Pages

Sunday, 11 August 2013

Kelebihan Membuat Kebaikan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِيمَا يَرْوِى عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَالَ:

)) إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً(( .]متفق عليه[

Daripada Ibnu Abbas RA, daripada Rasulullah SAW mengikut apa yang di riwayat daripada Tuhannya Tabaraka wa Ta’ala: “Sesungguhnya Allah telah menulis segala perkara kebaikan dan keburukan, kemudian Dia menerangkan perkara tersebut. Barangsiapa yang bercita-cita (berazam) untuk melakukan kebaikan, (tetapi)  dia tidak membuatnya, Allah akan menulis di sisinya satu kebaikan yang sempurna. Sekiranya dia bercita-cita dan melakukan perkara kebaikan tersebut, Allah Azza wa Jalla akan menulis di sisinya 10 kebaikan hingga 700 kali ganda bahkan berganda-ganda lagi. Dan  sekiranya dia bercita-cita untuk melakukan keburukan sedangkan, (tetapi) dia tidak membuatnya, Allah akan menulis di sisinya satu kebaikan yang sempurna. Dan sekiranya dia bercita-cita untuk melakukan kejahatan serta melakukan perkara kejahatan tersebut, Allah akan menulis di sisinya satu keburukan sahaja.
[Muttafaqun ‘alayh]

Pengajaran hadith:
1.     Dalam hadith yang lain, daripada Abu Hurayrah, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Allah berfirman: Apabila hamba-Ku hendak membuat keburukan, maka janganlah kamu menulisnya (keburukan) sehinggalah dia melakukannya. Sekiranya dia melakukannya, maka tulislah yang semisal dengannya. Sekiranya dia meninggalkan keburukan tersebut kerana-Ku, maka tulislah baginya satu kebaikan. Dan apabila dia ingin melakukan perkara kebaikan sedangkan dia belum melakukannya, maka tulislah baginya satu kebaikan. Sekiranya dia melakukannya, tulislah baginya 10 kebaikan hingga 700 kali ganda.” [HR al-Bukhariy]


2.   Daripada Abu Zar, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Allah berfirman: Barangsiapa yang melakukan satu kebaikan, maka dia akan mendapat 10 kebaikan atau Aku akan tambah. Dan barangsiapa yang melakukan satu keburukan, maka balasannya setimpal dengan keburukan yang dilakukan atau Aku akan mengampuninya.” [HR Muslim]


3.     Mengikut nas daripada hadith-hadith di atas, catatan kebaikan dan keburukan terbahagi kepada empat:


Pertama: Amalan kebaikan.

1.   Pahala amalan ini akan digandakan daripada 10 hingga 700 kali ganda dan berganda-ganda lagi. Gandaan pahala amalan kebaikan adalah lazim untuk apa-apa sahaja kebaikan yang kita lakukan, mengikut dalil firman Allah Ta’ala: “Dan barangsiapa yang membuat satu kebaikan, dia akan mendapat 10 kali ganda (balasan pahalanya)…” [Al-An’am: 160]

2.      Adapun tentang pergandaan lebih daripada sepuluh kali ganda, ianya mengikut dalil firman Allah Ta’ala: “Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” [Al-Baqarah: 261]

3.      Daripada Ibnu  Mas’ud, katanya: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa seekor unta yang telah ditindik hidungnya, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah, unta ini aku infaqkan pada jalan Allah. Maka baginda bersabda: “(Disebabkan engkau infaqkan unta tersebut), bagi engkau pada hari kiamat 700 ekor unta.” [HR Muslim]

4. Daripada Sahl bin Mu’az daripada ayahnya, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Sesungguhnya solat, puasa dan zikir digandakan sehingga 700 kali ganda melebihi nafkahkan pada jalan Allah.” [HR Abu Dawud]

5.      Mengikut sebuah riwayat daripada Ibnu Hibban, daripada Ibnu ‘Umar, katanya: Ketika turunnya ayat ini: “Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai...” [Al-Baqarah: 261] Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Tuhanku, tambahkanlah buat umatku.” Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?” [Al-Baqarah: 245] Maka baginda bersabda: “Wahai Tuhanku, tambahkanlah buat umatku.” Lalu Allah menurunkan ayat: “…Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” [Al-Zumar: 10]

6.    Daripada Abu Hurayrah daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Setiap amalan anak Adam akan berganda: Satu kebaikan akan digandakan daripada 10 hingga 700 kali ganda, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Kecuali puasa, kerana sesungguhnya ia untuk-Ku dan Aku akan memberi balasan kepadanya. Dia meninggalkan syahwatnya, makan dan minumnya kerana-Ku.” [Muttafaqun ‘alayh]

7.      Hadith ini menunjukkan bahawa puasa tidak diketahui ganjaran pahalanya kecuali Allah ‘Azza wa Jalla, kerana puasa adalah tingkatan sabar yang paling utama. Firman Allah Ta’ala: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka tanpa hisab". [Al-Zumar: 10]

8.      Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada tanda kebaikan Islam seseorang itu ialah dia meninggalkan perkara yang tidak penting baginya.” [Hadith Hasan – Riwayat al-Tirmiziy]

Jikalau mengikut hadith di atas, sesungguhnya gandaan kebaikan akan bertambah sehingga sepuluh kali ganda disebabkan kebaikan Islam dan kesempurnaan sifat ikhlas seseorang itu, serta dia melebihkan amalan itu dalam hidupnya dan berhajat kepada pahala daripada Allah.

                              Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang memasuki pasar lalu berkata:
لا إله إلا الله وحدَه لا شريكَ له ، له الملكُ ، وله الحمدُ ، يُحيي ويُميتُ ، وهو حيٌّ لا يَمُوتُ ، بِيَدِهِ الْخَيرُ ، وَهُوَ علي كلِّ شيءٍ قديرٌ

(Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa Tidak ada sekutu bagiNya, bagi-Nya kerajaan, dan bagi-Nya segala pujian, Dia berkuasa menghidup dan mematikan (sesiapa), dan Dia sentiasa hidup dan tidak akan mati, di tangan-Nya segala kebaikan, dan Dialah Maha berkuasa atas segala sesuatu) . Maka Allah akan tulis untuknya beribu-ribu kebaikan dan memadamkan darinya beribu-ribu kejahatan dan mengangkat untuknya beribu-ribu darajah. [HR Al-Tirmiziy- Kata AL-Baani : Soheh]

Kedua: Amalan keburukan.
1.      Amalan ini akan ditulis sebagai keburukan seumpamanya (mengikut kadar keburukan itu sendiri) dan ianya tidak akan digandakan, sebagaimana firman Allah Ta’ala: “… Dan barangsiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak akan dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” [Al-An’am: 160]

 “Allah akan menulis baginya satu kejahatan…” membawa maksud bahawa ianya tidak akan digandakan sebagaimana di dalam hadith.

2.      Akan tetapi kadang-kadang dosa itu boleh menjadi besar, sesuai dengan keadaan semasa atau tempat sebagaimana firman Allah Ta’ala: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)…” [Al-Taubah: 36]

Daripada Aliy bin Abi Talhah, kata Ibnu Abbas tentang ayat “maka janganlah kamu menganiaya diri sendiri…”: Janganlah kamu menganiaya diri sendiri dalam setiap keadaan dan waktu, kemudian Allah mengkhususkan empat bulan tersebut dan menjadikannya haram (untuk menumpahkan darah). Kehormatannya besar, dan Allah menjadikan dosa yang dibuat pada waktu tersebut sebagai besar serta ganjaran amalan soleh yang dilakukan juga besar.

3.      Sebahagian para sahabat Nabi SAW, mereka mengelak daripada tinggal di tanah Haram kerana takut melakukan dosa-dosa yang akan berganda di situ. Antara mereka ialah Ibn Abbas, Abdullah bin Amru bin Al-‘As. Antara mereka juga Umar bin Abdul Aziz.  Kata Abdullah bin Amru: Dosa di tanah Haram adalah lebih besar. Kata Umar: Aku lebih rela melakukan 70 dosa di luar Makkah daripada aku buat 1 dosa di Makkah.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “ (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh fusuq (membuat maksiat), dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan Ibadat Haji.” [Al-Baqarah: 197] Kata Ibnu ‘Umar: Fusuq ialah berbuat maksiat kepada Allah dalam tanah haram.

Ketiga: Bercita-cita untuk membuat kebaikan.
1.      Allah akan menulis baginya satu kebaikan yang sempurna walaupun dia tidak mengamalkannya sebagaimana di dalam hadith yang bermaksud: “Apabila seorang hamba-Ku berkata-kata untuk berbuat kebaikan, maka aku akan menulis baginya satu kebaikan.” [HR Muslim]

Maksud ‘berkata-kata’ ialah: Berkata-kata di dalam hati, iaitu bercita-cita/terdetik di dalam hati. ‘Bercita-cita’ pula membawa maksud: Azam yang kuat dan disertai dengan semangat yang bersungguh-sungguh untuk beramal, bukan semata-mata lintasan yang terlintas di dalam hati.

2.      Kata Abu Darda’: Barangsiapa yang mendatangi tempat tidurnya, kemudian dia berniat untuk solat pada waktu malam, lalu dia tertidur sehingga ke waktu pagi, akan dituliskan untuknya ganjaran pahala mengikut apa yang dia niatkan.

3.      Diriwayatkan daripada Sa’id bin al-Musayyib, katanya: Barangsiapa yang bercita-cita untuk solat, atau puasa, atau haji, atau umrah, atau pergi berperang, lalu ada sesuatu yang menghalanginya untuk melakukan ibadat tersebut, Allah SWT akan menunaikan apa yang dia niatkan.
4.      Kata Abu Imran al-Juniy: Allah menyeru kepada malaikat: Tulislah untuk si fulan begini begini. Lalu malaikat berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya dia belum melakukannya. Allah berfirman: Sesungguhnya dia telah berniat.

5.      Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya dunia ini hanya untuk empat jenis manusia. Yang pertama ialah seorang hamba yang diberi rezeki oleh Allah harta dan ilmu, lalu ia bertaqwa kepada Tuhannya, dan dia menyambung hubungan silaturrahim, dan dia mengetahui hak Allah ke atasnya. Maka ini adalah yang paling baik. Yang kedua ialah hamba yang diberi rezeki oleh Allah ilmu tetapi tidak diberikan harta, dan dia mengikhlaskan niatnya sambil berkata: Jikalau aku memiliki harta, sudah pasti aku akan melakukan amalan seperti si fulan. Maka ia dengan niatnya itu mendapat pahala sama seperti orang yang pertama. Yang ketiga ialah seorang hamba yang diberi rezeki oleh Allah harta tetapi tidak diberikan ilmu. Lalu ia membelanjakan hartanya tanpa panduan ilmu dan dia tidak bertaqwa kepada Tuhannya, tidak menyambung hubungan silaturrahim dan dia tidak tahu hak Tuhan ke atasnya. Maka inilah seburuk-buruk manusia. Yang keempat ialah hamba yang tidak diberi rezeki oleh Allah harta dan ilmu. Ia berkata: Jikalau aku mempunyai harta, sudah pasti aku akan melakukan amalan seperti fulan (amalan yang tidak baik). Maka ia dengan niatnya dan dosa kedua-duanya adalah sama (dosa yang asal, bukan dosa yang berganda).” [HR al-Tirmiziy, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Tabrani. Kata Abu Isa: Hadith Hasan Sahih]

Keempat : Bercita-cita untuk membuat kejahatan tetapi tidak melakukannya.
1.      Dalam hadith Ibnu ‘Abbas: “Sesungguhnya ia akan ditulis satu kebaikan yang sempurna.” Dan di dalam hadith Abu Hurayrah: “Sesungguhnya ia meninggalkannya (perkara keburukan tersebut) kerana mengharapkan ganjaran pahala daripada-Ku.” Hadith ini menunjukkan bahawa orang yang bercita-cita untuk membuat maksiat, lalu dia meninggalkannya kerana Allah Ta’ala, tidak ragu lagi bahawa dia akan dituliskan satu kebaikan yang sempurna, kerana meninggalkan maksiat dengan tujuan mencari keredhaan Allah adalah suatu amalan yang soleh.

2.      Adapun orang yang bercita-cita untuk membuat maksiat, kemudian dia meninggalkan amalan tersebut kerana takut kepada makhluk lain atau kerana riya’ , maka dia akan dibalas kerana meninggalkannya dengan niat kerana makhluk. Ini disebabkan mendahulukan takut kepada makhluk daripada takut kepada Allah adalah haram. Begitu juga niat untuk tujuan riya’ kepada manusia adalah haram.

3.      Kata ‘ulama’: Takut engkau kepada angin yang boleh membuka tirai pintu rumah engkau ketika kamu melakukan maksiat sedangkan hati kamu tidak takut dan risau kepada pemerhatian Allah adalah lebih besar dosanya daripada maksiat yang kamu lakukan.

4.      Kata Syeikh al-Fudhayl bin ‘Iyadh: Orang berkata: Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riya’, dan beramal kepada mereka adalah syirik.

5.      Adapun jika dia berusaha untuk melakukannya, kemudian takdir menghalangnya untuk melakukan amalan tersebut, maka akan di catat sebagai dosa, kerana Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengambil kira apa yang terdetik di hati umatku, selagi mana dia tidak bercakap atau beramal dengannya.” [Muttafaqun ‘alayh]

6.      Begitu juga kepada orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan maksiat, kemudian dia menjadi lemah dari meneruskannya, maka seolah dia telah melakukannya (di catat sebagai dosa). Sabda Nabi SAW: “Apabila dua orang Muslim bertemu dengan senjata mereka, maka orang yang membunuh dan orang yang dibunuh berada di dalam neraka.” Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Ini orang yang membunuh, tetapi mengapa orang yang dibunuh juga masuk neraka? Nabi SAW menjawab: “Sesungguhnya orang yang dibunuh itu sangat bersungguh-sungguh untuk membunuh sahabatnya.” [Muttafaqun ‘alayh]

7.      Sabda Nabi SAW: “Selagi mana dia tidak bercakap atau beramal dengannya.” Ini menunjukkan apabila seseorang itu bercita-cita untuk melakukan maksiat kemudian dia bercakap dengan lidahnya, dia akan dibalas ketika itu juga disebabkan cita-citanya itu, kerana sesungguhnya dia telah melakukan maksiat dengan anggota badannya iaitu bercakap dengan lidah.

Golongan Mutaakhirin ada berkata: Orang yang bercakap setelah dia bercita-cita untuk membuat maksiat tidak akan dibalas selagi mana dia tidak bercakap perkataan yang haram, seperti qazaf, mengumpat dan menipu. Adapun sekiranya ia melakukan dengan anggota badan, maka ia tidak berdosa disebabkan bercakap dengan apa yang dia niatkan. Hadith Abu Hurayrah yang lepas: “Apabila hamba-Ku bercakap untuk melakukan kejahatan, maka Aku akan mengampuninya selagi mana dia tidak melakukannya.” Maksud bercakap di sini ialah bercakap di dalam hati, seperti dalam hadith: “Selagi mana dia tidak bercakap atau beramal dengannya.” 

1 comment: