Pages

Friday 10 August 2012

Pendidikan Remaja Menurut Perspektif Al-Quran


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم



1.0       Pengenalan
          Menurut Kamus Dewan, telah mendefinisi remaja ialah dengan beberapa definisi iaitu “mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur utk berkahwin; gadis-gadis dan pemuda-pemuda yang sudah mulai dewasa.

Menurut Dr. Khaidzir Ismail dalam rencana yang ditulis oleh beliau berkenaan dengan pengaruh black metal dikalangan remaja telah mentakrifkan remaja merupakan individu yang berumur antara 13 hingga 20 tahun. Ia merupakan peringkat antara alam kanak-kanak dengan alam dewasa. Pada ketika ini, berlaku proses perubahan besar dari aspek fizikal, kognitif dan sosial selain kematangan seksual lebih ketara dan mencabar dalam peringkat peralihan ini.

Menurut Islam,zaman remaja dikaitkan dengan istilah baligh dan apabila seseorang itu baligh, wajib ke atasnya melakukan segala hukum syarak dan meninggalkan perkara yang dilarang. Biasanya tanda baligh bagi kanak-kanak lelaki apabila bermimpi, manakala bagi kanak-kanak perempuan apabila keluar haid. Semua tanda itu menjadi penanda aras kepada pertukaran zaman daripada alam kanak-kanak ke alam remaja. Tugas mendidik golongan yang baru masuk ke alam remaja ini adalah tanggungjawab ibu dan bapa, guru-guru, masyarakat dan pihak kerajaan. Ringkasnya tugas mendidik remaja adalah tugas semua pihak.

Manakala pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, 'alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga orang lain. Kedudukan mereka ada hubungankait dengan sifat integriti, bertanggungjawab, amanah, istiqamah dan beriman kepada Allah SWT.

Di Malaysia, bidang pendidikan adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi manusia secara menyeluruh bagi mewujudkan modal insan yang cemerlang, iaitu cerdas minda, mantap rohani, stabil emosi dan sihat jasmani. Sebenarnya kecemerlangan pendidikan tidak hanya dibebankan kepada para guru di sekolah, bahkan ia bergantung kepada peranan ibubapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu sekolah dan rumahtangga saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan pendidikan.

Selari dengan kehendak semasa dalam aspek pendidikan, saya telah memilih untuk menulis kertas kerja yang bertajuk “Pendidikan Remaja Menurut Perspektif Al-Quran”. Tujuan kertas kerja di buat ialah untuk memenuhi kehendak kerja kursus bagi subjek Tafsir Mawdu’I. Moga-moga ianya dapat meningkatkan kefahaman saya peranan sebagai seorang ibu dalam mendidik anak-anak yang kian semakin hari semakin pasti akan memanjat usia remaja di alaf teknologi digital yang serba mencabar ini.   


2.0       Aspek Pendidikan Menurut Perspektif Al-Quran
Untuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai isu pendidikan berdasarkan perspektif Al-Quran, kajian perlu ditumpukan kepada perincian dan pemahaman kandungan serta tafsiran berautoriti terhadap ayat-ayat Al-Quran yang berkait dengan isu-isu kasih sayang ibubapa kepada anak-anak, nasihat ibubapa kepada anak-anak, anugerah Allah kepada ibubapa anak adalah sebagai ujian, pendidikan anak, keutamaan dalam menuntut ilmu, menuntut ilmu dan mengamalkannya dan hubungkait menuntut ilmu dengan kekeluargaan seperti amalan berdoa untuk mendapatkan zuriat yang baik. Berdasarkan analisa terperinci terhadap kandungan Al-Quran, ayat-ayat yang berkait dengan dengan isu-isu tersebut dapat dirumuskan seperti jadual berikut:

Isu/Topik
Surah
Ayat
Pendidikan Anak
ü  Cinta ibubapa kepada anak
ü  Anak sebagai ujian

ü  Mendoakan anak dengan keberkahan


ü  Berlaku adil di antara anak-anak
ü  Nasihat ibubapa untuk anaknya



ü  Memerintahkan anak untuk selalu berbuat baik
ü  Perintah Allah supaya menjaga anak dari api neraka

Yusuf
Ali-Imran
Al-Anfaal
Maryam
Al-Furqaan
Al-Ahqaaf
Yusuf
Al-Baqarah
Hud
Yusuf
Luqman
Luqman

At-Tahrim

12, 64, 66, 67, 84, 85
3
28
19
74
15
12
132,133
42,43
67, 87
13, 16,17, 18, 19
17
6
Pengajaran untuk anak
ü  Mengajar akhlak kepada anak
ü  Mengajar anak untuk beribadat

ü  Doa untuk zuriat yang baik

ü  Memberi makanan yang halal kepada anak

Luqman
Luqman
Al-An’naam
Ali-Imran
Ibrahim
Al-Baqarah

18
19
6
38,
37, 38, 39, 40
168
Keutamaan Ilmu

Al-Baqarah
Ali-Imran
An-Nisaa’
Yusuf
247, 269,
7,
162
68























Jika dilihat pada perspektif Al-Quran, perbincangan tentang pendidikan anak-anak termasuklah anak-anak remaja adalah diwajibkan selagi ia bermatlamatkan kepada tujuan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Pembelajaran berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah dan kaedah pembelajaran yang paling berkesan. Lantaran itu, perbincanganan tersebut mestilah berlandaskan kepada pentafsiran ayat-ayat Al-Quran, Al-Sunnah dan juga pandangan ilmuan Islam yang mempunyai berautoriti sama ada di kalangan ilmuan lampau atau semasa.


3.0       Anak Soleh Dan Solehah Idaman Ibubapa
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah  s.w.t. yang cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga, dipelihara dan dididik dengan sempurna disamping memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.

Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Hadith dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia yang dirahmati serta diredhai Allah s.w.t. Maka,  sesusungguhnya anak yang soleh dan solehan adalah merupakan idaman kepada semua ibubapa.
Kita semua sebagai adalah ibubapa atau bakal menjadi ibubapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

" اِذَا مَاتَ ابْنِ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ،
 أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ ".

Maksudnya :    Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, atau Ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.

Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah. Justeru itu, proses mendidik anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap  ibubapa, terutamanya dalam dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan remaja.

Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Malahan, kita sebagai ibubapa wajib mendidik anak-anak semenjak dari dalam kandungan lagi. Seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebung. Mendidik anak-anak semasa kecil adalah tidak sama dengan mendidik anak-anak pada peringkat zaman remaja.

Anak-anak akan mengalami proses pembesaran dengan mengalami 3 peringkat. Peringkat pertama ialah zaman bayi. Pada peringkat ini ibubapa banyak perlu mendidik perkara-perkara asas iaitu membelai dengan kasih sayang. Peringkat kedua pula ialah zaman kanak-kanak. Pada peringkat ini ibubapa perlu mendidik anak-anak dengan pendekatan pembelajaran sambil bermain. Pada peringkat ini ibubapa juga sudah wajib mengajar anaknya mendirikan solat pada usia anaknya 7 tahun. Mengasingkan tempat tidur anak-anak yang berlainan jantina apabila mencapai umur 10 tahun. Anak-anak orang mukmin sepatutnya menerima pendidikan ini daripada ibubapa mereka. Kalau kita telitikan, Islam sudah meletakkan satu tanda aras kepada ibubapa agar mendidik anak-anak mereka sebelum mencapai usia remaja. Pada zaman kana-kanak inilah anak-anak perlu didedahkan oleh ibubapa dengan ilmu tauhid iaitu Allah yang Esa. Perlu didik dengan kefahaman bahawa perbuatan yang baik akan dibalas baik (ganjaran pahala) dan perbuatan jahat (maksiat) akan dibalas dengan balasan yang sekeras-kerasnya (dosa) oleh Allah s.w.t. Setidak-tidaknya pada peringkat kanak-kanak, kanak-kanak tersebut sudah dididik untuk membezakan perkara-perkara yang baik dan perkara-perkara yang buruk.

Pada peringkat remaja, kebanyakkan anak-anak akan mencapai usia baligh. Pada ketika usia ini, sudah sampai masanya anak-anak melaksanakan semua ibadat yang difardukan oleh Allah s.w.t seperti bersolat, berpuasa, taat kepada ibubapa, menghormati guru-guru dan hak orang lain.  Ringkasnya pada zaman remaja ianya merupakan peringkat “execution”. Jikalau anak-anak yang sudah remaja meninggalkan solat, ingkar perintah ibubapa, melakukan maksiat, maka dosa adalah balasannya. Pendekatan mendidik anak-anak pada peringkat remaja adalah berbeza dengan pendekatan semasa mereka di zaman bayi dan kanak-kanak. Remaja memerlukan ibubapa yang menjadi “role model” kepada mereka. Ibubapa juga memerlu pendekatan pemudahcara kepada anak-anak  sebagai “tool” mendidik anak-anak remaja.


4.0       Ibubapa Penjana Pendidikan Anak-Anak
Tugas mendidik anak-anak adalah merupakan “Key Performance Indicator” (KPI) utama kepada semua ibubapa. Ibubapa bertanggungjawab penuh menggalas tugas mendidik anak-anak di rumah. Ibubapa harus sentiasa memastikan pendidikan anak-anak termasuk anak-anak kategori remaja terpelihara walau pun memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa. Sebagai ibubapa kita tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa cabaran sekalipun. Jika tidak, anak-anak akan rosak pegangan akidah, hilang kemurnian akhlak dan moral. Jikalau kita amati, rata-rata anak-anak yang mengalami masalah akhlak, mereka adalah ketinggalan dalam arus pendidikan Negara dan pencapaian didalam peperiksaan adalah tidak cemerlang.

Ibu bapa perlu memiliki kualiti bimbingan yang baik supaya anak-anak tidak mengira peringkat umur termasuklah anak-anak remaja berada dalam pengaruh budaya keluarga yang sihat. Jika tidak, pengaruh buruk di luar rumah yang sedang menunggu akan mempengaruhi mereka. Ibubapa wajib membina asas pendidikan yang kukuk (foundation) kepada anak-anak. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu memilih mana yang baik dan buruk dalam hidup mereka. Dr Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa kesan paling menonjol akibat dari tamadun hari ini ialah terpisahnya ikatan akhlak yang mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala. Bimbang dengan tekanan ini, mimbar menyeru ibubapa agar membimbing anak-anak secara serius terutamanya dari sudut rohani atau bimbingan hati.

Allah SWT menegaskan seksaan yang sangat berat jika ibubapa sengaja cuai atau bersifat khianat dengan amanah yang diberikan untuk mendidik anak-anak. Firman-Nya dalam surah At-Tahrim ayat 6:

 A006

Maksudnya: " Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Kita perlu sedar bahawa anak-anak kita sekarang ini berdepan dengan cabaran dan pengaruh hiburan yang terlalu banyak. Bukalah saluran TV manapun pasti program hiburan akan tersedia. Sesetengah program hiburan amat diminati oleh anak-anak kita. Ini menyebabkan anak-anak sanggup menghabiskan banyak masa terutama di musim cuti persekolahan menonton pelbagai program hiburan di talivisyen dan internet dengan mengabaikan tugas sebenar mereka sebagai pelajar. Implikasinya anak-anak bukan sahaja lemah pencapaiannya dalam pelajaran, malah anak-anak juga berdepan dengan masalah keruntuhan akhlak yang berpunca daripada pengaruh hiburan yang melampau. 

Tidak mustahil anak-anak akan terikut-ikut dengan gelagat ikon-ikon program reality TV yang berpakaian menjolok mata serta bergaul bebas lelaki dan wanita tanpa batas. Oleh itu, kita bertanggungjawab mempastikan anak-anak kita tidak menghabiskan masa cuti persekolahan dengan menonton program-program hiburan begitu. Tugas ini bukan mudah, kerana media berada di mana-mana, malah tidak ada rumah yang tidak di masuki media. Apa yang perlu kita lakukan ialah memantau serta membimbing secara serius serta berterusan kepada anak-anak remaja kita agar tidak menghabiskan masa menonton program hiburan semata-mata. Kita sebagai ibubapa perlu setiap hari bertanyakan anak-anak apa yang mereka telah buat sepanjang hari. Apakah mereka telah bersolat dan apakah mereka telah mengulangkaji pelajaran? Dengan itu, insya Allah, tugas mereka sebagai pelajar tidak akan dipersiakan.

Selain daripada cabaran hiburan, anak-anak kita juga terdedah kepada pengaruh watak individu atau kumpulan yang tidak berakhlak dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, perlumbaan haram, melepak, merokok, berpoya-poya dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan kita mengawal ketat anak-anak kita daripada mendekati dan bergaul dengan watak-watak dan kumpulan-kumpulan remaja yang rosak akhlak dan jelas membelakangkan petunjuk Allah SWT. Sebagai ibubapa, kita perlu setiap hari bertanyakan anak-anak kita berkenaan dengan aktiviti harian mereka. Contohnya dengan mengambil berat ke mana mereka pergi, untuk apa mereka ke sana, dengan siapa mereka pergi, jam berapa mereka pulang dan sebagainya. Dengan demikian, mudah-mudahan kita dapat mengawal anak-anak kita daripada terjerumus kelembah kehancuran.

Hayatilah pesanan Nabi SAW agar kawan anak-anak kita hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berakhlak dan mempunyai jatidiri.

 
Mafhumnya: “Sesungguhnya perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah seperti saudagar minyak wangi dan tukang besi. Peniaga minyak wangi  akan memercikkan minyak wanginya atau dapat membeli daripadanya atau mencium bau wanginya. Manakala tukang besi pula mungkin akan membakar bajumu atau engkau mencium bau busuk daripadanya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)


5.0       Tanggungjawab Dan Kewajipan Ibubapa Dalam Pendidikan Anak-Anak
Keluarga adalah asas menentukan dasar pembinaan akhlak anak. Bila tumpuan ibu bapa terhadap keluarga berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam perut ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai akil baligh.

Dengan demikian adalah amat penting para  ibubapa dapat memahami bahawa dalam tempoh kritikal ini, ibu bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun. Antara tanggungjawab dan kewajipan ibubapa dalam pendidikan anak-anak ialah:

              i.        Menjaga dan memastikan anak-anak selamat dari api neraka Allah.

Firman Allah ta'ala yang bermaksud:

ٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬
شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ (٦)

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.  [Surah al-Tahrim: 6]

Di riwayatkan sesungguhnya Umar telah berkata ketika turunnya ayat di atas: Wahai Rasulullah! Kami jaga diri-diri kami, maka bagaimana pula kami menjaga ahli keluarga kami? Maka jawab Baginda s.a.w: Kamu cegah mereka semua daripada melakukan apa yang Allah larang kepada kamu dan kamu suruh mereka dengan semua apa yang Allah perintahkan kepada kamu, maka itulah perlindungan kamu kepada ahli keluarga kamu daripada api neraka.

Sabda Rasulullah s.a.w. : Sesungguhnya umpama aku dan orang lain  adalah sama seperti  seorang lelaki yang menyalakan api, manakala api itu menerangi sekitarnya lalu datanglah kelkatu dan binatang ini akan datang beramai ramai merempuh cahaya api tersebut sehingga jatuh ke dalam api, maka aku adalah orang yang menahan kamu semua dari terjatuh ke dalam api tersebut. [Muttafaqun alaiy]


            ii.        Pra syarat untuk menjadi ibubapa sebagai pendidik yang berkualiti ialah:
a.            Berhikmah (Ilmu agama)
b.            Bersyukur (bertaqwa)
c.            Contoh tauladan yang baik.

Firman Allah ta'ala melalui Luqman al-Hakim yang merupakan pendidik terbaik sebelum dia mendidik anaknya:

وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِلَّهِ‌ۚ وَمَن يَشۡڪُرۡ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦ‌ۖ
وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ۬ (١٢)


Maksudnya: " dan Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan Segala nikmatNya kepadaMu)". dan sesiapa Yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. [Luqman:12]


           iii.        Pendidikan hendaklah berterusan dan menggunakan pendekatan kasih sayang. Firman Allah ta'ala melalui Luqman yang mendidik anaknya:

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُ ۥ يَـٰبُنَىَّ  (١٣)

Maksudnnya: " dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku,…..[Luqman:13]


           iv.        Asas utama dalam pendidikan ialah mengenal Allah dan tidak mensyirikkanNya. Firman Allah ta'ala melalui Luqman sebagai seorang pendidik yang terbaik:

 لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ‌ۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٌ۬ (١٣)

Maksudnya: " janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".  [Luqman:13]

Contoh-contoh syirik kepada Allah ialah melakukan sesuatu amalan atau pekerjaan bukan kerana Allah Azza wajalla.

Sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang mempelajari ilmu yang sepatutnya di mempelajarinya untuk mendapat keredhaan Allah, tetapi ia tidak belajar melainkan hanya untuk mendapat habuan dunia, maka ia tidak akan dapat mencium bau syurga. [Hadith sohih- Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban]


            v.        Pemangkin kepada pendidikan Islam setelah mengenal Allah ialah mendirikan solat dan menyuruh yang ma'aruf serta mencegah kemungkaran. Firman Allah ta'ala melaui pendikik terbaik Luqman al-Hakim :

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ‌ۖ
إِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ (١٧)

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.  [Luqman:17]

Sabda Rasulullah s.a.w. : Perintahlah anak kecil dengan mengerjakan solat apabila ia berumur tujuh tahun, maka apabila cukup umurnya sepuluh tahun, maka pukullah ia sekiranya ia masih tidak mengerjakan solat. [HR Ahmad, Abu Daud dan Al-Tirmiziy]

6.0       Petunjuk  Prestasi Utama (KPI) Ibubapa Mendidik Anak Remaja

Dalam usaha membentuk remaja yang berkualiti, maka kecemerlangan bidang pendidikan tidak hanya dipikul oleh pihak sekolah semata-mata. Bahkan ianya bergantung kepada ibubapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu rumahtangga dan sekolah saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan anak-anak.

Diantara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ibubapa dalam mendidik anak-anak remaja iaitu perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibubapa dalam proses melahirkan dan mendidik remaja yang soleh ialah:

Pertama: Sentiasa Berdoa Kepada Allah s.w.t.
Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali - Imran ayat: 38

 A038

Yang bermaksud : Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t.  agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang sempurna dari segi fardhu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat dan negara.

Kedua: Hendaklah Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak
Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.


Ketiga: Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudut Ibadah
Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan  kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan  jalinan hubungan dengan Allah s.w.t sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.

Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Al-An’aam ayat 162 :

 A162

Yang bermaksud:   Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam ”.

Keempat: Hendaklah Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak
Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar nabi Muhammmad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :
                                                                                    
مَا مِنْ شَىْءٍ أَثْقَلُ فِىْ مِيْزَانِ الْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ
 ( رواه أبو دأود والترمذي )

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia ”.


Menurut Yusuf al-Qardawi, Tokoh Maal Hijrah 1431H bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.


Kelima: Memastikan Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal
Setiap ibubapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan  makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sihat. Dan akhirnya mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :

 A168
 
Yang bermaksud:   “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu

Satu kisah pada zaman Rasulullah s.a.w, seorang sahabat yang berjemaah bersama baginda kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Baginda s.a.w bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, baginda terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.


7.0          Anak-Anak Merupakan Aset Pelaburan Kepada Ibubapa

Sepertimana yang kita telah ketahui bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Sebagaimana firman Allah setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian tanpa terkecuali. Firman Allah ta'ala:

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ (٥٧)

Maksudnya: “ tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan). [Al-Ankabut:57]

Ibn Abi Hatim meriwayatkan dari Abu Darda' –raduyallahu anhu- bahawa dia menceritakan: Ketika bersama Rasulullah kami pernah membicarakan tentang bertambahnya umur, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan menangguhkan satu jiwa pun ketika ajalnya telah tiba. Akan tetapi yang di maksudkan bertambahnya usia itu adalah bahawa Allah memberikan rezeki kepada hamba-Nya berupa anak keturunan yang soleh yang mendoakan kebaikan untuknya sehingga doa mereka menyertainya ketika ia berada di dalam kubur.  [HR al-Haakim dalam kanzul-Ummal, 16/281. dan di sebut oleh Ibnu Katsir dalam tafirnya, 4/373 dan 2/573]

Daripada hadith soheh di atas jelaslah kepada kita bahawa anak-anak zuriat yang kita lahirkan merupakan rezeki kurniaan Allah yang berupa aset pelaburan kepada kita yang mana dengan doa anak-anak yang soleh boleh membantu kita meringkankan azab dalam kubur. Oleh itu, kita wajar mendidik anak-anak supaya mereka beramal soleh dan meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Kita sibuk mengejar dunia. Insyaallah, jika sampai umur persaraan, kita akan menerima wang saraan pencen di hari tua. Tetapi, pernahkah kita terfikir pencen kita ketika di alam kubur? Jika kita berpandangan jauh ke hadapan, anak-anak adalah pelaburan untuk kita. Doa anak-anak yang soleh dan solehan merupakan pencen kita di alam kubur.

Semua amalan soleh yang di lakukan oleh anak si mati,  akan di perolehi pahalanya oleh ibu bapa tanpa di kurang sedikit pun walaupun tidak di niatkan untuk kedua-duanya. Ini kerana "anak merupakan hasil dari usaha ibubapa". Sabda Nabi s.a.w:

  إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya apa yang paling baik di makan oleh seseorang ialah hasil dari usahanya dan seseunggunhnya anak adalah hasil usahanya.  [HR Ahmad, Al-Bukhari (al-Tarikh al-Kabir), Abu Daud, Al-Nasai'e dan Ibn Majah]


Pendapat mazhab Al-Syafei segala amalan manusia tidak akan sampai kepada orang yang telah mati kecuali daripada anak-anak yang soleh dan yang telah tetap dalil-dalilnya daripada al-Quran dan Sunnah. Ini berdasarkan firman Allah ta'la:

وَأَن لَّيۡسَ لِلۡإِنسَـٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ (٣٩)

Maksudnya:”dan Bahawa Sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa Yang diusahakannya.  [Al-Najm:39]

8.0       Kesimpulan

Kesimpulannya, tugas ibubapa adalah amat berat dalam mendidik anak-anak terutamanya anak-anak remaja. Marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah s.w.t. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.

Keluarga adalah asas menentukan dasar pembinaan akhlak anak. Bila tumpuan ibu bapa terhadap keluarga berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam perut ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai akil baligh.




9.0       Rujukan

1. Al-Quran & Terjemahan
2.  Artikle: Kenalan Remaja Daripada Perspektif Islam, Ghafani bin Awang Teh, http://www.scribd.com/doc/2677205/KENAKALAN-REMAJA-DARIPADA-PERSPEKTIF-ISLAM
3. Kamus Dewan, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Edisi Baru, Kuala Lumpur
4. Pengaruh Black Metal, Dr. Khaidzir Ismail, Utusan Malaysia, 21hb Oktober 2010
5.  Prinsip Dasar Pembangunan Insan Terkandung Dalam Al-Quran, Ibrahim Abdullah, Berita Harian, 20hb September 2010
6.  Remaja Perlu Didedahkan Tanggungjawab Jadi Orang Dewasa, Prof Madya Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus, Berita Harian, 22hb September 2010
7.  The Power of Akhlak, Amru Khalid (Terjemahan: H. Muhammad Zuhirsyan), Jasmin Publication, 2009
8.  Wawasan Al-Quran: Tafsir Maudhu’i Atas Pelbagai Persoalan Umat, Moh. Quraish Shihab, Mizan, 1996

2 comments:

  1. Thanks Asma' Al-Banjari.....

    ReplyDelete
  2. Insyallah..antara yang paling penting yang perlu dinyatakan ialah sabar dalam tugas mendidik anak2.

    ReplyDelete