Pages

Thursday 14 August 2014

Mengapakan syiah Imamiyah menggangap para imam mereka memiliki ismah?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


Ismah secara etimologi berasal dari kata 'a-sha-ma yang memiliki erti sama dengan ha-fi-dza iaitu menjaga. Dalam khazanah ilmu kalam Ishmah adalah penjagaan Allah terhadap hambanya akan perbuatan dosa atau kesalahan.[1] Ismah diperlukan pada seorang Nabi lantaran Nabi memiliki tugas utama sebagai penyampai risalah Ilahi kepada seluruh umat manusia. Baik yang beriman mahupun kepada manusia yang masih belum beriman kepada-Nya. Sifat ismah ini pun menjaga keunikan dan kemuliaan wahyu sehingga khabar dan berita yang disampaikan dapat dipercaya. Lebih jauh dalam kitab Ushulul Aqidah Fin Nubuwah, Assayyid Mahdi Ash Shadr menguraikan Ismah Nabi sebagai berikut:[2]

a.       Pertama: mustahil bagi Allah untuk mengutus seorang Rasul untuk menunjukkan yang hak dan mengajak manusia kepada yang baik, sedangkan dia terkotori oleh dosa.

b.      Kedua: jika seorang Nabi tidak memiliki Ismah, maka boleh sahaja dia berdosa. Dan hal ini mengakibatkan ketidakpercayaan manusia kepadanya.

c.       Ketiga: jika seorang Nabi boleh berdosa, maka manusia wajib mengikutinya, atau tidak. Jika diikuti maka bererti Allah memperbolehkan perbuatan dosa, dan jika tidak diikuti maka keberadaan Rasul tidak bererti apa-apa. Maka kedua hal itu mustahil.

d.      Keempat: jika Rasul boleh melakukan perakra yang berdosa, maka tidak lagi menjadi ikutan yang baik. Hal ini bertitik tolak dengan peranan Rasul sebagai ikutan ke jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.

Demikian makna Ismah Nabi yang menggambarkan betapa mulianya seorang Rasul atau utusan Allah. Oleh kerana itu, apa pun berita, cerita atau khabar tentang Nabi baik perkataan, perbuatan, dan ketentuannya yang berlawanan dengan erti ismah, maka patut dikritik atau malah boleh dicurigai kesohehan hadits itu.[3]

Menjawab soalan tentang bagaimana fahaman syiah yang menggangap bahawa para imam mereka mempunyai ismah, mari kita lihat terlebih dahulu latarbelakang syiah imamiyyah ini. Syiah Imamiyyah merupakan suatu isu yang sebenarnya berakar umbi daripada permasalahan politik yang berlaku pada zaman Sayyidina Ali, yang akhirnya telah meresapi permasalahan dasar dalam agama iaitu akidah. Ia bukan hanya sekadar perbezaan dari aspek amalan seperti perbezaan yang berlaku antara mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi`e dan Hanbali, namun lebih besar lagi, ia turut melibatkan soal iktikad yang jelas bertentangan dengan akidah sejati Ahli Sunnah Wa Jamaah (AWSJ).[4]

Latarbelakang Syiah Imamiyah
Perkataan Syiah dari sudut bahasa bermaksud satu kumpulan atau kelompok manusia (firqah wa jama`ah). Perkataan Syiah apabila disandarkan kepada seseorang, ia akan membawa maksud pengikut dan pembantunya. Sebagai contoh; “Syiah Ali” bermaksud “pengikut dan penyokong Ali”. Dari sudut istilah, kata Syiah merupakan satu frasa yang digunakan bagi merujuk kepada salah satu daripada dua mazhab terpenting dalam Islam yang menolak tiga orang Khalifah al-Rasyidin yang awal dan menganggap Sayyidina Ali sebagai pengganti Nabi Muhammad S.A.W. yang sah. Ia juga merujuk kepada suatu kelompok yang besar dalam kalangan umat Islam yang bersepakat pada mencintai dan mengasihi Sayyidina Ali dan ahli keluarganya dan berpendapat bahawa mereka adalah orang yang paling berhak mewarisi kepimpinan (al-imamah).

Kelompok Syiah terpecah kepada beberapa kumpulan besar. Mereka terdiri daripada kelompok yang melampau dalam pegangan, kelompok yang lebih bersikap sederhana, dan kelompok yang bersikap pertengahan di antara kedua-dua kelompok yang awal tersebut. Umumnya, para ulama telah membahagikan Syiah kepada tiga kelompok yang terbesar. Antara kelompok Syiah tersebut adalah Syiah yang melampau (al-Ghaliyah)[5], Syiah al-Imamiyyah dan Syiah al-Zaidiyyah.[6]

Konsep al-Imamah (al-Wasi)[7]
Al-Imamah merupakan suatu pegangan yang telah menjadi salah satu iktikad golongan Syiah. Mereka mendakwa bahawa hak memerintah setelah Nabi Muhammad S.A.W. adalah milik Sayyidina Ali dan keturunannya daripada zuriat Sayyidatina Fatimah al-Zahra. Ia merupakan salah satu daripada rukun iman yang penting sehingga iman seseorang dianggap tidak sah melainkan setelah menerima konsep al-imamah ini. Perkara ini merupakan khilaf terbesar di antara golongan ASWJ dengan golongan Syiah. Hal ini disebabkan, imamah di sisi ASWJ adalah sabit berdasarkan persetujuan (al-ittifaq) dan pemilihan (al-ikhtiyar) yang dilakukan oleh umat Islam. Sebagai contoh, dalam menjelaskan perbezaan di antara rasul, imam dan nabi, mereka mengatakan bahawa :

Maksudnya :
Dalam hal ini, mereka telah menjadikan ayat al-Quran yang berbunyi:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحً۬ا وَإِبۡرَٲهِيمَ وَجَعَلۡنَا فِى ذُرِّيَّتِهِمَا ٱلنُّبُوَّةَ وَٱلۡڪِتَـٰبَ‌ۖ

Maksudnya:“dan Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima kitab-kitab agama”[8]

 “Perbezaan di antara rasul, nabi dan imam (adalah) bahawa rasul merupakan seorang yang bertemu dengan Jibril dan mereka melihat dan mendengar suara Jibril dan wahyu turun kepadanya dan kadang-kadang mereka melihat Jibril di dalam mimpi mereka seperti yang di alami oleh Nabi Ibrahim. Dan Nabi kadang-kadang mendengar suara (Jibril) dan kadang-kadang melihatnya tanpa mendengar suara. Dan imam, mereka adalah orang yang mendengar suara (Jibril) sedangkan mereka tidak melihat Jibril”.

Justeru, daripada petikan di atas, jelas bahawa selain daripada mengangkat darjat imam sehingga setaraf dengan para nabi dan rasul, mereka juga telah mendakwa bahawa imam turut menerima wahyu sebagaimana para nabi dan rasul walaupun cara menerima wahyu tersebut adalah berbeza. Mereka turut menyatakan bahawa iktikad tentang “imam” adalah salah satu juzuk daripada keimanan, kata mereka:

Maksudnya: “Apakah (maksud) mengenal Allah?: membenarkan Allah `azza wajalla, membenarkan RasulNya, dan (membenarkan) kepimpinan `Ali dan mengakui keimamannya dan imam-imam yang mendapat petunjuk `alayhissalam dan berlepas diri kepada Allah daripada musuh-musuh mereka, inilah (yang dinamakan sebagai) mengenal Allah”.

Hal ini jelas bercanggahan dengan konsep iman yang menjadi pegangan ASWJ, di mana konsep iman yang sebenar adalah beriman dengan rukun iman yang enam tanpa turut memasukkan kepercayaan kepada imam sebagai salah satu perkara yang wajib diimani. Di samping itu, khalifah di sisi ASWJ hanyalah terdiri daripada orang biasa, kelahiran mereka persis seperti kelahiran manusia biasa dan darjat / kedudukan mereka tidak diangkat sehingga menyamai taraf nabi dan rasul.

Akhlak mulia mereka menyebabkan umat Islam memilih mereka sebagai khalifah dan mereka tidak menerima wahyu, bahkan penerimaan wahyu merupakan suatu perkara khusus bagi para anbiyadan rasul yang tidak sama sekali dianugerahkan oleh Allah kepada selain daripada mereka. Selain itu, khalifah merupakan pelaksana kepada undang-undang Islam dan sekiranya mereka didapati menyeleweng daripada landasan wahyu, maka gugurlah kewajipan mentaati mereka. Ini adalah kerana, di sisi ASWJ, tidak ada ketaatan bagi mereka yang melakukan maksiat terhadap al-Khaliq. Berhubung masalah ini juga, menurut al-Amidi, para ahl al-Haq yang terdiri daripada ahli sunnah dan ahl al-Hadith telah beriktikad bahawa penentuan bagi jawatan imamah (di sisi Syiah) atau khalifah (di sisi ASWJ) tidak sabit dengan nas.


Secara ringkasnya bolehlah dirumuskan bahawa Syiah Imamiyyah mengatakan bahawa para imam mereka itu memiliki ismah kerana mereka menyama kedudukan para imam mereka adalah sama dengan para nabi dan rasul.



[1] http://media.isnet.org/islam/Etc/Hadis01.html
[2] Ibid
[3] Ibid
[4] Mohd Fauzi Hamat & Mohd Sobri Ellias, Perbezaan Fahaman Syiah Imamiyyah Dan Ahli Sunnah Wal Jamaah, hlm 2
[5] Ibid, hlm 15 (Syiah al-Ghaliyah merupakan golongan Syi`ah yang melampau dalam membesarkan Sayyidina Ali. Selain mengangkat darjat Sayyidina Ali melebihi darjat kenabian, mereka turut berpegang dengan iktikad al-hulul dan tanasukh al-arwah dengan mendakwa bahawa Allah menyerap masuk ke dalam jasad Nabi Muhammad, Ali, al-Hasan, al-Husain dan Fatimah. Mereka turut mendakwa bahawa imam-imam mereka adalah tuhan dan menyembahnya, manakala para pengikutnya adalah hamba bagi tuhan tersebut. Di samping itu, mereka mengingkari hari kiamat, syurga dan neraka dan berkeyakinan bahawa dunia ini tidak akan binasa. Mereka juga telah menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti perempuan-perempuan ajnabi, daging khinzir, arak dan judi. Menurut al-Asy`ari, kelompok Syiah al-Ghaliyah ini terpecah kepada lima belas kelompok iaitu; al-
Bayaniyyah, al-Janahiyyah, al-Harbiyyah, al-Mughiriyyah, al-Mansuriyyah, al-Khattabiyyah, al- Ma`mariyyah, al-Bazighiyyah, al-`Umayriyyah, al-Mufaddaliyyah, 11 (tiada nama), 12 (tiada nama), al- Syari`iyyah, al-Sabaiyyah dan 15 (tiada nama). Untuk keterangan lanjut, rujuk; al-Asy`ari (1969), op.cit., hlm. 66-88.)
[6] Ibid, hlm 15 (Golongan Syiah al-Zaidiyyah merupakan pengikut Zaid b. `Ali b. al-Husain b. `Ali b. Abi Talib. Mereka merupakan golongan Syi`ah yang paling hampir dengan ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah dan tidak mengkafirkan para sahabat. Ini adalah kerana, mereka berpegang dengan konsep جواز إمامة المفضول مع ق اٌم الأفضل . Berdasarkan pegangan ini juga, mereka tidak mengkafirkan dan tidak melaknat Abu Bakr dan Umar. Selain berpegang dengan konsep al-taqiyyah, mereka tidak mendakwa imam-imam mereka maksum dan tidak juga mendakwa bahawa imam-imam mereka mampu menghilangkan diri seperti mana yang telah diiktikadkan oleh golongan Isma`iliyyahlm. Golongan ini terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu; al-Jarudiyyah (pengikut Abi al-Jarud), al-Sulaymaniyyah (pengikut Sulaiman b. Jarir al-Zaidi) –turut dikenali sebagai al-Jaririyyah- dan al-Butriyyah pengikut al-Hasan b. Saleh b. Hayy). Menurut al-Baghdadi, golongan al-Butriyyah dan al-Sulaimaniyyah menghukum kafir terhadap golongan al-Jarudiyyah disebabkan golongan al-Jarudiyyah mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar, manakala al-Jarudiyyah pula telah menghukum kafir terhadap golongan al-Sulaimaniyyah dan al-Butriyyah disebabkan mereka tidak mengkafirkan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Walau bagaimanapun ketiga-tiga golongan Syiah ini bersepakat dalam mengatakan bahawa pelaku dosa besar akan kekal selama-lamanya di dalam neraka.
[7] Ibid, hlm 20
[8] Surah al-Hadid 57: 26



Rujukan

1.      Al-Quran dan Terjemahan

2.      Ab. Latif Muda & Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin, Perbahasan Akidah Islam, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2007

3.      Ahmad Musthofa, Filsafat Islam, CV. Pustaka Setia, Bandung 2007

4.      Dr Umar Sulaiman al-Asyqar, Iman Kepada Allah, Serial Aqidah Islam-1, Menurut al-Quran dan Hadits, (Terjemahan Shalahuddin abdul Rahman Yajji Lc), International Islamic Publishing House, Riyadh, 2008

5.      Dr Umar Sulaiman al-Asyqr, Siapakah Tuhanmu?, (Terjemahan Yusuf Syahrudin Lc), International Islamic Publishing House, Riyadh, 2000

6.      H.A. Mustofa,   Filsafat Islam, Pustaka Setia, Bandung, 2007

7.      Haji Said Haji Ibrahim, Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Darul Makrifah, Kuala Lumpur, 2000

8.      Hidayatullah Mohd Syarif Aziz, Kisah 25 Nabi & Rasul, Pustaka Al-Shafa, Kuala Lumpur, 2009

9.      Ibrahim Madkour,  Filsafat Islam Metode dan Penerapan, Rajawali Press, Jakarta, 1988

10.  M. M. Syarif,  Para Filosof Muslim, Mizan, Bandung, 1996

11.  Majid Fahkry, Sejarah Filsafat Islam, Mizan, Bandung, 2001

12.  Muhammad ‘Utsman Najati,  Jiwa Dalam Pandangan Para Filosof Muslim, Pustaka Hidayah,  Bandung, 2002

13.  Ustaz Haji Osman Bin Jantan, Pedoman Ilmu Tauhid (Lengkap), Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 2009


Kertas Kerja/Artikel/Jurnal
1.      Haji Abdul Hamid @ Yusoff Bin Yunus (Pakar Rujuk Aqidah), Mengenal Ahli Sunnah Wa’ Jama’ah, JAKIM, Tahun 1426 H/2005M

2.      Khalif Muammar, Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, (Akademi Kajian Ketamadunan), Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor, 2006

3.      Mohd Fauzi Hamat & Mohd Sobri Ellias, Perbezaan Fahaman Syiah Imamiyyah Dan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Jabatan Agama Islam Selangor, 2011

4.      Muhammad Nur, Metafisika Mimpi,Telaah Filsafati terhadap Teori Mimpi C.G. Jung (1875-1961), Jurnal Filsafat, Ogos 2004, Jilid 37, No. 2

5.      Radwan Masmoudi, The Silenced Majority, Journal of Democracy April 2003, vol 14


No comments:

Post a Comment