السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
1.0
Pengenalan
Wanita
adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan dengan fitrahnya tersendiri. Wanita
berbeza dengan lelaki bukan sahaja dari segi fizikal tetapi dari segi emosi.
Wanita suka pada hiasan, sama ada hiasan rumah atau hiasan diri dan kepada
keindahan dan keselesaan. Di atas sifat kewanitaan inilah wanita di Malaysia
telah berjaya membangunkan diri menjadi wanita terpelajar, berkarier, menjadi
ibu dan isteri yang berjaya. Pada keseluruhannya kebanyakan wanita hari ini
bekerja sepenuh masa tanpa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
[1]
Walau
apapun pangkat, jawatan atau kelulusan seseorang wanita, secara amnya wanita
hari ini masih kurang pengetahuan mengenai haknya di sisi undang-undang. Ramai
wanita mengalami masalah di tempat kerja, di rumah dengan keluarga atau suami
dan juga dengan jiran tetangga, persekitaran; tetapi kebanyakan masalah ini
dibiarkan berlarutan atau dipendamkan begitu sahaja. Kebanyakan wanita kerana
sifat kewanitaannya lebih kerap sanggup menangung derita dari membuka pekung di
dada.[2]
Perkataan
“hak” asalnya ialah dipetik dari perkataan Arab yang digunapakai di dalam
bahasa Melayu. Dalam bahasa Arab hak disebut ‘haq’ (حق). Kamus Dewan
menyebut antara maksud perkataan hak ialah
‘kuasa atas sesuatu, atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh
undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain).[3]
Dalam bahasa Arab, Haq mempunyai banyak maksud, antaranya apa yang disebut oleh
Ibn Manzur (meninggal dunia 711H) sebagai “Sesuatu yang dikhususkan atau
sesuatu yang menjadi bahagian yang mesti diberi kepada seseorang”. Bertitik
tolak daripada maksud haq dari segi bahasa, maka para fuqaha menyebut perkataan
haq ini kepada “sesuatu yang sabit dengan hukum dan pengakuan syarak, di atas
sebab itu, maka ia dilindungi”.
“Hak
wanita” bermaksud wanita mempunyai keistemewaan di dalam undang-undang, yang
ianya merangkumi berbagai perkara (yang akan dipantau). Termasuklah hak sedari
kecil hinggalah kepada penghujungnya. Malah ianya perlu dijaga dan serahkan
kepada mereka. [4]
Kenapa
perlu dijaga? Selalu ditimbulkan isu ‘wanita dan hak’, apakah kaum lelaki tidak
ada hak? Ataupun hak lelaki sudah terjamin di sisi undang-undang? Ianya menjadi
persoalan apakah ianya sebegitu sukar untuk dimiliki? Apakah tiada satu aturan
bagi memudahkan permilihan hak-hak tersebut? Malah ianya dilihat seolah-olah
satu isu yang agak sama (akan dilihat di bawah ini). Oleh kerana itu,
sayugialah setiap wanita mengetahui hak-haknya bagi memudahkan setiap
perbuatannya, apatah lagi dalam membuat tuntutan terhadap hak-haknya. Ianya
tidak akan berbangkit jika tidak dijadikan masalah, dan masalah ini bukanlah
satu perkara yang dipinta. Oleh kerana ianya satu keadaan yang tidak diketahui
mungkib atau tidak berlaku kepada kita, maka perlulah ianya diambil tahu bagi
mengelakkan sebarang ketidakadilan terhadap hak-hak kita.
Antara
peranan utama pemerintah ialah menekankan betapa pentingnya pemeliharaan
terhadap hak golongan minoriti dan wanita. Golongan wanita di Malaysia telah
mendapat segala hak utama yang mereka kehendaki sama ada dari segi peluang
pekerjaan, dalam bidang ekonomi, pemilikan harta, hak bersuara dan sebagainya.
Pendek kata, golongan wanita di Malaysia merupakan golongan yang boleh dianggap
“istemewa” berbanding golongan wanita di negara-negara lain. Golongan wanita di
Malaysia tidak didiskriminasikan dan mendapat hak yang sama dengan lelaki.
Malah kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa menjelang 2020, 30% daripada
pembuat dasar kerajaan adalah melibatkan golongan wanita. Kerajaan juga telah
menubuhkan kementerian khusus bagi menjaga hak dan pembangunan wanita di
Malaysia. [5]
Hak-hak
wanita yang termaktub dalam undang-undang sivil dan syariah yang ada di negara
kita pada hari ini adalah cukup luas dan menyeluruh untuk membela dan menjamin
hak-hak wanita. Namun, ramai kaum wanita tidak sedar dan tidak tahu kewujudan
hak-hak tersebut. Disebabkan kurangnya pengetahuan ini maka kaum wanita
seringkali keliru dan buntu apabila berhadapan dengan masalah dan menyalahkan
undang-undang kerana menyangka bahawa undang-undang tidak dapat membela nasib
mereka. Salah satu cara untuk mengatasi masalah tersebut adalah dengan
mengadakan seminar yang mana ianya boleh memberi kesedaran kepada kaum wanita
khususnya dan masyarakat amnya berhubung dengan hak-hak wanita. Seperkara yang
menjadi masalah dan merugikan kaum wanita adalah kurangnya pengetahuan
berhubung dengan prosedur dan cara-cara untuk memperolehi hak tersebut. Adalah tidak
memadai dan menjadi satu perkara yang sia-sia jika kita mengetahui akan hak
kita tetapi tidak tahu bagaimanakah caranya dan kepada siapakah kita perlu
merujuk untuk mendapatkan hak tersebut. [6]
Islam
telah mencatatkan di dada sejarah bahawa Rasulullah SAW adalah pembela agung
wanita. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama
sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jika pun
ada pembelaan, hak kaum wanita adalah atas ehsan dan simpati lelaki
semata-mata. Malah dalam sesetengah masyarakat menganggap wanita adalah sial
dan berstatus rendah di dalam strata masyarakat.
Dalam
masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya akan dihukum
mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah
nilainya daripada lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap
peringkat dalam masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap
wanita adalah lambing syaitan.
Sementara
itu, masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup.
Masyarakat Hindu adalah lebih dahsyat lagi. Mereka membakar seorang isteri
bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah
Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut:
“…Historically, Islam had been bery liberal
and progressive in granting property rights to women. It is a fact that there
were no property rights given to Hindu wowen until 1956, when the Hindu Code
Bill was passed, whereas Islam hand granterd these rights to Muslim woen over
1400 years ago.”
Namun
kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah rahmat bagi wanita. Hadith-hadith Baginda
SAW membela dan mempertahankan hak mereka. Kehadiran hadith-hadith ini
mengembalikan kedudukan wanita dan membuang tanggapan bahawa kaum wanita adalah
golongan membawa sial, punca maksiat dan membawa bencana dalam masyarakat.
Umpamanya
hadith-hadith Baginda SAW melarang orang Arab membunuh anak perempuan.
Antaranya Baginda SAW menyebut:
Maksudnya:
Daripada al-Mughirah bin Syu’bah katanya: Sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya Allah
mengharamkan ke atas kamu penderhakaan terhadap ibu, menanam (membunuh) anak
perempuan, menghalang dan meminta, Allah tidak menyukai kamu bercakap banyak,
banyak bertanya dan menghilangkan harta”.
Bahkan
Baginda SAW menyuruh agar anak-anak perempuan dikasihi dan dilakukan kebaikan
terhadap mereka. Sabda Nabi Muhammad SAW:
عَنْ عُرْةْ بْنَ اَلْزُّبَيْرِ: أَنَّ عَائِشَةَ زَوْجَ
اَلْنَّبِيِّ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَتْهُ قَالَتْ جَاءَتْنِي
اَمْرَأَةٌ مَعَهَا اَبْنَتَانِ تَسْأَلُنِي فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي غَيْرَ
تَمْرَةٍ وَاحِدَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ اَبْنَتَيْهَا ثُمَّ
قَامَتْ فَخَرَ جَتْ فَدَخَلَ اَْنَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَحَدَّثْتُهُ فَقَالَ مَنْ يَلِي مِنْ هَذِهِ اَلْبَنَاتِ شَيْأً فَأَحْسَنَ
إلَيْهِنَّ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ اَلْنَّارِ
Maksudnya:
Daripada ‘Urwah bin al-Zubair bahawa ‘Aisyah isteri Nabi SAW menceritakan
kepadanya, katanya ‘Aisyah : “Telah datang kepadaku wanita bersama dua orang
anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan
sebiji kurma. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua-dua
anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar.”
Apabila Nabi SAW masuk, aku menceritakan kepadanya, lalu Baginda
bersabda : “Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu
dia melalukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api
neraka untuknya.”
Penelitian terhadap hadith-hadith
Nabi SAW mendapati bahawa Baginda SAW dalam mempertahankan dan membela hak
wanita menggunakan berbagai-bagai pendekatan. Kesemua pendekatan membawa kepada
tujuan membela dan memelihara hak-hak kaum wanita. Di sini dinyatakan
bentuk-bentuk pendekatan Nabi SAW dalam menghuraikan maksud ini:
i.
Melarang Kaum Lelaki Mengganggu Hak Wanita Untuk Ke Masjid
Perkara ini dijelaskan melalui hadith
Rasulullah SAW:
عَنْ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ
صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ اَلْمَسَاجِدَ
إِذَا اَسْتَأْ ذَنَّكُمْ
Maksudnya: ‘Abd Allah bin Umar,
katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu halang
wanita-wanita kamu ke masjid-masjid apabila mereka meminta keizinan kamu”.
Indahnya syiar Islam bahawa berjemaah
di masjid adalah diizinkan untuk kaum wanita mendirikan solat secara berjemaah.
Walaupun terdapat hadith yang mengatakan bahawa wanita lebih patut mengutamakan
solat dirumah mereka sendiri. Namun, bersolat di masjid adalah hak mereka.
Justeru, Rasulullah SAW melarang kaum lelaki daripada menggangu hak tersebut.
ii.
Memberi Amaran Keras Terhadap Suami Yang Tidak Berlaku Adil Kepada
Isteri-Isterinya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ اَلْنَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ لَهُ امْرَ أَتَانِ يَمِيلُ لِاحْدَا هُمَا عَلَى الأُ
خْرَى جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَذُ شِقَّيْهِ مَائِلٌ (أو ساقط)
Daripada Abu Hurairah r.a : Nabi SAW
bersabda: “Sesiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia condong (berat sebelah)
kepada salah seorang melebihi yang lain, maka dia datang pada hari kiamat dalam
keadaan bahunya senget (dalam riwayat lain, bahunya jatuh).
Hadith ini memberi amaran kepada
suami yang berpologami tetapi tidak menunaikan hak isteri-isterinya dalam
memperolehi keadilan dan kesaksamaan. Ketidakadilan suami di dunia akan membawa
kerugian di akhirat kelak. Keadilan hak di antara isteri tidak mengira umur,
kecantikan, pangkat dan kedudukan.
iii.
Membuka Ruang Dan Peluang Kepada Kaum Wanita
Antara pendekatan yang diambil dalam hadith-hadith Nabi SAW dalam
meninggikan nilai dan hak wanita ialah mengizinkan kaum wanita ini untuk
menceburkan diri dalam bidang-bidang tertentu sehingga terbukti peranan mereka.
Dengan itu, maka hak penglibatan mereka dalam masyarakat akan diiktiraf dengan
sendirinya. Antaranya Baginda SAW memberi peluang kepada kaum wanita untuk
terlibat memberi rawatan di medan perang.
Maksudnya: Daripada Rubaiyi’ binti Mu’awwidz, katanya: “Kami (kaum
wanita) berperang bersama dengan Nabi SAW, kami memberi minum kepada tentera,
berkhidmat untuk mereka dan membawa mereka yang cedera dan mati pulang ke
Madinah.
3.0
Hak-Hak
Wanita Dalam Aspek Undang-Undang Keluarga
Di
Malaysia, hak seseorang wanita itu telah ditentukan dengan jelas di dalam
Undang-Undang Kekeluargaan Islam setiap negeri. Tujuan perundangan ini
diwujudkan adalah untuk memberi keadilan kepada kaum wanita supaya golongan ini
mendapat hak sepatutnya dan tidak ditindas. Disamping itu, ia juga bertujuan
untuk membolehkan pihak wanita menuntut hak yang sepatutnya diberi bersandarkan
kepada tuntutan hukum syarak. Hak-hak wanita yang termaktub di dalam Akta
Undang-Undang Keluarga Islam ialah:
a. Hak Untuk Berkahwin
Enakmen Undang-Undang Kekeluargaan Islam (Negeri Selangor) 2003
menyatakan bahawa hak seseorang wanita untuk berkahwin telah diperuntukkan
dengan jelas di bawah seksyen 8 iaitu:
“Tiada sesuatu perkahwinan boleh di akad nikahkan di bawah Enakmen ini
jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu
berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur enam belas
tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis
dalam hal keadaan tertentu”.
Tujuan peruntukkan ini dibuat bukanlah sebagai satu bentuk sekatan bagi
pasangan berkahwin pada umur yang muda. Namun ia bertujuan untuk memastikan
setiap pasangan mempunyai tahap kematangan yang mencukupi dan mempunyai
persediaan untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam institusi kekeluargaan.
Jelas, dengan peruntukkan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan
kes-kes perceraiaan dan masalah kes suami yang tidak mampu memberi nafkah dan
tidak bertanggungjawab sebagai seorang suami.
b. Hak Untuk Mendapatkan Mas
Kahwin
Wanita juga diberi hak sepenuhnya terhadap mas kahwin yang dibayar
terhadapnya masa akad nikah dijalankan,
bahkan hak isteri ke atas mas kahwin tersebut tidak boleh digugurkan atas
alasan perceraian ataupun pembubaran perkahwinan. Jika suami masih berhutang,
maka wajib bagi suami utk menjelaskan hutang mas kahwin tersebut.
Di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen
21 dan Seksyen 59, menyebut tentang mas kahwin dan hak-hak wanita ke atasnya.
Hak seseorang wanita terhadap mas kahwin tidak akan terjejas apabila
perkahwinannya dibubarkan.
c. Hak Mendapat Nafkah
Seksyen 60 hingga 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri
Selangor) 2003, adalah tentang nafkah. Mahkamah mempunyai kuasa untuk
memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas
isterinya melainkan jika wanita tersebut nusyuz. Hak –hak tersebut:
§
Makan minum
(sekurang-kurangnya 2 kali sehari)
§
Tempat tinggal (tempat
kediaman yang mampu suami sediakan)
§
Pakaian (sekurang-kurangnya
2 helai setahun)
§
Perubatan
§
Keselamatan
d. Hak Dalam Poligami
Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003,
Seksyen 23(1) telah menetapkan hak bagi setiap wanita untuk mendapat
perlindungan daripada suami yang berpoligami. Dalam konteks ini, Akta ini telah
menetapkan beberapa syarat sebelum lelaki itu dibenarkan oleh mahkamah berbuat
demikian. Seksyen 23 menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu semasa masih di
dalam perkahwinan membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain
kecuali dengan kebenaran daripada mahkamah.
Seksyen 123 menyatakan sekiranya lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran
bertulis seperti mana yang diperuntukkan dalam Seksyen 23 dan kemudiannya
berkahwin lagi, maka dia telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum denda
sehingga RM1,000.00 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Selain dari itu, Mahkamah juga perlu berpuas hati tentang lima perkara sebelum
kebenaran diberikan iaitu:
i.
Bahawa perkahwinan yang
dicadangkan itu adalah perlu dan patut memandangkan kepada hal-hal keadaan yang
berikut, iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani
untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak
persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
ii.
Bahawa permohon mempunyai
kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh hukum
syarak, semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan
menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan
itu;
iii.
Bahawa pemohon akan berupaya
memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut hukum syarak;
iv.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan
itu tidak akan menyebabkan ‘darar syarie’ (kemudaratan) kepada isteri atau
isteri-isteri yang sedia ada; dan;
v.
Peruntukkan tentang poligami dalam
Undang-Undang Keluarga Islam jelas memberi satu bentuk keadilan dan segala
perlindungan kepada kaum wanita di mana ia memberi segala hak dan kepentingan
isteri yang sedia ada terjamin dan tidak tertindas. Contohnya, isteri yang
sedia ada akan diserahkan satu salinan permohonan dan akuan berkanun bersama (dengan
iaitu untuk hadir ke mahkamah) kepada mereka sebagai makluman awal sebelum
permohonan poligami dibuat. Semua peruntukkan ini dibuat bukanlah bertujuan
untuk menghapuskan terus poligami yang dibenarkan oleh Islam, tetapi ianya di
adakan agar tujuan poligami sebenar tidak disalahgunakan disamping untuk
mengelakkan diskriminasi terhadap kaum wanita.
e. Hak Menuntut Cerai Secara
Khulu’ (Tebus Talak)
Hak untuk mendapatkan perceraian secara khulu’s atau tebus talak bagi
membatalkan ikatan perkahwinan dengan sebab-sebab yang munasabah dan telah
diputuskan oleh mahkamah seperti mana diperuntukkan dalam subseksyen 49(1) :
“Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya
sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan talak,
mahkamah hendaklah selepas jumlah bayaran tebus latak dipersetujui oleh
pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara
penebusan dan perceraian itu adalah bain sugra atau tidak boleh dirujuk’kan.”
f. Hak Menuntut Cerai Secara
Ta’liq (Aku Janji)
Hak untuk mendapatkan perceraian di bawah takliq atau janji seperti mana
diperuntukkan di bawah seksyen 50(1):
“Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat
perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan takliq yang dibuat selepas
berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang
demikian telah berlaku”.
g. Hak Cerai Melalui Fasakh
Hak untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh jika terdapat satu atau
lebih daripada alasan-alasan munasabah sebagaimana yang diperuntukkan dalam
seksyen 53. Antara yang alasan-alasan tersebut ialah:
§
Suami meninggalkan isteri
selama 1 tahun
§
Suami tidak menunaikan
nafkah batin selama 1 tahun
§
Suami tidak menunaikan
nafkah zahir selama 4 bulan berturut-turut
§
Suami gila atau hilang
ingatan
§
Suami mendera mental dan
fizikal isteri
§
Suami meringkuk di dalam
penjara atau pusat serenti
h. Hak Untuk Nafkah Iddah
Hak terhadap nafkah iddah di mana seorang isteri yang diceraikan berhak
mendapat nafkah iddah yang diberi oleh bekas suaminya sepanjang tempoh iddah.
Dalam seksyen 60(1) menyatakan :
“Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seorang
lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.”
i.
Hak Untuk Tempat Tinggal
Hak untuk mendapatkan tempat tinggal sebagaimana diperuntukkan dalam
sesyen 72(1):
“Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal dirumah di
mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan
tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.”
j.
Hak Keutamaan Hadhanah (Hak Penjagaan Anak)
Ini adalah bagi menjamin kebajikan kanak-kanak tersebut seperti yang
ternukil dalam seksyen 82(1):
“Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala
orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan
juga selepas perkahwinannya dibubarkan.”
Bagi menerangkan seksyen 83 di atas, ibu berhak mendapat hak penjagaan
bagi anak lelaki ialah jika anak lelaki tersebut berumur 7 tahun ke bawah dan
anak perempuan pula jika anak perempuan tersebut berumur 9 tahun ke bawah.
Bagi anak-anak yang berumur lebih dari umur yang tertera di atas,
anak-anak adalah diberi pilihan dan bebas untuk memilih dengan siapakah mereka
ingin tinggal bersama, sama ada dengan ibu ataupun dengan bapa mereka.
Namun begitu, seksyen 83 ini menerangkan lagi bahawa hak penjagaan ibu
akan gugur sekiranya si ibu tadi, antaranya ialah:
§
Murtad
§
Berkelakuan keji
§
Berkahwin semula dengan
lelaki yang dilarang
§
Gila
§
Dipenjarakan atau ditahan
di pusat pemulihan
§
Tidak mampu untuk
memelihara dan mendidik anak dengan baik
k. Hak Penjagaan Anak Tidak
Sah Taraf
Seksyen 86 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
menyatakan bahawa hak penjagaan ke atas kanak-kanak tidak sah taraf adalah
semata-mata kepada ibu dan ibu saudara-mara ibu. Hak penjagaan ibu adalah gugur jika si ibu
tadi mempunyai kriteria yang sama seperti yang ditertera di (j).
l.
Hak Permohonan Isteri Yang Ditinggalkan Langsung
Seksyen 121 Enakmen Undang-Undang Keluatrga Islam (Negeri Selangor) 2003
menyatakan bahawa:
“Jika seseorang tidak lagi hidup bersama dengan isterinya mengikut cara
yang dikehendaki oleh hukum syarak, isteri itu boleh kepada mahkamah untuk
mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya.”
Seksyen 127 Enakmen yang sama juga menyatakan supaya hidup bersama semula
dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka
dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi
RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
m. Perintah Tegahan
Seksyen 107 memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan mana-mana
orang menahan dirinya dari menganggu atau menceroboh dengan apa-apa cara
sekalipun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.
n. Hak Isteri Jika Dianiaya
Suami
Seksyen 128 menyebut bahawa suami atau isteri yang dengan sengaja
menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya
adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi
RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 128 ini adalah terpakai untuk kedua-dua suami isteri bagi
melindungi institusi kekeluargaan Islam.
o. Hak Jika Tidak Mendapat
Keadilan Sewajarnya
Jika seseorang tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isterinya
mengikut hukum syarak, seksyen 129 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri
Selangor) 2003 menjadikannya suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak
melebihi RM1,000.00 atau penjara tiadk melebihi 6 bulan atau kedua-duanya
sekali.
Rumusan
untuk bab 3.0 ini ialah, walaupun terdapat banyak hak-hak wanita dilindungi
oleh undang-undang, golongan wanita juga turut ditegah daripada melakukan
sebarang perkara mengikut kehendak dan sesuka hati mereka sahaja. Ini jelas
ditunjukkan di dalam beberapa seksyen yang terdapat di dalam Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Umpamanya seksyen 60
menyatakan bahawa isteri tidak berhak mendapat nafkah jika nusyuz atau enggan
dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.
4.0 Hak Wanita
Dalam Peruntukkan Undang-Undang Sivil
Prinsip
menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan di dalam
Perlembagaan Perseketuan. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan
bahawa:
“Semua
orang adalah sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan
yang sama rata disisi undang-undang.”
Jelas
Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat
perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama, bangsa dan jantina
seseorang. Martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah. Tetapi perlu
diingat bahawa Undang-Undang Sivil tidak pula menyamakan antara lelaki dan
perempuan. Apa yang penting menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada
darjat yang tinggi mengikut lunas-lunasnya.
4.1 Statut/Akta
Berikut adalah beberapa undang-undang sivil yang telah digazetkan dan
diluluskan oleh Parlimen mengenai perlindungan wanita. Namun secara praktisnya
undang-undang sivil ini diguna pakai untuk wanita yang bukan beragama Islam.
Antaranya ialah seperti berikut:
i.
Akta Memperbaharui Undang-Undang
(Perkahwinan & Perceraian), 1976
ii.
Akta Perempuan Bersuami, 1957
iii.
Akta Perempuan Bersuami dan
Anak-Anak (Nafkah), 1950
iv.
Akta Penjagaan Anak, 1961
v.
Akta Anak Angkat, 1952
vi.
Akta Kesahtarafan Anak, 1971
vii.
Akta Kerja, 1955
4.2 Undang-Undang
Jenayah
Golongan wanita juga adalah dilindungi sebagaimana termaktub di dalam
undang-undang jenayah di Malaysia. Antaranya ialah:
i.
Bunuh dan cedera
ii.
Gugurkan anak
iii.
Rogol (telah dipinda) termasuklah
kes-kes rogol di dalam perkahwinan
iv.
Sumbang mahram
v.
Cabul kehormatan
vi.
Gangguan seksual
a.
Seksyen 509 Kanun Keseksaan
menyatakan di mana adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu:
“….mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan,
membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukkan apa-apa benda…”
b.
Seksyen 364 Kanun Keseksaan
menyatakan:
“Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah seseorang dengan niat
hendak mencabul kehormatannya.”
c.
Kod-Kod Amalan Bagi Pencegahan dan
Pembasmian Gangguan Seksual Di Tempat Kerja
5.0 Kesimpulan
Secara
ringkasnya ini adalah diantara peruntukkan yang secara jelas memberi satu
kelebihan dan menjaga kedudukan wanita sebagai seorang isteri dalam
perkahwinan. Dengan adanya peruntukkan Undang-Undang Keluarga Islam, diharapkan
bahawa kaum wanita dapat berfikir dengan bijak dalam menentukan hak-hak mereka
supaya kedudukan mereka terbela dan terjamin. Sesungguhnya Islam telah
mengangkat martabat kaum wanita dengan segala keistimewaan yang telah
diciptakan oleh Allah. Perlu diingat bahawa segala kelebihan ini perlulah
digunakan secara bijaksana dan meskipun Islam telah memberi hak kepada wanita.
Kaum wanita perlulah tidak melampaui batas serta tidak “meminta-minta” atau
cuba melaksanakan peraturan yang terlalu menonjol hingga melampaui batasan
mereka sebagai seorang wanita. Walau apapun hak yang cuba ditegakkan atas
alasan hak asasi manusia, ianya tidak boleh sama sekali melanggar hukum syarak
yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Kesimpulannya,
hak-hak dan perlindungan ke atas wanita di Malaysia melalui proses perubahan sehingga
kini iaitu:
§
Hak wanita Islam telah
sedia termaktub di dalam Al-Quran dan diperjelaskan melalui hadith-hadith Nabi
SAW
§
Dalam proses tersebut
wanita bukan Islam mendapat pembelaan dari undang-undang sivil dan lain-lain
badan
§
Proses menjadikan hak
wanita undang-undang bertulis adalah satu usaha berterusan yang meningkatkan
martabat kaum wanita itu sendiri
§
Undang-undang mampu membela
hak wanita, namun yang lebih penting ialah penguatkuasaanya.
6.0 Rujukan
1.
Akram Diya' Al-`Umari, terj.
Zainab Abdul Kadir, 2000. Masyarakat Madani Di Zaman Nabi, Kuala Lumpur; The
International Institute of Islamic Thought Malaysia dan Thinker's Library Sdn
Bhd.
2.
Fadhilay Asy-Syeihk Atiyah Saqar,
Membentuk Keluarga Muslim Jilid 1, Jasmin Enterprise, 2005, Kuala Lumpur
3.
Haji Said bin Ibrahim [Bekas Mufti
Negeri Sabah], 400 Soaljawab Nikah Kahwin, Darul Ma’rifah, 2001, Selangor
4.
Ibnu Taimiyah Majmu Fatawa tentang
Nikah, [Peterjermah: Abu Fahmi Huadi Lc & Syamsuri An Naba Lc], Penerbit Buku
Islam Rahmatan, 2002, Jakarta
5.
Ibnu Al-Qayyim, Zad Al-Ma’ad,
Jilid 3, Percetakan Al-Matva’ah Al-Asriyyah
6.
Imam Al-Ghazali, Panduan Hidup
Bahagia – Nikmatnya Alam Berumahtangga, [Diterjemah oleh: Muhammad bin Abd.
Latif], Al-Hidayah Publications, 2010, Kuala Lumpur
7.
Md. Hashim bin Yahya, Kebahagian
Rumahtangga Muslim, Dewan Bahasa Pustaka, 1986, Kuala Lumpur
8.
Shahih Tafsir Ibnu Kathir, Jilid
2, Pustaka Ibnu Kathir, Cetakan Ke-4, 2010, Jakarta, Indonesia
9.
Sunan Abi Daud, Kitab Nikah - Bab
3, [Penterjemah Ustaz Bey Arifin dkk], Semarang, 1993
[1] Prof
Madya Datin Noor Azizah Haji Mohd Awal, Pembelaan Hak Wanita Melalui
Undang-Undang di Malaysia, Fakulti Undang-Undang, UKM
[2] Ibid
[3]
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Pembelaan Hak-Hak Wanita Dalah Hadith-Hadith
Nabi s.a.w dan Keseimbangannya. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Nasional:
Hak Asasi Manusia & Hak Wanita Dalam Islam
[5] Mohamad
Syafiqe bin Abdul Rahim. Hak-hak Wanita Dalam Islam : Satu Sorotan Terhadap
Perundangan Keluarga Islam di Malaysia. Jabatan Syariah dan Undang-Undang,
Fakulti Pengajian Islam, UM
[6] Teks
Ucapan Perasmian Brig. Jen. Prof Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Hj. Apom.
Naib Cancelor UMS, merangkap penaung Seminar Hak Asasi Wanita 2010.
[7] Dr Mohd
Asri bin Zainul Abidin. Pembelaan Hak-Hak Wanita Dalam Hadith-Hadith Nabi SAW
dan Keseimbangannya. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Nasional : Hak Asasi
Manusia & Hak Wanita Dalam Islam
[8]
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin. Pembelaan Hak–Hak Wanita Dalam Hadith-Hadith
Nabi SAW dan Keseimbangannya. Kertas Kerja ini dibentangkan di Seminar Nasional
: Hak Asasi Manusia & Hak Wanita Dalam Islam