Pages

Thursday 10 September 2015

Metodologi Dakwah Nabi Ibrahim a.s

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


Dakwah adalah satu cara pendekatan yang perlu ada pada semua mukmin dan muslim untuk mengajak manusia mengenal dan mencintai Allah s.w.t, serta membawa manusia mendekati ajaran Islam, supaya mereka mendapat keberkatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Penghayatan cara hidup Islam sebagai budaya hidup akan membawa manusia mencapai matlamat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat tersebut. Manusia dijadikan Allah untuk mentadbir bumi ini mengikut kehendak Pencipta-Nya yang antara lainnya dimanifestasikan melalui dakwah.

Firman Allah s.w.t:-
A030

“Dan (ingatlah) ketikaTuhanmu berfirman kepada Malaikat; sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".[1]

Justeru pendekatan dakwah ini perlu kepada cara-cara yang khusus mengikut tahap golongan yang menerima, dalam proses dakwah ini banyak golongan yang terlibat bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga peringkat warga tua, serta tidak terkecuali golongan yang belum mengenal agama Islam. Setiap golongan yang disebutkan ini perlu kepada pendekatan dakwah yang berbeza-beza. Bagi mempelajari pendekatan berkesan untuk berdakwah kepada golongan yang telah dinyatakan sebelum ini, mereka perlu mendalami ilmu dakwah dari guru-guru yang murshid atau boleh mencontohi dan mempelajari kisah-kisah para anbia’ yang terdahulu, terutama para rasul ‘ulul azmi, iaitu Nabi Ibrahim a.s, Nuh a.s, Musa a.s, Isa a.s dan Muhammad s.a.w. Kesungguhan dan kecekalan mereka dalam menyeru umat manusia mengikuti ajaran Allah s.w.t perlu dicontohi, dengan berbekalkan keimanan, ketaqwaan dan kesabaran mereka menyebarkan agama Allah s.w.t akhirnya Islam berkembang luas ke serata dunia, walaupun tidaklah semua umat mereka mengikuti agama yang dibawa mereka kerana hidayah itu bukan milik kita, tetapi Allah s.w.t yang menentukan kepada siapa hidayah itu akan diberikan, hanya mereka yang mencari sahaja akan merasai nikmat hidayah Allah s.w.t.

Sebagai contoh kita boleh mempelajari cara-cara menyampaikan dakwah melalui kisah Nabi Ibrahim a.s, baginda juga dikenali sebagai Bapa para anbia’.

Firman Allah s.w.t:-
A120

“Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah seorang imam yang boleh dijadikan teladan lagi dipatuhi kepada Allah dan hanif, Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan” [2]

Pendakwah boleh menjadikan contoh dan ikutan daripada kisah-kisah pendekatan dakwah yang dibawa oleh baginda semasa berdakwah kepada kaumnya, malah ujian yang paling besar terhadap baginda ialah baginda perlu berdakwah kepada ayahnya sendiri, yang ketika itu masih belum mengikuti ajaran Allah, dakwah baginda juga tidak semudah yang disangka, ujian demi ujian menimpa baginda sebagai tanda Allah s.w.t ingin menguji kekuatan iman baginda.

Oleh yang demikian bagi menceritakan lebih panjang mengenai Dakwah Nabi Ibrahim a.s, akan kami huraikan pada huraian di bawah melalui tajuk-tajuk yang akan dinyatakan pada helaian-helaian yang berikut.

1.1       Latarbelakang Nabi Ibrahim a.s

Ibnu Kathir berkata: Baginda adalah Ibrahim bin Tarikh bin Nahuur bin Sarugh bin Raghu bin Faligh bin 'Abir bin Syaalih bin Arfakhsyadz bin Sam bin Nuh. Ini adalah nas Ahl Al-Kitab dalam buku-buku mereka.[3] Usia Tarikh mencapai 250 tahun, Nahor 148 tahun, Sarugh 230 tahun, Roghou 239 tahun, Falegh 439 tahun, Aabir 464 tahun, Soleh 433 tahun, Arfahsyaz 438 tahun, Sam berusia 600 tahun. [4] 

Al-Haafiz Bin Asaakirdi dalam kitabnya yang mengandungi sejarah hidup Nabi Ibrahim a.s ada menyebutkan riwayat yang diperoleh dari Ishak Bin Basyar Al-Kahiliy, penulis kitab Al-Mubtadaa bahawa nama ibunda Ibrahim Asadah Umailah. Di dalam kitab itu diterangkan secara panjang lebar tentang kisah kelahiran Nabi Ibrahim a.s. Berbeza dengan Al-Kulabiy, menurut beliau nama ibunda Nabi Ibrahim a.s adalah Boona Binti Karibta Bin Kartsiy. Termasuk bani Arfakhsyaz Bin Saam Bin Nuh a.s.  Ibn Asakir dalam riwayat yang lain bersumber dari Ikrimah mengatakan bahawa Nabi Ibrahim a.s sering dipanggil Abu Daifa.[5] 

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di Ghouthan, Damsyik (Damaskus, Syiria), tempatnya di sebuah kampung bernama Barzah. Kampung ini berada di kaki gunung Qasion. Lebih lanjut beliau mengatakan bahawa Nabi Ibrahim as dilahirkan di Babil. Tempat itu dikaitkan dengan beliau adalah kerana pada ketika beliau mengerjakan solat di sana datang orang-orang yang tidak dikenali dan Luth a.s secara mendadak di mana tempat kelahiran Luth a.s adalah di Caledonia, secara tepatnya adalah di daerah Babil, dan terdapat lagi beberapa keterangan lain yang menguatkan lagi hujjah bahawa Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di daerah Babil. Mengenai bentuk tubuh baginda diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku diperlihatkan pada para nabi-nabi, Musa merupakan seorang lelaki yang perkasa, sepertinya dia berasal dari kaum Sanuah, juga aku melihat Nabi Isa bin Maryam yang mirip dengan Urwah bin Mas'ud. Aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s, dan baginda mirip dengan sahabat kamu ini (yakni maksudnya adalah baginda sallahualaihiwasallam sendiri). [6][7]

Dari Ibnu Abbas r.a dia berkata, "Rasulullah s.a.w telah bersabda "Sedangkan Ibrahim, lihatlah sahabat kamu ini, Nabi Musa adalah seorang yang perkasa dan berambut ikal dan aku melihat baginda saat sedang melalui satu lembah dengan ber-talbiyah. [8]

Mengenai gelaran baginda yang termaktub dalam kitab “Qishash al-Anbiyaa” karya Ibnu Kathir adalah bahawa baginda [Ibrahim] diberi gelaran Abu Dhaifan yakni orang yang memiliki dua tetamu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Nabi Ibrahim adalah orang yang pertama menyambut (memiliki) tamu, dan orang pertama yang dikhatan pertama kali adalah Ibrahim ketika baginda berusia lapan puluh tahun, dengan menggunakan kapak”.[9] [10] Nabi Ibrahim juga dikenali sebagai Al-Khalil yang bermaksud “Kekasih Allah”. Nama Nabi Ibrahim a.s disebut sebanyak 69 kali di dalam Al-Quran[11].

Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk Lampiran 1 untuk senarai ayat-ayat Al-Quran yang menyebut nama dan kisah tentang Nabi Ibrahim a.s.



1.2       Risalah Kenabian

Sebagai seorang yang bakal diutuskan menjadi nabi dan rasul, Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan tanda-tanda kemuliaan dirinya ketika baginda masih diusia remaja, seperti nabi-nabi dan rasul sebelumnya, kemuliaan tersebut dapat dilihat melalui tingkah laku dan percakapan baginda. Sehinggalah pada saat risalah kenabian diturunkan kepada baginda, tanda-tanda kemulian itu sentiasa terpancar pada perwatakkan baginda, begitulah mulianya seorang nabi dan rasul utusan Allah s.w.t.

Nabi Ibrahim a.s mendapat risalah kenabian pada suatu malam pada malam pertama pada salah satu bulan ramadhan. Dari Watsillah bin al-Asqaa’ r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Diturunkan shuhuf  kepada Nabi Ibrahim a.s pada awal di bulan ramadhan, dan Taurat diturunkan pada hari ke-enam di bulan ramadhan, Injil diturunkan pada hari ketiga-belas di bulan ramadhan, Zabur diturunkan pada hari ke-lapanbelas ramadhan, dan Al-Quran diturunkan pada hari kedua-puluh empat di bulan ramadhan.” [12] 


2.0       Definisi Dakwah

Dakwah adalah tugas asasi umat Islam untuk menyeru, mengajak, menyampaikan dan memperkenalkan kepada manusia mengenai ajaran agama Islam. Dakwah juga adalah gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat. Penghayatan cara hidup Islam sebagai budaya hidup akan membawa manusia mencapai matlamat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat. [13] Manakala Metodologi dakwah adalah ilmu yang bersifat kajian dan sistematik mengenai cara dakwah, atau secara ringkasnya sebagai ilmu atau kajian tentang cara dakwah. [14] Di dalam konteks definisi di atas, maka penulis akan memfokuskan tentang beberapa manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s di dalam bab yang seterusnya. 

2.1       Manhaj Dakwah Nabi Ibrahim a.s

Nabi Ibrahim a.s sepanjang hayatnya menyampaikan risalah dakwah kepada manusia sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Di dalam bab 2.1 ini, kita akan menelusuri manhaj-manhaj dakwah Nabi Ibrahim a.s. Walaupunpun dakwah baginda  bersumberkan daripada sumber yang sama seperti nabi-nabi yang lain, namun ia tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ini disebabkan pelbagai faktor termasuklah suasana yang melingkungi penghidupan Nabi Ibrahim a.s dan kerangka pemikiran masyarakat pada masa itu. Manhaj dakwah Nabi Ibrahim a.s sebagaimana yang akan dihuraikan di dalam penulisan ini dianggap penting untuk dikenalpasti supaya kita boleh mengambil iktibar dari kisah-kisah dari Al-Quran sebagai pengajaran untuk dijadikan sebagai panduan, motivasi dan dorongan di dalam hidup seharian.

Maka di dalam penulisan tugasan ini, kami membahagikan dakwah Nabi Ibrahim kepada beberapa bab dan menghuraikan manhaj dakwah baginda sebagai sub-bab di dalam bab tersebut. Iaitu pada bahagian bab, akan dihuraikan tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada golongan sasar, manakala pada sub-bab akan dihuraikan manhaj yang digunakan olehnya.


2.2       Dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada bapanya


Allah SWT mengutuskan Ibrahim a.s sebagai nabi dan rasul kepada umatnya. Dan gerak kerja dakwah pertama yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim a.s ialah dakwah kepada ayahnya sendiri. Nabi Ibrahim memilih ayahnya sebagai sasaran dakwah yang pertama berdasarkan kedudukan ayahnya sendiri sebagai orang yang paling rapat dengannya. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim a.s berusaha sedaya mungkin agar orang yang rapat dengannya ini terselamat dari kesesatan yang nyata. Al-Quran menceritakan dialog Nabi Ibrahim dengan ayahnya di dalam beberapa tempat di dalam Al-Quran. Antaranya ialah firman Allah s.w.t [15]


2.3       Dahwah Nabi Ibrahim a.s kepada kaumnya


Selepas itu, Nabi Ibrahim a.s menujukan dakwah kepada kaumnya yang merupakan terdiri daripada[16]:
a.       Penyembah cakerawala (bintang-bintang, matahari dan bulan) [17]
Nabi Ibrahim a.s berdialog kepada kaumnya yang merupakan bentuk perbincangan ataupun perdebatan dengan mengajak kaumnya berfikir dengan memberi penjelasan bahawa semua makhluk angkasa yang kelihatan seperti bintang-bintang yang terang bercahaya sama sekali tidak layak dijadikan Tuhan yang disembah seumpamanya dengan Allah s.w.t Sesungguhnya semua makhluk tersebut adalah dicipta oleh Pencipta-Nya dan ianya dikuasai oleh Allah dengan muncul dan tenggelam menurut proses hukum alam.[18]

b.      Penyembah berhala
Salah satu negeri yang didakwah oleh Nabi Ibrahim a.s ialah Babil atau Babylon kuno yang masyarakatnya menyembah berhala. Keyakinan masyarakat Babylon kuno ini yang berpegang kuat kepada kepercayaan menyembah berhala ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

A025

Maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): "Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".[19]

c.       Penyembah raja pemerintah
Penyembah raja pemerintah iaitu merujuk golongan rakyat jelata yang menyembah raja Namrudh yang mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan. Penulis akan menghuraikan pendetailan tentang item (c) di atas di dalam bab 2.2 seterusnya iaitu dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada golongan pembesar yang mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan. Maka sudah tentulah apabila Namrudh yang juga sebagai raja yang memerintah dengan autoriti yang ada padanya sudah tentu ada penyembahnya.

 

2.4       Dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada golongan pembesar

Golongan pembesar memainkan peranan utama dalam pelbagai institusi sosial yang mempunyai beraneka matlamat yang berbentuk ekonomi, politik, ketenteraan, sosial, agama dan lain-lain. Peranan yang dimainkan mereka itu sangat dihormati, justeru mereka yang memainkan peranan ini mendapat kedudukan atau status yang tinggi di dalam setiap institusi yang diketuai mereka.[20] Antara golongan sasar dalam dakwah ialah golongan pembesar. Al-Quran telah menceritakan banyak kisah konflik pertembungan antara golongan pembesar dengan para Rasul a.s. dalam misi dakwah mereka termasuklah Nabi Ibrahim a.s. iaitu seruan dakwahnya kepada Raja Namrudh. [21].

Nama Namrudh ialah al-Namrudh ibn Kus ibn Kan‘an ibn Salam Ibn Nuh, dinyatakan juga al-Namrudh Ibn Falikh ibn ‘Amir ibn Shalikh Ibn Arfakhshadh ibn Sam[22]. Menurut al-Sabuni, al-Namrudh disebut sebagai salah seorang daripada empat orang Raja Dunia.[23] Beliau memerintah selama 400 tahun dengan penuh kezaliman. Al-Namrudh karam dalam kesesatan dengan ujian nikmat pemerintahan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Beliau terpesong dari jalan kebenaran dengan mengingkari Allah s.w.t., tidak bersyukur dengan nikmat-Nya serta bersifat takbur malah mengaku dirinya sebagai tuhan lalu dipuja oleh sebahagian rakyatnya[24]

Nabi Ibrahim a.s. menyeru al-Namrudh agar beriman kepada Allah s.w.t.. Namun, sifat takbur melampau telah mendorong al-Namrudh menuntut daripada Ibrahim a.s. agar mengemukakan bukti kewujudan Allah s.w.t.. Maka berlakulah perdebatan antara mereka berdua dalam soal ketuhanan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran[25]. Mesej dakwah yang dikemukakan oleh Nabi Ibrahim (a.s.) kepada al-Namrudh yang dapat disimpulkan ialah[26]:

                                            i.            Isbat kewujudan Allah (s.w.t.) dengan bukti adanya proses kehidupan dan kematian, di mana tiada kehidupan dan kematian tanpa wujudnya yang menghidup dan mematikan [27]

                                          ii.            Isbat kekuasaan Allah (s.w.t.) yang menjadikan kehidupan dan kematian pada setiap jasad[28]

                                        iii.            Menjelaskan bahawa makhluk adalah lemah walau setinggi manapun kedudukannya. Justeru, makhluk tidak layak disembah, sebaliknya yang wajib disembah ialah Tuhan yang menghidup dan mematikan[29]

Berdasarkan konteks perbincangan di atas, didapati mesej dakwah kepada al-Namrudh melibatkan kedua-kedua bentuk iaitu umum dan khusus. Mesej umum ialah aspek akidah iaitu mengisbatkan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t. dengan bukti adanya kehidupan dan kematian. Manakala mesej khusus ialah menjelaskan tentang kelemahan makhluk dan tidak layaknya makhluk disembah walau setinggi manapun kekuasaannya. Justeru Namrudh mempunyai keegoan yang sangat tinggi hingga mengaku boleh menghidupkan orang mati maka mesej-mesej tersebut amat tepat.




3.0       Metodologi Dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada golongan sasarnya

Sejarah perjalanan dakwah tidak akan dapat lari daripada pertembungan dengan ragam manusia yang pelbagai di samping pelbagai latar belakang mad’u (sasaran dakwah) seperti golongan al-Mala’ (golongan elit), al-Jumhur (orang awam) dan al-Asi (pelaku maksiat) dan juga di kalangan non-Muslim. Di dalam bab ini, penulis akan menghuraikan kaedah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s di dalam menyampaikan risalahnya:

3.1       Kaedah mujadalah (dialog, debat, diskusi, wacana secara ilmiah)

Metode mujadalah (dialog, debat, diskusi, wacana dan lain-lain yang seerti dengannya) merupakan antara kaedah popular yang digunakan para Rasul termasuklah Nabi Ibrahim a.s. Mujadalah boleh dibahagikan kepada dua bentuk:

a.      Mau’izah Hasanah
Al-Qur’an juga menggambarkan pendekatan mau’izah atau nasihat yang dilaksanakan Nabi Ibrahim a.s meskipun terpaksa berhadapan dengan regim Namrudh yang keras hati dan zalim, namun baginda diperintahkan Allah supaya berdakwah dengan menasihati Namrudh secara berlemah lembut. Surah As-Saaffaat ayat 84 daripada surah ini menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim a.s dikurniakan hati yang sejahtera. Hanya hati yang tenang dan sejahtera yang mampi untuk menyampai dakwah dengan kata-kata nasihat yang baik.

A084
Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni..[30]

Nabi Ibrahim juga berdakwah kepada kaumnya dengan menggunakan kaedah nasihat yang baik. Dakwah melalui nasihat diisyaratkan misalnya seperti yang dinukilkan di dalam al-Quran:

A016

Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ibrahim, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya; yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu tahu (membezakan yang baik dari yang buruk)”.[31]

Nabi Ibrahim a.s juga menyeru golongan sasarnya dengan lemah lembut dan kasih sayang. Sebagaimana firman Allah yang menerangkan bagaimana Nabi Ibrahim a.s menyantuni ayahnya sebagai sasaran dakwah yang pertama berdasarkan kedudukan ayahnya sendiri sebagai orang yang paling rapat dengannya. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim a.s berusaha sedaya mungkin agar orang yang rapat dengannya ini terselamat dari kesesatan yang nyata sebagaimana firman Allah:

 A043

Maksudnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.[32]

Pendapat di kalangan ulama mufassirin. Ini kerana Allah s.w.t dengan jelas sekali menggunakan lafaz  أبيه yang membawa makna “ayahku” dan ianya satu ungkapan kasih sayang dan penuh hormat terhadap bapanya. Walaupun seruan dakwah Nabi Ibrahim a.s ditolak oleh bapanya ianya bukan sebagai tanda kegagalan dakwah Nabi Ibrahim a.s kerana persoalan hidayah ialah urusan Allah s.w.t.
.
Kita biasa mendengar ungkapan “kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa membawa bahagia”. Ketika dalam proses menulis tugasan ini, penulis telah mendapati terdapat sebuah kisah Nabi Ibrahim a.s yang bertemu dengan bapanya di akhirat. Hadis ini  membuktikan bahawa kasih anak juga membawa hingga ke syurga. Tidak putusnya kasih anak terhadap orang tuanya sehingga Nabi Ibrahim a.s merayu kepada Allah s.w.t agar bapanya dimasukkan ke dalam syurga. Namun beriman kepada Allah s.w.t dengan tunduk patuh kepada perintahnya adalah semasa hayat manusia di dunia, bukan di akhhirat. Pendapat kasih sayang anak juga hingga ke alam akhirat berdasarkan kepada dalil daripada hadis Rasulullah s.a.w:

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi  s.a.w  bersabda :

يَلْقَى  إِبْرَاهِيمُ  أَبَاهُ  آزَرَ يَوْمَ  الْقِيَا مَةِ وَعَلَى وَجْهِ  آزَرَ قَتَرَةٌ  وَغَبَرَةٌ  فَيَقُولُ لَهُ   إِبْرَاهِيمُ  : أَلَمْ  أَقُلْلَ  لَكَ  لَا  تَعْصِنِي؟  فَيَقُولُ  أَبُوهُ : فَالْيَومَ  لَا أَعْصِيكَ َ فَيَقُولُ  إِبْرَاهِيمُ : يَارَبِّ  إِنَّكَ  وَعَدْتَنِي  أَن لَا تُجْزِيَنِي  يَوْمَ يُبْعَثُونََ  فَأَيُّ خِزْيٍ  أَخْزَى  مِنْ أَبِي الْأَبْعَدِ؟ فَيَقُولُ الله تَعَلَى : إِنَّي  حَرَّمْتُ الْجَنَّةَ عَلَى الْكَافِرِينَ  ثُمَّ  يَقَالُ : يَا  إِبْرَاهِيمُ مَا تَحْتَ رِجْلَيْكَ؟ فَيَنْظُرُ  فَإِذَا هُوَ  بِذِيْخٍ  مُلْْتَطَخٍ فَيؤخَذُ بِقَوَائِمِهِ  فَيُلْقَى  فِي  الْنَّارِ

Maksudnya: “Ibrahim bertemu ayahnya, Azar pada hari kiamat, sedang wajah Azar diliputi kegelapan dan debu. Ibrahim berkata kepadanya, “Bukankah aku telah berkata kepadamu, janganlah durhaka kepadaku?. Ayahnya menjawab, “Pada hari ini aku tidak durhaka padamu”. Ibrahim berdoa, “Ya Allah, Engkau telah berjanji kepadaku untuk tidak menghinakanku pada hari mereka dibangkitkan. Adakah kehinaan yang lebih hina dibandingkan ayahku yang jauh rahmat-Mu?”. Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku telah mengharamkan syurga bagi orang-orang kafir. Kemudian dikatakan, “Wahai Ibrahim, apakah yang berada di bawah kedua kakimu?”. Maka Ibrahim melihatnya ternyata ayahnya menjadi serigala berbulu lebat yang kotor, maka kaki-kakinya dipegang lalu dicampakkan ke neraka”. [33] [34]

Pada pedapat penulis, inilah sebagai satu bentuk motivasi para pendakwah masa kini untuk menggunakan kisah yang disebut di atas kepada golongan mualaf atau saudara baru yang sudah tentu merasa sedih tatkala mereka merasai nikmat iman tetapi ibubapa mereka masih lagi berstatus non-muslim. Inilah indahnya agama Islam menuntut yang agar umatnya berbuat baik kepada ibubapa walaupun ibubapa kita itu non-muslim.

b.      Munazarah
Munazarah (debat) merujuk kepada perbahasan untuk melahirkan sesuatu kebenaran. Menurut Abdul Aziz, tujuan Nabi Ibrahim memusnahkan patung-patung berhala, bukanlah untuk menunjukkan kekerasan, tetapi bertujuan meransangkan kaumnya untuk berfikir bahawa berhala-berhala itu sangat tidak berguna. Hanya satu patung besar tidak dimusnahkan bahkan digantungnya kapak, supaya mereka akan berfikir sejauhmana kekuatan dan kekuasaan sesebuah patung berhala. Metode ini akan menganjurkan perbincangan yang merangsang fikiran benar.[35]

c.       Muhawarah (perbincangan secara soal jawab)
Selain daripada kaedah yang telah dihuraikan pada bahagian (a) di atas, Allah menyatakan kaedah dakwah yang disampaikan oleh Ibrahim a.s kepada bapanya dalam al-Quran dengan menerapkan kaedah Muhawarah iaitu percakapan secara peribadi dan beliau tidak jemu-jemu berbincang dengan harapan bapanya akan menerima dakwahnya. [36] Baginda juga bersoal jawab dengan kaumnya tentang tuhan-tuhan mereka yang tidak memberi apa-apa kepada mereka dalam al-Quran sebagaimana firman Allah:

A016

Bermaksud:“Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab hari yang besar Hari Kiamat)”[37]

Soal jawab ini adalah untuk melemahkan tuhan-tuhan mereka, kemudian barulah beliau menjelaskan tentang Allah, tuhan yang layak disembah. Antara contoh lain ialah muhawarah Nabi Ibrahim a.s dengan kaumnya ialah firman Allah:

إِذۡ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوۡمِهِۦ مَا تَعۡبُدُونَ (٧٠) قَالُواْ نَعۡبُدُ أَصۡنَامً۬ا فَنَظَلُّ لَهَا عَـٰكِفِينَ (٧١) قَالَ هَلۡ يَسۡمَعُونَكُمۡ إِذۡ تَدۡعُونَ (٧٢) أَوۡ يَنفَعُونَكُمۡ أَوۡ يَضُرُّونَ (٧٣) قَالُواْ بَلۡ وَجَدۡنَآ ءَابَآءَنَا كَذَٲلِكَ يَفۡعَلُونَ (٧٤) قَالَ أَفَرَءَيۡتُم مَّا كُنتُمۡ تَعۡبُدُونَ (٧٥) أَنتُمۡ وَءَابَآؤُڪُمُ ٱلۡأَقۡدَمُونَ (٧٦) فَإِنَّہُمۡ عَدُوٌّ۬ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٧٧) ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ (٧٨) وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ (٧٩) وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ (٨٠) 

Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apa yang kamu sembah?" Mereka menjawab: "Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya". Nabi Ibrahim bertanya: "Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya? "Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?" Mereka menjawab: "(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian". Nabi Ibrahim berkata: "Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? "(Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu? "(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam; "Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; "Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,[38]

Nabi Ibrahim a.s memulakan hujjahnya dengan mengajak kaumnya berfikir dengan bertanyakan soalan apakah patung-patung berhala yang disembah itu boleh mendengar dan berupaya mendatangkan faedah ataupun mudarat kepada mereka. Selepas mendorong kaumnya berfikir, barulah Nabi Ibrahim a.s. menyampaikan seruan ketauhidan iaitu Allah s.w.t yang selayak-layaknya disembah.

3.2       Tabshir atau Targhib (berita gembira) dan Indhar (berita ancaman)

Al-Qur’an juga menggambarkan dakwah Nabi Ibrahim a.s dalam yang menyeru dan memberi peringatan kepada bapa dan kaumnya supaya menyembah Allah dan menjauhkan penyembahan-penyembahan yang tidak berguna seperti syaitan agar tidak ditimpa azab Allah:
A070

Maksudnya" Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".[39]

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim memperingatkan bapanya bahawa baginda takut akan azab Allah yang akan menimpa sekiranya bapa dan kaumnya tidak beriman kepada Allah. Adam Abdullah al-Aluri ketika memberi ulasan kepada ayat ini menyifatkan bahawa pendekatan dakwah yang digunakan Nabi Ibrahim adalah penuh beradab, lembut dan kasih sayang disertai hujah yang jelas lagi jitu. Pendekatan yang digunakan tersebut, iaitu tabshir, tandhir, targhib dan tarhib dikira satu pendekatan yang perlu dan berupaya menggoncang serta melembutkan hati manusia untuk tunduk kepada perintah-perintah Allah[40]. Gabungan pendekatan menggembirakan serta menakutkan adalah satu kaedah al-Qur’an yang telah dilaksanakan Nabi Ibrahim a.s dan para rasul ulul azmi dan lain-lain rasul yang boleh diaplikasi dalam konteks dakwah semasa.[41]

3.3       Bertawakal dan berdoa

Tawakal dan doa adalah bentuk pendekatan yang sinonim dengan semua Rasul ulu al-azmi termasuk Nabi Ibrahim a.s dalam menjalankan misi dakwah mereka. Nabi Ibrahim juga mengambil pendekatan yang sama dengan berdoa dan bertawakal di dalam dakwah baginda sepertimana yang dirakamkan dalam Surah al-An’am:

 A079

Maksudnya: "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".[42]

 

Pada pendapat penulis, dakwah Nabi Ibrahim a.s. sungguhpun berdepan dengan seorang raja yang zalim dan satu bala tentera kaumnya, tetapi hakikatnya baginda berdepan dengan satu sistem jahiliyyah yang mengagungkan penyembahan berhala, cakerawala malah seorang raja mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan. Untuk berdepan dengan sistem yang telah mendasari ruang lingkup pemikiran masyakarat seperti ini bukan satu tugas yang mudah dan senang untuk dilaksanakan. Nabi Ibrahim a.s ternyata sekali mempunyai pergantungan dan tawakkal yang kuat apabila dengan tenaga yang ada pada dirinya sebagai seorang individu masyarakat sanggup tampil ke hadapan untuk menyanggah tradisi dan adat yang diamalkan oleh masyarakat turun temurun. Dalam konteks pendakwah pada hari ini, mempunyai pergantungan dan tawakkal kepada Allah SWT adalah merupakan kunci kejayaan.  Malah jika seandainya gerakan dakwah mempunyai tenaga-tenaga yang ramai yang mempunyai rasa takut hanya kepada Allah, ia pastinya merupakan sebuah gerakan dakwah yang kuat. Bagaimanapun, tawakkal ini bukanlah bererti menyerahkan segala tugas dan urusan kepada Allah s.w.t tanpa berusaha, ia bermakna pergantungan dan rasa takut tidak wujud kepada sesama makhluk.


3.4       Mengiktiraf dan meraikan kedudukan mad’ui

Pemerhatian yang tajam dan sensitiviti sangat tinggi yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim a.s terhadap golongan sasarnya atau mad’ui, pada pandangan penulis adalah “soft skill” yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t terhadap pesuruh-Nya. Ini jelas sebagaimana yang ternukil di dalam al-Quran tentang ajakan Nabi Ibrahim a.s kepada ayahnya misalnya dimulai dengan perbicaraan yang halus sekali dengan dengan menyatakan beliau adalah anaknya yang amat mengharapkan belas kasihan dari ayahnya. Sekalipun, ayahnya sentiasa menolak dakwahnya, Nabi Ibrahim a.s tetap memulakan dakwahnya dengan memanggil “wahai ayahku..” (ya abati) sebagai panggilan hormat. Sehinggalah ayahnya mengusir Ibrahim, Nabi Ibrahim a.s tetap memohon doa hidayah dari Allah untuk ayahnya. Begitu sekali perhatian yang tinggi dari Nabi Ibrahim a.s terhadapnya. [43]

3.5       Uslub dan gaya bahasa yang sesuai dengan golongan sasar

Nabi Ibrahim a.s menggunakan gaya bahasa yang paling sesuai apabila berhadapan dengan sasaran dakwah yang berbeza-beza. Jika diperhatikan dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada ayahnya mengandungi pelbagai unsur-unsur kasih sayang sesuai dengan sifatnya sebagai seorang anak di samping seorang rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Lafaz أبت  yang bermaksud ayah kesayanganku digunakan sekalipun jelas dakwahnya telah ditolak oleh ayahnya sendiri. Ini berbeza apabila sasaran dakwahnya merupakan masyarakat umum, Nabi Ibrahim a.s menggunakan gaya bahasa yang sesuai dengan sifat masyarakat yang biasanya menginginkan bukti dan hujjah yang kukuh. Malah dalam ketika tertentu, ternyata Nabi Ibrahim a.s turut menggunakan perkataan-perkataan yang bermaksud celaan kepada penyembah-penyembah berhala. Perkataan أف لكم  yang bermaksud “Jijik perasaanku terhadap kamu”[44] nyata sekali merupakan satu celaan terhadap penyembah-penyembah berhala yang tetap ingkar menerima kebenaran sekalipun mereka sudah kalah di dalam perdebatan.

Dalam konteks dakwah zaman moden hari ini, suka penulis menyarankan bahawa bahawa sekalipun uslub bahasa yang bersifat celaan ini dibenarkan di dalam Islam, namun ia hanya boleh digunakan pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Celaan dan makian yang dibiasakan di dalam usaha menyebarkan mesej dakwah akan menyebabkan fitnah kepada gerakan dakwah sendiri. Oleh yang demikian, di dalam menyampaikan mesej dakwah, sebaik-baiknya setiap pendakwah cuba mengelakkan diri dari menggunakan perkataan-perkataan sebegini kecuali apabila keadaan benar-benar krtikal mengikut suasana dan golongan sasar ketika menyampaikan mesej dakwah.

3.6       Gerak kerja dakwah yang tersusun dan terancang

Gerak kerja terancang Nabi Ibrahim a.s juga boleh dilihat daripada tindakannya menghancurkan semua berhala-berhala kecuali yang paling besar[45]. Jelaslah bahawa Nabi Ibrahim sudahpun merancang daripada awal lagi bahawa perbahasan antara baginda dan kaumnya pasti akan berlaku. Oleh yang demikian, berhala yang paling besar itulah yang akan dijadikan sebagai bahan hujjah apabila berdepan dengan kaumnya nanti. Cabaran yang akan dikemukakan oleh Nabi Ibrahim a.s iaitu supaya kaumnya mengajukan pertanyaan kepada berhala yang paling besar sudahpun dirancang sejak daripada awal lagi. Semua ini membuktikan bahawa sebarang gerak kerja di dalam urusan dakwah haruslah dirancang dengan teliti satu persatu sebelum dilaksanakan.

Pengajaran seterusnya daripada kisah penghancuran berhala ini dapat dilihat daripada kata-kata orang-orang kafir tersebut iaitu "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". Kata-kata ini membuktikan bahawa Nabi Ibrahim ketika bertindak menghancurkan berhala masih lagi merupakan seorang anak muda. Umur baginda secara tepat tidak dinyatakan, namun secara umumnya, seorang anak muda tentulah tidak lebih dari umur 40 tahun. Ia membuktikan bahawa pemuda sebenarnya aset penting kepada gerakan dakwah. Umur muda Nabi Ibrahim tidak digunakan untuk berseronok tetapi digunakan untuk melakukan sesuatu yang menjadi sebutan sejarah turun temurun. Inilah martabat pemuda yang sebenar di dalam Islam. [46]

Iktibar dari peristiwa ini, para pendakwah masa kini perlu ada daya pemikiran yang tajam dan visi dakwah yang jauh ke hadapan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dengan mewujudkan strategi dakwah yang berkesan.

3.7       Menjamu tetamu sebagai satu uslub dakwah Nabi Ibrahim a.s
Islam mengajar umatnya agar menghormati tetamu. Penghormatan itu tidak sebatas pada tutur kata yang halus dalam menyambutnya, manis muka, mesra malah kita disaran agar melayan tetamu dengan sikap yang menyenangkan tamu tersebut. Misalnya dengan memberikan jamuan, walaupun hanya sekedarnya. Sikap memuliakan tamu, bukan hanya mencerminkan kemuliaan hati si tuan rumah kepada tamu-tamunya. Allah menyebut di dalam Al-Quran yang mulia bahawa tatkala Nabi Ibrahim a.s selesai mengucapkan salam untuk para malaikat yang disangka beliau tamu manusia biasa, beliau bersegera menghidangkan jamuan untuk mereka berupa daging anak sapi yang dipanggang. Dan ketika para tamu tersebut tidak mau memakannya, Nabi Ibrahim a.s merasa aneh dengan perbuatan mereka dan merasa takut. Para tamu itupun berkata kepadanya, “Janganlah kamu takut.” Lalu mengabarkan sesuatu kepada Nabi Ibrahim.[47]

Dalam satu kisah yang lain, seorang tua kafir meminta agar ia diundang makan oleh Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. berkata kepadanya: “Jika engkau masuk agama Islam, aku akan menjamumu makan.” Maka Allah s.w.t menegur kepada Nabi Ibrahim a.s, “Wahai Ibrahim!, aku memberi rezeki kepadanya sepanjang umurnya walaupun dia kafir. Sedang engkau hanya memberinya makan sekali saja telah berbuat begitu kepadanya”. Nabi Ibrahim a.s yang menyedari kesalahannya mengejar lelaki tua itu kembali untuk menjamunya. Lelaku tua itu menjawab, “Tuhan yang menegur Nabi-Nya kerana orang kafir, maka Dialah Tuhan yang lebih layak disembah. Akhirnya lelaki tua itu menyatakan keimanannya kepada Allah s.w.t. [48]

Rakan-rakan dai’e yang dimuliakan oleh Allah s.w.t, marilah sama-sama kita mencontohi akhlak mulia Nabi Ibrahim a.s yang suka menjamu tetamu. Dalam usaha kita berdakwah, kaedah menjamu tetamu, jiran, rakan-rakan sama ada muslim ataupun non-muslim. Di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan berbilang kepercayaan agama, marilah sama-sama kita mengambil peluang dan kesempatan ini untuk mengundang mereka makan dirumah kita terutamanya semasa menyambut aidil Fitri ataupun Aidil Adha. Jikalau kita ahli jawatankuasa masjid, metod ini amat berkesan untuk mengajak masyarakat datang ke masjid. Ini kerana seseorang muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhir akan mengimani wajibnya memuliakan tamu sehingga ia akan menempatkannya sesuai dengan kedudukannya. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاْليَوْمِ اْلأخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Barang siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia memuliakan tamunya.”[49]


3.7       Hijrah Nabi Ibrahim a.s sebagai satu saluran dakwah

Penentangan dari bapa, kaum dan golongan pembesar yang dialami para Nabi Ibrahim a.s dalam dakwah menjadi faktor keizinan untuk berhijrah dan ianya adalah satu perintah Allah s.w.t. Malahan pendekatan hijrah dalam dakwah ini misalnya telah dilalui oleh bukan sahaja oleh baginda a.s malahan kepada para rasul ulu al-Azmi, tetapi juga lain-lain rasul yang bukan ulu al-Azmi.[50] Namun demikian, dengan merujuk secara khusus kepada rasul ulul azmi, al-Qur’an misalnya menjelaskan tentang hijrah Nabi Ibrahim a.s. ke Syria. Firman Allah:

 A071
Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.[51]

Hijrah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Luth a.s adalah menuju ke Sham (Syira). Semasa di Hiran, baginda bertemu dengan Sarah dan berkahwin dengannya. Sebagai mengungkapkan rasa syukur kepada Allah s.w.t, Nabi Ibrahim a.s telah melakukan upacara korban di Baitul Maqdis. Kemudian tidak seberapa lama, baginda berhijrah pula ke Taiman tetapi kawasan tersebut kekeringan dan penduduk setempat mengalami kelaparan, lalu Nabi Ibrahim berpindah pula ke Mesir. Menyentuh tentang kisah Sarah, kita tidak boleh lari daripada kisah bagaimana Sarah mendepani Rajanya, tetapi Sarah selamat dari perbuatan jahat raja tersebut, malah dihadiahkan seorang hamba yang bernama Siti Hajar. Kemudian Nabi Ibrahim a.s, Sarah dan Siti Hajar berpindah semula ke Taiman iaitu sebuah kawasan yang terletak di dalam Baitul Maqdis. Rentetan daripada itu, Nabi Ibrahim a.s berkahwin dengan Siti Hajar dan berpindah pula ke Makkah dengan membawa anaknya Nabi Ismail a.s. Perjalanan hijrah Nabi Ibrahim ini, penulis ringkaskan kepada “road map” dan sila rujuk di Lampiran 2 sebagai rujukan.  

Di dalam konteks dakwah moden hari ini, para pendakwah harus berani untuk berhijrah jika dakwah kita ditentang oleh golongan sasar. Umpamanya daripada menggunakan metod lisan yang mungkin kurang berkesan, kita menggunakan saluran dakwah dengan “berhijrah” kepada saluran berbentuk tulisan. Masa era ini, terdapat banyak kemudakan ICT untuk digunakan sebagai saluran dakwah umpamanya blog, facebook dan twitter untuk memberi mesej kesedaran, dan mengingatkan golongan sasar. 



4.0       Kesimpulan

Sebagai penutup, jelaslah kepada kita bahawa di dalam dakwah Nabi Ibrahim a.s yang diceritakan di dalam Al-Quran tidak hanya sekadar satu cerita dan pengkisahan biasa sahaja, tetapi mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar kepada pembaca-pembaca Al-Quran khususnya. Manhaj-manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s dalam menyampaikan dakwahnya jelas sekali merupakan contoh yang terbaik kepada semua individu pendakwah yang sentiasa berusaha untuk menyebarkan mesej dakwahnya. Seandainya contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s ini dapat dijadikan ikutan dan amalan soleh pendokong-pendokong gerakan dakwah pada hari, gerakan dakwah pasti akan mempunyai masa depan yang lebih gemilang.





Rujukan


Al-Quran dan terjemahan

al-Aluri, Adam Abdullah. 1979. Tarikh al-Da’wah ila Allah baina al-Ams wa al Yaum. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.

Al-Amiri Ahmad al-Barak. 2000. Fiqh Da’wah al-Anbiya‟ fi al-Qur‟an al-Karim. Dimashq: Dar al-Qalam.

Al-Sabuni Muhammad Ali. 1980. al-Nubuwwah wa al-Anbiya‟, c. 2. T.T.P.: T.P

Al-Shawkani Muhammad ibn Ali ibn Muhammad (t.t), Fath al-Qadir al-Jami„ bayn Fannay al-Riwayah wa al-Dirayah min, Ilm al-Tafsir, j. 1. Bayrut: Dar al-Ma„rifah.

Abd Aziz Mohd Zin. 2005. Metodologi dakwah. Cet. ke-3. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Abdul Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2011. Dakwah kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu al-azmi. Jurnal Islamiyyat 33 (2011): 45-52. Penerbit UKM

Abul Fidaa’ Ismail bin Katsir al-Quraisy. 2001. Kisah para nabi, teladan bagi orang berakal, Jilid 1. Johor Bahru. Penerbit:  Perniagaan Jahabersa


Hasan Muhammad al-Khairun bin Gozali. 2005. Dialog para nabi dengan Allah, malaikat & syaitan. Johor Bahru. Penerbit: Perniagaan Jahabersa

Johari Yaman. 2009. Kisah para nabi, pengajaran & iktibar. Rawang. Penerbit: Nadi Minda Enterprise

Muhd. Najib Abdul Kadir, Mabruri Mohammad Sai & Latifah Abdul Majid. 2013. Metodologi dakwah kepada ibu bapa bukan muslim berdasarkan kisah Nabi Ibrahim AS. Jurnal  Islamiyyat 35(2) 2013: 57-66. Penerbit: UKM

Muhammad Abu Zahrah (t.t), Zahrah al-Tafsir, j. 2. Al-Qahirah: Dar al-Fikr al-„Arabi.

Muhammad Surur ibn Nayf Zayn al-Abidin. 1984. Manhaj al-Anbiya‟ fi al-Da’wah Ila Allah, c. 2. Al-Kuwayt: Dar al-Arqam li al-Nashr wa al-Tawzi

Syaikh Mushthafa al-Adawi. 2014. Sahih hadiths Qudsi. Jakarta. Penerbit: Darul Haq


S. Husin Ali. 1982. Masyarakat dan pimpinan kampung di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd
.
Syeihk Muhammad Mutawalli Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan Ismail a.s. Johor Bahru. Penerbit: Perniagaan Jahabersa

Wahid Haniff & Azrul Ismail. 2014. Menyingkap kehebatan nama-nama Allah disebalik kisah hikmah. Selangor. Penerbit: Telaga Biru

Zawawi Yusoff. 2014. Mesej dakwah para rasul (a.s.) kepada golongan pembesar negara. Jurnal Islam dan masyarakat kotemporari. Bil. 8 Jun 2014. Penerbit: Universiti Sultan Zainal Abidin

 


Lampiran 1


Surah
No Surah
Ayat
Al-Baqarah
2
124, 125 (dua kali), 126, 127, 130, 132, 133, 135, 140, 258 (dua kali), 260
Al-Imran
3
33, 135, 136, 140, 258 (dua kali), 260
An-Nisa
4
54, 125 (dua kali), 163
Al-An’am
6
74, 75, 83, 161
At-Taubah
9
70, 114 (dua kali)
Hud
11
69, 74, 75, 76
Yusuf
12
6, 38
Ibrahim
14
35
Al-Hijr
15
51
An-Nahl
16
120, 123
Maryam
19
41, 46, 58
Al-Anbiya
21
51, 60, 62, 69
Al-Hajj
22
26,43, 78
Alsh-Shu’ara
26
69
Al-Ankabut
29
16, 31
Al-Ahzab
33
7
As-saffat
37
83, 104, 109
Sad
38
45
Ash-Shura
42
13
Az-zukhruf
43
26
Adh-Dhariyat
51
24
Al-Najm
53
37
Al-Hadid
57
26
Al-Mumtahinah
60
4 (dua kali)
Al-A’ala
87
19













[1] Surah al-Baqarah 2:30
[2] Surah al-nahl:120
[3] Syeihk Muhammad  Mutawalli  Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan Ismail a.s, hlm 2
[4] AbulFida’Ismail bin Katsir Al-Quraisyi (Ibn Kathir). 2001. Kisah teladan para Nabi teladan bagi orang yang berakal,  Jilid1, hlm 162
[5] Ibid
[6] Syeihk Muhammad  Mutawalli  Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan Ismail a.s, hlm 2
[7] Diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaznya no 168, Tirmidzi no 3649 dan disahihkan dengan Al-Albani dalam sahih "Tirmidzi no 2885 dan dalam Al-Syamil no 12, Ibnu  Mundah  no 729 dan Ahmad di dalam "Musnad" (3/334)
[8] Diriwayatkan oleh al-Bukhari  no 3355, no 3438, no 5913, Muslim no 166 dan  lafaz darinya dan diriwayatkan juga oleh Ahmad 1/245,257,259,277,374
[9] Syeihk Muhammad  Mutawalli  Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan Ismail a.s, hlm 3
[10] Diriwayatkan oleh Thabraniy pada“ Al-Awail” no.10, dan  isnadnya hasan dan semua periwayatnya terpercaya dan dikenal
[11] Shauqi Abu Khalil. 2003. Atlas of the Qur’an, hlm 53
[12]Diriwayatkan oleh Thabraniy dalam “al-kabir” (22/75), no (185,186), Baihaqi pada “al-sunan” (9/188), Thailasiy pada no (1918) dalam “Asmaa wa sifat”
[13] Abdul Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2011. Dakwah kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu al-azmi, hlm 45
[14] Abd Aziz Mohd Zin. 2005. Metodologi Dakwah, hlm 2
[15] Sila rujuk surah Maryam : 41 – 47
[16] Johari Yaman. 2009. Kisah para nabi, pengajaran & iktibar, hlm 257 - 264
[17] Sila rujuk surah Al-An’am ayat 75-83
[18] Ibid,  hlm 258
[19] Surah  Al-'Ankabuut 29:25
[20] S. Husin Ali. 1982. Masyarakat dan pimpinan kampung di Malaysia, hlm 13
[21] Zawawi Yusoff. 2014. Mesej dakwah para rasul (a.s.) kepada golongan pembesar negara, hlm 87
[22] Al-Shawkani Muhammad ibn Ali ibn Muhammad (t.t), Fath al-Qadir al-Jami„ bayn Fannay al-Riwayah wa al-Dirayah min, Ilm al-Tafsir, j. 1, hlm 277
[23] Al-Sabuni Muhammad Ali. 1980. al-Nubuwwah wa al-Anbiya‟, c. 2. T.T.P.: T.P, hlm 157.
[24] Muhammad Abu Zahrah (t.t), Zahrah al-Tafsir, j. 2, hlm 956-959
[25] Surah al-Baqarah ayat 258
[26] Al-Amiri Ahmad al-Barak. 2000. Fiqh Da’wah al-Anbiya‟ fi al-Qur‟an al-Karim, hlm 200-201
[27] Ibid
[28] Al-Shawkani Muhammad  Ibn Ali Ibn Muhammad (t.t), Fath al-Qadir al-Jami„ bayn Fannay al-Riwayah wa al-Dirayah min, hlm 277
[29] Muhammad Surur ibn Nayf  Zayn al-Abidin. 1984. Manhaj al-Anbiya‟ fi al-Da„wah Ila Allah, c. 2, hlm 112-113
[30] Surah As-Saaffaat 37:84
[31] Surah Al-'Ankabuut 29:16
[32] Surah Maryam 19:43
[33] Syaikh Mushthafa al-Adawi, Shahih Hadiths Qudsi. 2003. Himpunan hadiths Qudsi, hlm 12 
[34] Hadis riwayat al-Bukhari
[35] Abd Aziz Mohd Zin. 2005. Metodologi Dakwah, hlm 52-56
[36] Abdul Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2011. Dakwah kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu al-azmi, hlm 49-50
[37] Surah Al-'Ankabuut 29:16
[38] Surah Asy-Syu'araa' 26: 70 - 80
[39] Surah Maryam 19: 45
[40] al-Aluri, Adam Abdullah. 1979. Tarikh al-Dacwah ila Allah baina al-Ams wa al Yaum, hlm 54
[41] Abdul Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2011. Dakwah kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu al-azmi, hlm 50
[42] Surah Al-An'aam 6:79
[43] Surah Maryam 19: 45
[44] Surah Al-Anbiyaa : 69
[45] Ini disebut di dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 58
[46] Johari Yaman. 2009. Kisah para nabi, pengajaran & iktibar , hlm 264 - 265
[47] Sila rujuk Adz-Dzaariyaat 51:24 - 28
[48] Wahid Haniff & Azrul Ismail. Menyingkap kehebatan nama-nama Allah disebalik kisah hikmah, hlm 5
[49] Hadis riwayat al- Bukhari
[50] Nabi Yunus a.s, Nabi Salleh a.s adalah antara Nabi yang bukan ulul azmi yang berhijrah ketika berdakwah kepada kaum masing-masing
[51] Surah al-Anbiya’ 21: 71


3 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian artikel ini..

    Nur Farihatussolehah bt Arif Ambia ( GB 02417)

    ReplyDelete
  2. Permulaan yang baik dalam menghebahkan keprihatian kepada kanak-kanak di alam maya. Tahniah!

    ReplyDelete
  3. Artikel ini baik untuk perkongsian bersama. Tahniah, teruskan lagi perkongsian bahan-bahan ilmiah seperti ini.
    mohd solehhuddin b.shuid GB02397

    ReplyDelete