Pages

Sunday 5 May 2013

Penciptaan Nyamuk Sebagai Salah Satu Tanda Kebesaran Allah



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم





1.0          Pendahuluan

Selain manusia dan jin, Allah SWT turut menyentuh tentang haiwan-haiwan terpilih di dalam kalam sucinya iaitu Al-Quran. Ini bermakna, haiwan-haiwan terpilih ini bukan sahaja sebahagian daripada makhluk ciptaan-Nya tetapi juga mempunyai fungsi-fungsi atau peranan tertentu di sisi kehidupan manusia.

Nyamuk, anai-anai, anjing, gajah, ikan paus, unta betina, semut, sapi betina, keldai, ular, burung, lebah, dan serigala adalah nama-nama antara haiwan-haiwan yang boleh didapati dalam Al-Quran. Mengapakah haiwan-haiwan ini terpilih? Apakah keistimewaan haiwan-haiwan ini? Adakah haiwan-haiwan ini memiliki kedudukan yang istimewa sehingga Allah SWT mengabadikannya kisah mereka di dalam kitab suci-Nya? Penulis cuba menerangkan akan kemukjizatan scientifik penciptaan haiwan oleh Allah SWT sebagai tanda kebesaran Allah SWT kepada kita manusia untuk berfikir. Di dalam penulisan esei ini, penulis memilih untuk mengupas tentang nyamuk. Kita berasakan bahawa nyamuk adalah sejenis serangga yang tidak mendatangkan manafaat apa-apa pun kepada kita. Kehadiran nyamuk adalah amat tidak disenangi kerana ianya boleh mengganggu nyenyaknya lena kita. Nyamuk juga boleh mendatangkan mudarat jika serangga ini tidak dibendung pembiakkannya kerana boleh mengundang penyakit yang boleh membawa maut seperti denggi, denggi berdarah dan malaria.  

Nyamuk juga boleh berfungsi sebagai agen pemindahan darah daripada manusia kepada manusia yang lain. Malahan ianya juga boleh memindahkan darah daripada binatang kepada manusia dan begitu juga sebaliknya. Sebagai contoh, penyakit Japanese Encephalitis (JE) adalah penyakit jangkitan virus pada otak yang disebabkan oleh gigitan nyamuk Culex yang membawa virus tersebut, dan boleh menjangkiti manusia dan haiwan.  JE juga adalah sejenis penyakit zoonis (antara binatang) tetapi kadangkala berjangkit kepada manusia. Virus ini menyerang sistem saraf pusat (CNS).Virus yang menyebabkan penyakit dinamakan sebagai JE kerana ianya (virus tersebut) pertama kali diasingkan pada tahun 1935 daripada otak pesakit yang meninggal kerana penyakit ini di Jepun. [1]

2.0       Kemukjizatan Scientifik Pada Haiwan

Penelitian berbagai kelompok haiwan dan perilakunya telah dilakukan secara cermat dan tepat dengan menggunakan beragam peralatan canggih hingga satelit. Para pengkaji menemui bahawa haiwan hidup berkelompok dengan 3 habitat biologi yang berbeza iaitu udara, darat dan air. Penemuan-penemuan saintis terkini terus memperlihatkan perkara-perkara baru seiring dengan kemajuan sains dan teknologi. Penemuan ini juga memperlihatkan keteraturan yang melibatkan aktiviti kolektif setiap kelompok haiwan untuk kemaslahatan dan kelangsungan hidup haiwan terbabit di dalam aspek habitat, migrasi, membangunkan tempat tinggal, mempertahankan diri, mencari makanan dan aktiviti-aktiviti penting yang lain. [2]

Firman Allah SWT di dalam surah Al-An'aam ayat 38:

 A038

Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).[3]

Haiwan merupakan lembaran terbuka bagi setiap orang yang ingin memperlajari keajaiban-keajaiban hidup organism. Para ilmuan memperkirakan jumlah haiwan mencapai lebih dari dua juta kelompok. Namun yang baru terungkap hingga sekarang hanya sebahagian kecil haiwan sahaja. Penelitian atas sebahagian kecil haiwan ini membawa manusia untuk mengakui kewujudan Tuhan yang maha Pencipta.[4]

Menurut Sayyid Quthb di dalam tafsirnya Fi Zhilalil-Quran, ayat ini menjelaskan bahawa redaksi Al-Quran menggunakan pendekatan yang lembut menyentuh hati mereka yang membacanya. Ayat ini juga membangkitkan kekuatan perenungan dan tadabbur terhadap wujud disekelilingnya berupa tanda-tanda petunjuk dan pendorong keimanan, jika mereka mentadabburi dan memikirkannya. [5]

Semua makhluk hidup yang berjalan di atas muka bumi ini (mencakupi semua makluk hidup seperti serangga, reptilian, haiwan melata, haiwan bertulang belakang dan semua haiwan yang terbang di udara dengan dua sayapnya seperti burung, nyamuk atau lalat adalah tersusun kehidupannya sebagai hamba Allah. Setiap darinya memiliki ciri-ciri tertentu dan memiliki cara hidup tertentu pula yang khas bagi masing-masing sesuai dengan habitat kelompok haiwan terbabit. [6]



3.0       Penciptaan Nyamuk Sebagai Salah Satu Tanda Kebesaran Allah

Sebagaimana yang telah disebutkan, dalam banyak ayat Al Quran Allah memerintahkan manusia untuk memperhatikan alam dan melihat "tanda-tanda" di dalamnya. Semua makhluk hidup dan tidak hidup di alam semesta diliputi oleh tanda-tanda yang menunjukkan bahawa semuanya  "diciptakan", yang menunjukkan kekuasaan, ilmu, dan seni dari "Pencipta" mereka. Manusia bertanggungjawab untuk mengenali tanda-tanda ini dengan menggunakan akal budinya, untuk memuliakan Allah.

Walau semua makhluk hidup memiliki tanda-tanda ini, beberapa tanda dirujuk Allah secara khusus dalam Al Quran. Nyamuk adalah salah satunya. Firman Allah SWT di surah Al Baqarah ayat 26, Allah SWT menyebut tentang nyamuk yakni disebutkan:

 A026
 
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik[7]

Rata-rata masyarakat kita sering menganggap nyamuk sebagai makhluk hidup yang biasa dan tidak penting. Namun, ternyata penciptaan nyamuk itu sangat bermakna untuk diteliti dan difikirkan sebab di dalamnya terdapat tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Inilah sebabnya "Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu".

Seekor nyamuk jantan yang telah cukup dewasa untuk bersenyawa akan menggunakan antenanya organ pendengar untuk mencari pasangannya iaitu nyamuk betina. Fungsi antena nyamuk jantan adalah berbeza dengan antena yang terdapat pada nyamuk betina. Bulu nipis di hujung antenanya sangat peka terhadap bunyi suara yang dipancarkan nyamuk betina. Tepat di sebelah organ seksual nyamuk jantan, terdapat anggota tubuh yang membantunya mencengkeram nyamuk betina ketika mereka melakukan persenyawaan di udara. Nyamuk jantan terbang berkelompok, sehingga terlihat seperti kepulan awan kecil. Ketika seekor betina memasuki kelompok tersebut, nyamuk jantan yang berhasil mencengkeram nyamuk betina akan melakukan persenyawaan dengannya selama tempoh penerbangan. Persenyawaan tidak berlangsung lama dan nyamuk jantan akan kembali ke kelompoknya setelah persenyawaan dilakukan. Manakala selepas aktiviti persenyawaan, nyamuk betina memerlukan darah untuk perkembangan telurnya.[8]

Pada umumnya, nyamuk dikenal sebagai pengisap dan pemakan darah. Hal ini ternyata tidak terlalu tepat, kerana yang mengisap darah hanyalah nyamuk betina. Selain itu, nyamuk betina tidak memerlukan sebagai darah sebagai makanan. Baik nyamuk jantan mahupun betina hidup. Sebenarnya spesis nyamuk mendapatkan makanan dari nektar bunga.[9]



 


 Gambar 1: Nyamuk mendapatkan makanan daripada nektar bunga

Nyamuk betina mengisap darah hanya kerana ia memerlukan protein dalam darah untuk membantu telurnya berkembang. Dengan kata lain, nyamuk betina mengisap darah hanya untuk memelihara kelangsungan spesiesnya. Proses perkembangan nyamuk merupakan salah satu aspek yang paling mengesankan dan mengagumkan. Berikut ini adalah kisah singkat tentang transformasi makhluk hidup dari seekor larva renik melalui beberapa tahap menjadi seekor nyamuk:

Telur nyamuk, yang berkembang dengan diberi makan darah, ditelurkan nyamuk betina di atas daun lembap atau kolam kering selama musim panas atau musim gugur. Sebelumnya, si induk memeriksa permukaan tanah secara menyeluruh dengan reseptor halus di bawah perutnya. Setelah menemukan tempat yang sesuai, ia mula bertelur. Telur-telur tersebut panjangnya kurang dari satu milimeter, tersusun dalam satu baris, secara berkelompok atau satu-satu. Beberapa spesies bertelur dalam bentuk tertentu, saling menempel sehingga menyerupai sampan. Sebahagian kelompok telur ini boleh menghasilkan 300 telur. Telur-telur berwarna putih yang disusun rapi ini segera menjadi gelap warnanya, lalu menghitam dalam beberapa jam. Warna hitam ini memberikan perlindungan bagi larva, agar tidak terlihat oleh burung atau serangga lain. Selain telur, warna kulit sebagian larva juga berubah sesuai dengan lingkungan, sehingga ianya lebih terlindung. Larva berubah warna dengan memanfaatkan faktor-faktor tertentu melalui berbagai proses kimia rumit. Jelaslah, telur, larva, ataupun induk nyamuk tersebut tidak mengetahui proses-proses di balik perubahan warna dalam tahap perkembangan nyamuk. Tidak mungkin nyamuk mampu membuat sistem ini. dengan kemampuan sendiri. Tidak mungkin pula sistem ini terbentuk secara kebetulan. Nyamuk telah diciptakan dengan sistem ini sejak serangga ini pertama kali muncul.[10]


 
 Gambar 2: Seekor nyamuk betina sedang menetaskan larva

Semasa proses inkubasi, larva-larva mulai keluar dari telur secara hampir bersamaan. Larva, yang terus-menerus makan, tumbuh dengan cepat. Kulit mereka segera menjadi sempit, sehingga mereka tidak boleh tumbuh lebih besar lagi. Ini bermakna sudah tiba masanya untuk pergantian kulit yang pertama. Pada tahap ini, kulit yang keras dan rapuh ini mudah pecah. Larva nyamuk berganti kulit dua kali lagi sehingga nyamuk tersebut selesai proses perkembangannya.[11]

Metode makan larva pun menakjubkan. Larva membuat pusaran kecil di dalam air, dengan menggunakan dua anggota badan yang berbulu dan mirip kipas angin. Pusaran ini membuat bakteria atau mikro-organisme lainnya mengalir ke mulutnya. Sambil bergantung terjungkir di dalam air, larva bernafas melalui pipa udara yang mirip "snorkel" yang digunakan para penyelam. Tubuhnya mengeluarkan cairan kental yang mencegah masuknya air ke lubang yang digunakannya untuk bernapas. Singkatnya, makhluk hidup ini dapat bertahan hidup melalui banyak keseimbangan rumit yang berhubungan timbal-balik dan saling mempengaruhi. Jika tidak memiliki pipa udara, ia tidak akan mampu terus hidup. Jika tidak ada cairan kental, pipa pernafasannya akan dipenuhi air. Pembentukan dua sistem ini pada dua waktu yang berbeza akan menyebabkan kematian pada tahap ini. Ini menunjukkan bahawa keseluruhan sistem nyamuk tersebut itu utuh sejak awal. Dengan kata lain, ia telah diciptakan.[12]

Larva berganti kulit sekali lagi. Pergantian yang terakhir ini agak berbeza dengan sebelumnya. Pada tahap ini, larva memasuki tahap pendewasaan terakhir, iaitu tahap kepompong. Kepompong yang mereka tempati menjadi sangat sempit. Ini bermakna sudah tiba saatnya bagi larva untuk keluar dari kepompong. Makhluk yang keluar dari kepompong ini sedikit berbeza, sehingga sukar dipercaya bahawa kedua-duanya wujud ini adalah dua fasa perkembangan dari satu makhluk yang sama. Sebagaimana yang terlihat, proses perubahan ini terlalu rumit dan sukar untuk dirancang baik oleh larva ataupun nyamuk betina.

Ketika pada tahap terakhir perkembangan, larva menghadapi bahaya terputusnya pernafasan, sebab lubang pernafasannya yang mencapai permukaan air melalui pipa udara akan tertutup. Maka pada tahap ini, pernafasan nyamuk tidak lagi menggunakan lubang ini, tetapi melalui dua pipa yang baru saja muncul pada bahagian depan tubuhnya. Oleh kerana itulah, pipa-pipa ini tersembul di permukaan air sebelum pergantian kulit. Nyamuk dalam kepompong ini sekarang telah dewasa. Ia siap terbang, lengkap dengan semua organ dan organelnya, seperti antena, tubuh, kaki, dada, sayap, perut, dan matanya yang besar.[13]

Nyamuk dilengkapi dengan penerima panas yang sangat peka. Nyamuk mengesan segala sesuatu di sekitarnya dalam berbagai warna menurut panasnya, sebagaimana terlihat pada gambar 3 dibawah. Ini kerana deria pengesannya tidak bergantung pada cahaya, nyamuk sangat mudah menentukan letak pembuluh darah dalam ruangan yang gelap sekalipun. Penerima panas pada nyamuk cukup peka untuk mendeteksi perbedaan suhu hingga sekecil 1/1000 C. Teknik nyamuk untuk mengisap darah ini bergantung pada sistem kompleks yang mengatur kerja sama antara berbagai struktur yang sangat terperinci. Setelah mendarat pada sasaran, mula-mula nyamuk mendeteksi sebuah titik dengan bibir pada belalainya. Sengat nyamuk yang mirip alat suntik ini dilindungi bungkus khusus yang membuka selama proses pengisapan darah.

Tidak seperti anggapan orang, nyamuk tidak menusuk kulit dengan cara menghunjamkan belalainya dengan tekanan. Di sini, tugas utama dilakukan oleh rahang atas yang setajam pisau dan rahang bawah yang memiliki gigi yang membengkok ke belakang. Nyamuk menggerakkan rahang bawah maju-mundur seperti gergaji dan mengiris kulit dengan bantuan rahang atas. Ketika sengat diselipkan melalui irisan pada kulit ini dan mencapai pembuluh darah, proses pengeboran berakhir. Sekarang waktunya nyamuk mengisap darah. Namun, sebagaimana kita ketahui, luka seringan apa pun pada pembuluh darah akan menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan enzim yang membekukan darah dan menghentikan kebocoran. Enzim ini tentunya menjadi masalah bagi nyamuk, sebab tubuh manusia juga akan segera bereaksi membekukan darah pada lubang yang dibuat yamuk dan menutup luka tersebut. Ini bermakna, nyamuk tidak boleh mengisap darah lagi. Akan tetapi, masalah ini dapat diatasi. Sebelum mulai mengisap darah, ia menyuntikkan cairan khusus dari tubuhnya ke dalam irisan yang telah terbuka. Cairan ini menetralkan enzim pembeku darah. Maka, nyamuk dapat mengisap darah yang ia perlukan tanpa terjadi pembekuan darah. Rasa gatal dan bengkak pada titik yang digigit nyamuk diakibatkan oleh cairan pencegah pembekuan darah ini.[14]


 
 Gambar 3: Teknik nyamuk menghisap darah

Ketika terbang nyamuk akan menghasilkan bunyi dengungan. Dengunan ini adalah disebabkan geselan sayap=sayap nyamuk sebanyak 4,000 kali geselan per saat. Nyamuk memiliki 3 buah jantung iaitu jantung pusat dan dua jantung lagi pada sayap-sayapnya. Pada kaki nyamuk terdapat alat pengait dan cakar. Jika ia hinggap di atas permukaan yang kasar ia menggunakan cakar sedangkan jika hinggap di atas permukaan yang rata ia menggunakan pengait. [15]


4.0       Kesimpulan

Melihat sebahagian daripada fakta-fakta di atas, maka tidak menghairankan jika Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik[16]

Sebagai rumusannya, penulis menyimpulkan esei ini dengan memaparkan kisah Raja Namrud yang matinya hanya kerana seekor nyamuk. Kisah kematian Raja Namrud yang sombong dan menentang Allah SWT ketika zaman dakwah Nabi Allah Ibrahim a.s. Dia juga menikahi ibunya sendiri dan telah membakar Nabi Ibrahim hidup-hidup, tapi Nabi Ibrahim masih hidup kerana pertolongan Allah SWT. Inilah ceritanya
Raja Namrud matinya oleh seekor nyamuk yang kecil. Nyamuk itu masuk ke kepala Raja Namrud melalui lubang telinganya dan nyamuknya masih hidup di kepala Raja Namrud. Setiap hari Raja Namrud merasakan sakit kepala yang sangat parah di kepalanya. Dia menyuruh tenteranya memanggil Nabi Ibrahim a.s yang ketika itu masih berumur remaja. Ketika Nabi Ibrahim a.s datang, Baginda disuruh menyembuhkan sakit kepala Raja Namrud.
Teknik Nabi Ibrahim a.s untuk menyembuhkan Raja Namrud ialah dengan memukul kepala Raja Namrud. Dengan takdir Allah SWT, sakit di kepala Raja Namrud hilang. Lalu Ibrahim disuruh pulang. Keesokan harinya Raja Namrud merasakan sakit kepala  lagi dia memanggil Ibrahim lagi, dan dipukul lagi kepala Raja Namrud oleh Ibrahim, sakit kepalanya hilang. Setiap hari seperti itu, pada suatu pagi Raja Namrud merasakan sakit kepala yang amat sangat parah dari yang sebelumnya.
Seperti biasanya Raja Namrud menyuruh tenteranya untuk memangggil Nabi Ibrahim a.s namun Nabi Ibrahim a.s ketika itu tidak ada di rumah, Baginda sedang berada di pasar. Oleh kerana tidak tahan menahan sakit kepala yang sangat parah itu, Raja Namrud menghantukkan kepalanya ke tembok. setelah di hantukkan ke tembok masih belum hilang sakit kepalanya. Lalu dia menghantukkan kepalanya terus-menerus sampai akhirnya kepalanya pecah dan dia pun mati dalam keadaan yang ngeri.
Pada titik ini,seharusnya kita menyadari, betapa manusia yang mengaku sebagai makhluk Tuhan paling hebat, paling cerdas dan paling kuat ini, paling kaya, paling berpangkat, bukanlah siapa-siapa disisi Allah SWT.Jika nyamuk, makhluk Allah SWT yang kecil itu saja mampu membuat hati kita takut,bagaimana dengan makhluk-makhluk Tuhan lainnya yang jauh lebih besar dan lebih kuat dari pada manusia? Oleh yang demikian, mengapa masih ramai manusia yang berani menyombongkan diri di depan Tuhannya yang Maha Besar dan Agung? Marilah sama-sama kita fikirkan dan merendah diri kepada Allah SWT.



5.0       Rujukan


  1. Al-Quran dan Terjemahan

  1. Ali Abdul Hamid Abu Al-Khair, Al-Quran & Sains Moden, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2012

  1. Prof Dr. Zaghlul Raghib al-Najjar, Buku Induk Mukjizat Ilmiah Hadis Nabi (Meyibak fakta-fakta ilimiah dalam Sabda Rasulullah yang kebenarannya baru tersingkap di era kemajuan sains dan teknologi), Penerbitan Zaman, Jakarta, 2010

  1. Yusuf Al-Hajj Ahmad, Ensiklopedia Kemukjizatan Sains Dalam Al-Quran & Sunnah, Al-Hidayah Publications, Batu Cave, Selangor, 2012

  1. Yusuf Al-Hajj Ahmad, Scientific Miracles in the Oceans and Animal, Darussalam Global Leader in Islamic Book, Riyadh, 2010

  1. Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zhilalil Quran (Dibawah naungan Al-Quran), Jilid 7, Gema Insani, Jakarta, 2003


[1] Berita Harian, 24hb Oktober 2010
[2] Yusuf Al-Hajj Ahmad, Ensiklopedia Kemukjizatan Sains Dalam Al-Quran & Sunnah, hlm 435
[3] Surah Al-An'aam 6:38
[4] Yusuf Al-Hajj Ahmad, Ensiklopedia Kemukjizatan Sains Dalam Al-Quran & Sunnah, hlm 436
[5] Sayyid Quthb, Tafsir Fi Zhilalil-Quran (Di bawah naungan Al-Quran), Jilid 7, hlm 110.
[6] Ibid, hlm 111
[7] Surah Al-Baqarah 2:26
[8] Yusuf Al-Hajj Ahmad, Scientific Miracles in the Oceans and Animal, hlm 168 - 173
[9] Ibid
[10] Ibid
[11] Ibid
[12] Ibid
[13] Ibid
[14] Yusuf Al-Hajj Ahmad, Ensiklopedia Kemukjizatan Sains Dalam Al-Quran & Sunnah, hlm 488 - 489
[15] Ibid
[16] Surah Al-Baqarah 2:26

No comments:

Post a Comment