Pages

Friday 22 August 2014

Menyambut I'dilfitri mengikut sunnah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين.


Pengertian I'dilfitri:
I'du : Daripada perkataan  عَادَ يَعُوْدُ عِيْداً  , yang bermakna kembali.
Al Fitr : Fitrah semulajadi kejadian manusia. Iaitu bersih dari segala dosa dan tunduk sepenuhnya kepada kehendak Tuhannya.
I'dil fitr :  Ialah kembali semula kepada fitrah semulajadi manusia yang bersih daripada segala dosa-dosa dan tunduk sepenuhnya kepada Tuhannya.

Kenapa orang beriman gembira dengan hari raya?
Orang yang beriman berhak untuk bergembira pada hari raya kerana mereka berjaya membersihkan diri mereka dari segala dosa-dosa yang dilakukan selama ini  melalui ibadah  berpuasa di bulan Ramadhan dan mereka juga berjaya kembali semula kepada Tuhan mereka dengan menundukkan hawa nafsu mereka  kepada kehendak Tuhan mereka  melalui pelaksanaan semua perintah  dan larangan Allah dalam kehidupan mereka.

Hari raya bagi umat Islam hanyalah tiga
Iaitu :  Hari raya i'dil fitr, hari raya i'dil adha dan hari raya bagi setiap minggu iaitu hari jumuat. Tidak harus sama sekali umat Islam menyambut apa-apa perayaan selain dari tiga perayaan ini. Ini termasuklah menyambut hari lahir seseorang. Nabi sallallahu alayhi wasallam- adalah manusia paling mulia dan makhluk yang agung tetapi baginda tidak pernah menyambut hari lahirnya.

Amalan-amalan sunat pada hari raya
1.      Bertakbir : Bermula dari waktu tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan sehingga mula solat I'dilfitr..

2.      Makan 3 biji kurma atau angka yang ganjil  5 atau 7 atau 9 sebelum pergi solat hari raya.

Dari Anas –radiyallahu anhu- Adalah  Rasulullah –sallallahu alayhi wasallam-  tidak akan pergi pada hari raya  al fitri sehingga baginda makan beberapa biji kurma. [HR al-Bukhari]

Dalam riwayat lain : Dan baginda makannya secara berasingan (satu-satu).

Dalam riwayat lain: …..dan baginda makannya ikut bilangan ganjil. [HR al-Bukhari]

3.      Sunat dan amat di galakkan semua umat Islam keluar ke musalla atau masjid pada hari raya samada anak-anak gadis, kanak-kanak dan wanita-wanita yang tidak boleh solat iaitu yang kedatangan haid. Tujuannya untuk melihat dan mendengar kebaikan dan nasihat-nasihat agama melalui khutbah yang di sampaikan di samping bertujuan menunjukkan kekuatan umat Islam di hadapan musuh mereka.

Dari Ummu A'tiyyah –radiyallahu anha- telah berkata : Kami telah di perintah (oleh Rasulullah s.a.w.) agar mengeluarkan semua anak-anak gadis, wanita-wanita yang haid pada dua hari raya, agar mereka dapat menyaksikan kebaikan dan nasihat-nasihat umat Islam.  [Muttafaqun alay]

4.   Antara hikmah di sunatkan keluar beramai-ramai ialah agar kita menunaikan  tanggungjawab sosial iaitu memerhati dan mengambil berat tentang orang lain. Pada hari raya kita dapat tahu siapa yang susah hidupnya melalui pakaiannya. Mereka ini perlu di beri bantuan sosial.

5.      Di sunatkan solat dua hari raya di padang khas agar ia boleh menampung bilangan yang ramai termasuklah kanak-kanak. Nabi sallallahu alayhi wasallam-. dan khulafa al-Rasyidin solat hari raya di padang kecuali apabila hujan, maka baginda dan para sahabat solat di masjid nabawy..

6.      Di sunatkan bagi makmun pergi awal ke tempat solat dan dengan berjalan kaki. Sebaiknya selepas terbitnya matahari. Ini sekiranya rumahnya tidak jauh. Hikmahnya ialah agar orang Islam sentiasa bersegera dan berlumba untuk melakukan apa-apa kebaikan.

Dari Ali- radiyallahu anhu- telah berkata: Antara sunnah ialah keluar untuk solat hari raya berjalan kaki. [HR Al-Tirmiziy]

7.   Di sunatkan pergi ke tempat solat  dan pulang melalui jalan yang berbeza.  Hikmahnya ialah agar kesan tapak kakinya  lebih banyak dan ada di tempat yang berbeza dan setiap kesan tapak kaki ini akan menjadi saksi kepada tuannya atas amalan kebaikannya di akhirat nanti. Begitu juga antara hikmahnya ialah agar ia dapat memberi salam dan berdoa kepada orang yang lebih ramai apabila melalui jalan yang berbeza setiap kali berjumpa di jalan.

Dari Jaabir –radiyallahu anhu- Adalah  Rasulullah- –sallallahu alayhi wasallam- apabila hari raya, baginda pergi dan pulang di jalan yang berbeza. [HR Al-Bukhari]

8.. Antara zikir yang di baca  di antara  takbir-takbir  di dalam solat hari raya  berdasarkan hadith yang sohih ialah : 
اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً وَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
تَسْلِيمًا كَثِيرًا
Maksudnya: Allah yang Maha Besar dengan kebesaran-Nya yang agung, dan segala pujian bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha suci Allah di waktu pagi dan petang, dan Allah telah berselawat ke atas baginda sallallahu alayhi wasallam-dan telah mensejahterakannya dengan kesejahteraan yang banyak.
                                       [HR Muslim (sehingga sebelum selawat)]

9. Di sunatkan memberi ucapan tahniah pada hari raya kepada sesiapa yang di jumpai dengan ucapan :    تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَmaksudnya : Semuga Allah menerima (segala amalan) dari kami dan (amalan) dari kamu.

10. Tidak mengapa berhibur atau berseronok pada hari raya sekiranya hiburan itu tidak melampau, tidak ada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan tidak melalaikan daripada tanggungjawab kepada Allah azza wajalla. Ini kerana pernah berlaku pada zaman Rasulullah- sallallahu alayhi wasallam- orang-orang Habsyah bermain pedang di dalam masjid Nabi – sallallahu alayhi wasallam-. pada hari raya dan A'isyah –radiyallahu anha- menontonnya di sebelah baginda – sallallahu alayhi wasallam-.

11. Adapun amalan ziarah kubur pada hari raya, ia bukanlan sunnah Nabi – sallallahu alayhi wasallam- dan tidak pernah juga di lakukan oleh para sahabat. Nabi – sallallahu alayhi wasallam- hanya membenarkan umatnya menziarahi kubur kerana satu tujuan sahaja iaitu untuk mengingatkan umatnya kepada kehidupan akhirat. Baginda pernah menziarahi kubur di waktu malam dan menangis apabila menziarahi kubur ibunya yang menyebabkan sahabat yang ada bersama baginda turut menangis.

Sabda Rasulullah – sallallahu alayhi wasallam-: Sesungguhnya  aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahi ia agar (ziarah kubur itu) dapat mengingatkan kamu kepada kehidupan akhirat. [Hadith sohih- Riwayat al-Nasae'i, al-Tirmiziy, Ibn Majah dan al-Baihaqi]

          Ini di tambah dengan perbezaan pendapat ulama tentang hukum ziarah kubur bagi wanita. Pendapat tiga mazhab , al-Syafe'i, Maliki dan Hanbali adalah makruh. Manakala mazhab Hanfi adalah haram berdasarkan hadith sohih : Sesungguhnya Nabi – sallallahu alayhi wasallam- melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur. [HR Ahmad, al-Tirmiziy dan Ibn Hibban]

Amalan sehari di hari raya boleh menghapuskan pahala puasa sebulan
1.      Melewatkan solat subuh di pagi raya. Ini adalah sifat munafiq iaitu berat dan malas untuk solat subuh berjemaah di masjid. Sabda Rasulullah sallallahu alayhi wasallam-  Solat yang paling berat bagi orang munafiq ialah solat Isyak dan solat Fajar, dan jikalau mereka mengetahui (kebaikan dan kelebihan solat berjamaah)  pada  kedua-duanya, sudak pasti mereka akan mendatang kedua-duanya walaupun dalam keadaan merangkak.   [Muttafaqun alay]

2.      Memakai pakaian yang cantik dan baru kerana riya'. Seharusnya memakai baju baru di hari raya hanya semata-mata  kerana Allah dan kerana ia adalah sunat

3.      Mendedah aurat bagi wanita di hadapan lelaki yang bukan muhram walaupun berada di dalam rumah.. Mendedah aurat bagi wanita khususnya adalah petanda yang jelas bahawa puasa mereka selama sebulan tidak menghasilkan sifat taqwa dan tidak di terima oleh Allah.

4.      Bergaul bebas antara lelaki dan wanita yang bukan muhram seperti duduk berdua-duaan atau keluar berdua-duaan dengan yang bukan muhram.

5.      Bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan muhram, seperti antara sepupu, adik ipar lelaki dengan kakak ipar atau sebaliknya.

6.      Makan terlalu banyak sehingga mengantuk dan solat tidak kyushuk.

7.      Hiburan yang melampau sehigga melalaikan kita dari melaksanakan tanggungjawab kepada Allah yang Maha Agong.

8.      Melewatkan solat lima waktu dengan alasan menziarahi sanak saudara atau terlalu kepenatan dan kekenyangan.Allah yang memerintahkan kita menyambut hari raya dan saling menziarahi untuk menguatkan hubungan silaturrahim dan Allah juga yang memerintahkan kita solat tepat pada waktunya. Ini kerana amalan pertama dan utama yang akan di hisab di akhirat nanti ialah solat buka ziarah atau kemeriahan hari raya.


Tanda-tanda puasa di terima:
1.      Suka pergi ke masjid dan sentiasa menjaga solat berjamaah lima waktu di masjid. Ini kerana kelebihan pahala solat berjemaah adalah 27 dibanding dengan solat berseorangan. Orang yang berjaya dalam ujian puasa akan menjadi orang yang cerdik  dan akan mengutamakan ganjaran pahala 27 berbanding satu.

2.      Selalu membaca dan mempelajari al-Quran. Ini kerana al-Quran adalah pedoman hidup bagi setiap muslim di dunia dan penyelamat kepada setiap muslim di akhirat.

Sabda Rasulullah –sallallahu alayhi wasallam- : Bacalah al-Quran, maka seseungguhnya ia akan datang pada hari qiamat untuk memberi syafaat kepada orang yang membaca dan beramal dengannya. [HR Muslim]

3.      Sentiasa menjaga solat sunat rawatib 12 rakaat. Dari Ummu Habibah –radiyallahu anha- telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah –sallallahu alayhi wasallam- berkata: Barangsiapa yang solat dua belas rakaat setiap hari dan malamnya maka akan di bina untuknya sebuah istana di syurga. [Riwayat Muslim-728]

Dalam riwayat al-Tirmiziy (seperti hadith di atas) dan di tambah: Empat rakaat sebelum zohor, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isyak dan dua rakaat sebelum fajar. [Riwayat al-Tirmiziy-415]

4.       Terus melakukan solat sunat witir setiap malam. Sabda Rasulullah sallallahu alayhi wasallam-:  Sesungguhnya Allah telah menambahkan kepada kamu dengan solat yang ianya lebih baik dari unta yang merah (harta yang paling mahal), kami bertanya: Apa dia wahai Rasulullah? Jawab Baginda: "Witir", iaitu apa yang (dilakukan) di antara solat isyak dan terbir fajar.
[Riwayat Abu Daud-1418, al-Timiziy-452, Ibn Majah- 116]

5.     Meninggalkan larangan-larangan yang biasa di lakukan sebelum Ramadhan seperti membuka aurat.  Firman Allah ta'ala yang bermaksud:

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Al-Ahzab: 59]


6.      Tidak mengumpat dan membuang masa. Sabda Rasulullah –sallallahu alayhi wasallam- :Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jrannya, dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam sahaja.  [Muttafaqun alay]

No comments:

Post a Comment