Pages

Tuesday 20 March 2018

Faktor-faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan pelbagai aliran dalam pemikiran Islam hari ini. Pada pendapat anda, adakah kepelbagaian aliran pemikiran Islam ini baik terhadap kemajuan masyarakat?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين





Di dalam menjawab persoalan di atas yang menyangkut kepada faktor-faktor pertumbuhan pelbagai aliran dalam pemikiran Islam pada hari, maka penulis ingin meninjau terlebih dahulu aliran-aliran yang terdapat dalam pemikiran Islam. Pada umum terdapat aliran pemikiran yang dipakai oleh para pengkaji iaitu aliran pemikiran:

a)      Tradisionalis
b)      Ortodoks
c)      Konservatif
d)     Fundamentalis
e)      Idealis
f)       Reformis
g)      Progresif
h)      Sekularlisme
i)        Liberalisme
j)        Pluralism

Dengan adanya berbagai-bagai aliran atau golongan seperti yang disebut di atas, itu, para sarjana sama ada daripada Barat dan Islam telah memberi definisi yang berbagai-bagai pula kepada fahaman dan aliran pemikiran tersebut. Jika kita telusuri definisi untuk setiap satu aliran pemikiran di atas, nampaknya tidak terdapat semacam persetujuan umum tentang takrif sesuatu aliran atau konsep yang dibahaskan. Menurut Abdul Rahman Abdullah (1991), yang lebih merumitkan lagi ialah apabila suatu pihak memberi konotasi yang positif terhadap aliran tertentu, sedangkan pihak lain pula memberi konotasi yang negatif terhadap aliran yang sama. Akibatnya timbullah penilaian yang berbeza terhadap sesuatu isu yang dibahaskan.

Untuk menjawab persoalan ini, kita tidak akan membincangkan definisi setiap satu aliran pemikiran seperti yang disenaraikan di atas. Kita hanya membincangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan pelbagai pemikiran Islam pada hari ini.
 
Kamarudin Salleh (2012) di dalam tulisannya menyatakan bahawa fenomena kebangkitan Islam sejagat telah melanda dunia Islam dan umatnya sekitar lebih dari dua abad yang lalu. Bertepatan dengan semangat itu juga lahirlah, bermacam-macam seruan dan slogan seumpama al-usuliyyah al-Islamiyyah (Islamic fundamentalism) al-sahwah al-Islamiyyah (Islamic revivalism), al-ihya’ al-Islam (Islamic resurgence), al-tajdid dan al-islah (reform, renewal dan reassertion), al-tayyar al-Islami (Islamic current), al-ittijah al-Islami (Islamic tendency), al-ba`th al-Islami (Islamic resurrection), renaissance, regenaration, revitalization, reemergence, resurrection, rebirth, reconstruction, revolution, upsurge, awakening, neo-fundamentalism dan akhirnya  Islamism, merupakan terma popular digunakan oleh pembangkit gelombang kesedaran, mengajak masyarakat menyokong arus baru ini. Manakala pada akhir kurun ke 20 dan awal abad 21 kini perkembangan mengarah kepada pemikiran neo-modenisme, liberalisme, post-modenisme, pluralisme dan seumpamanya.

 

Jaffary Awang dan Kamarudin Salleh (2007) juga turut berpendapat bahawa pemikiran Islam muncul oleh sebab banyak faktor yang berkait rapat dengan perubahan-perubahan sama ada dalaman dan luaran meliputi masa dan tempat. Berikut adalah beberapa faktor telah menyebabkan pertumbuhan aliran pemikiran dikalangan masyarakat Islam ialah seperti berikut:

a)      Berlakunya perselisihan pandangan terhadap sesuatu perkara atau isu merupakan salah satu faktor munculnya pemikiran Islam. Umpamanya golongan ulama yang mentakwilkan sesuatu ayat al-Qur’an. Mereka membincangkan ayat yang sama, tetapi mentakwilkannya dengan cara dan pemahaman masing-masing terutamanya apabila ianya berkaitan dengan ayat-ayat mutasyabihat serta zat dan sifat Allah s.w.t.
b)      Wujudnya sifat dan fahaman Asabiyyah (kaum Arab dan lain-lain). Merasa taksub akan kelebihan dan kehebatan kaum sendiri atau istilah lain disebut ethnocentrism. Umpamanya wujud isme-isme dan ideologi seperti nasionalisme, pan-Arabisme, Turkisme, sosialisme dan sebagainya.

c)      Perselisihan tentang pemilihan kepimpinan atau khalifah. Perpecahan turut berlaku di kalangan umat Islam dalam pemilihan ketua atau pemimpin Islam. Kali pertama ia berlaku ialah di antara Ali dan Muawiyah dan turut berulang pada zaman-zaman selepasnya. Malahan, pada zaman ini, keadaan perpecahan umat Islam bertambah teruk apabila wujudnya konsep negara bangsa. Kuasa-kuasa besar yang mempunyai kuasa veto seperti United Kingdom, United States of America, Russia, Perancis menguasai dunia dengan negara-negara kecil dan negara Islam terpaksa tunduk kepada negara yang lebih maju termasuk dalam bidang ekonomi, perdagangan antarabangsa, isu-isu hak asasi manusia terutama sekali di mana umat Islam adalah golongan minoriti di dalam negara tersebut. Contoh yang paling jelas ialah nasib dan kedudukan kaum Rohingya di Myanmar.

d)     Percampuran masyarakat Muslim dengan ahli-ahli agama lain seperti Yahudi, Kristian, Majusi, Hindu dan sebagainya. Di samping penyerapan dan kemasukan fahaman dan pemelukan mereka ke dalam Islam. Proses asimilasi berlaku sehingga berlakunya penyerapan budaya atau membandingkan pegangan asal mereka dengan Islam. Ini pastinya akan melahirkan dan mengembangkan pemikiran Islam.

e)      Gerakan penterjemahan buku-buku falsafah barat dan lainnya khususnya buku-buku dari Greek-Yunani ke bahasa Arab. Memang ianya memberikan kesan positif ke arah perkembangan ilmu pengetahuan dan tamadun tetapi dalam waktu yang sama melahirkan pemikiran baru dalam Islam. Antara tokoh falsafah Islam ialah al-Khindi, al-Farabi, Ibn Sina banyak mengambil pendapat-pendapat dari ahli falsafah Greek seperti Socrates dan Aristotle.


f)       Terbukanya perbincangan dalam banyak hal dan masalah yang tidak jelas. Pokok dan inti perbincangan atau wacana yang diperbahaskan sendiri juga kabur dan tidak fokus. Jalan memahaminya tidaklah lurus-jelas, kaedah-kaedahnya berbagai-bagai, setiap orang melihat berdasarkan sudut pandang mereka. Ibarat beberapa orang buta cuba memberi gambaran

g)      Pada zaman ini, antara faktor yang menyuburkan lagi pemikiran Islam ialah berlakunya serangan pemikiran oleh dunia Barat moden. Serangan pemikiran adalah teori berkenaan dengan perencanaan dan gerakan pemikiran, pendidikan, wawasan, peradaban, sukan dan hiburan. Semua elemen-elemen ini menyebabkan perubahan sosial terutamanya kepada akhlak umat Islam.

Pada pendapat penulis, selain daripada faktor-faktor yang telah disenaraikan oleh Jaffary Awang dan Kamarudin Salleh seperti (a) hingga (g), terdapat juga faktor lain yang penulis fikirkan telah melahirkan tokoh pemikiran Islam iaitu antara lain:

          i.            Peperangan
Pada pendapat penulis, peperangan juga boleh menyebabkan pemikiran umat Islam bercambah kerana kesan trauma akibat penindasan, kekejaman dan pembunuhan. Umpamanya sikap umat Islam terhadap Yahudi yang telah merampas tanah Palestin. Umat Islam semakin benci kepada Yahudi dan hampir seluruh umat Islam tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Serangan dan campur tangan Amerika Syarikat ke atas politik negara Iraq juga mencetuskan rasa tidak senang hati umat Islam kerana alasan Amerika ketika itu adalah untuk menegakkan demokrasi di Iraq dengan menjatuhkan Saddam Hussein. Peristiwa pahit ini seharusnya membuka mata umat Islam dan mengubah cara berfikir umat Islam agar tidak lagi berkiblatkan Barat di dalam semua aspek kehidupan. Kesan daripada peperangan ini, menyebabkan masyarakat berhijrah. Seperti yang kita maklum melalui media massa, terdapat ramai masyarakat Islam di Syiria berhijrah ke negara-negara jiran seperti Turki, German, Kanada malahan ada juga yang datang ke Malaysia untuk mencari perlindungan dan keselamatan. Konflik yang berpanjangan juga telah melahirkan tokoh-tokoh pemikir moden yang terdiri daripada ulama dan pemimpin politik berani untuk bersuara dipentas dunia agar negara-negara kuasa besar tidak memperlakukan sewenang-wenangnya ke atas negara yang kecil dan miskin. Antara tokoh Islam yang berani bersuara ialah Tun Dr Mahathir bin Mohamad, Professor Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syed Qutb, HAMKA, Yasser Arafat dan ramai lagi. Pembersihan etnik Muslim Rohingya dan isu pelarian etnik itu tidak dipedulikan oleh kerajaan Myanmar. Malah penerima nobel keamanan Aung San Suu Kyi tidak ambil peduli akan nasib Muslim Rohingya. Kesan daripada itu, tekanan masyarakat Islam yang terdiri daripada pemikir-pemikir Islam diperlukan untuk bersuara dalam isu pembersihan etnik Rohingya.

        ii.            Sains Teknologi
Sains dan teknologi juga telah menyebabkan lahirnya pemikiran-pemikiran baru di kalangan umat Islam. Islam telah jauh ketinggalan selepas jatuhnya kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki. Akhirnya umat Islam hanya menjadi pengguna kepada teknologi yang telah dibangunkan oleh masyarakat Barat, Jepun dan Korea. Terdapatnya golongan modenis Islam di dalam bidang sains seperti Prof Dr Dato Osman Bakar yang terlibat dalam bidang sains dan matematik. Islam itu tidak menolak sains kerana sains adalah salah satu cabang ilmu yang sewajarnya dipelajari oleh umat Islam supaya dapat bersaing dengan bangsa asing. Penulis juga bersetuju dengan pendapat Professor Dr Dato Osman Bakar yang hampir semua masyarakat Muslim dapat menerima sains teknologi dalam bidang komunikasi. Tetapi mempunyai sikap dan pandangan yang berbeza terhadap sains perubatan moden. 

Beliau mengupas respons golongan Tradisionalis Islam tentang isu-isu yang berkaitan dengan sains perubatan seperti perancang keluarga (contraception), pengguguran bayi, pembedahan, layanan dari aspek rawatan yang sesuai bagi manusia yang telah meninggal dunia dan juga perkara yang berkaitan dengan definisi mati. Pada pendapat beliau, fuqaha kontemporari hari ini hanya menggunakan semula apa yang telah fatwakan oleh ulama lampau di dalam mendepani isu-isu perubatan moden. Baginya, golongan fuqaha tidak mampu untuk memberi penyelesaian baru ke atas perubatan sains moden seperti kaedah-kaedah baru secara logik akal bagi kebaikan ummah (Osman Bakar, 2008).

      iii.            Sistem Pendidikan Dualisme
Sistem pendidikan yang berbentuk dualisme juga adalah menjadi faktor mengapa perkembangan pemikiran Islam bertambah subur dan berkembang. Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (cetakan ketiga, 2002), istilah dualisma membawa maksud ‘teori yang berasaskan dua dasar yang berlainan’ atau ‘perihal yang mendua, sesuatu yang berasaskan dua hal yang bertentangan.’ Takrif dualisme pendidikan menurut Abdul Halim Ramli (1997), dalam rencana tulisannya, Memecah Dualisma Harmoniskan Ilmu di dalam Majalah Tamadun terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,  wujudnya dua sistem pendidikan yang berbeza iaitu sistem pendidikan tradisional Islam dan sistem pendidikan moden. Sistem pendidikan tradisional Islam lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala sistem pendidikan moden hanya menitikberatkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan ilmu-ilmu keagamaan. Kesan negatif daripada sistem pendidikan dualisme ini telah melahirkan golongan ulama yang kurang pengetahuan dan kurang mahir teknologi moden. Sedangkan tradisi dan displin ilmu di dalam Islam tidak menolak sains.

Menjawab soalan sama ada kepelbagaian aliran pemikiran Islam ini baik atau tidak terhadap kemajuan masyarakat, jawapan penulis adalah ia bergantung kepada isu yang diperdebatkan dan sudah tentunya ilmu pengetahuan memainkan peranan yang penting di dalam menyelesaikan isu-isu yang diperdebatkan. Debat di dalam tradisi ilmu Islam ialah untuk mencari kebenaran demi kebaikan Ummah dan bukannya untuk memperlihatkan siapa yang lebih handal hanya semata-mata untuk menjatuhkan lawan.

Pada pandangan penulis, dengan kewujudan kepelbagaian aliran juga boleh mendatangkan kebaikan. Ianya membolehkan kita melihat sesuatu perkara yang berkaitan dengan isu yang diperdebatkan daripada persepktif yang berbeza. Umpamanya pada abad 13 dan 14 hijrah muncul tokoh-tokoh pemikir Islam yang mahu keluar dari jumud pemikiran dan yang sentiasa terikat dengan matan-matan feqah semata-mata. Mereka ini seperti al-San‘ani, al-Shawkani, Sayyid Sabiq, Siddiq Khan dan al-Bani. Penulis berpendapat bahawa di dunia Islam, lahir pelbagai aliran pemikiran muncul berdasarkan faktor persekitaran, budaya dan bangsa tersebut. Di benua India, nama-nama seperti Sir Ahmad Khan, Sabli al-Nu'mani, Maududi, Muhamad Iqbal dan Ali Hassan al-Nadwi, Di Mesir, Jamaluddin al-Afghani, Muhamad Abduh, Rashid Rida, Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad al-Ghazali dan al-Qaradawi, di Afrika Utara lahirnya Abdul Hamid Badis, Malik bin Nabi, Muhamad Tahir Asyhur dan di Turki, Badi'iuzzaman al-Nursi. Di rantau ini, lahirnya Syeikh Tahir Jalaluddin, Agus Salim dan Syeikh al-Hadi dan lain-lain. Penulis berpendapat bahawa  pemikiran Islam pada abad ke 20 ini diwarnai dengan istilah-istilah dan penyelesaian kepada masalah dalaman seperti perbezaan aliran dan fahaman sesama umat Islam seperti ASWJ dan Wahabi, ASWJ dan Syiah dan sebagainya malah juga mendepani pemikiran Barat yang meresap ke dalam aspek budaya dan kehidupan umat Islam.

Maka, di dalam konteks di atas, penulis bersetuju dengan tulisan Fazlur Rahman yang menegaskan bahawa pembaharuan Islam mestilah dimulai dengan pendidikan. Menurutnya, pembaharuan pendidikan adalah satu-satunya pendekatan penyelesaian  jangka panjang atas masalah yang menimpa umat Islam masa kini iaitu berupa pemikiran, kehidupan peribadi mahupun sosial yang berpecah belah yang mengakibatkan kekacauan dalam segala usaha serta krisis yang melumpuhkan kehidupan. Walaupun demikian beliau mengakui pendidikan memerlukan jangka masa yang lama sekurang-kurangnya untuk dua generasi. Beliau mencadangkan satu program dirangka untuk  membentuk orientasi politik Islam dan yang kedua, menciptakan iklim intelektualisme sebagai langkah awal pengislaman seluruh segi kehidupan. Kedangkalan dan kekakuan dalam pendidikan adalah penyebab terjadinya kelemahan intelektualisme Islam. Keadaan yang tidak menguntungkan ini, terutama sikap ulama tradisi terhadap ilmu pengetahuan sekular yang nampaknya ingin memadamkan semangat penelitian yang besar dan keseluruhan pertumbuhan ilmu pengetahuan positif. Oleh itu, beliau mengkritik golongan tradisional dan moden yang seringkali bercakaran. Beliau menawarkan kepada umat Islam satu pendekatan yang terbaik untuk mengkaji ajaran Islam yang disebut sebagai neomodernisme Islam (Fazlur Rahman, 1979).


RUJUKAN

Al-Qur’an dan Terjemahan

Abdul Rahman Haji Abudllah. 1991. Pemikiran Islam di Malaysia (1900-1980-an): Aliran dan Perkembangannya. Tesis Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia

Abdullah Yusuf. 2015. Cabaran Tamadun Islan Dalam Era Pembaratan : Satu Sorotan. Jurnal Usuluddin.

Baharuddin Yatim & Sulaiman Nordin. (1990). Islam, al-Qu’ran dan Idelogi Masa Kini, Bangi: Universti Kebangsaan Malaysia

Fazlur Rahman. 1979. Islam.  USA: University of Chicago Press

Ibnu Manzur, Lisan al-‘Arab, Jilid 13, Beirut: Dar Sadir, T.Th, hlm 170-171

Ibrahim Abu Bakar. 2016. Tradisionalisme & Rasionalisme Dalam Ilmu Kalam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Jaffary Awang & Kamaruddin Salleh. 2007. Pemikiran Islam dan Isu-isu semasa. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Kamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka

Kamarudin Salleh. 2012. Transformasi Pemikiran Pembaharuan dan Modenisme di Malaysia: Satu Penelitian Awal/Transformation of Renewal Thought and Modernism in Malaysia: a Preliminary Study. International Journal of Islamic Thought, 2, 23.

Majalah Tamadun. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka (Ogos 1997)

Muhammad Abdul Jabbar Beg. 1978. Konsep Tamadun Islam Mengikut Ulama Islam dan Barat. Jurnal Islamiyyat Vol 2, (1978: 37-61).

Muhammad Abdul  Jabbar  Beg. (1983), The Muslim World League Journal, edisi November-Desember, 1983,  hlm 38-42.

Nasruddin Yunos, Aminudin Basir, Jamsari Alias & Wan Zulkifli Wan Hasan. 2014. Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia


Osman Bakar. 2008. Tawhid and Science. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn Bhd

Wan Mohd. Nor Wan Daud. 1990. Budaya Ilmu Sebagai Asas Pembangunan Tamadun. Jurnal Pendidikan Islam 3, (1990, 51-67)

Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 2005. Kelebihan Adam - Berguru langsung kepada Allah. Utusan Malaysia, 27 April 2005




No comments:

Post a Comment