Pages

Saturday, 20 September 2014

Kepentingan Zikir

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُسْرٍ قَالَ: أَتَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- رَجُلٌ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ إِنَّ شَرَائِعَ الإِسْلاَمِ قَدْ كَثُرَتْ عَلَيْنَا فَبَابٌ نَتَمَسَّكُ بِهِ جَامِعٌ. قَالَ:(( لاَ يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْباً مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ )). ]رواه أحمد[

Daripada ‘Abdullah bin Busr katanya: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah lalu bertanya: Wahai Muhammad, sesungguhnya syari’at-syari’at Islam telah banyak  kepada kami, maka berilah kami suatu kaedah yang kami dapat berpegang teguh dengannya. Baginda bersabda: “Hendaklah lidahmu sentiasa basah dengan zikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” [HR Ahmad]

Pengajaran hadith:
1.      Sesungguhnya Allah SWT menyuruh orang-orang yang beriman supaya sentiasa berzikir kepada-Nya dengan zikir yang banyak, dan memuji-Nya dalam setiap keadaan. Firman Allah Ta’ala yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” [Al-Ahzab: 41]
Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bemaksud: “… Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah  dengan banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah  dengan banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” [Al-Ahzab: 35].
 Firman Allah Ta’ala juga yang maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring...” [Ali Imran: 191]
2.      ZikruLLah dapat menenangkan jiwa dan meringankan beban kerja yang berat, sebagaimana zikir yang di ajar oleh Rasullah SAW kepada anaknya Fatimah tatkala Fatimah meminta khadim untuk membantunya dalam mengurus rumahtangganya. Tetapi baginda meminta agar Fatiman selalu membaca zikir setiap kali sebelum tidur yang mana zikir ini lenih baik daripada khadim. [Maksud hadis sohih]
3.      Daripada Abu Hurayrah, bahawa Rasulullah SAW pernah melalui sebuah bukit yang dinamakan sebagai ‘Jumdan’. Lalu baginda bersabda: “Berjalanlah melalui bukit ini, sesungguhnya golongan al-Mufarridun telah mendahului.” Mereka bertanya: Siapakah golongan al-Mufarrridun itu ya Rasulullah? Baginda bersabda: “Mereka itu adalah orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang banyak berzikir (mengingati) kepada Allah.” [HR Muslim]
4.      Golongan Al-Mufarridun dan al-Sabiqun yang disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadith tersebut ialah orang yang sentiasa berzikir kepada Allah, merasa seronok dan tehibur dengan berzikir kepada Allah.
5.      Kata Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pada malam ‘Arafah ketika hendak bertolak ke Muzdalifah: Bukanlah orang yang mendahului pada hari ini (dikira) dari segi untanya berada di hadapan, tetapi orang yang mendahului itu ialah orang yang diampunkan dosanya oleh Allah.
6.      Daripada ‘A’ishah, katanya: Adalah Rasulullah SAW sentiasa berzikir kepada Allah dalam setiap keadaannya. [HR Muslim] Maknanya: Baginda sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, berjalan, duduk dan ketika berbaring, sama ada ketika berada dalam keadaan thaharah (suci) atau ketika berhadas.
7.      Kata Ibnu Mas’ud ketika menafsirkan firman Allah Ta’ala: “… bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa …” [Ali Imran: 102] Katanya: Hendaklah Dia ditaati, bukan diderhakai. Dan hendaklah Dia diingati, bukan dilupakan. Serta hendaklah Dia disyukuri, bukan diingkari. [Riwayat Hakim secara marfu’]
8.      Kata Zayd bin Aslam: Musa – alayhissalam – berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah memberikan nikmat yang sangat banyak kepadaku. Maka tunjukkanlah aku sesuatu amalan supaya aku dapat bersyukur kepada Engkau dengan sebanyak-banyaknya. Allah berfirman: Berzikirlah kepada-Ku dengan sebanyak-banyaknya. Maka apabila engkau mengingati Aku dengan banyak, sesungguhnya engkau telah mensyukuri-Ku. Dan apabila engkau melupakan Aku, sesungguhnya engkau telah mengingkari-Ku.
9.      Kata al-Rabi’ bin Anas, daripada sesetengah para sahabatnya: Tanda seseorang itu cinta kepada Allah ialah dia banyak mengingati Allah, kerana sesungguhnya engkau sekali-kali tidak akan mencintai sesuatu melainkan engkau banyak mengingatinya.
10. Kata Fathul Mushalli: Seseorang yang mencintai Allah tidak akan lalai daripada berzikir kepada-Nya walaupun sekelip mata. Kata Zu al-Nun: Barangsiapa yang hati dan lidahnya sentiasa sibuk dengan berzikir kepada Allah, Allah akan mencampakkan cahaya kerinduan ke dalam hatinya (rindu kepada Allah).
11. Kata Ka’ab: Sesiapa yang banyak berzikir kepada Allah, dia telah bersih daripada sifat munafik. Barangsiapa yang tidak banyak berzikir kepada  Allah, maka  tidak ada padanya nilai-nilai iman. Ini sesuai dengan maksud firman Allah ta’la:
142. Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
                                                                                                                                                             [Al-Nisa’:142]
12. Allah Azza Wajalla mengingatkan orang-orang yang beriman agar mereka tidak di lalaikan oleh anak-anak dan harta benda daripada mengingati Allah. Barangsiapa yang di lalaikan oleh anak isteri dan harta benda daripada mengingati Allah maka itulah orang yang rugi dunia dan akhirat. Firman Allah ta’ala yang bermaksud:
 9. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi.                                 [Al-Munafiqun:9]   
13. Sebahagian sahabat Ibrahim bin Adham yang tidur di sisinya berkata: Setiap kali aku bangun pada waktu malam, aku akan mendapati Ibrahim bin Adham sedang berzikir kepada Allah. Lalu aku pengsan, kemudian (setelah sedar) aku akan mengucapkan takziah kepada diriku sendiri dengan membaca ayat: “Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.” [Al-Ma’idah: 54]
14. Kata Malik bin Dinar: Tidak ada sesuatu kelazatan pun yang dapat menyamai kelazatan berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla pada orang-orang yang beriman.
15. Adalah Abu Muslim al-Khulaniy banyak berzikir kepada Allah. Apabila sebahagian manusia melihatnya, ia  mengingkari perbuatan Abu Muslim tersebut lalu berkata kepada sahabat-sahabatnya: Adakah sahabat kamu ini seorang yang gila? Tatkala Abu Muslim mendengarnya, beliau berkata: Tidak wahai saudaraku, akan tetapi inilah ubat bagi mengubati penyakit gila.
16. Orang-orang yang mencintai Allah tidak akan merasa senang jika ada sebarang perkara yang dapat menyibukkannya daripada berzikir kepada Allah. Begitu juga tidak ada sesuatu pun yang lebih dia cintai daripada dapat bersendirian dengan kekasihnya (Allah).
17. Kata ‘Isa – ‘alayhissalam: Wahai sekalian al-Hawariyyun! Perbanyakkanlah perbualan kamu dengan Allah, dan kurangkanlah perbualan kamu dengan manusia. Mereka bertanya: Bagaimanakah caranya supaya kami dapat perbanyakkan perbualan dengan Allah? ‘Isa berkata: Bersendirianlah kamu dengan bermunajat kepada-Nya dan berdoa kepada-Nya.
18. Firman Allah juga: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.” [Al-Nisa’: 103] Iaitu solat ketika dalam keadaan takut (peperangan). Kerana itu Allah berfirman: “Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa).”
19. Allah Ta’ala juga berfirman dalam surah al-Jumu’ah: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” [Al-Jumu’ah: 10] Allah memerintahkan keseluruhannya, iaitu mencari kurniaannya dan jangan sekali-kali lupa untuk  memperbanyakkan berzikir kepada-Nya.
20. Kata Abu Ubaydah bin Abdullah bin Mas’ud: Selagi mana hati seseorang itu berzikir kepada Allah, maka ia sebenarnya berada di dalam solat, tidak kiralah sama ada ia berada di pasar atau di mana-mana. Dan sekiranya dia menggerakkan kedua-dua bibirnya, maka itu adalah lebih afdal.
Faedah:
1.      Kesan daripada hati yang sentiasa berzikir kepada Allah ialah hati-hati mereka  akan gementar dan rasa takut kepada Allah sehingga mata mereka mengalir air mata. Mereka juga di ketika menhadapi apa-apa masalah kehidupan mereka akan menghadapi dengan hati yang tenang dan sabar. Firman Allah ta’ala yang maksud:
2. Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
                                                                                                                        [Al-Anfal: 2]
 Firman Allah ‘Azza wa Jalla dalam menyifatkan ciri-ciri orang yang bertaubat kepada-Nya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.” [Al-Ra’d: 28]
Apabila seorang pencinta mendengar nama orang yang dicintainya, pasti kegembiraannya akan membuak-buak dan rasa gelisahnya akan berganda-ganda. Sabda Nabi SAW kepada Ibnu Mas’ud: “Bacakanlah Al-Qur’an kepadaku.” Ia berkata: Adakah patut aku membacakannya kepada engkau sedangkan Al-Qur’an itu diturunkan kepada engkau? Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya daripada selainku.” Lalu Ibnu Mas’ud membacanya, dan Nabi SAW mengalirkan air mata. [Muttafaqun ‘alayh]
Orang yang selalu mengingati Allah juga termasuk dalam salah satu golongan yang dijanjikan oleh Allah, yang akan dinaungi dengan naungan Allah pada hari yang tiada naungan melaikan naungan-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “(Antaranya ialah) Seseorang yang bersendirian mengingati Allah, lalu dia mengalirkan air mata.”
2.      Kita telah mengetahui bahawasanya Allah ‘Azza wa Jalla telah mewajibkan ke atas para Muslimin dan Muslimat untuk mengingati-Nya setiap hari lima kali, dengan menunaikan solat lima waktu. Dan disunatkan juga untuk berzikir selepas solat yang tiada solat sunat selepasnya, iaitu: Solat Subuh dan Asar, dan disyara’kan untuk berzikir selepas solat Subuh hingga terbitnya matahari, dan selepas solat Asar hingga terbenamnya matahari. Dua waktu ini adalah waktu yang paling afdal untuk berzikir, kerana itulah Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Qur’an: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintah-Nya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.” [Al-A’raaf: 205]
Solat Subuh dan Asar juga termasuk daripada solat Al-Bardan (sejuk), iaitu sesiapa yang menjaga kedua-duanya, dia akan masuk ke dalam syurga.