السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
Segala
puji-pujian dirafa’kan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta sekalian alam, Tuhan
yang mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita hambaNya supaya dapat kita
pergunakan masa untuk beribadah dan mengabdikan diri kepadaNya. Selawat dan
salam ditujukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Rasul pilihan yang menunjukkan teladan akhlak mulia
supaya menjadi contoh dan ikutan umatnya.
Dalam
esei yang bertajuk Impak Ibadah Solat
Dan Peranannya Dalam Pembangunan Insan, mengandungi kupasan dan keterangan
akan pentingnya ibadah solat dalam aspek pembangunan insan. Penulis cuba
merungkaikan rahsia dan hikmah ibadah solat dari perspektif manifestasi
kehambaan manusia kepada Allah SWT. Solat merupakan suatu ibadah khusus yang
tidak boleh ditokok tambah sesuka hati oleh umat Islam agar ianya benar-benar menepati
kehendak Allah SWT sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad
dalam sabda
baginda:
صَلُّوْ
كَمَا رَأيْتُمُوْ نِي أُصَلِّيْ
Maksudnya: Solatlah kamu
sebagaimana kamu melihat aku solat”[1]
Semoga
usaha kecil penulis dalam menyusun esei ini akan dapat memberi manafaat kepada
masyarakat. Penulis mengalu-alukan pandangan dan cadangan yang membina untuk
tujuan penambahbaikan terhadap kandungan esei ini demi kebaikan bersama.
1.0 Pendahuluan
Islam adalah agama yang dibawa oleh seorang Nabi Muhammad SAW
yang mulia serta mempunyai
akhlak terpuji, iaitu Nabi kita Muhammad bin Abdullah sebagai penutup para nabi
dan rasul. Baginda mendapat wahyu dari Allah SWT yang merupakan mukjizat yang
paling besar iaitu Al-Quran.
Al-Quran adalah sebuah kitab yang tiada keraguan padanya dan menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Kitab al-Quran merupakan panduan dan petunjuk yang lengkap bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Kelengkapan al-Quran adalah mengandungi petunjuk umum iaitu berupa prinsip-prinsip yang sesuai bagi segala tempat dan zaman. [2]
Bagi setiap orang yang mengaku dirinya sebagai muslim mestilah mengakui bahawa dirinya benar-benar muslim dari segi aqidah, syariah dan akhlak. Demikianlah juga ibadah dalam Islam merupakan kemuncak dari perasaan tunduk dan patuh kepada Allah SWT dan klimaks dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah SWT sebagai tempat pengabdian diri. Ibadah dalam Islam adalah penyambung antara makhluk dan Penciptanya. Selain dari itu ibadah dalam Islam juga mempunyai impak-impak atau kesan-kesan yang mendalam dalam kehidupam muslim terutama dalam konteks hubungan makhluk dan Penciptanya. Tidak ada perbezaan antara rukun-rukun Islam dalam bidang ini. Dalam ertikata solat, puasa, zakat, haji dan semuanya amal-amal yang dilakukan manusia adalah untuk mendapat keredaan Allah SWT dan memelihara syariatnya adalah sama.
Secara fitrahnya agama Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini
adalah ibadat dan taat kepada Allah. Hal inilah yang dimaksudkan dengan firman
Allah SWT yang bermaksud:
Maksudnya:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu.[3]
1.1 Kedudukan Solat Dalam Islam
Setiap
umat Islam meyakini bahawa solat adalah ibadat paling utama mengatasi semua
ibadat setelah mengucap dua kalimah syahadah. Bukti kelebihan solat sangat
banyak. Malah ibadah solat adalah satu-satunya ritual ibadah yang Allah SWT
menjemput junjungan besar Nabi Muhammad
melalui peristiwa israk
dan mikraj. Sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari
Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati
sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui. [4]
Kedudukan
ibadah solat dalah sangat tinggi dan agung dalam Islam. Di antara dalil-dalil
yang membuktikan bahawa solat adalah ibadah yang paling utama dalam kehidupan
insan ialah:
عَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ الّلهُ عَنْهُ أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى
اللّهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
رَأسُ الأمْر اْلأِسْلآمُ , وَعمرده الصَّلآة , وذروة سَنَامِهِ اَلْجِهَادُ :
Maksudnya:
Daripada Muaz r.a. bahawa sesungguhnya Nabi SAW
bersabda: Kepala segala
urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad. [5]
Oleh
kedudukan solat sangat tinggi “rankingnya” dalam kehidupan umat
Islam, maka diwajibkan kepada semua umat Islam agar mendirikan solat lima kali
sehari sebagai ibadah harian dan ianya dilakukan secara berulang-ulang kali.
1.2 Definisi Solat
Sebelum kita menghubungkaitkan diantara ibadah solat dengan
pembangunan insan, mari kita lihat terlebih dahulu definisi solat itu sendiri.
Menurut pendapat Ustaz Ishak, Prof. Dato’ Dr Haron dan Dato’ Abu
Hassan Din Al-Hafiz, solat menurut bahasa ertinya doa, manakala disegi istilah
ialah beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir dan
disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.[6]
Manakala pendapat Hasnan Kasan di dalam bukunya “Mari memahami dan menghayati bacaan solat”
menyatakan bahawa definisi solat menurut ahli bahasa Arab, solat bermakna doa
atau permintaan daripada manusia kepada Allah. Manakala solat menurut istilah
feqah pula ialah beberapa perbuatan dan perkataan yang dimulakan dengan
takbiratulihram dan disudahi dengan salam, ditunaikan dalam waktu yang
ditetapkan dan menurut cara yang telah ditetapkan oleh syarak.[7]
Asal bahasa perkataan solat dalam bahasa Arab bermaksud doa atau
mengemukakan permohonan[8].
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡۖ إِنَّ
صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ۬ لَّهُمۡۗ ٌ
Maksudnya: Dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu
itu menjadi ketenteraman bagi mereka. [9]
Demikanlah beberapa petikan daripada beberapa sumber untuk
menerangkan maksud solat. Pada bab yang seterusnya kita akan membincangkan
bagaimana solat boleh mempengaruhi kehidupan manusia. Solat yang sempurna sudah pasti akan memberi
impak kepada manusia sama ada dari sudut hati, lidah dan seluruh
anggota serta segala amal perbuatannya seharian adalah mengikut ketetapan
syariat Islam dengan berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.
1.3 Pendidikan Rohani Melalui Solat
Solat
adalah hubungan diantara hamba dan PenciptaNya. Ianya berlaku secara langsung
sebanyak lima kali sehari semalam. Solat juga diperintahkan kepada ibubapa di
dalam proses pendidikan awal anak-anak seawal umur tujuh tahun. Sabda
Rasulullah SAW menerapkan pendidikan
rohani kepada anak-anak dengan ibadah solat:
عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ
الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ
أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ
سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ
Maksudnya:
Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata,
sabda Rasulullah SAW
: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka
berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur
sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.
Dikiaskan juga solat dalam hadith ini ialah ibadah-ibadah lain
seperti puasa, haji dan zakat bahkan hendaklah kita memberi kefahaman kepada
anak-anak bahawa ibadat menurut Islam tidak terbatas kepada empat perkara ini
sahaja tetapi merangkumi segala amal soleh seperti perkara halal haram sejak
mereka kecil lagi sebagai didikan dan membentuk jiwa yang beragama yang dapat
mengawal dirinya daripada kesesatan. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menunjuk
ajar anak-anak kita perbezaan baik dan buruk, masalah halal dan haram, antara
hak dan batil. Di samping itu, ibu bapa hendaklah menjadi tauladan seperti
melakukan apa yang dihalalkan dan meninggalkan apa yang dilarang. [10]
Islam
menekankan pendidikan rohani iaitu ibadah solat semenjak kita kecil iaitu
semasa berusia tujuh tahun agar makluk insan sentiasa takut kepada Allah SWT,
meninggalkan apa yang dilarang dan menjadi benteng kepada manusia.
Hal ini
ditegas oleh Rasulullah SAW dengan
sabdanya,
اعْمَلُوا
بِطَاعَةِ الله، وَاتَّقُوا مَعَاصِى الله، وَمُرُوا أَوْلاَدَكُم بِامتِـثَالِ
الأَوَامِر، وَاجْـتِنَابِ النَوَاهِى، فَذلِكَ وِقَايَة لَهُمْ وَلَكُمْ مِنَ
النَّارِ.
Maksudnya: Kerjakanlah olehmu amalan ketaatan
kepada Allah, takutlah kamu daripada melakukan maksiat, suruhlah
anak-anak kamu melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang
dilarang. Sesungguhnya itu adalah pendinding bagi mereka (anak-anak kamu) dari
dirimu daripada api neraka. [11]
Allah
juga memerintahkan kepada hambaNya melalui Nabi Muhammad
SAW dalam firmanNya:
۞ مُنِيبِينَ إِلَيۡهِ وَٱتَّقُوهُ وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا
تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ (٣١)
Maksudnya:
Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali
kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu
kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu
menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik.[12]
Daripada
keterangan diatas, dapatlah dirumuskan bahawa asas tuntutan Islam yang penting bagi membolehkan umat manusia
berpegang kepadanya dalam urusan duniawi mereka ialah perhubungan antara diri mereka
sendiri kepada Allah SWT iaitu selaku seorang makhluk kepada PenciptaNya dan
selaku seorang hamba kepada Tuannya iaitu Allah SWT. Perhubungan inilah yang
dinamakan ibadah solat, iaitu tunduknya seorang manusia kepada Tuhan yang telah
menciptanya, yang telah memberikan tubuh badan dan akalnya, yang telah
menjadikan bumi yang indah sebagai tempat hidupnya. Hidup didunia adalah
merupakan jambatan ke akhirat.
2.0 Konsep Penyerahan Kepada Allah SWT
Sebagaimana
yang disebutkan diatas, secara umumnya, Islam bermaksud patuh, ikut tunduk dan
menyerah diri tanpa bantahan, bangkangan dan syarat terhadap semua perintah Allah
SWT. Al-Quran telah merakamkan sebahagian ucapan para rasul dan nabi yang
menyatakan bahawa mereka menyeru umat mereka kepada agama Islam dan mereka
sendiri mengakui bahawa mereka berserah diri kepada Allah SWT[13].
Antaranya ialah:
Nabi
Nuh a.s. berkata kepada kaumnya:
فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَمَا سَأَلۡتُكُم مِّنۡ أَجۡرٍۖ إِنۡ أَجۡرِىَ
إِلَّا عَلَى ٱللَّهِۖ وَأُمِرۡتُ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (٧٢)
Maksudnya:
"Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah
menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu
(mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari
Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula
diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri
bulat-bulat kepada Allah)".[14]
Nabi Ibrahim a.s berkata:
رَبَّنَا وَٱجۡعَلۡنَا مُسۡلِمَيۡنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ
أُمَّةً۬ مُّسۡلِمَةً۬ لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبۡ عَلَيۡنَآۖ إِنَّكَ
أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ (١٢٨)
Maksudnya:
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang
berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam
(yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan
cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha
Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;[15]
Nabi
Musa a.s. berkata kepada kaumnya:
وَقَالَ مُوسَىٰ يَـٰقَوۡمِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ فَعَلَيۡهِ
تَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّسۡلِمِينَ (٨٤)
Maksudnya:
Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh
kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika
betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada
Allah)".[16]
Pengikut Nabi Isa a.s. dan pembantunya
berkata:
۞ فَلَمَّآ
أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنۡہُمُ ٱلۡكُفۡرَ قَالَ مَنۡ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِۖ قَالَ
ٱلۡحَوَارِيُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشۡهَدۡ بِأَنَّا
مُسۡلِمُونَ (٥٢)
Maksudnya:
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari
mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia: "Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?". Orang-orang
"Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah
penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan
saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang
berserah bulat-bulat kepada Allah).[17]
Nabi Muhammad
SAW pula berkata:
لَا شَرِيكَ
لَهُ ۥۖ وَبِذَٲلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (١٦٣)
Maksudnya:
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan
aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang
berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)"[18]
3.0 Sifat Semulajadi Manusia
Allah SWT mencipta manusia sangat istimewa berbanding dengan
makluk-makluk lain kerana adanya akal dan roh insani. [19]
Kerana itulah manusia itu adalah khalifah di muka bumi sebagaimana firman Allah
SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ
خَلِيفَةً۬ۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيہَا مَن يُفۡسِدُ فِيہَا وَيَسۡفِكُ
ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّىٓ
أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ (٣٠) وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَہُمۡ عَلَى
ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ
صَـٰدِقِينَ (٣١)
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada
Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di
bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan
berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu
orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak
mengetahuinya". [20]
Walaupun demikian, manusia dibekalkan oleh Allah SWT dengan tabiat
semulajadi. Begitu Allah SWT dengan sifat belas kasihNya kepada makhluk
ciptaanNya, telah memberi panduan iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah supaya manusia
itu dipandu dan tidak terpesong daripada menderhaka kepada Allah SWT.
Analisis penulis terhadap tulisan Dr Amran di dalam bukunya yang
bertajuk “Memperkasakan Diri” dimana beliau telah membahagikan sifat
semulajadi manusia ini kepada beberapa bentuk. Bentuk-bentuk sifat semulajadi
manusia itu pula adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor dalaman dan luaran. Di
halaman berikutnya penulis akan diperturunkan pendapat beliau berkenaan dengan
sifat-sifat semulajadi manusia untuk dikongsikan bersama.
3.1 Ciri-Ciri Sifat Semulajadi Manusia
Dr Amran berpendapat bahawa faktor dalaman kepada sifat semulajadi
manusia itu adalah terdiri daripada dua bentuk. Iaitu:
i.
Rasa resah gelisah
Dr Amran turut menyatakan bahawa manusia itu dibekalkan dengan
perasaan yang sentiasa resah gelisah. Pendapat beliau adalah bersandarkan
kepada firman Allah SWT:
۞ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩)
Maksudnya: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah
gelisah (lagi bakhil kedekut);[21]
Tidak kira sama ada di dalam situasi senang, sihat, kaya atau
miskin itulh antara sifat dan tabiat manusia yang menyebabkan kebanyakan mereka
tidak bersyukur di atas nikmat Allah SWT. Manusia mudah terpesona dengan
keindahan lahiriah menyebabkan mereka lupa kepada Allah SWT termasuk lupa akan
adanya kehidupan yang kekal di alam akhirat. [22]
Bagi insan yang kaya raya tetapi tidak memahami hakikat alam
akhirat menganggap bahawa kematian bererti kemusnahan segala-galanya. Peredaran
siang dan malam yang berlaku sebenarnya tidak ubah merupakan langkah-langkah yang
menghampirkan diri kepada maut. Semua yang wujud di dunia akan luluh dimakan
zaman. Hanya kemahuan yang kuat iiatu nafsu dan angan-angan manusia sahaja yang
tidak tua diragut oleh peredaran siang dan malam. [23]
Bagi sesetengah golongan yang miskin pula, kemiskinan tidak pula
menjadi faktor total yang boleh menyedarkan manusia dan insaf daripada
memperbaiki diri untuk berdampingan dengan Allah SWT. [24]
ii.
Nafsu
Cenderung Melakukan Kejahatan
Dr Amran juga menyatakan bahawa manusia adalah terdorong untuk
melakukan kejahatan berbanding kebaikan. Pendapat berliau adalah berdasarkan
kepada firman Allah SWT:
۞ وَمَآ أُبَرِّئُ نَفۡسِىٓۚ إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ
بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٥٣)
Maksudnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan
diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,
kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah
ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani." [25]
Terlalu
banyak contoh yang membuktikan bahawa tingkahlaku manusia yang melibatkan
kerosakan pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Ianya berlaku tanpa sebab
dan dorongan yang jelas. Hal-hal ini juga boleh dikaitkan dengan kes-kes
penagihan dadah, perzinaan, pembuangan bayi, pemusnahan harta benda awam dan
sebagainya. [26]
iii.
Sumpahan Iblis Terhadap Manusia
Iblis pernah bersumpah di hadapan Allah SWT yang ia akan
menyesatkan manusia sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah roh keluar
daripada jasad. Terbukti bahawa ancaman itu benar-benar dilakukan. Dijelaskan
di dalam Al-Quran betapa iblis berjaya memperdaya Adam dan Hawa yang
menyebabkan mereka melanggar larangan Allah SWT. Banyak contoh-contoh lain yang
dimuatkan di dalam Al-Quran yang mana iblis dan kaum kerabatnya berjaya
menyesatkan manusia. [27]
4.0 Impak Ibadah Khusus Dalam Kehidupan Muslim
Manusia
dicipta tiada lain adalah untuk menyembah atau beribadah kepada Allah SWT. Oleh
kerana tugas manusia itu adalah berat, maka Allah SWT memberi ganjaran kepada
yang berbuat baik dan memberi hukuman kepada yang berbuat jahat. Dalam
kehidupan di dunia ini, manusia dibekalkan dengan nafsu disamping godaan
syaitan yang Allah hadirkan dengan bertujuan untuk menguji manusia sama ada
manusia itu berjaya di dalam ujian atau sebaliknya.
Namun
Allah SWT dengan sifat kasih sayangNya telah memberikan umat manusia yang benar-benar mahu memperhambakan diri
kepadaNya akan kesan daripada amal soleh daripada ibadah solat yang mereka
kerjakan. Antara impak ibadah solat itu ialah:
a) Solat Adalah Penolong Kepada Umat Islam
Selain daripada solat adalah merupakan tiang
agama, solat juga merupaka amalan pertama yang dihisap ketika dibangkitkan
semula pada hari kiamat. Ini bertepatan dengan hadith Nabi Muhammad
:
مَا أوِّلُ:قَالَ وَسَلَّم
عَلَيهِ اللّهُ صلَّى النَّبِيِّ عَن عَنْهُ اللّهُ رَضِيََ مَالِكٍ بْن أنَسَ عَنْ
,فٍانَ صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرُ عَمَلِهِ,
الصّلاَة:العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ
بِهِ يُحَاسَبُ
وَإنْ فَسَدَتْ فسَدَ سَائَرُعَمَلِهِ
Maksudnya:
Daripada Anas bin Malik r.a daripada Nabi
SAW sabdanya: Pertama-tama
akan ditanya kepada hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik
solatnya maka akan baik pula segala amalannya, dan sekiranya rosak solatnya
maka akan rosak pula segala amalannya.[28]
Maka
kepada umat Islam yang benar-benar yakin kepada hari pembalasan, hendaklah
bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah solat supaya dapat menjadi penolong
kepada diri mereka tatkala hari kebangkitan semula. Malahan Allah SWT juga
telah menerangkan bahawa ibadah solat adalah salah satu daripada penolong umat
manusia ketika hari kiamat sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّمَا
وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ
ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٲكِعُونَ (٥٥)
Maksudnya:
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya,
serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan
zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).[29]
b) Solat Menghalang Perbuatan Keji dan Munkar.
Seterusnya,
ibadah solat yang sempurna pula akan dapat menghalang umat Islam daripada
berbuat dosa. Solat itu sendiri telah menjadi benteng pertahanan kepada kita
daripada nafsu yang mendorong untuk berbuat maksiat. Ini adalah berdasarkan
kepada dalil Al-Quran firman Allah SWT:
ٱتۡلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ
أَڪۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ (٤٥)
Maksudnya:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang
diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun);
sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan
sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan
(ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.[30]
Allah
SWT telah memerintah supaya mendirikan solat dan juga telah menerangkan kesan
solat kepada mereka yang mendirikannya. Solat itu mencegah perbuatan keji iaitu
perbuatan yang haram dan kata-kata mungkar. Perbuatan yang keji dan perkataan
yang mungkar, kedua-duanya menghasilkan dosa.
c) Solat Menjadikan Seseorang Stabil Fikiran dan Emosi
Solat
yang sempurna sifatnya juga boleh menyembuhkan penyakit hati dan rasa resah
gelisah yang dialami oleh manusia. Allah SWT memaklumkan kepada kita supaya
mendirikan solat ketika kita stress ataupun ketika mengalami gangguan emosi.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu di tiga ayat terakhir
surah Al-Hijr:
وَلَقَدۡ نَعۡلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدۡرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (٩٧)
Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa
engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. [31]
فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ (٩٨)
Maksudnya: Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu,
serta jadilah dari orang-orang yang sujud.[32]
وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأۡتِيَكَ ٱلۡيَقِينُ (٩٩)
Maksudnya:
Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara
yang tetap) yakin.[33]
Dengan
mendirikan solat juga dapat mengubati penyakit hati seperti kedekut dan rasa
resah gelisah, gundah gulana dan ketika ditimpa kesusaha sebagaimana firman
Allah SWT:
إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩) إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعً۬ا (٢٠) وَإِذَا مَسَّهُ ٱلۡخَيۡرُ مَنُوعًا (٢١) إِلَّا ٱلۡمُصَلِّينَ (٢٢) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَاتِہِمۡ دَآٮِٕمُونَ (٢٣)
Maksudnya:
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah
gelisah (lagi bakhil kedekut). (19) Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat
resah gelisah. (20) Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil
kedekut. (21) Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (22) Iaitu
mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (23) [34]
Hadith
riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّ فِي الصَّلاَةِ
شِفَاءً
Maksudnya: Sesungguhnya
di dalam solat itu ubat (penyembuhan)[35]
d) Solat Menjadikan Ingatan Selalu Kepada Allah SWT
Ibadah
solat juga merupakan talian perhubungan diantara makhluk dengan sang
PenciptaNya. Solat juga sebagai tanpa patuh tanpa syarat seseorang muslim
kepada Allah SWT. Solat yang sempurna akan mewujudkan perasaan kemanisan iman
seseorang manusia itu terhadap Tuhan yang Maha Penyayang.
Firman
Allah SWT di dalam Al-Quran tentang perihal tersebut ialah:
فَإِذَا قَضَيۡتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذۡڪُرُواْ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا
وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِڪُمۡۚ فَإِذَا ٱطۡمَأۡنَنتُمۡ فَأَقِيمُواْ
ٱلصَّلَوٰةَۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا
مَّوۡقُوتً۬ا (١٠٣)
Maksudnya:
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan
sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu
berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah
merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu
(dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu
ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu
waktunya.[36]
Di
dalam ayat diatas, jelas Allah SWT menyuruh kita agar sentiasa mengingatiNya
walau dalam apa keadaan sekalipun sama ada sihat, sakit, senang atau susah. Sesungguhnya
dengan mengingati Allah SWT, hati kita akan menjadi tenang dan tenteram.
Ibadah
solat juga dapat melahirkan perasaan bebas dari sebarang perhambaan kepada yang
lain daripada Allah SWT. Seorang abid tidak mudah tunduk kepada segala perintah
yang bercanggah dengan perintah Allah SWT kerana diri danjiwanya telah
diserahkan kepada mentaati Allah SWT semata-mata. Iman dan keyakinannya tidak
boleh dibeli dengan wang ringgit. Tindakan dan perlakuannya bukan kerana takut
kepada makhluk tetapi sistem hidupnya adalah pengabdian diri kepada Tuhan Maha
Berkuasa.
e)
Solat Mendatangkan
Kejayaan dan rezeki.
Allah
SWT juga telah memerintahkan hambaNya supaya mendirikan solat dengan tekun dan
sabar sebagaiman firmanNya:
وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡہَاۖ لَا
نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقً۬اۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَۗ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ (١٣٢)
Maksudnya:
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan
hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki
kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah)
kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.[37]
Orang
yang beribadah dengan ikhlas pastinya akan mendapat pertolongan Allah SWT di
atas perbuatannya. Maka Allah akan mencintainya dan juga menolongnya. Hadis
yang bermaksud:
"Sesiapa
yang meninggalkan dunia dengan ikhlas kerana Allah tanpa mempersekutukannya,
mendidirkan solat dan membayar zakat, nescaya dia akan pergi dari dunia, di
mana Allah sangat senang kepadanya. "
Itulah
janji Allah SWT kepada orang-orang yang mendirikan solat dengan ikhlas akan
menjamin keselamatannya di dunia dan akan mencapai kejayaan di akhirat.
f) Solat Menumbuhkan Perpaduan dan Persaudaraan
Peranan dan impak solat juga tidak terhad kepada individu
muslim. Malahan fungsi solat juga dapat dimanafaatkan oleh sesebuah masyarakat.
Solat adalah asas akhlak yang baik. Manakala solat berjemaah
pula merupakan satu cara dan disiplin yang efektif untuk ikatan kemasyarakatan,
berkasih sayang sesama manusia dan bersatu tenaga untuk menyelesaikan pelbagai
masalah. Selain daripada itu terdapat beberapa manafaat hasil daripada
mendirikan solat secara berjemaah antaranya ialah:
Pahala solat berjemaah dinyatakan oleh hadith daripada Ibnu
‘Umar r.a:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: صَلاَةُ الجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ
صَلاَةِ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرْجَةً وَفِي رِوَايَةٍ بِخَمْسٍ
وَعِشْرِينَ دَرْجَةً.
Maksudnya: Pahala solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat-dalam riwayat yang lain disebut-dengan 25 darjat.[38]
Ganjaran besar yang dikurniakan oleh Allah terhadap pelaksanaan
solat berjemaah adalah petanda yang nyata bahawa umat Muhammad
ialah
umat yang istimewa. Di sini disebutkan antara kelebihan solat berjemaah.
Di dalam hadith yang lain Rasullullah
bersabda, orang yang memelihara solat berjemaah akan mendapat dua ganjaran.
Pertama: Bebas dan selamat daripada siksa api neraka. Kedua: Terhindar
daripada sifat munafiq, ragu terhadap adab-adab Islam, hati yang keji dan tidak
ikhlas terhadap Allah SWT serta lemah pancaran cahaya iman daripada menerangi
kehidupan. Oleh itu, akan lahirlah segala bentuk kekejian, menganggap ringan
dosa besar apatah lagi dosa kecil.
Daripada Anas r.a berkata:
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ صَلَّى
لِلّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ، يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُوْلَى
كَتَبَ لَهُ بَرَاءَتَانِ: بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ.
Maksud: Rasulullah bersabda: Sesiapa yang bersolat secara berjemaah serta sempat bersama imam pada takbir yang pertama selama 40 hari, maka Allah akan menetapkan untuknya dua keselamatan, pertama, selamat daripada api neraka, kedua, selamat daripada menjadi seorang munafiq
Pada pendapat penulis, jika seseorang insan itu amat mengambil
berat tentang keperluan dan kepentingan solat secara berjemaah, perasaan
perpaduan akan tumbuh dikalangan umat Islam. Seperti mana yang kita lihat
terpampang di dada-dada akhbar, ramai dikalangan umat Islam dewasa ini yang
berpecah-belah akibat daripada perbezaan ideologi politik. Umpamanya rusuhan
umat Islam di Mesir sehingga runtuhnya pemerintahan bekas Presiden Mesir iaitu
Husni Mubaraq. Begitu juga apa yang berlaku di Syiria sekarang ini.
g) Solat Penghapus Dosa
Solat
juga boleh berfungsi sebagai penghapus dosa. Hal ini bertepatan dengan sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah
r.a katanya:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ
يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ، هَلْ يَـبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَيْءٌ؟ قَالُوا: لاَ
يَـبْقَى دَرَنِهِ-أَيْ وَسَخِهِ- شَيْءٌ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
: فَكَذَلِكَ الصَّلَوَاتُ الخَمْسُ يَمْحُو اللهُ بِهِنَّ
الخَطَايَا-الصَّغَائِرَ.
Maksudnya:
Aku telah mendengar Rasulullah
SAW bersabda: Sekiranya
terdapat sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang daripada kamu, lalu
kamu mandi di sungai itu 5 kali setiap hari, adakah masih kekal kekotoran di
badan kamu? Mereka (para sahabat) menjawab: Tidak ada kekotoran yang kekal.
Sabda Rasulullah
lagi: Begitulah juga
solat lima waktu, Allah SWT menghapuskan dengannya dosa-dosa iaitu dosa-dosa
kecil. [39]
h) Solat Itu Meningkatkan Darjat/Kedudukan
Hadith
riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang sahih, daripada ‘Ubadah bin Somit r.a
bahawa beliau mendengar Rasulullah
SAW bersabda,
مَا
مِنْ عَبْد يَسْجُدُ لِلّهِ سَجْدَةً إِلاَّ كَتَبَ اللهُ بِهَا حَسَنَةً وَمَحَا
عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ
السُّجُودِ.
Maksudnya:
Setiap sujud seseorang hamba itu akan
dikurniakan oleh Allah satu kebaikan dan dihapuskan satu kesalahan serta
diangkat untuknya satu darjat. Oleh itu, perbanyakkanlah sujud.[40]
Begitulah
impak solat didalam kehidupan seseorang muslim. Dengan memperbanyakkan solat
dan bermunajat kepadaNya, Allah SWT akan mengangkat darjat kedudukan seseorang
itu mulia disisiNya.
i) Solat Menjadikan Seseorang Dekat Kepada Allah SWT
Hadith
Nabi
, yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada
Abu Hurairah,
قَالَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَقْرَبُ مَا يَكُونُ العَبْدُ
مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَاكْثِرُوا الدُّعَاءَ.
Maksud:
Rasulullah SAW
bersabda: Detik yang paling hampir seseorang
hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika
itu. [41]
5.0 Kesimpulan
Solat hendaklah dibuat dengan tekun, sabar dan bersungguh-sungguh
iaitu di dalam keadaan kita menghadirkan hati dengan khusyuk dan pusat
pemikiran tertumpu kepada semata-mata kepada Allah SWT sahaja. Perintah solat
oleh Allah SWT kepada umat manusia, sama ada individu atau masyarakat (solat
jemaah) semuanya mengandungi hikmah. Semua perkara yang diperintahkan oleh
Allah SWT jika dikerjakan pasti mempunyai kebaikan kepada yang melakukan.
Sebaliknya segala larangan Allah SWT adalah perkara-perkara yang boleh
mendatangkan kerosakan atau keburukan kepada manusia. Segala perlakuan yang
baik mempunyai nilai yang diberi ganjaran pahala yang sangat bergunan terutama
untuk kehidupan di akhirat kelak
Sesungguh Islam adalah agama yang sempuma kerana ia mencakupi segenap
aspek kehidupan. Dalam Islam seluruh pekerjaan itu adalah dikira ibadah
sekiranya memenuhi segala peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Tidak seperti dalam kebanyakkan agama di dunia yang menganggap hanya
penyembahan dalam bentuk ritual sahaja dikira ibadah, sedangkan pekerjaan-pekerjaan
yang lain tidaklah dikira sebagai ibadah. Bagi ajaran Islam ibadah-ibadah yang
dilakukan terutama ibadah khusus sebenarnya tidak dapat dipisahkan dari
kehidupan manusia kerana impak atau kesan ibadah solat itu sangat besar kepada
kehidupan seseorang muslim, sama ada di dunia mahu pun akhirat. Sebenamya tidak
timbul konsep 50% untuk dunia dan 50% untuk akhirat, kerana seluruh kehidupan
ini bagi seorang muslim adalah untuk dunia dan akhirat kerana dunia ini adalah
ibarat ladang tempat kita menanam atau bercucuk tanam dan akhiratlah tempat
kita menuai dan mengutip hasil. Segala yang diperintahkan oleh Allah SWT
pastinya manfaatnya kepada manusia, bukan untuk Allah. Allah SWT tidak akan
rugi atau berkurang sedikitpun jika manusia memboikot Allah, sebaliknya yang
akan rugi manusia sendiri. Oleh itu baik sekali sekiranya kita mengkaji dengan
teliti dan mendapatkan hikmah dari ibadah yang diperihtahkan kepada kita untuk
melakukannnya.
Rujukan:
Buku Rujukan:
Al-Quran
dan Terjemahan
Abdullah
Al-Qari b Hj. Salleh, Rahsia Khusyuk Sembahyang, Dinie Publishers, Kuala
Lumpur, 1994
Abd
Muien Abdul Rahman, Sifat Solat Nabi SAW, Al-Hikmah Sdn Bhd, Selangor, 2009
Dr
Muhammad Salim, Mengungkap Rahasia Shalat Rasulullah, Darul Fikir, Kuala
Lumpur, 1988
Hasnan
Kasan, Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat, Sinar Tenggara Sdn Bhd,
Selangor, 2011
Imam
Habib Abdullah Haddad, Nasihat Agama dan Wasiat Iman, Pustaka Nasional Pte Ltd,
Singapura, 2005
Ustaz
Ishak Din, Prof. Dato’ Dr Haron Din & Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Soal
Jawab Fiqh Harian, Hizbi, Shah Alam, 1992
Syeikh
Ali Ahmad Al-Jarjawi, Hikmah Di Sebalik Ibadah, (Terjemahan), Darul Nukman,
Kuala Lumpur, 2005
Kertas Kerja
Y.B.S.S
Dato’ Hj Mohd Murtadza bin Hj Ahmad, (Mufti Kerajaan Negeri Sembilan), “Pendidikan
Anak Dengan Solat” – Kertas kerja ini telah dibentangkan di dalam
seminar Kebangsaan Menghayati Ajaran Islam: Sembahyang Kewajipan Asasi, Tahun
1427H/2006, di Sutera Hall Center Point, Bandar Seri Bengawan, Brunei, anjuran
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Keratan Akhbar
Abu
Numair Nawawi Subandi, Kita Solat Ikut Siapa, Sinar Harian, 10 Disember 2011, http://www.sinarharian.com.my/rencana/kita-solat-ikut-siapa-1.11578
[1] Hadis
Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595
[2] Syeik
Ali Ahmad:2005, hlm 25
[3] Surah Adz-Dzaariyaat, 51:56
[4] Surah
Al-Isra’, 17:1
[5] Hadith
Riwayat Tirmizi No. 2616 : hasan sahih
[6] Ustaz
Ishak Din, Prof. Dato’ Dr Haron Din & Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Soal
Jawab Fiqh Harian, hlm 59
[7] Hasnan
Kasan, Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat, hlm 2
[8] Datuk
Hj. Md Hashim Yahaya, Ensiklopedia Solat, hlm 23
[9] Surah
At-Taubah, 9:103
[10] Aun
al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Sidqi Muhammad Jamil al-‘Attar, Darul Fikr, Bab
Mata Yukmaru al-Ghulam bi al-Salah, Jld. 2 hlmn 123.
[11] Hadith
riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir
[12] Surah
Ar-Rum, 31: 30
[13] Memahami
Islam sebagai Dinullah, Majalah Dian, Januari 2102, hlm 15
[14] Surah
Yunus, 10: 72
[15] Surah
Al-Baqarah, 2: 128
[16] Surah Yunus, 10:84
[17] Surah
Ali-Imran, 3:52
[18] Surah
Al-An’am 6:163
[19] Dr
Amran Kasimin, Memperkasa Diri, hlm, 7
[20] Surah
Al-Baqarah, 1: 30
[21] Surah
Al-Ma’rij, 70: 19
[22] Dr
Amran Kasimin, bab 2 hlm 7
[23] Ibid,
hlm 9
[24] Ibid
[25] Surah Yusuf, 12: 53
[26] Ibid,
hlm 11
[27] Ibid,
hlm 12
[28] Hadith
Sahih Riwayat At-Tabarani No.532
[29] Surah
Al-Maidah, 5:55
[30] Surah
Al-Ankabut, 29:45
[31] Surah
Al-Hijr, 15:97
[32] Ibid,
98
[33] Ibid,
99
[34] Surah
Al-Marij, 70:19-23
[35] Hadith
Riwayat Ahmad
[36] Surah
An-Nisa’, 4:103
[37] Surah
Taha, 20:132
[39] Hadith
Riwayat Muttafaq ‘alaih
[40] Hadith
Riwata Ibnu Majah
[41] Hadith
Riwayat Muslim