السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
[Peringatan untuk diri ini yang selalu lupa]
Firman Allah ta'ala:
سُوۡرَةُ النّحل
فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ
ٱلشَّيۡطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ (٩٨)
Maksudnya: oleh itu, apabila Engkau membaca Al-Quran,
maka hendaklah Engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari
hasutan Syaitan Yang kena rejam.
[Al-Nahl:98]
Siapakah Syaitan? Kenapa kita wajib
berlindung daripada syaitan?
Pendahuluan
Dalam surah Yasin yang lazim dibaca,
terdapat sebuah ayat dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Maksudnya: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai
anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh
yang nyata terhadap kamu!”
[Yasin 36:60]
Hakikat syaitan sebagai musuh manusia
diulangi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala beberapa kali di dalam al-Qur’an.
Semuanya bagi memperingatkan kita tentang musuh yang nyata ini:
Permusuhan syaitan kepada kita, manusia,
bukanlah sesuatu yang berlaku secara sekali sekala. Ia adalah sesuatu yang
berterusan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ
شَأْنِهِ...
Maksudnya: Sesungguhnya
syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…[1]
[HR
Muslim (2033)]
Maka permusuhan syaitan ditujukan kepada kita dalam semua suasana
dan perbuatan seperti tidur, mandi, makan, perbualan, pemandangan, pendengaran,
pekerjaan, gerak hati, pemikiran, wudhu’, solat, puasa, haji dan pelbagai lagi.
Bahkan ketika saya sedang menulis buku ini dan ketika anda sedang membaca buku
ini, syaitan ada bersama untuk mengganggu tumpuan atau menabur keraguan.
Oleh kerana itulah kita diperintahkan
untuk berwaspada terhadap permusuhan syaitan. Tidak sekadar itu, kita juga
diperintahkan untuk mengarahkan permusuhan kepada syaitan:
Maksudnya: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu,maka
jadikanlah dia musuh;sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya
menjadi dari penduduk neraka. [Fatir 35:06]
Untuk berwaspada terhadap permusuhan syaitan dan pada waktu yang
sama mengarahkan permusuhan kepada syaitan, kita perlu mengetahui dari A hingga
Z berkenaan syaitan. Kita perlu mengetahui asal usulnya, sebab-sebab
permusuhannya, ciri-cirinya, tipu dayanya dan menyusun strategi bagi
melawannya. Ini sebagaimana jika kita memiliki musuh dalam satu peperangan,
kita perlu mengkaji segala-galanya berkenaan musuh itu. Jika kita tidak kenal
musuh, amatlah mudah bagi musuh tersebut untuk mengalahkan kita.
.
BAB PERTAMA:
ASAL USUL SYAITAN.
Secara umumnya terdapat tiga jenis makhluk yang setiap darinya
memiliki asal usul ciptaan yang berbeza:
1.
Malaikat
yang dicipta dari cahaya
2.
Jin
yang dicipta dari api
3.
Manusia
yang dicipta dari tanah.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan
tentang tiga (3) jenis makhluk ini dalam sabda baginda:
خُلِقَتْ
الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ
مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ.
Maksudnya: Diciptakan
malaikat dari cahaya, diciptakan jin dari nyalaan api dan diciptakan Adam
(manusia) dari apa yang telah dijelaskan kepada kalian.[1]
Di antara tiga makhluk ini, manusia dicipta oleh Allah Subhanahu
wa Ta'ala selepas Dia mencipta malaikat dan jin. Allah Subhanahu wa
Ta'ala berfirman:
Maksudnya: Dan sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal
dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.
[al-Hijr 15:26]
Maksudnya: Dan jin pula,
Kami jadikan dia sebelum itu dari angin api yang panasnya menyerap ke liang
bulu roma (نار السموم).
[al-Hijr 15:27]
Maksudnya: Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak
menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental
yang berubah warna dan baunya.”
[al-Hijr
15:28]
Setakat ini tidak ditemui nas yang sahih lagi jelas yang
menerangkan antara malaikat dan jin, siapakah yang dicipta terlebih dahulu.
Apabila Allah dan Rasul-Nya mendiamkan persoalan ini, bererti ia bukanlah
sesuatu yang bermanfaat untuk kita memikirkannya atau mencari jawapanya.
Antara tiga makhluk tersebut, syaitan adalah dari jenis makhluk
jin sebagaimana jelas Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat berikut:
Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
berfirman kepada malaikat:“Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud
melainkan iblis;ia adalah berasal dari golongan jin.
[al-Kahf 18:50]
Dalam ayat yang lain diterangkan bahawa syaitan berasal dari api,
menunjukkan mereka berasal dari jenis jin:
Maksudnya: Allah berfirman:
“Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahmu?”
Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan
daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”
[al-A’raaf 7:12]
Ada pun iblis, maka ia adalah salah satu nama syaitan. Tidak
ditemui petunjuk sahih apakah iblis ketua syaitan atau syaitan yang pertama.
Yang penting ialah kita mengetahui bahawa iblis adalah salah satu nama syaitan.
Oleh itu iblis dan syaitan adalah dari jenis jin dan bukannya malaikat.
BAB KEDUA:
ASAL USUL PERMUSUHAN SYAITAN KEPADA MANUSIA.
Pada mulanya
syaitan sudah sedia dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini kerana
syaitan adalah dari jenis jin dan makhluk jin pula telah sedia ada sebelum Adam
‘alaihi salam dicipta oleh Allah. Kemudian Allah mencipta manusia:
Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu
berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari
tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan
baunya.”
[al-Hijr 15:28]
Setelah
mencipta manusia, Allah memerintahkan para penghuni langit yang terdiri
daripada para malaikat dan jin untuk sujud kepada Adam. Termasuk dari kalangan
para penghuni langit ialah iblis. Akan tetapi memandangkan penghuni langit
majoritinya ialah malaikat, maka mencukupi perintah sujud ditujukan kepada para
malaikat sahaja. Maka bersujudlah para penghuni langit semuanya kecuali iblis:
Mengapakah iblis
enggan sujud? Dalam ayat 34 surah al-Baqarah di atas Allah Subhanahu wa
Ta'ala menerangkan bahawa sebab iblis enggan sujud ialah takbur.
Apakah yang dimaksudkan dengan sikap takbur? Allah menjelaskannya dalam
beberapa ayat lain. Para pembaca sekalian
hendaklah memberi perhatian kepada penjelasan ini kerana mungkin sebahagian
darinya ada pada diri kita sendiri tanpa disedari.
Takbur ialah sikap ujub.
Ujub ialah sikap
yang merasa diri sendiri lebih hebat, lebih canggih dan lebih baik dari yang
selainnya. Sikap inilah yang dimiliki oleh iblis sebagaimana ayat berikut:
Maksudnya: Apakah penghalangnya
yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih
baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia
Engkau jadikan dari tanah.”
[al-A’raaf 7:12]
Takbur ialah sikap menghina orang lain.
Salah satu
maksud takbur yang ada pada iblis ialah sikap menghina, sebagaimana dia
menghina bahan-bahan yang menjadi asas penciptaan manusia:
Maksudnya: “Hai
Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?” Iblis
menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari
tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan
baunya.”
[al-Hijr 15:33]
Takbur ialah mengunggulkan akal (logik) di atas perintah
Allah.
Apabila
diperintah untuk sujud kepada manusia, semua penghuni langit sujud kecuali
iblis. Oleh kerana sikap takbur yang ada pada dirinya, ia merasakan
tidak perlu segera taat kepada perintah Allah. Sebaliknya hendaklah dinilai
terlebih dahulu adakah perintah tersebut logik atau tidak.
Setelah dinilai,
iblis mendapati perintah tersebut adalah tidak logik kerana api dan tanah tidak
berada pada kedudukan yang sama. Antara keduanya, tentu api lebih mulia dari
tanah. Justeru takkanlah sesuatu yang dicipta dari api perlu sujud kepada
sesuatu yang dicipta dari tanah?
Maksdunya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
berfirman kepada malaikat:“Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah
melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang
Engkau jadikan dari tanah?”
[al-Isra’ 17:61]
Takbur ialah mempersoal perintah dan larangan Allah.
Setelah menilai
bahawa perintah sujud kepada manusia adalah tidak logik, iblis bukan sahaja
enggan sujud tetapi memberanikan diri menyoal Allah akan perintah-Nya!
Perhatikan sikap iblis ini yang Allah ungkapkan dalam al-Qur’an:
Allah berfirman: Maksudnya; “Turunlah engkau dari (langit)
ini, kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya; oleh sebab itu
keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”
[al-A’raaf 7:13]
Hendaklah kita
sentiasa berwaspada terhadap empat sikap takbur yang dimiliki oleh
iblis, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan logik atas wahyu dan mempersoalkan
wahyu. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan sikap-sikap tersebut tidak
lain agar kita mengambil iktibar darinya dan menghindari diri daripada bersikap
dengannya. Hendaklah kita memiliki sikap rendah diri, memuliakan orang lain,
tunduk kepada wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta tidak mempersoalkannya.
Permusuhan iblis
kepada manusia tidak berhenti dengan sikap takburnya, tetapi
dilanjutkannya dengan permusuhan yang berkekalan sehingga Hari Kiamat. Setelah
enggan sujud kepada manusia, iblis bertekad:
Maksudnya: Iblis berkata lagi (kepada Allah): “Khabarkanlah
kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”
[al-Isra’ 17:62]
Demikian empat
sikap takbur yang dimiliki oleh iblis yang menyebabkan ia dihalau keluar
dari langit:
Maksudnya: Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga
hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”
[al-A’raaf
7:14]
Dalam
tempoh tersebut, iblis secara khusus dan syaitan secara umum, berjanji akan
bertungkus lumus mengganggu manusia dengan objektif utamanya:
i.
Agar manusia
menjadi sesat:
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
(Iblis berkata): Jika Engkau beri tempoh kepadaku
hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya
(manusia), kecuali sedikit (di antaranya). [al-Isra’ 17:62]
ii.
Agar
manusia menjadi kafir:
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
(Demikian) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia
berkata kepada manusia: “Berlaku kufurlah engkau!” [al-Hasyr
59:16]
iii.
Agar
manusia syirik kepada Allah:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah
berkhutbah:
Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku menyuruhku untuk mengajar kalian
apa yang kalian tidak tahu dan Allah telah mengajarku pada hari ini, iaitu
setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal dan
sesungguhnya Aku mencipta hamba-hamba-Ku semuanya dalam keadaan (fitrah yang)
cenderung kepada agama yang lurus (Islam).Akan tetapi syaitan-syaitan
mendatangi mereka dan memalingkan mereka dari agama mereka (Islam) dan
mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka. Dan
syaitan-syaitan itu menyuruh mereka mempersekutukan Aku dengan apa yang
tidak Aku berikan keizinan kepada mereka.[2]
iv.
Agar manusia
memasuki neraka:
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka
jadikanlah ia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya ia hanyalah
mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. [Fatir
35:06]
Dalam ayat
keenam surah Fatir di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa
syaitan adalah musuh kita dan dengan itu Allah memerintahkan kita untuk
menjadikannya sebagai musuh juga. Untuk menjadikan syaitan sebagai musuh, kita
perlu mengetahui ciri-cirinya agar dengan itu kita dapat mengetahui sifat mereka,
sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak. Ciri-ciri ini
akan kita dedahkan dalam bab seterusnya insya-Allah.
Penjelasan
Tambahan: Sebab sebenar syaitan menjadi sesat.
Dalam
penjelasan di atas, kita mengetahui bahawa iblis enggan sujud kepada Adam
kerana sikap takbur yang dimilikinya. Seterusnya kita juga telah
memperincikan apa yang dimaksudkan dengan sikap takbur tersebut.
Akan
tetapi dalam ayat 39 surah al-Hijr, iblis berkata bahawa yang sebenarnya
menyebabkan dia tersesat ialah Allah dan bukannya sikap takbur.
Perhatikan perkataan iblis di akhir ayat berikut:
Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak
turut bersama mereka yang sujud itu?” Iblis menjawab: “Aku tidak patut
sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang
berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.” Allah
berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya
engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. Dan sesungguhnya
engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke Hari Kiamat.” Iblis
berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari
mereka dibangitkan (Hari Kiamat).” Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu,
maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari -
masa yang termaklum.” Iblis
berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran)
kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka
semuanya.”
[al-Hijr 15:32-39]
Dalam
perenggan terakhir di atas, iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau
telah menjadikan daku sesat…”, seolah-olah iblis menyandarkan segala
kesalahannya dari awal (enggan sujud) hinggalah yang terkini (diusir dari
langit) berpunca dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kemudian, perkataan
iblis itu tidak pula dibantah oleh Allah. Tanpa adanya bantahan dari Allah,
apakah dengan itu perkataan iblis adalah benar dan ia bukan tuduhan semata-mata?
Adakah sememangnya Allah yang sengaja menjadikan iblis takbur dan sesat
sehingga diusir dari langit?
Persoalan
ini dijawab bahawa kesalahan iblis secara keseluruhannya berpunca dari dirinya
sendiri. Kesalahan tersebut bermula dari iblis yang memilih untuk bersikap takbur
sehingga melawan perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Atas pilihan iblis
inilah Allah menyesatkannya. Ini kerana merupakan peraturan Allah (sunnatullah)
bahawa sesiapa yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah dari
perintah-Nya, maka Allah akan memaling orang tersebut dari hidayah-Nya sehingga
menjadilah dia orang yang sesat. Ayat berikut menjadi rujukan:
Maka ketika mereka berpaling (dari
kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah memalingkan hati mereka (dari
mendapat hidayah);
dan sememangnya Allah tidak memberi
hidayah kepada kaum yang fasik - derhaka. [al-Saf
61:05]
Peraturan
ini tidak saja berlaku terhadap perintah Allah tetapi juga berlaku kepada orang
yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah perintah Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan sesiapa yang menentang (ajaran)
Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya),
dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami
akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya. [al-Nisa
4:115]
Maka
apabila iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan
daku sesat…”, ia merujuk kepada tindakan Allah yang memalingkan iblis
dari hidayah-Nya, mengusir iblis dari langit dan melaknatnya terus menerus
hingga Hari Kiamat. Akan tetapi semua ini berlaku bukan kerana Allah tetapi
kerana sikap iblis sendiri yang pada awalnya menentang perintah Allah.
Perkataan
iblis “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat…”
tidak dibantah oleh Allah kerana merupakan peraturan-Nya bahawa sesiapa yang
melawan perintah-Nya, Allah akan menjadikan orang tersebut sesat.
Apa
yang berlaku kepada iblis hendaklah dijadikan iktibar yang penting oleh kita
semua. Apabila sampai ke pengetahuan kita “Firman Allah” atau “Sabda
Rasulullah”, hendaklah serta merta merendahkan diri dan taat kepadanya. Jangan
berpaling, melawan atau membantahnya kerana mungkin sahaja Allah akan memaling hati
kita dari hidayah-Nya sehingga menjadilah kita dari kalangan orang-orang yang
sesat.
Mutakhir
ini telah menjadi satu kelaziman orang yang apabila sampai ke pengetahuannya
sesuatu ayat al-Qur’an atau hadis Rasulullah yang tidak selari dengan logiknya,
mazhabnya, ajaran tok gurunya atau amalan kebiasaannya, dia berpaling, melawan
dan membantah dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.
Ada
yang cuba berdalih dengan menyalah-gunakan kaedah-kaedah usul fiqh, konon ayat
tersebut terbatas kepada Asbab al-Nuzulnya (sebab-sebab turunnya), hadis
tersebut terbatas kepada Asbab al-Wurudnya (sebab-sebab lahirnya), konon
‘illat (sebab) di sebalik perintah larangan ayat atau hadis itu telah
hilang pada masa kini dan konon yang penting ialah tujuan syari‘at (maqasid)
dan bukannya firman Allah mahu pun sabda Rasulullah.
Semua
ini adalah sesuatu yang amat merbahaya kepada orang itu sendiri kerana mungkin
sahaja dengan sikap sedemikian, Allah akan memalingkan hatinya dari hidayah-Nya
sehingga menjadilah dia dari kalangan orang-orang yang sesat.
Sebaliknya
orang yang apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu ayat al-Qur’an atau hadis
Rasulullah lalu dia terus berpegang dengannya, Allah menambahinya dengan
hidayah-Nya. Oleh kerana itulah, anda akan mendapati orang yang pada awalnya
hanya berpegang kepada beberapa ayat al-Qur’an yang ditemuinya, Allah
menambahinya dengan puluhan lagi ayat al-Qur’an. Orang yang pada awalnya hanya
berpegang kepada beberapa hadis yang ditemuinya, Allah menambahinya dengan
puluhan lagi hadis. Sehingga akhirnya menjadilah orang tersebut pakar al-Qur’an
dan hadis sekali pun dia baru mengenal agama dalam masa yang singkat.
Al-Qur’an
dan hadis yang sahih merupakan hidayah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala dan
merupakan peraturan-Nya (sunnatullah) bahawa sesiapa yang akur menerima
hidayah tersebut, Allah akan menambahinya dengan hidayah demi hidayah:
Dan (sebaliknya) orang-orang yang
menerima hidayah), Allah menambahi mereka dengan hidayah, serta memberi
kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.
[Muhammad 47:17]
Dan Allah akan menambahi
hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah; dan amal-amal yang baik
yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi
Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.
[Maryam 19:76]
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim
dalam Shahihnya, hadis no: 2865 (Kitab al-Jannah wa Shifati…, Bab
sifat-sifat yang dapat dikenali dengannya di dunia akan ahli syurga dan ahli
neraka).
No comments:
Post a Comment