Pages

Thursday, 29 May 2014

Penjelasan bahagian mukjizat dan perbezaannya. Apakah yang dimaksudkan dengan irhas, karamah, ma’unah dan inahah?

سلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


i.            Jelaskan bahagian mukjizat dan perbezaannya. 

      Apakah yang dimaksudkan dengan irhas, karamah, ma’unah dan inahah?
Mukjizat adalah suatu hal yang luar biasa atau di luar kelaziman dan kebiasaan yang Allah berikan kepada para Rasul-Nya untuk menguatkan dan membuktikan kebenaran kerasulannya dan untuk melemahkan hujah musuh yang menentangnya. Setiap para Rasul yang diutus memiliki mukjizat yang sesuai dengan zamannya. Umpamanya antara mukjizat Nabi Musa ialah tongkat yang pada ketika itu begitu ramai ahli sihir yang hidup di zamannya. Mukjizat Nabi Isa yang boleh menyembuhkan penyakit buta pula kerana pada ketika itu ramai di kalangan orang Yahudi yang boleh mengubati penyakit.[1]

Mukjizat terbahagi kepada 2 iaitu:

  1. Mukjizat Maknawi
Mukjizat Maknawi bermaksud mukjizat yang sukar difahami dan tidak dapat  dilihat dengan jelas, kecuali menerusi penelitian, kajian dan pemikiran yang mendalam. Sebagai contohnya Al-Quran.[2]

  1. Mukjizat Hissi
Mukjizat Hissi bermaksud mukjizat yang dapat dilihat dengan jelas menerusi pancaindera. Yang mana ia tidak memerlukan kepada kajian yang mendalam. Sebagai contohnya ialah batu memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW serta Baginda terpelihara daripada dibunuh. [3]



                    i.            Irhas
Irhas ialah perkata luar biasa yang terdapat pada sesorang Rasul sebelum baginda di angkat menjadi Nabi dan Rasul[4].

Antara contoh secara ringkas ialah[5]:
§  Allah menghancurkan tentera bergajah untuk menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW.
§  Pengalaman waktu kecil Nabi Muhammad SAW sesudah berkhitan
§  Semasa Baginda SAW dalam pemeliharaan ibu susuan yang mana kehidupan ibu susuan tersebut telah bertukar kepada kehidupan dengan rezeki yang melimpah
§  Ketika Nabi Muhammad berniaga ke Syam, semasa Baginda di dalam perjalanan bersama sahabatnya Maisarah, Baginda berada di bawa naungan gumpalan awan sehingga Nabi SAW tidak pernah merasakan kepanasan terik matahari
§  Peristiwa Nabi Muhammad SAW yang dibedah oleh Jibril waktu itu, Baginda tidak mati


                  ii.            Karamah
Hal yang luar biasa yang terdapat pada para wali iaitu orang yang jelas soleh dan adil yang tidak mendakwakan kewalian dan kerasulan. Orang yang mendapat karamah itu ialah wali-wali Allah sahaja dan itu pun berlaku semasa wali-wali Allah itu masih hidup, supaya menjadi bimbingannya dapat diterima dan ikuti oleh orang ramai. Karamah merupakan fadhilah anugerah Allah terhadap hamba-Nya yang soleh.[6]

Antara contoh secara ringkas ialah[7]:
§    Karamah Umar bin Al-Khattab r.a yang menulis surat kepada sungai Nil yang airnya selalu naik melimpah sehingga merosakkan tanaman dan kehidupan penduduk yang berdekatan. Dalam suratnya beliau menulis:

“Jika anda pasang dengan perintah Allah, pasanglah!. Tetapi jika bukan dengan perintah Allah, memada-madailah sahaja.”

Sejak itu tidak berlaku lagi kejadian air pasang yang besar.

§     Dalam peristiwa yang lain, penduduk Madinah datang mengadu kepada Umar Al-Khattab r.a tentang perihal rumah mereka yang sering dijilat api. Lalu beliau mengatakan:

“Kalau terjadi kebakaran lagi, kibarkan pakaianku ini dan katakan: Ini kain Umar!”

Apabila dibuat yang demikian itu, api pun padamlah.

§  Kisah yang lain mencatatkan semasa Umar Al-Khattab membaca khutbah Jumaat, beliau telah memerintahkan orang ramai yang hadir naik ke atas bukit dari tempat beliau berkhutbah. Perkataan Umar itu dapat didengar oleh bala tenteranya daripada tempat yang telah terkepong. Lalu bala tentera Islam membawa pulang kemenangan. Di ceritakan oleh pasukan tentera tersebut mereka telah mendengar suara Umar yang memerintahkan mereka naik di atas bukit.


                iii.            Ma’unah
Ialah hal yang luar biasa yang terdapat pada orang biasa yang mukmin yang benar-benar soleh tetapi tidak menonjolkan dirinya dan orang mukmin itu tidak fasiq sebagai pertolonngan Allah. Kejadian itu dengan tiba-tiba terjadi atas dirinya. Bukan dibuat-buat dengan jalan mentera atau ada sebab-sebab, maka terjadi hal yang luar biasa itu. Kejadian itu berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT.[8]

                iv.            Inahah
Ihanah ialah perkara luar biasa yang berlaku pada orang awam dengan menggunakan tipu daya untuk mendapatkan sesuatu. Ihanah dilakukan dengan cara sihir, ilmu hitam, pukau, dan sebagainya. Umpamanya disebabkan mentera-mentera atau kebiasaan yang kejadian ini dapat ditiru oleh manusia dengan pengertian bahawa kejadian ini dapat ditandingi orang dan dapat dikalahkan orang apabila telah diketahui sebab-sebabnya.[9]

Contohnya ahli sihir di zaman Nabi Musa memperlihatkan kehandalan mereka dengan mencampakkan tali-temali lalu bertukar menjadi ular.[10]


[1] Ustaz Haji Osman bin Jantan, Pedoman Ilmu Tauhid (Lengkap), hlm 242
[2] Ab. Latif Muda & Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin, Perbahasan Akidah Islam, hlm 474
[3] Ibid, hlm 475
[4] Ibid, hlm 244
[5] Hidayatullah Mohd Syarif Aziz, Kisah 25 Nabi & Rasul, hlm 509 - 533
[6] Ibid, hlm 244
[7] Ibid, hlm 245
[8] Ibid, hlm 246
[9] Ibid
[10] Hidayatullah Mohd Syarif Aziz, Kisah 25 Nabi & Rasul, hlm 378