Pages

Tuesday, 27 December 2011

Family Festival - Twins of Faith (24 - 25 Dec 2011)


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, kita masih lagi dipinjamkan nyawa olehNya untuk kita meneruskan kehidupan dan perjuangan dibumi Allah s.w.t. ini. Sesungguhnya Allah maha besar rahmat dan kasih sayangNya kepada kita. Pada ruangan kali ini, penulis ingin berkongsi pengalaman bersama saudara pembaca berkenaan dengan "family festival" yang telah dikelolakan oleh "Mercy Mission World Organisation" bertempat di PICC, Putrajaya selama 2 hari iaitu 24hb Dis - 25hb Dis 2011.   

Pada pendapat penulis, festival ini amat menarik dan bermanafaat yang mana setiap speaker yang memberi ceramah mengikut topik telah memberi impak yang berkesan kepada penulis di dalam usaha untuk mempertingkatkan kualiti ibadah kepada Allah s.w.t. Walaupun topik-topik yang dibentangkan bukanlah isu baru namun cara penyampaiaan oleh speaker-speaker yang didatangkan dari luar negara i.e Canada, Australia, UK dan termasuklah speaker dari Malaysia telah memberi nafas baru dalam dunia dakwah di Malaysia. Dari pengamatan penulis, kebanyakan speaker yang membuat pembentangan adalah terdiri lepasan graduan Universiti Madinah. Betapa mereka bersungguh-sungguh dalam bidang dakwah untuk kebaikan ummah Islam sejagat. Tampak benar usaha mereka membina network (jaringan) dari Canada, Australia, India, Saudi (Madinah), UK semata-mata untuk berbakti kepada saudara seakidah dengan mereka. Semoga usaha mereka mendapat keredhaan Allah s.w.t. 

Kebanyakan speaker memuji-muji Malaysia yang aman, harmoni, negara cantik dan rakyat yang peramah. Yang paling menarik hati penulis ialah pembentangan dari Shaikh Tawfique Chawdhury (founder of Mercy). Di dalam ucapannya pada hari penutup, beliau akan berhijrah dari Australia ke Malaysia dalam masa 2 minggu lagi!!!. Tidak terkata penulis... hanya memanjat syukur kepada Allah s.w.t sekali lagi bahawa memang dunia telah memandang Malaysia sebagai hub dakwah serantau. Apa yang penulis rasakan, walaupun ramai rakyat Malaysia sendiri masih lagi keliru tentang kedudukan Malaysia iaitu sama ada "Islamic country" ataupun "secular", namun jelas daripada pengucapan dan pendirian speaker luar negara memandang tinggi kepada Malaysia sehingga sanggup datang ke sini untuk menjadikan Malaysia sebagai hub dakwah.  Mungkin mereka datang kerana semaraknya Islam di sini atau pun mereka datang bukannya kerana semaraknya Islam, tapi mungkin kerana facility dan sikap terbuka kerajaan Malaysia menerima "Mercy" untuk datang ke Malaysia. 

Banyak juga tips disepanjang festival yang boleh penulis jaidkan bahan untuk paparan saudara pembaca. Insyaallah jika ada kelapangan, penulis akan berkongsi ilmu dengan saudara pembaca dalam ruangan akan datang. Insyaallah.

Tuesday, 20 December 2011

Isu gender dalam Islam vz Barat


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Bertemu kembali kita diruangan kali ini di dalam keadaan sihat sejahtera. Kita akan menyambut tahun baru 2012 dalam beberapa hari lagi. Maka pada ruangan kali ini, suka penulis menyentuh sedikit berkenaan dengan isu semasa iaitu “Islam dan Wanita”. Sebenarnya, penulis tertarik untuk berkongsi sedikit maklumat dengan para pembaca berkenaan dengan topik ini dengan tujuan supaya para wanita di negara kita terutama yang beragama Islam dapat memperseimbangkan di antara desakan-desakan NGO tentang hak kebebasan wanita dengan tuntutan agama Islam menurut Al-Quran dan Al-Sunnah.

Negara-negara Timur hari ini sibuk dengan persoalan hak-hak wanita dan persoalan menuntut hak-hak persamaan dengan lelaki. Di tengah-tengah kesibukan yang seakan-akan diserang wabak demam itu, suara lantang pejuang hak wanita telah menggunakan nama Islam ketika mengemukakan dakwaan-dakwaan mereka. Setengahnya dengan ekstrim mendakwa bahawa Islam telah menetapkan hak-hak yang sama di antara dua jenis itu di dalam segala perkara dan setengahnya dengan penuh kejahilan menuduh bahawa Islam adalah musuh wanita, Islam menjatuhkan taraf dan kehormatan wanita, Islam menghancurkan perasaan wanita yang ingin berbangga dengan keperibadiannya, malah Islam meletakkan wanita pada status yang hampir sama dengan binatang, Islam menganggap wanita sebagai semata-mata alat untuk lelaki memenuhi nafsu berahinya dan sebagai alat untuk melahirkan keturunan tidak lebih dari itu.

Berdasarkan beberapa buku rujukan yang penulis baca, perkembangan wanita di dalam masyarakat dapat dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu:

 a) Wanita dikalangan umat terdahulu;
 b) Wanita setelah kedatangan Islam; dan
c) Wanita di dunia barat kini

Saudara pembaca yang dirahmati Allah sekalian, tahukah saudara bahawa orang-orang Athen pada masa dahulu meletakkan taraf wanita sebagai alat kesoronokkan dan sebagai pelepas nafsu. Mereka meletakkan wanita terlalu rendah tarafnya yang hanya layak mengurus rumahtangga dan anak-anak sahaja.

Di dalam undang-undang India lama pula ada mengatakan bahawa wabak, maut, api dan racun adalah lebih baik daripada wanita.

Pandangan taurat sendiri tidak jauh bezanya dengan pandangan undang-undang India di mana taurat mengatakan bahawa wanita adalah kejadian yang lebih pahit dari mati. Malahan di dalam taurat versi safar jenesus ada menyebut sebanyak 82 tempat yang mengatakan bahawa perempuan itu adalah makhluk celaka. 

Bagi orang-orang Rome lama, mereka telah mengadakan suatu perhimpunan besar untuk mengkaji kedudukan wanita. Perhimpunan itu telah bersetuju mengatakan bahawa wanita adalah mahkluk yang tidak berjiwa dan dengan sebab itu mereka tidak akan mewarisi kehidupan akhirat. Orang-orang Rome menetapkan polisi bahawa kaum wanita tidak boleh memakan daging, tidak boleh ketawa, malah tidak ada kebebasan suara dalam melahirkan pendapat dan pemikiran mereka. Wanita dilayan dengan buruk sama ada wanita terbabit lahir dari kalangan aristokrat ataupun dari kalangan miskin.

Di Perancis, pada tahun 586 Masehi, telah diadakan suatu persidangan di salah sebuah wilayah di negeri itu untuk mengkaji tentang wanita di negara terbabit iaitu untuk mendapat persetujuan tentang kedudukan wanita sama ada mereka boleh dikira sebagai manusia atau pun bukan manusia. Saudara bayangkanlah bagaimana masyarakat Eropah pada ketika itu menilai wanita sangat rendah tarafnya.

Di England, semasa pemerintahan King Henry yang Ke VIII, telah mengeluarkan perintah mengharamkan wanita dari membaca kitab suci. Demikian juga undang-undang Inggeris dalam masa lebih kurang tahun 1850 mengganggap wanita sebagai bukan warganegara England. Kaum wanita di England ketika itu dinafikan hak-hak peribadi, seperti hak memiliki harta, pakaian walaupun hasil titik peluh mereka sendiri.

Pada zaman jahilliyyah sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w wanita-wanita adalah sasaran penghinaan, wanita hanya sekadar pemuas nafsu seks lelaki, kekejaman malahan anak-anak perempuan turut dinafikan hak untuk hidup dengan wujudnya budaya membunuh anak perempuan hidup-hidup dengan alasan anak perempuan membawa celaka kepada keluarga.

Apabila datangnya agama Islam dengan Nabi Muhammad s.a.w bersama rahmat telah membawa kebebasan yang diberi oleh Islam kepada wanita. Islam datang membawa sinar cahaya dengan membebaskan wanita dari kelaziman dan tindakan liar yang dilakukan ke atas mereka. Malah Islam meninggkat darjat mereka ke taraf yang tinggi dan ianya tidak dapat ditandingi oleh tamadun-tamadun terdahulu sebelum kedatangan Islam.

Dikala tamadun lain menganggap wanita sebagai manusia kelas kedua, Islam datang mengisytiharkan bahawa wanita adalah salah satu unsur yang membiakkan manusia sebagai satu nikmat dan rahmat kepada kehidupan manusia itu sendiri. Firman Allah s.w.t: (An-Nisa: 1)

A001

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Pada pendapat penulis, dunia barat kini sebenarnya ketinggalan daripada Islam dalam memberi hak kepada wanita untuk bergiat cergas dalam kehidupan bermasyarakat termasuklah dalam konteks wanita berpolitik. Ini jelas apabila Nabi Muhammad s.a.w melibatkan wanita di kalangan Kaum Ansar dalam peristiwa Bai’ah Al-Aqabah bagi mendirikan negara Islam di Madinah pada 622 Masehi. Manakala Barat membuka ruang kepada wanita untuk melibatkan diri berpolitik pada tahun 1869 di Wyoming, Amerika Syarikat. Seterusnya barat membenarkan wanita mengundi pada tahun 1890, kemudian baru lah menular ke wilayah-wilayah yang lain. Lalu terbentuklah pindaan dalam perlembagaan Amerika Syarkat pada tahun 1920 yang tidak membenarkan diskriminasi dalam pihanraya kerana perbezaan jantina. Sejak itu wanita diberi hak keluar mengundi.

Berikut dinyatakan beberapa hak utama dalam kehidupan manusia yang telah diangkat oleh Islam dalam memuliakan kaum wanita. Antaranya ialah:
    
1.      Hak terhadap dirinya sendiri
Islam sangat menghormati wanita. Ini jelas apabila wanita berkahwin, mereka masih lagi menggunakan nama meraka sehinggalah ke akhir hayat. Berbanding dengan wanita barat, apabila mereka berkahwin, maka hilanglah nama meraka menjadi Mrs Smiths dan sebagainya.

2.      Hak sebagai warganegara
Sebagai warganegara, wanita Islam bebas untuk mendapat haknya sebagai individu negara terbabit. Sebagai contoh hak untuk menutup aurat, hak untuk mengundi di dalam pilihanraya, hak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, keselamatan dan sebagainya.

3.      Hak untuk memililh calon suami
Islam telah menggariskan kepada kaum wanita untuk bebas memilih calon suami tetapi mestilah bersendikan agama. Malahan Islam menyarankan bahawa bagi wanita yang ingin mendirikan rumahtangga mestilah memilih lelaki yang baik pegangan agamanya. Dalam konteks hari ini, kita boleh lihat dengan jelas adanya anak-anak gadis yang “mencadangkan” calon suami  dengan memperkenalkan mereka kepada kedua ibubapa.  Jelas, di Malaysia tiada kahwin paksa. Kalau ada pun mungkin ianya kes-kes yang terpencil.

4.      Hak untuk menuntut ilmu
Terdapat banyak hadith-hadith yang menuntut kedua-dua jantina sama ada lelaki atau perempuan untuk menimba ilmu. Islam tidak menyekat kaum wanita daripada mendapatkan ilmu pengetahuan berbanding lelaki.

5.      Hak untuk membantu dalam pekerjaan

A071

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

At-taubah 71: ayat ini menentukan bidang kuasa mukmin lelaki dan perempuan antara satu sama lain dan bidang kuasa ini bermakna mereka tolong-menolong untuk kebaikan. Begitu juga ayat ini menerangkan bahawa tanggungjawab mencegah kemungkaran dan berbuat amal salih adalah dipikul oleh kedua-dua gender. Ini membuktikan bahawa wanita diberi peranan yang sama rata dalam kegiatan sosia-masyarakat

6.      Hak untuk memberi pendapat
Islam juga turut tidak menolak daripada kaum wanita member pendapat. Pada ketika Khalifah Umar Al-Khatab r.a menjadi Amirul Mukminin, beliau telah mendengar keluh kesah seorang isteri angkatan perang mengeluh tidak mendapat nafkah batin lantaran berjauhan dengan suami kerana penglibatan suaminya di dalam peperangan untuk menyebarluaskan agama Islam. Lalu Khalifah Umar r.a telah bertanya kepada anaknya Hapsah berkenaan dengan berapa lamakah kaum wanita boleh berjauhan dengan suami. Lalu Hapsah memberi maklumat bahawa wanita boleh menahan hawa nafsunya selama 6 bulan. Maka Khalifah Umar r.a telah membuat satu polisi bahawa setiap angkatan perang akan dipanggil selepas 6 bulan di medan pertempuran dan digantikan dengan angkatan tentera yang lain demi menjaga hak wanita terhadap suaminya. Tidakkah Islam itu syumul?   

7.      Hak pemilikan harta

A031


Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.

Al-isra: 31 – orang-orang Arab tidak memberi hak pusaka kepada kaum wanita dan anak-anak perempuan untuk mempusakai harta mereka. Sebaliknya harta-harta itu boleh dipusakai oleh pejuang-pejuang yang menentang Islam. Islam bangkit menerangi kegelapan dengan memberi hak kepada wanita dalam harta pusaka. Ianya termasuklah, ibu, isteri, anak perempuan, saudara perempuan yang boleh mewarisi harta si mati.

Berkenaan dengan isu ini, Allah s.w.t mengulangi lagi didalam surah An-Nisa 7:

A007

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).


8.      Hak menjadi saksi
      Didalam Islam hak persaksian bagi wanita ialah 2: 1 berbanding lelaki. Hak ini adalah terkhusus kepada hukum hudud iaitu sesuatu isu berkaitan dengan jenayah yang berlaku diluar rumah. Umpamanya untuk menjadi saksi kepada kes khalwat. Untuk menjadi sah persaksian kaum wanita mestilah disertakan dengan 2 orang wanita yang boleh dipercayai dan memadai seorang lelaki. Secara logiknya, memang jarang wanita berminat ingin menyaksikan aksi-aksi lucah dan porno berbanding dengan kaum lelaki. 


      Maka tidak usahlah kita wanita Islam terpedaya dengan tuntutan-tuntutan NGO untuk menuntut hak sama rata. Suka penulis mencadangkan bahawa hak sama rata yang boleh kita pertimbangkan mestilah bersendikan Al-Quran dan Al-Hadith.  Sekian, semoga kita bertemu lagi diruangan akan datang dalam topik perbincangan yang lain pula. Insyaallah. 

Tuesday, 6 December 2011

Hikmah Kisah-Kisah Di Dalam Al-Quran

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم


ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ, bertemu kita sekali lagi dalam keadaan yang sihat walafiat dan di dalam peliharaan Allah s.w.t hendaknya. Pada ruangan kali ini, penulis ingin berkongsi dengan saudara pembaca berkenaan dengan hikmah kisah-kisah di dalam Al-Quran. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa kisah-kisah dalam Al Qur’an adalah sebenar-benarnya kisah. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta’ala:


A087
Ertinya :  Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (Q.S. An Nisaa’: 87).
Bersendikan dalil Al-Quran, kisah-kisah tersebut pasti sesuai dengan peristiwa yang terjadi. Dan kisah-kisah tersebut yang terakam di dalam Al-Quran merupakan kisah-kisah terbaik. Berdasarkan firman Allah Ta’ala:
A003






Ertinya: “Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu,” (Q.S. Yusuf: 3).
Setiap kisah-kisah yang Allah angkat di dalam kitabNya mengandung nilai balaghah dan makna yang sangat tinggi kesempurnaannya. Selain daripada itu, kisah-kisah di dalam Al Qur’an merupakan kisah-kisah yang paling besar manfaatnya supaya umat manusia berfikir. Ini berdasarkan kepada firman Allah Ta’ala:

A111


Ertinya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Q.S. Yusuf: 111).

Saudara pembaca yang dihormati sekalian, yang demikian itulah Al-Quran sangat terkesan dihati insan kerana sangat kuatnya pengaruh yang muncul untuk memperbaiki hati, amal dan akhlak sekalian manusia.

Berikut diperturunkan bahawa kisah-kisah di dalam Al Qur’an terbahagi menjadi empat (4) perspektif:
Pertama: Kisah-kisah para Nabi dan Rasul, dan apa saja yang terjadi antara mereka dengan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang kafir.
Kedua: Kisah-kisah sejumlah orang atau kelompok. Terdapat beberapa peristiwa yang mengandung pelajaran dari apa yang mereka alami. Allah Ta’ala menceritakan kisah mereka di dalam Al-Qur'an, seperti kisah Maryam, Luqman, seorang yang memasuki sebuah kampung yang telah kosong dari penghuninya, Dzulqarnain, Qaaruun, pemuda Al-Kahfi, tentera bergajah, orang-orang yang dilemparkan ke dalam parit api dan kisah-kisah lainnya.
Ketiga: Kisah-kisah yang terjadi pada zaman Nabi s.a.w, misalnya kisah perang Badar, Uhud, Ahzab, Bani Quraizhah, Bani Nadhir, kisah Zaid bin Haritsah, Abu Lahab dan lain-lainnya.
Keempat: Kisah-kisah di dalam Al-Qur'an yang boleh diangkat sebagai tauladan di dalam proses pendidikan anak. Umpamanya mengajar anak lelaki memahami surah Al-Anfal. Yang mana Surah Al-Anfal boleh mempengaruhi jiwa anak lelaki dengan membangunkan sifat-sifat kelelakiannya. Kisah yang terdapat di dalam Surah Al-Anfal adalah berkenaan dengan perang yang boleh ibubapa mengambil iktibar daripadanya. Begitu juga dengan anak-anak perempuan. Kita boleh mengggalakkan mereka agar sering membaca Surah An-Nuur dan Surah An-Nisa. Supaya ruh ayat yang dibaca terkesan di hati anak-anak agar lebih lembut sempurna sifat kewanitaannya.
Saudara pembaca yang saya muliakan sekelian, terdapat hikmah yang sangat banyak dan besar di sebalik kisah-kisah di dalam Al Qur’an tersebut, di antaranya:
1.      Penjelasan tentang kebijaksanaan Allah Ta’ala yang terkandung dalam kisah-kisah tersebut. Dasarnya adalah firman Allah Ta’ala:

A004
A005

Ertinya: “Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka beberapa kisah yang di dalamnya terdapat cegahan (dari kekafiran), itulah suatu hikmah yang sempurna maka peringatan-peringatan itu tidak berguna (bagi mereka).” (Q.S. Al Qamar: 4-5)

2.      Penjelasan tentang kemaha adilan Allah yang menjatuhkan hukuman bagi orang-orang yang mendustakan. Dasarnya adalah firman Allah Ta’ala berkenaan dengan orang-orang yang mendustakan:

A101

Ertinya:  “Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, karena itu tiadalah bermanfaat sedikitpun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah, di waktu azab Rabb-mu datang.” (Q.S. Huud: 101)

3.      Penjelasan tentang kurnia Allah yang memberi balasan baik bagi orang-orang yang beriman. Berdasarkan firman Allah Ta’ala :


A035

Ertinya: “Sesungguhnya Kami telah menghembuskan kepada mereka angin yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Luth. Mereka Kami selamatkan sebelum fajar menyingsing, sebagai nikmat dari Kami. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Q.S. Al Qamar: 34-35)

4.      Al-Qur'an juga diturunkan kerana menjadi hiburan kepada Nabi s.a.w atas penderitaan dan keperitan yang beliau alami di dalam dakwah baginda s.aw. kerana gangguan yang extreme oleh orang-orang yang mendustakan baginda. Dalilnya adalah berdasarkan kepada firman Allah Ta’ala:


A024


A025

Ertinya: “Dan jika mereka mendustakan kamu, maka sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasul-Nya); kepada mereka telah datang rasul-rasul-Nya dengan membawa mu’jizat yang nyata, zubur, dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna. Kemudian Aku azab orang-orang yang kafir; maka (lihatlah) bagaimana (hebatnya) akibat kemurkaan-Ku.” (Q.S. Faathir: 25-26)

5.     Al-Qur'an juga boleh dijadikan pemangkkin sebagai satu instrument yang berkensan di dalam memotivasi kaum mukminin agar sentiasa istiqamah di atas keimanan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkannya. Ini kerana mereka yang menghayati Al-Qur'an mengetahui keselamatan orang-orang mukmin yang hidup pada zaman dahulu dan kemenangan yang akan diraih oleh orang-orang yang diperintahkan untuk berjihad di jalan Allah s.w.t. Ini adalah berdasarkan dalil Allah Ta’ala:

A088

Ertinya: “Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari pada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (Q.S. Al Anbiyaa’: 88)

A047


6.      Ancaman bagi orang-orang kafir supaya tidak menginsafi kekafirannya. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

A010

Ertinya: “Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka; Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.” (Q.S. Muhammad: 10)


7.      Bukti atas kebenaran risalah yang dibawa Rasulullah s.a.w kerana hanya Allah sahajalah yang mengetahui kisah umat-umat terdahulu tersebut. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

A049

Ertinya: “Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini.” (Q.S. Huud: 49)


A009


Ertinya: “(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang - mengikut dakwaan kamu - kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya".  (Q.S. Ibrahim: 9)

Saudara pembaca yang dirahmati Allah sekalian, jika kita membaca Al-Qur'an, sedarkah kita bahawa terdapatnya pengulangan kisah-kisah di dalam Al-Qur'an? Di antara kisah-kisah tersebut ada yang hanya disebutkan sekali saja, seperti kisah Luqman dan pemuda Al-Kahfi, dan ada yang disebutkan berulang kali, menurut keperluan dan mashlahatnya. Pengulangan itu tidaklah dalam bentuk yang sama. Namun berbeza-beza bentuknya, kadang kala panjang, kadang kala pendek, kadang kala lembut dan kadang kala keras, kadang kala disebutkan beberapa bahagian dari kisah tersebut di satu tempat dan tidak disebutkan di tempat lainnya.

Berikut, penulis paparkan beberapa hikmah pengulangan kisah-kisah di dalam Al-Qur'an seperti berikut:
  • Penjelasan tentang "urgency"  kisah tersebut. Ini kerana pengulangannya menunjukkan bahwa kisah tersebut adalah sangat penting.
  • Menunjukkan penegasan Allah s.w.t melalui kisah tersebut, agar lebih meresap ke dalam hati manusia.
  • Pemperlihatkan  keadaan zaman dan keadaan manusia yang terdahulu pada ketika itu. Oleh sebab itu, kisah-kisah dalam surat Makkiyah biasanya lebih keras maksudnya dan lebih ringkas ayat-ayatnya. Sementara kisah-kisah dalam surat-surat Madaniyah sebaliknya, lebih lembut nilai balaghahnya dan lebih panjang penerangannya.  
  • Keterangan tentang indahnya balaghah Al Qur’an yang mampu menghadirkan kisah tersebut dalam bentuk yang berbeza-beza sesuai dengan situasi dan keadaannya.
  • Menunjukkan kebenaran Al Qur’an dan membuktikan bahawa Al Qur’an berasal dari  Allah Ta’ala, di mana kisah-kisah tersebut dihadirkan dalam bentuk yang berbeza-beza tanpa terdapat kontroversi di dalamnya.

Sekian dahulu untuk tatapan kali ini. Insyaallah, penulis akan berkongsi ilmu dengan saudara pembaca pada ruangan yang akan datang. Insyaallah.