Pages

Friday 2 August 2013

LGBT: Keburukan Dan Bahaya Dalam Masyarakat Hari Ini

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين

1.0       Pendahuluan
Tujuan esei ini di buat ialah untuk memenuhi kehendak kerja kursus bagi subjek Fiqh Sunnah II. Penulis memilih tajuk LGBT: Keburukan Dan Bahaya Dalam Masyarakat Hari Ini kerana topik ini sangat menarik untuk dikupas memandangkan ramai dikalangan masyarakat Islam di Malaysia khasnya yang telah terpengaruh dan terjerumus ke dalam kancah yang hina ini. Dalam usaha penulis untuk memahami dan berkongsi ilmu tentang isu-isu yang berkaitan Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT), penulis merujuk beberapa bahan yang relaven dengan topik. Isu LGBT seringkali menjadi bahan berita di akhbar-akhbar perdana. Kes paling terbaru ialah masyarakat kita telah dikejutkan dengan berita pelajar perubatan tajaan Petronas yang bernama Ariff Alfian Rosli yang telah berkahwin dengan pasangan yang juga seorang lelaki di Ireland setelah dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak tahun 2009. [1]

Isu homoseksual di tanah air kita bukan baru dalam masyarakat, kerana saban hari media massa akan memaparkan kisah-kisah yang sering memeranjatkan kita. Tanpa kita sedari, jika isu LGBT ini tidak ditangani dengan bijaksana, ia akan menghakis dan menggugat keharmonian hidup bermasyarakat serta boleh meruntuhkan institusi keluarga. Kesan jangka masa panjang pula ialah masyarakat Islam akan mengalami krisis genetik kerana tiada lagi institusi perkahwinan yang boleh melahirkan zuriat untuk meneruskan kelangsungan generasi manusia. Selain daripada itu, penulisan ini juga boleh dilihat sebagai usaha penulis untuk berdakwah kepada masyarakat khususnya kepada golongan LGBT.
   

1.1       Sumber
Sumber primer di dalam analisis dan penulisan tentang topik LGBT ini adalah Al-Quran. Manakala sumber sekundernya adalah buku-buku pendidikan yang relevan dengan tema pembahasan dan keratan-keratan akhbar. Sebenarnya, penulis dapati adalah tidak banyak penulisan tentang isu LBGT oleh ahli-ahli akademik di dunia Islam seperti buku-buku dan jurnal. Jika ada penulisan tentang isu ini, ianya adalah ditulis di akhbar-akbar tentang gejala tersebut. Namun penulis dapati, terdapat banyak penulisan tentang isu LGBT yang telah dibuat oleh penulis-penulis barat iaitu di dalam segmen Seksual dan Identiti (sexsual and indentity) dibawah kategori kajian sains sosial.


1.2       Pendekatan Kajian Penulisan Ini
Pendekatan penulis barat adalah bersifat kombinasi kajian perubatan sainstifik secara klinikal dan trend ke atas kajian sains sosial mengapa seseorang individu itu boleh mempunyai kecenderungan seks terhadap jantina yang sama sejenis dengannya. Malah, esei ini juga turut memaparkan beberapa penemuan kajian yang didapati oleh penulis dan pengkaji barat tentang mengapa seseorang yang lahir secara sempurna sifatnya sebagai lelaki (atau perempuan), ingin menukar jantina kepada perempuan (atau sebaliknya lelaki). Tetapi kekurangan penulisan barat ialah menghubungkaitkannya dengan aspek ketuhanan dan hukum-hukumNya.

Manakala artikel-artikel yang ditulis oleh penulis Islam pula adalah lebih bersifat kepada pemaparan gejala-gejala sosial seperti penukaran jantina, perkahwinan sesama sejenis, tempat-tempat maksiat yang sering dikunjungi oleh golongan LGBT, mengupas apakah yang telah diperkatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran tentang amalan songsang di dalam topik perbahasan ini. Penulisan artikel Islamik adalah lebih berbentuk literasi yang tidak mengaitkannya dengan kajian perubatan secara klinikal.

Maka, penulisan ini adalah sebagai usaha untuk mengharmonikan di antara pendekatan barat yang berbentuk sainstifik dan menggabungkannya dengan pendekatan Islam supaya masyarakat memahami kedua-dua persepektif ini. Manafaat daripada usaha ini ialah, kita dapat memahami mengapa seseorang individu tersebut mempunyai kecenderungan dan berperasaan seperti kewanitaan (jika beliau seorang lelaki) dan kecenderungan berperasaan kelelakian (jika beliau seorang wanita). Adakah perasaan itu lahir secara fitrah atau ianya merupakan proses pendidikan semenjak mereka kecil. Penulisan ini juga akan membincangkan punca-punca dalaman dan juga punca-punca luaran yang mempengaruhi kecenderungan tersebut. Selepas itu, kita boleh membincangka adakah masalah ini boleh dirawat? Jika ia boleh dirawat, apakah perbezaan dan persamaan diantara kaedah barat dan Islam. 


Definisi berikut adalah sekadar maklumat umum yang berkaitan dengan isu semasa yang sedang hangat melanda masyarakat Islam Malaysia. Definisi ini merujuk kepada Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka.[2]

a.    Homoseksual – adalah merujuk kepada seseorang individu yang tertarik atau mempunyai kecenderungan dari segi seks kepada orang yang sama jenis jantina;

b.    Gay – merujuk kepada lelaki yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya, iaitu homoseksual;

c.    Lesbian – merujuk kepada perempuan yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya, iaitu perempuan homoseksual;

d.    Biseksual – kecenderungan untuk melakukan hubungan seks dengan kedua-dua jantina iaitu lelaki dan wanita

e.    Transeksual – seseorang lelaki atau perempuan yang berperasaan seperti perempuan atau sebaliknya dan menampilkan perasaannya secara nyata sama ada melalui pertuturan, gerak badan, cara berpakaian dan sebagainya


Rumusan bagi bab pengenalan ini, penekanan akan diberikan kepada fakta-fakta yang berkaitan dengan masalah LGBT, punca-punca mengapa ianya terjadi dan kesan buruk kepada masyarakat Islam khasnya masyarakat Islam di Malaysia.



2.0       Takrifan LGBT Dari Sudut Sains Sosial
Menurut Lerner di dalam bukunya “Genders Issues and Sexuality” telah menghuraikan bahawa golongan LBGT atau lebih dikenali sebagai golongan “transgendereds” dan “transsexual” ialah individu atau kumpulan individu yang mengalami ketidakstabilan jantina dan kerumitan seksualiti. Golongan ini menganggap bahawa identiti jantina mereka adalah sepatutnya berbeza daripada apa yang sepadan dengan alat seks mereka secara fisiologi. [3]

Menurut Lerner lagi, golongan “transgendereds” dan “transsexual” ini sering merasakan jika mereka seorang perempuan, mereka sepatutnya adalah lelaki. Jika mereka seorang lelaki, maka mereka sepatutnya adalah seorang perempuan. Golongan ini juga seringkali mengalami masalah untuk bersosial kerana stigma pemikiran masyarakat terhadap mereka yang beranggap bahawa mereka menjalani kehidupan secara songsang. [4]

Laporan yang dikeluarkan oleh Bailey & Benishay pada tahun 1993[5], gejala homoseksual selalunya bermula dirumah. Berikutan dengan itu, ia selalunya berlaku kepada pasangan kembar seiras berbanding dengan kembar tidak seiras. Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa anak yang bongsu adalah lebih cenderung kepada masalah “transgendereds” ataupun “transsexual” berbanding dengan anak sulung di dalam keluarga.

2.1       Punca-Punca Berlakunya Masalah LGBT
a)    Biologi
Homoseksual adalah keadaan pernyataan perasaan yang semulajadi menyebabkan seseorang itu mempunyai nafsu terhadap kaum sejenis. Perasaan dan nafsu tersebut terhasil disebabkan oleh bahan kimia dan hormon yang dikeluarkan dalam badan (luar kawalan). Pendapat ini masih lagi dalam perbincangan dan tidak dapat dibuktikan secara menyeluruh oleh pakar dalam bidang ini.

Terdapat juga teori bahawa aturan kelahiran menentukan sama ada seseorang homoseksual atau tidak. Suatu kajian oleh Ray Blanchard memperolehi data bahawa semakin bongsu seseorang anak, semakin besar kemungkinan dia homoseksual. Alasan-alasan di belakang pemerhatian ini belum ditentukan. Ianya dipercayai bahawa dengan setiap kehamilan, badan ibu mempunyai lebih hormon androgen yang boleh mempengaruhi orientasi seksual seseorang anak. [6]

Alasan ini disokong oleh pemerhatian bahawa hanya anak-anak lelaki yang lebih bongsu, dan bukan anak-anak perempuan yang lebih bongsu, yang menunjukkan kemungkinan yang lebih besar untuk menjadi homoseksual. Alasan sosial bahawa adik-adik bongsu mungkin dipengaruhi oleh abang-abang mereka disangkal kerana apabila eksperimen ini dijalankan dengan anak-anak angkat, kemungkinan anak-anak angkat merupai homoseksual tidak menjadi apabila mereka semakin besar.

b)     Dorongan individu
Rentetan dari proses pembelajaran sewaktu kecil. Umpamanya seorang ibu yang amat teringin untuk mempunyai seorang anak perempuan tetapi sebaliknya mempunyai bayi lelaki. Bayi lelaki ini semenjak dia kecil dipakaikan dengan pakaian seorang perempuan, diberi permainan kanak-kanak perempuan, berambut panjang dan dilayan sebagai seorang kanak-kanak perempuan. Proses ini akan membentuk kepercayaan di dalam dirinya bahawa dia yang seorang lelaki adalah merupakan seorang perempuan. Apabila dia dewasa, beliau akan mengalami kecelaruan identiti lalu merasakan bahawa dirinya adalah terperangkap di dalam tubuh seorang lelaki.

c)    Trauma Masa Lampau/Kanak-Kanak
Apabila seseorang mengalami trauma masa lampau yang sangat teruk, akan mendorong mereka tidak menyukai jantina yang berbeza dengan mereka. Sebagai contohnya ialah mangsa pemerkosaan. Menurut laporan Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kes rogol yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagi tempoh lima tahun sejak 2005, sebanyak 9,575 kes rogol melibatkan mangsa di bawah umur direkodkan oleh PDRM.[7]

Penulis berpendapat bahawa jika mangsa rogol iaitu daripada aspek hubungan sumbang mahram (inses) di antara bapa (termasuklah saudara mara lelaki) dengan kanak-kanak perempuan akan menimbulkan berkurangnya rasa kepercayaan terhadap bapa (atau saudara mara lelaki). Ini kerana orang yang sepatutnya menjaga dan memelihara mereka dengan penuh kasih sayang telah merogol dan merosakkan kehormatan mereka.  Rasa ketidakpercayaan ini akan boleh menyebabkan kanak-kanak perempuan cederung untuk menjadi seorang lesbian. Pendapat  penulis ini adalah konsisten dengan Prof Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan HUKM[8] bahawa hubungan di antara bapa dan anak-anak juga boleh menjadi faktor penyebab kepada gejala LGBT ini.

Sebaliknya bagi kanak-kanak lelaki yang tidak mendapat kasih sayang bapa kerana terlalu sibuk bekerja, anak-anak lelaki ini  akan bersama ibu dalam tempoh masa yang panjang berbanding dengan bapa. Ini akan mewujudkan kanak-kanak lelaki tersebut rasa kurang percaya pada potensi seksual yang ada pada diri sendiri. Selain itu tarikan individu terhadap homoseksual, menjadi keinginan perasaan yang menyetujui untuk mendominasi hawa nafsu. Harga diri tidak boleh diperolehi dari hubungan lain. Ketakutan pada kaum bertentangan jenis menyebabkan tindak-balas erotik yang pasif. [9]

d)    Peluang dan ruang
Dewasa ini terlalu banyak peluang dan ruang untuk anak-anak muda untuk terjerumus ke dalam gejala LGBT. Pembangunan berbentuk material yang pesat di ibu kota terutama di kawasan Bukit Bintang dengan kemudahan hotel-hotel, pusat membeli belah, SPA, kelab-kelab malam (termasuklah kelab malam untuk golongan gay) dengan mengadakan perniagaan hingga ke awal pagi menyebabkan banyak wujudnya ruang dan peluang kepada golongan remaja dan belia terjebak dengan najis dadah, pelacuran serta termasuklah gejala LGBT ini. [10]


e)    Pendidikan Seks Yang Salah
Faktor pendidikan seks yang salah ini memerlukan susunan ayat yang tepat kerana dibimbangi sebarang salah faham akan menjadi sumber fitnah kepada diri saya sendiri. Ibubapa perlu memberikan didikan seks yang betul kepada anak-anak mereka. Maksud betul di sini ialah seorang anak lelaki dididik agar cenderung dan minat kepada perempuan dan demikianlah sebaliknya terhadap anak perempuan. Pada waktu yang sama, anak-anak dididik cara perhubungan yang betul agar tidak terjadi sesuatu yang dilarang oleh agama. Islam menuntut hubungan seksual antara lelaki dan wanita (heteroseksual) dan hubungan ini ada syarat-syaratnya. Kesongsangan berlaku apabila anak-anak dididik seolah-olah semua hubungan antara lelaki dan wanita adalah haram. Didikan yang melampaui batas inilah yang menyebabkan anak-anak membesar dengan kecenderungan seks yang berlawanan dari fitrah ciptaan mereka. Penyelesaian kepada punca ini tidak sahaja disandarkan kepada proses pendidikan ibubapa, tetapi meluas kepada para penjaga, guru, pensyarah, penceramah, peranan masjid dan masyarakat.


f)     Salah Faham Terhadap Takdir
Ramai dikalangan pengamal LGBT apabila ditegur tentang kecenderungan jantina dan seksual yang berlawanan dari fitrah manusia, ada yang menjawab bahawa itu adalah takdir Allah ke atas diri mereka dan mereka redha terhadapnya. Ini adalah kefahaman yang salah terhadap takdir. Ketahuilah bahawa keredhaan terhadap takdir yang tidak disukai oleh Allah SWT pada ukuran manusia terbahagi kepada dua kategori iaitu:

                                              i.        Kategori pertama adalah takdir yang berupa musibah seperti penyakit dan kemiskinan. Maka kita dianjurkan untuk redha dan pada waktu yang sama berusaha untuk mencari takdir lain yang lebih baik, seperti kesembuhan dari penyakit dan kecukupan sesudah kemiskinan.

                                             ii.        Kategori kedua ialah takdir yang berupa sesuatu yang dilarang oleh agama, seperti kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Maka tidak ada dalil yang menganjurkan kita untuk redha dengannya. Sebaliknya semua dalil-dalil agama mewajibkan kita untuk membencinya dan berusaha ke arah takdir yang selari dengan tuntutan agama.



g)    Media Electronic dan ICT
Teknologi moden dan media terkini seperti televisyen, CD, video, sistem audio, komputer, modem, video kamera dan telefon bimbit mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat. Internet adalah salah satu daripada media canggih yang mana semakin ramai orang menggunakannya dengan harganya yang semakin murah dan kemudahan capaian produk-produk teknologikal seperti komputer, modem, video kamera dan telefon bimbit kebanyakannya kini dilengkapi dengan capaian Internet.

Di Malaysia, sepanjang tahun 2009, jumlah pengguna Internet adalah seramai 16,902,600 pengguna berbanding tahun 2000, hanya sekitar 3,700,000 pengguna daripada populasi masyarakat Malaysia yang mencecah 26,160,256 orang. Ringkasnya, peratusan peningkatan pengguna Internet sejak tahun 2000 hingga 2009, jumlahnya adalah 356.8%[11]. Berdasarkan data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, pengguna Internet di rumah sahaja telahpun mencapai lebih 2.5 juta pengguna. Daripada statistik yang dikemukakan oleh sumber yang sama, pengguna Internet di rumah pada tahun 2008 adalah seramai 51.9% lelaki dan 48.1% wanita. Kategori umur dewasa iaitu yang berumur 20 hingga melebihi 50 tahun adalah sebanyak 75.3% manakala umur 19 dan kebawah adalah 24.7%. Seramai 55% pengguna adalah belum berkahwin manakala 44.3% telah berkahwin. Kebanyakan pengguna telah bekerja (51.5%)[12].

Data ini menunjukkan penggunaan Internet yang sangat meluas di negara Malaysia. Perkataan ‘seks’ adalah merupakan salah satu daripada topik yang paling digemari untuk dilayari di Internet[13]. Dijangkakan sebanyak 4.2 juta (12%) daripada kesemua laman web dalam Internet adalah yang berunsurkan seks/lucah atau pornografi, di mana 25% daripada jumlah tersebut adalah hangat terutamanya di kalangan golongan muda di Malaysia[14]. Ternyata walaupun dari segi peratusannya nampak kecil, tetapi, jika dilihat dari segi hakikatnya, ia adalah jumlah yang agak membimbangkan. Berdasarkan kajian lepas, daripada 31% golongan yang melayari laman web berunsurkan lucah, 5.5% menunjukkan ciri-ciri ketagihan manakala 17% adalah berisiko untuk menjadi ketagih.

Menurut statistik yang diperolehi melalui Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (2010), kekerapan penggunaan Internet di rumah yang melebih 15 jam adalah 29.6%. Angka ini perlu dikaji untuk menilai samada wujud masalah ketagihan Internet, khususnya seks siber, dalam kalangan pengguna.



3.0       Isu LGBT Dari Perspektif Islam

Berikut adalah beberapa dalil daripada Al-Quran dan hadis yang menerangkan pengharaman seks bebas (zina), gay dan lesbian:

Firman Allah di dalam Surah Al-Isra’, ayat 32:

 A032

Yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).[15]

Allah SWT mengulangi lagi laranganNya di dalam Surah An-Nur, ayat 2:

 A002

Yang bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.[16]

Manakala berkenaan dengan hubungan sesama sejenis pula Allah SWT berfirman di dalam Surah As-Syu’araa’, ayat 165 dan 166

A165

Yang bermaksud: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia”[17]

A166

Yang bermaksud: “Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”[18]




3.2       Dalil Hadith Rasulullah SAW Tentang Pengharaman Amalan LGBT

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Hakim, daripada Abu Hurairah RA:

(من زنى أو شرب الخمر نزع الله منه الإيمان كما يخلع الإنسان القميص من رأسه (رواه الحاكم عن أبى هريرة

Maksudnya: Barang siapa yang berzina dan meminum arak, Allah mencabut daripadanya iman sepertimana seseorang manusia menanggalkan baju daripada kepalanya.

Manakala hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas RA:


عن ابن عباس رضي الله عنهما، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : «من وجدتموه يعمل عمل قوم لوط فاقتلوا الفاعل والمفعول به»

Maksudnya: Sesiapa yang kamu dapatinya mengamalkan maksiat kaum Nabi Luth, maka bunuhlah peliwat dan yang diliwat.

Dalil yang ketiga berkenaan dengan isu LGBT ini ialah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, daripada Abu Musa:
  

إذا أتى الرجلُ الرجلَ فهما زانيان وإذا أتت المرأةُ المرأةَ فهما زانيتان

Maksudnya: Jika seorang lelaki mendatangi lelaki lain (meliwatnya) maka mereka berdua adalah penzina, dan jika seorang wanita mendatangi wanita lain (lesbian) maka mereka berdua adalah penzina.

Daripada dalil-dalil yang tersebut diatas, menunjukkan bahawa perbuatan LGBT ini adalah haram disisi Islam. Isu LGBT yang membawa kepada fahaman budaya songsang melawan arus sistem agama, kemanusiaan dan keluarga sering menjadi berita paling panas ketika ini di negara kita. Malahan perlakuan LGBT ini adalah perlakuan yang songsang yang ditolak oleh semua agama sawawi.



3.3       Kesan Keburukan Dan Bahaya Dalam Masyarakat
Kesan yang paling ketara kepada pengamal hubungan sesama sejenis ini ialah seperti berikut:

a.    Penyakit HIV AIDS
Penyakit AIDS mulai menjadi tumpuan ramai apabila pada 5 Jun 1981, doktor mulai mengambarkan wabak paru-paru berair yang biasanya sukar terjadi, yang menular dikalangan lima orang homoseksual di Los Angeles. Semenjak itu, AIDS dan homoseksual menjadi bagaikan seerti. Pada awal-awal penyakit merebak, San Francisco merupakan kawasan gay paling teruk dijangkiti, di mana hampir separuh daripada populasi homoseksualnya telah dijangkiti.[19]

Kini selepas penurunan kadar jangkitan AIDS dalam kalangan homoseksual pada tahun-tahun kebelakangan, peningkatan jangkitan AIDS kembali meningkat dalam kalangan gay melalui tempat mandi umum, tempat popular bagi kalangan gay mencari seksual bebas, kini menjadi tempat utama penyebaran AIDS dalam kalangan homoseksual. [20]


b.    Penyakit Siflis
Antara penyakit lain kerana aktiviti seks yang songsang ialah penyakit siflis.   Penyakit jangkitan seks mempengaruhi organ seks dan juga organ  lain.  Gonorea dan sifilis ialah penyakit seks yang paling biasa.  AIDS ialah penyakit yang paling berbahaya kerana masih tiada penawar. Penyakit jangkitan seks juga dikenali sebagai penyakit kelamin atau venereal (VD – Venereal Disease). Penyakit jangkitan seks telah mencapai taraf epidemic. Sifilis dan gonorea mempunyai bilangan kes yang paling tinggi  antara penyakit berjangkit yang  dilaporkan.  Walau bagaimanapun bilangan kes sebenar dianggarkan tiga hingga lima kali ganda bilangan kes yang dilaporkan.[21]


c.    Timbul Masalah Kecelaruan Dalam Hubungan Keluarga
Jika kita meneliti masalah LGBT di negara-negara barat yang membenarkan perkahwinan sesama sejenis[22], terdapat masalah kecelaruan dalam hubungan keluarga. Ini kerana bagi wanita yang berkahwin dengan wanita, mereka tidak boleh melahirkan anak kerana tiada sperma. Bagi lelaki yang berkahwin sesama lelaki juga turut mengalami masalah yang sama kerana tiada telur untuk mengandung. Untuk menyelesaikan masalah mendapatkan anak, mereka memilih untuk mengadakan persemanian beradas untuk mendapatkan anak. Kaedah ini amat bertentangan dengan syariah Islamiah kerana kita tidak dapat menentukan kesahihan nasab keturunan.

Rentetan dari itu, timbul pula pelbagai masalah kerana matlamat rumahtangga yang kabur. Islam menggalakkan perkahwinan kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW, mengawal hawa nafsu dengan cara yang halal, mengembangkan zuriat keturunan dengan cara pernikahan yang sah disisi syarak. Perbuatan perkahwinan sesama sejenis ini bukan sahaja dilaknat oleh Allah SWT, malahan bertengangan dengan fitrah manusia itu sendiri.  

 

4.0       Kaedah Penyelesaian Secara Islam
Berikut adalah beberapa cadangan oleh penulis untuk mengatasi masalah LGBT menurut perspektif Islam:

                      i.        Kesedaran dari dalam hati untuk berubah
Golongan LGBT muslim adalah pada asasnya Islam. Walaupun mereka melakukan dosa yang terkutuk ini, ruang dan peluang harus diberikan kepada mereka untuk kembali ke panggal jalan. Walaupun mereka sedar mereka terjebak dalam kancah maksiat, tetapi penulis sangat percaya jauh disudut hati mereka, mereka sedar apa yang mereka lakukan adalah tidak normal dan bertentangan dengan ajaran Islam. Maka, kepada golongan LGBT yang mahu berubah, setiap perbuatan mestilah dimulakan dengan niat terlebih dahulu. Iaitu niat untuk berubah. 

Selari dengan ajaran Islam, setiap perbuatan mestilah dimulai dengan niat, lafaz dan perbuatan. Insya Allah, penulis yakin golongan LGBT ini boleh dipulihkan pemikiran mereka untuk kembali menjadi normal. Kemudian, barulah diubah penampilan mereka seperti cara berpakaian, cara percakapan dan perlakuan mereka kepada normal.


                    ii.        Mendirikan Solat
Seterusnya, ibadah solat yang sempurna pula akan dapat menghalang umat Islam daripada berbuat dosa. Solat itu sendiri telah menjadi benteng pertahanan kepada kita daripada nafsu yang mendorong untuk berbuat maksiat. Ini adalah berdasarkan kepada dalil Al-Quran firman Allah SWT:


Maksudnya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.[23]

Jika diperhatikan sungguh-sungguh kita akan dapati bahawa manusia cukup suka melakukan perkara-perkara yang negatif yang menyeronokkan, meskipun perkara yang dilakukan itu memudharatkan dirinya. Untuk mengaitkan kelebihan ini dengan tajuk kertas kerja ini, maka difahami bahawa mereka yang mendirikan solat, maka Allah SWT akan membuka mata hati mereka sehingga mampu menilai sesuatu perbuatan itu apa kategorinya.  Apakah ianya baik di sisi agama, di mata orang atau ianya keji pada hukum agama dan mata masyarakat?  Jadi, manusia yang dianugerahi Allah akan kelebihan ini akan terpandu perjalanan hidupnya agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti LGBT ini.

Allah SWT telah memerintah supaya mendirikan solat dan juga telah menerangkan kesan solat kepada mereka yang mendirikannya. Solat itu mencegah perbuatan keji iaitu perbuatan yang haram dan kata-kata mungkar. Perbuatan yang keji dan perkataan yang mungkar, kedua-duanya menghasilkan dosa.


                   iii.        Mendapatkan Perkhidmatan Kaunseling/Khidmat Nasihat
Dewasa ini terdapat banyak perkhidmatan kaunseling yang disediakan untuk membantu golongan LGBT supaya dapat menyelesaikan kemelut identiti gender ini secara klinikal dan kognitif.  Malahan, perkhidmatan nasihat yang sama juga ada disediakan dimana-mana pejabat agama di seluruh negara. Penulis juga menyokong penuh usaha pihak kerajaan yang telah menubuhkan pusat perlindungan “Ilaj Home” untuk golongan LGBT untuk mendapatkan rawatan dan kaunseling kaedah Islam. [24]


                   iv.        Peranan Ibubapa, Pendidik dan Masyarakat
Ibubapa harus lebih berperanan untuk memantau anak-anak remaja agar tidak terjebak dengan masalah LGBT ini. Ibu bapa perlu memiliki kualiti bimbingan yang baik supaya anak-anak tidak mengira peringkat umur termasuklah anak-anak remaja berada dalam pengaruh budaya keluarga yang sihat. Jika tidak, pengaruh buruk di luar rumah yang sedang menunggu akan mempengaruhi mereka. Ibubapa wajib membina asas pendidikan yang kukuh (foundation) kepada anak-anak. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu memilih mana yang baik dan buruk dalam hidup mereka. Dr Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa kesan paling menonjol akibat dari tamadun hari ini ialah terpisahnya ikatan akhlak yang mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala. Bimbang dengan tekanan ini, penulis menyeru ibubapa agar membimbing anak-anak secara serius terutamanya dari sudut rohani atau bimbingan hati.


                    v.        Peranan Masjid
Penulis juga menggesa agar pihak kerajaan untuk terus memperkasakan institusi masjid di seluruh negara. Masjid bukan sahaja dijadikan tempat beribadah tetapi ia juga berperanan sebagai pusat pembangunan sosial dan komuniti umat Islam di negara ini. Pihak masjid adalah digesa untuk turut melaksanakan program pencegahan seperti kempen menjauhi zina, anti Valentines days dan program untuk golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) melalui kutbah Jumaat, ceramah, kuliah magrib dan melalui aktiviti-aktiviti masjid sepanjang tahun.



5.0       Kesimpulan
Isu berkaitan LGBT ini yang membawa kepada fahaman budaya songsang melawan arus sistem agama, kemanusiaan dan keluarga sering menjadi berita paling panas ketika ini di negara kita. Mereka yang memilih serta terjebak dalam budaya songsang ini dengan jelasnya telah melakukan sesuatu yang tidak normal serta tidak menghormati institusi keluarga, agama dan aspek moral. Jika dilihat dari perspektif yang lebih besar, budaya ini merosakkan sistem sosial dan keluarga. Budaya songsang ini bukan lahir daripada kehendak normal, tetapi dibudayakan melalui cara hidup songsang yang jauh terpesong daripada sistem kemanusiaan sejagat.

Akibat daripada pembudayaan negatif ini akan membawa kemusnahan sistem sosial dengan pencangahan nilai dan perkosaan adat budaya kita sebagai orang Timur. Ibu bapa kepada Gay dan Lesbian, terpaksa menghadapi tekanan yang datang dari pelbagai sudut sama ada keagamaan, kemasyarakatan dan undang-undang sosial dunia yang berlandaskan nilai-nilai murni. Dalam usaha untuk membangunkan dan mengekalkan nilai murni yang baik, anak yang terjerumus ke dalam budaya LGBT perlu melihat tanggungan orang yang menyanyangi mereka untuk sedar bahawa pembabitan mereka dalam budaya LGBT itu sebenarnya adalah salah. Institusi keluarga adalah benteng terakhir untuk melahirkan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia, peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani serta pemantapan nilai-nilai murni sebagai asas dalam pembentukan identiti.

Oleh itu, janganlah kita bersikap berdiam diri dengan alasan hal ini tidak melibatkan diri secara langsung. Perlu diingatkan kerosakan yang berlaku ini akan tetap menimpa kita, jika tidak sekarang mungkin pada masa akan datang.

Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud:

Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud:

 A025

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Di dalam konsep menegah kemungkaran, sama-samalah kita memelihara diri, keluarga dan masyarakat daripada terjatuh ke dalam lembah kemaksiatan. Tindakan kita pada hari ini akan menentukan masa depan kita pada hari esok. Allah akan bertanya apakah yang telah anda lakukan demi menyelamatkan anak bangsamu?

Semoga penjelasan di atas dapat membantu segelintir yang menghadapi cabaran kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Yakinilah bahawa setiap cabaran ada penyelesaiannya, bergantung sama ada kita ingin mencarinya dan berusaha untuk menyelesaikannya. Tidak ketinggalan, jangan berputus asa dari pertolongan Allah kerana Allah bersedia membantu sesiapa yang sentiasa mengharapkan rahmat-Nya.





Rujukan:

Buku Rujukan:


1.    Al-Quran dan Terjemahan

2.    Elizabeth Reis, American Sexual Histories, 2nd Edition, Wiley Blacwell Publication, USA, 2012

3.    L. Lee Lerner, Brenda Wilmoth Lerner & Adrienne Wilmoth Lerner, Thomson Gale, USA, 2006

4.    Kamus Dewan Edisi Ke-4, Terbitan Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, 2002

5.    Ski Hunter, Collen Shannon, Jo Knox, James I. Martin, Lesbian, Gay and Bisexual Youths and Adults, Knowledge for human services practice, Sage Publication Ltd, London, 1998



Keratan Akhbar:
1.    JMM Puji Kerajaan Anjur Seminar Tangani Isu LGBT, Utusan Malaysia, 1hb Mar 2013

2.    Siti Naquiah Abdullah, LGBT bunuh keturunan, musnah institusi keluarga, Berita Harian, 3hb Julai 2012

3.    Sokong sekat laman pornografi, Berita Harian, 28/7/2010. Diambil daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sokongsekatlamanpornografi/Article/

4.     MAIM tidak mahu remaja terlanjur terus hanyut. Berita Harian, 8/8/2010.  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MAIMtakmahuremajaterlanjurterushanyut/Article








[1] Siti Naquiah Abdullah, LGBT bunuh keturunan, musnah institusi keluarga, Berita Harian 3hb Julai 2012
[2] Kamus Dewan, Edisi 4, Dewan Bahasa & Pustaka
[3] Lihat L. Lee Lerner, Brenda Wilmoth Lerner & Adrienne Wilmoth Lerner, hlm 181
[4] Ibid
[5] David H. Barlow & V. Mark Durand, Abnormal Psychology, hlm 341
[6] David H. Barlow & V. Mark Durand, Abnormal Psychology, hlm 341
[7] Statistik kes rogol bawah umur lebih tinggi, Utusan Malaysia, 15hb Mac 2011
[8] Dr Harlina telah membentangkan Kertas Kerja beliau yang bertajuk “Memahami Isu Gender – LGBT: Perspektif Perubatan dan Biologi pada Muzakarah Pakar yang berlangsung di Dewan Besar IKIM pada 4hb September 2012
[9] Ibid
[10] http://www.hmetro.com.my/articles/Gejalasosialmakinserius/Article
[11] Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli, 2011
[12] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, 2010
[13] Internet Surveys, 2001
[14] Mohd. Azis, 2008; Syamsul Anuar, 2003
[15] Al-Israa' 17:32
[16] An-Nuur 24:2
[17] Asy-Syu'araa' 26:165
[18] Asy-Syu'araa' 26:167
[19] http://www.sfgate.com/health/article/AIDS-AT-20-Disease-that-changed-our-world-2914460.php
[20] http://msnbc.msn.com/id/5158153
[21] Ibid
[22] France, UK, Ireland, Canada dan baru-baru ini President Barak Obama membenarkan perkahwinan sejenis di Amerika Syarikat
[23] Surah Al-Ankabut, 29:45
[24] Sumber Bernama, bertarikh 20hb Nov 2012 artikel bertajuk JAKIM buka pusat rawatan HIV/AIDS



31 comments:

  1. Assalam. Nk mohon izin utk mengambil sedikit info utk kerja khusus :)

    ReplyDelete
  2. minx kbnran tuk ambil sdikit info kt blog ni

    ReplyDelete
  3. salam. .blh sy tahu nama sebenar penulis .. sy student upm yg sedang membuat assignment berkenaan tjuk in,, jd, sy memerlukan nama pnulis sbgai bhan rjukan ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam. Saya Asma Hj Isa. Penuntut Fakulti Pengajian Islam (Usuluddin & Falsafah), UKM. Saya boleh dihubungi melalui myasmaisa@gmail.com

      Delete
  4. Assalam..mohon kebenaran untuk guna artikel ini sebagai sumber untuk teks pengucapan umum saya..mohon halalkan ye

    ReplyDelete
  5. mohon kebenaran gunakan sedikit info dari artikel ini

    ReplyDelete
  6. assalam. mohon kebenaran utk mgunakan info dari artikel ini ...

    ReplyDelete
  7. mohon kebenaran gunakan sedikit info dari artikel ini

    ReplyDelete
  8. As Salam. Kupasan yang baik. Mohon share/ tq

    ReplyDelete
  9. Assalam. Nk mohon izin utk mengambil sedikit info utk kerja khusus :)

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum, mohon kebenaran untuk saya jadikan rujukan assignment ye :)

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum. mohon izin dari penulis utk mengambil sedikit info dan dijadikn rujukan utk assignment :)

    ReplyDelete
  12. Nk mohon izin utk mengambil sedikit info utk kerja khusus:D

    ReplyDelete
  13. Nk mohon izin utk mengambil sedikit info utk kerja khusus:D

    ReplyDelete
  14. As salam.. mohon diberi izin pada sya untuk ambil sedikit sebagai bahan ilmiah kajian sya..

    ReplyDelete
  15. mohon izin untuk guna isu ini dalam kerja kursus

    ReplyDelete
  16. Assalammualaikum.. saya nak Minta izin untuk jadi kan rujukan assignment... Terima kasih

    ReplyDelete
  17. Assalammualaikum.. saya nak Minta izin untuk jadi kan rujukan assignment... Terima kasih

    ReplyDelete
  18. Penulisan yang sangat baik. Dapat membantu remaja lebih memahami tentang LGBT. Semoga usaha ini Di Berkati oleh Yang Maha Esa.

    ReplyDelete
  19. Penulisan yang sangat baik. Dapat membantu remaja lebih memahami tentang LGBT. Semoga usaha ini Di Berkati oleh Yang Maha Esa.

    ReplyDelete
  20. saya mohon keizinan untuk menggunakan bahan ini sebagai rujukan assignment saya ya. :D

    ReplyDelete
  21. assalamualaikum, saya mohon keizinanan untuk menggunakan bahan ini untuk assignment saya ya?

    ReplyDelete
  22. Assalammualaikum saya nak Minta izin untuk jadi kan rujukan assignment saya ya.. Terima kasih

    ReplyDelete
  23. Assalamualaikum...saya minta izin untuk menjadikan artikel ini sebagi sumber rujukan saya. Sukran

    ReplyDelete
  24. Assalamualaikum Mintak kebenaran nk ambik sikit info ye

    ReplyDelete
  25. assalam... saya minta izin untuk ambil sedikit sebanyak artikal ini ye...syukran

    ReplyDelete
  26. assalamualaikum, minta izin untuk jadikan sebagai sumber rujukan terima kasih

    ReplyDelete