السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
1.0 Pendahuluan
Pendidikan keibubapaan adalah kombinasi
antara melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan memiliki keperibadian ibu
bapa yang baik. Corak pendidikan yang dilaksanakan oleh ibu bapa sangat
mempengaruhi perkembangan pendidikan anak-anak pada masa hadapan. Ibu bapa juga
dianggap sebagai pemberi contoh yang awal kepada anak-anak. Hal ini disebabkan
segala pengajaran dan pengalaman yang mereka terima melalui interaksi dengan ibu
bapa bermula sejak hari pertama kelahiran lagi. Pendidikan dan pengalaman ini
bersemadi dalam jiwa sebelum mereka keluar berinteraksi dengan individu lain. Kesempurnaan
pendidikan yang diterima akan melahirkan insan yang baik serta bertanggungjawab
terhadap agama, masyarakat dan negara. Justeru Islam telah menyediakan kaedah
pendidikan yang mantap dan sesuai untuk sepanjang zaman seperti yang
ditunjukkan dalam al-Quran.
Di dalam penulisan esei ini, penulis
akan cuba membentangkan beberapa aspek akhlak oleh Luqman Al-Hakim kepada
anaknya dan keutamaan akan diberi daripada ayat 12 hingga 19 daripada Surah
Luqman. Sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan
sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang
menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai
kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat
pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. [1]
Begitulah
fiman Allah SWT yang telah menukilkan kisah-kisah dalam al-Qur’an adalah
sebenar-benarnya kisah. Berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam ayat 34 surah An-Nur
di atas Allah SWT telah mengangkat kisah-kisah kaum yang terdahulu untuk kita
mengambil iktibar.[2].
Gaya
bahasa Al-Quran dalam mendidik merupakan gaya bahasa yang spesifik, iaitu gaya
bahasa yang tidak hanya menggunakan bentuk atau susunan tunggal, tetapi
menggunakan susunan yang bervariasi. Penyampaiannya dapat di mengertikan oleh
akal fikiran dan dapat menyentuh qalbu tanpa adanya unsur pemaksaan kehendak.
Seseorang yang membaca Al-Quran akan menemukan berita-berita baru di dalamnya,
gaya bahasa yang indah dan sarat dengan ilmu pengetahuan dan pemikiran ilmiah.[3]
Pengetahuan
dan peradaban yang terkandung di dalam Al-Quran adalah ilmu pengetahuan yang
bersifat “multi-disipline” yang melibatkan akal dan qalbu manusia dalam
perolehannya[4]. Ini
kerana kisah-kisah tersebut pasti sesuai dengan dan relevan sepanjang
zaman.Justeru itu, kisah-kisah tersebut merupakan kisah-kisah terbaik untuk
kita jadikan pedoman dan tauladan. Semoga kita dapat meningkatkan iman serta
dapat memperbaiki hati, amal dan akhlak. Insyaallah.
2.0 Latarbelakang Surah Luqman
Surah Luqman merupakan surah yang ke 31
mengikut susunan di dalam al-Quran dan mengandungi 34 ayat[5].
Surah ini dinamakan Luqman kerana terdapat kisah tentang Luqman al-Hakim yang
telah diberikan oleh Allah SWT permata hikmah iaitu kebijaksanaan, dikurniakan
dengan makrifat tauhid yang menyebabkan beliau menjadi seorang yang abid.
Beliau juga memiliki akhlak yang terpuji dan sentiasa menjauhkan diri daripada
perkara-perkara buruk serta mungkar [6].
Surah Luqman termasuk dalam kumpulan
surah-surah Makkiyyah kecuali ayat 27, 28 dan 29 ayat Madaniyyah. Manakala ayat
34 turun selepas surah al-Saffat[7].
Surah Luqman menjelaskan tentang Luqman al-Hakim dengan wasiat yang kekal untuk
anaknya. Anaknya bernama An’am atau Mushkam[8]
dan Tharan[9].
2.1 Asbab Al-Nuzul
Nadh
Ibn al-Harith telah membelanjakan hartanya kepada perkara-perkara hiburan yang
melalaikan. Beliau telah pergi ke Parsi untuk mendapatkan pelbagai kisah-kisah
dongeng dan berbentuk humor. Kemudian dia menemui kaum Quraisy lalu
menceritakan hikayat-hikayat yang beliau perolehi kepada kaum Quraisy tersebut.
Lalu
Nadh Ibn al-Harith berkata, “Sesungguhnya Muhammad menceritakan kepada kamu
tentang kaum ‘Ad dan Thamud, dan aku menceritakan kepada kamu tentang Rustum,
Isfindiyar dan golongan bangsawan”.
Kaum
Quraisy menjadi asyik dengan cerita dongeng tersebut sehingga tidak mahu
mendengar al-Quran.[10]
2.2 Siapakah Luqman Al-Hakim
Al-Quran
tidak menjelaskan tentang biodata Luqman Al-Hakim, sebaliknya hanya sekadar
memperincikan kata-kata hikmahnya yang begitu murni dan amat bernilai.
Seandainya biodata Luqman merupakan sesuatu yang penting, sudah tentu ianya
sudah dipaparkan di dalam Al-Quran[11].
Meskipun
demikan penulis berpendapat tidak salah jika kita menghimpunkan maklumat yang
terdapat di dalam kitab-kitab para ahli mufasirin tentang Luqman Al-Hakim.
Terdapat
riwayat yang mengatakan bahawa anak Luqman Al-Hakim tidak memeluk agama Islam.
Justeru itu, beliau menyeru supaya anaknya mengEsakan Allah SWT dan tidak
mensyirikkanNya. Luqman terus memberi nasihat sehinggalah anaknya memeluk agama
Islam. Demikian juga halnya dengan isteri Luqman. [12] Diriwayatkan
bahawa seorang yang berkulit hitam telah datang kepada Sa’id Ibn Musaiyib dan
bertanya kepada beliau. Lalu beliau menjawab : Janganlah bersedih lantaran
kulitmu berwarna hitam. Sesungguhnya terdapat tiga orang (berkulit hitam) yang
berada dalam golongan manusia yang terbaik iaitu Bilal, Muhajji (hamba kepada
Umar Ibn Al-Khattab) dan Luqman Al-Hakim.[13]
Jumhur
ulama mengatakan bahawa Luqman Al-Hakim bukannya nabi tetapi menyatakan bahawa
beliau seorang yang bijaksana. Diberikan hikmah kepadanya iaitu kelebihan pada
akal, kecerdikan dan perkataan atau kata-kata yang memberi kesan mendalam
kepada manusia. [14]
3.0 Konsep Penekanan Pendidikan Oleh Luqman Al-Hakim
Di bab ini, penulis akan membentangkan konsep pendidikan yang
dilakukan oleh Luqman Al-Hakim sebagaimana yang telah diangkat oleh Allah SWT
akan kisahnya di dalam Al-Quran.
3.1 Prasyarat Menjadi Ibu bapa Yang Berkualiti
Prasyarat
untuk menjadi ibu bapa yang berkualiti ialah:
a.
Berhikmah (ilmu agama)
b.
Bersyukur (bertaqwa)
c.
Contoh tauladan yang baik.
Proses
mendidik anak-anak dengan ilmu akidah, ibadah dan akhlak sangat bergantung rapat
dengan keperibadian ibu bapa. Para ibu bapa mesti mempunyai pengetahuan yang
mendalam tentang persoalan tersebut sebelum mendidik anak-anak mereka. Islam
meletakkan pra-syarat supaya ibu bapa mempunyai ilmu dalam mendidik anak-anak. Ini
telah diungkapkan dalam ayat 12, firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا لُقۡمَـٰنَ
ٱلۡحِكۡمَةَ
Maksudnya:
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan hikmat kebijaksanaan kepada Luqman.
Hikmah
ialah berpegang teguh kepada kebenaran ilmu dan beramal dengan ilmu
tersebut.
Hikmah daripada Allah SWT ialah mengetahui sesuatu perkara dan beramal bersungguh-sungguh.
Rentetan daripada itu sesetengah manusia mendapat hikmah atau makrifat tentang
hakikat kewujudan sesuatu perkara yang menyebabkannya mengerjakan amal kebaikan
sahaja. Hal ini demikian yang disifatkan kepada Luqman al-Hakim di dalam ayat
ini.[15]
Pada pendapat Qatadah r.a. hikmah dalam ayat di atas ialah menguasai
ilmu-ilmu Islam[16]. Hikmah juga bermaksud
melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ketuhanan dan melakukan perbuatan-perbuatan
yang baik.[17]
3.2 Menggunakan Pendekatan Kasih Sayang
Pendidikan
hendaklah berterusan dan menggunakan pendekatan kasih sayang. Firman Allah SWT
melalui Luqman yang mendidik anaknya:
وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُ ۥ
يَـٰبُنَىَّ (١٣)
Maksudnya: " dan (ingatlah) ketika Luqman
berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak
kesayanganku,…..[18]
Ini menunjukkan bahawa Islam amat menekankan pendekatan
yang lemah lembut dalam proses pendidikan anak-anak.
3.3 Aspek Akidah
Hubungan
manusia dengan Allah SWT adalah sangat penting. Hubungan tersebut juga dikenali
sebagai hubungan hamba dengan Penciptanya. Luqman al-Hakim menekankan
pendidikan hubungan dengan Allah SWT mencakupi pendidikan tentang akidah yang
berkaitan dengan larangan syirik, kepercayaan kepada hari akhirat, gesaan
melaksanakan taubat dan mendirikan solat. Firman Allah SWT di dalam surah
Luqman:
Maksudnya:
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta
Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya
kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah
terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka
tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi
Maha Terpuji.[19]
Persoalan
akidah diungkapkan melalui larangan Luqman al-Hakim kepada anaknya agar jangan
menyekutukan Allah SWT Takrif syirik ialah sebarang pernyataan atau ungkapan
yang meletakkan kedudukan Allah SWT setaraf dengan makhluk sama ada pada zat,
sifat, mengingkari kewujudan Allah SWT atau menyifatkan Allah SWT dengan
sesuatu sifat kekurangan. Justeru janganlah mempersekutukan Allah SWT di dalam
ibadat, percakapan, perbuatan sebaliknya ikhlaslah kamu semua terhadap tuhan yang
menciptakan kamu iaitu Allah SWT.
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Luqman
berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak
kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang
lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".[20]
Al-Syahid Syed Qutub menyatakan: Ini
adalah suatu nasihat yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Seorang ayah sudah
pasti mahukan kebaikan untuk anaknya. Perkara yang terungkap adalah semata-mata
nasihat. Luqman al-Hakim menegah anaknya daripada syirik di samping menjelaskan
sebabnya; syirik adalah kezaliman yang besar. Untuk menguatkan lagi perkara
ini, Luqman telah mengulangi kalimah syirik sebanyak dua kali. Inilah suatu
hakikat yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW bersama kaum Quraisy. Misi dakwah
Nabi Muhammad SAW telah diprotes. Ramai yang mempersoalkan matlamat sebenar
dakwah Rasulullah SAW. Mereka khuatir dan bimbang kemungkinan berlakunya
rampasan kuasa demi meninggikan dan melebihkan martabat diri Baginda mengatasi
orang lain. Inilah hakikat silam yang berlaku ke atas lisan sesiapa sahaja yang
Allah SWT berikan hikmah. Matlamat sebenar yang diinginkan ialah semata-mata
kebaikan, bukan suatu yang lain. Inilah sentuhan kejiwaan yang kita inginkan.[21]
Mesej
besar yang Allah SWT sampaikan di dalam ayat di atas adalah asas utama dalam
pendidikan iaitu mengenal Allah dan tidak mensyirikkanNya. Firman Allah SWT
melalui Luqman sebagai seorang pendidik yang terbaik. Contoh-contoh syirik
kepada Allah ialah melakukan sesuatu amalan atau pekerjaan bukan kerana Allah
Azza wajalla.
Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang mempelajari
ilmu yang sepatutnya dia mempelajarinya untuk mendapat keredhaan Allah, tetapi
ia tidak belajar melainkan hanya untuk mendapat habuan dunia, maka ia tidak
akan dapat mencium bau syurga. [22]
3.4 Aspek Ibadah
Pemangkin
kepada pendidikan Islam setelah mengenal Allah ialah mendirikan solat dan
menyuruh yang ma'aruf serta mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT melaui pendidik
terbaik Luqman al-Hakim :
يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ
عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ
إِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ (١٧)
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah
sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan
perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang
menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat melakukannya.[23]
3.4.1 Solat
Kedudukan
ibadah solat dalah sangat tinggi dan agung dalam Islam. Di antara dalil-dalil
yang membuktikan bahawa solat adalah ibadah yang paling utama dalam kehidupan
insan ialah:
رَأسُ الأمْر
اْلأِسْلآمُ:عَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ الّلهُ عَنْهُ أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى
اللّهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ قَالَ,
وَذَرْوَة
سَنَامِهِ اَلْجِهَادُ , الصَّلآهْ
وَعَمُوْدُهُ
Maksudnya:
Daripada Muaz r.a. bahawa sesungguhnya Nabi SAW
bersabda: Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan
kemuncaknya adalah jihad. [24]
Oleh
itu kedudukan solat sangat tinggi “rankingnya” dalam kehidupan umat
Islam, maka diwajibkan kepada semua umat Islam agar mendirikan solat lima kali
sehari sebagai ibadah harian dan ianya dilakukan secara berulang-ulang kali.
Solat
adalah hubungan di antara hamba dan PenciptaNya. Ianya berlaku secara langsung
sebanyak lima kali sehari semalam. Solat juga diperintahkan kepada ibu bapa di
dalam proses pendidikan awal anak-anak seawal umur tujuh tahun. Sabda
Rasulullah SAW menerapkan pendidikan rohani
kepada anak-anak dengan ibadah solat:
عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ
الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ
أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ
سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ
Maksudnya:
Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda
Rasulullah SAW: “Perintahlah anak-anakmu
mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika
meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur
mereka.
Dikiaskan juga solat dalam hadith ini ialah ibadah-ibadah lain
seperti puasa, haji dan zakat bahkan hendaklah kita memberi kefahaman kepada
anak-anak bahawa ibadah menurut Islam tidak terbatas kepada empat perkara ini
sahaja tetapi merangkumi segala amal soleh seperti perkara halal haram sejak
mereka kecil lagi sebagai didikan dan membentuk jiwa yang beragama yang dapat
mengawal dirinya daripada kesesatan. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menunjuk
ajar anak-anak kita perbezaan baik dan buruk, masalah halal dan haram, antara
hak dan batil. Di samping itu, ibu bapa hendaklah menjadi tauladan seperti
melakukan apa yang dihalalkan dan meninggalkan apa yang dilarang. [25]
Mesej besar yang Allah SWT sampaikan kepada kita melalui surah Luqman
ini ialah Islam menekankan pendidikan rohani iaitu ibadah solat semenjak kita
kecil iaitu semasa berusia tujuh tahun agar makhluk insan sentiasa takut kepada
Allah SWT, meninggalkan apa yang dilarang dan solat menjadi benteng kepada
manusia.
3.4.2 Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar
Hukum melaksanakan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah
wajib. Kewajipan ini merupakan satu daripada
kewajipan asas dalam Islam. Terdapat
banyak dalil Al-Quran dan Hadis Nabi tentang kewajipan ini. Dalam
karya fiqh klasik, istilah Amar Makruf Nahi Mungkar, jihad dan dakwah sering
kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama. Dalam
Al-Quran, perkataan Amar Makruf dan Nahi Mungkar
digunakan sekurang-kurangnya lapan kali[26].
Firman Allah:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬
يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ
ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤)
Maksudnya:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang
bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. [27]
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ
أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ
وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا
لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ (١١٠)
Maksudnya:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat
segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk
dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan
kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang
semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara
mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (110) [28]
Perbuatan meninggalkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar akan
mengundang murka dan azab Allah di dunia dan di akhirat dalam bentuk laknat dan
dijauhkan dari rahmat Allah seperti doa orang yang baik tidak lagi dimakbulkan Allah, seperti yang dinyatakan dalam
ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith berikut :
لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ
مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ
ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨)
Maksudnya: Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israel
melalui lisan Daud dan Isa Ibn Maryam, kerana mereka tidak melarang kemungkaran
yang mereka lakukan...’[29]
3.5 Aspek Akhlak
Akhlak
atau budi perkerti yang mulia merupakan pancaran kepada prinsip ajaran Islam
yang sangat dituntut kepada setiap individu muslim. Akhlak yang baik adalah
himpunan nilai-nilai dan sifat-sifat yang terpuji pada seseorang. Ia menjadi
asas perhubungan manusia yang dapat menjamin keselamatan, keamanan, kebahagiaan
hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Beberapa
penekanan dari sudut akhlak yang Allah SWT angkat di dalam surah Luqman adalah
seperti berikut:
3.5.1 Berbuat baik kepada Ibu bapa
Pengiktirafan Allah SWT terhadap pengorbanan para ibu bapa
terbukti melalui ayat-ayat Al-Quran yang menekankan perintah berbuat baik
kepada kedua ibu bapa. Hal ini demikian dapat dilihat dalam ayat-ayat Al-Quran
yang mengaitkan perintah berbakti atau berbuat baik kepada kedua ibu bapa
dengan ibadah tauhid kepadaNya seperti yang tercatat dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari
awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada
kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk
menerima balasan).[30]
Allah SWT telah memerintahkan agar manusia berbuat baik terhadap
kedua ibu bapanya. Disebut dalam sebuah hadith yang bermaksud: “Siapakah
manusia yang lebih berhak untuk kita berbuat kebajikan? Baginda menjawab:
“Ibumu”. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian barulah Baginda SAW
menyebut: “Bapamu”.
Ini kerana sifat dan tabiat wanita adalah lemah. Di sudut yang
lain, mereka juga dianggap lemah kerana bebanan mengandung, melahirkan dan
menyusukan anak dalam keadaan yang menyeksakan. Selain itu, mereka juga lemah
berdasarkan apa yang berlaku ke atas diri mereka setiap bulan iaitu ketika
datangnya haid. [31]
Namun begitu, menurut Imam Al-Qurtubi: “tidak perlu mentaati ibu
bapa dalam perkara yang melibatkan dosa besar dan perkara yang meninggalkan
kefarduan, sebaliknya kita hanya wajib mentaati mereka dalam perkara yang harus
semata-mata. Manakala hukumnya menjadi sunat ketika menunaikan perkara sunat
dan fardu kifayah. [32]
Malahannya terdapat banyak pengulangan ayat-ayat al-Quran yang
menuntut umat Islam agar berbuat baik kepada ibu bapa umpamanya dalam surah
Al-Isra ayat 17, surah Al-Ahqaf ayat 15 dan surah Al-Nisa ayat 36.
Peranan anak untuk berbakti kepada ibu bapa adalah sangat tinggi
seperti yang dinukilkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah
r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak membalas jasa baik seorang anak terhadap bapanya
melainkan jika ia mendapatinya menjadi hamba lalu ia membelinya kemudian
membebaskannya. [33]
Di dalam hadith yang lain, yang diriwayatkan daripada Buraidah
bahawa bapanya berkata:
Maksudnya: Terdapat seorang lelaki mengusung ibunya ketika tawaf,
lelaki itu bertanya kepada Nabi SAW, “Adakah aku telah melaksanakan hak ibuku
(dengan apa yang aku lakukan ini)?. Rasulullah SAW menjawab, “Sama sekali
tidak, tidak walaupun dengan kadar satu hembusan nafas”.[34]
Begitulah beberapa hadith Nabi Muhammad SAW dan ayat-ayat Allah
SWT berkenaan dengan tuntutan umat Islam untuk memuliakan ibu bapa yang
melahirkan dan memelihara kita. Jelas bahawa kebahagiaan sesebuah keluarga dan
wujudnya kemesraan apabila setiap individu keluarga tersebut saling hormat
menghormati dan tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.
3.5.2 Jauhi Sifat Sombong dan Takbur
Seterusnya Luqman al-Hakim menasihati anaknya supaya mengawasi
sifat ego ketika bergaul dengan masyarakat. Iaitulah:
a) Larangan berpaling Muka
b) Larangan Berjalan Dengan Sombong
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana
memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan
berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang
sombong takbur, lagi membanggakan diri.[35]
Perkataan Mukhtal disifatkan kepada orang yang berjalan dengan
gaya sombong dan takbur termasuklah gaya berjalan yang melenggang-lenggok
kerana kegembiraan mendapat nikmat yang banyak. Manakala, fakhur bermaksud
orang yang selalu memuji-muji diri sendiri dan menghina orang lain yang tidak
sama seperti dirinya.[36]
Perkataan Fakhur juga merupakan sifat buruk yang dinisbahkan
kepada orang yang berpaling muka kerana sombong[37].
Perkataan Fakhur bermaksud orang yang merasa besar diri dengan apa yang telah dikurniakan
oleh Allah SWT kepadanya seperti harta kekayaan dunia dan kemegahan malah dalam
masa yang sama ia enggan bersyukur kepada Allah SWT. [38]
Istilah sombong dapat ditakrifkan sebagai memperkecilkan orang
lain dan menolak kebenaran yang berpunca daripada kekaguman pada diri sendiri.[39]
Seburuk-buruk sifat takbur ialah takbur kepada Allah SWT dan para
rasulNya. Firman Allah ayat 14, surah al-Naml:
Maksudnya: Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh
sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana
kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakkan.[40]
Menurut Syed Qutub, Al-Sa’r (الصعر) adalah penyakit yang dihidapi
oleh unta menyebabkan ia memalingkan tengkoknya. Ia merupakan gambaran dan
perumpamaan yang dilukiskan oleh al-Quran dalam tegahan وَلاَ تُصَعِر. Ini adalah perumpamaan bagi muslim yang menyeru kepada Allah SWT
dalam keadaan berbangga-banga, bergerak-geri yang mengambarkan sifat angkuh dan
sombong. Memalingkan muka daripada manusia lain dalam keadaan takabbur dan
kagum dengan diri sendiri dan tidak prihatin dengan orang lain. Ini semua boleh
menimbulkan kemarahan manusia dan telah pun jelas membuktikan bahawa mereka
menghidapi penyakit.[41]
Syed Qutub menerangkan lagi bahawa maksud firman Allah SWT di atas
ialah tidak tergopoh-gapah dan tidak mencari jalan untuk bersifat bongkak, langkah
sederhana menuju kepada matlamat mulia, tidak sambil lewa dan sombong. Mengatur
langkah menuju cita-cita dengan ceria dan progresif. [42]
Ini dapat dijelaskan lagi dengan hadith Nabi SAW. Daripada Abu
Hurairah Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Berjalan tergopoh-gapah menghilangkan haibah seseorang
mukmin.[43]
Sifat takbur adalah tingkah-laku batin yang membuahkan perilaku
zahir pada diri seseorang iaitu sesuatu sikap jiwa yang merasakan dirinya lebih
baik daripada orang lain atau penciptanya iaitu Allah SWT. Allah SWT
menggambarkan dua keadaan yang menjadi petunjuk kepada orang yang mempunyai
sifat takbur iaitu memalingkan muka ketika bercakap dengan seseorang kerana
memandang rendah kepadanya dan berjalan dengan gaya yang angkuh dan sombong.
Justeru Luqman al-Hakim melarang anaknya bertingkah laku angkuh dan sombong
dalam menunaikan kewajipan terhadap masyarakat iaitu larangan memalingkan muka
dan berjalan dengan gaya sombong.
3.5.3 Kesederhanaan Dalam Pergaulan Dan Tingkahlaku
Luqman al-Hakim mendidik anaknya agar mengutamakan sifat sederhana
dalam menunaikan setiap tanggungjawab dan lain-lain urusan dunia. Titik fokus pendidikan
Luqman dalam usaha menanamkan sifat sederhana dalam jiwa anaknya dapat dilihat
melalui penekanan terhadap gaya berjalan dan perintah merendahkan suara apabila
berinteraksi dengan masyarakat. Ini seperti mana yang dirakamkan oleh Allah
SWT:
Maksudnya: Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga
rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara
ialah suara keldai. [44]
Daripada ayat di atas, Allah SWT melarang kaum musyrikin daripada
meninggi-ninggikan suara. Mereka sentiasa bermegah-megah dengan ketinggian
suara. Oleh kerana setiap tuntutan atau tegahan terhadap orang-orang kafir dan
musyrikin dalam al-Quran turut menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk
diambil iktibar. [45]
Merendahkan nada suara agar tidak menyebabkan orang lain menjadi
berserabut dan menyakitinya serta tidak membingitkan telinga akibat kuatnya
bunyi suara tersebut. Suara yang kuat boleh mengakibatkan kerosakan pada
gegendang telinga. Meninggikan suara adalah tanda seseorang itu tidak terdaya,
hanya mementingkan diri dan tidak prihatin terhadap orang lain. Apa yang
dimaksudkan di sini ialah tidak melantangkan suara hingga boleh menimbulkan
kemarahan orang lain dan tidak pula terlalu perlahan sehingga langsung tidak
kedengaran. Sebaik-baik perkara ialah mengambil jalan pertengahan atau
bersederhana. Menurut pendapat Syed Qutub pula, berlidah tajam, bercakap kasar
dan suka menengking merupakan adab yang buruk dan keji. Pada kebiasaanya orang
yang bersikap sedemikian meragui nilai perkara yang dituturkannya itu atau
tidak menyakini dengan nilai diri sendiri. Maka ia cuba menyembunyikan keraguan
tersebut dengan ragam yang sedemikian.[46]
Dalam sunnah Nabawiyah juga terdapat arahan yang menunjukkan
bahawa perlunya menghindarkan diri daripada suasana kebingitan. Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu mendengar ayam berkokok, maka pohonlah
daripada Allah limpahan rahmatNya kerana dia melihat malaikat. Dan apabila kamu
mendengar suara himar maka mintalah perlindungan daripada Allah agar dijauhi
daripada syaitan, kerana ia melihat syaitan. [47]
4.0 Kesimpulan
Keseluruhan
pendidikan Luqman mempunyai isi, gaya persembahan dan pendekatan yang boleh
diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga pada masa kini. Antara kesimpulan
yang yang dapat diambil ialah:
- Anak-anak merupakan anugerah yang tidak ternilai pada pandangan Islam. Justeru pendidikan anak-anak yang sempurna tidak boleh diabaikan oleh para ibu bapa. Pendidikan juga mesti dilaksanakan dengan penuh hikmah dan bijaksana agar selaras dengan kehendak serta syariat Islam.
- Luqman adalah contoh peribadi seorang bapa mithali yang dikurniakan hikmah oleh Allah SWT. Kaedah pendidikan Luqman merupakan panduan yang sangat baik kepada para ibu bapa.
- Hikmah merupakan satu pemberian yang sangat berharga daripada Allah SWT kepada hambaNya yang terpilih. Ia menjadi petunjuk kepada pengetahuan yang sebenar ke arah kebaikan dan kebenaran.
- Kaedah terbaik dalam mendidik anak-anak ialah mengadakan pengawasan serentak dengan pendidikan dan nasihat yang diberikan kepada mereka. Ibu bapa juga tidak boleh jemu atau putus asa dalam menunaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
- Syirik kepada Allah SWT seperti mematuhi perintah selain daripada Allah SWT, menyembah berhala dan menyekutukan Allah SWT dalam ibadat merupakan kezaliman yang besar. Perkataan syirik juga merupakan perkara-perkara buruk yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap penciptanya yang memberi rezeki dan kehidupan.
- Manusia akan dibangkitkan semula daripada kubur. Mereka akan kembali kepada Allah SWT untuk diberi pembalasan ke atas segala hasil perbuatan mereka semasa hidup di dunia. Sekalipun kebaikan dan kejahatan yang dilakukan sangat sedikit. Sesungguhnya Allah SWT akan menilai dan membalas segala perbuatan baik dan buruk, taat dan maksiat walau sebesar biji sawi pada hari akhirat kelak.
- Manusia hendaklah berhati-hati dengan segala tindak tanduknya kerana setiap perbuatan diketahui dan akan dinilai oleh Allah SWT sama ada perbuatan yang zahir atau tersembunyi daripada pandangan manusia umum.
- Konsep inabah mengajar manusia agar kembali kepada Allah SWT selepas melakukan sesuatu kesalahan melalui taubat, menunaikan perkara taat dan ikhlas.
- Solat sangat penting dalam kehidupan seseorang mukmin kerana ibadat solat yang sempurna mampu mendekatkan seseorang dengan Allah SWT dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.
- Berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati di dalam perkara-perkara kebaikan dan bukan maksiat merupakan kewajiban kepada setiap orang Islam. Suruhan Allah SWT supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa secara umum merangkumi ibu bapa yang Islam dan kafir. Ketaatan anak kepada kedua ibu bapa yang menganut sebarang agama adalah wajib.
- Ketaatan anak kepada perintah ibu bapa supaya melakukan syirik kepada Allah SWT atau meninggalkan kewajipan seorang Islam, tidak dibenarkan kerana tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara-perkara maksiat kepada Al-Khalik.
- Ketaatan kepada ibu melebihi daripada taat kepada bapa kerana tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang ibu. Pengorbanan ibu melebihi bapa kerana tiga perkara iaitu mengandung, menyusu dan mendidik. Ketiga-tiga tahap pengorbanan ini diiktirafkan Allah SWT sebagai pengorbanan penting yang melayakkan seseorang anak mentaati ibu melebihi bapa. Manakala ketaaatan anak kepada bapa berada pada tempat yang keempat.
- Lama masa penyusuan yang dibenarkan syarak ialah dua tahun. Syarak telah mengkhususkan tanggungjawab penyusuan kepada ibu manakala bapa pula bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak dan ibu (isteri).
- Syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat iman dan kurniaanNya merupakan anugerah yang sangat besar. Manakala syukur kepada ibu bapa pula memberi layanan yang baik semasa berintraksi dengan keduanya seperti bercakap dengan sopan santun, memohon keampunan Allah SWT kepada keduanya dan memenuhi hajat yang dipinta mereka.
- Bersahabat secara baik kepada keduanya di dunia menunjukkan harus menghubungkan silaturahim dengan ibu bapa yang kafir seperti memberi nafkah harta jika mereka miskin dan berusaha berdakwah agama Islam kepada mereka dengan lemah lembut.
- Mendirikan solat dan melaksanakan amar al-makruf dan nahi mungkar merupakan dua tugas yang dituntut oleh Allah SWT Tambahan pula kedua-dua perintah ini sering berhadapan dengan kesusahan dan kesukaran. Justeru kesabaran yang sangat tinggi diperlukan semasa menunaikan tanggungjawab tersebut.
- Sabar hanya diperolehi daripada pendidikan ilmu dan makrifat. Sabar juga berjaya membentuk tatasusila yang tinggi dan akhlak yang teguh. Sabar merupakan sifat orang yang beriman. Hanya orang yang sabar sahaja akan mendapat rahmat daripada Allah SWT
- Tanda sifat sombong ialah memalingkan muka daripada manusia lain dan berjalan dengan angkuh. Sesungguhnya Allah SWT sangat benci kepada manusia yang sombong dan takbur malah mengiktiraf mereka sebagai musuhNya dan bersedia untuk diperangi.
- Sederhana ketika berjalan dan melunakkanlah suara merupakan cerminan orang yang baik. Manakala sifat suka meninggikan suarasangat buruk pada pandangan Allah SWT yang diibaratkan seperti suara keldai.
Intipati
pendidikan yang diberikan oleh Luqman menepati kehendak dan garis panduan
Islam. Pedidikan beliau menjelaskan tentang cara untuk berintraksi dengan Allah
SWT dan sesama manusia. Kedua-dua hubungan ini menjamin kesejahteraan dan
keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
Rujukan:
Buku Rujukan:
1. Al-Quran
dan Terjemahan
2. Ahmad
Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman Al-Hakim, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur,
2009
3. Al-Imam
Abil Hassan Ali Ibn Ahmad al-Wahidiy al-Naisaburiy, Asbab al-Nuzul, Darul Kutub
al-illiyyah, Beirut, Lubnan, 1991
4. Amru
Khalid (Terjemahan: H. Muhammad Zulhirsyan), The Power of Akhlak, Jasmin
Publication, Selangor, 2009
5. Moh.
Quraish Shihab, Wawasan Al-Quran: Tafsir Maudhu’i Atas Pelbagai Persoalan Umat,
Mizan, 1996
6. Muhammad
Alamuddin, Manisnya Iman, Penerbit Buku Islam Rahmatan, Jakarta, 2002
7. Muhammad
Nur Abdullah Hafiz Suaid, Didik Anak Cara Rasulullah SAW, Nur Prima Sdn Berhad,
Kuala Lumpur, 2006
8.
Sayyid Qutb. Fi Zilal al-Quran (Juzu’ 5). Beirut
: Dar al-Syuruk, 1988.
9. Suhid,
Asmawati, Pendidikan dan Adab Islam: Konsep dan Amalan, Utusan Publication dan
Distribution Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2009
Kertas Projek/Kertas Ilmiah:
1. Rosnaaini
Hamid,Suhanim Abdullah, Syahrul Faizaz Abdullah, Pendidikan Keibubapaan
Berdasarkan Surah Luqman, Fakulti Sains Kognitif Dan Pendidikan, Universiti
Utara Malaysia, Kedah, 2004
2. Wan
Nurulhuda binti Wan Jusoh, Metodologi Pendidikan Anak Menurut Surah Luqman,
Fakulti Pendidikan (Pengajian Islam) Universiti Teknologi Malaysia, Kuala
Lumpur, 2010/2011
[1] Surah
An-Nuur 34: 24
[2] Lihat
Wawasan Al-Quran : Tafsir Maudhu’i Atas Pelbagai Persoalan Umat, hlm 8
[3] Muhammad
Alamuddin, Manisnya Iman, hlm 102 - 103
[4] Ibid
[5] Al-Quran
dan Terjemahnya, 1412H
[6] Wahbah
al-Zuhaili, 1991 dan Sayyid Qutb, 1988
[7] Jalal
al-Din Muhammad bin Ahmad al-Mahali dan Jalal al-Din Abd al-Rahman bin Abi Bakr
al-Sayuti, 1996
[8] Abi
Muhammad Husini 12 bin Mas’ud al-Fira’ al-Baghawi al-Shafie, 1993
[9] Dr
Wahbah al-Zuhaili, Tafsir Al-Munir, 1991
[10] Al-Imam
Abil Hassan Ali Ibn Ahmad al-Wahidiy al-Naisaburiy, Asbab al-Nuzul, hlm 294
[11] Ahmad
Hassan Mohd Nazam, Wasiat Luqman Al-Hakim,
hlm 1
[12] Ruh
al-Ma’ani : 7, hlm 128
[13] Tafsir
al-Tabari: 20, hlm 26
[14]
Al-Bidayah wa al-Nihayah : 2, hlm 124
[15] Nasr
al-Din Abi Abbas Ahmad bin Muhammad al-Maliki al-Iskandarani al-Makruf bi Ibn
al-Munir, 1994.
[16] al-Sayuti,
2000
[17] Wahbah
al-Zuhaili, 1991
[18]
Luqman:13
[21] Syed
Qutub, Fi Zilal al-Quran, Jilid 5, hlm 2788
[22] Hadith
sohih- Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban
[23] Surah
Luqman, ayat 17
[24] Hadith
Riwayat Tirmizi No. 2616 : hasan sahih
[25] Aun
al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Sidqi Muhammad Jamil al-‘Attar, Darul Fikr, Bab
Mata Yukmaru al-Ghulam bi al-Salah, Jld. 2 hlm 123.
[26] Rujuk
Riyadhus Shalihin (bab 23), hlm 239
[27] Surah
Ali-Imran Ayat 104
[28] Surah
Ali-Imran, ayat 110
[29] Surah
Al-Maidah, ayat 78
[30] Surah
Luqman 31: 14
[31] Ahmad
Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman al-Hakim, hlm 58 & 59
[32] Tafsir
Al-Qurtubi: 13/60
[33] Hadith
Riwayat Muslim
[34] Tafsir
Ibn Kathir
[35] Surah
Luqman 31: 18
[36] Wahbah
al-Zuhaili, 1991
[37] Abi
al-Fadhil Shihab al-Din Al-Sayyid Mahmud al-Alusi al-Baghdadi, 1994.
[38] Shaykh
Hud bin Muhakkam al-Hijri, 1990
[39] Said
Hawwa, 2001
[40] Surah
Al-Naml 27:14
[41] Syed
Qutub, Fi Zilal al-Quran: 5/2790
[42] Ibid
[43] Hadith
Riwayat Abu Naim
[44] Surah
Luqman 31: 19
[45] Ahmad
Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman al-Hakim, hlm 121.
[46] Syed
Qutub, Fi Zilal al-Quran: 5/2790
[47] Hadith
Sahih Muslim, Tafsir al-Munir: 21/152
No comments:
Post a Comment