بسم الله الرحمن
الرحيم
السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
[Kajian ini dibuat untuk memenuhi kehendak tugasan
subjek IUD 402, APIUM]
[Nama Pengerusi Masjid & tempat Kajian telah disunting sebagai
menghormati pihak yang berkenaan]
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk
memperolehi maklumat tentang hak kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah di
masjid. Kajian ini juga cuba mengenal pasti persepsi dan penerimaan pihak
pengurusan jemaah masjid terhadap kehadiran kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah
secara toleran, bagaimana pihak pengurusan masjid menanggani isu-isu “gangguan”
yang sering kali dialami oleh mereka serta cuba mengenalpasti apakah
aktiviti-akviti masjid yang dirangka oleh pihak pengurusan masjid untuk
kanak-kanak agar dapat menglibatkan diri secara positif dalam program
mengimarahkan masjid. Penumpuan utama kajian ini adalah untuk melihat peranan
masjid sebagai pusat dakwah dalam mendepani masalah terhadap penafian hak
kanak-kanak ketika bersolat secara berjemaah. Kajian ini juga mencadangkan agar
pihak pengurusan masjid sentiasa menyampaikan taklimat kesedaran kepada para
jemaah dewasa supaya dapat menerima golongan kanak-kanak agar turut sama dapat
melibatkan diri bersolat secara berjemaah di masjid. Kesan jangka pendek daripada
penafian hak kanak-kanak akan memberi kesan ke atas emosi kanak-kanak terbabit.
Manakala kesan jangkamasa panjangnya pula ialah kebarangkalian kanak-kanak
terbabit tidak gemar ke masjid.
Kata kunci: hak kanak-kanak di
dalam saf solat berjemaah, emosi kanak-kanak, peranan masjid, persepsi pihak
pengurusan masjid tentang isu hak kanak-kanak
1.0 Pendahuluan
Masjid dalam
Islam memainkan peranan yang penting untuk pembentukkan diri seseorang muslim.
Mendekatkan anak-anak dengan masjid dengan pendedahan di zaman kanak-kanak
adalah amat digalakkan oleh agama Islam. Masjid bukan sahaja sebagai simbol
kepada agama Islam malahan sebagai pusat untuk memupuk peribadi-peribadi mulia
sebagaimana yang dilakukan oleh Rasullah s.a.w. Kepimpinan Rasulullah s.a.w di
Madinah menjadikan masjid sebagai tempat mendidik, membentuk teras-teras dan
asas-asas keperibadian muslim. Antara graduan yang telah dididik oleh Rasullah
s.a.w adalah terdiri dari para sahabat seperti Saidina Abu Bakar r.a, Saidina
Umar al-Khatab r.a, Saidina Uthman r.a, Saidina Ali r.a dan ramai lagi para
sahabat yang hidup sezaman dengannya adalah muslim yang beriman dan teguh
akhlaknya.
Anak-anak memang
wajar dibiasakan untuk ke masjid. Tanggapan bahawa bahawa masjid adalah untuk golongan
dewasa yang sudah bersara perlu diperbetulkan. Membawa anak-anak ke masjid
menyamai ajaran Nabi s.aw. Baginda s.a.w selalu membawa dua cucunda baginda,
Hasan dan Husain ke masjid. Kadang-kadang baginda memanjangkan solat kerana Hassan
dan Husain berada di atas belakangnya yang mulia itu.
Memang ada
sumber sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang menyebutkan bahawa di masjid Nabi s.a.w,
saf kanak-kanak lelaki di belakang saf lelaki dewasa dan saf wanita di belakang
saf kanak-kanak lelaki. Nabi Muhammad s.a.w juga mengajar kepada para sahabat
yang hidup sezaman dengannya supaya orang yang di belakang baginda s.a.w
didalam solat ialah lelaki yang baligh dan cerdik supaya baginda dapat
diingatkan sekiranya terlupa atau digantikan sekiranya perlu. Namun itu tidak
bermakna kanak-kanak boleh dinafikan daripada berada di celah-celah orang
dewasa di saf yang hadapan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka datang lebih awal
ke masjid.
Namun begitu,
persoalannya rata-rata masjid tidak mesra kanak-kanak. Terdapat pelbagai notis
peringatan terhadap kanak-kanak di masjid. Peraturan, polisi dan etika ketika
mereka berada di dalam masjid untuk bersama-sama menunaikan solat berjemaah dilihat
terlalu mengikat dengan alasan jika kanak-kanak berada bersama jemaah dewasa
didalam satu saf, ianya boleh menyebabkan “putus saf”.
Bagaimanapun
penulis melihat jikalau fenomena ini berterusan dalam konteks pihak pengurusan
masjid yang kurang sensitif dengan hak kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah,
ianya akan memberi impak kepada kanak-kanak terbabit. Sebagaimana yang kita
ketahui bahawa kanak-kanak akan membesar menjadi remaja dan seterusnya menjadi dewasa,
mereka adalah golongan generasi pelapis untuk mengimarahkan masjid. Antara
kesannya ialah:
i.
Tanggapan masjid tidak mesra kanak-kanak akan
berterusan;
ii.
Penafian hak kanak-kanak di dalam saf solat jemaah oleh
kalangan orang dewasa;
iii.
Tanggapan yang berterusan bahawa masjid adalah untuk
golongan orang yang sudah bersara; dan
iv.
Ianya boleh merendahkan motivasi kanak-kanak untuk
datang ke masjid;
1.1 Pernyataan Masalah Kajian
Sukacita penulis merujuk kepada keluhan Encik
Zulqarnain Mohamad di akhbar Berita Harian bertarikh 9 hb Julai 2011, yang mana
beliau telah berkongsi pengalaman beliau yang telah menyaksikan sekumpulan
kanak-kanak dalam lingkungan 11 – 12 tahun yang berada di dalam saf ketiga
ketika bersolat secara berjemaah di salah sebuah masjid di Singapura. Beliau
menulis dengan rasa penuh terkilan bahawa kanak-kanak tersebut disuruh oleh
imam yang bertugas agar berundur ke belakang untuk memberi ruang itu kepada
orang dewasa. Perbuatan imam tersebut seolah-olah telah menafikan hak
kanak-kanak yang telah datang ke masjid lebih awal tetapi terpaksa memberikan
ruang saf di hadapan kepada jemaah dewasa yang datang lewat berbanding
kanak-kanak tersebut.
Keluhan Encik Zulqarnain seperti yang disebut
di atas adalah tidak asing bagi penulis yang juga mempunyai pengalaman yang
sama dengan beliau. Untuk pengetahuan pembaca, penulis merupakan salah seorang
ahli kariah di Masjid tempat penulis tinggal. Setiap kali penulis menunaikan
solat fardu di masjid berkenaan, akan kedengaran suara teguran jemaah dewasa
kepada kanak-kanak agar duduk di saf belakang kerana ingin memberi ruang kepada
orang dewasa lain dengan alasan akan terputus ‘saf”. Malahan notis peringatan
berkenaan meminta kanak-kanak supaya berada di saf belakang juga ditampal di
papan kenyataan masjid.
Sikap imam dan pengurusan masjid yang kurang
peka serta tidak bersikap toleran menjadi hak mereka seolah-olah dinafikan
untuk bersama-sama sebagai sebahagian daripada komuniti di dalam masyarakat
untuk mengimarahkan masjid. Sikap pengurusan masjid dan keterbukaan para jemaah
dewasa menjadi persoalan sehinggakan ianya dilihat seolah-olah berlawanan
dengan nilai-nilai dan hikmah ajaran Islam tentang fungsi dan peranan masjid di
dalam pendidikan anak-anak.
1.2 Objektif Kajian
Kajian ini
bertujuan untuk mengenalpasti keprihatinan pihak masjid terhadap hak
kanak-kanak didalam saf solat berjemaah. Oleh itu, matlamat utama kajian ini
adalah seperti berikut:
i.
mengenalpasti penerimaan pengurusan jemaah masjid terhadap
kehadiran kanak-kanak di dalam saf solat jemaah;
ii.
mengenalpasti persepsi pengurusan jemaah masjid dalam menanggani
isu-isu hak kanak-kanak di dalam saf solat jemaah secara toleran;
iii.
mengenalpasti persediaan pengurusan jemaah masjid
terhadap aktiviti-aktiviti masjid yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk
turut serta mengimarahkan masjid; dan
iv.
mengenalpasti “gangguan” yang sering kali dilalui oleh
jemaah masjid dikalangan orang dewasa terhadap kehadiran kanak-kanak di dalam
saf solat berjemaah.
1.3 Persoalan Kajian
Pada umumnya persoalan kajian
didalam perbahasan ini adalah seperti berikut:
i.
adakah pihak pengurusan masjid telah memberi taklimat
kesedaran kepada para jemaah dewasa tentang hak kanak-kanak di dalam saf solat
secara berjemaah;
ii.
adakah pihak pengurusan masjid telah membuat persediaan
untuk menanggani isu-isu berkenaan dengan hak kanak-kanak terutamanya ketika
solat secara berjemaah;
iii.
adakah pihak pengurusan masjid telah menyediakan
aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk menarik minat kanak-kanak untuk datang
solat berjemaah di masjid;
1.4 Metodologi Kajian
Dalam
penyusunan kertas kerja ini penulis mengambil data dari pendapat para ahli
akademik yang telah menghasilkan buku-buku atau jurnal tentang peranan dan
sumbangan masjid kepada masyarakat termasuk golongan kanak-kanak yang menjadi
topik perbincangan di dalam kertas kerja ini. Temubual dengan pegawai-pegawai yang
berkaitan dengan permasalahan kajian yang terdiri daripada, Pengerusi Masjid, para pensyarah daripada Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (API, UM) iaitu Ustaz Dr. Sa’adan bin
Man dan Ustazah Sharifah Zaharah Syed Mohamad dari Pusat Pemikiran dan
Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam (CITU, UITM) juga akan di
atur untuk mendapatkan data-data yang relevan dengan kajian ini.
Sumber primer
di dalam kajian ini ialah melalui penyelidikan Perpustakaan Negara dan Perpustakaan
Tun Sri Lanang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Istilah ini lazim disebut “library
research” iaitu pengambilan data yang berasal dari buku-buku atau karya ilmiah
yang terdiri dari sumber primer dan sekunder. Disamping itu data sekundernya
adalah buku-buku yang berkaitan dengan peranan dan sumbangan masjid, Akta
Kanak-Kanak 2001 (yang mengandungi pindaan sehingga tahun 2006), yang relevan
dengan pembahasan di dalam skop kajian ini juga diguna pakai. Penulis juga turut
menggunakan sumber seperti keratan-keratan akhbar dan capaian internet didalam
mendapatkan maklumat.
2.0 Perbincangan Kajian
Golongan
kanak-kanak dilahirkan bersama dengan hak-hak mereka. Dalam erti kata lain
mereka mempunyai hak secara semulajadi tanpa perlu diperuntukkan oleh mana-mana
undang-undang bertulis kerana hak tersebut telah ditentukan oleh Allah s.w.t
sebagai amanah yang diletak ke atas bahu ibubapa, penjaga dan juga masyarakat
dewasa umumnya.
Di dalam bab ini, penulis akan membahaskan
definisi kanak-kanak, apakah hak-hak mereka dan bagaimana hak-hak mereka boleh
dipinggirkan oleh kalangan orang dewasa tanpa kita sedari bahawa kita telah
menafikan hak kanak-kanak tersebut dan juga fungsi dan peranan masjid.
2.1 Definisi Kanak-Kanak
Kamus Dewan
telah mendefinisikan kanak-kanak sebagai “budak lelaki atau perempuan yang
masih kecil biasanya yang belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun ~ yang
masih belum mempunyai dosa”.
Takrifan
kanak-kanak seperti yang termaktub di dalam Akta Kanak-Kanak tahun 2001 yang
juga dikenali dengan Akta 611 iaitu suatu Akta untuk menyatukan dan meminda
undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak
dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan
dengannya telah mendefinisikan kanak-kanak sebagaimana yang ternukil di bawah
seksyen 2(1)(a) bahawa kanak-kanak ialah:
a)
ertinya
seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun;
b)
berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang
yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan
dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan [Akta 574];
Definisi
kanak-kanak seperti mana yang digariskan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat pula
bermaksud kanak-kanak adalah mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun, melainkan
jika undang-undang menyatakan usia dewasa kurang daripada 18 tahun.
Dalam Al-Quran, terdapat banyak istilah
kanak-kanak yang digunakan (contoh-contoh istilah Arab yng terkandung dalam
Al-Quran ialah "dhurriyya; ghulām; ibn; walad; walīd; mawlūd; ṣabī; tifl; saghir).
Tetapi menurut Avner Giladi, istilah ini tidak
jelas bagi menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dimaksudkan adalah golongan yang
tidak matang.
Daripada
takrifan-takrifan yang tersenarai di atas, terdapat perbezaan yang ketara yang
perlu kita diharmonikan. Penulis berpendapat bahawa sebagai anggota masyarakat
kita harus melihat takrifan tentang kanak-kanak daripada 2 perspektif. Pertama,
kita perlu melihat daripada aspek undang-undang dan keduanya ialah kita melihat
daripada had umur kanak-kanak menurut perspektif agama Islam.
Jikalau menurut
undang-undang Malaysia, umur kanak-kanak ialah di dalam lingkungan daripada
bayi sehinggalah 18 tahun. Manakala daripada sudut agama Islam, kanak-kanak itu
terdiri dari kategori yang masih belum baligh iaitu kira-kira 15 tahun bagi
kanak-kanak lelaki dan 9 hingga 12 tahun bagi kanak-kanak perempuan bergantung
kepada tahap tumbesaran kanak-kanak terbabit.
Menurut ahli
Psikologi, kehidupan manusia ini terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat
pertama iaitu sejak ia lahir hingga berusia 18 tahun atau 20 tahun. Peringkat
kedua iaitu berusia 20 tahun sehingga meninggal dunia. Pada peringkat pertama
tadi, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sejak lahir sehingga mengjangkau
umur enam tahun, ketika berusia 7 tahun sehingga berusia tiga belas tahun
manakala bahagian ketiga ketika berusia 13 tahun sehingga berusia 18 atau 20
tahun.
Di dalam usaha
untuk mengharmonikan dua takrifan yang berbeza ini, penulis mencadangkan takrifan
kanak-kanak adalah konsisten dengan Akta Kanak-Kanak tahun 2001 supaya ianya
selari dengan konteks perundangan di negara kita. Antara kelebihan lain yang kita boleh
manafaatkan daripada konteks pemahaman yang sama ini ialah ianya akan mudah
diterima pakai oleh masyarakat diperingkat nasional dan juga peringkat
antarabangsa.
2.2 Apakah Hak Kanak-Kanak
Di Malaysia, kita
sering mendengar orang memperjuangkan hak asasi manusia sama ada dalam aspek
kemiskinan tegar, kebuluran, buta huruf, ibu tunggal, tiada tempat tinggal yang
mana perbincangan tentang isu-isu tersebut mendominasi perdebatan baik
diperingkat nasional mahupun antarabangsa. Namun sangat sedikit kita
membincangkan tentang hak kanak-kanak. Menurut Che Norlia Mustafa,
masyarakat Barat lebih memberi keperihatinan
terhadap hak asasi golongan kanak-kanak yang boleh kita anggap sebagai “the
subaltern section of the community”. Menurut beliau lagi, masyarakat Barat agak
ketara lebih tinggi dalam pemikiran-pemikiran yang diketengahkan berkaitan
dengan hak kanak-kanak berbanding di Malaysia.
Menurut
Freeman, misalnya hak kanak-kanak telah mula diperdebatkan sejak lebih seabad
lalu, pun begitu ia tetap mengakui bahawa meskipun demikian, satu abad itu
adalah satu jangka masa yang amat singkat jika dihitung dari perspektif alam
kanak-kanak. Itu pun, usaha mempertahankan serta melindungi hak kanak-kanak
bukanlah datang daripada pihak berkuasa tetapi daripada ahli masyarakat atau
orang kebanyakan sahaja (iaitu bukan usaha yang bersifat “top down” tetapi
“bottom-up”.)
Teori hak
kanak-kanak ini dikembangkan dan akhirnya diraikan dengan rasmi melalui
konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR)
pada 1989. UNCHR 1989 membincangkan apakah hak kanak-kanak yang perlu
dipertahankan. Negara kita Malaysia menandatangani konvensyen ini pada 28
Disember 1994 dan mengguna pakai pada 7 Februari 1995.
Prinsip-prinsip
hak kanak-kanak seperti yang digariskan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat seperti
mana yang dipetik daripada Akta Kanak-Kanak ialah seperti berikut:
a)
Tidak ada diskriminasi - Semua hak dikenakan kepada
semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, pendapat
politik, asal negara, etnik atau masyarakat, harta, ketidakupayaan, kelahiran
atau tarafnya atau ibu bapa/penjaganya.
b)
Kepentingan terbaik kanak-kanak - Pertimbangan utama
dalam segala hal ialah kepentingan yang terbaik bagi kanak-kanak.
c)
Hak untuk hidup dan berkembang - Kanak-kanak mempunyai
hak untuk hidup dan berkembang dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuk
aspek jasmani, emosi, psiko-sosial, kognitif, sosial dan kebudayaan.
d)
Ikut serta - Kanak-kanak hendaklah dibolehkan ikut
serta secara aktif dalam segala hal yang melibatkan kehidupan mereka dan bebas
untuk memberi pendapat. Mereka mempunyai hak untuk didengar dan diambil peduli
secara serius.
Islam menyuruh
ibubapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak, menyediakan makanan yang
sesuai, memberi nama yang baik, mendidik mereka dengan adab yang baik, mengajar
ilmu agama adalah gambaran kepada pengiktirafan Islam terhadap hak kanak-kanak.
Bahkan, seorang Profesor dari Yaman, Dr Saleh al-Dhubyani, menyebut bahawa
apabila ibu mengandung diberi keringanan untuk berbuka puasa, dilarang daripada
mengambil ubat-ubatan yang membahayakan kandungan atau menggugurkan kandungan
tanpa alasan dibenarkan syarak, adalah bukti walaupun kanak-kanak belum lahir,
Islam sudah meraikan hak mereka.
Manakala
menurut Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali, pensyarah dari Fakulti Kepimpinan dan
Pengurusan, Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) yang juga Timbalan Pengerusi
ABIM berpendapat bahawa Islam sangat memandang berat soal pendidikan
kanak-kanak dan memberi hak-hak yang sepatutnya kepada mereka. Islam telah
menggariskan panduan yang tertentu serta cara dalam mendidik anak-anak sejak ia
di dalam kandungan ibunya lagi malahan lebih awal daripada itu. Islam
menggalakkan umatnya apabila memilih suami atau isteri hendaklah seorang yang
mempunyai keperibadian yang mulia. Anak merupakan nikmat yang dikurniakan oleh
Allah dan merupakan perhiasan dalam kehidupan manusia. Orang yang telah diberi
nikmat ini sudah tentu memelihara dan mendidik dengan pendidikan Islam sebagai
mensyukuri nikmat tersebut.
Di dalam kita
membahaskan hak kanak-kanak di dalam solat ini, sukacita penulis mengutarakan
bahawa semua semua penganut agama Islam mempunyai hak untuk bersama-sama turut
serta untuk menunaikan solat secara berjemaah termasuklah golongan kanak-kanak.
Bersesuaian dengan Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran:
وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ
بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَيۡہَاۖ لَا نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقً۬اۖ نَّحۡنُ
نَرۡزُقُكَۗ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ
Maksudnya: Dan
perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah
engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu,
(bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang
baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
Antara
pengajaran ayat diatas ialah menunjukkan penegasan Allah s.w.t kepada Nabi
Muhammad s.a.w dan kita sebagai hambaNya untuk menitik beratkan ibadah solat
kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Pendedahan tentang solat secara
berjemaah di rumah ataupun di masjid perlu dibuat kepada kanak-kanak sejak
mereka kecil lagi supaya ianya menjadi satu amalan kebiasaan oleh mereka. Penafian
untuk mereka berada bersama di dalam saf solat bersama orang dewasa perlu
ditanggani dengan penuh bijaksana agar mereka dapat berlajar bersolat dengan betul
daripada orang dewasa disamping mengelakkan mereka daripada bergurau dan
bermain ketika solat.
2.3 Fungsi Masjid
Masjid Quba
adalah institusi yang pertama dibina oleh Rasullah s.a.w apabila baginda sampai
ke Madinah semasa peristiwa hijrah.
Fungsi masjid di zaman Rasulullah s.a.w tidak
hanya terbatas untuk melakukan ritual ibadah semata-mata tetapi juga ianya
bersifat “multipurpose” dalam pelbagai aspek. Penanan masjid ketika itu ialah menjadi
pusat masyarakat bagi menjalankan hampir kesemua aspek kehidupan. Umpamanya masjid
berfungsi sebagai tempat menjelaskan wahyu, mengeratkan hubungan sesama
masyarakat, menyelesaikan masalah, memberikan fatwa, pusat pengajaran agama,
tempat musyawarah, tempat menyelesaikan perselishan, mengatur strategi
ketenteraan, dan juga menerima perutusan dari luar.
Iktibar
daripada peristiwa diatas menggambarkan bahawa fungsi masjid adalah nadi kepada
semua aktiviti kaum muslimin sebagaimana Firman Allah s.w.t:
لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى
ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِۚ فِيهِ رِجَالٌ۬
يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya
masjid (Quba` yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas
dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.
Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat)
membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang
membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
Malahan Allah
s.w.t juga turut merakamkan bahawa sesungguhnya seseorang muslim yang baik
adalah mempunyai ciri-ciri yang sentiasa memperbaiki ibadahnya. Antara yang
disebut di dalam Al-Quran adalah kaum muslimin yang hatinya sentiasa terikat
dengan masjid. Sepertimana yang Allah s.w.t gambarkan:
إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَـٰجِدَ
ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ
وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ
أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ
Maksudnya: Hanyasanya
yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan
menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya
sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan
yang mendapat petunjuk.
Daripada
kedua-dua ayat diatas, matlamat utama fungsi masjid adalah untuk menjana dan
mewujudkan masyarakat yang bertakwa. Sehubungan dengan itu Islam menolak
pembinaan dan perlaksanaan fungsi masjid yang menyimpang daripada asas
ketakwaan dan ibadah terhadap Allah s.w.t.
Pada pendapat
penulis, matlamat dan fungsi masjid akan menjadi lebih bermakna jikalau adanya
pengisian seperti aktiviti-aktiviti masjid. Ianya akan menjadi satu platform untuk
semua lapisan masyarakat mengambil bahagian secara positif dan mengambil
manafaat daripada program pengisian tersebut khasnya golongan kanak-kanak. Disamping
menjadi pusat pengukuhan akidah kepada semua orang-orang Islam, masjid juga
dapat meneruskan tradisi fungsi-fungsinya, sebagaimana yang disebut diatas.
3.0 Hasil Kajian
Dibab ini
penulis akan mengulas tentang hasil kajian pengenai isu yang dibahaskan melalui
temubual yang telah dibuat diantara penulis dengan individu-individu seperti
yang disebut dibab 1.4 diatas.
Menurut Ustaz Dr Sa’adan bin Man, tidak ada hadith
soheh yang boleh dibuat hujah berkenaan dengan kehadiran hak kanak-kanak
didalam saf solat jemaah akan menyebabkan terputus saf. Istilah saf solat itu
dianggap terputus hanyalah diguna pakai kerana bertujuan untuk menjaga “roh”
solat secara berjemaah semata-mata.
Pendapat Ustaz
Dr Sa’adan ini disokong oleh Ustazah
Sharifah Zaharah binti Syed Mohamad. Ustazah Sharifah turut menjelaskan bahawa
walaupun terdapat hadith yang mengatakan bahawa saf kanak-kanak lelaki adalah
dibelakang lelaki dewasa, saf perempuan dewasa adalah dibelakang saf
kanak-kanak lelaki dan saf kanak-kanak perempuan adalah di belakang saf
perempuan dewasa, ianya tidak menghalang kanak-kanak yang sudah berkhatan,
remaja, ataupun yang sudah baligh untuk turut bersama menunaikan solat secara
berjemaah bersama orang dewasa. Beliau menambah keterbukaan para jemaah adalah
penting untuk memahami dan menerima kanak-kanak terutama sekali yang sudah
berusia remaja untuk bersolat secara berjemaah dimasjid.
Menjawab soalan penulis berkenaan dengan
soalan mengapa remaja tidak gemar ke masjid tetapi lebih gemar “melepak” di
pusat membeli belah, Ustaz Dr Sa’adan berkata, terdapat banyak kertas kerja dan
cadangan-cadangan yang telah dibuat oleh pihak Akademik di dalam
seminar-seminar untuk para ahli pengurusan masjid umpamanya menjadikan masjid
sebagai pusat sehenti (one stop centre) dengan mewujudkan pelbagai kemudahan
dibina berhampiran dengan masjid. Contohnya bengkel kereta, mewujudkan klinik
didalam masjid, padang futsal misalnya. Namun cadangan-cadangan ini mendapat
tentangan daripada masyarakat. Tambah Dr Sa’adan lagi masyarakat mahu fungsi
masjid kekal sebagai pusat ibadah dan bukan berfungsi pusat “multi-function”
sebagai dicadang.
Ditanya soalan yang sama, Ustazah Sharifah
berpendapat bahawa paradigma masyarakat memang sukar diubah. Pihak pengurusan
masjid hendaklah sentiasa konsisten memberi taklimat kepada para jemaah. Dengan
taklimat kesedaran ini sekurang-kurangnya pihak pengurusan masjid dapat memberi
maklumat dengan harapan para jemaah akan mendapat pemahaman yang sama (common
understanding) tentang hak kanak-kanak didalam saf solat secara berjemaah. Ini
adalah disebabkan ilmu di kalangan para jemaah adalah tidak sama.
Bagaimanapun menurut salah seorang Pengerusi
Masjid yang ditemu bual berkata, tujuan sebenar mengapa kanak-kanak diminta
duduk disaf belakang adalah kerana najis yang terdapat pada kanak-kanak
terbabit. Ini kerana kanak-kanak yang
memakai lampin pakai buang mungkin mengandungi najis yang mungkin terkena
kepada jemaah dewasa. Namun, apabila diajukan soalan berkenaan dengan implikasi
polisi pihak masjid ini kepada kanak-kanak yang berumur 7 – 12 juga turut
diarahkan ke belakang saf ketika bersolat secara berjemaah dengan tidak
dibenarkan bersama sebaris dengan orang dewasa, beliau menambah bahawa
terdapatnya tekanan daripada ahli kariah masjid yang merasakan “terganggu”
dengan kehadiran kanak-kanak terbabit. Antara “gangguan” tersebut ialah
kanak-kanak terbabit sama ada melakukan pergerakan didalam solat yang tidak selari
dengan pergerakan imam, bermain, ketawa, menangis, berbual-bual sesama mereka, menoleh
ke kiri atau ke kanan semasa di dalam solat. Dengan permintaan daripada ahli
kariah inilah yang menyebabkan pengurusan masjid meminta agar kanak-kanak yang
masih bersekolah rendah untuk berada di saf belakang.
Beliau juga turut mengulas bahawa sistem saf
di masjid adalah konsisten dengan standard piawaian yang ditetapkan oleh ijmak
ulama bahawa saf solat berjemaah di seluruh Malaysia ialah kanak-kanak lelaki
adalah di saf belakang lelaki dewasa, saf perempuan dewasa adalah dibelakang
saf kanak-kanak lelaki dan saf kanak-kanak perempuan adalah di belakang saf
perempuan dewasa, ianya tidak menghalang kanak-kanak yang sudah berkhatan,
remaja, ataupun yang sudah baligh untuk turut bersama menunaikan solat secara
berjemaah bersama orang dewasa. Jikalau pihak pengurusan masjid ingin membuat
perubahan, cabaran yang terpaksa dilalui ialah rungutan daripada ahli kariah
dan masyarakat setempat.
Beliau turut mengakui jika masalah hak
kanak-kanak ini tidak ditanggani secara matang dan penuh sedar ianya akan
memberi kesan yang lebih buruk lagi iaitu golongan sasar di dalam topik yang
dibahaskan ini tidak akan gemar untuk ke masjid. Mengulas lanjut tentang
tanggapan masyarakat bahawa masjid adalah untuk golongan tua dan pesara, beliau
menjawab bahawa tanggapan itu telah diwarisi sejak sekian lama. Mengubahnya
adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya tertanggung kepada pihak
pengurusan masjid semata-mata. Beliau turut menyetujui bahawa masalah
kanak-kanak dan remaja adalah berpunca daripada orang dewasa. Sikap ibubapa dan
penjaga juga menjadi salah faktor penyumbang mengenai tanggapan bahawa masjid
hanyalah untuk golongan tua dan pesara sahaja. Yakni ibubapa dan penjaga juga
perlu memainkan peranan untuk membawa anak-anak mereka ke masjid. Tanggapan itu
akan beransur-ansur akan hilang jika semua pihak tahu akan banyaknya fadilat
mendirikan solat berjemaah di masjid.
Menyentuh tentang program-program kuliah
magrib dan subuh yang dikelolakan oleh pihak masjid, Pengerusi masjid tersebut
berkata ianya dibangunkan untuk semua lapisan masyarakat termasuklah golongan
sasar. Terpulanglah kepada ibubapa golongan sasar terbabit untuk membawa anak-anak
ke masjid dalam mendalami ilmu agama. Pihak pengurusan masjid juga
sedia menimbangkan sebarang cadangan-cadangan untuk memperbaiki mutu
perkhidmatan kepada masyarakat dan ahli kariah khususnya.
4.0 Cadangan
Setiap invidu yang
beragama Islam di Malaysia mempunyai peluang sama rata untuk menunaikan solat
secara berjemaah di masjid tidak mengira jantina, umur atau bangsanya
termasuklah golongan kanak-kanak. Berkaitan dengan isu didalam perbahasan ini,
penulis ingin mencadangkan beberapa langkah kepada pihak pengurusan masjid untuk dipertimbangkan. Antara langkah-langkah
tersebut ialah:
i.
Pengiktirafan
Terhadap Hak Kanak-Kanak
Memberi pengiktifaran kepada kanak-kanak akan dapat
menjadi pemangkin kepada kanak-kanak supaya menjadi generasi yang mencintai
masjid sejak dari mereka kecil. Manafaat daripada pengiktifaran ini,
kanak-kanak akan merasakan bahawa hak mereka diraikan oleh golongan orang
dewasa untuk turut serta di dalam solat secara berjemaah.
ii.
Taklimat
Kesedaran
Pihak pengurusan masjid hendaklah sentiasa memberi
taklimat kesedaran kepada para jemaah dewasa tentang pentingnya mereka bersikap
toleran kepada kanak-kanak. Bersikap toleran ini akan dapat dicapai sekiranya
pihak pengurusan masjid dalam menerangkan kepada para jemaah dewasa tentang
hadith-hadith soheh yang berautoriti tentang bagaimana Nabi Muhammad s.a.w
meraikan kanak-kanak semasa mendirikan solat secara berjemaah. Antara
kanak-kanak yang mendirikan solat secara berjemaah dengan Rasulullah s.a.w
ialah Anas bin Malik r.a, Abu Hurairah r.a, kedua-dua cucunda baginda Hassan
dan Hussain. Manafaat daripada taklimat kesedaran ini akan dapat merapatkan
jurang ilmu terhadap hak kanak-kanak dalam saf solat dikalangan orang dewasa. Dicadangkan
pihak pengurusan masjid mengambil kesempatan dalam seminit dua memberi taklimat
tersebut ketika para jemaah sedang menunggu waktu solat.
iii.
Risalah/Buletin
masjid
Risalah masjid juga amat berguna sebagai “instrument”
penyampai maklumat kepada masyarakat. Selain daripada memberi maklumat tentang
aktiviti pengisian rohani, permasalahan fiqh harian, fatwa-fatwa baru yang
diwartakan untuk dibaca oleh ahli kariah. Adalah dicadangkan juga pihak
pengurusan masjid turut menyelitkan artikel-artikel berkenaan dengan hak
kanak-kanak di dalam saf solat secara berjemaah dan paparkan juga
kesan-kesannya kepada kanak-kanak jika kita menafikan hak mereka untuk turut
serta bersolat bersama orang dewasa.
iv.
Khutbah
Jumaat
Khutbah Jumaat merupakan aktiviti mingguan yang
diwajibkan agar masyarakat setempat mendengarnya sebagai syarat sah solat
Jumaat. Khutbah Jumaat menjadi platform kepada ahli jemaah agar sentiasa
meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dalam aktiviti harian. Dicadangkan
pihak masjid mengangkat hak kanak-kanak di dalam saf solat sebagai topik
kupasan isu semasa dan nasihat kepada ahli jemaah agar dapat memberi kefahaman
dan bersikap lebih toleran terhadap mereka. Antara kandungan khutbah Jumaat
tentang hak kanak-kanak yang pihak pengurusan masjid boleh aplikasikan ialah
seruan amalan maaruf ke arah kebaikan, memberi peringatan agar para jemaah
menunaikan amanah dan menerangkan tentang hak kanak-kanak. Ini kerana penulis berpendapat bahawa
komunikasi melalui khutbah Jumaat dalam konteks penyebaran ilmu dalam bentuk
nasihat antara yang paling berkesan kepada para jemaah dewasa.
v.
Masjid
Sebagai Aktiviti Pusat Pendidikan Dan Pembelajaran
Penulis berpendapat bahawa rata-rata aktiviti di
masjid 80% kerangka kelasnya adalah direka untuk golongan orang dewasa yang
sudah bersara
. Penulis
juga mencadangkan agar masjid membuka ruang kepada kanak-kanak untuk bergiat
cergas dengan menawarkan penggunaan ruang masjid untuk aktiviti-aktiviti
pengisian masjid. Ini kerana selain daripada waktu solat, masjid mempunyai
ruang masa yang banyak untuk dimanafaatkan untuk kanak-kanak. Umpamanya ruang
waktu selepas solat subuh hingga solat zohor adalah panjang. Pihak pengurusan
masjid boleh menawarkan kepada pengelola kelas tae-kwan-do untuk mengadakan
sesi pembelajaran kelas tae-kwan-do di dalam masjid
pada setiap hari Sabtu misalnya. Ataupun diadakan “summer camp” untuk
kanak-kanak berkampung di masjid sepanjang program “summer camp” tersebut
dijalankan agar dapat mewujudkan pembiasaan kepada mereka sebagai salah satu
proses pendidikan untuk mendekatkan diri dengan masjid.
Pihak masjid juga boleh menawarkan ruang
masjid untuk kelas-kelas tuisyen atau lain-lain kelas bimbingan sebagai program
aktiviti mengimarahkan masjid khas untuk golongan kanak-kanak. Manafaatnya
ialah apabila tiba waktu azan, kanak-kanak boleh diajak untuk bersolat
berjemaah bersama-sama dan belajar bagaimana mendirikan solat secara berjemaah
dengan betul menurut cara solat Rasullullah s.a.w.
vi.
Etika
Pegawai Masjid
Pegawai masjid terdiri daripada imam, bilal dan siak
yang dilantik atau dipilih adalah merupa individu yang berkhidmat untuk ketinggaian
syiar Islam dan menjaga nama baik Islam bersama simbol masjid yang dinaunginya.
Mendepani masyarakat ahli kariah, adalah dicadangkan agar para pegawai masjid
menghadiri latihan tentang tata cara berkomunikasi yang effektif dalam bentuk
latihan “thinking strategically and communicating clearly” agar apa
sahaja maklumat yang disampaikan tidak menafikan hak golongan minoriti khasnya
kanak-kanak didalam membendung wujudnya jemaah kelas kedua di dalam saf solat
secara berjemaah. Kemampuan pegawai
masjid menanggani isu-isu tentang hak kanak-kanak secara bijaksana dan beretika
adalah amat dialu-alukan bagi menjadikan diri mereka sebagai “role model” oleh
kanak-kanak sebagai pendidik di masjid, manakala ibubapa adalah pendidik di
rumah dan guru-guru pendidik di sekolah.
5.0 Kesimpulan
Daripada cadangan-cadangan
yang disebutkan diatas, penulis berpendapat bahawa masjid boleh berperanan
untuk melahirkan kanak-kanak yang baik akhlaknya. Sentiasa memberi taklimat
kesedaran kepada para jemaah bahawa kanak-kanak juga mempunyai hak untuk turut
serta di dalam saf solat secara berjemaah akan meningkatkan “self esteem”
kanak-kanak terbabit. Apabila mereka merasakan diri mereka diraikan oleh
golongan dewasa, secara tidak langsung ianya akan dapat menjinakkan diri mereka
dekat dengan masjid. Dengan mengakui bahawa seseorang kanak-kanak dengan
memberi pengiktirafan kepada mereka, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi
fizikal, mental dan emosinya, memerlukan bantuan daripada kariah masjid yang
lebih dewasa untuk membolehkan mereka turut serta dalam dan menyumbangkan
penglibatan secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani
yang unggul.
Rujukan
Buku-buku
Al-Quran & Terjemahan
Abd Muein Abd Rahman & Muhammad Faiz Abd Karim, Hak
Kanak-Kanak Di Dalam Salat, Kuala Lumpur, 2008
Akta Kanak-Kanak 2011(Akta 611)
Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Yusoff,
Kamus Al-Quran Rujukan Lengkap Kosa Kata Dalam Al-Quran, PTS Islamika Sdn Bhd,
Kuala Lumpur, 2010
Encyclopedia of the Qur'an, Children
Freeman, Michael D.A, The ideologies of children’s rights, Maritinus Nijhoff Publishers, The Netherlands,1992
Kamus Dewan, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Edisi Baru, Kuala
Lumpur
Nor Raudah Hj. Siren & Mohamad Zaidi Abdul Rahman,
Strategi Mengurus Masjid, Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan dan Azha
Hamzah Trading (M) Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2006
Richard Templar, The Rules of Parenting, Pearson Education
Limited, United Kingdom, 2008
Sahih Muslim
Sahih al-Bukhairy
Jurnal
Ab. Halim bin Tamuri &
Khadijah Abdul Razak, Dakwah Dalam Mengani Isu-Isu Sosial di Kalangan Remaja
Ahmad Nawawi Yaakob, Sidek
Abdullah & Zaluddin Sulaiman, Institusi Masjid Dan Peranannya Ke Arah
Membina Toleransi Beragama Dalam Masyarakat Majmuk
Che Norlia Mustafa, Hak
Kanak-Kanak Di Malaysia di sisi Perlembagaan Persekutuan: Satu Penilaian Ke
Atas Pengiktirafan Kehakiman Terhadap Hak Kanak-Kanak Di Perkara-Perkara 5(1)
& 11(1)
Fariza Md. Sham, “Memahami Emosi
Remaja: Satu Keperluan Dakwah”
Kertas Kerja
Y.B.S.S Dato’ Hj Mohd Murtadza
bin Hj Ahmad, (Mufti Kerajaan Negeri Sembilan), Pendidikan Anak Dengan Solat –
Kertas kerja ini telah dibentangkan di dalam seminar Kebangsaan Menghayati
Ajaran Islam: Sembahyang Kewajipan Asasi, Tahun 1427H/2006, di Sutera Hall
Center Point, Bandar Seri Bengawan, Brunei, anjuran Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan
Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.
Akhbar
Mohamed Roslan Bari, “Galak anak solat
berjemaah di masjid”, Berita Harian, 29hb Jun 2011
Nurhidayah Muhd Hashim, “Hak
kanak-kanak amanah orang dewasa” Berita Harian 3hb Apr 2010,
Zulqarnain Mohamad, “Apabila kanak-kanak dilayan seperti
‘jemaah kelas kedua’”, Berita Harian, 9hb
Julai 2011