السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang
khusyuk dalam solatnya.” [Surah
al-Mu’minun: 1-2]
عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ قَالَ:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ:
(( إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلاَّ عُشْرُ صَلاَتِهِ
تُسْعُهَا ثُمُنُهَا سُبُعُهَا سُدُسُهَا خُمُسُهَا رُبُعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا)).
]رواه أبو داود أحمد وابن حبان[
Daripada ‘Ammar bin Yasir,
katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya pasti akan ada seseorang yang beredar (dari solatnya),
dan tidaklah ditulis untuknya (ganjaran pahala) melainkan satu persepuluh dari
solatnya, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu
perlima, satu perempat, satu pertiga dan atau separuh dari solatnya.”
[HR Abu Dawud, Ahmad dan Ibnu Hibban]
Pengajaran ayat dan hadith:
1. Nilai
kejayaan yang sebenar bagi setiap manusia adalah mengikut ukuran Allah bukan
ukuran manusia. Dan ukuran kejayaan manusia ialah terletak pada solatnya,
samada betul, sempurna dan khusyu’ atau
sebaliknya.
2.
Kejayaan
yang di maksudkan dalam al-Quran ialah berjaya mendapat syurga dan selamat dari
api neraka Allah, dan mereka yang betul-betul berjaya hanyalah orang yang khusyu’
di dalam solat mereka.
3. Ini
menunjukkan pentingnya solat yang betul dan khusyu’ kerana khusyu’ adalah ruh kepada solat, cahayanya dan penyelamat
kepada orang yang solat.
4. Khusyu’ ialah:
Sifat hina diri, tawaddu’ dan tunduk kepada Allah
Azza wa Jalla, serta dapat melahirkan ketenangan pada anggota badan. Tanpa
semua sifat ini tidak mungkin seseorang itu khusyu’ di dalam solatnya.
5. Ketahuilah bahawa khusyuk itu bukan khusus ketika solat sahaja,
sebaliknya ia juga di luar solat dan di semua keadaan. Tetapi ia di dalam solat
lebih hampir (kepada Allah), ini kerana khusyuk lahir daripada perasaan
membesarkan Allah Azza wajalla, rasa gerun kepada kehebatan-Nya dan
mengagungkan kekuasaan-Nya. Manakala solat adalah tempat membesarkan Allah dan
mengagungkan-Nya.
6. Nabi
SAW juga pernah bersabda dan menyebutkan tentang solat lima waktu: “(Iaitu) orang yang menyempurnakan ruku’ dan
khusyu’ mereka.” Baginda SAW menjadikan khusyu’ sebagai salah satu syarat
solat, yang solat tersebut tidak akan sempurna melainkan dengannya.
7. Barangsiapa
yang solat tanpa adanya rasa khusyu’ dalam dirinya, dia adalah seperti orang
yang memberi hadiah seorang hamba perempuan yang tidak bernyawa kepada raja.
Benarlah kerana khusyu’ merupakan ruh solat.
8. Apakah
faedah yang anda akan dapat sekiranya anda menghadirkan jasad untuk solat,
bangun dan rendahkan badan ketika solat, tetapi hati anda tidak hadir bersama. Sesungguhnya engkau
diperintahkan untuk menghadirkan semua sekali sehingga tidak ada sesuatu pun
yang ghaib dari engkau. Kadang-kadang engkau menghadirkan hati ketika solat
lebih penting daripada jasad engkau. Sabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya
Allah tidak memandang kepada jasad (fizikal) kamu, tidak juga kepada gambaran
luar kamu dan harta benda kamu, akan tetapi Dia kepada hati-hati kamu, (dan
baginda menunjukkan jari-jarinya ke arah dada baginda) dan amalan-amalan kamu. [Hadith
soheh]
9.
Oleh
kerana pentingnya khusyu’ maka diwajibkan tama’ninah ketika di dalam solat,
ketika sujud di atas anggota sujud, ketika rukuk dan lain-lain. Sebagaimana
yang diterangkan oleh Nabi SAW. Daripada Jabir bin Samurah, Nabi SAW bersabda: “Tenanglah kamu semua di dalam solat.” [HR
Muslim] .
10. Diriwayatkan
bahawa Allah Ta’ala telah mewahyukan kepada seorang Nabi daripada golongan Bani
Isra’il supaya dia berkata kepada kaumnya: Kamu semua datang kepadaku dengan
badan-badan kamu, dan kamu memberi kepadaku lidah-lidah kamu (bercakap),
sedangkan hati-hati kamu hilang daripadaku? Sungguh batilnya apa yang kamu lakukan
kepadaku.
11. Sesungguhnya yang akan ditulis ke
atas setiap solat ialah mengikut setakat mana hadirnya hati seseorang ketika
solat, dan setakat mana akalnya berakalnya (memahami) apa yang di baca. Daripada Abul Yusri sahabat Rasulullah SAW,
bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Antara kamu mungkin ada yang solat dengan
sempurna, dan mungkin ada di antara kamu yang (ganjaran) solatnya hanyalah
separuh, satu pertiga, satu perempat, satu perlima sehinggalah satu
persepuluh.” [HR Al-Nasa’ie]
12. Ketahuilah bahawa orang yang
bermunajat tidak akan bermunajat dengan sebenar-benarnya sehinggalah dia
mengenal dengan siapa yang dia sedang bermunajat, dan mengapa ia bermunajat
serta menghadirkan hatinya ketika bermunajat. Kita sedia maklum bagaimana
perasaan dan keadaan seorang hamba ketika dia sedang berdepan dengan seorang
pemimpin daripada ahli dunia, bagaimana bergolaknya perasaan dia ketika itu.
Sudah tentu dia merasa hinanya diri di depan pembesar tersebut, badannya tunduk
kepadanya, anggota badannya berasa tenang, dan hatinya akan hadir untuk
mendengar ucapan pembesar tersebut dan menjawab balik apa yang diucap oleh
pembesar itu.
13. Maka
begitu jugalah dengan seorang hamba ketika dia hendak solat. Hendaklah dia
merendahkan darjat dan martabatnya ketika berhadapan dengan Allah SWT,
sebagaimana wajibnya ke atas kita untuk menghadapkan wajah ke arah qiblat.
14. ‘Umar al-Khattab RA berkata:
Sesungguhnya ada seorang lelaki yang telah berkedut mukanya dalam Islam (tua di
dalam Islam), tetapi Allah tidak menyempurnakan (menerima) solatnya. Beliau
ditanya: Bagaimana perkara itu boleh terjadi? Beliau menjawab: Dia tidak
menyempurnakan khusyu’, tawaddu’ dan menghadap kepada Allah ‘Azza wa Jalla di
dalam solatnya.
15. ‘Ubadah
bin al-Samit berkata: Perkara pertama yang akan diangkat daripada manusia
adalah khusyu’. Hampir-hampir engkau memasuki masjid untuk solat berjemaah
tetapi engkau tidak mendapati seorang pun yang solat dengan khusyu’.
16. Was-was di dalam solat merupakan
suatu perkara yang biasa. Ia pasti akan datang kepada sesiapa sahaja. Dan untuk
menolaknya secara keseluruhan adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi,
melainkan kepada mereka yang diberi kekuatan oleh Allah dengan kekuatan
keimanan dan keyakinan. Oleh itu setiap orang hendaklah berusaha
bersungguh-sungguh (mujahadah) untuk menolak setiap bisikan dan waswas syaitan
ketika solat. Setelah ia berusaha bersungguh-sungguh untuk menolak bisikan dan
was-was itu, maka insya Allah ia tidak akan dicela.
Cara-cara mendapat khusyu’ dalam solat dan tanda-tandanya:
1. Kata
Yusof bin Habib: Kami berkata kepada Jundub bin Abdullah: Wasiatkanlah kepada
kami. Lalu ia berkata: Aku wasiatkan
kamu dengan (selalu membaca) al-Quran,
kerana sesungguhnya ia adalah nur (cahaya) di malam yang gelap dan petunjuk di
siang hari yang bersinar, aku mewasiatkan kamu supaya sentiasa bermujahadah dan
mengejar apa yang tertinggal serta bersedia untuk yang akan datang. Dan apabila
kamu berdiri di hadapan Tuhan kamu untuk solat, maka jadikanlah syurga dan
neraka di hadapan kamu, Mizan dan Titian Sirat di sekitar kamu seolah-olah
engkau membaca ayat Allah yang maksudnya:
Dan
(sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu
menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina,
sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar dengan
sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami
ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal yang baik; Sesungguhnya kami
sekarang telah yakin".
[Al-Sajadah:12]
2.
Kata
Uwais Al-Qarni : Apabila engkau mendirikan solat, maka jadilah seolah-olah
engkau telah membunuh seluruh penduduk bumi dan langit. (Iaitu di
sebabkan ketakutan engkau dan kegerunan engkau terhadap Yang engkau
sembah).
3.
Kata
Marwan bin Muhammad : Tidak pernah aku melihat Sai’d bin Abdul A’ziz
sekali-kali dalam solatnya melainkan aku melihat air matanya bercucuran di atas
tikar, dan berkata Abu Abdul Rahman Al-Asadiy kepadanya: Apa tangisan ini yang
engkau tangisinya di dalam solat? Lalu ia menjawab: Apa soalan kamu ni?
Jawabnya: Wahai pakcikku! Semuga yang demikian itu akan memberi manfaat kepadaku.
Lalu Uwais menjawab: Wahai anak buahku! Aku tidak pernah mendirikan solat
melainkan dibayangkan di hadapanku neraka Jahannam.
4.
Seorang
lelaki daripada orang Ansar telah berwasiat kepada anaknya: Dan solatlah kamu seolah-olah engkau akan meninggalkan
dunia ini dan engkau tidak akan solat lagi selepas ini untuk selama-lamanya.
5.
Diriwayatkan
oleh ‘A’ishah –radiyallahuanha, adalah Rasulullah S.A.W apabila datangnya
solat, seolah-olah ia tidak pernah kenal kami dan kami pun tidak pernah kenal
dia (Iaitu disebabkan sibuk dengan urusan solat serta khusyuk).
6. Sabda Rasulullah SAW : “Telah dijadikan solatku itu sebagai
penyejuk kepada hatiku.” [HR AL-Nasa’ei]
7. Sabda baginda s.a.w. kepada Bilal: “Wahai Bilal! Rehatkanlah kami dengan solat”. (Ini kerana solat yang
betul dan khusyuk akan memberi kerehatan dan ketanangan yang hakiki).
8. Kata
Syeikul Islam Ibn taymiyyah: Di dunia ada syurga yang sesiapa yang tidak dapat
memasukinya, maka dia tidak akan dapat masuk ke syurga akhirat.
9. Diriwayatkan
daripada ‘Atta’ bin Abi Rabah, katanya: Aku mendengar Abu Hurayrah berkata:
Sesungguhnya seseorang hamba itu berdiri untuk solat, dia sebenarnya sedang berhadapan
dengan al-Rahman Subahanahu wa Ta’ala. Lalu apabila dia berpaling dalam
solatnya, Tuhan ‘Azza wa Jalla akan berfirman kepadanya: “Wahai anak Adam, Kepada
siapa engkau berpaling? Adakah engkau berpaling kepada Tuhan yang lebih baik daripada Aku? Berpaling dan mengadaplah
kepada-Ku kerana Aku pasti lebih baik daripada orang yang engkau berpaling kepadanya.”
[HR AL-Bazzar]
10. Kata Malik dalam kitab Muwatta’ :
Daripada A’isyah RA telah berkata: Abu Jahm bin Huzaifah telah menghadiahkan
kepada Rasulullah SAW sejenis kain syamiyah (dari negeri syam) yang
memupunyai corak seperti bendera, lalu baginda terpandang ketika dalam
solatnya. Manakala selesai solat baginda bersabda: Pulangkan kembali kain
ini kepada Abu Jahm, kerana sesungguhnya aku melihat coraknya ketika di dalam
solat, maka hampir-hampir ia melalaikan aku. [HR Malik dan Ahmad]
11. Dari Abdullah bin Abi Bakr:
Sesungguhnya seorang lelaki Ansar sedang solat di sebuah kebun kurma dan
buahannya yang sedang masak dan ranum di salah sebuah lembah di Madinah. Lalu
ia memandang kepada buah-buahan itu sehingga ia mengkagumkannya. Kemudian ia
kembali semula dalam solatnya, tiba-tiba ia terlupa berapa rakaat yang ia telah
solat. Maka ia berkata: Sesungguhnya hartaku (kebun) telah menimbulkan fitnah
kepadaku, lalu ia datang kepada Uthman bin Affan (ketika itu beliau adalah
khalifah) dan berkata kepadanya: Kebunku ini aku sedekahkan dan jadikanlah ia
sebagai amal kebaikan. Maka Utman menjualnya dengan harga 50,000. Akhirnya
kebun itu terkenal dengan nama kebun 50,000.[HR Malik dan Ibn Al-Mubarak]
12. Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang mensia-siakan solatnya,
dia sebenarnya adalah orang yang paling hina di sisi Allah.”
13. Ketahuilah bahawasanya firman Allah
Ta’ala: “Dan orang-orang yang memelihara
solat-solat mereka.” [Surah al-Ma’arij, ayat 34] membawa maksud “ Engkau
memelihara waktu solat dan memelihara segala amalan solat daripada bacaan,
qiyam, ruku’ dan sujudnya, serta perkara-perkara lain seperti tama’ninah,
tenang di dalam solat, hadirkan hati ketika solat dan kesemua amalan-amalan
yang berkaitan dengan solat.
14. ‘Umar al-Khattab juga pernah berkata:
Sesungguhnya perkara yang paling penting di sisiku adalah solat. Barangsiapa
yang memeliharanya dan berusaha untuk memeliharanya, maka dia sebenarnya telah
menjaga agamanya. Dan barangsiapa yang mensia-siakannya, dia sebenarnya telah
mensia-siakan agamanya.
15. Hasan al-Basri – radiyallahu anhu – berkata: Wahai anak Adam, apalagi yang dapat
menghinakan kamu daripada agama kamu apabila solat kamu dilakukan dengan sambil
lewa.
16. Diriwayatkan
bahawa Hasan – rahimahullah – pernah melihat seorang lelaki yang
bermain-main dengan janggutnya ketika solat, lalu dia berkata: Jikalau hati ini
khusyu’, nescaya tangannya juga akan khusyu’.
17. Hasan juga
pernah melihat seorang lelaki yang bermain-main dengan batu ketika solat sambil
berdoa: Ya Allah, kahwinkanlah aku dengan gadis hurul ain. Lalu Hasan
berkata kepadanya: Alangkah buruknya cara engkau bercakap dengan Tuhan. Adakah
patut engkau meminta supaya dikurniakan hurul ain sedangkan engkau
sedang bermain-main dengan batu?
18. Firman
Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang
yang tunduk patuh pada perintah Allah.” [Surah al-Hajj, ayat 34]
Al-Mukhbitin bermaksud: Orang-orang yang tawaddu’ (merendah diri kepada Allah).
Iaitu seseorang itu hanya akan tunduk patuh kepada Allah apabila dia ada sifat
tawaddu’ dan merendah diri.
19. Diriwayatkan
daripada Muslim bin Yasar – rahimahullah – bahawa apabila dia ingin
mendirikan solat, dia berkata kepada ahli keluarganya: Cakaplah apa sahaja yang
kamu sukai, kerana sesungguhnya aku tidak akan mendengar apa yang kamu bualkan.
20. Diriwayatkan
juga bahawa Muslim bin Yasar pernah bersolat di sebuah masjid di Bushrah, lalu
satu bahagian masjid tersebut telah runtuh, tetapi beliau tidak sedar perkara
itu terjadi. Diriwayatkan juga bahawa rumahnya pernah terbakar sedangkan dia
sedang solat pada ketika itu. Maka orang ramai menjerit meminta tolong
sehinggalah api tersebut berjaya dipadam. Setelah beliau selesai daripada
solatnya, isterinya memberitahu tentang perkara yang berlaku, lalu dia berkata:
Aku tidak sedar perkara itu terjadi.
21. Abu Bakr
bin ‘Iyash berkata: Aku melihat Habib bin Abi Thabit ketika solat, seolah-olah
dia seperti mayat (yakni daripada khusyu’nya dan sifat takutnya ketika berhadapan
dengan Allah Ta’ala).
22. Said bin
Jubayr berkata: Aku tidak kenal siapa yang solat di sebelah kananku atau kiriku
selama 40 tahun sejak aku mendengar Ibnu ‘Abbas berkata: Khusyu’ di dalam solat
ialah seorang yang solat itu tidak mengenal siapa yang solat di sebelah
kanannya atau kirinya.
23. Diriwayatkan
bahawa ‘Aliy bin Abi Talib RA berubah wajahnya ketika masuknya waktu solat, dan
dia berkata: Telah datang waktu untuk menunaikan amanah yang telah dikemukakan
tanggungjawab amanah tersebut kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk
memikulnya), lalu mereka enggan untuk memikulnya dan bimbang tidak dapat
menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya).
[Rujuk surah al-Ahzab, ayat 72]
24. Sufyan
al-Thauri berkata: Barangsiapa yang tidak khusyu’ di dalam solat, maka rosaklah
solatnya.
25. Rasulullah
SAW sering kali menangis di dalam solat, sebagaimana di dalam hadith yang
diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Syakhir: Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika
baginda sedang solat, dan baginda menangis teresak-esak seperti bunyi air yang
sedang mendidih di dalam periuk. [HR Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’ie]
26. Nabi SAW
pernah bersabda kepada ‘A’ishah: “Suruhlah Abu Bakar mengimamkan orang
ramai.” Maka ‘A’ishah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Bakar
adalah seorang yang sangat lembut hatinya. Apabila beliau membaca al-Qur’an,
beliau pasti tidak dapat mengawal air matanya. [Muttafaqun ‘alayh]
27. Kata
Abdullah bin Syaddad: Aku mendengar ‘Umar menangis teresak-esak seperti
tangisan seorang anak kecil ketika beliau sedang mengimamkan solat, sedangkan
aku berada di saf yang paling akhir. Waktu itu ‘Umar membaca ayat: “(Nabi
Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya Aku hanyalah mengadukan kesusahan dan
dukacitaku kepada Allah…” [Yusuf, ayat 86] Para sahabat yang lain juga
menangis, begitu juga seluruh kaum Muslimin.
Antara cara mendapat khusyuk dalam solat.
1. Kata
Abu Sulaiman Al-Daraani: Apabila kamu hendak mendirikan solat, Ingat dan
yakinlah kepada siapa kamu mengadap? Di hadapan siapa kamu berdiri? Apabila telah yakin dengan sungguh-sungguh bahawa
kita sedang menghadap Allah, berdiri di hadapan Allah dan bersungguh-sungguh
melawan bisikan syaitan, maka setelah selesai solat hendaklah beristighfar
kepada Allah, semoga Allah akan menerima bahagian awal dan akhir solat dan
mengampunkan dengan rahmat-Nya bahagian pertengahan solat kita.
2. Memohon
bantuan dan pertolongan Allah untuk melawan bisikan-bisikan syaitan ketika
solat dengan penuh yakin kepada kekuatan Allah ke atas setiap musuh-Nya.
3. Meringankan
solat sekiranya solat yang panjang boleh menjadikan was-was atau terganggu
dengan bisikan syaitan.
4.
Setiap
kali sebelum solat hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghilangkan
semua sebab yang boleh menyebabkan solat tidak khusyuk. Antaranya melewatkan
solat tanpa uzur syar’ie, solat dalam keadaan lapar, menahan kentut atau sakit
perut, solat di tempat yang bising.
5.
Mendahulukan
solat-solat sunat sebelum memulakan solat fardu.
6. Memahami
setiap apa yang dibaca di dalam solat samada ayat-ayat al-Quran, zikir ataupun wirid.
Faedah:
1.
Daripada
Abu Hurayrah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa
yang sempat ruku’ bersama imam ketika solat, maka dia telah mendapat rakaat
tersebut di dalam solat.” [HR Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’ie]
2.
Daripada
Abu Hurayrah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa
yang sempat ruku’ ketika waktu Subuh sebelum terbitnya matahari, maka dia telah
sempat menunaikan solat Subuh. Dan barangsiapa yang sempat ruku’ ketika waktu
Asar sebelum terbenamnya matahari, maka dia telah sempat menunaikan solat
Asar.” [HR al-Bukhariy]