Pages

Thursday 6 February 2014

Agama Yahudi (Judaisme) ialah agama eksklusif bagi bangsa Yahudi. Huraikan kenyataan ini.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين

1.0       Latarbelakang Bangsa Yahudi

Sejarah tentang kaum Yahudi ini amat panjang. Fuad Sayid Abdul Rahman al-Rifa dalam bukunya Hakikat al-Yahud menjelaskan bahawa orang Yahudi ialah pengikut nabi yang mulia iaitu Nabi Musa a.s. dan Nabi Musa ialah keturunan Nabi Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim a.s. Manakala nama Israel ialan nama gelaran yang diberi oleh Allah SWT kepada Nabi Yaakub. [1]

Perkataan Yahudi itu sendiri melambangkan suatu bangsa, yang jika dikaji susur galurnya dalam kitab-kitab samawi menunjukkan bahawasanya bangsa ini lahir dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. melalui anaknya Nabi Yaakub a.s.. Manakala agama Yahudi itu atau Judaism merupakan agama amalan bangsa itu sendiri secara eksklusif. Bangsa Yahudi itu semestinya beragama Yahudi dan penurunan keturunan di kalangan bangsa Yahudi ini berlaku dari sebelah ibu, yang bererti sekiranya seseorang itu ibunya adalah Yahudi, maka dia secara automatik akan diiktiraf sebagai seorang yang berbangsa Yahudi oleh komunitinya. Masyarakat Yahudi secara amnya mengamalkan agama mereka secara introvert dan tidak sesekali mengembangkan fahaman mereka kepada bangsa-bangsa lain, dan kita hampir tidak pernah mendengar akan individu dari subset bangsa lain “masuk” agama Yahudi[2].

Rata-rata masyarakat Yahudi hidup dengan mengasingkan diri daripada masyarakat. Oleh yang demikian, keturunan mereka tidak bercampur gaul dengan masyarakat daripada bangsa lain. Orang Yahudi selalu berwasiat dalam kalangan mereka bahawa mereka semua mesti mewujudkan cara hidup yang tersendiri dan berbeza dengan manusia lain. Tujuannya supaya mereka boleh berbangga dengan kelebihan keturunan mereka berbanding keturunan lain, kerana Yahudi menganggap diri mereka adalah keturunan para nabi[3].

Keadaan ini telah memberi kesan yang mendalam dalam cara mereka berfikir, perasaan dan pandangan mereka terhadap golongan lain di dunia ini sehingga terbentuklah personaliti di dalam diri mereka sebagai satu bangsa pendendam dan pembunuh terhadap bangsa mana sekalipun[4].



2.0       Eksklusiviti Terhadap Agama Judasim Menurut Kaum Yahudi

Skop penulisan pada bab ini membincangkan dua daripada tiga konsep di dalam ajaran agama Judaism (Yahudi) iaitu:

                                i.            Konsep The Chosen People (Kaum/bangsa terpilih); dan
                              ii.            Konsep The Promised of Land (bumi yang dijanjikan)

Penulis tidak membincangkan konsep Tuhan menurut ajaran agama Yahudi kerana faktor pertama ialah kepercayaan asas yang dipercayai oleh Yahudi, Kristian dan Islam ini mempercayai bahawa Tuhan telah membuat perjanjian dengan Abraham (Nabi Ibrahim) untuk menyakini dan mengimani kepercayaan kepada Tuhan yang satu. [5]

Faktor kedua ialah rata-rata pengkaji Muslim dan Barat mengiktiraf agama Yahudi, Kristian dan Islam berasal daripada Nabi Ibrahim. Ini diperkukuhkan lagi dengan kisah-kisah historis dalam kitab suci masing-masing.[6]

Kedua-dua konsep kaum terpilih dan bumi yang dijanjikan inilah yang menjadi sendi dan dokongan kepada bangsa Yahudi dalam membina doktrin-doktrin ajaran dan pemikiran-pemikiran bahawa agama Yahudi adalah eksklusif untuk kaum Yahudi sahaja.


2.1       Konsep The Chosen People (Kaum/bangsa terpilih)

Orang Yahudi percaya bahawa mereka adalah kaum “Pilihan Tuhan”. Disebabkan itu mereka menerima Taurat yang perlu dipatuhi. Oleh yang demikian, bagi orang Yahudi penerimaan Taurat adalah sebagai satu perjanjian (covenant) dengan Tuhan. Untuk menunaikan janji itu, orang-orang Yahudi dikehendaki mematuhi sebanyak 613 peraturan seperti yang disebutkan dalam kitab mereka. Justeru, mereka mengatakan bahawa mereka dipilih kerana tanggungjawab yang berat berbanding dengan kaum atau bangsa lain.[7]

Kaum Yahudi juga menggunakan dalil yang dipetik daripada kitab suci mereka untuk berhujah dan menegakkan sememangnya mereka adalah benar-benar kaum pilihan. Antaranya ialah:

Levant 20:22-27: Aku adalah Rabb Tuhan kamu, yang telah memilih kamu daripada kaum-kaum lain. [8]

Deutronomy 7: 6-13: Bahawa kamu adalah kaum-kaum yang suci bagi Rabb Tuhan kamu; Rabb Tuhan kamu telah memilih kamu untuk menjadi hartaNya yang berharga daripada semua manusia yang berada di bumi. [9]

Minhnah 3:14: Kaum Israel adalah dicintai, kerana kepada mereka telah diberikan suatu alat yang amat berharga (Tawrat).[10]

Genesis 27:29: Siapa yang mengutuk engkau, terkutuklah dia, dan siapa yang memberkati engkau, diberkatilah dia.” [11]

Menurut Victor E. Marsden, kaum Yahudi adalah berbeza dengan manusia lain hanya kerana mereka sungguh setia dengan agama mereka. Setiap Yahudi tetap seorang Yahudi dan selagi beliau kekal di dalam tradisinya yang tidak tercemar, beliau adalah tetap seorang Yahudi. Seorang Yahudi juga sentiasa mempunyai hak untuk merasakan bahwa menjadi seorang Yahudi bermakna termasuk dalam satu bangsa yang unggul.[12]

Kaum Yahudi juga menggelarkan bahawa bangsa yang bukan berasal dari susur galur Yahudi adalah Goyim. [13]

Menurut Tarcey Rich, Goyim ialah “The most commonly used word for a non-Jew is goy. The word "goy" means "nation," and refers to the fact that goyim are members of other nations, that is, nations other than the Children of Israel”.[14]


2.2       Konsep the Promised of Land (bumi yang dijanjikan)

Berhubung dengan konsep “bumi yang dijanjikan”[15] kaum Yahudi memetik beberapa sumber daripada kitab mereka sendiri untuk membina gagasan bahawa bumi yang dijanjikan telah diberi oleh Tuhan. Antaranya ialah:

Genesis 17:1-8: Dan Aku akan menyerahkan kepada kamu, dan kepada keturunan kamu bumi untuk tempat tinggal kamu, keseluruhan bumi Kana’an, bagi pemilikan yang berkekalan dan Aku akan menjadi Tuhan kamu. Dia telah memilih Bumi Kana’an sebagai warisanNya dan juga bagi kaumNya, Tanah Suci yang akan berkekalan menjadi tempat di mana Dia akan menzahirkan diriNya dengan sangat jelas.[16]
Genesis 28: 13-15: Tuhan menjelaskan kepada Nabi Yaakub, Aku Tuhan Ibrahim bapa kamu dan Tuhan Ishak; tanah yang kamu diami Aku beri kepada kamu dan keturunan kamu.[17]

Di dalam Genesis 15:18: Untuk keturunanmu Aku telah berikan tanah ini, dari sungai Mesir (Nil) sehinggalah ke sungai besar Euphrates.[18]

Genesis 12:7 : Dan kepada keturunanmu akan kuberikan tanah ini.[19]

Menurut kaum Yahudi, pemberian oleh Tuhan Yahweh[20] ini adalah muktamad sehingga bila-bila walaupun mereka telah diusir dan hidup dalam diaspora (buangan) semenjak tahun 70 Masehi. Bagi kaum Yahudi, tanah yang dijanjikan itu adalah bumi Kana’an (Palestine) atau pun dalam konteks kacamata kaum Yahudi bumi tersebut ialah Israel. Ini ternyata dengan kenyataan-kenyataan penulis berbangsa Yahudi yang bernama Tracey Rich iaitu:

Jews were exiled from the land of Israel by the Romans in 135 C.E., after they defeated the Jews in a three-year war, and Jews did not have any control over the land again until 1948 C.E. The Jewish people never gave up hope that we would someday return to our home in Israel. [21]

Menurut kaum Yahudi, bumi Israel ini dikatakan paling suci sebagaimana brit dengan Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan seterusnya Nabi Musa sebagaimana tercatat di dalam Tawrah dan Injil. Kaum Yahudi juga menegaskan bahawa Tuhan Yahweh tidak pernah membuat brit dengan Nabi Ismail. [22]

Bumi Israel juga menurut kaum Yahudi sebagai pusat agama Yahudi dengan bersandarkan Ziniosm sebagai gerakan politik untuk membina negara bangsa Yahudi. Pada masa kini penduduk penduduk Israel adalah terdiri daripada 1/3 berbangsa Yahudi dan hanya 20% penduduknya bukan berbangsa Yahudi [23]



2.3       Aspek Kemasyarakatan Kaum Yahudi

Dalam bandar raya purba yang penting seperti catatan sejarah, wujud koloni orang-orang Yahudi dan agama-agama dari Timur. Kedua-duanya mempunyai pengaruh terhadap orang-orang iaitu masyarakat ketika itu yang sama ada tidak berpuas hati ataupun meragui agama-agama rasmi dari Yunani dan Rom.  Ramai yang memeluk agama Judaisme di Empayar tersebut dan juga di Rusia selatan. Pada mulanya agama Kristian mungkin telah menarik perhatian orang-orang Yahudi atau separuh Yahudi. Walau bagaimanapun Judaisme menjadi bertambah ortodoks dan semakin sempit selepas kejatuhan Baitulmuqaddis.[24] Kaum Yahudi diseksa ketika zaman Kristian menjadi teguh di Eropah, ini menyebabkan kehidupan kaum Yahudi menjadi semakin terpencil. Namun begitu kita akan telusuri kehidupan masyarakat kaum Yahudi di dalam beberapa aspek penting kehidupan. Ianya boleh dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu:


a.      Aspek Ibadah
Kaum Yahudi dikatakan kaum yang unggul kerana agama anutannya. Maka seluruh kehidupan kaum Yahudi adalah terikat dengan agama bermula dari kanak-kanak hinggalah dewasa.  Antaranya ialah:

Pada hari ke-8, seorang bayi lelaki yang dilahirkan, mesti berkhatan. Berkhatan ialah sebagai tanda brit dan juga kaum yang terpilih.

Kaum Yahudi juga berpuasa. Namun puasa mereka adalah berbeza dengan puasa bagi umat Islam. Puasa bagi agama Yahudi ialah tanpa bersahur dan ianya berlangsung selama 25 jam.

Sementara dalam aspek ibadah solat, kaum Yahudi juga mendirikan solat sebanyak 3 waktu iaitu pada waktu pagi, tengahari dan petang. Mereka melakukan perbuatan rukuk dan sujud dan bilangan rakaatnya tidak dapat penulis temui catatannya. Malah ibadah solat mereka juga ada yang dikerjakan secara berjemaah. Rumah ibadat mereka disebut Synagogue/Sinagog.

Manakala di dalam aspek perkahwinan, penganut Yahudi hanya dibenarkan untuk berkahwin dengan masyarakat di kalangan komuniti yang sama iaitu sesama Yahudi. Ini kerana untuk menjamin akan kelangsungan bahawa kaum mereka adalah kaum pilihan.


b.      Aspek Pendidikan
Semua kaum Yahudi wajib menerima pendidikan awal menurut disiplin agama Yahudi. Pendidikan yang diajar adalah tentang keagamaan Judaism supaya anak-anak Yahudi berupaya membina tamadun dan peradaban manusia. Mereka mempelajari Holy Scriptures (kitab-kitab suci seperti the Old Testament dan Talmud). Malah mempelajari sejarah para nabi bermula dari Nabi Ibrahim, Yaakub, Musa dan Isa serta menjadikan tauladan para Nabi  dalam kehidupan mereka.  [25]

c.       Aspek Ekonomi[26]
Orang-orang Yahudi pada asalnya merupakan masyarakat petani. Mereka bercucuk tanam dan menternak binatang peliharaan. Tetapi mereka telah mempelajari cara-cara berniaga daripada orang-orang Babylon ketika dalam tahanan. Ramai di antara mereka yang terus tinggal di Babylon selepas zaman Ezra dan Nahemiah[27] dan ada diantara mereka sangat kaya dan terlibat di dalam perniagaan peminjaman wang. Konsep pinjaman wang oleh kaum Yahudi adalah meletakkan riba kepada Goyim dan tanpa riba kepada sesama Yahudi.


d.      Kelas Sosial[28]
Selepas penubuhan Alexandria, ramai orang Yahudi menetap di bandar raya. Mereka mempunyai tempat tinggal yang istimewa yang berlainan dari kehidupan desa. Tujuannya ialah untuk menjauhkan mereka daripada pencemaran akibat perhubungan dengan orang-orang yang bukan Yahudi.

Di dalam konteks zaman moden, kebanyakan Yahudi juga mendiami kota raya-kota raya besar seperti di Las Vegas sebagai pusat hiburan, New York sebabagi pusat perniagaan dan Washington DC sebagai pusat pentadbiran.



3.0       Eksklusiviti Agama Yahudi Menurut Perspektif Islam

Di dalam bab ini, penulis memperincikan pandangan kaum Yahudi tentang ekslusiviti agama Judasime daripada perspektif Islam. Penulis menggunakan dalil-dalil yang terdapat dalam Al-Quran supaya penulisan ini benar-benar dapat dipertanggungjawabkan sebagai satu tulisan ilmiah.

Ketaksuban kaum Yahudi yang mendakwa bahawa agama Yahudi adalah ekslusif hanya kepada kaum Yahudi adalah tidak benar. Ini terbukti dengan firman Allah:

A075
 
Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.[29]

Menurut catatan sejarah, Firaun adalah berbangsa Qibti yang menjadi pemerintah bagi kerajaan Mesir purba. Jelas menurut ayat al-Quran di atas bahawa perutusan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s bukan sahaja untuk membebaskan kaum Yahudi daripada diseksa kejam oleh Firaun tetapi juga turut berdakwah kepada raja yang zalim itu. Ayat ini juga menolak akan keangkuhan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s hanya terhad untuk kaum Yahudi sahaja.

Allah s.w.t juga turut mengatakan bahawa perutusan Nabi Musa a.s sebagaimana yang ternukil di dalam al-Quran bahawa Nabi Musa a.s diutus sebagai seorang Rasul untuk makluk sekalian alam termasuklah kaum-kaum yang bukan datangnya dari jalur keturunan Yahudi. Firman Allah s.w.t:

A104

Dan berkatalah Nabi Musa: "Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.[30]

Dalil yang ke-3 ialah berkenaan dengan ketidakbenaran tentang ekslusiviti agama Yahudi yang untuk kaum Yahudi adalah tentang dialog yang dilafazkan oleh Firaun ketika hampir mati lemas dengan menyatakan keimanan kepada Tuhan Bani Israil semasa insiden mengejar Nabi Musa a.s dan kaumnya melintasi laut Merah. Mengapa Allah s.w.t mengangkat kisah Firaun yang berbangsa Qibti dengan menyatakan keimanan kepada Tuhan Bani Israel (Yahweh)? Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menukilkan sesuatu kisah dengan sia-sia tanpa pengajaran yang boleh diambil iktibar supaya kita berfikir.

A090

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".[31]


Bukti seterusnya ialah berkenaan dengan dakwah Nabi Yunus a.s sebagaimana firman Allah s.w.t:

 A098

(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian - ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).[32]

Hujah seterusnya ialah perutusan Nabi Yunus a.s.. Nabi Yunus a.s yang disebut namanya sebanyak 4 kali di dalam al-Quran tidak sebanyak yang dikisahkan oleh al-Quran tentang Nabi Yunus sebagaimana yang telah dikisahkan tentang nabi-nabi; Musa, Yusuf dan lain-lain. Dan sepanjang yang dapat dicatat dan diceritakan oleh para sejarawan dan ahli tafsir tentang Nabi Yunus ialah bahawa beliau bernama Yunus bin Matta. Baginda telah diutuskan oleh Allah s.w.t untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat bernama "Ninawa" yang bukan kaumnya dan tidak pula ada ikatan darah dengan mereka. Ia merupakan seorang asing mendatang di tengah-tengah penduduk Ninawa itu. Baginda  menemui mereka berada di dalam kegelapan, kebodohan dan kekafiran, mereka menyembah berhala menyekutukan kepada Allah. [33]



4.0       Kesimpulan

Menurut Bertrand Russel, hanya dalam zaman Nabi Muhammad s.a.w, orang-orang Yahudi dilayan dengan lebih berperikamunusiaan dan telah berpeluang untuk mengkaji falsafah dan spekulasi ilmu. Sepanjang zaman pertengahan, pengikut Nabi Muhammad s.a.w lebih bertamadun dan lebih berperikamanusiaan daripada orang-orang Kristian yang telah menyeksa orang-orang Yahudi terutama sekali semasa ketengangan agama, perang salib telah dikaitkan dengan pembunuhan yang kejam. Sebaliknya di dalam negara orang Islam, orang Yahudi tidak mendapat layanan yang buruk dalam apa keadaan sekalipun. Di Sepanyol Arab (Andalusia), terutamanya orang Yahudi telah memberi sumbangan kepada ilmu pengetahuan terutamanya falsafah Aristotles dan usaha-usaha terjemahan buku-buku falsafah Yunani, ilmu kimia dan astrologi banyak dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Selepas zaman pertengahan orang-orang yahudi terus memberikan sumbangan kepada tamadun secara individu dan tidak lagi sebagai sautu kaum. [34]

Kesimpulannya bagi esei ini, penulis berpendapat bahawa kepercayaan dan keyakinan bahawa Agama Yahudi (Judaisme) ialah agama eksklusif bagi bangsa Yahudi adalah tidak benar sama sekali berdasarkan kepada dalil-dalil al-Quran yang telah disebutkan diatas.

Sesungguhnya tidak ada pendapat manusia yang benar melainkan jika ianya bersendikan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Hasil daripada perbincangan di atas, menunjukkan bahawa Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s juga diutuskan kepada semua manusia termasuk Firaun yang berbangsa Qibti.

Sejarah juga mencatatkan bahawa perutusan Nabi Yunus a.s bertketurunan Yahudi membawa risalah kenabian dan berdakwah kepada bangsa Ninawa yang terletak di Mosul (Iraq). Sejarah juga turut mencatatkan bahawa perutusan Nabi Sulaiman a.s. yang diutus kepada bangsa Yahudi juga turut berdakwah kepada bangsa lain. Umpamanya Baginda Nabi Sulaiman a.s berdakwah kepada Permaisuri Balqis yang berkuturunan Saba’. Malahan perutusan Nabi Sulaiman juga adalah untuk kepada semua makhluk termasuk manusia, binatang dan jin.




Rujukan

Al-Quran dan terjemahan
Arthur Hertzerbg. 1961. Judaism. The Easton Press, Connecticut.
Bertrand Russell. 1993. Sejarah falsafah barat. Penerbit: Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.
Bernard Wasserstein. 2008. The history of Europe. New York: Oxford Press University
Dr. Shauqi Abu Khalil. 2003. Atlas of the Quran. Darussalam, New York
Ghazali bin Basri. 2013. Ilmu perbandingan agama. Penerbit: Akademi Kajian Ketamadunan. Kajang, Selangor
Jacob Neusner. 1975. First-century Judaism in crisis. Abingdon Press, New York
Jerome A. Chanes. Antisemitism: A Reference Handbook, ABC-CLIO, 2004

Richard L. Rubenstein, John K. Roth. 2003. Approaches to Auschwitz: the Holocaust and its legacy. Westminster John Knox Press

Manfred F. Boemeke, Gerald D. Fekdman and Elisabeth Glaser. 2010. The treaty of versailles: a reassessment after 75 years. Publications of the German Historical Institute.

Peter Stanford. 2010. 50 ideas you really need to know religion. Quercus, United Kingdom

Victor E. Marsden (Terjemahan: Ummu Muhamad). 1934. Protokol-protocol mesyuarat para pemimpin ilmuwan Zionis. Thinker Library Sdn Bhd, Selangor

Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Fatimah Syarha Mohd. Noordin. 2009. Palestin tak pernah gentar.  Telaga Biru Sdn Bhd: Kuala Lumpur.




[1] Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Fatimah Syarha Mohd. Noordin. Palestin tak pernah gentar, fatwa kotemporari dan penyelesainya.  Sejarah Yahudi bab 1, hlm1. Rujuk juga Surah A-li'Imraan 3:93
[2] Lihat rencana  yang ditulis oleh Dr. Heazar Ismail bertajuk “Yahudi, Zionis dan Israel: Apa bezanya”?  di http://mstar.com.my bertarikh 18/5/2010
[3]Peter Stanford. 2010. 50 ideas you really need to know religion. Quercus, UK
[4] Dalam Al-Quran Allah swt telah menggambarkan bahawa kaum Yahudi telah diseksa ketika zaman Firaun menjadi pemerintah Mesir. Allah telah mengutuskan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s untuk menyelamatkan kaum Yahudi dari terus ditindas dan dizalimi oleh Firaun.
[5] Susan Douglas. (8 Ogos 2012) Historical Background: The Abrahamic Faiths http://www.muslimlibrary.com/download,2090,0.html
[6] Suhaida Shaharud-din dan Khadijah Mohd Khambali @ Hambali. 2012. Analisis keterkaitan status Abrahamic Faiths dengan fahaman pluralisme agama. Prosiding Seminar Pemikiran Islam III. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. 26-27 September 2012
[7] Ghazali bin Basri. 2013. Ilmu perbandingan agama- suatu pengenalan, hlm 95.
[8] Ahmad Mohamad Said. 5/10/2013. Nota kuliah, hlm 5
[9] Ibid
[10] Ibid
[12] Victor E. Marsden. Protokol-protokol mesyuarat para pemimpin Zionis, hlm 11
[13] Means cattle. How the jews and the Zion master sees all non jews in particular whites. Said with contemption. Dipetik dari http://www.urbandictionary.com/define.php?term=Goyim
[14] Tracey Rich. The promised land. Dipetik dari http://www.jewfaq.org/israel.htm
[15] Perjanjian (brit) merupakan komponen utama dalam pembentukan bangsa dan negara di bawah kekuasaan Tuhan. Brit pertama dibuat dengan manusia ialah Nabi Adam, dan brit ini gagal dipenuhi sehingga semua ciptaan dan manusia dimusnahkan kecuali Nabi Noh, segelintir pengikutnya dan pasangan hidupannya. Selepas itu Tuhan mengadakan brit yang kedua dengan Nabi Noh
[16] Ahmad Mohamad Said. 5/10/2013. Nota kuliah, hlm 5
[17] Ahmad Mohamad Said. 5/10/2013. Nota kuliah, hlm 6
[18]Maszlee Malek. Palestin: Janji Tuhan kepada bangsa Yahudi. Dipetik dari   http://palestinkini.info/?p=403
[19] Ibid
[20] Dalam bahasa Ibrani nama Tuhan disebut YHWH (Yahweh) dan bahasa moden disebut Yehovah
[21]Tracey Rich. The promised land. Dipetik dari http://www.jewfaq.org/israel.htm
[22] Ibid
[23] Ibid
[24] Bertrand Russel. 1993. Sejarah falsafah barat, hlm 388
[25] Jacob Neusner. 1975. First century Judaism in Crisis, hlm 32
[26] Bertrand Russel. 1993. Sejarah falsafah barat, hlm 387
[27] Ezra dan Nahemiah ialah rabai Yahudi semasa diaspora pertama
[28] Ibid
[29] Surah Yunus 10:75
[30] Surah Al-A'raaf 7:104
[31] Surah Yunus 10:90
[32] Surah Yunus 10:98
[33] Dr. Shauqi Abu Khalil. 2003. Atlas of the Quran
[34] Bertrand Russel. 1993. Sejarah falsafah barat, hlm 388-389

2 comments:

  1. Menurut catatan sejarah, Firaun adalah berbangsa Qibti
    mana sumber rujukan nya ?

    ini sgt penting bagi mengetahui adakah nabi Musa as hanya tuk bangsa israel atau untuk sekelian umat manusia

    ReplyDelete
  2. Dipetik dari tafsir surah al-A'raf. Cuba saudara buat kajian tentang Firaun yang memerintah Mesir.

    ReplyDelete