السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب العالمين ،
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
1- PENGENALAN
Kecantikan seni bina dan ukiran
masjid tidak dinafikan memberi sumbangan dalam menggambarkan Islam sebagai
sebuah agama yang cantik dan indah dari sudut zahir dan maknawinya. Keunikan
seni bina masjid dan keindahan tulisan khatnya yang menghiasi dinding masjid
telah menjadi tarikan kepada bukan sahaja masyarakat Islam tetapi juga
pelancong-pelancong asing non muslim. Terlalu kerap kita mendengar, membaca dan
menerima pujian tentang masjid yang tersergam indah. Antaranya kecanggihan
masjid Nabawi, keindahan Masjidil Haram, keagungan masjid-masjid di Cardova,
Turki, Damsyik, Baghdad sehinggalah kesergaman masjid-masjid di rantau ini. Pelbagai penulisan, rakaman dan kata-kata
manis dilahirkan baik oleh pelancong mahupun oleh masyarakat setempat. Namun
hakikat pengimarahan masjid terletak bukan sahaja pada keindahan fizikal tetapi
yang lebih penting terletak pada kualiti umat tersebut. Kesungguhan pelancong-pelancong non muslim
untuk melawati masjid selain non muslim setempat mendesak kepada kajian semula
terhadap kupasan ayat-ayat al-Quran dan
hadith tentang hukum melawat
masjid bagi mereka. Beberapa dalil daripada al-Quran, hadith serta pandangan
ulama tentang hukum melawat masjid bagi non muslim akan dikemukakan dengan
mengambil kira realiti masyarakat Islam pada hari ini.
2. HUKUM
NON MUSLIM MEMASUKI MASJID MENURUT AL-QURAN DAN HADITH
Perbahasan ulama berkaitan hukum non muslim memasuki masjid sebenarnya
tidak terpisah daripada perbahasan berkaitan perkara-perkara berikut:
Pertama: Hukum
Non muslim memasuki kawasan tanah haram Mekah
Kedua: Hukum
Non muslim memasuki Masjidil Haram
Ketiga: Hukum
Non muslim memasuki masjid nabi
Keempat: Hukum
Non muslim memasuki Madinah
Kelima: Hukum
Non muslim memasuki tanah haram Madinah
Terdapat banyak dalil daripada al-Quran ataupun
hadith yang dijadikan sandaran oleh para ulama dalam mengharuskan atau
mengharamkan non muslim memasuki masjid.
2.1 Dalil-dalil daripada
al-Quran yang mengisyaratkan larangan memasuki masjid bagi non muslim
Antara dalil-dalil daripada al-Quran yang
mengisyaratkan larangan memasuki masjid adalah seperti berikut:
i-
Firman Allah (s.w.t) dalam surah al-Taubah ayat 18
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ
وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya:
Hanyalah yang
memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada allah dan
hari kemudian.
Berdasarkan
ayat ini setengah ulama melarang non muslim memasuki masjid dengan anggapan
bahawa hanya orang-orang beriman sahaja yang boleh memakmurkan masjid.
ii-
Firman Allah dalam surah Taubah ayat 17
مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ
شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ
Maksudnya:
Tidaklah boleh
orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah sedangkan mereka
mengakui bahawa mereka sendiri kafir.
iii-
Firman Allah (s.w.t) dalam surah
al-Taubat ayat 28
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ
عَامِهِمْ هَذَا
Maksudnya:
Hai orang-orang yang beriman ,
sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis maka janganlah mereka mendekati
masjidil haram sesudah tahun ini.
Ayat yang
disebutkan di atas telah dijadikan dalil oleh semua mazhab dalam membincangkan
keharusan dan larangan memasuki masjid bagi non muslim. Sesungguhnya perdebatan
ulama dalam memahami ayat ini banyak tertumpu kepada lafaz najis yang menurut
setengah ulama menjadi sebab kepada larangan tersebut.
Jika
diperhatikan dengan teliti, larangan yang terdapat dalam ayat ini lebih khusus
kepada golongan musyrikin dan terhad kepada Masjid al-Haram sahaja. Walaupun
begitu, Imam Malik mengqiyaskan lafaz musyrikin dalam ayat ini merangkumi
kesemua kuffar termasuk ahli kitab dan
mengqiyaskan Masjidil al-Haram kepada kesemua masjid.[1] Dengan
kata lain Imam Malik berpandangan bahawa haram bagi non muslim tanpa kecuali
seorang pun memasuki mana-mana masjid. Golongan Malikiah pula berhujjah bahawa
huruf fa’ yang datang selepas penghabaran tentang musyrikin itu najis
adalah merupakan dalil kepada illah larangan tersebut.[2]
Menurut Imam
Syafii pula ayat ini adalah khusus kepada Masjidil al-Haram sahaja. Pandangan
beliau ini bermaksud tidak boleh Non muslim memasuki Masjidil Haram dalam
keadaan mana sekalipun tetapi boleh memasuki masjid lain dengan keperluan
sebagaimana masuknya Thumamah dan Abu Sufian.[3]
Pandangan beliau ini juga mengecualikan orang Yahudi dan Nasrani daripada
larangan tersebut. Dalam hal ini golongan Syafiyyah berpegang kepada kisah
Thumamah yang diikat di masjid. Walaupun begitu hujjah Syafiyyah ini ditolak
oleh Malikiyyah dengan alasan bahawa kisah Thumamah berlaku sebelum pembukaan
kota Mekkah manakala ayat surah Taubat pula diturunkan selepas pembukaan kota
Mekah. Mereka mendakwa sebelum turunnya ayat ini, orang kafir bebas memasuki
Masjidil Haram. Golongan Syafiyyah menjawab pula dengan dalil bahawa peristiwa
rombongan Thaqif dibenarkan tinggal di masjid berlaku pada tahun sembilan
hijrah iaitu selepas peperangan Tabuk. Pandangan ini dijawab pula oleh
Malikiyyah dengan alasan bahawa peristiwa tersebut berlaku pada bulan Ramadhan
sedangkan ayat tersebut diturunkan pada bulan Zulhijjah.[4]
Imam Abu Hanifah
pula berpandangan bahwa larangan ini dikhususkan kepada penyembah-penyembah
berhala daripada memasuki Masjidil Haram sahaja. Beliau dengan ini,
mengharuskan ahli kitab memasuki Masjidil Haram dan mengharuskan penyembah
berhala memasuki masjid kecuali Masjidil Haram.[5]
Berikut adalah
pandangan ulama mengenai maksud najis yang menjadi punca kepada perselisihan
pendapat ulama.Antaranya[6]:
i- Najisnya mereka itu adalah pada zatnya sebagaimana najisnya anjing dan khinzir.
ii- Tubuh badan mereka adalah suci dengan dalil bahawa nabi pernah meminum daripada bekas-bekas bejana mereka
dan larangan non muslim memasuki masjid hanya khusus kepada Masjidil Haram
sahaja.
iii-Najisnya mereka itu adalah
pada hukumnya bukan pada zat.
iv-Najisnya mereka kerana tidak mandi dan berwudu’ selepas junub dan
hadath kecil.
v-Benda –benda najis hendaklah dijauhi maka non mulim hendaklah dijauhi
daripada menghampiri masjid.
Kesimpulan yang
dapat diambil daripada pendapat di atas ialah kebanyakan ulama menganggap bahwa
najisnya non muslim itu hanya pada hukumnya bukan pada zatnya
Persoalan lain
yang dibincangkan para ulama berkenaan ayat ini ialah kedudukan tanah haram.
Setengah ulama berpendapat Masjidil Haram yang disebutkan dalam ayat ini
merangkumi tanah haram dengan alasan
bahawa jika dibenarkan non muslim
memasuki tanah haram maka sudah semestinya mereka akan menghampiri
Masjidil Haram.
iv- Firman Allah (s.w.t) dalam
surah al-Nur ayat 36
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ
لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
Maksudnya:
Bertasbih kepada Allah di
masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di
dalamnya,pada waktu pagi dan pada waktu petang.
Ayat ini
menegaskan lagi larangan membawa non muslim memasuki masjid kerana bertentangan
dengan tujuan untuk meninggikan dan memuliakannya. Malah khalifah Umar ibn Abdul Aziz
menggunakan ayat ini seterusnya diutuskan kepada gabenor-gabenornya.
iv-
Firman Allah dalam surah al-hajj ayat 26
وَطَهِّرْ
بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
Maksudnya:
Dan sucikanlah
rumahku ini bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang beribadat dan
orang-orang yang ruku’ dan sujud.
Kesimpulan yang
dapat diambil daripada dalil-dalil al-Quran yang disebutkan sebelum ini ialah
larangan memasuki Masjid Haram bagi non muslim adalah berdasarkan kepada nas
al-Quran manakala larangan memasuki masjid-masjid selainnya adalah disebabkan
tanggungjawab memelihara masjid daripada
kekotoran dan najis.
2.2 Dalil-dalil daripada hadith yang mengisyaratkan larangan bagi non
muslim memasuki masjid .
Antara
hadith-hadith yang mengisyaratkan larangan bagi non muslim memasuki masjid
adalah seperti berikut:
i-
Sabda Rasulullah (s.a.w) kepada
seorang badwi:
إن هذه المساجد لا تصلح
لشيء من هذا البول ولا القذر[7]
Maksudnya:
Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak sesuai untuk sesuatu daripada air kencing
ataupun kekotoran
Hadith
ini menegaskan bahwa masjid bukan sebuah tempat bagi kekotoran atau najis. Jika
masjid dilarang daripada perkara-perkara ini maka sudah tentu non muslim lebih
wajar dilarang kerana dianggap najis.
ii- Athar daripada Abu Musa
al-As’ari
أَنَّ أَبَا مُوسَى رَضِىَ
اللَّهُ عَنْهُ وَفَدَ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمَا وَمَعَهُ
كَاتِبٌ نَصْرَانِىٌّ فَأَعْجَبَ عُمَرَ رَضِىَ
اللَّهُ عَنْهُ مَا رَأَى مِنْ حِفْظِهِ فَقَالَ : قُلْ
لِكَاتِبِكَ يَقْرَأُ لَنَا كِتَابًا. قَالَ : إِنَّهُ نَصْرَانِىٌّ لاَ يَدْخُلُ الْمَسْجِدَ.
فَانْتَهَرَهُ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ وَهَمَّ بِهِ وَقَالَ : لاَ تُكْرِمُوهُمْ
إِذْ أَهَانَهُمُ اللَّهُ وَلاَ تُدْنُوهُمْ إِذْ أَقْصَاهُمُ اللَّهُ وَلاَ تَأْتَمِنُوهُمْ
إِذْ خَوَّنَهُمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَل
Maksudnya: sesungguhnya Abu Musa al-As’ari datang kepada
Umar bin al-Khattab dan bersamanya seorang penulis Nasrani ,umar tertarik
dengan apa yang beliau lihat daripada hafazannya lalu berkata: Katakan kepada
penulis engkau untuk dia baca kepada kita buku. Abu Musa berkata: Dia adalah
Nasrani tidak boleh memasuki masjid. Lalu Umar mengherdiknya dan memarahinya
dengan katanya: jangan engkau memuliakan mereka kerana allah menghina mereka
jangan engkau mendekatkan mereka kerana allah menjauhkan mereka jangan engkau
member amanah kepada mereka kerana allah tidak mempercayai mereka.
Riwayat ini
jelas membuktikan bahawa Umar melarang penulis Nasrani tersebut memasuki masjid
walaupun kepakaran beliau boleh mendatangkan keuntungan dan kemanfaatan kepada
orang Islam.
2.3 Dalil-dalil daripada hadith yang mengharuskan non muslim memasuki
masjid.
Antara hadith-hadith yang mengharuskan non muslim memasuki masjid adalah
seperti berikut:
i-
Daripada Anas bin Malik berkata:
أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ يْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ دَخَلَ رَجُلٌ عَلَى جَمَلٍ فَأَنَاخَهُ فِي الْمَسْجِدِ ثُمَّ عَقَلَهُ ثُمَّ
قَالَ لَهُمْ أَيُّكُمْ مُحَمَّدٌ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مُتَّكِئٌ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِمْ فَقُلْنَا هَذَا الرَّجُلُ الْأَبْيَضُ الْمُتَّكِئُ
فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ يَا ابْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أَجَبْتُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي سَائِلُكَ
Maksudnya: Anas bin Malik berkata: ketika mana kami duduk
bersama nabi s.a.w di dalam masjid ,masuk seorang lelaki dengan untanya lalu
mendudukkan untanya di dalam masjid kemudian mengikatnya kemudian bertanya
kepada sahabt nabi :yang mana satu di kalangan kamu Muhammad .nabi pada waktu
itu sedang duduk bersama sahabt-sahabatnya lalu kami jawab itu lelaki yang
putih yang sedang duduk kemudian lelaki tersebut berkata wahai anak abd
al-mutallib lalu nabi menjawab : ya lelaki berkata kepada nabi aku ingin
bertanya…[9]
Jika diperhalusi hadith
Rasulullah (s.a.w) ini, kita akan dapati bahawa lelaki tersebut tidak meminta
izin daripada Rasulullah atau para sahabat malah terus mendudukkan untanya di
dalam masjid lalu menuju ke tempat Rasulullah (s.a.w). Dalam hadith ini tidak
timbul persoalan meminta izin memasuki masjid ataupun tidak. Perkara kedua
ialah tujuan lelaki tersebut ingin berjumpa Rasulullah ialah ingin bertanyakan
suatu masalah atau persoalan. Maka dalam hal ini, kedatangan lelaki tersebut
dianggap satu keperluan yang daruri.
Perkara yang ketiga pula, ialah harus difahami bahawa masjid di zaman
nabi tidak sebagaimana zaman sekarang malah zaman tersebut struktur pembinaan
masjidnya amat sederhana sekali. Atapnya hanya meliputi sebahagian kecil sahaja
sehingga sinar cahaya matahari akan mengenai mereka yang sedang bersembahyang.
Malah sekiranya hari hujan, ruangan masjid itu menjadi basah dan becak kerana
lantainya terdiri daripada tanah semata-mata. Perkara yang keempat, kemungkinan
Rasulullah (s.a.w) atau para sahabat tidak melarang lelaki tersebut memasuki
masjid memandangkan beliau seorang Arab Badwi yang jahil dan keras hatinya.
Rasulullah dalam dakwahnya kepada masyarakat Arab Badwi sering mengambil
pendekatan yang mudah dan memudahkan sehingga tertariknya mereka kepada Islam.
ii-
Daripada Abu Hurairah (r.a)
berkata:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ الْيَهُودُ أَتَوْا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ جَالِسٌ
فِي الْمَسْجِدِ فِي أَصْحَابِهِ فَقَالُوا يَا أَبَا الْقَاسِمِ فِي رَجُلٍ وَامْرَأَةٍ
زَنَيَا مِنْهُمْ[10]
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah
berkata: serombongan Yahudi datang berjumpa nabi s.a.w sedang nabi duduk di
dalam masjid bersama sahabat-sahabatnya lalu mereka bertanya wahai Abu Qasim
mengenai lelaki dan wanita berzina di kalangan mereka
Dalam hadith ini
tidak disebutkan rombongan Yahudi tersebut meminta kebenaran daripada
Rasululullah (s.a.w) untuk memasuki masjid. Ini berbeza dengan sikap para
sahabat yang sentiasa meminta izin daripada Rasulullah (s.a.w) untuk
menemuinya. Dalam peristiwa ini tidak disebutkan keizinan itu berlaku. Selain
daripada itu kedatangan mereka pula adalah untuk bertanyakan hukuman terhadap
lelaki dan wanita Yahudi yang berzina.
Kedua –dua
hadith yang disebutkan sebelum ini jelas menunjukkan bahawa non muslim yang
memasuki masjid adalah bertujuan untuk bertanyakan Rasulullah (s.a.w) persoalan
dan permasalahan agama.
iii-
Daripada Abdul al-Razzaq ,daripada
al-Thauri daripada hassan berkata:
جاء النبي صلى
الله عليه وسلم رهط من ثقيف، فأقيمت الصلاة فقيل يا نبي الله إن هؤلاء المشركون فقال
إن الأرض لا ينجسها شيء[11]
Maksudnya: Rombongan daripada
Thaqif telah datang berjumpa nabi s.a.w , kemudian diqamat untuk solat dan
dikatakan kepada nabi wahai nabi Allah mereka adalah orang musyrik lalu nabi
menjawab sesungguhnya bumi/tanah ini
tidak dinajiskan dengan sesuatu pun.
Hadith ini
dijadikan sandaran bagi golongan yang mengatakan bahawa non muslim boleh
memasuki masjid dengan alasan bumi tidak akan dinajiskan dengan sesuatu apa
pun. Lafaz musyrik yang diisyaratkan dalam hadith ini ialah orang yang
mensyirik dan menyengutukan Allah (s.wt). Dengan kata lain masyarakat Hindu,
Buddha dan Sikh boleh melawat dan memasuki masjid bersandarkan kepada hadith
ini.
iv- Daripada Abdul Razzaq
daripada Ibn Juraij berkata:
أنزل النبي صلى
الله عليه وسلم وفد ثقيف في المسجد وبنى لهم فيه الخيام يرون الناس حين يصلون ويسمعون
القرأن[12]
Maksudnya: Nabi s.a.w telah menempatkan
rombongan bani Thaqif di masjid dan mendirikan bagi mereka khemah di mana
mereka dapat melihat sahabat –sahabt solat dan mereka dapat mendengar al-Quran
Dalam riwayat
ini Rasulullah (s.a.w) memberikan kemudahan kepada rombongan Bani Thaqif dengan
mendirikan khemah-khemah bagi mereka di dalam masjid supaya hati mereka
tertarik dengan Islam. Ini jelas membuktikan bahawa non muslim dibenarkan
memasuki masjid dengan syarat mempunyai kepentingan dan keperluan tertentu. Layanan
istimewa ini perlu diberikan sebagai salah satu cara dakwah untuk menarik
mereka kepada Islam.
v-Daripada Abu
Hurairah .r.a
أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ
مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya
Rasulullah s.a.w menghantar utusan ke arah Najd lalu di bawa seorang lelaki
daripada Bani Hanifah yang dikenali dengan Thumamah bin Uthal lalu sahabat
mengikatnya di tiang daripada tiang-tiang masjid
Dalam hal ini
Rasulullah bertindak sebagai pemimpin negara yang memutuskan sesuatu keputusan
berdasarkan kepada maslahah tertentu. Kemungkinan penahanan Thumamah di masjid
memudahkan pemantauan dan kawalan terhadapnya dilakukan. Malah masjid pada
waktu itu juga merupakan pusat pemerintahan dan pentadbiran yang menguruskan
hal ehwal dan kepentingan negara.
Daripada
dalil-dalil yang dikemukakan ini boleh dibuat beberapa kesimpulan seperti
berikut:
i-
Kedatangan non muslim ke masjid
pada zaman Rasulullah adalah bertujuan untuk bertanyakan tentang Islam dan
persoalan agama.
ii-
Tidak ada dalil yang menunjukkan
larangan memasuki masjid bagi non muslim yang ingin bertanyakan sesuatu
persoalan kepada Rasulullah (s.a.w).
iii-
Rasulullah mengunakan pendekatan
mudah dan tidak menyusahkan ketika berdakwah kepada non muslim.
Kesimpulannya, pendapat Imam
al-Syafii bahawa non muslim tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram dalam
keadaan mana sekalipun tetapi boleh memasuki masjid-masjid lain dengan hajat
dan keperluan di samping mempunyai keizinan daripada umat Islam lebih sesuai
diterima. Keperluan mendedahkan mereka
kepada hakikat Islam yang sebenar pada hari ini lebih mendesak daripada menilai
mereka sebagai najis yang membawa kepada larangan memasuki masjid.
3. REALITI PADA HARI INI.
Dewasa ini,
masjid dikenali kerana cantik seni binanya, besar kubahnya, tinggi
menaranya dan menariknya tulisan-tulisan
khat yang menghiasi dinding-dindingnya. Bilangan ma’mum yang mengimarahkan
masjid bukan menjadi suatu kepentingan yang dititkberatkan pada masa ini.
Masjid-masjid yang dikenali dengan kecantikan seni binanya yang bercirikan seni
ukir empayar-empayar Islam dulu sering menjadi tumpuan masyarakat Islam
tempatan juga oleh pelancong-pelancong asing yang datang ke negara ini.
Persoalannya
adakah lawatan pelancong-pelancong asing non muslim ke masjid pada hari ini
merupakan satu keperluan yang mendatangkan faedah kepada umat Islam?. Adakah
lawatan mereka ke masjid-masjid boleh dianggap sebagai satu peluang dakwah yang harus direbut bagi menjelaskan keindahan
Islam dan kebaikannya kepada mereka selain membetulkan salah faham mereka
terhadap Islam. Apakah pula cara dan kaedah terbaik berdakwah kepada mereka
dalam tempoh yang begitu singkat sempena lawatan tersebut.
Daripada maklumat
yang diperolehi daripada Masjid Negara Kuala Lumpur dan Masjid Negeri Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah berikut adalah layanan-layanan yang diberikan kepada
pelancong-pelancong asing ini seperti berikut:
i-
Mereka dikehendaki memakai pakaian
yang disediakan sebelum melawat masjid
ii-
Tidak ada pegawai masjid yang
mengiringi mereka ketika lawatan
iii-
Tidak ada penerangan yang
diberikan oleh pegawai masjid berkaitan masjid
iv-
Mereka tidak dibenarkan memasuki
dewan sembahyang
v-
Mereka dilarang mengambil gambar di
dalam masjid
Jika
layanan yang diberikan sedemikian rupa maka pelancong non muslim tidak perlu
lagi dibenarkan memasuki masjid malah masjid-masjid tidak perlu lagi dimasukkan
dalam senarai tempat-tempat pelancongan yang boleh dilawati. Ini adalah kerana lawatan tersebut tidak mendatangkan apa-apa kesan dari sudut
dakwah kepada non muslim malah tidak memberi keuntungan kepada umat Islam
sedikitpun. Jika layanan sebegini dikekalkan maka akan samalah masjid dengan tempat-tempat
pelancongan yang lain. Persoalannya sekarang
adakah dengan lawatan mereka ke masjid dengan layanan yang disebutkan
sebelum ini akan membuka pintu hati
mereka untuk tertarik kepada Islam. Atau adakah dengan melihat ukiran-ukiran
dan tulisan khat yang menghiasi dinding masjid akan melembutkan hati mereka
untuk menerima Islam. Atau adakah dengan melihat masjid yang paling besar,
paling tinggi menaranya, paling besar kubahnya akan menarik hati mereka untuk
memeluk agama Islam. Apa yang pasti masjid-masjid pada zaman Rasulullah yang berbumbungkan
plepah-pelepah tamar dan beralaskan tanah dan pasir tetap mampu menarik
qabilah-qabilah Arab yang taasub kepada Islam dan seterusnya menjadikan mereka
pendokong kuat kepada agama Islam.
.
Lawatan-lawatan
yang diadakan oleh pelancong-pelancong asing non muslim ke masjid –masjid
merupakan satu peluang untuk berdakwah yang harus digunakan dengan sebaiknya.
Bayangkan jika sesi penerangan dan penjelasan tentang Islam dapat dilakukan,
maka berapa ramai pelancong asing yang akan dapat dibetulkan kefahamannya
tentang Islam seterusnya memberikan persepsi baik terhadap Islam.Oleh kerana
peluang ini tidak datang berulang kali maka beberapa persediaan perlu dilakukan
bagi menyambut mereka. Antara cadangan
dan usaha yang perlu dilakukan adalah
seperti berikut:
i-
Mengekalkan pakaian jubah kepada
non muslim terutamanya bagi mereka yang memakai pakaian yang tidak sopan
Pelancong non muslim perlu
diminta untuk memakai pakaian yang disediakan sebelum memasuki masjid sebagai
satu tanda penghormatan kepada masjid. Mereka perlu dijelaskan bahawa Islam
mengkehendaki umatnya memakai pakaian yang sopan dan bersih sebelum memasuki
masjid sebagaimana mereka dikehendaki memakai pakaian yang sopan ketika
memasuki gereja, kuil atau tempat-tempat ibadat yang lain.
Keadaan ini
berbeza pada zaman Rasulullah (s.a.w), non muslim tidak diminta untuk memakai
pakaian tertentu sebelum memasuki masjid. Malah Rasulullah sendiri tidak
menetapkan peraturan bagi mereka sebelum memasuki masjid. Suatu yang harus
difahami bahawa masyarakat pada zaman Rasulullah berbeza dengan masyarakat pada
hari ini. Rasulullah (s.a.w) dikelilingi oleh masyarakat badwi yang jahil,
rosak akhlaknya serta mempunyai perasaan taasub yang kuat terhadap qabilah
masing-masing. Agama Islam pada waktu itu terlalu asing bagi mereka. Maka salah
satu pendekatan dakwah yang digunakan oleh Rasulullah ialah sentiasa memudahkan
dan tidak menyusahkan supaya mereka tertarik dan terpaut dengan keindahan dan
kebaikan Islam.
ii-
Menyediakan pegawai masjid bagi
mengiringi mereka ketika lawatan.
Pegawai ini berperanan memberikan
penerangan dan maklumat berkaitan masjid atau Islam serta menjawab segala
pertanyaan yang dikemukakan oleh pelawat. Selain itu, Islam sendiri menyuruh
umatnya supaya sentiasa menghormati dan memuliakan tetamu. Di samping itu,
kehadiran pegawai terbabit juga akan menimbulkan perasaan dihargai di kalangan
mereka.
iii-
Larangan memasuki dewan sembahyang
Larangan bagi mereka memasuki
dewan sembahyang harus dikekalkan. Penjelasan yang logik harus diberikan kepada
mereka supaya dapat menghilangkan sebarang salah faham atau kekeliruan terhadap
Islam. Larangan tersebut secara tidak lansung mengambil kira pandangan ulama
antaranya Imam Malik yang tidak membenarkan sama sekali non muslim memasuki
masjid. Namun jika mereka datang untuk mendengar mengenai Islam maka harus
dibenarkan.
iv-
Mengambil gambar di masjid.
Tiada larangan khusus untuk
mengambil gambar di masjid namun aspek penghormatan kepada masjid dan
mengelakkan masjid daripada dijadikan seperti tempat-tempat pelancongan yang
lain perlu diambilkira.
v-
Bentuk-bentuk penerangan yang
harus diberikan
Pihak masjid
harus mempunyai beberapa persediaan sebelum penerangan diberikan kepada
mereka.Penerangan yang diberikan pula tidak hanya berkisar kepada maklumat
berkaitan masjid, bila dibina dan diasaskan, berapa kos perbelanjaannya, siapa
yang merasmikannya, berapa keluasannya, apa kemudahan yang ada dan selainnya. Antara
perkara-perkara yang perlu diperjelaskan kepada mereka adalah seperti berikut
1-
Penerangan berkaitan masjid secara
ringkas
2- Penayangan audio video
selama 5 minit tentang cara hidup, keindahan dan keagungan Islam. Mereka harus
didedahkan dengan Islam dan ia merupakan satu keperluan yang signifikan dengan
kehidupan mereka lebih –lebih lagi jiwa dan nurani mereka yang kosong dan
tercari-cari sesuatu untuk dijadikan pegangan hidup.
3- Membetulkan salah faham dan buruk sangka mereka terhadap Islam
terutamanya dakwaan Islam ialah agama yang menyeru kepada keganasan,
pertumpahan darah dan pembunuhan. Media-media asing barat yang didokong oleh
pertubuhan-pertubuhan Yahudi Zionis seperti CNN sentiasa mencari peluang
memburukkan Islam di mata dunia.
4- Menceritakan penindasan
yang dialami oleh umat Islam seluruh dunia seperti perjuangan umat Islam
Palestin, umat Islam Bosnia, Iraq dan seumpamanya
5- Menjelaskan isu-isu yang menimbulkan buruk sangka terhadap Islam
Pegawai
masjid yang dipertanggungjawabkan dengan tugas ini harus mempunyai maklumat dan
persediaan serta kepakaran dalam ilmu yang hendak disampaikan. Pegawai tersebut
juga harus bersedia menjawab segala pertanyaan yang dikemukakan dengan hikmah
dan bijaksana. Kelima-lima cadangan yang dikemukakan juga tidak semestinya
disampaikan dalam satu masa tetapi melihat kepada keperluan dan ruang masa yang
ada.
vi- Memberikan cenderahati (souvenier) serta
menyediakan makanan dan minuman ringan
Pihak masjid juga
harus menyediakan cenderahati dalam bentuk bahan bacaan yang agak ringkas dan
padat tentang keindahan, kebenaran dan kebaikan Islam. Makanan dan minuman
ringan yang tidak melibatkan perbelanjaan yang besar harus disediakan bagi
menunjukkan bahawa Islam mempunyai caranya yang tersendiri dalam melayan
tetamu. Layanan sebegini perlu diberikan dengan harapan mereka akan
menceritakan kepada keluarga dan sahabat
handai tentang layanan mesra yang diberikan ketika menziarahi masjid berbanding
dengan pusat-pusat ibadat yang lain. Paling tidak sekurang-kurangnya apabila
mereka menaiki bas untuk pulang atau ke tempat lawatan yang lain, mereka akan
menyebut-nyebut layanan baik yang mereka terima dan berbincang sesama mereka
tentang kebaikan Islam. Ini seterusnya akan memberikan persepsi baik terhadap
Islam dan umatnya.
5. RUJUKAN
Al-Quran
Al-Asqalani, Muhammad ibn Ali ibn Hajr, Fath
al-Bari bi syarh Sahih al-Bukhari,Dar
al-Fikr, Qaherah
Al-Baihaqi,
Ahmad ibn Hussain, Al-Sunan al-Kubra, Dar Kutub Ilmiah, Beirut,
Lubnan
Al-Muqri, Muhammad ibn cAbd
al-Rahman, Mawahib al-jalil li Syarh
Mukhtasar Khalil,Dar al-Fikr,Lubnan.
Al-Sancani cAbd al-Razzaq ibn
Hammam, al-Musannaf
Al-Syanqiti c Abd Allah ibn al-Syeikh Muhammad
Amin ibn Muhammad Mukhtar al-Jakni, Hukm Dukhul Ghair al-Muslimin Ila
Masajid, Maktabat Ibn Taimiah , Qaherah,
Ibn al-Jawzi, Jamal al-Din c
Abd al-Rahman ibn c Ali ibn Muhammad al-Jawzi, Zad al-Masir, c
Alam al-Kutub.
Ibn c Atiyyah c
Abd al-Haq ibn Ghalib al-Andalusi, Al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir
al-Kitab al- c Aziz,Maktabat Ibn Taimiah ,Qaherah
Muslim ibn Hajjaj al-Naisaburi, Sahih Muslim, Dar
al-Fikr, Qaherah
[1] Muhammad
ibn cAbd al-Rahman al-Muqri, Mawahib al-jalil li Syarh Mukhtasar
Khalil,Dar al-Fikr,Lubnan, juzuk 3, ms 281
[2] c
Abd Allah ibn al-Syeikh Muhammad Amin ibn Muhammad Mukhtar al-Jakni
al-Syanqiti, Hukm Dukhul Ghair al-Muslimin Ila Masajid, Maktabat Ibn
Taimiah , Qaherah, ms 27
[3] ibid, ms
14
[4] ibid, ms
30
[5] c Abd
al-Haq ibn Ghalib ibn c Atiyyah al-Andalusi, Al-Muharrar al-Wajiz
fi Tafsir al-Kitab al- c Aziz,Maktabat Ibn Taimiah ,Qaherah,
juzuk 8 , ms 156
[6] Jamal
al-Din c Abd al-Rahman ibn c Ali ibn Muhammad al-Jawzi, Zad
al-Masir, c Alam al-Kutub,juzuk 3, ms 416
[7] Muslim
ibn Hajjaj al-Naisaburi, Sahih Muslim, kitab 2 bab 30
[8] Ahmad
ibn Hussain al-Baihaqi, Al-Sunan al-Kubra, juzuk 10, ms 127
[9]
Sahih al-Bukhari
[10]
Sunan Abu Dawud
[11] cAbd
al-Razzaq ibn Hammam al-Sancani , al-Musannaf, juzuk 1, ms
414
[12] cAbd
al-Razzaq ibn Hammam al-Sancani , al-Musannaf, juzuk 1, ms
414
[13]
Muhammad ibn Ali ibn Hajr al-Asqalani, Fath al-Bari bi syarh Sahih al-Bukhari, juzuk 1 ms 560