Pages

Tuesday, 20 December 2011

Isu gender dalam Islam vz Barat


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Bertemu kembali kita diruangan kali ini di dalam keadaan sihat sejahtera. Kita akan menyambut tahun baru 2012 dalam beberapa hari lagi. Maka pada ruangan kali ini, suka penulis menyentuh sedikit berkenaan dengan isu semasa iaitu “Islam dan Wanita”. Sebenarnya, penulis tertarik untuk berkongsi sedikit maklumat dengan para pembaca berkenaan dengan topik ini dengan tujuan supaya para wanita di negara kita terutama yang beragama Islam dapat memperseimbangkan di antara desakan-desakan NGO tentang hak kebebasan wanita dengan tuntutan agama Islam menurut Al-Quran dan Al-Sunnah.

Negara-negara Timur hari ini sibuk dengan persoalan hak-hak wanita dan persoalan menuntut hak-hak persamaan dengan lelaki. Di tengah-tengah kesibukan yang seakan-akan diserang wabak demam itu, suara lantang pejuang hak wanita telah menggunakan nama Islam ketika mengemukakan dakwaan-dakwaan mereka. Setengahnya dengan ekstrim mendakwa bahawa Islam telah menetapkan hak-hak yang sama di antara dua jenis itu di dalam segala perkara dan setengahnya dengan penuh kejahilan menuduh bahawa Islam adalah musuh wanita, Islam menjatuhkan taraf dan kehormatan wanita, Islam menghancurkan perasaan wanita yang ingin berbangga dengan keperibadiannya, malah Islam meletakkan wanita pada status yang hampir sama dengan binatang, Islam menganggap wanita sebagai semata-mata alat untuk lelaki memenuhi nafsu berahinya dan sebagai alat untuk melahirkan keturunan tidak lebih dari itu.

Berdasarkan beberapa buku rujukan yang penulis baca, perkembangan wanita di dalam masyarakat dapat dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu:

 a) Wanita dikalangan umat terdahulu;
 b) Wanita setelah kedatangan Islam; dan
c) Wanita di dunia barat kini

Saudara pembaca yang dirahmati Allah sekalian, tahukah saudara bahawa orang-orang Athen pada masa dahulu meletakkan taraf wanita sebagai alat kesoronokkan dan sebagai pelepas nafsu. Mereka meletakkan wanita terlalu rendah tarafnya yang hanya layak mengurus rumahtangga dan anak-anak sahaja.

Di dalam undang-undang India lama pula ada mengatakan bahawa wabak, maut, api dan racun adalah lebih baik daripada wanita.

Pandangan taurat sendiri tidak jauh bezanya dengan pandangan undang-undang India di mana taurat mengatakan bahawa wanita adalah kejadian yang lebih pahit dari mati. Malahan di dalam taurat versi safar jenesus ada menyebut sebanyak 82 tempat yang mengatakan bahawa perempuan itu adalah makhluk celaka. 

Bagi orang-orang Rome lama, mereka telah mengadakan suatu perhimpunan besar untuk mengkaji kedudukan wanita. Perhimpunan itu telah bersetuju mengatakan bahawa wanita adalah mahkluk yang tidak berjiwa dan dengan sebab itu mereka tidak akan mewarisi kehidupan akhirat. Orang-orang Rome menetapkan polisi bahawa kaum wanita tidak boleh memakan daging, tidak boleh ketawa, malah tidak ada kebebasan suara dalam melahirkan pendapat dan pemikiran mereka. Wanita dilayan dengan buruk sama ada wanita terbabit lahir dari kalangan aristokrat ataupun dari kalangan miskin.

Di Perancis, pada tahun 586 Masehi, telah diadakan suatu persidangan di salah sebuah wilayah di negeri itu untuk mengkaji tentang wanita di negara terbabit iaitu untuk mendapat persetujuan tentang kedudukan wanita sama ada mereka boleh dikira sebagai manusia atau pun bukan manusia. Saudara bayangkanlah bagaimana masyarakat Eropah pada ketika itu menilai wanita sangat rendah tarafnya.

Di England, semasa pemerintahan King Henry yang Ke VIII, telah mengeluarkan perintah mengharamkan wanita dari membaca kitab suci. Demikian juga undang-undang Inggeris dalam masa lebih kurang tahun 1850 mengganggap wanita sebagai bukan warganegara England. Kaum wanita di England ketika itu dinafikan hak-hak peribadi, seperti hak memiliki harta, pakaian walaupun hasil titik peluh mereka sendiri.

Pada zaman jahilliyyah sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w wanita-wanita adalah sasaran penghinaan, wanita hanya sekadar pemuas nafsu seks lelaki, kekejaman malahan anak-anak perempuan turut dinafikan hak untuk hidup dengan wujudnya budaya membunuh anak perempuan hidup-hidup dengan alasan anak perempuan membawa celaka kepada keluarga.

Apabila datangnya agama Islam dengan Nabi Muhammad s.a.w bersama rahmat telah membawa kebebasan yang diberi oleh Islam kepada wanita. Islam datang membawa sinar cahaya dengan membebaskan wanita dari kelaziman dan tindakan liar yang dilakukan ke atas mereka. Malah Islam meninggkat darjat mereka ke taraf yang tinggi dan ianya tidak dapat ditandingi oleh tamadun-tamadun terdahulu sebelum kedatangan Islam.

Dikala tamadun lain menganggap wanita sebagai manusia kelas kedua, Islam datang mengisytiharkan bahawa wanita adalah salah satu unsur yang membiakkan manusia sebagai satu nikmat dan rahmat kepada kehidupan manusia itu sendiri. Firman Allah s.w.t: (An-Nisa: 1)

A001

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Pada pendapat penulis, dunia barat kini sebenarnya ketinggalan daripada Islam dalam memberi hak kepada wanita untuk bergiat cergas dalam kehidupan bermasyarakat termasuklah dalam konteks wanita berpolitik. Ini jelas apabila Nabi Muhammad s.a.w melibatkan wanita di kalangan Kaum Ansar dalam peristiwa Bai’ah Al-Aqabah bagi mendirikan negara Islam di Madinah pada 622 Masehi. Manakala Barat membuka ruang kepada wanita untuk melibatkan diri berpolitik pada tahun 1869 di Wyoming, Amerika Syarikat. Seterusnya barat membenarkan wanita mengundi pada tahun 1890, kemudian baru lah menular ke wilayah-wilayah yang lain. Lalu terbentuklah pindaan dalam perlembagaan Amerika Syarkat pada tahun 1920 yang tidak membenarkan diskriminasi dalam pihanraya kerana perbezaan jantina. Sejak itu wanita diberi hak keluar mengundi.

Berikut dinyatakan beberapa hak utama dalam kehidupan manusia yang telah diangkat oleh Islam dalam memuliakan kaum wanita. Antaranya ialah:
    
1.      Hak terhadap dirinya sendiri
Islam sangat menghormati wanita. Ini jelas apabila wanita berkahwin, mereka masih lagi menggunakan nama meraka sehinggalah ke akhir hayat. Berbanding dengan wanita barat, apabila mereka berkahwin, maka hilanglah nama meraka menjadi Mrs Smiths dan sebagainya.

2.      Hak sebagai warganegara
Sebagai warganegara, wanita Islam bebas untuk mendapat haknya sebagai individu negara terbabit. Sebagai contoh hak untuk menutup aurat, hak untuk mengundi di dalam pilihanraya, hak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, keselamatan dan sebagainya.

3.      Hak untuk memililh calon suami
Islam telah menggariskan kepada kaum wanita untuk bebas memilih calon suami tetapi mestilah bersendikan agama. Malahan Islam menyarankan bahawa bagi wanita yang ingin mendirikan rumahtangga mestilah memilih lelaki yang baik pegangan agamanya. Dalam konteks hari ini, kita boleh lihat dengan jelas adanya anak-anak gadis yang “mencadangkan” calon suami  dengan memperkenalkan mereka kepada kedua ibubapa.  Jelas, di Malaysia tiada kahwin paksa. Kalau ada pun mungkin ianya kes-kes yang terpencil.

4.      Hak untuk menuntut ilmu
Terdapat banyak hadith-hadith yang menuntut kedua-dua jantina sama ada lelaki atau perempuan untuk menimba ilmu. Islam tidak menyekat kaum wanita daripada mendapatkan ilmu pengetahuan berbanding lelaki.

5.      Hak untuk membantu dalam pekerjaan

A071

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

At-taubah 71: ayat ini menentukan bidang kuasa mukmin lelaki dan perempuan antara satu sama lain dan bidang kuasa ini bermakna mereka tolong-menolong untuk kebaikan. Begitu juga ayat ini menerangkan bahawa tanggungjawab mencegah kemungkaran dan berbuat amal salih adalah dipikul oleh kedua-dua gender. Ini membuktikan bahawa wanita diberi peranan yang sama rata dalam kegiatan sosia-masyarakat

6.      Hak untuk memberi pendapat
Islam juga turut tidak menolak daripada kaum wanita member pendapat. Pada ketika Khalifah Umar Al-Khatab r.a menjadi Amirul Mukminin, beliau telah mendengar keluh kesah seorang isteri angkatan perang mengeluh tidak mendapat nafkah batin lantaran berjauhan dengan suami kerana penglibatan suaminya di dalam peperangan untuk menyebarluaskan agama Islam. Lalu Khalifah Umar r.a telah bertanya kepada anaknya Hapsah berkenaan dengan berapa lamakah kaum wanita boleh berjauhan dengan suami. Lalu Hapsah memberi maklumat bahawa wanita boleh menahan hawa nafsunya selama 6 bulan. Maka Khalifah Umar r.a telah membuat satu polisi bahawa setiap angkatan perang akan dipanggil selepas 6 bulan di medan pertempuran dan digantikan dengan angkatan tentera yang lain demi menjaga hak wanita terhadap suaminya. Tidakkah Islam itu syumul?   

7.      Hak pemilikan harta

A031


Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.

Al-isra: 31 – orang-orang Arab tidak memberi hak pusaka kepada kaum wanita dan anak-anak perempuan untuk mempusakai harta mereka. Sebaliknya harta-harta itu boleh dipusakai oleh pejuang-pejuang yang menentang Islam. Islam bangkit menerangi kegelapan dengan memberi hak kepada wanita dalam harta pusaka. Ianya termasuklah, ibu, isteri, anak perempuan, saudara perempuan yang boleh mewarisi harta si mati.

Berkenaan dengan isu ini, Allah s.w.t mengulangi lagi didalam surah An-Nisa 7:

A007

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).


8.      Hak menjadi saksi
      Didalam Islam hak persaksian bagi wanita ialah 2: 1 berbanding lelaki. Hak ini adalah terkhusus kepada hukum hudud iaitu sesuatu isu berkaitan dengan jenayah yang berlaku diluar rumah. Umpamanya untuk menjadi saksi kepada kes khalwat. Untuk menjadi sah persaksian kaum wanita mestilah disertakan dengan 2 orang wanita yang boleh dipercayai dan memadai seorang lelaki. Secara logiknya, memang jarang wanita berminat ingin menyaksikan aksi-aksi lucah dan porno berbanding dengan kaum lelaki. 


      Maka tidak usahlah kita wanita Islam terpedaya dengan tuntutan-tuntutan NGO untuk menuntut hak sama rata. Suka penulis mencadangkan bahawa hak sama rata yang boleh kita pertimbangkan mestilah bersendikan Al-Quran dan Al-Hadith.  Sekian, semoga kita bertemu lagi diruangan akan datang dalam topik perbincangan yang lain pula. Insyaallah. 

No comments:

Post a Comment