Pages

Friday, 11 March 2016

Falsafah Dan Sumbangan Sains Dan Teknologi Islam Kepada Peradaban Manusia

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
1.1       Pengenalan
Dalam era milinea kini,  dunia seolah-olah tiada sempadan. Maklumat boleh dicapai dengan hanya kita klik dihujung jari. Kemajuan sains dan teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan yang mana inovasi dan pencapaian dalam bidang sains teknologi telah menjadikan kehidupan kita lebih mudah kerana kita dapat menyelesaikan pekerjaan yang rumit dengan cepat. Kemajuan dalam penciptaan yang canggih melalui penghasilan manusia menerusi ilmu sains dan teknologi bukan sahaja dapat dinikmati oleh masyarakat malahan juga negara. Pelbagai bentuk alat dan sistem pertahanan daripada senjata sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Sesebuah negara seperti negara kita yang tercinta Malaysia dapat mempertahankan negaranya daripada diceroboh dan melindungi rakyat daripada diancaman luar. 

Sains dan teknologi telah berkembang seiring dengan corak pembangunan tamadun manusia di alam semesta ini. Sejarah tamadun manusia memerlukan usaha manifestasi nilai dalam skop perspektif mereka sendiri. Kenyataan di atas boleh dibuktikan dengan sandaran yang kukuh dengan maksud sains dan teknologi itu sendiri, ia adalah nilai-nilai dan termasuklah pandangan budaya yang dibentuk oleh manusia itu sendiri. Sains dan teknologi telah berkembang dengan cara yang teratur berdasarkan objektif kajian saintifik. Inovasi dan penciptaan sains dan teknologi dipengaruhi oleh epistemologi dan metodologi (Alias Azhar, 2013).[1]

Pendidikan sains di Malaysia bukanlah ilmu baru dalam masyarakat kita. Menurut Thamby Suhaban (1999; 9), pembelajaran sains dipengaruhi oleh banyak faktor, antaranya kurikulum yang mantap, kesediaan pelajar untuk belajar dan kesediaan guru untuk membimbing pelajar. Kesediaan pelajar untuk belajar pula bergantung pada keupayaan pelajar itu menyesuaikan konsep awal sains yang dimilikinya dengan konsep sains yang diajar di sekolah serta dapat menggunakan teknik-teknik belajar yang sesuai bagi memperolehi keputusan yang cemerlang. Guru-guru perlu memahami tanggapan awal pelajar tentang sesuatu konsep sains yang bakal diajar. Di samping itu, guru-guru juga harus memahami konsep sains dengan jelas selaras dengan konsep sains yang diterima oleh saintis sebelum menyampaikan ilmu tersebut kepada pelajar. Keadaan ini perlu bagi mengelakkan percanggahan antara apa yang diajar dengan konsep yang diterima oleh pelajar. [2]

Dari konteks di atas, penulisan ini dibuat supaya kita dapat memahami apakah itu falsafah sains dan sumbangannya terhadap peradaban manusia. Kami juga cuba menghuraikan kaitan di antara agama dan ilmu, ilmu dan iman, sumber sains dalam Islam dan yang paling menarik di dalam proses penyusunan penulisan ini ialah kaitan di antara sains Yunani kepada sains Islam serta pengaruhnya dalam pemikiran budaya sains Islam. Kami tidak menganggap penulisan ini lengkap dan kami bersedia untuk menerima komentar yang membina supaya penambahbaikan dapat dilakukan untuk kepentingan bersama.


1.1.1    Ilmu Sains dan Iman

Bahagian ini akan menerangkan hubungkait di antara ilmu dan iman secara khususnya bagaimana sikap kita di dalam mengagendakan ilmu sains terhadap ketauhidan kepada Allah s.w.t. Antara pandangan sarjana dalam bidang ini ialah seperti berikut:  

Abdul Razak Noufal (2005) mengatakan bahawa zaman yang kita hidup padanya hari ini teristimewa dengan kemajuan ilmiah dan sains, kerana banyak penemuan padanya rahsia-rahsia ilmu dan makrifah, dan ia lebih layak dinamakan dengan zaman keimanan. Jika keimanan lampau disandarkan kepada keimanan terhadap alam ghaib, maka sains pada zaman moden telah membuktikan dengan apa yang tidak dapat dibantah dan diragukan tentang kewujudan Allah.[3]

Osman Bakar (2008) menerangkan bahawa pentingnya sains Islam sama ada dari sudut epistemologi dan institusinya adalah didasari dengan ajaran-ajaran agama Islam yang intinya adalah prinsip tauhid dalam ruang lingkup pemahaman manusia atas alam dan segenap alam semesta. Sifat dan ciri-ciri Islamik menjadi sumber kepada pengetahuan, kandungan dan amalan yang diyakini sebagai sumber wahyu daripada Allah. [4]

Wan Mohd Nor Wan Daud, menekankan bahawa ilmu sains dan peranannya adalah asas kekuatan kepada sesuatu bangsa dan tamadun. Jika iman dan agama menjadi dasar kepada ilmu, ianya bukan sahaja akan mengukuhkan peribadi seseorang, malah akan memberi kesejahteraan kepada manusia dan alam. [5]
 

1.1.2    Definisi Sains dan Teknologi

Perkataan sains (science) berasal daripada bahasa Latin scientica yang membawa maksud pengetahuan atau ilmu (Esa Khalid, 2001).[6] Sinonim dengan perkataan scientica ialah perkataan epistamai, episteme atau ephistemi daripada kata dasar yang membawa maksud memahami atau pengetahuan (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011)[7].

Hairudin Harun (2007) menerangkan bahawa secara umumnya sains boleh ditafsirkan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan dan fahaman atau huraian sistematis mengenai fonemena tabii. Huraain sistematis itu merujuk kepada penglibatan penggunaan kaedah kuantitatif dan intelek.[8]

Manakala Osman Bakar (2008) mengatakan bahawa sains sebagai sebuah cabang pengetahuan dan sebagai aktiviti intelektual secara berstruktur serta hanya menerima fakta yang secara sistematis.[9]

Identiti sains dan teknologi Islam dapat dijelaskan dalam analisis epistemologinya yang secara langsung dapat memberikan gambaran dan matlamat serta kedudukan sains dan teknologi dalam Islam. Begitu juga dengan analisis kritis terhadap metodologi yang mempengaruhi cara-cara aplikasi dan adaptasi sains dan teknologi Islam mampu menerangkan dan menjelaskan imejnya tersendiri (Alias bin Azhar).[10]

Manakala Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2003) pula berpendapat dengan merujuk kepada hasil kajian beliau menjelaskan bahawa ilmu sains dan teknologi melibatkan pengetahuan bersistem yang diperolehi daripada cerapan, kajian dan eksperimen.[11]

Pengertian sains yang akan diguna pakai dalam melihat pencapaian sains masyarakat Melayu adalah pengertian sains yang luas berasaskan kepada pengertian sains sebagai ilmu pengetahuan atau singkatnya ilmu. Perkataan sains itu berasal daripada science dalam bahasa Inggeris atau dalam bahasa Latin scientia, yang bermaksud pengetahuan. Pengertian pengetahuan di sini adalah pengetahuan yang khusus atau mempunyai ciri-ciri, tanda-tanda dan syarat-syarat yang khas. Sains lebih dikenal sebagai perbendaharaan ilmu (Wan Fuad Wan Hassan, 1996).[12]

Dalam aspek yang lain pula, teknologi merupakan istilah yang sering disilap tafsirkan. Istilah tersebut kerap digunakan disamping istilah sains dan sering dianggap sebagai sinonim dengan sains. Anggapan ini sebenarnya kurang tepat. Makna sebenar teknologi mungkin dapat difahami dengan merujuk kepada etimologinya. Istilah teknologi berasal daripada dua perkataan Yunani iaitu techne bererti seni atau kerja tangan dan logos bererti wacana atau kata-kata sistematis. Oleh itu teknologi merupakan mewakili aspek pratikal berbanding teoritikal. (Hairudin Harun, 2007). [13]

Pengertian yang lebih tepat ialah teknologi adalah cernaan kepada sains atau melalui perkembangan sains itu sendiri. Teknologi lebih bersifat kepada sains gunaan secara teknik dan praktis yang membolehkan manusia menggunakannya dengan membuat perubahan kepada dan daripada alam tabii.


1.1.3    Sejarah Tamadun Islam dan Falsafah Sains

Fakta sejarah perkembangan sains dan teknologi telah membuktikan bahwa majoriti di kalangan ahli sejarah dan sains Barat serta sarjana Islam yang apologetik yakin dan percaya bahawa ahli sains masa kini bergantung kepada sumbangan ahli sains terdahulu. Ahli sains terdahulu terdiri daripada warga sains Greek dan Islam apabila mereka membina ilmu pengetahuan bagi kemajuan ketamadunan. Pengenalan kepada sejarah sains oleh Sejarawan Barat telah cuba menyampaikan serba sedikit tentang kualiti dan kuantiti sumbangan Islam dalam bidang ilmu sains (Chejne, A., 1974).[14]

Selain itu, penterjemahan buku-buku Arab ke bahasa Latin dan Roman daripada semua bentuk dan cabang pengajian sains giat dijalankan bagi pemantapan ilmu sains dan teknologi Barat.[15] Secara khususnya, Newton telah menjalankan kajiannya berdasarkan hasil kerja Al-Haitham, Harvey pula menciplak ciptaan Ibn Nafis dan Kapler mengkaji penyelidikan al-Battani, Al-Biruni serta ahli Astronomi Islam yang lain. Namun, perlu difahami bahawa saintis Islam yang cemerlang tersebut telah melakukan gerak kerja dalam kerangka kefahaman dan amalan yang tersendiri (Ziauddin Sardar, 1991).[16]

Epistemologi dan pedagogi mereka adalah berbeza dengan pengajian sains tajaan Barat, walau pun beberapa hasil kajian dan ciptaan mereka menjadi asas peningkatan dan pemodenan sains Barat.[17]

Kebanyakan daripada sejarawan sains Barat berpendapat bahawa sains sebagai suatu ilmu yang bersistematik dan rasional bermula daripada tamadun Yunani. Hujah historiografi Islam dan bukti empirik menunjukkan bahawa sains semestinya mempunyai titik  permulaan yang lebih awal. Peralatan yang ditinggalkan oleh tamadun awal memperlihatkan kebijaksanaan tamadun tersebut menggunakan sumber alam, bahkan juga kefahaman mereka terhadap alam tabi’i. Perkembangan sains ini ada kaitan dengan tamadun awal manusia (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[18]


1.1.4    Ciri-ciri Tamadun Islam
Esa Khalid (2001) di dalam bukunya Konsep tamadun Islam: sains dan teknologi, menggariskan beberapa cirri-ciri tamadun Islam iaitu[19]:

  1. Negara atau politik Islam yang maju
  2. Bandaraya Islam yang maju
  3. Susun lapis sosial masyarakat yang teratur rapi
  4. Ilmu pengetahuan yang tinggi
  5. Bangunan-bangunan yang tersergam indah dan hebat
  6. Kesenian yang halus
  7. Ekonomi yang mantap

Menurutnya lagi, kesemua yang disebut di atas berpaksikan kepada ciri-ciri Rabbaniyyah (ketuhanan), Insaniyyah (kemanusian), Dunyawiyyah (keduniaan) dan Syumulliyah (keseluruhan)

Untuk tujuan penulisan kertas kerja ini, kami akan memfokuskan kepada peranan dan sumbangan kerajaan Islam di Andalusia sebagai tanda aras kepada pencapaian umat Islam terhadap sains dan teknologi sehingga mampu menjadikannya sebagai salah satu tamadun yang agung di dunia khususnya dunia Islam.





2.1       Sains dan Teknologi Dalam Islam

Perbincangan terhadap sains dan teknologi Islam ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti peranan dan sumbangannya kepada ketamadunan manusia. Setiap tamadun mempunyai nilai sejarah dan kemajuan yang dicapai. Sebenarnya Islam pernah menikmati zaman keagungan Islam Yang mana ianya adalah berlandaskan atas dua alasan seperti berikut:

a.   Untuk memahami hakikat bahawa Islam bergerak seiring dengan perkembangan sains dan teknologi hinggalah ke hari ini. Malah orang Islam bukan hanya sekadar berbangga dengan pencapaian terdahulu tetapi perlu berusaha mengembalikan kegemilangan tersebut. Harus difahami dengan jelas bahawa dunia Barat yang saintifik hari ini sebenar sama keadaannya dengan dunia Timur yang saintifik pada masa dahulu. [20]

b.  Objektif kedua adalah sebagai kaedah untuk membantu kita menggariskan misi dan visi seterusnya membentuk imej dan identiti saintifik Islam.[21]

Jelas di sini, bahawa di sebalik ketamadunan manusia itu wujud satu dorongan dan ransangan positif terhadap perkembangan sains. Sikap manusia terhadap alam semula jadi dan usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah serta memenuhi keperluan-keperluan tertentu merupakan faktor pemangkin terhadap perkembangan pengajian sains dan teknologi itu sendiri (Mohamad Abu Bakar, 1991).[22] Pengkajian terhadap sejarah perkembangan pengajian sains dan teknologi perlu mengambil kira sumbangan dan peranan sains dan teknologi terhadap kehidupan manusia.

Kajian sejarah sains dan teknologi di zaman tamadun awal sehingga zaman moden menunjukkan bahawa setiap tamadun dunia telah memberikan sumbangan terhadap perkembangan sains. Carta sejarah perkembangan sains dan teknologi yang dikemukakan oleh Poh Swee Hiang menunjukkan dengan jelas aliran perkembangan sains dan teknologi dalam sejarah ketamadunan manusia.[23] Bermula sejak tahun 3500 sebelum masihi dikenali zaman tamadun awal wujud dalam sistem kerajaan iaitu Babylon dan Mesir Purba. Pada tahun 1000 sebelum masihi wujud sains dan teknologi dalam tamadun Yunani, India dan Cina yang diklasifikasikan sebagai tamadun klasik. Zaman tamadun moden pula terdiri daripada tiga zaman iaitu Islam, Eropah Renaisans dan Eropah Moden pada tahun 500 masihi.

Kronologi sejarah perkembangan sains dan teknologi dalam tamadun manusia turut direkodkan oleh George Sarton dalam karya agungnya History Of Science sebanyak lima jilid. Beliau telah membahagikan sejarah perkembangan ini kepada empat zaman utama secara umumnya. Peringkat-peringkat perkembangan tersebut antaranya ialah[24]:

        i.            Tahun 450 SM-500 M dikatakan sebagai zaman Plato (Tamadun Yunani)

      ii.            Tahun 600 M-700 M, disifatkan sebagai keunggulan tamadun Cina.

    iii.            Tahun750 M-1100 M merupakan zaman kegemilangan sains dan teknologi Muslim.

    iv.            Selepas tahun 1100M pula dianggap zaman kecemerlangan Sains dan teknologi Barat.



2.1.2    Metodologi Sains Dalam Islam

Osman Bakar (2008) menegaskan bahawa metodologi adalah merujuk kepada cara-cara atau metode yang dengannya manusia dapat memperolehi pengetahuan tentang realiti sama ada secara sebahagiannya atapun keseluruhan aspeknya. [25]

Ilmu adalah teras sistem nilai agama Islam dan menduduki tempat yang amat tinggi. Penekanan terhadap ilmu dalam ajaran Islam jelas ternyata dalam sumber-sumber asas agama iaitu al-Qur’an dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w (sunnah), dan semua tokoh-tokoh Islam dari dahulu hingga sekarang (Wan Mohd Nor Wan Daud, t.th). [26]

Penekanan pada pembacaan sebagai alat penting dalam usaha keilmuan sebagai sumber tertinggi ilmu pengetahuan manusia merupakan perkara awal sebagaimana ternukil di dalam al-Qur’an iaitu wahyu pertama ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang ummi[27]:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤)عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)


Tujuan kemajuan teknologi dan kejuruteraan di kalangan sarjana jurutera Islam bukanlah semata-mata untuk faedah akademik atau mengeksploitasi sumber-sumber kekayaan bumi untuk kemudahan dan kesenangan manusia, tetapi adalah bagi kepentingan ibadat kepada Allah s.w.t (Dr. Baharuddin Ali, 1985).[28]


Maka, dapatlah dirumuskan disini bahawa metodologi sains dalam Islam adalah bersendikan kepada iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Ertinya kemajuan yang dicapai melalui inovasi sains dan teknologi bukan sahaja atas kepentingan material semata-mata, tetapi harus mendatangkan manfaat kepada manusia dan alam sekitar. Itulah yang menjadi teras kepada metode sains dalam Islam sehingga mewujudkan peradaban dan tamadun manusia yang secara holistik.


2.1.3    Klasifikasi Ilmu Sains

Sebelum diteruskan kepada perbincangan berkenaan dengan tujuan utama penulisan ini iaitu menerangkan tentang peranan falsafah Islam dan sumbangannya kepada peradaban manusia, mari kita telusuri beberapa klasifikasi ilmu sains sebagaimana yang telah ditulis oleh Hairudin Harun (2007) sebagaimana seperti dibawah.[29]


A.    Falsafah Tabii
Falsafah tabii ialah konsepsi manusia terhadap alam tabii. Konsepsi tersebut termasuk hubungan manusia dengan alam dan peranan alam tabii dalam skema kejadian dan kewujudan. Ia juga meliputi penjelasan terhadap fenomena alam tabii dengan merujuk kepada tabiat atau kuasa tabii. Falsafah tabii merangkumi persoalan yang boleh dikaitkan dengan metafizik dan teologi tabii, terutamanya apabila perbincangan tertumpu kepada peranan alam tabii dan hubungan alam tabii dengan Khaliq.

Biasanya sebarang huraian falsafah tabii mengenai fenomena atau perjalanan alam tabii hanya dilakukan dalam bentuk kualitatif. Dari satu segi, falsafah tabii boleh disamakan dengan falsafah sains semasa khususnya apabila perbincangan berkisar kepada metodologi atau kaedah kajian alam tabii. Skop penelitian falsafah tabii meliputi juga persoalan asal usul, taksonomi[30] dan kedudukan ilmu iaitu persoalan yang berkaitan dengan bidang epistemologi. Oleh sebab itulah dalam konteks klasifikasi ilmu moden, falsafah tabii boleh disamakan dengan falsafah sains dan kosmologi teoritis. 


B.           Sains[31]
Sains ialah ilmu yang dihasilkan melalui cerapan dan fahaman atau huraian sistematis mengenai fenomena tabii. Huraiannya melibatkan penggunaan kaedah kuantitatif dan intelek. Ini termasuklah kaedah logik dan matematik serta segala peralatan yang diperlukan. Biasa sains daripada falsafah tabii dari segi penekanan bidang sains kepada huraian kuantitatif dan penggunaan peralatan cerapan. Dalam konteks moden sekarang sains adalah  ilmu yang didapati melalui kaedah yang berasaskan kaedah imperikal dan kuantitatif, dan intipati kepada kaedah ini ialah pemerhatian (observation) dikaitkan dengan ilmu fizik, biologi dan metamatik gunaan. Dalam konteks moden hari ini, secara ringkasnya sains boleh dibahagikan kepada 3 kategori umum iaitu:

a.      Sains propaedeutik
Sains propaedeutik adalah terdiri daripada 9 bidang iaitu membaca, menulis, ilmu perdagangan, timbangan, pertanian, biografi, politik dan sejarah.

b.      Sains syariah dan agama
Sains syariah dan agama adalah seperti ilmu agama yang fahami kini. Ianya terdiri daipada 6 seperti lmu tajwid, hadis, syariah, tafsir dan seumpamanya.

c.       Sains falsafah
Sains falsafah pula terbahagi kepada 4 bahagian utama yang merupakan cabang pengkhususan ilmu falsafah iaitu:
  1. Matematik propaedeutik
  2. Logik
  3. Sains tabii
  4. Metafizik tabii (teologi tabii)

Keempat-empat bidang tersebut dipecahkan lagi kepada beberapa cadang ilmu yang seperti ialah aritmetik, geometri, astronomi dan muzik.
Dalam bidang sains tabii terdapat 7 bidang utama (Rosenthal, 1975) [32] antaranya ialah:
                    i.            Fizik – termasuk kajian optik, masa, ruang, dan pergerakan
                  ii.            Meteorologi[33]
                iii.            Mineralogi
                iv.            Botani
                  v.            Zoologi
                vi.            Geologi
              vii.            paleontologi[34]


C.    Teknologi
Falsafah tabii, sains dan teknologi sebenarnya adalah tidak lebih sebagai sebahagian daripada aktiviti manusia. Oleh itu, ketiga-tiganya mempunyai permulaan, dan permulaan ini semestinya dalam konteks sesuatu masyarakat dan tamadun manusia (Hairudin Harun, 2007).[35]

            Tegasnya sains ialah ilmu teoritis manakala teknologi pula ialah ilmu praktis atau teknik yang membolehkan manusia membuat sesuatu perubahan yang bermanafaat. Dalam falsafah tabii, manusia cuba memahami alam tabii dalam bentuk kuantitatif, dalam teknologi pula manusia cuba menggunakan dan kemudian mengawal alam tabii untuk kepentingan dirinya. Tegasnya, falsafah tabii dan sains adalah aktiviti intelektual manakala teknologi adalah aktiviti praktikal (Rosenthal, 1962).[36]

Seperti yang dijelaskan diatas, bolehlah difahami bahawa semua ilmu tersebut adalah daripada Allah s.w.t yang dihasilkan oleh manusia yang berakal dan menjadikan setiap ilmu itu bermanafaat untuk kegunaan bersama. Implikasi daripada falsafah dan ilmu sains tersebut, maka wujudlah tamadun dan peradaban manusia.





3.1       Sumbangan Sains Islam Kepada Peradaban Manusia

Unsur material dari alam tabii yang diadun dengan konsep keIslaman itulah yang menghasilkan tamadun Islam. Namun demikian, menurut Malik Bennabi, unsur material adalah bumi. Beliau tidak menghuraikan bumi daripada aspek pertanian yang sesuai dengannya tetapi melihat dari nilai sosial yang bergantung pada nilai pemiliknya. Tambahnya lagi, tanah sebagai sumber kehidupan amat tinggi nilainya jika berada dalam milik orang-orang yang bertamadun dan begitulah sebaliknya (Malik ibn Nabi). [37]

Sejarah juga telah mencatatkan tentang zaman kegemilangan tamadun Islam, masyarakat Islam sendiri telah membina satu tradisi sains dan teknologi yang telah mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains dan teknologi moden di Eropah. Sains dan teknologi Islam telah mencapai kejayan yang cemerlang dalam semua bidang sains, daripada astronomi, sains dan hayat dan ilmu senibina pada zaman perkembangan Islam dalam tempoh lebih kurang antara abad ke-7 Masihi hingga ke-16 Masihi.[38]

Penulisan pada bab ini akan membentangkan beberapa tamaduan dan peradaban manusia yang terhasil daripada peranan falsafah dan sumbangan sains Islam terhadap peradaban dan ketamadunan manusia terutamanya kerajaan Islam Andalusia. Kami memilih kerajaan Islam Andalusia ialah kerana kesan keilmuan dan ketamadunannya telah menjadi asas kepada pencerahan dibarat.

Perkembangan sains dan teknologi di Andalusia berkembang selari dengan kemajuan keilmuan pada zaman pemerintahan Abdul Rahman III. Kota Kordoba dijadikan sebagai pusat keilmuan yang maju pada zaman pemerintahan Abdul Rahman III tersebut. Beliau sendiri menggalakkan sarjana Islam untuk melakukan aktiviti penterjemahan dari kitab-kitab tokoh sebelumya.

3.1.1    Andalusia sebagai pusat kecemerlangan tamadun di Eropah

Fakta sejarah menjadi bukti yang kukuh bahawa Andalusia telah memainkan peranan yang cukup besar dan penting dalam membawa peradaban di Eropah. Sejarawan pada umumnya mengakui bahawa sebelum Islam membuka Andalusia, masyarakat Kristian Eropah hidup di dalam kegelapan dan kejahilan (Lombard, 1975).[39] Hampir semua suku bangsa yang memerintah negara-negara Eropah pada ketika itu terdiri daripada suku kaum bangsa Barbarian yang tidak bertamadun (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[40]

Kehadiran Islam di Andalusia merupakan suatu cahaya besar bagi seluruh masyarakat Eropah kerana mulai dari saat itu mereka berpeluang mempelajari berbagai bidang ilmu pengetahuan yang di kembangkan oleh sarjana-sarjana terulung Islam. Begitu juga perkembangan dalam bidang sains dan teknologi di Andalusia, kedatangan Islam juga telah memberi peluang kepada bidang ini untuk berkembang dan memberi impak yang besar dalam ketamadunan Eropah (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[41]


3.1.2    Pencapaian Sains dan Teknologi masyarakat Islam di Andalus

Berikut adalah beberapa pencapaian dalam bidang sains dan teknologi yang dicetus oleh masyarakat Islam di Andalusia. Antaranya ialah:

a.      Bidang Astronomi
Menurut Imamuddin, (1961)[42], Andalusia berjaya melahirkan ramai ahli astronomi yang terkenal. Mereka mendapat galakan yang meluas daripada para pemerintah di dalam menjalankan kajian dan pencerapan astronominya. Menara masjid telah digunakan sebagai tempat untuk melakukan pencerapan angkasa lepas. Sebuah balai cerap yang di kenali sebagai Giralda telah di bina berhampiran dengan Masjid Seville pada tahun 1190M. Pembinaan ini telah diawasi oleh Jabir Bin Aflah yang merupakan seorang ahli matematik terkenal di Andalusia.[43].

Beberapa aspek geografi astronomi termasuk suatu teori yang hampir-hampir tepat mengenai sebab-musabab pasang surut dan panjang darjah bumi yang dihasilkan Abu Mashar telah menembusi masyarakat Barat. Perkara utama yang menarik minat masyarakat Barat terhadap kitab-kitab Arab ialah penyediaan takwim, jadual bintang, dan
horoskop serta penafsiran mengenai pengertian yang tersembunyi di sebalik ayat-ayat al-Quran melalui takwilan yang merujuk kepada Aristotle. Sebahagian besar bahan saintifik ini sama ada yang berkaitan dengan ilmu astronomi astrologi atau geografi masuk ke Barat melalui Sepanyol dan Sicily (Afzalur Rahman, 1993). [44]

Sarjana astronomi Islam Andalusia telah berhasil mencipta alat-alat astronomi yang terbaik yang belum diketahui oleh dunia sebelum itu. Di kalangan ahli astronomi di Andalusia yang terkenal sekali ialah Ma Sha’allah (m.815M) yang telah menulis mengenai Astrolobe dan meteorologi. Astrolabe yang dihasilkan telah di gunakan oleh orang Eropah sehingga kurun ke 12M. Dengan penggunaan alat ini, mereka telah menentukan saiz bumi dengan lebih tepat daripada yang dilakukan oleh orang Greek sebelum ini. Untuk mengukur kemiringan garisan yang diikuti oleh matahari sewaktu mengelilingi bumi, mereka telah menggunakan sektan iaitu sejenis alat pengukur ketinggian matahari yang diperbuat daripada gangsa. Ali bin Khalaf yang berbangsa Andalusia abad ke-11 telah mencipta “piringan” sejagat, iaitu spera projek sistereograf di atas satah yang bergarisan tegak dengan titik gerhana. Satah ini memotong titik gerhana itu mengikut garisan solstis “sartanmakara”.[45]

Kemudian, pada kurun ke-9M lahir al-Farghani yang telah menulis tentang bintang-bintang diikuti bapa dan anak-anak Banu Syakir yang juga merupakan guru dan telah meninggalkan karya-karya yang penting mengenai pengukuran dataran dan permukaan-permukaan sfera. Pada masa ini telah ramai tokoh-tokoh astronomi yang lahir dengan pelbagai ciptaan-ciptaan baru serta penulisan karya yang telah menjadi rujukan yang penting. Kebanyakannya telah diterjemahkan dalam bahasa Latin oleh Gerald Cremona dan lain-lain melalui Andalusia (Azizan Baharudin, 1986).[46]

Pada kurun ke 10 M, lahir lebih ramai tokoh-tokoh ilmu astronomi di Andalusia dan terkenal  dalam pelbagai bidang seperti, Ahmad bin Nasr yang telah menghasilkan karya terkenal mengenai dimensi-dimensi yang tidak diketahui, Maslamah bin al-Qasim sebagai ahli silap mata kerana penglibatan beliau dalam bidang pengkajian mengenai astronomi dan astrologi (Azizan Baharudin, 1986)[47], Abu al-Qasim Ahmad yang terkenal kerana telah membuat pencerapan yang paling tepat11, Jabir bin Aflah, beliau terkenal dalam bidang astronomi dan trigonometri (O’leary, De Lacy ,1957).[48]

Secara keseluruhannya, ahli astronomi Islam telah meninggalkan kesan yang besar dalam bidang astronomi dan ini adalah hasil daripada usaha mereka yang dapat dilihat pada nama-nama bintang yang ada. Kebanyakan nama-nama bintang dan istilah teknikal dalam bidang astronomi ini adalah di dalam bahasa Eropah dipinjam daripada Bahasa Arab seperti aqrab, algedi, altair, deneb, pherked, azimuth, nadir dan zenith. Perkataan tersebut dalam bahasa arabnya ialah aqrab, al-jadi, al-tair, dhanab, farqad, al-sumut, nazir dan al-sanit. Namun begitu, hanya sedikit alat-alat astronomi ciptaan ahli-ahli astronomi Islam Andalusia yang masih kekal. Hanya sebuah glob dan beberapa buah alat astrolab kepunyaan Ibrahim bin Said al-Sahli yang masih kekal hingga hari ini. Glob tersebut disimpan di R.Instituto di Studi Superiori di Florence, Perancis. Sementara alat–alat astrolab pula tersimpan di National Archaelogical Museum di Madrid, Portugal serta di Koleksi Lewis Evans di Oxford, England (Imamuddin, S.M, 1961).[49]




b.      Bidang Kimia
Sumbangan sarjana Islam juga tidak kurang pentingnya dalam membincangkan tentang ilmu kimia. Mereka telah berjaya memperbaiki pengetahuan kimia orang Greek. Abbas bin Firnas telah berjaya menghasilkan kaca dan kristal. Beliau juga telah membuat percubaan untuk menghasilkan guruh dan kilat di dalam makmalnya. Beliau juga merupakan orang pertama membuat eksperimen terbang di angkasa dengan menggunakan sayap (Azam bin Hamzah, 1991).[50]

Seorang lagi tokoh iaitu Jabir yang juga dikenali di Barat sebagai Geber, ialah seorang ahli kimia ulung Andalusia yang berasal dari Seville. Beliau telah berjaya menemui asid sulfurik, asid nitrik dan asid nitro muriatik. Di samping itu, beliau juga banyak mencipta kaedah proses-proses kimia. Ahli-ahli kimia moden memuji ahli kimia Islam abad pertengahan ini kerana pengetahuan mereka yang mendalam di dalam bidang berkenaan. Mereka mendapati ahli-ahli kimia Islam telah menggunakan proses kimia di dalam melakukan kerja-kerja penulenan, pemejalwapan dan penukaran logam menjadi oksida dengan cara pembakaran. [51]

Selain itu, sarjana Andalusia juga telah berjaya mencipta sejenis alat yang di panggil alambique untuk mengeksploitasikan pokok-pokok yang hidup di hutan untuk mendapatkan susu getahnya. Kejayaan sarjana-sarjana Andalusia dalam bidang kimia juga telah menghasilkan ciptaan dalam pelbagai jenis dadah yang baru, di samping mereka menghasilkan farmakopi dan menubuhkan kedai-kedai apotekaris. [52] [53]

  
c.       Bidang Perubatan
Dalam bidang perubatan, sarjana Islam Andalusia telah mnghasilkan kemajuan yang sangat membanggakan. Pada kurun ke-8 M, orang-orang Islam telah menganggap bahawa kemunculan bidang perubatan adalah sebagai suatu ilmu sains yang berdasarkan kepada eksperimen (tajribah), taakulan (qiyas) dan pemerhatian. Walaupun pada masa itu, masyarakat Islam tidak membenarkan pembedahan ke atas mayat manusia dan binatang, mereka berjaya mencapai kemajuan dengan melakukan ujikaji terhadap rangka-rangka monyet yang diimport dari Afrika. Lantaran itu, Andalusia berjaya melahirkan sarjana-sarjana yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kedoktoran dan berjaya menghasilkan karya-karya dengan ilustrasi alat-alat pembedahan (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[54]

Gharib bin Said yang berkhidmat sebagai setiausaha Khalifah Abdul Rahman III telah menghasilkan sebuah karya mengenai perubatan. Salah satu karya beliau disimpan di Perpustakaan Escorial, Portugal. Antara tokoh lain lagi ialah Abd Rahman Ishaq bin Haitham yang merupakan doktor peribadi kepada Hajib al-Mansur yang telah menghasilkan karya ringkas mengenai muntah-muntah dan ubat julap. Seorang lagi sarjana Islam di Andalusia iaitu Abu Marwan ibn Zuhr yang dikenali di Barat dengan panggilan Avenzoar. Beliau sangat popular di Andalusia dan Afrika Utara sebagai seorang yang berkebolehan dalam bidang perubatan dan farmasi. Beliau juga telah menjalankan eksperimen-eksperimen yang original dalam bidang perawatan dan menerangkan tentang penyakit tumor. Hasil daripada ramainya pakar perubatan Islam yang lahir di Andalusia, maka banyak hospital awam yang di bina di kawasan-kawasan penting di Andalusia. Penggunaan istilah-istilah perubatan Islam dalam perubatan Barat menjadi bukti bahawa terdapatnya pengaruh perubatan Islam dalam perubatan Barat.[55]



d.      Bidang Matematik
Sarjana Islam telah memaju dan memperkembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang matematik sehinggakan mereka berjaya menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu daripada yang telah di capai oleh orang-orang Yunani, khususnya dalam bidang algebra dan trigonometri. Di Andalusia perkembangan ilmu matematik mempunyai hubungan rapat dengan astronomi. Terdapat ramai sarjana Islam Andalusia yang menumpukan perhatian dalam bidang ini. Usaha mereka telah mendapat galakan daripada masyarakat dan juga pemerintah. Antara tokoh yang terlibat seperti Abu Habbah bin Ubaidah seorang ahli matematik yang terkenal pada zaman pemerintahan Khalifah Abd. Rahman III. Abu Ayyub iaitu sarjana terkenal dalam bidang geometri, manakala ahli matematik yang masyhur di Andalusia ialah Alkarmani dari Cordoba. Beliau telah memperkenalkan matematik Ikhwan al-Safa ke Andalusia (Azizan Baharuddin, 1986). [56] Ahli matematik Andalusia juga telah memperkenalkan kepada dunia metematik sejenis angka yang dikenal sebagai huruf al-ghubbaar. Huruf ini mempunyai sedikit perbezaan dengan bentuk angka Hindi. Lahirnya huruf ini memudahkan sistem penulisan angka. Sarjana Islam Andalusia juga telah berjaya memperkenalkan trigonometri sfera yang tidak diketahui oleh orang Greek sebelumnya.[57]

e.       Bidang Zoologi dan Botani
Saintis yang ternama dalam bidang ini adalah Ibn Baytar yang dilahirkan di Malaga pada tahun 1197 M. Beliau telah menjadi seorang pengkaji ilmu tumbuh-tumbuhan yang terbaik sekali. Beliau telah belajar daripada buku-buku, pemerhatian-pemerhatian dan eksperimen-eksperimennya sendiri. Ibn Baytar juga telah membincangkan tentang dadah di dalam makanan dan cara ianya dibuat daripada bahan-bahan binatang, tumbuh-tumbuhan dan mineral. Beliau juga telah mengembara dan mendaki gunung-gunung serta ladang-ladang di seluruh Andalusia dan Afrika untuk mencari herba-herba perubatan (Azizan Baharudin, 1986).[58]

Antara tokoh lain yang terlibat dalam bidang ini adalah Ibn Bassal atau nama penuhnya Abu Abdullah Muhammad Ibrahim bin Bassal yang merupakan ahli botani yang terkenal di Andalusia. Beliau telah menghasilkan karya yang baik mengenai Botani iaitu ”Kitab Al-Qasd wa al-Bayan”. Karya beliau telah digunakan dengan meluasnya oleh penulis-penulis kemudian. Seorang lagi ahli botani yang terkenal lahir di Seville pada abad ke 12M iaitu Abu Zakaria Yahya yang terkenal dengan penggilan Ibn Hawwam. Beliau menghasilkan sebuah ensiklopedia penting mengenai pertanian yang bertajuk ”Kitab al-Falahah”(Azam bin Hamzah, 1991). [59]

Secara keseluruhannya, Andalusia memang masyhur dengan karya-karya tentang tumbuh-tumbuhan pada kurun ke-11M. Pada kurun ke 12M pula, karangan dasar tentang botani telah ditulis dengan meluasnya, bermula dengan Ibn Sarabi. Kemudian telah muncul pula sebuah lagi karangan mengenai tumbuh-tumbuhan yang begitu berharga. Walaubagaimanapun, ahli-ahli sarjana Islam bukan hanya menyumbangkan hasil karya sahaja bahkan mereka turut menyumbangkan hasil intelektual mereka dalam sistem pertanian, pengairan, pembajaan, penanaman, pengenalan pokok buah-buahan, dan tumbuh-tumbuhan yang dibawa dari timur, pencantuman tunas-tunas pokok dan penyakit-penyakit pokok serta cara-cara mengubatinya. [60]

  

4.1       Kesimpulan

Daripada penyusunan kerats kerja ini, dapat kita ketahui serba sedikit bahawa kemunculan sesebuah tamadun adalah berkait rapat  dengan rangsangan keagamaan dan kerohanian. Dari perspektif Islam, ajaran agama dan amalan rohani hakikatnya mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci berlandaskan al-Qur’an dan Sunnah sebagai pendorong kepada kehidupan dan peradaban bertamadun. Sesebuah masyarakat yang menghayati kehidupan beragama akan berusaha untuk membangunkan kehidupan mereka menuju kepada kesempurnaan kemanusiaan dan seterusnya melahirkan ketinggian budaya menerusi akhlak yang mulia. Pembangunan kehidupan seperti ini bermulalah bibit-bibit kehidupan bertamadun. Kemunculan tamadun Islam misalnya begitu dipengaruhi oleh rangsangan nilai daripada penghayatan cara hidup Islam yang kamil berserta dorongan langsung daripada risalah wahyu.

Ilmu sains telah melahirkan ramai sarjana-sarjana Islam dan telah mewujudkan dan peningkatan daya reka cipta sama ada dalam penciptaan teknologi, perubatan, kimia, matematik dan pembinaan seni bina bagi menyempurnakan lagi keselesaan kehidupan. Kelahiran dan perkembangan daya kreativiti dalam menghayati falsafah, kesenian, kesusasteraan dan nilai estetika yang tersendiri. Kelahiran sesebuah tamadun turut didorong oleh toleransi yang tinggi terhadap sumbangan tamadun-tamadun yang lain. Sebagai contohnya seperti yang dihuraikan pada bahagian definisi, kebanyakkan ilmu sains tabii pada awalnya adalah berasal daripada tamadun Yunani. Ianya diserap masuk ke dalam Islam melalui proses penterjemahan bahasa Greek kepada bahasa Arab. Maka bermulalah ilmu sains di dalam sistem pembelajaran Islam. Malah ada juga yang mengatakan bahawa ilmu sains di dalam Islam juga menerima kesan pengaruh daripada tamadun India, Rome, Mesir, Parsi dan Cina. Walaupun bagaimanapun, sikap keterbukaan Islam itu sendiri yang menerima sains daripada pengaruh budaya lain telah diterjemahkan kepada sumbangan besar ilmuan Islam terhadap pencerahan barat.

Rentetan dari itu, semangat untuk mewujudkan interaksi antara tamadun merupakan satu rangsangan kepada pemupukan kehidupan bertamadun. Toleransi terhadap sumbangan tamadun-tamadun yang lain menggambarkan sikap terbuka untuk menerima sumber-sumber yang baik daripada tamadun-tamadun tersebut dan seterusnya membantu kemunculan tamadun baru. Sikap tokoh-tokoh penting dalam tamadun-tamadun sebelum ini jelas menampakkan toleransi dan saling hubungan antara tamadun. Tamadun Islam contohnya merupakan tamadun yang telah bersikap terbuka untuk menerima sumber-sumber ilmu daripada tamadun Yunani, tamadun Parsi, tamadun India dan tamadun Cina.

Seterusnya natijah kemunculan sesebuah tamadun dapat digambarkan oleh perilaku dan budaya masyarakat yang tinggi dalam kegiatan kehidupan mereka. Tatacara yang tersusun dalam pentadbiran dan perekonomian memakmurkan kehidupan masyarakat yang seterusnya mendorong ke kemuncak kegemilangan. Pada zaman kegemilangan sesebuah tamadun dapat diperhatikan pencapaian-pencapaian yang luar biasa dalam pelbagai bidang bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi, malah termasuklah kesenian, kesusasteraan, pemikiran dan falsafah . Kegemilangan sesebuah tamadun juga dapat dilihat dari segi penciptaan teknologi yang seterusnya berkembang dalam tamadun-tamadun selepas itu. Hakikat ini menerangkan bahawa kegemilangan dan kecemerlangan bukanlah monopoli sesebuah tamadun tertentu. Bagaimanapun, setiap tamadun dalam sejarah mengalami zaman kemerosotan masing-masing. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam sejarah terdapat beberapa tamadun berlangsung untuk satu tempoh masa yang begitu panjang.

            Kita di Malaysia juga mempunyai tamadun kita tersendiri. Kemajuan dan inovasi sains dan teknologi adalah penting di dalam mencapai kemakmuran negara. Kita sebenarnya ditahap paling hampir iaitu tidak sampai 4 tahun untuk mencapai wawasan 2020. Semoga negara kita Malaysia juga boleh melakar sejarah sebagai salah satu bangsa yang mempunyai peradaban dan ketamadunan yang disegani oleh dunia. 





Rujukan

 Al-Qur’an dan terjemahan.

Abdul Razak Noufal. 2005. Allah dan sains moden. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.

Alias bin Azhar. 2013. Sains dan teknologi dalam ketamadunan Islam: analisa epistemologi dan metodologi. Jurnal Al-Tamaddun Bil. 8 (1) 2013, 51-66.

Afzalur Rahman. 1993. Ensiklopedia sirah, perkembangan ilmu, jilid 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Azam bin Hamzah. 1991. Sejarah dan Tamadun Islam di Andalus (711-149M). Shah Alam : Hizbi.

Azizan Baharudin. 1986. Pengenalan tamadun Islam di Andalus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Chejne, A., 1974. Muslim Spain, its history and culture. Minneapolis: University Of Minnesota Press.

Esa Khalid. 2001. Konsep tamadun Islam: sains dan teknologi. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Hairudin Harun. 2007. Daripada sains Yunani kepada sains Islam: peranan dan proses penyerapan sains asing dalam pembentukan sains Islam klasikal. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Imamuddin, S.M. 1961. Some Aspects of the Sosio-economic and Cultural History of Muslim Spain. Leiden: E.J. Brill

Lombard. 1975. The Golden Age of Islam. Netherlands: North-Holland Publishing Co.

Malik ibn Nabi. 1969. Syuruth al-Nadhah (terj.) Umar Kamil Masqawi. Beirut: Dar al-Fikr

Mohd Koharuddin Mohd Balwi. 2003. Ketamadunan Melayu dan sains: satu analisis awal ke atas pencapaian masyarakat Melayu dalam bidang sains. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia. Jurnal Teknologi 39(E) dis. 2003: 47-61.

Mohd Roslan Mohd Nor. 2011. Kewujudan sains dan teknologi di Andalusia. Dlm: Baldatun Tayyibah: Model Andalusia. Persatuan Ulama Malaysia, Shah Alam, Selangor, pp. 91-101. ISBN 978-983-2306-12-2

Mohammad Abu Bakar. 1991. Konsep kemajuan moden dan komitmen kehidupan Muslim, dalam Islamika IV, Kuala Lumpur: Gateway Publishing House

Shaharir bin Mohamad Zain et al., 1985. Pengenalan tamadun Islam dalam sains dan teknologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Sarton, G. 1967, Introduction to the history of science, V. 1, Cambridge: The University of Cambridge Press

Sulaiman Noordin., 1979. Sains dan teknologi barat moden dan percanggahannya dengan Islam. Selangor: Nuur Publications

O’leary, De Lacy. 1957. Scientific Influence of Andalus.Islamic Literature.no IX

Osman Bakar. 2008. Tauhid dan sains: perspektif Islam tentang agama dan sains. Kuala Lumpur: Arah Pendidikan Sdn Bhd

Rosenthal F.. 1975. The classical heritage in Islam. London: Routledge & Kegan Paul Ltd

Tamby Subahan Mohd. Meerah. 1999. Dampak penyelidikan pembelajaran sains terhadap perubahan kurikulum. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Wan Fuad Wan Hassan. 1996. Ringkasan sejarah sains. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Wan Mohd Nor Wan Daud. t.th. Budaya ilmu sebagai asas pembangunan tamadun. Jurnal Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa

Ziauddin Sardar. 1991. Sentuhan Midas, (terj.), Rosnani Hashim dan Abdul Karim Abdul Ghani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka

Ziauddin Sardar. 1992. Hujah sains Islam, (terj.), Abdul Latif Samian, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka







[1] Alias Azhar, 2013, Sains dan teknologi dalam  ketamadunan Islam: analisa epistemologi dan metodologi, hlm 51
[2] Tamby Subahan Mohd. Meerah, 2009, Dampak penyelidikan pembelajaran sains, hlm 9
[3] Abdul Razak Noufal, 2005, Allah & sains moden, hlm 4
[4] Osman Bakar, 2008, Tauhid & sains, hlm 31
[5] Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya ilmu sebagai asas pembangunan tamadun, hlm 51
[6] Esa Khalid, (2001), Konsep tamadun Islam sains dan teknologi,  hlm 40
[7] Mohd Roslan Mohd Nor, Kewujudan sains dan teknologi di Andalusia, hlm  92
[8] Hairudin Harun, 2007, Daripada sains Yunani kepada sains Islam, hlm 5
[9] Osman Bakar, 2008, Tauhid dan sains, hlm 51
[10] Alias bin Azhar, 2013, Sains dan teknologi dalam ketamadunan Islam: analisa epistemologi dan metodologi, hlm 56
[11] Mohd Koharuddin Mohd Balwi, 2003, Ketamadunan Melayu dan sains: satu analisis awal ke atas pencapaian  masyarakat Melayu dalam bidang sains, hlm 48
[12] Wan Fuad Wan Hassan, 1996, Ringkasan sejarah sains,
[13] Hairudin Harun, 2007, Daripada sains Yunani kepada sains Islam, hlm 8
[14] Chejne, A., 1974, Muslim Spain, its history and culture, hlm 397
[15] Ibid, hlm 400
[16] Ziauddin Sardar, 1991, Sentuhan midas, (terj.), Rosnani Hashim & Abdul Karim Abdul Ghani, hlm 3-15
[17] Chejne, A., 1974, Muslim Spain, its history and culture, hlm 403
[18] Mohd Roslan Mohd Nor, 2011,  Kewujudan sains dan teknologi Di Andalusia, hlm 91
[19] Esa Khalid, Konsep tamadun Islam: sains dan teknologi , 2001, hlm 5
[20] Azizan Baharudin,1986, Pengenalan tamadun Islam di Andalus,  hlm 78-84.  
[21] Ziauddin Sardar, 1992, Hujah Sains Islam, (terj.), Abdul Latif Samian, hlm 17 -36
[22] Mohammad Abu Bakar, 1991, Konsep kemajuan moden dan komitmen kehidupan Muslim, hlm 223-224
[23] Poh Swee Hiang, 1996,  hlm. 28
[24] Sarton, G, 1967, Introduction to the history of science, V. 1, hlm 23
[25] Osman Bakar, 2008,Tauhid & Sains, hlm 91
[26] Wan Mohd Nor Wan Daud, t.th. Budaya ilmu sebagai asas pembangunan tamadun, hlm 62
[27] Surah al-‘Alaq: 96, ayat 1 -5
[28] Shaharir et al, 1985, Pengenalan tamadun Islam dan teknologi, hlm 194
[29] Rujuk Hairudin Harun, 2007, Daripada sains Yunani kepada sains Islam, hlm 4 -6
[30] Taksonomi berasal dari kata takson yang bermaksud kelompok, dan nomos yang bermaksud hukum. Makhluk hidup yang memiliki persamaan ciri-ciri dikelompokkan ke dalam unit-unit (takson). Takson disusun dari tingkat tinggi ke tingkat rendah. Makhluk hidup yang memiliki sedikit persamaan ciri-ciri dikelompokan ke dalam tingkat takson yang lebih tinggi. Pada tingkat ini jumlah mahkluk hidupnya banyak. Sedangkan makhluk hidup yang memiliki banyak persamaan dikelompokkan ke dalam tingkat takson yang lebih rendah. Di sini jumlah makhluk hidupnya lebih sedikit.
[31] Ibid, hlm 5 - 6
[32] Rosenthal F., 1975. The classical heritage in Islam, hlm 56 - 58
[33] Mineralogi ialah kajian sains ke atas cuaca, fenomena alam spt pergerakan bumi, luluhawa dsb
[34] Paleontologi ialah kajian yang dilakukan oleh saintis ke atas fosil
[35] Hairudin Harun, 2007., Daripada sains Yunani kepada sains Islam, hlm 8
[36] Rosenthal F., 1975. The classical heritage in Islam, hlm 272
[37] Malik ibn Nabi, 1969, Syuruth al-Nadhah (terj) Umar Kamil Masqawi. Beirut: Dar al-Fikr, hlm 7
[38] Sulaiman Noordin, 1979. Sains dan teknologi barat moden dan percanggahannya dengan Islam, hlm 6

[39] Lombard, 1975, The Golden Age of Islam, Netherlands, hlm 74
[40] Mohd Roslan Mohd Nor, 2011, Kewududan sains dan teknologi di Andalusia, hlm 92
[41] Ibid, hlm 93
[42] Imamuddin, S.M,,1961. Some Aspects of the Sosio-economic and Cultural History of Muslim
Spain. Leiden, hlm: 156
[43] Apabila Seville ditawan oleh orang Kristian, menara Giralda ini telah dijadikan sebagai tempat  menggantung loceng gereja
[44] Afzalur Rahman, 1993, Ensiklopedia Sirah, Perkembangan Ilmu, Jilid 111,.hlm 564
[45] Ibid, hlm 567
[46] Azizan Baharudin, 1986, Pengenalan Tamadun Islam Di Andalus, hlm 54.
[47] Ibid, hlm 156
[48] O’leary, De Lacy,1957. Scientific Influence of Andalus.Islamic Literature .no IX hlm333
[49] Imamuddin, S.M, 1961,  hlm 158
[50] Azam bin Hamzah, 1991, Sejarah dan Tamadun Islam di Andalus (711-149M), hlm 69
[51] Ibid
[52] Ibid
[53] Sistem jisim apotekari ialah sebuah sistem lama yang dahulu digunakan oleh para apotekari (kini dipanggil ahli farmasi atau ahli kimia)
[54]Mohd Roslan Mohd Nor,  2011. Kewujudan sains dan teknologi di Andalusia, hlm 98 -99
[55] Ibid
[56] Azizan Baharudin, 1986,  hlm 61.
[57] Ibid, hlm 169
[58] Ibid, hlm 60
[59] Azam bin Hamzah, 1991 ,hlm 80
[60] Ibid, hlm 80-81

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete