السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
Kehendak
soalan di atas menuntut penulis untuk menjawab tentang kaitan proses
perkembangan tamadun Islam dengan perkembangan Islam sejak awal kedatangannya
hingga ke hari ini. Pada bahagian akhir artikel ini, penulis akan memberi
sedikit pandangan mengapa pemikiran Islam merupakan satu disiplin ilmu yang
penting pada masa kini. Berikut adalah pandangan penulis tentang persoalan di
atas.
Sebelum kita menghuraikan kaitan
proses perkembangan tamadun Islam dengan pemkiran Islam, mari kita telusuri
istilah tamadun itu sendiri. Menurut Muhammad Abdul Jabbar Beg (1978) bahawa penulis-penulis
Arab menggunakan berbagai-bagai nama untuk tamadun. Sejarawan Muslim pertama
yang menulis tentang tamadun ialah Ibnu Khaldun yang telah menggunakan
perkataan ‘umran’ bagi menyatakan konsep tamadun. Professor Franz Rosenthal
menterjemahkan istilah ‘umran’ itu sebagai perbandaran (urbanization) dan
tamadun (civilization). Apa yang diperkatakan ‘umran’ dalam kurun ke-14 ialah
merupakan tamadun dalam kurun ke-20. Ibnu Khaldun sebenarnya pengasas Pengajian
Tamadun di dunia. Penulisannya adalah didorong oleh suatu pencerapan sejarah
yang teristemewa. Apabila Ibnu Khaldun memperkatakan tentang ‘umran’, perkataan
civilization belum wujud dalam bahasa Inggeris. Hingga akhir tahun 1772 Masehi,
seorang pakar ilmu bahasa Inggeris Dr. Samuel Johnson (1709 – 1748M) enggan
memasukkan kalimat “Civilization” dalam kamusnya Dictionary of the English
Languange.Beliau menggunakan perkataan ‘civility’ dalam pengertian yang sama.
Sejak itu perkataan itu menjadi lumrah dalam semua bahasa moden dalam pengertiannya
suatu bentuk khusus atau tahap kebudayaan yang telah wujud dalam suatu zaman
tertentu. Penggunaan perkataan ‘civilization’ yang terkenal untuk pertama
kalinya terjelma dalam buku-buku bahasa Inggeris dalam kurun ke-19 Masehi.
Tamadun adalah suatu
perkara yang bersifat abstrak dan digunakan untuk menggambarkan kemajuan
sesuatu masyarakat. Dalam bahasa Arab, istilah seperti ‘umran, hadharah,
bunyan, thaqafah, madaniyyah dan tamadun adalah digunakan dalam pengertian
tamadun. Istilah terawal yang digunakan
merujuk kepada tamadun ialah ‘umran yang diperkenalkan oleh Ibn Khaldun ketika
membincangkan tentang sifat masyarakat dalam kalangan manusia. Perkataan umran
ini adalah terbitan dari perkataan ‘amara yang bererti kawasan tanah atau rumah
yang didiami orang, tinggal menetap, segolongan penduduk yang menetap dan
seumpamanya dalam keadaan yang berkembang subur lagi makmur daripada keadaan
yang kering tandus atau terbiar dan binasa, kawasan tanah yang ditanami dengan
baik, sebuah rumah yang terpelihara. Ringkasnya ‘umran’ membayangkan pengertian
kemakmuran (Nasruddin Yunos, 2014).
Kemudiannya,
terdapat dikalangan sarjana yang membezakan istilah tamadun dan peradaban. Maksud peradaban dari sudut bahasa menurut
Ibn Manzur ialah daripada akar kata ‘hadara’ yang bermakna sesuatu yang nampak.
Arnold Toynbee di dalam Muhammad Abdul
Jabbar Beg (1983) menjelaskan bahawa kekuatan spiritual
(batiniah) memungkinkan seseorang untuk memanifestasikannya dalam bentuk
lahiriah (outward manifestation) yang kemudian disebut sebagai peradaban .
Dalam konteks Islam, Sayyid Qutb menyatakan bahawa keimanan adalah sumber
kepada peradaban. Keimanan yang dimaksud bukan sekadar kepercayaan kepada
Tuhan, akan tetapi telah menjadi kombinasi antara prinsip kepercayaan kepada
Tuhan dan kemanusiaan. Oleh itu prinsip-prinsip peradaban Islam menurutnya
adalah ketakwaan kepada Tuhan, keyakinan kepada keEsaan Tuhan (tauhid), dan
ketuanan (supremacy) kemanusiaan di atas segala sesuatu yang bersifat material,
pengembangan nilai-nilai kemanusiaan, penjagaan dari keinginan bersifat
haiwani, penghormatan terhadap keluarga, dan sedar akan fungsinya sebagai
khalifah Allah di bumi berdasarkan petunjuk dan perintah-Nya . Pada pendapat
penulis, teori ini lebih sesuai untuk menggambarkan peradaban yang bermula dari
kekuatan spiritual atau agama dan terpamer kepada akhlak, peribadi, tingkah
laku dan cara hidup manusia bersosial dan berinteraksi di antasa satu sama lain
termasuklah dalam semua aspek antaranya ekonomi, politik, pentadbiran,
keselamatan dan sebagainya.
Di segi sejarah, usia pembinaan
tamadun Islam adalah sama dengan kelahiran agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w
menyampaikan risalah tauhid dan syariat Islam bermula ditengah-tengah masyarakat
jahiliyyah agar mereka dapat mengenali diri mereka, memperhambakan diri kepada Pencipta
dan seterusnya mempersiapkan diri untuk menjadi khalifah di muka bumi. Usaha
ini diteruskan selepas Hijrah ke Madinah pada tahun 622 Masehi dengan
tertubuhnya kerajaan Islam yang pertama di situ yang akhirnya menjadi tunjang
kepada perkembangan tamadun Islam pada tahap awal. Beribu tahun sebelum itu,
Allah s.w.t menciptakan Adam a.s, kemudiannya Hawa dan seterusnya lahirlah
zuriat yang tersebar di seluruh dunia. Manusia memiliki rupa bentuk fizikal
yang lengkap, sempurna, indah dan seimbang, lelaki dan perempuan dengan
perbezaan biologi dan psikologi (Abdullah Yusuf, 2015).
Abdullah Yusuf (2015) juga turut
menjelaskan bahawa manusia juga dilengkapkan dengan fikiran, rasa kasih sayang,
hormat menghormati dan lain-lain. Mereka juga mampu membiak dan melahirkan
bentuk dan rupa bangsa, umat, suku kaum, etnik dengan menggunakan pelbagai
bahasa dan dialek pertuturan, bentuk pakaian, cara hidup, warna kulit, bentuk rupa,
saiz badan cara berfikir dan bertindak serta lain-lain. Kesemua ini merupakan
elemen-elemen yang mempengaruhi proses kelahiran dan perkembangan tamadun
manusia.
Perkembangan
tamadun Islam adalah berkait rapat dengan ilmu. Peribadi dan bangsa berilmu
akan membina kekuatan bangsa, ekonomi dan negara yang berdaya cipta dan
mengatasi segala macam cabaran yang dihadapinya. Ilmu adalah teras sistem nilai
agama Islam dan menduduki tempat yang amat tinggi. Penekanan terhadap ilmu
dalam ajaran Islam jelas ternyata dalam sumber-sumber asas agama iaitu
al-Qur’an dan ajaran Nabi Muhamamad s.a.w (sunnah) dan semua tokoh-tokoh Islam
dari dulu hingga sekarang. Penekanan pada pembacaan sebagai alat penting dalam
usaha keilmuan dan merupakan perkara awal yang diwahyukan ke atas Nabi Muhammad
s.a.w yang ummi. Surah al-‘Alaq (96), ayat 1-5 yang diakui oleh semua
cendekiawan Islam sebagai wahyu yang pertama:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي
خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾
الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾
Maksudnya:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan
Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;
(4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)
Wan Mohd
Nor (1990) menjelaskan bahawa kedudukan istimewa manusia dibumi seperti yang
dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam ayat 31 surah al-Baqarah terletak kepada
kelebihannya dalam ilmu pengetahuan. Budaya ilmu Islam bermula di alam roh
lagi. Di alam roh, di mana roh Nabi Adam diajarkan oleh Allah s.w.t nama-nama
bagi segala sesuatu yang tidak diberikan kepada para malaikat dan syaitan.
وَعَلَّمَ
آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ
أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَـٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٣١
Maksudnya:
Dan Dia Telah Mengajarkan Nabi Adam, Akan Segala Nama
Benda-Benda Dan Gunanya, Kemudian Ditunjukkannya Kepada Malaikat Lalu Dia
Berfirman: ``Terangkanlah Kepada-Ku Nama Benda-Benda Ini Semuanya Jika Kamu golongan
Yang Benar.''
Ayat di atas menerangkan bahawa Allah s.w.t menunjukkan kehebatan Nabi
Adam a.s yang berguru secara terus
daripada Allah s.w.t. Inilah hikmah penciptaan Adam a.s. sebagai khalifah
merupakan rahmat kepada sekalian hamba. Ini kerana sebagai hamba kita tidak
mampu atau tidak mungkin menerima arahan-arahan atau larangan-larangan Allah
tanpa perantaraan malaikat. Justeru, terserlahlah rahmat dan kasih sayang-Nya
dengan menghantar sekalian rasul dari kalangan manusia (Zulkifli Mohamad
Al-Bakri, 2005).
Di dalam artikel tulisan Zulkifli Mohamad al-Bakri (2005) memetik
penjelasan Syeikh Muhammad Rasyid Ridha menyebut di dalam tafsirnya, Al-Manar:
``Telah berlaku sunatullah pada makhluk-Nya bahawa diajar segala hukum-hukum
untuk dilaksanakan ke atas mereka melalui lidah-lidah rasul-rasul yang dipilih
di kalangan mereka sebagai khalifah. Yang demikian itu kerana manusia yang
menzahirkan segala hukum Allah, sunah-sunah-Nya, iaitu syarak. Begitu juga
menzahirkan hikmah-Nya dan sunah ciptaan tabiat yang melayakkannya menjadi
khalifah. Allah memberi keistimewaan kepada manusia, lain daripada makhluk-Nya
berasaskan kepada kenyataan wahyu, penglihatan zahir dan ujian bahawa Allah
menciptakan alam dengan berbagai-bagai jenis tetapi dikhususkan setiap jenis
selain manusia, dengan sesuatu yang terhad dan terbatas yang tidak mampu
melampauinya. Adapun yang tidak kita ketahui seperti malaikat kecuali dengan
wahyu.
Jelas, bahawa sumber ilmu kepada manusia ialah wahyu daripada
Allah s.w.t diturunkan kepada manusia melalui para rasul-Nya yang dipilih
sebagai pembawa risalah kepada umat manusia. Proses perkembangan tamadun Islam
ialah bersumberkan al-Qur’an dan as-Sunnah yang telah menjadi tonggak kepada
kehidupan umat manusia khusunya umat Islam.
Berbeza
dengan tamadun-tamadun lain seperti tamadun Yunani, India, China dan Rom, Islam
mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu kerana ilmu pengetahuan adalah asas
kepada pemikiran. Tanggungjawab keilmuan terletak kepada semua lelaki dan
wanita yang waras akalnya. Ini jelas di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w
yang terkenal iaitu:
عَنْ أَنَسِ بْنِ
مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ
الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas
tiap-tiap seorang Islam."
Di dalam
menghuraikan hadis di atas, Burhanuddidn a-Zarnuji (awal abad ke 13M) di dalam
Wan Mohd Nor (1990), menulis bahawa tidaklah menjadi kewajiban ke atas setiap
orang Islam, lelaki atau perempuan untuk mempelajari semua perkara. Janji
ganjaran di sisi Allah s.w.t di akhirat merupakan insentif terpenting bagi
manusia Islam untuk mencari dan menyebar ilmu telah mewujudkan satu budaya ilmu
yang universal. Umumnya, mereka bersikap terbuka walaupun kritis dengan
khazanah keilmuan dari tamadun-tamadun lain dan cuba mensebatikan dengan
nilai-nilai dan tuntutan Islam. Insentif sedemikian jugalah membuat pemimpin
dan pentadbir Islam mejadi pelopor ilmu pengetahuan dan semua lapisan rakyat
jelata meletakkan idealisme yang tinggi kepada ilmu pengetahuan walaupun tidak
semua yang melibatkan diri secara aktif.
Di dalam
konteks di atas, boleh penulis rumuskan bahawa ilmu telah menjadi agenda utama
dalam sejarah manusia sejak pemilihan Nabi Adam a.s lagi. Peristiwa pengiktirafan
Nabi Adam a.s sebagai khalifah di muka bumi adalah bersandarkan ilmu
pengetahuan yang ada padanya. Ini jelas Allah s.w.t meletakkan kekuatan akal
fikiran dan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan yang mampu mengatasi
kekuatan-kekuatan lain yang ada pada manusia. Kesinambungan budaya ilmu
berterusan sampai kepada rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Al-Qu’ran merupakan mukjizat kepada Nabi
Muhammad s.a.w yang kemukjizatannya berkekalan sepanjang zaman. Ia merupakan
daya penggerak kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu urusan dan menjadi
sumber dan pencetus kebanyakan bidang ilmu yang lain. Penulis bersetuju dengan Baharuddin
Yatim dan Sulaiman Nordin (1990) yang mewajarkan pendapat bahawa al-Qu’ran
sebagai sumber inspirasi dalam membina tamadun Islam kerana pendorong dan
penggerak utama umat Islam ialah al-Qu’ran. Pelopor-pelopor Ilmu Ulum al-Qu’ran
ialah:
i.
i.
Khalifah Al-Rasyidin yang empat, Ibnu Abbas,
Ibnu Mas’ud, Zaid bin Tabit,Udai bin Kaab, Abu Musa al-Asy’ari dan Abdullah bin
Zubir
ii. ii) Di kalangan tabiin ialah Mujahid, Ata’ bin
Yasar, Ikrimah, Qatadah, Hassan Basri, Said bin Jubir, Zaid bin Aslam dan Malik
bin Anasii
iii. iii) Kemudian muncul Ibnu Jarir al-Tabari, dengan
Tafsir al-Tabari yang merupakan suatu tafsir yang lengkap.
Manakala,
al-Sunnah dan al-Hadis merupakan sumber ilmu yang ke-dua selepas al-Qu’ran
dalam tamadun Islam. Dari segi bahasa al-Sunnah ialah jalan. Manakala dari segi
istilah ialah jalan atau cara hidup Nabi Muhammad s.a.w yang berkaitan dengan
perbuatan (Fi’il), pengakuan (Taqrir), perkataan (Qaul) serta sirah hidupnya
samada sebelum atau selepas menjadi rasul.
Sekarang, kita bincangkan pula fasa
kedua di dalam persoalan di atas iaitu perkembangan pemikiran Islam. Di dalam
penulisan fasa ini, menulis cuba mengaitkan proses ketamadunan dengan
perkembangan pemikiran Islam sehingga ke hari ini. Menurut Jaffary Awang dan
Kamaruddin Salleh (2007), perkembangan pemikiran Islam dibahagikan kepada tiga
zaman iaitu:
i.
Zaman
klasik (650-1250M),
Zaman
ini merupakan era pembangunan dan kemajuan yang termasuk di dalamnya peringkat
penyebaran Islam dan pengintegrasian hingga membawa kepada kegemilangan. Pada
zaman inilah berlakunya pembukaan wilayah-wilayah Islamiyyah ke Afrika Utara,
Andalus, Iran dan India. Dari aspek pemerintahan pula, pusat pentadbiran
bermula di Madinah, ke Damsyik dan Baghdad. Pada zaman ini, perkembangan ilmu
pengetahuan berkembang sama ilmu-ilmu agama dan bukan agama. Lahirlah para
ilmuan Islam yang tersohor seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafei dan Ibn
Hanbal dalam bidang fiqh. Imam Ash’ari, Maturudi, al-Bazdawi, al-Nazzam,
al-Jubaai dalam bidang ilmu Kalam-teologi. Manakala di dalam bidang tasawuf,
ianya dipelopori oleh Dhu nun al-Misri, al-Bistami, al-Hallaj, al-Makki dan
Ibrahim Adham. Di zaman ini juga telah melahirkan tokoh pemikir Islam dalam
bidang sains dan teknologi iaitu terdiri daripada Abn Haytham, Ibn Sina, Ibn
Hayyan, al-Khawarizmi, al-Mas’udi dan al-Razi.
Secara keseluruhannya, tokoh-tokoh pemikir
Islam pada era ini banyak memberi sumbangan bukan sahaja terhadap ilmu
pengetahuan dengan penemuan-penemuan baru, menyelesaikan masalah ummah dan
malah juga telah memberi impak yang sangat tinggi terhadap kemajuan dan tamadun
Islam.
ii.
Zaman
pertengahan (1250-1800M)
Zaman
pertengahan sekitar tahun 1250-1800 merujuk kepada zaman perpecahan dan
perbalahan. Tahun 1250 juga menyaksikan bahawa kota Baghdad jatuh ke tangan
Hulagu Khan. Kerajaan Bani Abassiyah telah jatuh dan kekuasan politik negara
Islam juga turut hancur. Pada era ini juga menurut, wujudnya perpecahan kerana
faktor politik di antara puak Sunni dan Syiah. Sifat kebangsaan di antara Arab
dan Parsi pada zaman ini sangat ketara.
Jaffary Awang dan Kamaruddin Salleh (2007)
menjelaskan lagi bahawa wilayah Islam terbahagi kepada dua kelompok yang besar
iaitu Arab meliputi Semenanjung Tanah Arab, Iraq, Syiria, Palestin, Mesir dan
Afrika Utara. Manakala Parsi merangkumi Balkan, Asia Kecil, Iran dan Asia
Tengah. Pada era ini, kebudayaan Parsi lebih menonjol berbanding kebudayaan
Arab. Sikap jumud dan taklid dalam masyarakat dan membawa suburnya pendirian
bahawa ijtihad sudah tertutup. Pada era ini juga muncul pemikiran tarekat
tasawuf yang kian berkembang subur sehingga membawa unsure-unsur negatif kepada
umat Islam. Ilmu pengetahuan dan kajian terhadap alam fizikal kurang diberi
perhatian. Kedudukan umat Islam di Sepanyol menjadi terlalu daif, munculnya
kerajaan Uthmaniyyah di Turki serta kerajaan-kerajaan Islam yang kecil seperti
Safavid di Parsi, dan kerajaan Islam Monghul di India. Kerajaan ini saling
berperang dan setiap satu kerajaan Islam ini mengalami proses kejatuhan. Sementara itu di dunia Barat, berlakunya
proses pencerahan dan semakin kuat selepas dapat melepaskan diri daripada cengkaman
gereja dan penindasan golongan feudal.
iii.
Zaman
moden (1800 hingga sekarang).
Sejarah
mencatatkan bahawa sejak tahun 1800 hingga sekarang menunjukkan adanya semangat
dan aspirasi kebangkitan semula Islam. Kejatuhan kerajaan dan negara-negara
Islam menyedarkan umat Islam dan dunia Islam akan kelemahan dan kekurangan diri
mereka. Pada era ini lahirlah tokoh-tokoh seperti Muhamamad Iqbal, Jamal al-Din
al-Afghani, Ahmad Khan dan sebagainya untuk memperbaharui Islam dan umatnya
berdasarkan kepada sebab-sebab dan isu pada zaman tersebut.
Pada
pandangan penulis proses perkembangan tamadun Islam adalah hasil daripada
pemikiran umat Islam yang berpandukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak
boleh lagi kita sangkal bahawasanya al-Qur’an, al-Hadith, merupakan
sumber-sumber hukum utama yang terus hidup subur dan menjadi perbendaharaan
yang besar yang membuka luas pintu-pintu bidang ilmu fiqh Islam, ia menambah keimanan,
perbendaharaan, kekuatan dalam hukum-hukum Islam. Pengajian Pemikiran Semasa dan
Pengajian Tamadun adalah dua bidang ilmu yang saling berkait. Pada pendapat
penulis, pengajian ilmu tamadun ada kaitannya dengan sejarah tamadun. Tamadun
lebih memfokuskan kepada teori, konsep asas dalam tamadun, sifat-sifat dan
ciri-ciri secara abstrak dan fizikal sesuatu tamadun. Sejarah tamadun pula
lebih menumpukan kepada pengalaman yang dilalui oleh sesuatu tamadun sama ada
dari segi pencapaian, kemajuan, sumbangannya dan faktor-faktor kemerosotan yang
menjadi punca kejatuhan kepada sesuatu tamadun tersebut. Oleh itu, penulis
merumuskan bahawa bahawa peradaban dan ketamadunan yang mulia dengan keimanan
yang mantap bersumberkan kepada al-Qur’an dan as-Sunnah akan melahirkan insan
yang bertamadun dan ketamadunan yang tinggi.
Oleh
sebab itu, Pengajian Pemikiran Semasa adalah penting kepada umat Islam antaranya
ialah:
a)
Agar kita sedar dan memahami isu-isu yang
menjadi perdebatan di antara pemikiran-pemikiran yang berbeza dikalangan umat
Islam. Dengan kemunculan zaman moden dengan cabaran-cabaran kolonial dan
pemikiran Barat dengan segala unsur dan kesan-kesan yang dibawanya, maka
Pengajian Pemikiran Islam ini dilihat dapat menjadi wadah kepada umat Islam
dalam mempertingkat daya fikir umat Islam khususnya dari Jabatan Usuluddin
& Falsafah UKM.
b)
Membolehkan umat Islam mempertahankan
akidah-akidah yang tidak benar dan menyeleweng serta menjadi alat untuk
mempertahankan agama Islam yang murni
c)
Membina
satu tahap pemikiran yang memantapkan ilmu dan pemikiran umat Islam
d)
Dapat memahami budaya dan tamadun asing.
Umpamanya tamadun Yunani tidak sama dengan tamadun Cina, India dan Islam serta
mengenali persamaan dan perbezaan tamadun yang merangsang pemikiran
bangsa-bangsa lain.
Al-Qur’an dan Terjemahan
Abdul Rahman Haji Abudllah. 1991. Pemikiran Islam di Malaysia
(1900-1980-an): Aliran dan Perkembangannya. Tesis Doktor Falsafah, Universiti
Sains Malaysia
Abdullah Yusuf. 2015. Cabaran Tamadun Islan Dalam Era Pembaratan :
Satu Sorotan. Jurnal Usuluddin.
Baharuddin Yatim & Sulaiman Nordin. (1990). Islam, al-Qu’ran dan
Idelogi Masa Kini, Bangi: Universti Kebangsaan Malaysia
Fazlur Rahman. 1979. Islam.
USA: University of Chicago Press
Ibnu Manzur, Lisan al-‘Arab, Jilid 13, Beirut: Dar Sadir, T.Th, hlm
170-171
Ibrahim Abu Bakar. 2016. Tradisionalisme & Rasionalisme Dalam Ilmu
Kalam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Jaffary Awang & Kamaruddin Salleh. 2007. Pemikiran Islam dan
Isu-isu semasa. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Kamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka
Kamarudin Salleh. 2012. Transformasi Pemikiran Pembaharuan dan
Modenisme di Malaysia: Satu Penelitian Awal/Transformation of Renewal Thought
and Modernism in Malaysia: a Preliminary Study. International Journal of
Islamic Thought, 2, 23.
Majalah Tamadun. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka (Ogos
1997)
Muhammad Abdul Jabbar Beg. 1978. Konsep Tamadun Islam Mengikut Ulama
Islam dan Barat. Jurnal Islamiyyat Vol 2, (1978: 37-61).
Muhammad Abdul Jabbar Beg. (1983), The Muslim World League Journal,
edisi November-Desember, 1983, hlm
38-42.
Nasruddin Yunos, Aminudin Basir, Jamsari
Alias & Wan Zulkifli Wan Hasan. 2014. Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia
Osman Bakar. 2008. Tawhid and Science. Shah Alam: Arah
Pendidikan Sdn Bhd
Wan Mohd. Nor Wan Daud. 1990. Budaya Ilmu Sebagai Asas Pembangunan
Tamadun. Jurnal Pendidikan Islam 3, (1990, 51-67)
Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 2005. Kelebihan Adam - Berguru langsung
kepada Allah. Utusan Malaysia, 27 April 2005