetapi mereka tetap mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di
daerah sebelah barat yang juga kawasan pergunungan. Islam sudah menerangi
Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah diri, ia
terus mendorong warga Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam.[15]
Mereka bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan
secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah laku
berdasarkan al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam abad. Pemimpin
Islam ketika itu cukup berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil sebagai
contoh, adalah individu yang menyambung Kerajaan Bani Umayyah di Andalus
setelah Umayyah di pusat iaitu di Damsyik telah jatuh. Abdul Rahman al-Dakhil
pernah dijemput oleh pemimpin Kristian yang dibantunya ketika memerangi musuh.
Beliau turut dipelawa minum arak, tetapi ditolak secara diplomasi dengan
berkata: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk
mengurangkannya".[16]
Selepas dari itu, bermulalah satu era baru pemerintahan Islam daripada
Bani Umaiyyah di Andalusia. Malah kedatangan Islam dianggap sebagai pembebas
dari segala bentuk kejahilan yang melanda Eropah pada masa itu.
Peta 1 dibawah menunjukkan wilayah Andulusia yang dikuasai oleh tentera
Islam pada tahun 711 Masihi.
Peta 1 : Kerajaan Islam Andalusia
Kita akan membincangkan tentang sumbangan utama kerajaan Islam Andalusia
dan Granada pada bab 3.0 yakni Andalusia telah menjadi pusat intelektual yang
termashyur didunia. Kemajuan bidang intelektual ini telah menjadi pemangkin
kepada bidang-bidang lain dan ianya adalah bersendikan kepada al-Quran dan
as-Sunnah.
3.0 Sumbangan Peradaban Islam Andalusia
Terhadap Pembentukan Peradaban Eropah
Keagungan
dan kejayaan sesebuah negara tidak dapat tidak dapat dipisahkan dari semangat perkembangan
ilmu dan penyelidikan baru yang dicetuskan oleh Islam. Selama 8 abad
(92-897H-711-1492M) orang-orang Islam menjadi perintis dan pelopor tamadun yang
tersendiri di Andalus. Didorong oleh semangat cintakan ilmu, maka
sarjana-sarjana Muslim mendaki setiap ketinggian intelektual dan mengatasi
setiap halangan fizikal sehingga orang-orang Islam berjaya memberi sinar dan
kemajuan kepada masyarakat Eropah yang ketika itu masih berada dalam kemiskinan
dan kemerosotan baik dari sudut material mahupun spiritual. Tradisi mengkaji
dengan bebas disamping menghargai fikiran manusia merupakan kejayaan paling
manis dalam kehidupan intelektual orang-orang Islam. Lantaran itu kita dapati
bumi Andalus ketika itu dipenuhi dengan institusi-institusi pengetahuan yang
memperdebatkan idea-idea tanpa halangan dan mencari ilmu pengetahuan sebagai
satu ibadah. Orang-orang Islam menjadi pemimpin dan guru dalam semua daya
kreativiti dan aktiviti yang dilakukan sehingga Andalus menjadi simbol kekuatan
dan keagungan Islam dan dianggap sebagai “The Torch Of Europe” [17]
3.1 Perkembangan
Intelektual
Selama hampir 800 tahun berada dibawah pemerintahan Islam, Andalusia
menjadi satu sumber peradaban kepada Eropah. Sebagai negara yang bertamadun
tinggi, kemajuan dicapai oleh umat Islam Andalusia dalam bidang seni, sastera
dan sains tiada bandingannya di benua Eropah. Kemajuan yang dicapai oleh
Andalusia telah menarik ramai pelajar-pelajar daripada Perancis, Jerman dan
England untuk menuntut ilmu pengetahuan yang hanya terdapat diwilayah
pemerintahan kerajaan Islam.
Perkembangan yang
pesat telah berlaku terutamanya semasa pemerintahan Abdul Rahman al-Nasir
(912-961 Masihi) dan penggantinya iaitu al-Hakam yang juga merupakan seorang
sarjana biologi, falsafah dan ilmu-ilmu hukum.
[18]
Antara kemajuan
dalam bidang ilmu yang telah dicapai ialah:
a.
Matematik
Matematik adalah bidang yang dilupai oleh peradaban Eropah pada zaman
Medieval. Mereka langsung tidak berminat terhadap pencarian fakta-fakta
saintifik. Tambahan pula masyaralat Eropah menerima tekanan daripada pihak
gereja dengan menyekat perkembangan ilmu sains kerana ianya boleh menggugat
kekuasaan gereja.
Peradaban Islam Andalusia memainkan peranan yang penting terhadap
perluasan ilmu saintifik. Sumbangan kepada peradaban Eropah dalam bidang
matematik dapat dilihat apabila munculnya ramai pakar-pakar dalam bidang ini
seperti Aderald dan Morley dari Britain. Aderald telah belajar dengan
orang-orang Islam Andalusia dan telah menterjemahkan karya al-Khuwarizmi yang
menulis tentang teori geometri dalam matematik dan statistik.[19]
b.
Astronomi
Dalam bidang astronomi terdapat beberapa karya karangan Abu Ma’syar dan
juga Kuwarizmi. Karya dua tokoh Islam ini telah diterjemahkan ke bahasa Latin
oleh Aderald of Bath dan John of Seville. Abu Ma’syar merupakah cendiawan Islam
yang telah membetulkan akrya-karya Ptolemy dan menentukan ketepatan gerhana
matahari. Manakala karya-karya al-Battani telah diterjemahkan ke bahasa Latin
oleh Alfonso X. Karya Ibn al-Zarqiyali juga telah diterjemahkan oleh ahli
astronomi yang dipinjam daripada bahasa Arab iaiti al-Sumut dan Nadir.[20]
c.
Perubatan
Pengaruh sarjana Islam Andalusia dalam bidang sains dan perubatan di Eropah
amat mengagumkan kerana kecemerlangan mereka mengatasi pencapaian ahli-ahli
perubatan di Timur. Kemajuan telah dicapai dalam bidang anatomi dan fisiologi.
Antara pakar perubatan yang memberi sumbangan kepada peradaban Eropah ialah Abu
Qasim Khalaf bin Abbas Al-Zahrawi (Abucasis). Beliau telah mengarang yang
lengkap satu karya yang dianggap sebagai ensiklopedia perubatan yang yang
lengkap iaitu kitab al-Tasrfi. Kitab ini telah diterjemahkan ke beberapa
bahasa Eropah.[21]
d.
Seni bina
Di Andalusia dan Granada, terdapat banyak seni bina yang melambangkan
peradaban Islam. Seni bina ini telah menyumbangkan kepada peradaban Eropah
apabila bentuk serta struktur binaan ini telah berkembang dengan pesat di
Eropah. Antara binaan termasyhur di Andalusia terletak di Granada yang dibina
semasa pemerintahan kerajaan Nasriyyah. Ianya lahir hasil asimilasi orang Islam
dan bukan Islam pada abad ke 13 dan 14M. Contohnya rekaan seperti Alcazar di
Sevile dan grereja Toledo. Reka bentuk sina binaanya adalah dipengaruhi oleh
seni bina Kristian. Sementara itu di Granada, banyak seni binanya adalah
dipengaruhi oleh seni bina Islam seperti Istana Al-Hambra yang melambangkan
salah mercu tanda Islam di Andalusia. [22]
4.0 Keruntuhan Islam
Andalusia[23]
Pun begitu,
ketika Islam kian kukuh di Andalus berabad-abad lamanya, ia tetap dikeliling
orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam, tetapi selalu
gagal. Beberapa kali dicuba, namun tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar
perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik
menemui cara bagi menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman dengan
serangan pemikiran dan budaya. Musuh kemudian secara senyap menghantar arak
secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan
muda agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran.
Punca lain
adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga mewujudkan 20 puak
yang mempunyai negeri masing-masing. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun. Ekoran wujudnya pelbagai
puak, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah. Apa yang
menyedihkan, ada umat Islam yang menjual’ agama dan negara demi
kepentingan peribadi. Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika
berdepan dengan rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan
Raja Kristian Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut. Habuannya,
Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam
Islam mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang
dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik, apabila berjanji
membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.
Sebenarnya, 800
tahun bukan singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding
bangsa lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak pernah
wujud. Apa yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini
bukanlah Andalus pada satu masa dulu.
Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, iaitu raja
terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharam 897 Hijrah yang memeterai
perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan
Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah setelah
berkuasa 800 tahun. Bani al-Ahmar merupakan puak yang menguasai wilayah Islam
terakhir di Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah hingga 897 Hijrah iaitu pada
tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol,
Ferdinand dan Isabella dimeterai.
Perjanjian yang melibatkan 67 perkara itu, termasuklah
jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi pada akhirnya ia tidak
pernah direalisasikan. Malah, 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya
semakin terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak
pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya 800
tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan
daripada orang Kristian Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan dalam
sejarah Islam pada 892 Hijrah. Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji
boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara
kejam atau tanpa perikemanusiaan. Dalam tragedi tersebut, umat Islam mati
bermandikan darah angkara tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka bersembunyi
di rumah masing-masing. Bagi membunuh penganut Islam, tentera Kristian
menggunakan satu penipuan besar.
Tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim
Granada boleh meninggalkan rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar
meninggalkan Sepanyol sambil membawa barangan keperluan masing-masing. Tentera
yang sama juga memaklumkan jaminan keselamatan bagi mereka yang ingin
meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih ramai yang meragui tawaran tersebut. Bagaimanapun,
selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan telah disediakan untuk
membawa mereka belayar, barulah mereka menerima tawaran berkenaan.
Keesokan harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar
membawa barang eperluan menuju
pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu, mereka
terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Sesudah umat Islam
berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang
ditinggalkan, kemudian membakarnya. Umat Islam yang ada di pelabuhan pula
tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan membawa
mereka keluar dari Sepanyol. Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam tidak
dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita dan
kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus. Setelah
menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu dibunuh kejam tanpa
secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus terdengar, tetapi secara buas
tentera Kristian semakin ganas membunuh warga awam yang sama sekali tidak
berdaya. Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir
dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan
bertukar menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah
umat Islam yang tidak boleh dilupakan.
5.0 Kesimpulan
Jika diteliti dari sudut
perkembangan dan kemajuan Islam di Andalusia, jelas menunjukkan bahawa
pemerintahan Islam telah mementingkan kemajuan intelektual dan keilmuan,
disamping perkembangan industri dan pertanian. Namun, disebabkan beberapa
masalah dalaman yang berlaku, pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat bertahan
dan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka selama hampir 8 abad itu
kembali kepada Kristian.
Antara punca yang dilihat
melemahkan umat Islam ketika itu dan boleh dijadikan iktibar kini ialah:
i.
Perebutan kuasa dalam kalangan
pemimpin yang mentadbir wilayah. Ini dapat dilihat pada peringkat
ii.
Tidak mempunyai sifat ketaatan
kepada kepimpinan sehingga mereka tidak mahu mengikut nasihat khalifah.
Akhirnya, anasir-anasir tidak puas hati itu membawa kepada perancangan untuk
merampas kekuasaan dalam kalangan umat Islam, sedihnya dengan melibatkan
kerjasama dengan pihak musuh
iii.
Wujudnya golongan yang ingin
menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan
musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Manakala kejayaan pemerintahan
kerajaan Islam Andalusia yang patut kita contohi ialah:
i.
Andalusia telah membuka ruang
untuk memastikan supaya sekiranya kita ingin sentiasa maju ke hadapan , kita
harus bersikap terbuka kepada pemikiran-pemikiran kreatif
dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah mencapai kejayaan dari segi
sains dan teknologi kerana mereka
menggalakkan suasana intelek dan tidak
rigid dengan kemasukan ilmu-ilmu moden.
i.
Kecemerlangan Andalusia dalam
bidang pertanian dan industri
memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini
dengan bantuan teknologi maklumat , dan
mengambil nikmat bioteknologi untuk dikembangkan dalam sektor ini agar
pertanian dan industri lain tidak lagi dipandang enteng.
ii.
Lahirnya ilmuan seperti Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr
(1091-1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendekiawan Muslim yang
versatile , mahir dari segi ilmu turath dan juga ilmu moden yang mampu untuk
meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi ilmuwan moden ini
harus dibina jati diri mantap agar member manfaat kepada pembangunan negara.
iii.
Ketamadunan yang dibina telah
meninggikan Eropah yang pada waktu tersebut berada pada zaman kegelapan. Bandar
Cordova di Andalusia dilihat sebagai
Bandar yang terulung dalam kalangan Negara-negara Eropah yang lain dan mereka telah memajukan intelektualisme dari
aspek falsafah , seni bina, matematik , teologi, perubatan dan banyak lagi
sehingga Islam digambarkan begitu ke hadapan dalam soal ini. Mereka dapat me-asimilisasi-kan Islam dengan falsafah dan pusat kecemerlangan
Greek sehingga ia menyumbang kepada pembangunan keseluruhan negara Barat yang
di dominasi kaum Kristian.
iv.
Kejayaan mereka membina tamadun
dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi
juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap
ajaran Islam yang dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Rujukan tentunya terhadap
contoh-contoh awal yang ditunjukkan oleh khalifah Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi
setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah
pemerintahan Islam. Contoh –contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke
wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan sejarah
di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana
keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan
negara kita sekarang yang mempunyai kepelbagaian latar bangsa dan penganut
agama. Oleh itu, demi mencapai puncak kemajuan , kerjasama antara kaum ini harus
diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dalam
kalangan rakyat yang ada.
Rujukan
Al-Quran
& Terjemahan
Abdul
Aziz bin Harjin. 15 Apri 2005. Islam di Andalus. Dipautan http://ctu551.blogspot.com/2008/04/islam-di-andalus-spanyol.html
Afifah
Abu Yazid, Mohd Nizho Abdul Rahman, Ismail Ishak, Kamarudin Ahmad, Shukri Ahmad
& Mohamad Khadafi Rofie. 2012. Tamadun Islam dan tamadun Asia.
Selangor. Penerbit: Pearson Malaysia Sdn Bhd
Arnold
Toynbee. 1972. A Study of history. London. Oxford University Press, Thames and
Hudson Ltd
Bazli
Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam yang
disembunyikan.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_01.htm
Dr
Mustafa Haji Daud. 1997. Al-Quran sumber tamadun Islam. Kuala Lumpur.
Penerbit: Jabatan Kefahaman Islam
Malaysia (JAKIM)
Ezad
Azraai Jamsari, Noranizah Yusuf, Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari, &
Adibah Sulaiman @ Mohamad. 2011. Sejarah kerajaan Islam di al-Andalus
menurut buku sejarah umat Islam karya HAMKA. Jabatan Pengajian Arab dan
Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Institut Kajian Rantau Asia Barat
(IKRAB), Universiti Kebangsaan & Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains
Islam Malaysia
Mohd
Nor Jusoh. 2012. Tamadun Islam & Tamadun Asia. Selangor. Penerbit: Sarjana
Media Sdn Bhd
Mohd
Roslan Mohd Nor. 2010. Meneladani sejarah umat Islam dalam membentuk
masyarakat Hadhari yang gemilang abad ke 21. Jurnal Hadhari 2 (2) (2010)
19-40. Selangor. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Syed
Naquib al-Attas. 1977. Islam Fahaman
Agama dan asas akhlak. Kuala Lumpur. Penerbit : ABIM
[1] Surah Al-Baqarah
2:31
[2] Surah Al-Baqarah
2:32
[3]
Mohd Roslan Mohd Nor. 2010. Meneladani sejarah umat Islam dalam membentuk
masyarakat Hadhari yang gemilang abad ke 21. Jurnal Hadhari 2 (2) (2010)
19-40. Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 20
[4] Ibid
[5] Mohd Nor
Jusoh. 2012. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 12
[6] Arnold
Toynbee. 1972. A Study of history. Oxford University Press, Thames and
Hudson Ltd
[7] Syed
Naquib al-Attas. 1977. Islam Fahaman
Agama dan asas akhlak. Penerbit : ABIM
[8] Mohd
Roslan Mohd Nor. 2010. Meneladani sejarah umat Islam dalam membentuk
masyarakat Hadhari yang gemilang abad ke 21. Jurnal Hadhari 2 (2) (2010)
19-40. Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 22
[9] Mohd Nor
Jusoh. 2012. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 16. Lihat juga Dr
Mustafa Haji Daud. 1997. Al-Quran sumber tamadun Islam.
[10] Ezad
Azraai Jamsari, Noranizah Yusuf, Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari, &
Adibah Sulaiman @ Mohamad. 2011. Sejarah kerajaan Islam di al-Andalus
menurut buku sejarah umat Islam karya HAMKA, hlm 127
[11] Bazli
Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam yang
disembunyikan?
[12] Mohd
Nor Jusoh. 2012. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 431
[13] Ibid
[14] Ibid
[15] Bazli
Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam yang
disembunyikan?
[16] Ibid
[17] Dipetik
dari artikel Islam di Andalus dipautan http://ctu551.blogspot.com/2008/04/islam-di-andalus-spanyol.html
[18] Mohd
Nor Jusoh. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 432
[19] Ibid
[20] Ibid,
hlm 433
[21] Ibid
[22] Ibid,
hlm 436
[23]
Bazli Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam
yang disembunyikan.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_01.htm
Mohon nk buat sbgai rujukan boleh ?
ReplyDelete