السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب العالمين ،
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
Di dalam menjawab persoalan di atas yang menyangkut
kepada faktor-faktor pertumbuhan pelbagai aliran dalam pemikiran Islam pada
hari, maka penulis ingin meninjau terlebih dahulu aliran-aliran yang terdapat
dalam pemikiran Islam. Pada umum terdapat aliran pemikiran yang
dipakai oleh para pengkaji iaitu aliran pemikiran:
a) Tradisionalis
b) Ortodoks
c) Konservatif
d) Fundamentalis
e) Idealis
f) Reformis
g) Progresif
h) Sekularlisme
i)
Liberalisme
j)
Pluralism
Dengan adanya berbagai-bagai aliran atau golongan seperti
yang disebut di atas, itu, para sarjana sama ada daripada Barat dan Islam telah memberi definisi
yang berbagai-bagai pula kepada fahaman dan aliran pemikiran tersebut. Jika
kita telusuri definisi untuk setiap satu aliran pemikiran di atas, nampaknya
tidak terdapat semacam persetujuan umum tentang takrif sesuatu aliran atau
konsep yang dibahaskan. Menurut Abdul Rahman Abdullah (1991), yang lebih
merumitkan lagi ialah apabila suatu pihak memberi konotasi yang positif
terhadap aliran tertentu, sedangkan pihak lain pula memberi konotasi yang
negatif terhadap aliran yang sama. Akibatnya timbullah penilaian yang berbeza
terhadap sesuatu isu yang dibahaskan.
Untuk menjawab persoalan ini, kita tidak akan membincangkan definisi
setiap satu aliran pemikiran seperti yang disenaraikan di atas. Kita hanya
membincangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan pelbagai
pemikiran Islam pada hari ini.
Kamarudin Salleh (2012) di dalam tulisannya menyatakan bahawa fenomena
kebangkitan Islam sejagat telah melanda dunia Islam dan umatnya sekitar lebih
dari dua abad yang lalu. Bertepatan dengan semangat itu juga lahirlah,
bermacam-macam seruan dan slogan seumpama al-usuliyyah al-Islamiyyah (Islamic
fundamentalism) al-sahwah al-Islamiyyah (Islamic revivalism), al-ihya’ al-Islam
(Islamic resurgence), al-tajdid dan al-islah (reform, renewal dan reassertion),
al-tayyar al-Islami (Islamic current), al-ittijah al-Islami (Islamic tendency),
al-ba`th al-Islami (Islamic resurrection), renaissance, regenaration,
revitalization, reemergence, resurrection, rebirth, reconstruction, revolution,
upsurge, awakening, neo-fundamentalism dan akhirnya Islamism, merupakan terma popular digunakan
oleh pembangkit gelombang kesedaran, mengajak masyarakat menyokong arus baru ini. Manakala
pada akhir kurun ke 20 dan awal abad 21 kini perkembangan mengarah
kepada pemikiran neo-modenisme, liberalisme, post-modenisme, pluralisme
dan seumpamanya.
Jaffary Awang dan Kamarudin Salleh (2007) juga turut berpendapat bahawa
pemikiran Islam muncul oleh sebab banyak faktor yang berkait rapat dengan
perubahan-perubahan sama ada dalaman dan luaran meliputi masa dan tempat.
Berikut adalah beberapa faktor telah menyebabkan pertumbuhan aliran pemikiran dikalangan
masyarakat Islam ialah seperti berikut:
a)
Berlakunya perselisihan pandangan
terhadap sesuatu perkara atau isu merupakan salah satu faktor munculnya
pemikiran Islam. Umpamanya golongan ulama yang mentakwilkan sesuatu ayat
al-Qur’an. Mereka membincangkan ayat yang sama, tetapi mentakwilkannya dengan
cara dan pemahaman masing-masing terutamanya apabila ianya berkaitan dengan
ayat-ayat mutasyabihat serta zat dan sifat Allah s.w.t.
b)
Wujudnya sifat dan fahaman
Asabiyyah (kaum Arab dan lain-lain). Merasa taksub akan kelebihan dan kehebatan
kaum sendiri atau istilah lain disebut ethnocentrism. Umpamanya wujud isme-isme
dan ideologi seperti nasionalisme, pan-Arabisme, Turkisme, sosialisme dan
sebagainya.
c)
Perselisihan tentang pemilihan
kepimpinan atau khalifah. Perpecahan turut berlaku di kalangan umat Islam dalam
pemilihan ketua atau pemimpin Islam. Kali pertama ia berlaku ialah di antara
Ali dan Muawiyah dan turut berulang pada zaman-zaman selepasnya. Malahan, pada
zaman ini, keadaan perpecahan umat Islam bertambah teruk apabila wujudnya
konsep negara bangsa. Kuasa-kuasa besar yang mempunyai kuasa veto seperti
United Kingdom, United States of America, Russia, Perancis menguasai dunia
dengan negara-negara kecil dan negara Islam terpaksa tunduk kepada negara yang
lebih maju termasuk dalam bidang ekonomi, perdagangan antarabangsa, isu-isu hak
asasi manusia terutama sekali di mana umat Islam adalah golongan minoriti di
dalam negara tersebut. Contoh yang paling jelas ialah nasib dan kedudukan kaum Rohingya
di Myanmar.
d)
Percampuran masyarakat Muslim
dengan ahli-ahli agama lain seperti Yahudi, Kristian, Majusi, Hindu dan
sebagainya. Di samping penyerapan dan kemasukan fahaman dan pemelukan mereka ke
dalam Islam. Proses asimilasi berlaku sehingga berlakunya penyerapan budaya
atau membandingkan pegangan asal mereka dengan Islam. Ini pastinya akan
melahirkan dan mengembangkan pemikiran Islam.
e)
Gerakan penterjemahan buku-buku
falsafah barat dan lainnya khususnya buku-buku dari Greek-Yunani ke bahasa
Arab. Memang ianya memberikan kesan positif ke arah perkembangan ilmu
pengetahuan dan tamadun tetapi dalam waktu yang sama melahirkan pemikiran baru
dalam Islam. Antara tokoh falsafah Islam ialah al-Khindi, al-Farabi, Ibn Sina
banyak mengambil pendapat-pendapat dari ahli falsafah Greek seperti Socrates
dan Aristotle.
f)
Terbukanya perbincangan dalam
banyak hal dan masalah yang tidak jelas. Pokok dan inti perbincangan atau
wacana yang diperbahaskan sendiri juga kabur dan tidak fokus. Jalan memahaminya
tidaklah lurus-jelas, kaedah-kaedahnya berbagai-bagai, setiap orang melihat
berdasarkan sudut pandang mereka. Ibarat beberapa orang buta cuba memberi
gambaran
g)
Pada zaman ini, antara faktor yang
menyuburkan lagi pemikiran Islam ialah berlakunya serangan pemikiran oleh dunia
Barat moden. Serangan pemikiran adalah teori berkenaan dengan perencanaan dan
gerakan pemikiran, pendidikan, wawasan, peradaban, sukan dan hiburan. Semua
elemen-elemen ini menyebabkan perubahan sosial terutamanya kepada akhlak umat
Islam.
Pada pendapat penulis, selain daripada faktor-faktor yang telah
disenaraikan oleh Jaffary Awang dan Kamarudin Salleh seperti (a) hingga (g),
terdapat juga faktor lain yang penulis fikirkan telah melahirkan tokoh
pemikiran Islam iaitu antara lain:
i.
Peperangan
Pada pendapat penulis, peperangan juga
boleh menyebabkan pemikiran umat Islam bercambah kerana kesan trauma akibat
penindasan, kekejaman dan pembunuhan. Umpamanya sikap umat Islam terhadap
Yahudi yang telah merampas tanah Palestin. Umat Islam semakin benci kepada
Yahudi dan hampir seluruh umat Islam tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah
negara. Serangan dan campur tangan Amerika Syarikat ke atas politik negara Iraq
juga mencetuskan rasa tidak senang hati umat Islam kerana alasan Amerika ketika
itu adalah untuk menegakkan demokrasi di Iraq dengan menjatuhkan Saddam
Hussein. Peristiwa pahit ini seharusnya membuka mata umat Islam dan mengubah
cara berfikir umat Islam agar tidak lagi berkiblatkan Barat di dalam semua
aspek kehidupan. Kesan daripada peperangan ini, menyebabkan masyarakat
berhijrah. Seperti yang kita maklum melalui media massa, terdapat ramai
masyarakat Islam di Syiria berhijrah ke negara-negara jiran seperti Turki,
German, Kanada malahan ada juga yang datang ke Malaysia untuk mencari
perlindungan dan keselamatan. Konflik yang berpanjangan juga telah melahirkan
tokoh-tokoh pemikir moden yang terdiri daripada ulama dan pemimpin politik
berani untuk bersuara dipentas dunia agar negara-negara kuasa besar tidak
memperlakukan sewenang-wenangnya ke atas negara yang kecil dan miskin. Antara
tokoh Islam yang berani bersuara ialah Tun Dr Mahathir bin Mohamad, Professor
Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syed Qutb, HAMKA, Yasser Arafat dan ramai lagi. Pembersihan
etnik Muslim Rohingya dan isu pelarian etnik itu tidak dipedulikan oleh
kerajaan Myanmar. Malah penerima nobel keamanan Aung San Suu Kyi tidak ambil
peduli akan nasib Muslim Rohingya. Kesan daripada itu, tekanan masyarakat Islam
yang terdiri daripada pemikir-pemikir Islam diperlukan untuk bersuara dalam isu
pembersihan etnik Rohingya.
ii.
Sains Teknologi
Sains dan
teknologi juga telah menyebabkan lahirnya pemikiran-pemikiran baru di kalangan
umat Islam. Islam telah jauh ketinggalan selepas jatuhnya kerajaan Islam
Uthmaniyyah di Turki. Akhirnya umat Islam hanya menjadi pengguna kepada
teknologi yang telah dibangunkan oleh masyarakat Barat, Jepun dan Korea.
Terdapatnya golongan modenis Islam di dalam bidang sains seperti Prof Dr Dato
Osman Bakar yang terlibat dalam bidang sains dan matematik. Islam itu tidak
menolak sains kerana sains adalah salah satu cabang ilmu yang sewajarnya
dipelajari oleh umat Islam supaya dapat bersaing dengan bangsa asing. Penulis
juga bersetuju dengan pendapat Professor Dr Dato Osman Bakar yang hampir semua
masyarakat Muslim dapat menerima sains teknologi dalam bidang komunikasi.
Tetapi mempunyai sikap dan pandangan yang berbeza terhadap sains perubatan
moden.
Beliau mengupas respons golongan Tradisionalis Islam tentang isu-isu yang
berkaitan dengan sains perubatan seperti perancang keluarga (contraception),
pengguguran bayi, pembedahan, layanan dari aspek rawatan yang sesuai bagi
manusia yang telah meninggal dunia dan juga perkara yang berkaitan dengan
definisi mati. Pada pendapat beliau, fuqaha kontemporari hari ini hanya
menggunakan semula apa yang telah fatwakan oleh ulama lampau di dalam mendepani
isu-isu perubatan moden. Baginya, golongan fuqaha tidak mampu untuk memberi
penyelesaian baru ke atas perubatan sains moden seperti kaedah-kaedah baru
secara logik akal bagi kebaikan ummah (Osman Bakar, 2008).
iii.
Sistem Pendidikan Dualisme
Sistem
pendidikan yang berbentuk dualisme juga adalah menjadi faktor mengapa
perkembangan pemikiran Islam bertambah subur dan berkembang. Menurut Kamus
Dewan Edisi Baru (cetakan ketiga, 2002), istilah dualisma membawa maksud ‘teori
yang berasaskan dua dasar yang berlainan’ atau ‘perihal yang mendua, sesuatu
yang berasaskan dua hal yang bertentangan.’ Takrif dualisme pendidikan menurut Abdul
Halim Ramli (1997), dalam rencana tulisannya, Memecah Dualisma Harmoniskan Ilmu
di dalam Majalah Tamadun terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, wujudnya dua sistem pendidikan yang berbeza
iaitu sistem pendidikan tradisional Islam dan sistem pendidikan moden. Sistem
pendidikan tradisional Islam lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu
keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala sistem
pendidikan moden hanya menitikberatkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan
ilmu-ilmu keagamaan. Kesan negatif daripada sistem pendidikan dualisme ini
telah melahirkan golongan ulama yang kurang pengetahuan dan kurang mahir
teknologi moden. Sedangkan tradisi dan displin ilmu di dalam Islam tidak
menolak sains.
Menjawab soalan sama ada kepelbagaian aliran pemikiran Islam ini baik atau
tidak terhadap kemajuan masyarakat, jawapan penulis adalah ia bergantung kepada
isu yang diperdebatkan dan sudah tentunya ilmu pengetahuan memainkan peranan
yang penting di dalam menyelesaikan isu-isu yang diperdebatkan. Debat di dalam
tradisi ilmu Islam ialah untuk mencari kebenaran demi kebaikan Ummah dan
bukannya untuk memperlihatkan siapa yang lebih handal hanya semata-mata untuk
menjatuhkan lawan.
Pada pandangan penulis, dengan kewujudan kepelbagaian aliran juga boleh
mendatangkan kebaikan. Ianya membolehkan kita melihat sesuatu perkara yang
berkaitan dengan isu yang diperdebatkan daripada persepktif yang berbeza.
Umpamanya pada abad 13 dan 14 hijrah muncul tokoh-tokoh pemikir Islam yang mahu
keluar dari jumud pemikiran dan yang sentiasa terikat dengan matan-matan feqah
semata-mata. Mereka ini seperti al-San‘ani, al-Shawkani, Sayyid Sabiq, Siddiq
Khan dan al-Bani. Penulis berpendapat bahawa di dunia Islam, lahir pelbagai
aliran pemikiran muncul berdasarkan faktor persekitaran, budaya dan bangsa
tersebut. Di benua India, nama-nama seperti Sir Ahmad Khan, Sabli al-Nu'mani,
Maududi, Muhamad Iqbal dan Ali Hassan al-Nadwi, Di Mesir, Jamaluddin
al-Afghani, Muhamad Abduh, Rashid Rida, Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad
al-Ghazali dan al-Qaradawi, di Afrika Utara lahirnya Abdul Hamid Badis, Malik
bin Nabi, Muhamad Tahir Asyhur dan di Turki, Badi'iuzzaman al-Nursi. Di rantau
ini, lahirnya Syeikh Tahir Jalaluddin, Agus Salim dan Syeikh al-Hadi dan
lain-lain. Penulis berpendapat bahawa pemikiran Islam pada abad ke 20 ini diwarnai
dengan istilah-istilah dan penyelesaian kepada masalah dalaman seperti
perbezaan aliran dan fahaman sesama umat Islam seperti ASWJ dan Wahabi, ASWJ
dan Syiah dan sebagainya malah juga mendepani pemikiran Barat yang meresap ke
dalam aspek budaya dan kehidupan umat Islam.
Maka, di
dalam konteks di atas, penulis bersetuju dengan tulisan Fazlur Rahman yang menegaskan
bahawa pembaharuan Islam mestilah dimulai dengan pendidikan. Menurutnya,
pembaharuan pendidikan adalah satu-satunya pendekatan penyelesaian jangka panjang atas masalah yang menimpa umat
Islam masa kini iaitu berupa pemikiran, kehidupan peribadi mahupun sosial yang
berpecah belah yang mengakibatkan kekacauan dalam segala usaha serta krisis
yang melumpuhkan kehidupan. Walaupun demikian beliau mengakui pendidikan
memerlukan jangka masa yang lama sekurang-kurangnya untuk dua generasi. Beliau mencadangkan
satu program dirangka untuk membentuk orientasi
politik Islam dan yang kedua, menciptakan iklim intelektualisme sebagai langkah
awal pengislaman seluruh segi kehidupan. Kedangkalan dan kekakuan dalam pendidikan
adalah penyebab terjadinya kelemahan intelektualisme Islam. Keadaan yang tidak
menguntungkan ini, terutama sikap ulama tradisi terhadap ilmu pengetahuan
sekular yang nampaknya ingin memadamkan semangat penelitian yang besar dan
keseluruhan pertumbuhan ilmu pengetahuan positif. Oleh itu, beliau mengkritik
golongan tradisional dan moden yang seringkali bercakaran. Beliau menawarkan
kepada umat Islam satu pendekatan yang terbaik untuk mengkaji ajaran Islam yang
disebut sebagai neomodernisme Islam (Fazlur Rahman, 1979).
RUJUKAN
Al-Qur’an dan Terjemahan
Abdul Rahman Haji Abudllah. 1991. Pemikiran Islam di Malaysia
(1900-1980-an): Aliran dan Perkembangannya. Tesis Doktor Falsafah, Universiti
Sains Malaysia
Abdullah Yusuf. 2015. Cabaran Tamadun Islan Dalam Era Pembaratan :
Satu Sorotan. Jurnal Usuluddin.
Baharuddin Yatim & Sulaiman Nordin. (1990). Islam, al-Qu’ran dan
Idelogi Masa Kini, Bangi: Universti Kebangsaan Malaysia
Fazlur Rahman. 1979. Islam.
USA: University of Chicago Press
Ibnu Manzur, Lisan al-‘Arab, Jilid 13, Beirut: Dar Sadir, T.Th, hlm
170-171
Ibrahim Abu Bakar. 2016. Tradisionalisme & Rasionalisme Dalam Ilmu
Kalam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Jaffary Awang & Kamaruddin Salleh. 2007. Pemikiran Islam dan
Isu-isu semasa. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Kamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka
Kamarudin Salleh. 2012. Transformasi Pemikiran Pembaharuan dan
Modenisme di Malaysia: Satu Penelitian Awal/Transformation of Renewal Thought
and Modernism in Malaysia: a Preliminary Study. International Journal of
Islamic Thought, 2, 23.
Majalah Tamadun. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka (Ogos
1997)
Muhammad Abdul Jabbar Beg. 1978. Konsep Tamadun Islam Mengikut Ulama
Islam dan Barat. Jurnal Islamiyyat Vol 2, (1978: 37-61).
Muhammad Abdul Jabbar Beg. (1983), The Muslim World League Journal,
edisi November-Desember, 1983, hlm
38-42.
Nasruddin Yunos, Aminudin Basir, Jamsari
Alias & Wan Zulkifli Wan Hasan. 2014. Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia
Osman Bakar. 2008. Tawhid and Science. Shah Alam: Arah
Pendidikan Sdn Bhd
Wan Mohd. Nor Wan Daud. 1990. Budaya Ilmu Sebagai Asas Pembangunan
Tamadun. Jurnal Pendidikan Islam 3, (1990, 51-67)
Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 2005. Kelebihan Adam - Berguru langsung
kepada Allah. Utusan Malaysia, 27 April 2005